Category: Semasa

  • Kedah kekalkan khidmat JPKK sedia ada – Sanusi

    Kedah kekalkan khidmat JPKK sedia ada – Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    KERAJAAN Negeri Kedah membuat keputusan untuk meneruskan perkhidmatan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sedia ada hingga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 negeri itu berakhir.

    Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, walaupun pelantikan dibuat atas kapasiti mewakili parti politik masing-masing tetapi tugas menunaikan amanah dilaksanakan atas nama kerajaan negeri.

    Katanya, langkah serupa turut melibatkan Ahli-Ahli Majlis yang akan kekal berkhidmat sehingga berakhir tempoh penggal DUN Kedah yang akan terbubar sendiri pada 7 Julai tahun depan.

    “Saya tidak kisah untuk anda pakai baju (parti) apa tetapi dalam melaksanakan amanah, haruslah mengikut dasar-dasar kerajaan negeri yang melantik kita.

    “Sekali lagi saya umumkan, di pihak kerajaan negeri, tidak ada pemecatan JPKK. Kalau pun ada arahan daripada pihak lain (parti yang diwakili) yang mengarahkan seseorang ahli JPKK meletak jawatan atas sebab mereka sudah tidak bersama dengan kita (Perikatan Nasional), anda diberi pilihan sama ada nak letak jawatan atau kekal.

    “Andai kata selepas bulan ini, Kerajaan Persekutuan buat dasar baharu melantik jawatankuasa pengurusan kampung yang lain, tak mahu pakai JPKK yang kita lantik kerajaan negeri tetap akan teruskan khidmat JPKK sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Muhammad Sanusi berkata, beliau membuat keputusan itu kerana tidak mahu berlaku sebarang perpecahan dalam masyarakat jika ada pelantikan baharu sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini.

    “(JPKK) yang duk ada ini kita akan terus iktiraf dan guna pakai.

    “Bagaimanapun saya harap ini tidak akan berlaku (sebaliknya) apa yang saya harap Kerajaan Persekutuan tambah elaun JPKK sedia ada,” katanya.

  • Hassan akui hasilkan puisi untuk tegur Anwar

    Hassan akui hasilkan puisi untuk tegur Anwar

    BIARPUN menghasilkan tiga puisi kontroversi baru-baru ini yang mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembentukan Kerajaan Perpaduan, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tidak berhasrat meninggalkan PKR.

    Menurut beliau, puisi berkenaan yang ditujukan khas kepada Anwar adalah teguran secara berhemah terhadap Presiden PKR itu kerana tiada saluran untuk berbuat demikian dalam parti disebabkan tiada jawatan dalam PKR.

    Bekas Pengerusi PKR Johor itu berkata, puisi berkenan dihasilkannya bukan bermaksud mahu menentang kepimpinan Kerajaan Perpaduan tetapi itu adalah cara beliau menegur dalam keadaan semua pemimpin PKR mendiamkan diri.

    “Niat saya mahu menegur ketika ramai orang tak sanggup menegur dan kritik Anwar.

    Tidak apalah saya dimarahi segelintir pemimpin dan menteri daripada PKR tetapi sehingga kini saya tidak dengar Anwar suarakan rasa marah atau kecewa berkenaan perkara terbabit.

    “Anwar boleh terima (puisi-puisi mengkritiknya) kerana selain disiarkan dalam Facebook saya, saya juga hantar puisi itu menerusi aplikasi Whatsapp dan orang pertama yang saya hantar adalah kepada Anwar.

    “Sekurang-kurangnya dia tahu seseorang bercakap (mengkritiknya),” katanya.

    Hassan berkata, tujuannya adalah mahu ingatkan perdana menteri agar tidak lari daripada perjuangan asal.

    “Terpaksa bercakap jujur walaupun ramai kawan minta saya bersabar,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian di sidang media sempena lawatan kerja sempena persaraan Ketua Balai Bomba Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba II, Ibrahim Omar di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang hari ini.

