Category: Semasa

  • Masalah teknikal, Funikular Bukit Bendara tergendala tiga jam

    Masalah teknikal, Funikular Bukit Bendara tergendala tiga jam

    KEBOCORAN pada ‘hose break trek’ mengakibatkan perkhidmatan kereta api funikular Bukit Bendera, Air Itam, di Georgetown, tergendala hampir tiga jam, semalam.

    Menurut Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP), masalah itu dikenal pasti pasukan penyelenggaraan PBBPP yang melakukan pemeriksaan selepas perkhidmatan pengangkutan itu tergendala kira-kira pukul 4 petang.

    “Bagaimanapun, perkhidmatan kereta api funikular itu kembali beroperasi semula pada 6.45 petang,” katanya menerusi hantaran di akaun rasmi Facebooknya, semalam.

    Mengulas lanjut PBBPP berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk polis yang membantu menangani situasi kecemasan berkenaan.

    Pihaknya turut berterima kasih kepada pengunjung atas kesabaran mereka.

    “Kami kesal dengan kejadian itu dan memohon maaf atas segala kesulitan,” katanya lagi, lapor Harian Metro.

    Terdahulu, tular di media sosial mengenai rungutan penumpang yang mendakwa terkandas antara tiga hingga enam jam bagi menaiki kereta api funikular berkenaan.

    Pengunjung dari Perlis, Rohaida Izaham, 40, berkata, keadaan itu dialaminya ketika dia bersama lima ahli keluarganya hendak turun dari bukit berkenaan.

    “Kami faham lokasi itu mempunyai ramai pengunjung berikutan cuti Hari Natal, semalam, tetapi difahamkan juga kejadian seumpamanya kerap berlaku sebelum ini.

    “Jadi, pihak berkenaan perlu lakukan sesuatu bagi menanganinya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

  • MPAJ batal lesen premis makanan tular tikus ‘jamah’ ayam goreng

    MPAJ batal lesen premis makanan tular tikus ‘jamah’ ayam goreng

    PREMIS makanan yang tular dengan kejadian seekor tikus menjamah ayam goreng dalam pemanas makanan telah dibatalkan lesen berkuat kuasa serta-merta oleh Majlis Ampang Jaya (MPAJ).

    Yang Dipertua MPAJ, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, pihaknya bertindak mengeluarkan Notis Pengesahan Pembatalan Lesen (NPPL) ke atas premis itu selain menegaskan tindakan sitaan atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen juga akan dilakukan sekiranya premis berkenaan masih beroperasi setelah notis dikeluarkan.

    Katanya, pihaknya hanya akan mempertimbangkan permohonan lesen baharu jika semua syarat terutama berkaitan kebersihan dipatuhi sepenuhnya.

    “NPPL yang berkuat kuasa serta-merta akan dikeluarkan ke atas premis makanan tersebut selaras dengan tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, yang telah mengeluarkan Notis Perintah Tutup pada 24 Disember lalu ke atas premis berkenaan.

    “Pemeriksaan kebersihan premis makanan dari segi kawasan penyajian dan penyediaan makanan serta kawalan serangga perosak di premis juga dijalankan secara berkala oleh MPAJ.

    “MPAJ mengambil berat isu yang telah berlaku ini dan tindakan akan diambil ke atas mana-mana premis makanan yang mengambil mudah tentang aspek kebersihan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Berdasarkan rekod pemeriksaan lalu, Mohd Fauzi berkata pihaknya mendapati penarafan kebersihan di premis terbabit adalah pada Gred B bagi Jun 2021 dan terbaru pada Januari lalu.

    Bagi memastikan tahap kebersihan di premis makanan sentiasa terjamin, beliau berkata MPAJ sentiasa melakukan pemantauan kawalan kebersihan bagi memastikan syarat dan peraturan ditetapkan pihaknya sentiasa dipatuhi.

    “Sehingga 30 November lalu, sebanyak 1,057 premis makanan diperiksa dan 259 kompaun telah dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UKK) 9(f) Pengenalan Makanan MPAJ 2007 dan UKK 19(1)(d) Establisymen Makanan MPAJ 2007.

