Category: Semasa

  • Jalan Batang Kali-Genting diperbesarkan, dibuka semula bulan hadapan

    Jalan Batang Kali-Genting diperbesarkan, dibuka semula bulan hadapan

    JALAN Batang Kali-Genting yang ditutup akibat bencana tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor akan diperbesarkan dan dibuka semula pada awal atau pertengahan bulan hadapan.

    Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata perkara tersebut ialah hasil perjumpaannya dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, semalam.

    Beliau berkata pembukaan jalan tersebut dijangka mampu membantu seramai 4,000 hingga 5,000 penduduk di Batang Kali, Hulu Selangor, bagi berulang-alik terutamanya bagi mereka yang bekerja di Genting Highlands, Pahang.

    “Kita akan besarkan kawasan di sebelah kiri atau kanan Jalan Batang Kali-Genting Highland, untuk membenarkan penduduk di Batang Kali menggunakan jalan tersebut, tapi ia untuk kenderaan ringan sahaja yang boleh melaluinya.

    “Kawasan itu telah ditambak dengan batu dan dipadatkan, kita juga akan aturkan pasukan keselamatan untuk mengawal laluan tersebut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di tapak Stadium Shah Alam di sini hari ini.

    Dalam perkembangan lain, Amirudin turut memaklumkan kerajaan Selangor tidak akan menganjurkan sebarang majlis sambutan ambang tahun baharu 2023, bagi menghormati mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor.

    Bagaimanapun beliau tidak menghalang pihak-pihak lain seperti syarikat swasta atau kelab penduduk, untuk mengadakan majlis berkenaan, tapi ia perlu dibuat dalam kadar sederhana.

    “Mungkin tahun ini kita boleh teruskan dengan program solat hajat, seperti yang dibuat pada tahun lalu dan untuk itu, saya sedang merujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan lain-lain.

    “Saya juga akan hadir ke program tersebut, tapi bukan ke program berbentuk hiburan dan sebagainya,” katanya.

    Mengenai inisiatif RiDE, beliau berkata sebanyak RM2 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi inisiatif tersebut, dengan memanfaatkan seramai 3,000 orang penghantar makanan yang menerima wang tunai sebanyak RM500 dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM50. – BERNAMA

  • Dua remaja maut motosikal rempuh lori rosak di lorong kecemasan

    Dua remaja maut motosikal rempuh lori rosak di lorong kecemasan

    DUA remaja lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah lori rosak yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 279.6 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di Nilai malam tadi.

    Ketua Polis Negeri Sembilan DCP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata dalam kejadian 11.30 malam itu, penunggang dan pembonceng berusia 18 tahun terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

    “Insiden berlaku apabila tayar kanan bahagian belakang lori yang dipandu lelaki berusia awal 60-an dari Senawang menuju ke Puchong, Selangor, pecah di lokasi kejadian dan lori itu kemudian diparkir di lorong kecemasan dengan memasang tanda amaran segi tiga. 

    “Ketika berada di lorong tersebut, penunggang motosikal didakwa tidak sempat mengelak dan secara tiba-tiba merempuh bahagian kanan lori itu. Siasatan lanjut masih dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai Insp Siti Syarah di talian 014-5144741 bagi membantu siasatan. – BERNAMA

  • Tun M dedah belum mahu bersara politik, ‘duduk di masjid’

    Tun M dedah belum mahu bersara politik, ‘duduk di masjid’

    BIARPUN tidak lagi menjadi Ahli Dewan Rakyat, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan beliau tidak mempunyai perancangan bersara dan ‘duduk di masjid’ selepas tewas di kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Meskipun usianya bakal mencecah 97 tahun pertengahan 2023, bekas Perdana Menteri itu tetap mahu meneruskan perjuangannya yang disifatkannya masih belum selesai, terutama bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu bangsa Melayu.

    Dr Mahathir melihat masalah membabitkan orang Melayu terlalu dekat di hatinya dan percaya usaha menyelesaikannya adalah jauh lebih penting berbanding kepentingan dirinya, termasuk atas alasan ‘duduk di masjid untuk mengejar akhirat’.

    “Saya nak bersara daripada politik. Sebenarnya pada 2002, saya syorkan saya letak jawatan (Perdana Menteri), saya nak bersaralah. Tapi apabila saya bersara, terdapat banyak perkara berlaku yang tidak disenangi oleh orang ramai. Mereka bertanya kepada saya, sama ada saya boleh tolong atau tidak.

    “Dengan pengalaman 22 tahun sebagai Perdana Menteri, saya faham tentang masalah dan cara-cara mengatasi masalah.

    “Kalau orang tanya, boleh ke tak tolong, tapi saya kata ‘sorrylah, saya nak rehat, saya nak balik ke madrasah, nak sembahyang untuk akhirat’, nampak saya utamakan diri saya lebih daripada bangsa saya,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Berita Harian di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, baru-baru ini.

