Category: Semasa

  • Lima superbike kemalangan, Lebuhraya KLK sesak lebih 8km

    Lima superbike kemalangan, Lebuhraya KLK sesak lebih 8km

    KEMALANGAN membabitkan lima motosikal berkuasa tinggi di Kilometer (KM) 26.5, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) mengakibatkan aliran trafik menghala ibu negara perlahan lebih lapan kilometer (km).

    Menurut Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, laporan awal yang diterima pihaknya mengatakan kemalangan berlaku kira-kira pukul 1.45 tengah hari yang menyebabkan lorong laju di lebuh raya terhalang.

    Katanya, setakat pukul 2.30 petang tadi, lorong laju masih ditutup.

    “Trafik kini agak perlahan sepanjang 8.5 kilometer dari KM35 (Genting Sempah-Gombak hingga ke lokasi kemalangan.

    “Justeru kita minta semua pengguna lebuh raya supaya bersabar dan berhati-hati ketika memandu selain mematuhi arahan petugas di tempat kejadian,” katanya, lapor Berita Harian.

    Terdahulu tular beberapa gambar dan rakaman video membabitkan kemalangan itu di media sosial.

    Difahamkan, kejadian itu tidak membabitkan kehilangan nyawa namun kelima-lima penunggang motosikal terbabit dilaporkan mengalami kecederaan parah.

    Bagaimanapun pihak media sedang menunggu maklumat lanjut daripada pihak polis berkaitan kemalangan itu.

  • Dipenjara 6 bulan selepas curi cermin mata berjenama

    Dipenjara 6 bulan selepas curi cermin mata berjenama

    SEORANG lelaki dipenjara enam bulan dan denda RM7,500 di Mahkamah Majistret Melaka hari ini selepas mengaku salah mencuri sepasang cermin mata berjenama, dua minggu lalu.

    Tertuduh, Mohd. Ezry Azhari, 37, dijatuhkan hukuman tersebut selepas membuat pengakuan dihadapan Majistret Nabilah Nizam selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya, lapro Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati dengan niat curang mencuri sepasang cermin mata berjenama Rayban bernilai RM1,017 kepunyaan sebuah kedai cermin mata di Pasaraya Aeon Bandaraya Melaka pada pukul 6.30 petang, 11 Disember lalu.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

    Tertuduh turut berdepan tiga lagi pertuduhan, melakukan khianat dan melanggar dua pengawal keselamatan pusat beli-belah itu menggunakan sebuah kereta pada pukul 7.19 malam.

    Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh menyebabkan kecederaan kepada Abdul Rahman Hadzri, 32, cedera parah kepada Kamarul Latiff Mat Sap, 30, dengan melakukan suatu perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa manusia dengan melanggar menggunakan motokar.

    Kesalahan itu dilakukan lokasi sama yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya dan Seksyen 338 kanun sama yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

    Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didapat telah melakukan khianat melanggar palang besi automatik dilokasi dan masa yang sama sehingga mengakibatkan kerugian dianggarkan bernilai RM388.

    Pendakwaan itu dilakukan bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha memohon hukuman setimpal kerana mangsa terlibat mengalami kecederan dan kerugian.

    Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dijatuhi hukuman 15 hari penjara dan denda RM2,500 atau enam bulan penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

    Tertuduh turut dikenakan hukuman lima bulan dan enam bulan penjara bagi kesalahan di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan dan Seksyen 338 kanun sama manakala denda RM5,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar bagi kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

  • Lelaki ditahan tularkan semula mesej provokasi kaum

    Lelaki ditahan tularkan semula mesej provokasi kaum

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesan penularan semula satu imej tangkap layar komen berbaur perkauman melalui pelbagai platform media sosial termasuk Facebook dan WhatsApp, semalam.

    Menurut Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Saaduddin, komen provokasi tersebut dimuat naik pada Ogos 2019 oleh pemilik akaun Facebook ‘Nazrul Nazari’ sebelum ia ditularkan semula.

    “Ekoran daripada itu, seorang lelaki berusia 33 tahun ditahan pada April lalu dan didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan atas kesalahan memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam.

    “Dia juga didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Noorsiah dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan semula komen itu secara provokasi kerana perbuatan terbabit boleh menggugat ketenteraman serta keharmonian kaum di negara ini.