    Pada 5, 14 dan 18 Disember lalu Hassan menghasilkan tiga puisi bertajuk Ku Simpan Risalah Reformasi di Dalam Peti, Kuasa Mengubah Segala-galanya dan Satu Deklarasi yang secara berkias mengkritik Anwar, dimuat naik dalam FB.

    Antara lain puisi Hassan mengkritik secara berkias Anwar serta PKR yang didakwa menggadai prinsip dan perjuangan asal parti demi kuasa selain mempersoalkan perjanjian persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dengan gabungan parti yang menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan.

    Hassan berkata, beiau berasa lega apabila dapat meluahkan tegurannya menerusi puisi dan ramai pihak membuat pelbagai tafsiran daripada bait-bait puisinya tetapi masih tidak ‘lari’ maknanya daripada konteks atau mesej asal yang ingin disampaikan kepada Anwar.

    “Sebelum ini saya menghasilkan sajak-sajak reformasi untuk Anwar semasa saya menjadi Ketua Pemuda Parti Rakyat Malaysia (PRM).

    “Saya sokong perjuangan Anwar sejak zamam PRM, sebelum PRM bergabung dengan Parti Keadilan Nasional (PKN) pada 2001 menjadi PKR. Menerusi puisi terakhir, saya nyatakan rela ‘dipancung’.

    “Ini adalah bahasa puisi yang bermakna rela dikenakan tindakan disiplin kerana melawan arus dan mengeluarkan kenyataan yang selalu berbeza dengan pucuk pimpinan parti,” katanya.

  • Amaran hujan berterusan di enam negeri hingga Isnin

    Amaran hujan berterusan di enam negeri hingga Isnin

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan di enam negeri yang dijangka berlaku sehingga Isnin ini.

    Hujan tahap buruk sepanjang hari ini dijangka berlaku di Terengganu melibatkan kawasan Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman, di Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin) dan Johor (Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).

    Sementara hujan berterusan tahap waspada untuk tempoh sama, diramal berlaku di seluruh Kelantan, dan beberapa kawasan di Terengganu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu), manakala Pahang (Jerantut dan Maran) dan Johor (Segamat, Batu Pahat dan Pontian).

    Keadaan cuaca sama dijangka berlaku di Sarawak iaitu Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) serta Limbang bermula esok hingga Sabtu ini.

    Di Sabah pula, hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku bermula esok hingga Isnin di kawasan pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat, Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Kudat) serta Labuan. – BERNAMA

  • Banjir: Tiada keperluan isytihar darurat iklim ketika ini

    Banjir: Tiada keperluan isytihar darurat iklim ketika ini

    BELUM ada keperluan untuk kerajaan mengisytiharkan darurat iklim ketika ini susulan beberapa negeri terjejas teruk akibat banjir, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

    Beliau berkata untuk mengisytiharkan darurat iklim, beberapa proses dan penilaian tertentu perlu dilakukan oleh pihak bertanggungjawab bagi keputusan dibuat apabila tiba masanya.

    “Buat masa ini belum ada keperluan isytihar Darurat Iklim kerana keadaan (banjir) masih lagi terkawal kerana untuk berbuat demikian ia ada proses dan penilaian tertentu oleh pihak yang bertanggungjawab.

    “Saya fikir keseluruhan operasi terkawal dan berjalan baik dan laporan telah diberikan secara berkala termasuk semasa mesyuarat jemaah menteri semalam,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di pusat pemindahan sementara (PPS) Alor Pasir, di sini hari ini, selepas menyampaikan bantuan sumbangan kepada mangsa banjir.

    Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.

    Sebelum ini, media melaporkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu mencadangkan pengisytiharan Darurat Iklim dan menggerakkan usaha yang radikal bagi membincangkan langkah-langkah mitigasi segera untuk membendung dan mengurangkan risiko dan impak banjir yang sedang melanda negara terutamanya di negeri Pantai Timur.

    Mengulas lanjut, Saifuddin berkata pihaknya turut memberi tambahan aset udara ke Kelantan dan Terengganu.

