Category: Semasa

  • Air pasang besar: Penduduk pesisir pantai Sandakan diminta kosongkan rumah

    Air pasang besar: Penduduk pesisir pantai Sandakan diminta kosongkan rumah

    PENDUDUK di pesisir pantai Sandakan, Sabah dinasihatkan supaya mengosongkan rumah masing-masing sebelum pukul 6 petang ini, susulan fenomena air pasang besar yang berlaku di sekitar daerah sini semalam, dijangka akan berlaku sekali lagi malam ini dan malam esok.

    Ketua Polis Sandakan ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata Jabatan Meteorologi juga telah mengeluarkan amaran hujan berterusan di kawasan sekitar sini hingga esok.

     “Saya telah meninjau beberapa tempat yang berisiko dan menasihatkan penduduk supaya berpindah ke rumah saudara mara atau ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang akan dikenal pasti di kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2 di sini hari ini.

    Kira-kira 100 rumah di Kampung Forest di sini rosak akibat fenomena air pasang besar yang berlaku sejak kira-kira pukul 10 malam tadi menjejaskan lebih 300 penduduk, dan kebanyakan mangsa ditempatkan di PPS SK Sungai Anib 2.

    Selain Kampung Forest, beliau berkata Kampung Tinusa 2 dekat sini juga mengalami air pasang dan ombak kuat malam tadi, namun tidak melibatkan kerosakan rumah.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong berkata beliau akan berjumpa dengan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) bagi meminta unit Program Perumahan Rakyat (PPR) yang kosong untuk digunakan sebagai tempat tinggal sementara bagi mangsa berkenaan.

    “Mangsa tidak ada tempat tinggal dan PPS bukan solusi jangka masa panjang. Saya difahamkan ada rumah PPR yang belum didiami boleh digunakan sementara mangsa mencari rumah lain,” katanya.

    Suri rumah Nurita Mohammad Jara, 35 memberitahu beliau bersama keluarganya dan jiran lain mulai berpindah dari rumah mereka pukul 8 malam tadi, dan paras air mulai meningkat serta berombak ketika itu.

    Ali Osman Isnani, 62, pula berkata pukulan ombak kali ini lebih teruk berbanding sebelum ini, dan beliau sendiri melihat beberapa rumah berlanggar dengan rumah lain selepas dipukul ombak.

    “Apabila keadaan semakin pulih, saya cuba balik ke rumah dalam pukul 2.30 pagi, tetapi dihalang oleh pihak polis kerana keadaan berbahaya.

    “Memang sedih sebab tahun-tahun dulu tidak seteruk ini, tetapi saya bersyukur keluarga dan penduduk selamat semua,” katanya. – BERNAMA

  • Tanah runtuh: Lokasi mangsa terakhir ditemui sudah kerap dibuat pencarian – Bomba

    Tanah runtuh: Lokasi mangsa terakhir ditemui sudah kerap dibuat pencarian – Bomba

    PASUKAN bomba berdepan cabaran paling sukar dalam misi mencari mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Gohtong yang akhirnya berjaya ditemui, semalam.

    Hafisham Mohd Noor

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor semasa mengakui perkara itu berkata, walaupun keletihan, namun pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sedaya upaya bertahan supaya mangsa dapat ditemui.

    Beliau berkata, lokasi mayat mangsa ditemui itu sudah kerap dibuat pencarian dan anggota SAR juga selalu berulang alik di situ, namun usaha mereka tidak berjaya sehinggalah semalam.

    “Ini adalah misi paling sukar namun kami tetap teruskan. Daripada semalam (kelmarin), kita tidak mendapat perkhabaran langsung berkenaan mangsa terakhir ini.

    “Sebenarnya kita pun berada dalam keadaan yang gelisah dan ada rasa sudah putus asa sebenarnya.

    “Cuma kita bersyukur, tawakal kepada Allah dan juga sahabat kita yang mendoakan usaha kita ini, mungkin makbul doa mereka, maka kita dapat jumpa mangsa pada hari ini (semalam).