    “Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu sengaja mendatangkan khianat awam melalui isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum,” katanya.

  • Keluarga mangsa tembakan di Rawang saman polis, kerajaan kerana cuai

    Keluarga mangsa tembakan di Rawang saman polis, kerajaan kerana cuai

    WARIS dua lelaki yang didakwa ditembak dari jarak dekat oleh polis di Rawang, tiga tahun lalu, memfailkan dua saman berasingan terhadap 12 anggota polis, ketua polis negara ketika itu dan kerajaan kerana kecuaian.

    Lapor Free Malaysia Today, dokumen mahkamah yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati plaintif juga menyaman pihak berkenaan kerana ‘tort of misfeasance’ sebagai penjawat awam.

    Mereka juga memfailkan tuntutan harta pusaka dan tanggungan.

    Saman pertama difailkan Jasminder Kaur, balu kepada G Thavaselvan, dan saudara perempuannya, Jasvinder Kaur, atas kapasiti sebagai pentadbir harta pusaka Thavaselvan.

    Saman kedua difailkan M Dhanalakshmie, ibu mentua kepada J Vijayaratnam, dan Jasminder atas kapasiti sebagai pentadbir harta pusaka Vijayaratnam.

    Kedua-dua saman itu menamakan Zakiol Kaning, S Prabahakaran Nair, Roslan Ahmad, V Jaya Ganaesh, Fazli Awang, Hairmi Miskon, D Devendran, P Maniam, P Visvanathan, Samsor Maarof dan Noor Azam Jamaludin, ketua polis negara ketika itu, Abdul Hamid Bador dan kerajaan sebagai defendan.

    Peguam mewakili plaintif, M Visvanathan dan Sanjay Nathan, mendakwa defendan cuai dalam menjalankan tugas, termasuk menembak secara melulu terhadap kedua-dua mangsa.

    Mereka mendakwa defendan melakukan ‘tort of misfeasance’ sebagai penjawat awam dengan melanggar Kanun Keseksaan dan Perlembagaan Persekutuan, selain merampas hak kedua-duanya untuk hidup.

    Dalam saman dikemukakan, plaintif berkata, mereka akan bergantung kepada penemuan inkues, keterangan perubatan, laporan kimia dan balistik serta rakaman televisyen litar tertutup bagi membuktikan dakwaan.

    Mereka juga menuntut ganti rugi, harta pusaka dan tanggungan serta relif lain yang difikirkan bersesuaian oleh mahkamah susulan kesakitan dan penderitaan yang dilalui.

    Thavaselvan dan ipar duainya, Vijayaratnam yang juga seorang warga Sri Lanka, serta S Mahendran terbunuh dalam tembak menembak dengan polis di KM22 Jalan Rawang menuju Batu Arang, susulan insiden dikejar kenderaan polis, pada 14 Sept 2019.

    Polis berkata, kesemua mereka disyaki terbabit dalam rompakan bersenjata.

    Polis mendakwa berlaku tembak menembak dengan tiga individu itu di kawasan pinggir hutan di Rawang dengan dua daripada mereka bersenjatakan pistol dan seorang lagi menghayun parang ke arah polis.

    Polis menegaskan mereka bertindak untuk mempertahankan diri.

    Pada 31 Mei, mahkamah koroner menyimpulkan berlaku salah guna kuasa dan unsur bersifat jenayah berhubung kematian tiga lelaki berkenaan.

    Koroner Rasyihah Ghazali berkata, dalam imbangan kebarangkalian, ketiga-tiga mereka maut akibat tembakan di kepala dan dada.

    Bagaimanapun, Rasyihah berkata, beliau tidak dapat menyimpulkan apa yang berlaku kepada G Moganambal, isteri kepada Vijayaratnam, yang dilaporkan hilang selepas insiden itu dan belum ditemui.

    Tidak jelas sama ada keluarga Mahendran ada memfailkan saman sama.

    Vijayaratnam, Moganambal dan dua anak mereka datang ke Malaysia dari United Kingdom, pada Ogos 2019 untuk melawat ibu Moganambal dan saudara lain.