    “Aset tambahan udara yang saya minta dari pasukan polis sediakan adalah dua unit di Kelantan dan satu unit di Terengganu.

    “Pada masa sama, kita gesa mangsa terlibat agar beri kerjasama yang baik sekiranya diminta berpindah oleh pihak berkuasa kerana jika melengahkan masa ia boleh mengancan nyawa,” katanya. – BERNAMA

  • Tiga pembantu kesihatan dipenjara sehari, denda terima rasuah urus jenazah

    Tiga pembantu kesihatan dipenjara sehari, denda terima rasuah urus jenazah

    TIGA pembantu perawatan kesihatan di Hospital Kajang dipenjara sehari dan denda masing-masing antara RM3,000 dan RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah.

    Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Sharum Hassim, 42, Muhd Azhar Nahar, 45, dan Mohd Nizam Noordin, 42, selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah bagi pertuduhan pilihan.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 kepada Sharum manakala Azhar dan Nizam masing-masing didenda RM5,000.

    Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga lelaki terbabit menjalani hukuman penjara tersebut bermula hari ini dan dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda itu.

    Mengikut pertuduhan pilihan, Sharum, Azhar dan Nizam yang merupakan pembantu perawatan kesihatan di Unit Forensik Hospital Kajang, masing-masing menerima wang berjumlah antara RM300 dan RM600 daripada Nur Azlan Azmi melalui akaun mereka tanpa sebarang balasan daripada Nur Azlan yang diketahui olehnya ada kaitan dengan tugas rasmi tertuduh iaitu bagi kerja-kerja pengurusan jenazah.

    Sharum didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Taman Ria Jaya Sungai Petani, Kedah manakala Azhar dituduh melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Kajang, Hulu Langat dan Nizam pula dituduh melakukan kesalahan itu di Bank Islam Cawangan Kajang, Hulu Langat. 

    Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 21 Mei hingga 9 Dis 2020. 

    Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. 

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Aliff Shaharuzaman manakala ketiga-tiga lelaki itu diwakili peguam Mohd Fikah Sanusi. – BERNAMA

  • PU Azman didakwa lagi, sudah kena 12 tuduhan jenayah seksual

    PU Azman didakwa lagi, sudah kena 12 tuduhan jenayah seksual

    PENDAKWAH selebriti, Azman Syah Alias, yang lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Azman, didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pada 2017.

    Azman, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim, Rasyihah Ghazali.

    Lapor Berita Harian, mengikut pertuduhan, tertuduh yang turut dikenali sebagai Cik Man, didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah inap desa di Jalan Kebun dekat sini pada September 2017.

    Dengan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

    Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zatil Hidayah Ali menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa dan lain-lain saksi pendakwaan.

    Peguam bela, Fahmi Adilah, memohon jaminan tidak terlalu tinggi dikenakan atas faktor kewangan tertuduh yang tidak mempunyai pekerjaan ketika ini selepas siasatan dilakukan terhadapnya sejak September lalu.

    Katanya, tertuduh juga sudah membayar jaminan keseluruhan RM74,000 bagi pertuduhan-pertuduhan di Mahkamah Seremban; Mahkamah Klang dan Mahkamah Ampang.

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM7,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi kes serta melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali sehingga kes selesai.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Januari depan.

    Semalam, lelaki itu didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang dengan satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun.

    Pada 7 Disember lalu, PU Azman didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Klang atas empat pertuduhan melakukan amang dan komunikasi seksual serta kelucahan melampau pada tiga remaja lelaki tahun ini.

    Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada tahun sama pada 12 Oktober.

    PU Azman tidak mengaku bersalah bagi kesemua pertuduhan berkenaan.

  • Banjir: Pesakit asma kronik ditemukan lemas dekat rumah

    Banjir: Pesakit asma kronik ditemukan lemas dekat rumah

    SEORANG lelaki dari Kampung Chenerai, Alor Pasir dekat Pasir Mas yang dilaporkan hilang sejak kelmarin ditemui lemas di sekitar rumahnya pagi ini.

