Category: Semasa

  • 105 rumah roboh dipukul ombak, 96 keluarga terjejas

    105 rumah roboh dipukul ombak, 96 keluarga terjejas

    SEKURANG-kurangnya 105 rumah dilaporkan roboh dipukul ombak ketika fenomena air laut pasang besar berlaku di dua kampung di Sandakan, Sabah malam tadi.

    Lebih 200 mangsa dilaporkan terjejas dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, membabitkan Kampung Forest dan Kampung Tinusa Dua.

    Sebahagian rumah yang roboh dipukul ombak di Kampung Forest, Sandakan, malam tadi. Foto MEDIA SOSIAL

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan media, pagi ini memaklumkan, dianggarkan 100 rumah roboh di Kampung Forest.

    Katanya, sebanyak 500 rumah lain turut terancam dalam kejadian berkenaan.

    “Lima rumah turut roboh di Kampung Tinusa Dua dan 20 lagi dilaporkan terancam.

    “Namun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu,” katanya, lapor Berita Harian.

    Sementara itu, Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah berkata kejadian itu membabitkan lebih 200 mangsa daripada 96 keluarga.

    “Semua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kebangsaan (SMK) Sungai Anib Dua.

    “Namun, pecahan mangsa belum dikenal pasti dan proses pemindahan masih dijalankan,” katanya.

  • Kubur di Sibu diceroboh, dirosak

    Kubur di Sibu diceroboh, dirosak

    SEBANYAK 11 kubur di Tanah Perkuburan Islam Al-Qadim, Jalan Tun Abang Haji Openg di Sibu, diceroboh dan dirosakkan disyaki dilakukan seorang lelaki kurang siuman semalam.

    Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata siasatan awal mendapati batu nisan pada 11 kubur berkenaan dicabut kemudian dipercayai dihempas sehingga pecah dan patah manakala empat daripadanya mengalami kerosakan pada jubin lot kubur dipercayai akibat dihempas batu nisan.

    Beliau berkata polis menerima laporan daripada seorang lelaki pada 1.58 tengah hari di Balai Polis Pusat Sibu semalam dan siasatan dijalankan sejurus selepas itu.

    “Tiada sebarang senjata atau peralatan mencurigakan dijumpai di tempat kejadian. Usaha sedang dijalankan untuk mengesan dan menangkap suspek terlibat,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini, hari ini.

    Zulkipli turut menasihatkan masyarakat Islam agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu sebaliknya segera menyalurkan sebarang maklumat kepada polis atau tampil ke balai-balai polis berdekatan atau terus menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Ahmad Hakimi Abd. Azid (01131873715).

    Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Pemandu lori pasir maut tertimbus muatan, 12 jam bomba usaha selamatkan

    Pemandu lori pasir maut tertimbus muatan, 12 jam bomba usaha selamatkan

    USAHA menyelamatkan seorang pemandu lori yang membawa pasir seberat 40 tan mengambil masa hampir 12 jam selepas lori yang dipandunya itu terbabas ke dalam parit di Jalan Sultan Ibrahim, Stulang, awal pagi tadi.

    Komander Operasi Timbalan Penguasa Bomba 1 Mohd Suhaimi Jamal berkata mangsa, Rosnani Siam, 47, akhirnya berjaya dikeluarkan 8.11 malam tadi, bagaimanapun beliau yang ditemukan tertimbus dengan pasir disahkan meninggal dunia.

    Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.51 pagi dan ketika sampai di tempat kejadian didapati sebuah lori telah terbabas dengan sebahagian badannya berada di dalam parit. 

    “Kerja-kerja rumit terpaksa kita hadapi apabila bahagian hadapan lori itu terbenam hampir 12 kaki (3.6 meter) ke dalam parit yang dipenuhi air.

    “Kita terpaksa menggunakan kren seberat 350 tan untuk mengangkat lori pasir berkenaan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

    Mohd Suhaimi berkata seramai 39 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi berkenaan yang turut melibatkan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air Balai Bomba Penyelamat Skudai.

    Katanya dua jentera FRT, sebuah EMRS, tiga unit RIM dan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton digunakan dalam operasi itu yang berakhir pada 8.34 malam. – BERNAMA

  • Kemeriahan Krismas bukti hak individu amal agama terus subur – Muhyiddin

    Kemeriahan Krismas bukti hak individu amal agama terus subur – Muhyiddin

    SAMBUTAN meriah Hari Natal di Malaysia pada setiap tahun membuktikan hak setiap individu untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing secara aman dan harmoni terus subur.

    Pengerusi Perkatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemeriahan itu juga melambangkan keamanan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

    “Perayaan ini yang saban tahun disambut dengan meriah melambangkan keamanan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara kita.

    “Ia juga membuktikan hak setiap individu untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing secara aman dan harmoni seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan terus subur,” katanya hari ini.