  • MIDF jangka OPR naik sekali lagi pada Januari

    MIDF jangka OPR naik sekali lagi pada Januari

    BANK Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan meneruskan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) secara beransur-ansur sebanyak 25 mata asas lagi pada Januari 2023 bagi mengekang inflasi, demikian kata penganalisis.

    Dengan inflasi teras mencecah paras tertinggi baharu sebanyak 4.2 peratus pada November 2022, kebanyakan penganalisis menjangkakan momentum optimis akan berterusan dan mendorong bank pusat menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3.00 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada bulan depan.

    MIDF Research berkata, trend inflasi yang tinggi di Malaysia didorong oleh permintaan pengguna yang kukuh, manakala petunjuk bagi inflasi kos sudah berkurangan sejak kebelakangan ini.

    Ia berkata, pasaran pekerjaan mulai meningkat, dengan pertumbuhan guna tenaga melebihi tiga peratus bagi tujuh bulan sejak April 2022, manakala import barangan penggunaan dan jualan perdagangan pengedaran terus berkembang pada kadar dua angka dengan masing-masing sebanyak 21.6 mata dan 15.2 peratus pada Oktober 2022.

    Katanya, aliran inflasi keseluruhan menyederhana walaupun kekal pada 4.0 peratus pada November 2022.

    “Dengan momentum yang memberangsangkan ini, kami percaya BNM berkemungkinan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3.00 peratus dalam mesyuarat MPC pertama tahun depan pada 23 Januari,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

    Kenanga Research juga menjangkakan BNM akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi pada Januari 2023 untuk menyelaraskan semula dengan trend pengetatan monetari global dan membendung inflasi teras yang sentiasa tinggi.

    Walau bagaimanapun, ia menjangkakan kebarangkalian 50 peratus kenaikan kadar pada paras sama pada Mac 2023 berikutan ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meningkat dan potensi kelembapan domestik pada tahun itu.

    “Oleh itu, kami jangka kadar terminal adalah sekitar 3.00 peratus hingga 3.25 peratus, selaras dengan purata OPR jangka panjang.

    “Selepas itu, kami menjangkakan BNM akan mengekalkannya tidak berubah untuk sepanjang 2023,” katanya.

    BNM sudah menaikkan OPR secara kumulatif 100 mata asas kepada 2.75 peratus sejak Mei 2022 berikutan tekanan permintaan yang meningkat di tengah-tengah pemulihan ekonomi domestik yang kukuh dan turun naik tidak menentu yang lebih tinggi dalam pasaran kewangan.

    KAF Investment Bank Bhd berpandangan bahawa BNM belum selesai dengan kitaran meningkat kadar penanda aras pinjaman dan deposit di negara ini.

    Ia menjangkakan bank pusat itu akan terus mengetatkan dasar monetarinya dengan OPR meningkat 50 mata asas kepada 3.25 peratus pada separuh pertama 2023 dan dijangka kekal pada paras itu menjelang akhir 2023.

    Katanya, jangkaan itu lebih tinggi berbanding 3.00 peratus sebelum ini memandangkan bank pusat berusaha untuk menyediakan penampan dasar yang lebih besar terhadap kesan buruk yang tidak dijangka peristiwa ekonomi dan tekanan inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan.

    “BNM dijangka menamatkan kitaran kenaikan kadarnya apabila tanda-tanda pertumbuhan perlahan dalam data ekonomi mula muncul, berkemungkinan pada pertengahan 2023,” katanya, lapor BH Online.

  • Awal Ashaari kemuka representasi gugur pertuduhan rosak palang pagar

    Awal Ashaari kemuka representasi gugur pertuduhan rosak palang pagar

    SELEBRITI Awal Ashaari telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menggugurkan pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar pondok pengawal milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara.

    Peguam Datuk M Reza Hassan yang mewakili Awal Ashaari atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, berkata pihaknya memfailkan representasi itu pada bulan November lepas.