    “Sedangkan tempat itu sudah dilalui berulang kali oleh pasukan SAR, mereka sudah acap kali lalu di situ tetapi tak pernah jumpa (mangsa) mungkin sebenarnya pada hari ini (semalam), nak ditunjukkan, kita berjumpa dengan mayat mangsa yang terakhir ini,” katanya pada sidang media di lokasi, malam tadi.

    Hafisham berkata, ada perkara yang tidak dapat dijelaskan secara mata kasar mengenai kesulitan dihadapi pasukan SAR ketika melakukan pencarian mangsa.

    “Yang sukar ini, mungkin mangsa terlindung, mungkin kita tidak sedar, ada satu perkara yang kita tidak dapat jelaskan .. sebab bukan kita tidak guna Unit K9 (anjing pengesan) itu pun tidak berjaya sedangkan mereka ada deria bau lebih baik daripada kita,” katanya.

    Hafisham berkata, 80 peratus penggalian sudah dibuat di semua sektor A, B, C dan D selepas sembilan hari bertungkus lumus melakukan pencarian.

    Katanya, keputusan bagi pencarian difokuskan di Sektor A adalah hasil maklumat yang dikongsi antara agensi yang terbabit dalam operasi itu.

    “Kita dapat maklumat yang kanak-kanak ini (datang) bersama-sama ayah dan kakak. Mayat ayah dan kakaknya sudah kita temui pada hari pertama (Jumaat) di Sektor A.

    “Justeru mangsa juga mungkin berada di situ, tak mungkin dia berada di khemah lain, atau di sektor lain.. itulah yang meyakinkan kita bahawa dia berada di situ (Sektor A)

    “Tetapi sekiranya kita tidak jumpa dia di Sektor A, kita sebenarnya sudah putus asa, tak tahu ke mana lagi kita nak mencari,” katanya.

    Mengulas hari pertama kejadian itu, Hafisham mengakui beliau terkejut apabila pada awalnya dimaklumkan terdapat kira-kira 100 mangsa terbabit dalam insiden itu.

    “Apa yang mengejutkan kita pada waktu itu adalah disebabkan terlalu ramai mangsa yang pada mulanya dikatakan dianggarkan kira-kira 100 orang.

    “Apabila saya dengar 100 mangsa ini, ia menyeramkan dan menakutkan.. sebab jumlah (mangsa) yang banyak. Malaysia akan terkejut dengan jumlah mangsa yang ramai,” katanya.

    Katanya, sebaik pasukan bomba menerima aduan kejadian itu pada jam 2.24 pagi, pasukan pertama memberi respons bantuan adalah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu bersama Ketua Zon 6 JBPM Selangor, Penguasa Kanan Bomba II Ahmadi Muhamad Hasan yang tiba di tempat kejadian pada jam 3.04 pagi.

    “Mereka terus berada di sini sejurus menerima laporan untuk operasi SAR dan alhamdulillah kita dapat menyelamatkan 61 mangsa yang cedera dan terselamat.

    “Maka tinggallah baki mangsa yang masih hilang sehinggalah jumlah sebenar mangsa dirumuskan kepada 31 orang daripada 92 keseluruhan mangsa,” katanya, lapor Berita Harian.

    Semalam, mayat mangsa ke-31 dan terakhir di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di sini, ditemui dalam beg tidur yang tertimbus dengan kedalaman 1.5 meter dalam tanah pada jam 4.53 petang oleh pasukan SAR.

    Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata lokasi penemuan mayat mangsa terletak empat meter dari kawasan tebing bukit dan empat meter dari tapak perkhemahan di Sektor A (Hill View).

    Difahamkan, mangsa adalah seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dikenali sebagai Eng Shao Qi, pelajar Tahun Lima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong di ibu kota.