    “Justeru, orang ramai juga boleh melaporkan aduan berkenaan kebersihan premis di kawasan MAPJ melalui http://aduan.mpaj.gov.my,” katanya.

  • Biarkan saja Presiden, Timbalan Presiden ditandingi…jangan jadi pengecut!

    Biarkan saja Presiden, Timbalan Presiden ditandingi…jangan jadi pengecut!

    AHMAD Zahid begitu gembira apabila Anwar Ibrahim menang undi percaya di Dewan Rakyat.Presiden UMNO itu juga menyifatkan Kerajaan Perpaduan yang terbentuk hari ini sebagai satu ‘ketentuan Allah’.

    Beliau juga berkata, BN dan UMNO mengalami kekalahan teruk dalam PRU-15 berikutan pelbagai persepsi negatif yang dilemparkan kepada beliau dan parti.

    Penulis menghormati pandangan dan keyakinan Zahid dalam apa yang beliau kata dan tegaskan.Ia sekaligus bermakna Zahid begitu percaya tindakan beliau untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri dan membawa UMNO bergabung membentuk kerajaan bersama PH termasuk DAP adalah betul.

    Justeru atas keyakinan itu juga penulis percaya Zahid sebagai seorang sentiasa berpegang kepada takdir dan ketentuan Allah SWT tidak akan ada masalah untuk mengadakan pemilihan parti dan memastikan semua jawatan termasuk jawatan Presiden serta Timbalan Presiden dipertandingkan.

    Kalau Anwar berani untuk berhadapan dengan undi percaya di Parlimen, tak kan Zahid yang kini sudah menjadi Timbalan Perdana Menteri tidak berani untuk mempertahankan jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti yang perlu diadakan enam bulam selepas PRU.

    Zahid Hamidi bersama Mohamad Hasan pada Perhimpunan Agung UMNO lalu.

    Sebagai seorang yang kental, berani dan sentiasa memperjuang serta mendengar suara akar umbi UMNO, Zahid pasti mahu mendapat sokongan akar umbi secara rasmi terhadap tindakan-tindakan politik yang beliau lakukan selepas PRU-15.Walaupun akar umbi tidak ditanya terlebih dahulu wajar atau tidak UMNO bergabung membentuk kerajaan dengan Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional, tetapi akar umbi boleh memberi isyarat mereka dalam pemilihan parti.

    Kalau Zahid,Mohamad Hasan, Khaled Nordin dan Ismail Yaakob serta pemimpin sayap seperti Asyraf Wajdi Dusuki, Noraini Ahmad dan Zahida Zarik Khan serta pemimpin lain yang menyokong pembentukan kerajaan itu yakin apa yang mereka lakukan betul, maka bersedialah berhadapan dengan akar umbi. Penulis percaya mereka ada keberanian tersebut.

    Biarlah akar umbi menzahirkan suara mereka melalui pemilihan itu sama ada mereka benar-benar merestui atau tidak apa yang dlakukan oleh Zahid dan pemimpin UMNO lain terutamanya anggota Majlis Tertinggi (MT).

    Tidak perlu mana-mana pemimpin khususnya di peringkat ketua bahagian yang mahu melakukan manuver politik untuk meminta pemilihan ditangguhkan atau jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

    Janganlan bunuh demokrasi!  Penulis percaya Zahid berjiwa besar dan tidak akan membenarkan perkara itu berlaku, lagipun pemilihan kali ini amat penting.

    Ia akan bukan sahaja akan menentukan sama ada apa yang dikakukan okeh Zahid dan kawan-kawannya direstui oleh akar umbi atau tidak tetapi juga memberi kuasa kepada akar umbi menentukan barisan kepemimpinan bagi menebus kembali maruah dalam UMNO dalam PRU akan datang.