    “Mahkamah menetapkan 26 Jan depan bagi mengetahui status representasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

    Pada 17 Mei lepas, personaliti televisyen itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik Pengurusan Challis Damansara yang nilai kerugian dianggarkan RM600.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara, pada 11.30 pagi, 16 April lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • SM Faisal, Caprice bincang selesai kes saman-Peguam

    SM Faisal, Caprice bincang selesai kes saman-Peguam

    PIHAK-pihak dalam kes saman Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal terhadap penyanyi rap Caprice sedang berusaha menyelesaikan kes itu secara baik sebelum perbicaraan bermula pada 4 Okt 2023 di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

    Peguam Puteri Ummi Kartini Abd Latiff yang mewakili SM Faisal berkata jika tiada penyelesaian, mahkamah menetapkan 4 hingga 6 Okt tahun depan untuk mendengar kes berkenaan.

    “Pengurusan kes ditetapkan pada 3 Julai 2023 untuk arahan lanjut perbicaraan,” katanya ketika dihubungi selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Azian Othman yang turut disertai peguam Harjoth Singh mewakili Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli.

    SM Faisal menyaman Ariz selaku defendan pada 15 Ogos lepas berhubung dakwaan memuat naik hantaran fitnah menerusi Instagram miliknya, dengan mengaitkan ahli perniagaan itu dengan kes bekas isterinya Emilia Hanafi.

    Berdasarkan pernyataan tuntutan, SM Faisal selaku plaintif berkata pada 27 Jun lepas, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memerintahkan Emilia menjalani hukuman penjara selama tujuh hari, selepas didapati gagal mematuhi perintah pengkomitan mahkamah.

    SM Faisal mendakwa pada 28 Jun, Ariz memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah dengan memuat naik video dan hantaran memfitnah, melalui Instagram defendan yang antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang lelaki yang kejam dan semberono mahu memenjarakan bekas isterinya, selain tidak bertimbang rasa dan bertindak agresif terhadap kaum wanita atau kanak-kanak.

    Plaintif memohon ganti rugi am, punitif, teladan, teruk dan kos selain perintah injunksi supaya defendan mengeluarkan dan memadamkan hantaran fitnah itu.

  • Bicara bela diri Siti Bainun kekal 5 Jan

    Bicara bela diri Siti Bainun kekal 5 Jan

    PERBICARAAN bagi pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali membela diri atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down dikenali sebagai Bella, dijadualkan bermula 5 Januari ini.

    Peguamnya, Nurul Hafidzah Hassan berkata, anak guamnya tidak mempunyai tarikh pembedahan selepas diberi sijil cuti sakit (MC) akibat masalah kesihatan yang dihadapi sebelum ini.

    “Tarikh prosiding itu terpaksa diteruskan sebab tiada tarikh pembedahan. Pembelaan bersedia untuk prosiding itu, namun tak tahu jika Siti Bainun sihat atau sebaliknya pada masa itu.

    “Mengikut undang-undang, Siti Bainun kena hadir dalam prosiding bela diri. Dia yang akan memberi keterangan dahulu,” katanya, menurut laporan Berita Harian.

    Mahkamah Sesyen pada 9 Disember lalu menetapkan tarikh baharu perbicaraan bela diri itu selama 25 hari iaitu 5, 6, 16 hingga 20, 26 dan 27 Januari (sembilan hari) diikuti 20 hingga 24, 27 dan 28 Februari (tujuh hari) dan 6 hingga 10, 27 hingga 30 Mac (sembilan hari).

    Siti Bainun sebelum ini disahkan diberi cuti sakit selama 22 hari berakhir 19 Disember lalu akibat masalah kesihatan.

    Dia dijangkiti bakteria yang memerlukan pengambilan antibiotik selama 15 hari sebelum menjalani pembedahan hempedu hasil prosedur perubatan diagnostik atau endoskopi dan ujian darah di hospital.

    Pada 24 November lalu, dia diarahkan membela diri terhadap pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari hingga Jun 2021.

    Mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan untuk membela diri awal bulan ini dan lima saksi pembelaan akan dipanggil bagi memberi keterangan termasuk Siti Bainun.

    Pada 28 Oktober lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi pada perbicaraan kes itu yang bermula 30 Mac lalu.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Badan pemikir persoal kenyataan Rafizi berkait punca inflasi

    Badan pemikir persoal kenyataan Rafizi berkait punca inflasi

    PUSAT Pendidikan Pasaran (CME) menyifatkan kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berhubung inflasi dan tabiat belanja pengguna, minggu lalu, sebagai ‘komunikasi yang tidak tepat’.