  • Penternak ikan sangkar rugi lebih RM1 juta akibat banjir

    Penternak ikan sangkar rugi lebih RM1 juta akibat banjir

    SEBANYAK 32 penternak ikan sangkar di Laguna Semerak di Pasir Puteh kerugian lebih RM1 juta apabila ikan kerapu hibrid mati disebabkan banjir.

    Pengerusi Penternak Ikan Laguna Semerak, Mustafa Bakar berkata, ia melibatkan 2,100 petak sangkar yang diusahakan oleh kesemua penternak.

    Katanya, aliran air banjir serta hujan luar biasa kali ini menyebabkan kandungan kemasinan air di laguna tersebut menurun sekali gus memberi kesan kepada hidupan itu.

    “Mengikut jadual kami dijangka menuai hasil pada sambutan Tahun Baharu Cina, Januari ini, bagaimanapun disebabkan bencana penternak hanya berputih mata.

    “Ikan yang sepatutnya dijual dengan harga RM60 sekilogram itu disedari mati sejak Khamis lalu. Bukan seekor dua tetapi semua yang dipelihara,” katanya semasa sidang akhbar hari ini, lapor Sinar Harian.

    Mustafa berkata, kesemua ikan kerapu hibrid yang dipelihara di kawasan Laguna Semerak itu untuk pasaran Singapura, Kuala Lumpur dan Johor.

    Menurut beliau, sebulan lalu dengan bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim, mereka telah menggali muara bagi memudahkan air masin memasuki laguna.

    Ujarnya, tidak sampai seminggu disebabkan ombak besar Monsun Timur Laut (MTL) muara tersebut tertimbus semula.

    Tambah beliau, kerja-kerja menggali memerlukan modal dan penternak berharap pihak berkenaan dapat membina benteng bagi mengelakkan muara tertimbus.

    “Hari ini (Ahad) kami telah menggali semula muara dan kemasinan air di laguna juga telah meningkat 70 peratus.

    “Penternak berharap dengan langkah ini dapat menyelamatkan ternakan lain yang ada termasuklah ikan siakap,” katanya.

  • Tikus ‘jamu’ ayam goreng: Restoran ditutup 14 hari

    Tikus ‘jamu’ ayam goreng: Restoran ditutup 14 hari

    SUSULAN video tular seekor tikus menjamah ayam goreng dalam pemanas makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan sebuah restoran di Pandan Indah, Kuala Lumpur ditutup selama 14 hari.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan itu diambil susulan pemeriksaan dilakukan oleh pasukan penguat kuasa kesihatan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) dari Jabatan Kesihatan Negeri Selangor serta Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, semalam.

    Menurutnya, tindakan penutupan itu dibuat bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

    “Sebanyak enam notis kompaun turut dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana gagal dalam beberapa aspek kawalan penyediaan makanan yang bersih dan selamat.

    “KKM menyeru orang ramai terutama pengusaha dan pengendali makanan untuk menjalankan tanggungjawab bersama dalam memastikan aspek keselamatan makanan terjaga bagi mengelakkan keracunan dan wabak penyakit bawaan makanan berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Kelmarin, KKM meminta orang ramai memberikan maklumat berhubung video menjijikkan yang memaparkan seekor tikus sedang ‘menjamah’ ayam goreng dalam pemanas makanan sebuah restoran.

    Video tular dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter bernama Zoey Hanafiah mendakwa ia berlaku ketika dia sedang makan di premis berkenaan.

    Sementara itu, Noor Hisham dalam masa sama menegaskan pihaknya memandang serius isu kebersihan dan keselamatan makanan.