    Mangsa, Allahyarham Mohd Razawi Ahmed, 45, ditemukan pukul 10.45 pagi tadi selepas kehilangannya dimaklumkan kepada pihak berkuasa.

    Saudara kepada Mohd Razawi, Wan Habsah Wan Yusof, 53, berkata, Allahyarham hilang sejak kelmarin selepas jiran melihatnya turun meredah air setinggi 0.4 meter pada 5 petang dan tidak muncul sehingga pukul 8 malam.

    Katanya, dia dimaklumkan arwah turun untuk mengangkat kayu daripada dibawa arus banjir di bawah rumahnya sebelum dia hilang.

    “Arwah tinggal seorang diri di rumah berkenaan. Selepas dia hilang, paras banjir di kawasan rumahnya juga semakin bertambah hampir satu meter menyebabkan kami sukar untuk mencarinya.

    “Kemudian, kehilangan Mohd Razawi dilaporkan kepada polis sebelum mereka mengesyaki bahawa dia lemas. Beberapa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) kemudian menjalankan operasi mencari mangsa sejak semalam.

    “Saya terkejut apabila pagi ini menerima khabar dia ditemui lemas di sekitar rumahnya namun bersyukur jasadnya ditemui walaupun sudah tidak bernyawa,” katanya hari ini, lapor Harian Metro.

    Wan Habsah berkata, mangsa juga mempunyai penyakit asma kronik dan mungkin jatuh ke air selepas penat mengangkat kayu di bawah rumahnya.

    Menurutnya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Siram, di sini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas (HPM) untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.

    “Penduduk terjejas banjir dinasihatkan agar berhati-hati supaya tidak berlaku sebarang insiden tidak diingini sehingga meragut nyawa

    “Polis bersiap siaga selama 24 jam untuk membantu mangsa banjir yang memerlukan,” katanya.

  • Empat mayat termasuk dua budak ditemukan bergulung dengan khemah

    Empat mayat termasuk dua budak ditemukan bergulung dengan khemah

    EMPAT mayat mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di Batang Kali, ditemukan dalam keadaan bergulung dengan satu kanvas khemah pada 11.04 pagi.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah berkata keempat-empat mayat itu terdiri daripada satu lelaki dan wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan.

    “Kesemua mayat berkenaan ditemukan dalam satu khemah yang sama di Sektor C pada kedalaman tujuh meter, lengkap berpakaian dan sudah mula mereput.

    “Buat masa ini identiti mereka masih belum dikenal pasti. Jadi, polis tidak dapat mengesahkan sama ada kesemua mayat ini merupakan anggota keluarga atau tidak,” katanya pada sidang media di Pos Kawasan Tempat Kejadian (PKTK) di sini hari ini.

    Kesemua mayat berkenaan telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

    Sementara itu, Suffian berkata sehingga hari ini, polis menerima tiga laporan orang hilang melibatkan mangsa yang belum ditemukan dan mayat yang belum dikenal pasti.

    Beliau berkata mayat lelaki dewasa yang ditemukan pagi semalam iaitu korban ke-26 tragedi merupakan satu daripada yang tersenarai dalam laporan tersebut namun telah dituntut. 

    Menurut Suffian, berbaki tiga lagi mangsa masih hilang, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan walaupun sudah genap seminggu kejadian itu berlaku dengan memfokuskan di sektor A dan C.

    Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata pasukan mencari menemukan petanda awal keberadaan keempat-empat mayat itu pada 10.43 tadi di sektor berkenaan.

    “Khemah tersebut dikesan pada 10.43 pagi bersama-sama barang peribadi yang lain melalui kerja penggalian menggunakan jengkaut sebelum khidmat anjing pengesan K9 digunakan untuk menjejak mangsa dan berjaya menemukan empat mayat dalam khemah yang sama,” katanya.

