Category: Semasa

  • Tanah runtuh: Kesemua mangsa terima rawatan di hospital dibenar pulang – Nadma

    Tanah runtuh: Kesemua mangsa terima rawatan di hospital dibenar pulang – Nadma

    LAPAN mangsa kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Gohtong Jaya, Batang Kali yang mendapatkan rawatan di hospital, telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

    Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan mengenai status mangsa yang dirawat memaklumkan, mereka yang berusia antara 13 hingga 44 tahun dan menerima rawatan di Hospital Selayang, Hospital Kuala Kubu Bharu serta Hospital Kuala Lumpur, dibenarkan pulang bermula Jumaat lepas sehingga semalam.

    “Sebarang maklumat terkini mengenai perkembangan mangsa-mangsa bencana akan dimaklumkan dari masa ke masa setelah mendapat pengesahan rasmi daripada agensi yang bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

  • Muhyiddin tidak tempah Mercedes, tidak pernah guna kereta rasmi – Dr.Marzuki

    Muhyiddin tidak tempah Mercedes, tidak pernah guna kereta rasmi – Dr.Marzuki

    BEKAS Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Ke-8, Datuk Dr.Marzuki Mohamad menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahm terkhilaf apabila memberitahu Dewan Rakyat semalam Tan Sri Muhyiddin Yassin memesan (tempat) sebuah kereta rasmi yang dipercayai merujuk kepada kereta Mercedes S600.

    Kata Dr.Marzuki, Anwar memberitahu tempahan itu tidak diteruskan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan dibatalkan oleh beliau.

    ‘’Sebagai Perdana Menteri pada masa itu, Tan Sri Muhyiddin diberikan dua pilihan kereta rasmi iaitu MPV Lexus dan Mercedes S600. Harga kedua-duanya terlalu mahal dan minit terakhir Tan Sri Muhyiddin kepada Jabatan Perdana Menteri ialah supaya harganya dikaji dan dirunding semula. Kelulusan akhir perlu dibuat oleh  Kementerian Kewangan. Saya kembalikan minit tersebut kepada pegawai dan ia terhenti setakat itu sahaja,’’ katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dr.Marzuki berkata, sehinggalah Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan pada 16 Ogos 2021, kereta Mercedes itu tidak pernah ditempah atau dibeli oleh kerajaan.

    ‘’Saya percaya kenyataan PM-10 bahawa Tan Sri Muhyiddin telah memesan kereta tersebut adalah terkhilaf,’’ katanya.

    Beliau berkata, Muhyiddin tidak menggunakan kereta rasmi kerajaan.

    ‘’Muhyiddin menggunakan kereta peribadinya yang sama sejak berada di dalam pembangkang, semasa menjadi Menteri Dalam Negeri, semasa menjadi Perdana Menteri dan sehinggalah sekarang,’’ katanya

  • Gajah sesat masuk penjara Kluang

    Gajah sesat masuk penjara Kluang

    JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor hari ini mengesahkan berlaku kejadian seekor gajah dipercayai tersesat dan memasuki kawasan Penjara Kluang Isnin lepas.

    Pengarahnya, Aminuddin Jamin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada pihak Penjara Kluang pada pukul 10 malam dan menggegaskan tiga petugas jabatan itu ke lokasi.

    Beliau berkata, gajah dewasa itu dipercayai tersesat daripada kumpulannya yang dikenali sebagai ‘Grup Tenang’, yang difahamkan kira-kira 15 ekor.

    Menurut Aminuddin, susulan itu, pihaknya menghalau gajah tersebut dengan menggunakan kaedah ‘tembak dan halau’ serta mengiringinya hingga ke kawasan selamat.

    “Kita ambil tindakan dengan menembak ke udara beberapa kali menuju hutan berhampiran iaitu Hutan Gunung Lambak.