    Beliau berkata demikian dalam ucapan Hari Natal yang disiarkan dalam akaun Facebook beliau.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri pada sama mengucapkan selamat menyambut perayaan Krismas kepada semua penganut agama Kristian di Malaysia.

    Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia yang mengambil cuti sempena perayaan Krismas agar berhati-hati di jalan raya.

    “Bagi yang mengambil cuti sempena perayaan Krismas, berhati-hati di jalan raya. Semoga anda semua selamat tiba di destinasi masing-masing,” tambahnya.

  • Sumbat 11 PATI dalam Proton Waja, lelaki ‘lesap’ nampak kereta polis

    Sumbat 11 PATI dalam Proton Waja, lelaki ‘lesap’ nampak kereta polis

    SEORANG lelaki berputih mata apabila tidak sempat menerima habuan membawa 11 pendatang asing tanpa izin (PATI), selepas kereta Proton Waja dipandunya mengalami kerosakan di Kilometer 63.1 Arah Selatan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), hari ini.

    Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, dalam kejadian pukul 8.05 pagi tadi, polis menerima panggilan daripada anggota Polis Bantuan Peronda Lebuhraya memaklumkan sebuah kereta mengalami kerosakan dan sebaik pemeriksaan dilakukan menemui seramai 11 orang PATI berada di dalam kereta.

    Beliau berkata, anggota polis bergegas ke lokasi dan sebaik tiba polis terus membuat tangkapan ke atas 11 PATI terbabit.

    “Pemandu kereta yang dipercayai menjadi ‘transporter’ telah melarikan diri sebaik melihat kenderaan polis bantuan tiba.

    “Semua 11 lelaki dipercayai warganegara Myanmar berusia 20 hingga 50 tahun kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang untuk tindakan lanjut dan turut merampas kereta Proton Waja,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.

    Arriz Sham berkata, pemeriksaan lanjut mendapati semua PATI terbabit tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan.

    Katanya, siasatan lanjut turut mendapati semua pati itu akan dihantar kepada satu sindiket di bahagian selatan tanah air yang menawarkan pekerjaan kepada pati itu.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

  • Tanah runtuh Batang Kali: Operasi SAR diteruskan untuk pembersihan, siasatan

    Tanah runtuh Batang Kali: Operasi SAR diteruskan untuk pembersihan, siasatan

    MISI mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali di Hulu Selangor, akan diteruskan untuk pembersihan serta siasatan lanjut.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, meskipun mangsa korban terakhir membabitkan kanak-kanak lelaki sudah ditemui namun operasi tetap diteruskan esok.

    “Operasi SAR masih kita teruskan bagi melaksanakan tindakan ‘flushing’ (pembersihan) dan siasatan di tempat kejadian.

    “Sekiranya tiada halangan atau perkembangan baharu SAR, kita jangkakan sehingga esok dan kita akan beri keputusan (lanjut atau tamat),” katanya dalam sidang media di lokasi hari ini, lapor Harian Metro.

    Turut sama dalam sidang media, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail.

    Sementara itu, Suffian menzahirkan terima kasih kepada semua agensi yang terbabit sepanjang sembilan hari operasi SAR iaitu JBPM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

    “Saya sebagai Komander Operasi juga mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tidak henti mendoakan agar proses pencarian semua mangsa terbabit,” katanya.

  • Mayat terakhir tanah runtuh Batang Kali ditemukan dalam beg tidur

    Mayat terakhir tanah runtuh Batang Kali ditemukan dalam beg tidur

    MAYAT mangsa terakhir insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di sini, dijumpai dalam beg tidur pada kedalaman tanah 1.5 meter pada pukul 4.53 petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah berkata mayat kanak-kanak lelaki berusia lingkungan tujuh hingga 12 tahun itu ditemukan dalam keadaan telungkup di tebing bukit kira-kira empat meter dari tapak perkhemahan berkenaan di Sektor A (hill view).

    Beliau berkata mayat itu dijumpai lengkap berpakaian dalam keadaan sempurna, namun sudah mula mereput dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

    “Operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan bagi kerja-kerja pemeriksaan dan siasatan bagi memastikan kawasan terbabit benar-benar selamat.

    Kami menjangkakan jika tiada halangan dan perkembangan terbaharu, keputusan penamatan SAR akan dimaklumkan esok,” katanya pada sidang media selepas penemuan mangsa terakhir tragedi tanah runtuh tapak perkhemahan itu, hari ini.

    Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Md Wan Ismail berkata mangsa terakhir itu ditemukan selepas digali secara manual oleh anggota penyelamat yang mengesan aliran cecair yang dipercayai daripada mayat berkenaan.

    Beliau berkata secara keseluruhan, 20 mayat ditemui di Sektor A, satu di Sektor B (farm view) dan 10 di Sektor C (river side).