    “Pengguna turut disarankan memilih premis makanan yang mempunyai logo BeSS (Bersih, Selamat dan Sihat) apabila membeli atau menjamu makan di luar rumah,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • PN bukan gabungan parti politik ekstremis – Dominic Lau

    PN bukan gabungan parti politik ekstremis – Dominic Lau

    PRESIDEN GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mendakwa parti ekstremis yang sebenar adalah UMNO, bukannya Perikatan Nasional (PN) seperti kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

    “Selepas bertahun-tahun Lim Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang mencaci UMNO, kini bolehkah DAP menafikannya?” katanya yang juga Timbalan Pengerusi PN, dalam satu kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Terdahulu, Guan Eng dilaporkan mendakwa, PN mengambil sikap perkauman dan ekstremis berdasarkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang kesal dengan peratusan keluar mengundi orang Islam dalam PRU15.

    Kata bekas Menteri Kewangan itu, bukan Islam bukannya memusuhi Islam, sebaliknya penentangan terhadap PAS disebabkan parti itu yang dilihatnya terus mengancam dan mengurangkan hak asasi termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta campur tangan dalam gaya hidup orang bukan Islam.

    Pada masa sama Dominic turut menempelak Guan Eng yang menuduh GERAKAN sebagai ‘Boneka Rakan Sejenayah Pas’, sedangkan katanya, DAP yang banyak bekerjasama dengan Pas, iaitu sejak 1999 dengan kali pertama digandingkan dalam Barisan Alternatif.

    “Pada Pilihan Raya Umum ke-12, DAP sekali lagi bersama dengan parti Pas dan PKR untuk menubuhkan Pakatan Rakyat bagi bekerjasama dalam politik selama tiga tahun. Adakah Lim Guan Eng lupa bahawa DAP pernah bekerjasama dengan Pas?

    “Sekurang-kurangnya GERAKAN tidak sombong, sebaliknya hormat dengan Pas. Sebelum DAP bekerjasama dengan Pas, pengaruh politik Pas pada asalnya hanya di Pantai Timur.

    “Selepas bekerjasama dengan PN, Pas berkembang hingga ke Perak, Kedah dan Selangor,” katanya yang secara sinis, turut meluahkan rasa malu kerana GERAKAN tidak banyak memberi bantuan kepada Pas berbanding DAP.

  • Tanah runtuh: Operasi SAR ditamatkan secara rasmi 12 tengah hari – KPN

    Tanah runtuh: Operasi SAR ditamatkan secara rasmi 12 tengah hari – KPN

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di sini, yang bermula 16 Dis lepas, ditamatkan secara rasmi pada 12 tengah hari ini.

    Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata keputusan berkenaan dibuat setelah polis mengesahkan tiada lagi mangsa yang terlibat atau hilang dalam kejadian itu.

    “Polis memuktamadkan mangsa tanah runtuh yang terlibat adalah seramai 92 orang iaitu masing-masing 61 selamat dan 31 meninggal dunia.

    “Hanya urusan teknikal sahaja masih diteruskan di lokasi kejadian melibatkan agensi seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Ukur dan Pemetaan, Jabatan Mineral dan Geosains dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas di Pos Kawasan Tempat Kejadian (PKTK), di sini, hari ini.

    Mangsa terakhir tragedi tanah runtuh berkenaan iaitu seorang kanak-kanak lelaki dipercayai berusia antara 7 hingga 12 tahun, ditemukan oleh pasukan SAR pada 4.35 petang semalam, dalam keadaan telungkup di tebing bukit, kira-kira empat meter dari tapak perkhemahan sektor A (hill view).

    Sementara itu Acryl Sani berharap, operasi kali ini menjadi satu templat atau pencontoh yang boleh diguna pakai oleh agensi-agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana untuk menghadapi sebarang kejadian seumpama itu pada masa akan datang. 

    “Saya percaya ini adalah satu-satunya operasi yang menyaksikan setiap agensi memainkan peranan yang sesuai seperti digariskan oleh Arahan 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN 20) (Panduan Pengurusan Bencana di Malaysia), jadi tiada pertindihan ketika menjalankan tugas,” katanya. 

    Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan penghargaan kepada pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kerana telah menganjurkan pelbagai kursus melibatkan pengurusan bencana yang membantu agensi-agensi penyelamat untuk lebih memahami peranan masing-masing.