    Beliau ditanya sama ada dirinya masih relevan dalam politik negara selepas kalah teruk dan hilang deposit dalam PRU15 atau tiba masa untuk bersara sepenuhnya daripada politik dan ‘duduk di masjid’.

    Dalam PRU15, Dr Mahathir yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi dimenanginya pada PRU14.

    Bekas Perdana Menteri hanya memperoleh 4,566 undi, sekali gus kalah kepada calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Suhaimi Abdullah yang menang dengan majoriti 13,518 undi.

    Mengulas lanjut, Dr Mahathir memberi bayangan akan terus aktif dalam politik, terutama selagi khidmatnya masih diperlukan untuk membantu orang Melayu.

    “Saya selalunya memandang masalah bangsa saya itu adalah perkara utama dalam kehidupan saya. Jadi saya tak boleh utamakan diri saya sedangkan bangsa saya mungkin menghadapi masalah.

    “Kalau saya ada cara untuk mengatasi, tak baiklah kalau saya lebih utamakan kepentingan diri saya,” katanya.

  • Tanah runtuh: Anggota APM pengsan sewaktu bertugas

    Tanah runtuh: Anggota APM pengsan sewaktu bertugas

    SEORANG anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di Batang Kali, pengsan dipercayai akibat keletihan melampau.

    Jurucakap APM Selangor berkata Muhammad Faiq Haikhal Mohd Jeffrey dari cawangan Sabak Bernam pengsan kira-kira 1 tengah hari tadi dipercayai akibat cuaca panas terik, selain berkemungkinan dehidrasi kesan kurang minum air kerana terlalu fokus kepada pencarian mangsa.

    “Beliau memulakan tugasnya hari ini pada 7.30 pagi tadi dan telah terlibat dalam operasi SAR tersebut secara bergilir mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

    Menurutnya anggota APM berkenaan telah dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut.

    Setakat hari ini, tragedi runtuhan yang berlaku pada awal pagi 16 Dis lepas telah meragut 30 nyawa, manakala 61 selamat dengan berbaki seorang lagi masih hilang iaitu kanak-kanak lelaki.

    Seramai 92 mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan. – BERNAMA

  • 10 jam naik motosikal ke Gua Musang dapatkan bekalan makanan

    10 jam naik motosikal ke Gua Musang dapatkan bekalan makanan

    KEHABISAN bekalan makanan sejak seminggu lepas mendorong 15 Orang Asli dari Pos Balar mengangkut 13 motosikal menyeberangi Sungai Inching untuk keluar dari kawasan penempatan mereka menuju ke bandar Gua Musang, di Gua Musang, semalam.

    Orang Asli suku kaum Temiar itu terpaksa menggunakan laluan sungai berikutan jalan balak yang menjadi laluan utama mereka rosak akibat cuaca hujan yang berterusan sejak berminggu-minggu, malah terpaksa menempuh perjalanan kira-kira 10 jam untuk sampai ke pusat bandar.

    Penduduk Kampung Tidog, Pos Balar Abu Alang, 41, berkata mereka hanya menjadikan ubi kayu dan sayur-sayuran yang ditanam sendiri sebagai menu harian sejak seminggu yang lepas sebelum memutuskan untuk keluar membeli bekalan makanan kering di bandar.

    “Kami tiada pilihan lain selain terpaksa merentasi jalan sungai kerana sudah kehabisan makanan.

    “Biasanya jika tiada makanan di rumah boleh juga pinjam dahulu (makanan) daripada jiran-jiran, tetapi kali ini mereka juga turut kehabisan bekalan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini. 

    Sari Din, 25, berkata kebiasaannya lima jam diperlukan jika menggunakan jalan balak untuk ke Gua Musang, bagaimanapun perjalanan meredah sungai bersama motosikal menyebabkan mereka mengambil masa hingga 10 jam untuk sampai ke bandar itu. 

    “Kami keluar beramai-ramai untuk memudahkan kerja-kerja mengusung atau menolak motosikal yang tersangkut dalam lumpur dan sama-sama mengangkut motor melepasi Sungai Inching.

    “Kami hanya mampu tawakal kerana tidak tahu paras air sungai itu jadi kami bertolak dari rumah seawal 7 pagi dan sampai ke bandar 5 petang, disebabkan itu kami terpaksa bermalam di rumah tumpangan di bandar Gua Musang sebelum bertolak balik pagi ini,” katanya. 

    Tambah Sari, setiap tahun menjelang musim hujan masyarakat Orang Asli tiada pilihan lain selain menghadapi cabaran jalan rosak dan meredah sungai kerana hanya itu jalan perhubungan yang mereka ada sejak tinggal di perkampungan itu. – BERNAMA 

  • Wanita hamil cuba samun kedai emas ditahan polis

    Wanita hamil cuba samun kedai emas ditahan polis

    POLIS menahan seorang wanita hamil enam bulan selepas disyaki terbabit dalam cubaan samun di sebuah kedai emas, di Ayer Keroh, Melaka Selasa lalu.

    Suspek yang juga Eksekutif Sumber Manusia sebuah syarikat swasta itu ditahan polis di Kampung Kuala Linggi, kira-kira pukul 5 petang, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata siasatan awal mendapati suspek berusia 35 tahun itu mendakwa dia berbuat demikian kerana ingin mencuba sesuatu yang ekstrem.

    “Semakan dilakukan juga mendapati dia sudah berkahwin dan mempunyai anak serta kini, hamil enam bulan.

    “Turut dirampas bersama suspek adalah sebilah pisau berukuran kira-kira 13 sentimeter (sm), yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata, suspek kini direman selama empat hari sehingga 27 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 393/397 Kanun Keseksaan iaitu cubaan merompak menggunakan senjata.

    Terdahulu, tular satu video pendek, yang memaparkan seorang wanita berjubah hitam dan memakai pelitup muka mengacukan sebilah pisau kepada seorang pekerja kedai emas.

    Dia kemudian meminta pekerja terbabit memasukkan barang kemas ke dalam beg galas yang dibawanya, namun tindakan itu tidak berjaya apabila seorang lagi pekerja kedai emas itu menyedari kejadian berkenaan.

  • Inflasi: Pasaran tak rasional – Ahli Parlimen bidas Rafizi

    Inflasi: Pasaran tak rasional – Ahli Parlimen bidas Rafizi

    AHLI Parlimen Bachok Syahir Sulaiman menggesa Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menangani ketidakseimbangan dan gangguan pasaran dalam usaha kerajaan menangani inflasi.

    Ia susulan kenyataan Rafizi semalam bahawa usaha untuk menangani inflasi perlu melibatkan semua pihak, termasuk peniaga dan juga pengguna.

    Kata menteri ekonomi itu, pengguna turut menjadi sebab harga makanan terus meningkat di negara ini apabila orang ramai terus membeli dan membayar pada harga lebih tinggi yang dikenakan peniaga.

    Bagaimanapun, Syahir hari ini berkata konsep “penawaran dan permintaan” hanya terpakai kepada pasaran rasional.

    “Namun YB Rafizi pasti tahu pasaran hari ini tidak rasional, banyak gangguan, banyak kejutan, banyak ketidakseimbangan.

    “Justeru sebagai menteri, jawapan yang lebih rasional ialah nyatakan langkah bersepadu di pihak kerajaan untuk tangani segala gangguan dan ketidakseimbangan dalam pasaran.

    “Pertama, apakah pendirian kerajaan terhadap monopoli, kartel dan kuota? Apakah langkah kerajaan terhadap pembekal yang menyorokkan stok bekalan?

    “Apakah langkah awal kerajaan untuk tangani kekurangan bekalan akibat musim hujan ataupun kemarau,” soalnya pada satu kenyataan, lapor Malaysiakini.

    Syahir juga menyoal apakah langkah awal kerajaan untuk menangani kekurangan bekalan seperti ayam, telur, tepung, gula, minyak masak akibat peningkatan mendadak permintaan pada musim perayaan, sama ada Tahun Baru Cina mahupun Hari Raya Aidilfitri.

    Semalam, Rafizi berkata jika pengguna tidak membeli atau menggunakan barangan yang mengalami kenaikan harga secara tidak wajar, peniaga dan pembekal akan merasakan mereka tidak patut menaikkan harga secara sewenang-wenangnya.

    Menurut menteri itu, data dimilikinya menunjukkan faktor utama berkaitan kenaikan harga adalah ketidakanjalan dalam aspek permintaan.

    Sesuatu produk dianggap “tidak anjal” oleh ahli ekonomi apabila walaupun mengalami kenaikan harga, pengguna tetap membelinya pada jumlah yang sama.

    Keanjalan ialah ukuran ekonomi tentang betapa sensitifnya satu faktor ekonomi apabila sepadan dengan perubahan dalam faktor lain.

    Dengan kadar inflasi empat peratus bagi November, harga makanan dan minuman bukan alkohol tetap menunjukkan trend peningkatan, kekal melebihi kadar tujuh peratus dan mengalami peningkatan dalam indeks harga pengguna.

  • Ia beg pemberian kami, bukan mewah sampai RM26,000 – anak MB Kelantan

    Ia beg pemberian kami, bukan mewah sampai RM26,000 – anak MB Kelantan

    TIDAK ada sebarang beg mewah digunakan isteri menteri besar Kelantan semasa menyambut kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negeri itu baru-baru ini.