    “Seterusnya, pihak Perhilitan akan melakukan pemantauan berterusan dan kawalan di lokasi sehingga keadaan benar-benar selamat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata kejadian gajah memasuki kawasan penjara di negeri ini adalah kali pertama berlaku.

    Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk tidak melakukan provokasi terhadap gajah sekiranya bertembung dan berhubung dengan Perhilitan untuk tindakan selanjutnya.

  • 72,332 mangsa banjir ditempatkan di PPS

    72,332 mangsa banjir ditempatkan di PPS

    JUMLAH keseluruhan mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri pagi ini mencatatkan sedikit penurunan kepada 72,332 orang berbanding 72,358 orang malam tadi.

    Bagaimanapun, Kelantan dan Terengganu terus mencatatkan peningkatan bilangan mangsa.

    Berdasarkan laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat 8 pagi tadi, sebanyak 443 PPS dibuka di lima negeri untuk menempatkan mangsa banjir.

    Daripada jumlah itu, 40,889 mangsa dari 11,360 keluarga di Terengganu kini ditempatkan di 298 PPS membabitkan 11,360 keluarga.

    Sementara itu di Kelantan, sebanyak 138 PPS kini beroperasi untuk menempatkan 31,120 orang mangsa daripada 8,922 keluarga termasuk warga emas dan warga OKU selain kanak-kanak dan bayi.

    JKM turut melaporkan dua PPS di Perak dan Johor masih beroperasi dengan kurang 60 orang mangsa bagi setiap negeri.

    Di Pahang, menunjukkan tiga PPS masih beroperasi di negeri itu dengan merekodkan 221 mangsa daripada 62 keluarga.

    Dalam perkembangan sama, sepasang suami isteri warga emas merupakan antara 40 mangsa banjir di Dungun, Terengganu yang berjaya diselamatkan anggota bomba dan penyelamat (JBPM) malam tadi.

    Menurut Ketua Bomba dan Penyelamat Dungun, Shahrizal Shamsudin, pasangan berusia sekitar 80an dari Kampung Padang Pulut itu telah dihantar ke PPS Masjid Kampung Padang Pulut.

    “Kami berhadapan detik sukar apabila terpaksa mengangkat bot kami kerana jalannya yang tidak stabil serta ada beberapa kawasan menuju ke rumah mangsa tidak dinaiki air…Alhamdulillah kita dapat keluar ke kawasan selamat,” katanya.

    Tambahnya, semua mangsa berjaya diselamatkan dengan kekuatan 35 anggota bomba yang bertugas serta bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

  • Mayat budak perempuan ditemui di lokasi tanah runtuh

    Mayat budak perempuan ditemui di lokasi tanah runtuh

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya dekat Batang Kali yang memasuki hari kelima semalam, menemukan mayat seorang kanak-kanak perempuan pada 11.15 malam sebelum operasi ditangguhkan pada 12 tengah malam.

    Penemuan mayat kanak-kanak dianggarkan berusia lingkungan lima hingga tujuh tahun itu, menjadikan angka korban tragedi berkenaan kini 25 mangsa.

    Gambar – BOMBA SELANGOR

    Operasi hari ini dipergiatkan dengan anggota pasukan ‘sweeper’ ditingkatkan empat kali ganda kepada 28 orang berbanding hanya tujuh orang, semalam.

    Cuaca baik sejak semalam membantu operasi SAR yang bermula kira-kira 8 pagi tadi, selain Jabatan Kerja Raya melaporkan tiada pergerakan tanah di kawasan pencarian berbanding semalam.

    Terdahulu, anggota penyelamat menemukan selimut, tong dan peralatan perkhemahan ketika pencarian di sektor C (Riverside).

    Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Md Ismail berkata selain sektor C, pihaknya mengulangi pencarian di sektor A (Hill View) dan B (Farm View) bagi mengesan mangsa.