    Hakikatnya yang tidak boleh dinafikan ialah imej UMNO kini merudum. Walaupun berada dalam kerajaan setakat ini parti itu dilihat sekadar  ”penyendal’ sahaja. Dengan memiliki 30 kerusi termasuk tiga kerusi komponen BN, suara UMNO ‘semakin tenggelam’.

    Dalam soal ini, sudah pasti akar umbi ada pandangan dan pendirian sendiri justeru kepemimpinan UMNO tidak harus bertindak seolah-olah takut kepada suara akar umbi dengan membuat keputusan supaya jawatan Presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan kononnya demi menjaga kestabilan parti.

    Kalau itulah alasannya sampai ke bila pun UMNO tidak boleh mempertandingkan kedua-dua jawatan itu. Sebelum ini tidak mahu mengadakan pemilihan kerana bimbang kestabilan tergugat disebabkan akan berhadapan dengan PRU-15 dan sekarang selepas PRU-15 kata pula demi kestabilan parti.

    Cukup-cukuplah mahu memperbodohkan ahli-ahli akar umbi dengan alasan seumpama itu . Ahli akar umbi bukan bodoh malah ada antara mereka jauh lebjh cerdik daripada sesetengah pemimpin yang pengecut untuk menegur kepemimpinan. Kelompok pemimpin seperti itulah yang menyebabkan UMNO berada dalam kedudukan sekarang. Oleh itu penulis percaya Zahid dan Mohamad Hasan tidak kisah berhadapan dengan penentuan oleh ahli akar umbi.

    Lagipun mereka ada kelebihan berbanding pemimpin-pemimpin berpotensi kencabar mereka seperti Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin manakala Ismail Sabri Yaakob, rasanya beliau sudah cukup selesa dengan apa yang ada. Selain itu ada juga pandangan  supaya Mohamad Hasan tanding Presiden, tak kan nak jadi lagi Timbalan Presiden untuk lima tahun akan datang.

    Kesimpulannya janganlah demokrasi dalam UMNO mahu dibunuh atau dimatikan dengan menghadkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi. Selama ini pemimpin atasan UMNO begitu bangga menggunakan nama akar umbi atas segala tindakan mereka tetapi kenapa pula bila datang bab pemilihan parti suara mereka atau kuasa mereka mahu ‘dihadkan’?

    Biarlah akar umbi membuat keputusan dan serahkan kepada ‘ketentuan’ Allah SWT . Ramai berkata UMNO kini berada dalam keadaan nazak dan sedang menuju ke kuburan politiknya, jangan sampai parti yang dianggap keramat itu ‘ditalkinkan’ dan ‘dipacak batu nesan’ dalam PRU akan datang akibat suara akar umbi didiamkan!

    Janganlah hipokrit dan paling penting janganlah pengecut untuk berhadapan suara akar umbi tidak kiralah untuk jawatan apapun.

  • 5,000 penduduk terputus hubungan jalan runtuh

    5,000 penduduk terputus hubungan jalan runtuh


    KIRA-kira 5,000 penduduk di beberapa kampung di daerah Dungun terputus hubungan apabila laluan Jerangau-Jabur di Kilometer 73, dekat Bukit Besi, Terengganu runtuh berikutan kejadian banjir besar Selasa lalu.

    Menurut penduduk, Shamsul Azmi Ghazali, 32,  laluan itu menjadi nadi perhubungan penduduk ke Kuala Dungun, Bukit Besi hingga ke Kemaman.

    Katanya, runtuhan itu mengakibatkan sebahagian struktur jalan berlubang hampir dua meter, sekali gus ditutup kepada semua kenderaan.

    “Memang bahaya dan wajar ditutup kerana kita bimbang jalan itu akan runtuh sepenuhnya dan boleh mengancam keselamatan nyawa pengguna.

    “Kejadian itu menyebabkan penduduk Pasir Raja, Kuala Jengai, Tepoh, Minda, Talong, Dendang, Paya Lawas dan Jerangau terpaksa menggunakan jalan Kampung Wa dan Kampung Besul untuk ke Bandar Dungun dan Kemaman,” katanya, lapor Berita Harian.

    Shamsul Azmi berkata, kejadian itu mendatangkan kesulitan kepada penduduk untuk melakukan urusan penting kerana terpaksa menggunakan laluan lain yang jaraknya sangat jauh.

    Bagi Zukria Yaakub, 45, dia kesal kerana masih ada pengguna jalan yang sanggup mengambil risiko melalui jalan itu.

    “Ada yang sanggup mengalih batu penghadang yang diletakkan pihak berkuasa. Mereka ini tidak tahu tanah di bawah jalan itu sudah terhakis teruk dan boleh menyebabkan kenderaan mereka terhumban.

    “Penduduk sangat berharap pihak berwajib segera membaiki jalan itu,” katanya.

    Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

    “Kerja-kerja pembaikan jalan akan segera dilakukan dan berharap penduduk bersabar,” katanya.

  • Toyota Vios terjunam dalam pusat beli-belah

    Toyota Vios terjunam dalam pusat beli-belah

    DUA individu berdepan detik cemas selepas kereta dinaiki mereka dipercayai terbabas lalu melanggar tembok di tingkat tiga sebelum terjunam ke tingkat dua di sebuah kompleks beli-belah di Asia City, di Kota Kinabalu, hari ini.

    Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 24 tahun dan wanita berusia 30 tahun hanya cedera ringan sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

    Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pukul 10.56 pagi.

    Katanya, sepasukan bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi berkenaan .

    “Laporan memaklumkan terdapat sebuah Toyota Vios terbabas di tingkat tiga tempat letak kereta lalu melanggar tembok dan terjunam ke tingkat dua.

    “Terdapat dua mangsa terbabit dan keluar sendiri dari kereta berkenaan serta mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Menurutnya, pasukan bomba bertindak menjalankan pemeriksaan untuk memastikan tiada lagi bahaya lain dan memasang sawar-sawar di lokasi kejadian.

    “Mangsa dihantar ke hospital menggunakan ambulans dan operasi tamat pada 11.59 pagi,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Mayat mangsa terakhir tragedi tanah runtuh Batang Kali dikenalpasti

    Mayat mangsa terakhir tragedi tanah runtuh Batang Kali dikenalpasti

    IDENTITI mayat mangsa terakhir dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali yang ditemukan semalam sudah dikenal pasti.

    Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini, korban ke-31 tragedi tanah runtuh itu dikenali sebagai Eng Shao Qi, merupakan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

    NADMA dalam kenyataan itu turut memaklumkan kesemua proses bedah siasat untuk kesemua mayat telah selesai dijalankan, dikenal pasti dan telah diserahkan kepada waris oleh Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh.

    “Proses mengenal pasti mayat mangsa dijalankan dengan menggunakan kombinasi empat kaedah iaitu pengecaman DNA, cap jari, gigi dan pengecaman pihak waris pada barangan peribadi serta tanda unik pada badan mangsa,” menurutnya.

    Semalam, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh berakhir selepas mayat terakhir ditemukan oleh pasukan SAR dalam beg tidur kira-kira empat meter dari tapak perkhemahan di Sektor A.

    Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi, 16 Dis lepas itu menyaksikan  31 nyawa terkorban dan 61 selamat daripada keseluruhan 92 mangsa yang dilaporkan dalam kejadian itu. – BERNAMA

  • Petugas taman hidupan liar maut diserang gajah

    Petugas taman hidupan liar maut diserang gajah

    SEORANG petugas Taman Hidupan Liar Lok Kawi, di Kota Kinabalu Sabah meninggal dunia selepas diserang gajah pygmy, hari ini.

    Difahamkan gajah berkenaan menyerang bahagian perut mangsa berusia 50-an itu dengan kepalanya beberapa kali dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi.

    Ia menyebabkan mangsa cedera bahagian perut sebelum difahamkan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

    Lapor Berita Harian, kejadian turut disahkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin yang dihubungi sebentar tadi.