    Tinjauan Bernama di Pos Kawasan Tempat Kejadian (PKTK) pada 7.20 malam ini mendapati anggota penyelamat SAR masuk ke lokasi pencarian bagi membuat aktiviti “pembersihan” tempat kejadian.

    Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi 16 Dis lepas itu menyaksikan 31 nyawa terkorban dan 61 selamat daripada keseluruhan 92 mangsa yang dilaporkan dalam kejadian itu.

    Operasi SAR melibatkan kerjasama lima agensi utama iaitu Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, JBPM, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan kekuatan anggota melebihi 250 orang. – BERNAMA

  • Mahu kongsi rezeki, 500 kilogram ikan diagih percuma

    Mahu kongsi rezeki, 500 kilogram ikan diagih percuma

    INGIN berkongsi rezeki, sebuah syarikat penapis air mengagihkan 500 kilogram (kg) ikan secara percuma kepada penduduk di sekitar daerah Kuantan, petang semalam.

    Program Amal 1Rumah 1Kg Ikan itu adalah inisiatif syarikat Hijrah Water Sdn Bhd (Hijrah Water) dan diadakan di pekarangan pusat servis kereta DC Inspiring, dekat Batu Tiga, Jalan Kuantan–Gambang, di sini.

    Pengerusi Hijrah Water, Mohamad M Said, berkata program itu adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial (CSR) syarikat berkenaan.

    “Tahun ini, syarikat memperuntukkan sebanyak RM500,000 untuk melaksanakan program CSR di seluruh negara termasuk mengagihkan barangan keperluan secara percuma kepada orang ramai.

    Dalam pada itu, Pengarah Urusan DC Inspiring, Awaludin Abdullah, berkata kerjasama antara syarikatnya dan Hijrah Water untuk menjayakan program itu adalah bagi memberi inspirasi kepada lebih ramai usahawan melakukan kerja CSR.

    “Saya harap ini adalah permulaan dan selepas ini lebih ramai (usahawan) akan menganjurkan program seumpama ini untuk membantu rakyat yang terkesan akibat keadaan ekonomi ketika ini.

    “Kami juga sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menganjurkan program CSR pada masa akan datang,” katanya, lapor BH Online.

  • Skuad Prihatin Bersatu bantu mangsa banjir Pantai Timur – Muhyiddin

    Skuad Prihatin Bersatu bantu mangsa banjir Pantai Timur – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, Skuad Prihatin Bersatu telah menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri-negeri Pantai Timur.

    Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, bantuan itu diharapkan dapat meringankan sedikit beban mangsa-mangsa banjir.

    Skuad Prihatin Bersatu menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri-negeri Pantai Timur.

    “Saya telah mengarahkan Skuad Prihatin Bersatu untuk membantu mangsa-mangsa banjir di negeri-negeri Pantai Timur.

    “Alhamdulillah, bantuan telah mula disampaikan. Saya harap bantuan ini dapatlah meringankan sedikit beban mangsa-mangsa banjir,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional turut berterima kasih kepada Skuad Prihatin Bersatu yang sentiasa peka dan prihatin dengan nasib rakyat.

    Menurutnya, ahli-ahli Parlimen dan ADUN Bersatu juga akan terus membantu rakyat di kawasan masing-masing.

    “Terima kasih saya ucapkan kepada Skuad Prihatin Bersatu yang sentiasa peka dan prihatin dengan nasib rakyat.

    “Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN Bersatu juga akan terus membantu rakyat di kawasan masing-masing.

    “Insya-Allah, Bersatu akan terus membantu rakyat sedaya upaya yang mampu dan istiqamah dengan prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil,” katanya.

  • Tragedi tanah runtuh Batang Kali: Mayat mangsa terakhir ditemui

    Tragedi tanah runtuh Batang Kali: Mayat mangsa terakhir ditemui

    MAYAT mangsa ke-31 dan terakhir tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali – Gohtong di Hulu Selangor, berjaya ditemui hari ini.

    Mayat yang dipercayai kanak-kanak lelaki itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 4.50 petang.

    ANGGOTA SAR terbabit operasi bergambar kenangan selepas mayat mangsa terakhir ditemui. FOTO NADMA

    Penemuan mayat mangsa disahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

    “Alhamdulillah mayat terakhir telah berjaya ditemui pada hari ke-9 sejak berlaku kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali,” katanya dalam hantaran di Facebook.

    Difahamkan, mayat mangsa ditemukan di Sektor A kerana usaha pencarian pada hari ini ditumpukan di sektor berkenaan.

    Mayat mangsa, yang juga seorang kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia 11 tahun itu difahamkan dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk proses bedah siasat dan pengecaman.

    Tragedi runtuhan yang berlaku pada pada 2.42 pagi, 16 Dis lepas meragut 31 nyawa, manakala 61 lagi selamat.

    Seramai 92 mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.