    Anggota penyelamat juga terus bersemangat dan tidak berputus asa dalam menjalankan tugas pencarian, meskipun terdapat tiga pegawai dan anggota yang menerima rawatan selepas kurang sihat dan mengalami kecederaan ringan.

    Malah Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Hafisham Mohd Noor berkata ada antara anggota penyelamat yang enggan keluar dari lokasi pencarian bagi mengesan baki mangsa yang masih hilang, walaupun dibenarkan untuk berehat.

    Komitmen yang ditunjukkan anggota SAR turut mendapat perhatian Istana Selangor, apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini menzahirkan penghargaan kepada mereka.

    Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata polis sudah merakam keterangan 53 individu, bagi membantu siasatan berhubung tragedi berkenaan termasuk pengusaha, dua pekerja tapak perkhemahan selain mangsa yang terselamat dan keluarga mereka. 

    Tragedi tanah runtuh pada 2.42 pagi Jumaat lepas di tapak perkhemahan itu, setakat ini menyaksikan 61 selamat, 25 nyawa terkorban dan lapan lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa yang terlibat.

    Mengikut data dari Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), seramai 29 daripada keseluruhan mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh itu adalah kanak-kanak.

  • Ambulans terbalik, 4 cedera

    Ambulans terbalik, 4 cedera

    EMPAT individu cedera selepas sebuah ambulans St. John yang dalam perjalanan menghantar pesakit ke Hospital Pulau Pinang (HPP) terbabas dan merempuh pembahagi jalan serta sebatang pokok lalu terbalik dalam kejadian di Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang semalam.

    Kemalangan itu mengakibatkan pemandu ambulans berusia 22 tahun, pembantu perubatan (28 tahun), pesakit wanita (54 tahun) dan anak perempuannya (24 tahun) mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk di kepala dan muka.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan, kejadian itu berlaku pukul 4.40 petang ketika pemandu ambulans dan pembantu perubatan dalam perjalanan dari Sungai Ara selepas mengambil pesakit dan anak perempuannya untuk dibawa ke HPP.

    “Apabila menghampiri Jalan Masjid Negeri (menghala ke Jalan Scotland), pemandu ambulans hilang kawalan menyebabkan ambulans terbabas melanggar pembahagi jalan dan sebatang pokok di sebelah kanan jalan lalu terbalik.

    ”Pemandu ambulans, pesakit dan anak perempuannya tersepit di tempat duduk namun berjaya dikeluarkan dengan selamat oleh anggota bomba,” katanya hari ini.

    Dalam pada itu, kejadian tersebut turut tular di dalam media sosial sejak malam tadi.

    Saravanan berkata, pemandu ambulans mengalami kecederaan di tangan dan kepala manakala pembantu perubatan cedera ringan di muka dan tangan.

    Sementara itu katanya, pesakit yang dibawa menggunakan ambulans tersebut mengalami kecederaan di kepala manakala anak perempuannya cedera di kepala dan muka.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Peguam dakwa Anwar mohon pengampunan sebanyak dua kali

    Peguam dakwa Anwar mohon pengampunan sebanyak dua kali

    SEORANG peguam menyanggah kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pengampunan yang diberi oleh Sultan Muhammad V ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada 2018.

    Portal MalaysiaNow melaporkan, menurut dokumen Perintah Pengampunan dan Pembebasan Serta Merta Anwar yang dikongsikan Rafique Rashid di akaun media sosial beliau, Presiden PKR itu sebenarnya dua kali memohon kepada Lembaga Pengampunan pada 2015 dan 2017 untuk diampunkan namun kedua-dua rayuan tersebut ditolak.

    Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015 mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada Anwar selepas didapati bersalah atas tuduhan liwat.

    Berdasarkan dokumen itu, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pada 16 Mac 2015 dan 27 Februari 2017 menimbang rayuan banduan dan fakta-fakta kes tersebut.

    Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan menasihatkan supaya hukuman penjara lima tahun yang dikenakan terhadap Anwar hendaklah diteruskan.

