Category: Semasa

  • Bersatu dakwa kerajaan Selangor guna isu PJD Link sebagai modal kempen PRN

    Bersatu dakwa kerajaan Selangor guna isu PJD Link sebagai modal kempen PRN

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa kerajaan menggunakan projek Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) sebagai modal kempen bagi pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

    Timbalan Ketua Biro Undang-undang dan Perlembagaan Bersatu, Sasha Lyna Abdul Latif mempersoalkan sama ada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memanipulasi sentimen pengundi Petaling Jaya.

    “Ini berlaku selepas Amirudin mencadangkan PJD Link boleh dihidupkan semula jika ‘syarat’ tertentu dipenuhi, walaupun sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan negeri telah memutuskan untuk membatalkan projek itu.

    “Adakah beliau mempermainkan hati dan fikiran pengundi Petaling Jaya atau kempen tidak berprinsip ini diamalkan oleh Pakatan Harapan (PH) dan BN,” soal Sasha dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau juga mempersoalkan mengapa Amirudin membatalkan projek itu semasa tempoh berkempen dan bukannya pada masa lain, merujuk kepada dakwaan cubaan mempengaruhi pengundi semasa kempen pilihan raya yang sedang berlangsung.

    “Penduduk Petaling Jaya telah memberi tempoh seminggu kepada kerajaan Selangor dari hari ini untuk berkongsi ‘syarat’ seperti yang disebut oleh Amirudin,” katanya.

    Mereka katanya, berhujah bahawa kegagalan untuk berbuat demikian akan menunjukkan bahawa kerajaan Persekutuan dan negeri tidak menunjukkan komitmen serius untuk menolak projek lebuh raya masa depan di Petaling Jaya seperti PJD Link dan Lebuhraya Kinrara-Damansara.

    Projek kontroversi PJD Link telah menjadi subjek kemarahan orang ramai selama beberapa tahun, dengan penduduk malah membawa pihak berkuasa ke mahkamah atas dakwaan keengganan untuk menyerahkan dokumen projek.

    Projek cadangan PJD Link sejauh 25.4 kilometer adalah untuk menghubungkan lebuh raya Sprint di Damansara ke lebuh raya Bukit Jalil di Bandar Kinrara.

    Sementara itu, Sasha meneruskan dakwaan ‘manipulasi’ dengan menyorot kepada kenyataan kontroversi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

    Minggu lalu, Zahid dikecam kerana menggesa orang ramai mengundi ‘gelombang biru dan merah’ sambil mengumumkan peruntukan yang disediakan kementeriannya.

    Susulan itu, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Abdul Rahman menuduh Zahid menormalisasikan rasuah.

    “Ini adalah salah guna pilihan raya yang sering dikeluhkan oleh PH dan Bersih.

    “Kini PH dan BN melakukan penyelewengan yang sama. Kami (Bersatu) menggesa mereka untuk menghentikan jenis kempen murahan dan tidak adil ini dan bertanding secara adil dalam pilihan raya ini,” kata Sasha, lapor Malaysiakini.

  • Sasar sapu bersih kerusi DUN Terengganu, Pas tak sombong

    Sasar sapu bersih kerusi DUN Terengganu, Pas tak sombong

    PAS menafikan bersikap sombong apabila mensasarkan untuk menyapu bersih 32 kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) Terengganu pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

    Calon Pas bagi DUN Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim menjelaskan, sasaran tersebut dibuat bersandarkan bacaan kemenangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

    “Berdasarkan keputusan Parlimen itu Barisan Nasional (BN) hanya berjaya mempertahankan DUN Telemung di Hulu Terengganu.

    “Pas mensasarkan (menang PRN) 32-0 bukan sombong atau sengaja hendak letak jumlah itu (sapu bersih).

    “Kita tetap sandarkan kepada kuasa Allah SWT dalam soal kemenangan. Kita tidak boleh melangkaui kehendak dan kemahuan Allah SWT.

    “(Kita sasar) 32-0 ini kerana unjuran yang diperoleh daripada majoriti setiap kawasan DUN semasa PRU15 tempoh hari,” katanya ketika Ceramah Pengenalan Calon DUN Pas di Parlimen Kuala Nerusi di Batu Enam di Kuala Nerus malam tadi.

    Katanya, dalam mencapai hasrat untuk menyapu bersih semua kerusi berkenaan, semangat perpaduan dalam kalangan jentera sangat penting.