    Pada sidang media minggu lalu, Rafizi berkata, tabiat belanja menjadi pendorong utama kepada inflasi.

    Katanya, dalam teori ekonomi, permintaan sepatutnya berkurang apabila harga meningkat, namun trend itu tidak dapat dilihat di Malaysia.

    Rafizi berkata, keadaan itu berlaku terutama membabitkan kategori makanan dan bukan alkohol, yang mana permintaan tidak menurun walaupun harga meningkat.

    Memetik pemenang hadiah Nobel ekonomi, Friedrich August von Hayek, CME menjelaskan ‘maksud asal inflasi dan sebetulnya adalah peningkatan berlebihan kuantiti wang, sehingga membawa kepada peningkatan harga’.

    “Walaupun kita memahami sasaran untuk ‘menggegar’ pengguna dengan kenyataan sedemikian, kita juga percaya pihak kementerian boleh menghantar jelas tanpa menjejaskan ketepatan alasan ekonomi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CME Carmelo Ferlito, dalam kenyataan.

    “Sekiranya kerajaan serius menangani inflasi, ia patut bermula dengan mengenalpasti sewajarnya punca dan melaksanakan dasar komunikasi secukupnya.

    “Selain itu, sekiranya kerajaan mahu rakyat berhemah menguruskan perbelanjaan mereka, kerajaan patut menghantar isyarat dengan berhemah dalam kewangannya, yang mana wang dipungut daripada rakyat menerusi percukaian,” lapor FMT.

    Ferlito berkata, dasar fiskal dan monetari besar Malaysia yang diumumkan sebelum ini merupakan usaha mengurangkan kesan ekonomi susulan pandemik Covid-19 – RM305 bilion (23% daripada KDNK) pada 2020 dan RM225 bilion (15% daripada KDNK) pada 2021 – menjadi ‘akar tunjang’ isu inflasi yang sedang melanda.

    Katanya, bagi menangani inflasi sewajarnya, kerajaan sepatutnya secara berkala memotong perbelanjaannya untuk mengurangkan kuantiti wang dalam pasaran.

    Ferlito juga menggesa pelaksanaan reformasi bagi mengembalikan bajet seimbang mengikut keutamaan.

    Dalam maklum balas terhadap kritikan diterimanya, Rafizi berkata, mesej utama yang mahu disampaikan adalah keperluan menangani bekalan dan permintaan untuk mewujudkan ‘keanjalan permintaan’ lebih besar mempengaruhi harga barangan.

  • Siasatan tragedi tanah runtuh Batang Kali 90 peratus siap

    Siasatan tragedi tanah runtuh Batang Kali 90 peratus siap

    SIASATAN polis berhubung tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Dis yang mengorbankan 31 nyawa kini telah hampir 90 peratus lengkap, kata Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.

    Beliau berkata kini hanya tinggal siasatan di lokasi kejadian, rakaman percakapan anggota pasukan penyelamat dan laporan patologi daripada pihak hospital untuk mengetahui punca kematian mangsa yang terlibat.

    “Sehingga kini polis telah merakam keterangan daripada 77 orang saksi melibatkan mangsa yang cedera dan keluarga mangsa, operator dan pekerja tapak perkhemahan dan anggota pasukan penyelamat, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 290 Kanun Keseksaan serta Akta Kerajaan Tempatan 1974,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pentauliahan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi hari ini.

    Arjunaidi Mohamed

    Seramai 66 orang pelatih yang merupakan pelajar UKM menerima sijil selepas berjaya menamatkan latihan masing-masing di majlis berkenaan.

    Sementara itu Arjunaidi berkata pihaknya telah mengesan 20 kenderaan yang tertimbus dalam kejadian berkenaan dan sedang mengenal pasti pemiliknya.

    “Pihak polis tidak akan mengeluarkan kenderaan itu kerana ia tertimbus terlalu dalam, jadi ia terpulang kepada pemilik kenderaan itu nanti untuk berbincang dengan pihak insurans mereka berkaitan dengan tuntutan,” katanya.

    Tragedi pada kira-kira pukul 2.30 pagi 16 Dis itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan.

    Kejadian menyayat hati itu meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak.