Category: Semasa

  • Tambang bas sekolah dijangka naik pada Januari

    Tambang bas sekolah dijangka naik pada Januari

    TAMBANG bas sekolah mungkin akan naik pada Januari disebabkan kos overhed yang meningkat, kata badan persatuan bas sekolah.

    Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia Amali Munif Rahmat memetik harga alat ganti yang lebih tinggi, kenaikan gaji pemandu, dan persaingan daripada pengusaha tidak berlesen.

    Setiausaha Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Tunku Munawirah Putra memberikan maklum balas dengan berkata, kerajaan perlu menyediakan subsidi tambang bas dalam bentuk baucar bagi meringankan beban keluarga B40 yang mempunyai anak bersekolah.

    Menurut Amali, pengusaha bas sekolah terjejas apabila sekolah ditutup untuk tempoh yang lama ekoran wabak Covid-19, menyebabkan ramai antara mereka gulung tikar dan pemandu dibuang kerja.

    Katanya, sukar mencari pemandu tanpa memberikan gaji yang lumayan. Gaji semasa RM2,000 sebulan tidak menarik kerana pemandu boleh memperoleh jumlah itu untuk kerja yang kurang tekanan.

    “Kami pernah mempunyai kira-kira 16,000 pengusaha tetapi telah berkurangan kepada kira-kira separuh,” katanya kepada FMT.

    “Selain kenaikan kos operasi, bas sekolah berlesen berdepan cabaran serius daripada pengusaha haram yang menawarkan perkhidmatan yang lebih murah.

    “Sukar mendapatkan pemandu sekarang ini kerana mereka lebih gemar memandu koc ekspres dan lori, bukan sahaja mereka dibayar lebih tetapi juga kurang tekanan. (Jika memandu bas sekolah), mereka malah tidak boleh cuti sakit kerana akan mengganggu persekolahan murid.”

    Mengenai unjuran tambang yang lebih tinggi, Amali berkata, pihaknya telah mengeluarkan garis panduan mengenai kadar bulanan mengikut perkhidmatan yang disediakan dan jarak, serta faktor lain. Tambang boleh menjadi antara RM50 hingga RM1,000 kerana segelintir ibu bapa mahukan bas yang sangat selesa serta boleh dikesan dengan GPS.

    Tunku Munawirah menegaskan bahawa tambang bas sekolah yang lebih mahal ialah isu yang sering dibangkitkan, tetapi tiada penyelesaian ditemui. Justeru, katanya, kerajaan perlu campur tangan.

    “Kerajaan harus memberikan baucar tunai kepada mereka yang memerlukannya, terutama keluarga B40. Sesetengah ibu bapa mungkin tidak mampu untuk menghantar anak mereka ke sekolah dan ini boleh menyebabkan mereka tercicir (dalam persekolahan) jika tidak dibantu,” katanya.

    Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) N Marimuthu berkata, isu itu mesti diselesaikan sebelum penggal persekolahan dibuka kerana ada keluarga yang terpaksa membayar tambang bas sekolah sebanyak RM500 untuk anak-anak mereka.

    “Secara khususnya, keluarga B40 memerlukan sokongan kerajaan kerana mereka mungkin mempunyai sehingga lima anak. Selain itu, pengusaha dan pemandu bas sekolah juga akan mendapat manfaat daripada subsidi kerana mereka terjejas teruk oleh wabak.

    “Ramai pemandu kehilangan pekerjaan dan subsidi akan membantu mereka bangkit semula,” katanya.

  • ‘Tragedi Batang Kali: Pemilik tanah, kerajaan negeri bertanggungjawab’

    ‘Tragedi Batang Kali: Pemilik tanah, kerajaan negeri bertanggungjawab’

    SELAIN pemilik tanah, kerajaan negeri juga perlu bertanggungjawab terhadap kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali sehingga mengorbankan 31 nyawa.

    Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nor Shahidah Mohd Nazer, berkata pemilik tanah berkenaan bersalah kerana memanipulasi kawasan pertanian itu untuk dijadikan tempat rekreasi tanpa pengetahuan pihak berwajib.

    “Kerajaan negeri seharusnya mengambil tanggungjawab yang berlaku dalam kawasan pentadbirannya itu.

    “Kerana pada hakikatnya, kawasan bercerun yang juga diklasifikasikan sebagai kawasan sensitif alam sekitar paling banyak taburannya adalah di Selangor, berbanding di negeri lain di negara ini.

    “Jadi kerajaan negeri sepatutnya sedar potensi kejadian tanah runtuh yang akan berlaku apabila tibanya musim hujan seterusnya perlu bertindak lebih proaktif dan langkah susulan.

    “Antaranya dengan mengadakan langkah ketat ke atas semua aktiviti yang dilakukan manusia di kawasan tanah tinggi dan berisiko bagi membendung isu kegiatan haram yang mungkin memberi kesan langsung ke atas keselamatan alam sekitar,” katanya kepada BH.

    Kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali pada 16 Disember lalu adalah kejadian kedua terbesar membabitkan jumlah mangsa maut selepas runtuhan Kondominium Highland Towers pada 1993 yang mengorbankan 48 nyawa.