    Hishamuddin berkata, dalam tempoh penting itu, jentera parti tidak boleh berpecah atau berbalah sesama sendiri.

    “Kalau kita hendak menang 32-0, kita kena kerja kuat dan yang penting jangan bergaduh,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Pada PRU14 lalu, kerusi DUN Tepuh dimenangi Hishamuddin, dengan memperoleh 10,728 undi menewaskan pesaingnya dari BN, Datuk Basir Ismail yang mendapat 8,065 undi sementara calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Wan Hafizie hilang deposit dengan mendapat 1,002 undi.

  • Muqharabbin umum sertai PN, tinggalkan UMNO

    Muqharabbin umum sertai PN, tinggalkan UMNO

    BEKAS Exco Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin mengumumkan menyertai Perikatan Nasional (PN) hari ini sekali gus keluar daripada UMNO.

    Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah merasakan perjuangannya berhubung prinsip ‘No DAP’ dan ‘No Anwar’ setelah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hanya sia-sia.

    “Apa guna mesyuarat tiap-tiap bulan akhirnya ditipu hidup-hidup dan diperbodohkan.

    “Saya lebih percaya kepada kekuatan Muafakat Nasional (MN) yang sewajarnya menerajui negara tetapi apakan daya, segelintir pemimpin UMNO telah merosakkan segala usaha yang dibina.

    “Saya memilih masuk PN hari ini selepas hari penamaan calon agar rakyat tahu, saya bukanlah mengejar jawatan dan calon sebaliknya ingin memperkukuhkan penyatuan bangsa Melayu,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.

    Bekas Ketua Pemuda Lembah Pantai itu berkata, meskipun tidak lagi bersama UMNO, parti itu akan sentiasa dihormati dan sayangi.

    Beliau mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua dalam UMNO yang pernah bersama-sama berjuang.

    “Ini kerana ia adalah pengalaman dan kenangan kita yang tidak dapat dijual beli dengan wang ringgit.

    “Lagi-lagi ketika kita kali pertama menjadi pembangkang. Habis semua kita bergadai bersama bersengkang mata membawa parti kembali bernyawa.

    “Saya masih ada kawan-kawan dalam UMNO yang hebat dan baik dan mereka tetap sahabat saya. Mana tahu esok lusa PN dan BN kembali bergabung kan,” ujarnya.

    Katanya lagi, tindakan keluar daripada UMNO dibuat dengan cara baik bukannya keluar Islam.

    “Jadi saya pesan, jadilah orang yang memperjuangkan Islam dan orang Melayu yang beradab dan bermaruah,” katanya, lapor Sinar Hariaan.

    Beliau juga menggesa kerajaan menunaikan janji kepada pengundi dan rakyat kerana apa yang terjadi kini adalah sebaliknya.

    “Yang baik saya sokong yang tidak betul saya perlu suarakan asalkan rakyat mendapat manfaat.

    “Kos sara hidup meningkat, ekonomi merudum, ringgit jatuh teruk, minyak tak turun-turun, gaji tidak naik, elektrik naik, OPR (Kadar Dasar Semalaman) bank mencanak, harga barang tidak mampu dikawal, akhirnya rakyat jadi mangsa,” katanya.

  • Ada pihak cuba tembak ‘peluru kapur’ – Pas Kelantan

    Ada pihak cuba tembak ‘peluru kapur’ – Pas Kelantan

    PAS Kelantan mendakwa ada pihak yang ‘menembak peluru kapur’ dengan membuat pelbagai andaian dan tuduhan untuk memburukkan imej pimpinan Perikatan Nasional (PN).

    Setiausaha Badan Perhubungan PN negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, perkara itu dilakukan musuh dalam cubaan untuk melaga-lagakan pemimpin gabungan tersebut di Kelantan yang sebenarnya direka.

    “Ada pihak yang cuba ‘menembak peluru kapur’ untuk memburukkan imej PN dengan melaga-lagakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar negeri itu, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

    “Sebenarnya tak ada pun dan macam mana mereka boleh masuk dalam ‘rumah tangga’ orang lain. Ini suatu yang kita tidak akan lakukan iaitu menggunakan isu-isu peribadi untuk menggugat lawan,” katanya

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar harian PN sempena PRN di Pejabat Perhubungan Pas Negeri Kelantan, di Kota Bharu hari ini.

    Wan Roslan yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan berkata, PN mengambil pendekatan kempen bersifat harmoni melalui penerangan mendalam berkaitan program-program yang ditawarkan kepada pengundi ataupun rakyat keseluruhannya.