    Anak menteri besar, Azma Ahmad menjelaskan, beg yang digunakan ibunya Siti Zabidah Abd Hamid pada hari berkenaan adalah hadiah daripada adik-beradiknya.

    Azma berkata, beg berkenaan diberikan kepada Siti Zabidah yang dipanggilnya sebagai umi sempena Hari Ibu pada tahun ini.

    “X dok modal sungguh waso ore pon nak fitnah2 (Tak ada modal sungguhlah orang pun nak fitnah),” katanya melalui hantaran di media sosial, lapor Malaysiakini.

    Azma dalam pada itu berkata, ibunya jika ada wang bernilai RM26,000 adalah lebih baik ia digunakan untuk membeli emas berbanding membeli beg tangan.

    Sejak semalam tular gambar gambar Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob dan isterinya menyambut kedatangan Anwar bagi melihat keadaan banjir yan melanda negeri tersebut.

    Turut hadir, isteri Anwar yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Wan Azizah Wan Ismail.

    Netizen kemudian mendakwa beg tangan digunakan Siti Zabidah adalah produk jenama mewah terkenal dan dianggarkan bernilai lebih RM26,000.

    Sesetengah pihak turut membandingkan beg tangan Siti Zabidah dengan apa yang selalu digunakan Wan Azizah.

    Sementara itu Unit Komunikasi Menteri Besar (UKMB) Kelantan pula berkata, fitnah tersebut sengaja dibuat bagi “menjatuhkan imej dan peribadi pemimpin kerajaan negeri.”

    Kata agensi itu dakwaan tersebut dibuat tanpa usul periksa dan tidak disertakan dengan bukti.

    “Hakikat sebenar adalah beg tangan tersebut sekadar berharga sekitar RM300, bukannya mewah sehingga berharga RM 26,000 seperti didakwa,” katanya.

    Menurut UKMB Kelantan dalam keadaan negeri dilanda banjir dan kerajaan bertungkus-lumus menguruskannya,masih ada pihak mengambil pendekatan fitnah bagi mengundang keresahan awam.

    “Rakyat tidak sepatutnya disajikan dengan bahan fitnah dan persepsi jahat bagi tujuan character assasination (pembunuhan karakter) yang berniat jahat untuk menjejaskan kredibiliti dan integriti kepimpinan kerajaan negeri,” katanya.

  • Terdesak buat laporan palsu kena rompak rupanya…

    Terdesak buat laporan palsu kena rompak rupanya…

    SEORANG penuntut kolej terdesak membuat laporan polis palsu mendakwa dia dirompak tiga lelaki bersenjata selepas wang diberikan keluarga disalah guna sehingga tidak dapat membayar hutang rakannya.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, perbuatan lelaki berusia 19 tahun itu terbongkar selepas Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya melakukan siasatan.

    Menurutnya, lelaki itu membuat laporan mendakwa dirompak tiga lelaki bersenjata sehingga kerugian RM10,300 pada 9.46 malam.

    “Hasil soal siasat dijalankan mendapati laporan mengenai kejadian rompak yang dibuat suspek adalah palsu dan kejadian yang dilaporkan juga tidak berlaku.

    “Siasatan mendapati punca suspek membuat laporan palsu kerana menyalahgunakan wang simpanan yang diberi oleh keluarga dan tidak dapat membayar wang dipinjam daripada rakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohamad Fakhrudin berkata, polis sudah merakam keterangan suspek untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan, sementara menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan bagi pertuduhan di mahkamah.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu kerana boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

  • Annuar tak tubuh parti baharu, pilih parti sedia ada

    Annuar tak tubuh parti baharu, pilih parti sedia ada

    PRESIDEN Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa memaklumkan beliau akan menyertai satu daripada tiga parti yang membuat tawaran kepada beliau sebelum ini.

    Bekas Setiausaha Agung UMNO itu berkata, beliau juga tidak akan menubuhkan parti baharu kerana bimbang semakin banyak perpecahan dalam kalangan rakyat terutama orang Melayu.

    Beliau berkata, pilihannya ialah sebuah parti yang menyatu padukan umat Islam, jujur dan tiada penyalahgunaan kuasa.

    “Tidak dinafikan kemungkinan saya akan menyertai salah satu parti politik yang bertepatan dengan jiwa perjuangan saya.

    “Sudah pasti parti itu boleh menjadi payung kepada rakyat dan tidak meminggirkan hak-hak bukan Islam,” katanya kepada pemberita di Ketereh, lapor Sinar Harian.

    Bagaimanapun kata Annuar, buat masa ini beliau mahu menumpukan perhatian untuk menjadikan MN sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkredibiliti, berwibawa dan dihormati.

    BERITA LANJUT MENYUSUL