    Jafry berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada jabatan berkaitan berhubung insiden berkenaan.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata kejadian masih dalam siasatan pihak polis.

    “Saya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian berkenaan ketika ini,” katanya.

    Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim ketika dihubungi, memaklumkan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dan sebarang perkembangan berhubung kejadian akan dikeluarkan dari semasa ke semasa.

  • Tak pernah serik, ‘Petong’ dicekup polis buat kali ke-19

    Tak pernah serik, ‘Petong’ dicekup polis buat kali ke-19

    TAK serik, seorang penyamun bergelar ‘Petong’ditangkap polis buat kali ke-19 semalam, selepas dipercayai aktif melakukan pecah rumah di sekitar Ayer Keroh, Melaka.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan sepasukan polis di kawasan Limbongan, di Ayer Keroh.

    Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, dalam kejadian terbaru Jumaat lalu, suspek dipercayai melakukan pecah rumah membabitkan kerugian kira-kira RM50,000.

    Menurutnya, susulan daripada laporan diterima, polis melancarkan usaha menjejaki suspek dan berhasil apabila penganggur berkenaan berjaya ditahan di sebuah rumah semalam.

    “Turut dirampas bersama suspek adalah hasil pecah rumah, antaranya sebuah beg golf, wang berjumlah kira-kira RM2,190 dan resit jualan barangan kemas berjumlah RM5,351,” katanya.

    Christopher berkata, siasatan lanjut mendapati modus operandi suspek adalah bergerak solo dan menyasarkan rumah mewah sekitar Ayer Keroh untuk melakukan jenayah.

    “Malah suspek juga dikatakan menggunakan kenderaan sewa bagi menyukarkan dikesan polis. Semakan mendapati sejak 2020 hingga 2022, dia sudah ditahan sebanyak 18 kali dan sudah dituduh dengan 23 pertuduhan, malah perbicaraan di mahkamah membabitkan kes itu belum selesai,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau menambah, suspek kini direman sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dijalankan.

  • Rafizi didakwa belum kemuka penyelesaian isu kenaikan harga makanan

    Rafizi didakwa belum kemuka penyelesaian isu kenaikan harga makanan

    MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli didakwa belum mengemukakan sebarang penyelesaian baharu dan konkrit mengenai masalah kenaikan harga makanan di negara ini.

    Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin berkata, pada sidang medianya baru-baru ini, Rafizi juga tidak menyatakan faktor sebenar yang menyumbang kepada masalah itu, sama ada ketiadaan bekalan, kenaikan kos atau peningkatan permintaan.

    Menurutnya, Rafizi juga tidak menyentuh secara keseluruhan mengenai langkah drastik bagi mengurangkan kadar inflasi subsektor makanan dan minuman bukan alkohol yang konsisten, yang mencecah 7.3 peratus pada bulan lalu, yang menjadi bahagian besar atau 30 peratus daripada perbelanjaan isi rumah.

    “Harga barang makanan tidak rasional dan memerlukan intervensi serta penguatkuasaan lebih kuat oleh kerajaan. Bukan hanya menyuruh rakyat kurang makan ayam!

    “Mekanisme subsidi bersasar dinyatakan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada hari pertama pentadbirannya tetapi belum dilaksanakan. Rafizi hanya mengulang perkara sama,” kata beliau dalam kenyataan, hari ini, lapor Berta Harian.

    Kelmarin, Rafizi pada sidang medinya, berkata pengguna perlu berperanan menjadikan penawaran dan permintaan terhadap barangan lebih anjal, termasuk dengan tidak membeli produk yang dijual pada harga lebih mahal, berbanding sebelum ini.

    Katanya, jika pengguna tidak membeli atau menggunakan produk yang menawarkan harga yang tidak berpatutan, ia akan memberi gambaran kepada peniaga dan pembekal untuk tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan.

    Ia termasuk bagi makanan dan minuman bukan alkohol serta ayam.