    Kata beliau, PN berada dalam kedudukan yang sangat baik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

    “PN berada di kedudukan sangat baik untuk menambat hati pengundi agar pertahankan kerajaan Pas di Kelantan. Alhamdulillah tawaran program PN Kelantan mendapat sambutan yang begitu baik daripada pengundi termasuk yang di luar Kelantan atau di perantauan.

    “Tawaran itu mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk profesional dan pakar-pakar. Saya ingin tegaskan, PN mengambil pendekatan kempen yang harmoni, tidak menakutkan provokasi atau berbau fitnah,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • PRN: ‘Zahid umum peruntukan, itu sudah terang lagi bersuluh’ – Timbalan Presiden MUDA

    PRN: ‘Zahid umum peruntukan, itu sudah terang lagi bersuluh’ – Timbalan Presiden MUDA

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tegas dengan pendirian bahawa kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Terengganu baru-baru ini mempunyai unsur sogokan.

    Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd. Aziz berkata, pendirian itu kekal walaupun Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata pemberian geran bernilai RM350,000 oleh Kerajaan Persekutuan kepada belia Terengganu itu tidak menyalahi undang-undang atau berunsur rasuah.

    Tegas Amira Aisya, MUDA berulang kali menggesa agar SPRM bebas daripada campur tangan politik.

    “Saya rasa itu bukan sekadar pendirian MUDA, itu memang terang lagi bersuluh sebab kalau sekadar memberikan peruntukan, kita faham sebab mereka masih Kerajaan Perpaduan.

    “Tetapi bila mereka beri peruntukan itu disambung dengan ayat seterusnya, ‘asalkan orang muda menyokong gelombang biru dan merah’, itu jelas bentuk sogokan pada pilihan raya akan datang.

    “Sebab itu untuk MUDA, kita banyak kali sebut SPRM perlu bersih daripada sebarang campur tangan politik,” ujar beliau.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu berkata demikian kepada Astro Awani ketika ditemui semasa kempen bersama calon MUDA Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah, Lisa Redzuan, di Ampang.

    Jelas Amira Aisya, MUDA sentiasa lantang dan mahu memastikan lantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah bebas daripada Pejabat Perdana Menteri, dibahas serta ditentukan di Parlimen.

    “Sebab itu bila Azam dilantik semula, saya memang tak setuju dan mengecam sekeras-kerasnya. Sebab kita tahu sebelum ini sewaktu Perikatan Nasional (PN) mentadbir, kita turun ke lapangan dan ke jalanan untuk menentang Azam kerana kes rasuah pada waktu itu, besar dan hangat diperkatakan.

    “Pada waktu itu bukan MUDA sahaja turun, saya ingat antara orang yang bercakap dan berucap pada waktu itu ialah sahabat saya, Adam Adli (Timbalan Menteri Belia dan Sukan). Tetapi dia sekarang merupakan Ketua Pemuda PKR dan tidak menyebut apa-apa tentang perkara ini,” ujarnya.

    Dalam masa sama, Beliau berkata, MUDA boleh memahami ‘marriage of convenience’ tetapi ia tidak bermakna semua pihak melupakan prinsip yang diperjuangkan.

    Sebelum ini, Ahmad Zahid mengumumkan pemberian geran RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan RM250,000 Majlis Belia Malaysia (MBM) Terengganu.

    Selain sumbangan kepada gabungan belia Ketengah dan MBM Terengganu, Zahid juga mengumumkan bantuan RM200,000 kepada kelab bermotosikal di negeri itu.

    Pada majlis itu, Zahid dilaporkan berkata: “Untuk Majlis Belia Negeri Terengganu saya luluskan RM250,000. Untuk pasukan bermotosikal seluruh negeri Terengganu saya berikan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk seluruh motosikal di negeri Terengganu.

    “Itu baru saya, lepas ini PM (Perdana Menteri) naik dia akan top up (tambah), akan tambah, asalkan pada 12 Ogos nanti, para belia mengikut gelombang biru dan gelombang merah yang ada di negeri Terengganu, boleh?”.

    Susulan itu, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilapor mendakwa Ahmad Zahid cuba ‘menormalisasikan’ rasuah.

  • MIC tak senang dengan kedudukannya dalam BN, kata Vigneswaran

    MIC tak senang dengan kedudukannya dalam BN, kata Vigneswaran

    PRESIDEN MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran mendedahkan, parti itu tidak senang dengan kedudukannya sebagai parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) sejak beberapa bulan lalu.

    Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya mempertimbangkan satu jawatan menteri dalam Kabinetnya kepada MIC atau MCA.

    Beliau turut menyuarakan rasa tidak puas hati dengan rundingan pengagihan kerusi bagi pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos, dengan mendakwa UMNO ‘berebut kerusi’.

    Berita lanjut menyusul

  • Pemimpin Bersatu nafi wujud calon ‘kem Azmin’

    Pemimpin Bersatu nafi wujud calon ‘kem Azmin’

    CALON Perikatan Nasional (PN) Taman Medan, Afif Bahardin menafikan dakwaan seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malasyia (Bersatu) bahawa majoriti 31 calon parti itu yang bertanding pada PRN Selangor adalah dari ‘kem Azmin Ali’.

    Afif yang mewakili Bersatu berkata, semua calon yang bertanding atas tiket PN melalui proses tapisan ketat dan dipersetujui pucuk pimpinan peringkat Pusat.

    “Kami semua mewakili PN, bukan mewakili mana-mana kem,” kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya itu pada sidang media.

    FMT semalam melaporkan seorang pemimpin bahagian Bersatu mendedahkan majoriti calon parti itu datang daripada ‘kem Azmin’.

    Pendedahan itu menyusul selepas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr. Faiz Na’aman menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan cara parti itu memilih calon untuk PRN Selangor.

    Faiz turut mempersoalkan mengapa parti itu mengambil risiko dengan memilih semula calon yang tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu.

    Ini termasuklah Azmin yang bertanding di Hulu Kelang, Datuk Seri Rina Harun (Batu Tiga), Sasha Lyna Abdul Latif (Bukit Antarabangsa) dan ‘Afif yang semua disifatkan beliau sebagai ‘lemah’ kerana ditolak oleh rakyat.

    Pada PRU15, Afif bertanding di Parlimen Shah Alam namun tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH) Azli Yusof.

    Afif berkata, beliau menghormati pandangan Faiz namun meminta rakannya itu tidak mengeruhkan lagi keadaan, sebaliknya menjemput pemimpin berkenaan membantu beliau berkempen di Taman Medan.

    “Saya mahu fokus Taman Medan, hanya tinggal 11 hari saja lagi (tempoh kempen). Faiz seorang sahabat yang baik, saya gembira kalau dia bantu saya (berkempen) di Taman Medan,” katanya, lapor FMT.

    PN bertanding di semua 56 kerusi DUN di Selangor, dengan Bersatu diberikan kerusi paling banyak iaitu 31, diikuti Pas (17) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (lapan).

  • Perlembagaan benarkan pelbagai kaedah tukar kerajaan

    Perlembagaan benarkan pelbagai kaedah tukar kerajaan

    KETUA Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari berkata, tidak mustahil kerajaan di peringkat Persekutuan bertukar selepas pilihan raya negeri (PRN) diadakan di enam negeri.

    Katanya, perkara tersebut tidak mustahil boleh berlaku dan perlembagaan negara membenarkannya melalui pelbagai kaedah.

    Mengulas mengenai wujudnya gelombang sokongan kepada PN di Selangor, beliau berkata, dapat dirasai suasana di Selangor kini sama seperti berlaku di Perlis dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu.

    “Di Kelantan kita tak nampak sangat, sebab mungkin pengundi Pakatan Harapan (PH) tak ada dan kurang di Kelantan. Tetapi kalau kita ke Selangor, suasana yang sangat mengejutkan, sokongan kepada kita betul-betul mantap.

    “Tengok bagaimana gelombang datang kepada kita, penyokong-penyokong UMNO tutup bilik gerakan, tutup cawangan masing-masing. Di Perlis kalau kita pergi (ketika itu) kita dapat rasai akan ada kerajaan baru, alhamdulillah betul-betul bertukar kerajaan Perlis.

    “Pengundi PH (Selangor) walaupun mereka tak tunjuk secara zahir tetapi kita juga mendapat maklumat bahawa sebahagian daripada mereka mungkin tidak akan turun mengundi pada 12 Ogos nanti.

    “Sebab itu kita lihat suasana di Selangor hari ini seperti mana suasana di Perlis semasa hadapi PRU lepas,” katanya ketika berucap di program ceramah isu-isu semasa sempena PRN di Kok Lanas, Kota Bharu, malam tadi.