    Acryl Sani juga berharap agar pihak NADMA dapat menganjurkan table talk secara berkala melibatkan semua agensi yang terlibat dalam MKN 20 bagi memastikan kelancaran pengurusan operasi bencana pada masa hadapan. 

    Dalam kejadian awal pagi 16 Dis lepas, seramai 92 mangsa terlibat dengan 61 daripadanya terselamat, manakala 31 terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah sehingga menimbus kawasan perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya.

    Mangsa yang terkorban terdiri daripada 18 individu dewasa dan 13 kanak-kanak termasuk seorang bayi berumur setahun. 

    Operasi sepanjang sembilan hari itu dijalankan oleh lebih 250 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk lima agensi utama kerajaan iaitu Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

    Operasi turut dibantu oleh unit anjing pengesan (K9) selain penggunaan jentera berat dengan kawasan pencarian dibahagikan kepada tiga sektor iaitu sektor A (hill view), sektor B (farm view) dan sektor C (river side).

    Secara keseluruhan, 20 mayat ditemukan di sektor A, satu di sektor B dan 10 lagi di sektor C. – BERNAMA

  • Banjir: Jumlah mangsa di Sabah meningkat, Kelantan dan Terengganu menurun

    Banjir: Jumlah mangsa di Sabah meningkat, Kelantan dan Terengganu menurun

    JUMLAH mangsa banjir di Sabah terus meningkat, manakala Kelantan dan Terengganu menurun dan di Perak serta Sarawak pula bilangannya kekal setakat 8 pagi ini.

    Di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan mangsa banjir yang dipindahkan di Kota Belud meningkat kepada 212 mangsa daripada 77 keluarga pagi ini berbanding 150 mangsa daripada 49 keluarga malam tadi.

    Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) baharu turut dibuka di Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan dengan 62 mangsa daripada 28 keluarga dipindahkan, manakala satu lagi PPS daerah itu di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa kekal dengan 150 mangsa daripada 49 keluarga.

    Bagi fenomena air pasang besar, Sandakan menjadi daerah terbaharu terkesan dengan seramai 162 mangsa daripada 29 keluarga telah dipindahkan ke sebuah PPS, terutama melibatkan mereka yang tinggal di rumah atas air.

    Fenomena berkenaan setakat ini turut menyaksikan seramai 721 mangsa daripada 163 keluarga dipindahkan ke enam PPS di Pitas, manakala 54 mangsa daripada 15 keluarga dipindahkan ke sebuah PPS di Kota Kinabalu, menjadikan keseluruhan 937 mangsa daripada 207 keluarga dipindahkan.

    Sementara itu, di TERENGGANU, JPBN dalam kenyataan memberitahu jumlah mangsa banjir yang masih berada di PPS menunjukkan penurunan kepada 5,810 pagi ini berbanding 6,356 mangsa malam tadi.

    Sebanyak 44 PPS iaitu di Besut, Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Setiu dan Kuala Nerus masih beroperasi yang menempatkan 1,651 keluarga.

    Jumlah mangsa juga menurun di KELANTAN, dengan seramai 12,786 orang daripada 4,393 keluarga berlindung di dua PPS di Pasir Mas dan Tumpat direkodkan, berkurangan pagi ini berbanding 12,830 orang daripada 4,405 keluarga malam tadi.

    Di PERAK, Sekretariat JPBN berkata jumlah mangsa banjir pagi ini kekal 75 orang daripada 19 keluarga dan berada di dua PPS iaitu Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abd Rahman Talib (SMART) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang Darat, Bagan Datuk.