    “Dan bahawasanya adalah munasabah pada hemat Beta, belas kasihan patut diberi kepada Anwar Ibrahim,” demikian menurut dokumen yang mempunyai tandatangan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada masa itu.

    Seterusnya dokumen itu disambung dengan perintah baginda supaya Anwar diberi pengampunan penuh dan dianggap sebagai seorang yang tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan serta diberi pembebasan serta merta.

    Menurut Rafique, dokumen ini jelas menunjukkan Anwar membuat permohonan pengampunan sebelum ini, cumanya ia ditolak.

    “Perdana menteri, sila betulkan fakta. Lembaga Pengampunan terletak di bawah Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan. Dalam apa jua keadaan, jelas menunjukkan anda sebanyak dua kali, pada 2015 dan 2017, cuba mendapatkan pengampunan tetapi tidak berjaya,” kata Rafique.

    Tambah beliau, rayuan pengampunan ini hanya melibatkan kes liwat kedua dan tidak termasuk kes salah guna kuasa ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1998.

    “Itu masih kekal sebagai kesalahan yang mana hukuman telah dijalankan,” katanya.

    Di Dewan Rakyat hari ini, Anwar menjelaskan beliau tidak memohon pengampunan sebaliknya ia adalah insiatif daripada Sultan Muhammad V.

    Katanya, Sultan Muhammad yang aktif mengikuti perkembangan perbicaraan kesnya  telah menelefon untuk memaklumkan sendiri bahawa beliau akan diberi pengampunan penuh.

    “Saya tidak mohon pengampunan kerana saya dihukum, biar ini jelas dalam rekod.

    “Kita bantah penghakiman yang melanggar prinsip hukum mengada-adakan kes.

    “Yang mengambil inisiatif itu ialah Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu,” kata Anwar di Dewan Rakyat hari ini.

    Semalam Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin mencabar  Anwar mengambil tindakan terhadap media antarabangsa yang mengeluarkan laporan hingga boleh mencemarkan imej negara.

    Beliau menggunakan contoh laporan media dari Itali Agenzia Nova yang menerbitkan artikel bertajuk “First Full-blown Homosexual Elected Prime Minister in an Islamic Country”.

  • Kerajaan umum bantuan tambahan mangsa banjir

    Kerajaan umum bantuan tambahan mangsa banjir

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Armizan Mohd Ali mengumumkan bantuan tambahan kepada mangsa banjir.

    “Perkara iniu selaras pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, bagi menambah jumlah peruntukan sedia ada iaitu RM400 juta melibatkan mangsa banjir.

    “Kerajaan akan menambah peruntukan itu sebab kita melihat terdapatnya keperluan tambahan bukan hanya untuk operasi banjir tetapi juga bantuan kepada mangsa banjir,” katanya pada sidang media di Parlimen.

    Ahli Parlimen Papar itu berkata, peruntukan tersebut akan diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama kerajaan negeri yang terkesan dengan bencana itu.

    Antara bantuan akan diberikan kepada mangsa banjir adalah wang ihsan RM1,000 untuk satu keluarga dan bantuan kematian RM10,000 bagi setiap individu.

    Selain itu, beliau turut mengumumkan bantuan barangan rosak di rumah terkesan sebanyak RM2,500 serta bantuan pembaikan kecil untuk rumah yang rosak sebanyak RM5,000.

    “Bantuan ini tidak termasuk bantuan bina rumah baharu dan bantuan pembaikan rumah yang diseleraskan antaranya melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan,” katanya, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Sebelum ini, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan bajet operasi sementara bernilai RM107.7 bilion.

    Bajet mini dibentangkan Anwar yang juga menteri kewangan itu diluluskan melalui undian suara selepas bacaan kedua dan ketiga.

    Perdana menteri berkata, bajet mini juga penting untuk membantu Nadma menangani banjir dan membantu mangsa.