    Turut hadir Setiausaha Agung PN, Datuk Sedri Hamzah Zainudin, bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, calon PN bagi DUN Kok Lanas, Mohamed Farid Zawawi dan calon PN DUN Kadok, Azami Mohd. Nor.

    Sementara itu Ahmad Fadhli menambah, berdasarkan suasana di Selangor, sukar untuk dijangka adakah sokongan benar-benar akan berpihak kepada PN.

    Namun, katanya, jika itu berlaku bukan saja rakyat Selangor akan mendapat menteri besar baru daripada PN sebaliknya tidak mustahil perdana menteri baru daripada gabungan itu juga akan mengangkat sumpah.

    “Sekarang di Selangor pun lebih kurang (Perlis) suasananya, cuma disebabkan Selangor ini negerinya besar kita tak boleh nak jangka. Tapi jangan kita terkejut dalam PRN nanti Insya-Allah menteri besar baru akan angkat sumpah di Selangor ialah daripada PN.

    “Dan tak mustahil tiba-tiba dalam masa yang sama perdana menteri yang baru akan angkat sumpah, ada yang kata nak bertukar macam mana? Ada banyak cara, banyak kaedah boleh dibuat. Perlembagaan benarkan banyak kaedah.

    “Ahli-ahli parlimen UMNO yang mana ada, siapa boleh tahu bahawa 10 ke, 15 ke 20 ke daripada mereka tiba-tiba boleh menukar sokongan. Pemimpin GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan GRS (Gabungan Rakyat Sabah) tak hadir berkempen di semenanjung.

    “Mereka datang tunjuk muka sebentar saja masa penamaan calon, semua itu memberikan isyarat bahawa sokongan terhadap kerajaan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim tidak akan kekal lama, isnya-Allah,” dakwa Ahli Parlimen Pasir Mas itu.

    Untuk rekod, Dewan Rakyat sebelum ini meluluskan pindaan perlembagaan berhubung tindakan melompat parti, menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.

    Dengan pindaan tersebut, ahli Parlimen akan kehilangan kerusi jika mereka bertindak keluar parti atau tidak lagi menjadi ahlinya. Namun, ahli Parlimen yang dibuang parti tidak akan hilang kerusi.

    RUU itu diperkenal selepas ramai ahli parlimen bertindak melompat parti sejak selepas PRU ke-14 lalu dengan dengan rekod seramai 39 orang berbuat demikian.

  • Calon Pas tidak dihalang jumpa media, hanya elak keluar kenyataan bimbang diperguna pihak lawan

    Calon Pas tidak dihalang jumpa media, hanya elak keluar kenyataan bimbang diperguna pihak lawan

    PAS Pulau Pinang menafikan wujud halangan dan kekangan untuk petugas-petugas media mengikuti gerak kerja kempen calon-calon mereka yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang ketika ini.

    Sebaliknya, Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, calon-calon Pas hanya dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kerana dibimbangi boleh memberi impak negatif kepada parti dan Perikatan Nasional (PN) sepanjang tempoh berkempen.

    Ini kerana, jelas beliau, terdapat isu-isu dan perkara yang tidak sepatutnya dihebahkan kepada umum ketika kempen berlangsung.

    “Tidak ada halangan sebenarnya untuk calon Pas bertemu dan bercakap dengan pihak media. Biasanya ada isu-isu yang kita tidak boleh cakap kepada pihak media, hal yang kita tidak patut cakap, jangan kita cakap.

    “Ini kerana kita tidak mahu kenyataan-kenyataan kita (calon Pas) dijadikan bahan kempen oleh pihak lain,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Sebelum ini, wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan pengamal media di Pulau Pinang yang mendakwa sukar mendapatkan gerak kerja kempen calon-calon Pas yang bertanding atas tiket PN di Pulau Pinang.

    Pada PRN-15 Pulau Pinang kali ini, Pas membariskan seramai 10 calon termasuk tiga calon daripada Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) daripada keseluruhan 40 kerusi yang ditandingi PN.

    Dalam pasa itu, Muhammad Fauzi yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua berkata, calon-calon Pas di Pulau Pinang juga memberi tumpuan kepada kempen secara bersemuka dengan menziarahi pengundi di DUN masing-masing.

    “Kita ziarah terus ke rumah pengundi dan bertemu dengan masyarakat setempat, itu lebih penting pada masa ini.