    Begitu juga di SARAWAK, jumlah mangsa banjir pagi ini kekal seperti setakat 11 malam tadi iaitu 1,424 mangsa daripada 381 keluarga dan ditempatkan di 16 PPS, menurut JPBN. – BERNAMA

  • Lelaki maut, rakan parah motosikal dihempap pokok

    Lelaki maut, rakan parah motosikal dihempap pokok

    SEORANG lelaki maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka dihempap pokok yang tumbang di Jalan Seremban-Tampin, di sini, tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata penunggang, Muhammad Ikram Mohd Yazid, 21, yang beralamat di Jalan Kampung Perigi Jernih, Rembau, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah malam itu.

    Beliau berkata pembonceng yang dikenali sebagai Ammar Zarif Mohamad Junaidi, 18, beralamat di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor pula berada di zon merah Hospital Rembau akibat kecederaan parah di bahagian badan.

    “Kemalangan berlaku semasa motosikal jenis Yamaha FZ150 dinaiki mereka bergerak dari arah Senawang menuju ke Rembau. Setibanya di tempat kejadian, terdapat satu pokok di kiri bahu jalan tumbang lalu menghempap motosikal berkenaan menyebabkan kedua-duanya terperosok ke bawah pokok itu.

    “Lokasi kejadian berbentuk jalan lurus dan mempunyai dua lorong berlawanan arah dan keadaan jalan raya gelap tanpa pencahayaan lampu jalan, serta cuaca ketika itu baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Jasad Wahab ditemukan lebih 60 jam terjatuh air terjun

    Jasad Wahab ditemukan lebih 60 jam terjatuh air terjun

    MAYAT Abdul Wahab Mat Sulaiman, yang terjatuh dari tingkat lima air terjun ketika menyelenggara saluran paip Taman Rekreasi Lata Tembakah, Sungai Tenang, di Besut, Khamis lalu, akhirnya ditemukan pagi ini selepas lebih 60 jam.

    Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Besut, Kapten (PA) Ramlan Ros Wahid, mayat mangsa ditemukan di tingkat dua air terjun di hutan lipur itu, kira-kira 8 pagi.

    “Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Harian Metro.

    Ramlan berkata, pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) beberapa barang milik peribadi mangsa seperti baju dijumpai di tingkat tiga air terjun.

    Katanya, sarung golok dijumpai di tingkat dua air terjun berkenaan.

    Dalam kejadian kira-kira 4 petang Khamis lalu, mangsa berusia 27 tahun, dipercayai tergelincir sebelum terjatuh dari tingkat lima Lata Tembakah, Sungai Tenang di Hulu Besut.

    Ketika kejadian, mangsa yang juga pekerja syarikat kontraktor di hutan lipur itu dikatakan sedang membaiki saluran paip bersama adiknya yang berusia 19 tahun.

  • Lori tangki air digerak bantu pengguna terjejas

    Lori tangki air digerak bantu pengguna terjejas

    SEBANYAK 85 lori tangki air digerakkan ke kawasan terlibat bagi memberi bantuan bekalan air kepada pengguna terjejas, susulan insiden pencemaran bau dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir melibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi.

    Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan, bantuan bekalan air itu disalurkan dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian, sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual.

    Terdahulu, sebanyak 472 kawasan di lima wilayah Air Selangor dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula 7 pagi tadi, berikutan henti tugas sementara di kedua-dua LRA tersebut. 

    Lokasi yang terlibat ialah 172 kawasan di sekitar Petaling, Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (196), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (27).

    Selain itu, Air Selangor turut melakukan ujian persampelan secara kerap, bagi mengukur kualiti air yang terjejas kesan daripada bahan sisa pencemaran tersebut.

    “Usaha menangani insiden pencemaran ini dijalankan secara bersama antara Air Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), bagi mengatasi pencemaran bau tersebut agar LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi dapat beroperasi semula dengan segera.

    “Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa, menerusi semua medium khususnya media massa,” menurut kenyataan itu.

    Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 bagi mendapatkan maklumat terkini.

    Selain itu, pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang terjejas di https://hentitugas.airselangor.com/ serta menerusi aplikasi Air Selangor. – BERNAMA