    “Kerajaan memberi jaminan akan menyediakan sumber kewangan tambahan sekiranya perlu bagi memastikan kelancaran pengurusan banjir,” kata Anwar.

  • Tukang gunting didakwa menyamar anggota polis

    Tukang gunting didakwa menyamar anggota polis

    SEORANG tukang gunting rambut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kulim, hari ini, atas pertuduhan menyamar sebagai pegawai polis bagi mendapatkan RM5,000 sebagai memperdaya mangsa agar boleh membebaskan seorang tahanan lokap.

    Tertuduh, Premantharan Pillai Vijayantharan, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mirza Mohamad.

    Astro Awani melaporkan, mengikut pertuduhan, tertuduh memperdaya Munesswary Maniam, 47, untuk mempercayai dia sebagai pegawai polis dan akan membebaskan tahanan lokap dengan menyerahkan wang sebanyak RM5,000.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Kulim dengan menggunakan nombor akaun atas nama Malathi Kesavan, 24, pada 11 Disember lalu pada sekitar pukul 3.21 petang.

    Majistret, kemudian memerintahkan tertuduh dibenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 Januari depan.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah seksyen yang sama.

    Mahkamah sama turut memerintahkan tertuduh kedua, Malathi Kesavan membayar denda RM900 atau penjara satu bulan setelah mengaku salah membenarkan akaun bank digunakan tertuduh pertama yang dipercayai sebagai pegawai polis.

    Mengikut pengakuan, ibu kepada seorang anak itu menyedari akaun bank miliknya digunakan untuk tujuan kemasukan wang sebanyak RM5,000 namun, tidak dapat memberi keterangan dari mana diperolehinya.

    Oleh yang demikian tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).
    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nursalwati Wan Kamarul Ariffin.

  • 15 PPS di Terengganu dinaiki air, 1,641 mangsa dipindahkan

    15 PPS di Terengganu dinaiki air, 1,641 mangsa dipindahkan

    SERAMAI 1,641 mangsa dari 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu terpaksa dipindahkan ke lokasi lain selepas PPS yang menempatkan mereka dinaiki air sejak semalam.

    Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, ia melibatkan dua PPS di Kemaman, Besut dan Hulu Terengganu masing-masing lima PPS, serta tiga PPS di Setiu.

    Beliau berkata, situasi luar jangka itu memberi sedikit kesukaran kepada pihak berkuasa dan agensi penyelamat untuk mengurus serta menjalankan kerja-kerja pemindahan mangsa selepas situasi banjir semakin buruk di negeri ini.

    “Kita harap semua mangsa dapat bersabar kerana proses pemindahan mangsa akan mengambil masa.

    “Kita sedang berusaha melakukan kerja-kerja berkenaan dengan pantas dan selamat,” katanya selepas meninjau keadaan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Mangkuk, dekat Permaisuri, hari ini.

    Menurut Rohaimi, selain masalah kekurangan aset berat, proses pemindahan mangsa di sesetengah kawasan terjejas banjir juga berdepan kekangan disebabkan banyak kawasan baharu yang tidak pernah dinaiki air, turut dilanda banjir kali ini.

    Justeru tumpuan utama diberikan kepada kawasan kritikal yang mempunyai pesakit kronik, ibu mengandung dan warga emas yang perlu pemindahan segera.

    “Banjir kali ini berbeza kerana PPS pun tenggelam. Banyak kawasan yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini tenggelam dek banjir.

    “Kita punya cukup kekuatan dari segi tenaga anggota penyelamat daripada polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), cuma perlu aset besar. Tetapi semalam kita dah dapat bantuan 16 buah lori lima tan daripada pihak pengurusan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Timur untuk atasi masalah ini,” katanya.

    Dalam pada itu beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya mengawasi anak-anak daripada bermain air banjir kerana dikhuatiri disengat binatang berbisa. – Bernama