    Mengulas lanjut, Khairil Nizam, yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, dalam isu kenaikan harga telur dan ayam, ia kemungkinan disebabkan pihak penternak yang berdepan masalah kenaikan kos pengeluaran dan aliran modal atau monopoli dan manipulasi bekalan, yang tidak disentuh Rafizi.

    “Langkah mengimport telur tidak menyelesaikan masalah tuntas. Menurut Pengarah Urusan Mydin (Datuk Ameer Ali Mydin), harga telur import gred C (50 sen sebiji) lebih mahal daripada telur gred A tempatan (45 sen sebiji), malah ia melangkaui harga siling ditetapkan kerajaan.

    “Isu bekalan telur mungkin selesai tetapi masalah utama kenaikan harga yang ditanggung rakyat dan menangani isu monopoli tetap tidak terjawab!” katanya.

    Sebelum ini, Perdana Menteri memaklumkan, import telur sudah bermula sejak 15 Disember lalu dengan permulaan kemasukan sebanyak 100,000 biji telur, sebagai langkah kerajaan untuk menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan, selain bagi tujuan mengawal harganya.

  • Al-Quran sering dibaca tak rosak ditenggelami banjir

    Al-Quran sering dibaca tak rosak ditenggelami banjir

    SEORANG pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terkejut apabila sebuah al-Quran yang diletakkan di dalam almari di rumahnya tidak basah walaupun ditenggelami banjir.

    Lagi membuatkan Zahaitun Mahani Zakariah, 54, sebak ialah al-Quran yang sering dibaca beliau itu sedikitpun tidak rosak malah ia kering sebagaimana sebelum banjir melanda kediamannya sejak Selasa minggu lalu.

    Menurut Pensyarah Marin Biologi yang menetap di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak, Kuala Nerus itu, beliau menyedari naskhah al-Quran itu tidak basah selepas pulang untuk membersihkan rumahnya pagi tadi selepas keadaan banjir pulih sepenuhnya.

    “Kira-kira 9.30 pagi tadi saya pulang untuk mengemas dan membersih rumah selepas banjir di luar rumah melebihi paras pinggang manakala di dalam rumah setinggi 0.5 meter (m).

    “Sebaik saya buka almari yang menempatkan beberapa naskhah al-Quran, saya mengeluarkan semuanya untuk dijemur kerana saya jangkakan semuanya basah.

    “Bagaimanapun saya terkejut dan menangis selepas sebuah naskhah al-Quran sedikitpun tidak basah, malah berada dalam keadaan baik tanpa sedikitpun lumpur.

    “Manakala lima lagi naskhah al-Quran yang lain semuanya basah dan ada yang rosak kerana ditenggelami banjir, begitu juga almari yang saya letakkan al-Quran juga mengalami kerosakan,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini, lapor Harian Metro.

    Mengulas lanjut, pensyarah berasal dari Raub, Pahang itu yang digelar ‘ulat buku’ oleh rakan-rakannya berkata, pengalaman itu adalah yang pertama dalam hidupnya dan tidak menyangka berlaku di depan matanya sendiri.

    “Saya bersyukur kerana dipilih oleh Allah melihat al-Quran tidak basah walaupun tenggelam, ini kekuasaan Allah, lagipun al-Quran ini sentiasa saya baca dan menjadi peneman hidup kerana saya tinggal seorang diri di rumah ini.

    “al-Quran ini saya beli pada 2011 di Madinah ketika menunaikan ibadah haji bersama ibu, dengan ujian ini menambah kekuatan kepada saya untuk lebih mendekatkan lagi dengan Allah,” katanya.

    Sementara itu rakannya, Pegawai Penyelidik UMT, Siti Tafzil Meriam Sheikh Abdul Kadir, 43, yang turut bersama Marina membersihkan rumah akui terkejut dan menangis selepas melihat naskhah al-Quran dalam keadaan baik.

    “Situasi ini bagaikan mimpi, bagaimanapun ianya rezeki buat saya selepas membantu rakan membersih dan mengemas rumah,” katanya akui banyak buku rakannya itu rosak dan basah kerana ditenggelami banjir.