    “Selalunya kita tidak perlu bercerita dengan panjang lebar kepada masyarakat soal isu-isu politik kerana masyarakat sudah celik politik dan faham apa yang berlaku.

    “Sekarang, pengundi hanya mahu melihat calon-calon yang bertanding, jadi kita masuk ke kampung-kampung dan perkenalkan diri sebagai calon PN,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau menyifatkan sambutan pengundi terhadap calon-calon PN daripada Pas pada PRN Pulau Pinang setakat ini amat menggalakkan.

    Jelasnya, calon-calon Pas menerima maklum balas yang positif daripada pengundi yang mahu beralih sokongan dengan mengundi PN pada PRN kali ini.

  • Abdul Hadi tegur golongan agamawan tidak ambil peduli isu politik

    Abdul Hadi tegur golongan agamawan tidak ambil peduli isu politik

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegur golongan bijak pandai dalam agama kerana didakwanya tidak begitu cakna akan hal-ehwal politik semasa.

    Ahli Parlimen Marang itu berkata, soal politik tidak boleh dipandang mudah kerana ia melibatkan pengambilalihan kuasa dalam negara ini.

    “Bila dia (pemain politik) ambil alih kuasa, dia boleh lawan kita macam-macam. Ini kena sedar. Mana ‘tok-tok’ lebai ni? Mengaji fardu ain tapi bab politik tak belajar.

    “Agama adalah asas. Kuasa politik adalah pengawas. kalau tak ada agama, runtuh. Tak ada kuasa politik, hilang. Hilang kuasa Islam, hilang ajaran Islam. Macam Sepanyol. Islam memerintah selama 800 tahun. Bila orang Islam cuai, jatuh Sepanyol. Batu nisan dibongkar buat bangunan, orang Islam dibunuh, masjid-masjid jadi muzium.

    “Nak jadi macam tu? Ini pengajaran. Sebab itu, tunaikanlah kewajipan mengundi ini. Pilih kumpulan yang nak memerintah. Bagi kuasa kepada mereka,” katanya ketika berucap sempena program Ceramah Mega PN Best di Jalan Permatang Sungai Dua, Pulau Pinang malam tadi.

    Dalam pada itu, Abdul Hadi turut meyakinkan golongan bukan Islam khususnya di Pulau Pinang bahawa mereka tidak akan dipinggirkan jika Pas diberikan kuasa untuk memerintah.

    Jelasnya, orang bukan Islam juga tidak perlu takut kerana pemerintahan Islam adalah bersikap adil kepada semua kaum dan lapisan masyarakat.

    “Jangan takut orang bukan Islam. Islam memerintah dengan adil. Jangan takut. (Orang) Melayu ini amat baik. Di Kelantan, Terengganu, orang Cina dan orang India boleh hidup…di tengah-tengah kampung Melayu, hidup aman.

    Orang ramai membanjiri program Ceramah Mega PN Best semasa Hadi Awang berucap di Jalan Permatang Sungai Dua, Pulau Pinang malam tadi.

    “Tapi, cara DAP, PH (Pakatan Harapan) ini ‘mengacaubilaukan’ (rakyat)…menimbulkan ketegangan. Jadi, kita nak ajak buat perubahan ramai-ramai para pilihan raya ini. Suruh turun mengundi ramai-ramai,” kata beliau.

    Pada masa sama, Abdul Hadi turut mengulas mengenai istilah ‘kakistokrasi’ seperti yang disebut oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap kerajaan sebelum ini.

    “Tun (Mahathir) menafsirkan (kakistokrasi) mengikut kamus istilah politik iaitu dipimpin oleh orang yang tak tahu memerintah, tak boleh memerintah serta tak ada kemampuan (untuk memerintah).

    “Jadi, saya terjemahkan ke dalam Bahasa Melayulah senang. Kakistokrasi ini ‘memerintah dengan kaki’. Terajang sana, terajang sini, sepak sana, sepak sini sehingga berlaku banyak masalah. Sehingga Pulau Pinang pun jadi ‘pulau pening’,” katanya.

    Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, beliau gembira kerana ramai anak muda telah ‘berubah’ dengan memilih untuk menyokong Pas dan Perikatan Nasional (PN).

    “Yang tak berubah ini cuma saluran satu (saluran mengundi untuk warga emas). Ini jadi masalah. Jadi, marilah kita buat perubahan dengan mengambil alih kesemua enam negeri pada pilihan raya ini supaya perubahan berlaku di peringkat Pusat pula selepas ini,” ujarnya.