    Mengenai skop kawasan pencarian yang memasuki hari ketujuh operasi, Wan Md Razali berkata anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Pasukan Gerakan Am ditugaskan seawal 9 pagi untuk membuat pemeriksaan termasuk di sungai berhampiran bagi mengesan jika ada mangsa yang terkeluar dari kawasan runtuhan.

    Tinjauan Bernama di PKTK mendapati beberapa pengamal media diberi peluang melihat sendiri lokasi kejadian selain mengambil gambar dan video manakala kenderaan pasukan terlibat SAR keluar masuk bagi menghantar anggota untuk bertukar shif penugasan serta menghantar makanan. – BERNAMA

  • 4,900 hektar sawah di Pekan musnah ditenggelami banjir

    4,900 hektar sawah di Pekan musnah ditenggelami banjir

    SEKURANG-kurangnya 4,900 hektar sawah di daerah Pekan ditenggelami banjir yang berlaku minggu lalu, menyebabkan kerugian kira-kira RM5 juta.

    Menurut Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan, Muhamad Khalil Idris, enam kawasan skim sawah di Pekan, diusahakan 2,200 pesawah tempatan musnah kerana ditenggelami banjir.

    Katanya, ia membabitkan Skim Serandu, Skim Mambang, Skim Pulau Tambun, Skim Ganchong, Skim Pahang Tua dan Skim Merchong, yang mengusahakan tanaman padi dua kali setahun.

    Beliau berkata, hujan berterusan sejak November lalu hingga kini menyebabkan banjir berlaku di kawasan terbabit hingga mencapai setinggi kira-kira satu meter.

    “IADA Pekan dan Jabatan Pertanian Pahang kini berusaha mengumpulkan maklumat terkini, selain melakukan penilaian kerosakan sebenar tanaman padi di kawasan sawah yang banjir telah surut.

    “Kita juga memantau secara berterusan kawasan yang masih ditenggelami air. Maklumat disalurkan secara berkala kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk tindakan susulan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Muhamad Khalil berkata, banjir yang berlaku kali ini menyebabkan ramai pesawah tidak sempat menuai padi yang sudah matang dan padi rosak selepas tiga hari ditenggelami air.

    Beliau berkata, pesawah menukar jadual menanam padi musim kedua kali ini dengan mengawalkannya bagi mengelak kejadian banjir, namun musim hujan bermula awal iaitu bulan lalu berbanding kebiasaannya pada Disember.

    Katanya, pesawah yang terbabit dengan kejadian itu berpeluang menerima bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP).

    “TBTP yang disediakan kerajaan bukan ganti rugi, sebaliknya wang ehsan bagi menampung beban kerugian yang ditanggung pesawah terbabit,” katanya.

    Tahun lalu, seramai 1,203 pesawah di daerah ini menerima TBTP berjumlah RM3.21 juta.

  • Banjir: Kedah sumbang RM200,000 kepada Kelantan, Terengganu

    Banjir: Kedah sumbang RM200,000 kepada Kelantan, Terengganu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PRIHATIN dengan bencana dihadapi Kelantan dan Terengganu, kerajaan negeri Kedah memutuskan untuk memberikan sumbangan berjumlah RM200,000 bagi membantu meringankan beban dihadapi kedua-dua negeri itu.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keputusan untuk memberikan sumbangan itu dibuat menerusi mesyuarat Exco dipengerusikannya semalam.

    Katanya, kedua-dua negeri itu masing-masing akan menerima RM100,000 sumbangan kerajaan negeri Kedah.

    “Selain itu sebanyak empat kontena berisi 24,000 beg beras serta bahan makanan asas akan dihantar ke kedua-dua negeri tersebut.

    “Beras serta bahan makanan asas itu adalah sumbangan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK)” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, penghantaran sumbangan makanan tersebut akan dibuat sebaik keadaan mengizinkan.

    Ratusan ribu rakyat di Terengganu dan Kelantan dilaporkan terjejas akibat banjir yang berlaku baru-baru ini.