    Tragedi kira-kira pukul 2.30 pagi itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan.

    Kejadian menyayat hati itu meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak, dengan 20 mayat ditemukan di sektor A, satu sektor B dan 10 lagi di sektor C di kawasan perkhemahan berkenaan.

    Sementara itu, berkongsi pandangan sama, Pegawai Lapangan Sahabat Alam Sekitar (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman, berkata bencana yang berlaku itu disebabkan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak.

    Tanpa mahu menuding jari kepada sesiapa, Meor Razak berkata perkara itu dapat dielakkan sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menjalankan amanah yang diberikan.

    “Ia boleh dielakkan jika segala syarat dipatuhi serta pemantauan oleh pihak berkuasa diadakan dengan lebih kerap terutamanya di kawasan yang dikesan sebagai sensitif.

    “Sebagaimana kita sedia maklum kawasan itu adalah tanah milik syarikat atau individu yang melaksanakan pertanian tanaman organik, jadi pemiliknya perlu mematuhi syarat nyata pemilikan tanah berkenaan.

    “Tanah itu dikhususkan untuk pertanian, dalam geran tanah itu sepatutnya sudah disertakan dengan syarat tertentu mengenai pemilikan dan kegunaan tanah.

    “Bila syarat nyata itu ditulis untuk pertanian, maknanya ia khusus untuk pertanian dan tidak boleh dibangunkan chalet, hotel, resort mahupun tapak perkhemahan secara komersial. Di sini kita nampak yang pemilik tanah tidak mematuhi apa yang sudah ditetapkan dalam syarat nyata pemilikan tanah berkenaan,” katanya.

    Tambahnya, dengan kegunaan tanah yang disertakan dalam geran berkenaan, pihak berkuasa perlu memastikan setiap pemilik tanah mematuhi Rancangan Tempatan Daerah (RTD) di kawasan masing-masing.

    “Setiap daerah mempunyai RTD dan sekiranya kawasan itu dikhususkan sebagai zon pertanian, bagaimana pemilik tanah itu ‘boleh terlepas’ menjadikan ia sebagai tapak komersial.

    “Ia dipanggil sebagai kawasan komersial kerana bukan hanya satu dua khemah yang dipacakkan di kawasan itu untuk diduduki oleh seorang dua individu, tetapi ia dibuka kepada orang ramai dan mereka ini perlu bayar kepada pemilik tanah untuk menginap di situ, ini sudah salah kerana sepatutnya pemilik perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

    “Dan PBT pula tidak boleh luluskan ia sebagai kawasan komersial kerana ia adalah zon pertanian, sebab itu sepatutnya PBT ini bila sudah tahu ia digunakan sebagai tapak perkhemahan komersial sepatutnya dari awal diambil tindakan.

    “Bukan sahaja PBT, malah Pejabat Daerah dan Tanah serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) juga boleh ambil tindakan kerana pemilik itu tidak mempunyai permit dan melanggar syarat-syarat kegunaan tanah,” katanya.

    Meor Razak berkata, beliau tidak mahu menuduh sesiapa yang bersalah namun peraturan dan peruntukan undang-undang sudah ada dan mengapa ia tidak dikuatkuasakan oleh pihak yang sepatutnya dan mengambil tindakan lebih awal sebelum kejadian itu berlaku.

    “Jika tindakan sudah diambil lebih awal, ia secara tidak langsung boleh elakkan berlakunya insiden kehilangan nyawa. Bencana tetap akan berlaku, kerana jika dilihat kepada RTD kawasan itu, ia diletakkan sebagai kawasan sensitif tahap satu dan dua, jadi tidak mustahil akan berlakunya bencana.

    “Kawasan sensitif tahap satu dan dua ini perlu dipelihara sebagai kawasan perlindungan bukannya dijadikan tempat komersial,” katanya.

  • Adik maut, kakak parah dirempuh kereta

    Adik maut, kakak parah dirempuh kereta

    SEORANG penunggang motosikal maut, manakala dua lagi parah dalam kemalangan di Jalan Pekan Gurney, dekat sini, tengah malam tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Azizi Zakaria, berkata sebuah kereta dipandu seorang lelaki bertembung dengan motosikal ditunggangi dua beradik.

    Menurut Mohd Azizi, akibat perlanggaran itu, Mohammad Azman Faizal, 20, yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian, manakala kakaknya, Siti Norazualina Faizal, 26, parah.

    “Berdasarkan maklumat dari saksi kejadian, kereta masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar motosikal.

    “Pemandu kereta yang berumur 33 tahun itu dikeluarkan oleh orang awam dan turut parah,” kata Mohd Azizi ketika dihubungi hari ini.

    Menurut Mohd Azizi, kedua-dua mangsa yang parah diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Seri Manjung, manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Terdahulu, pihak BBP Sitiawan menerima panggilan kecemasan jam 12.35 tengah malam. Operasi menyelamat ditamatkan jam 1.47 pagi lapor BH Online.

  • Anwar dijadual bentang Bajet 2023 24 Februari depan

    Anwar dijadual bentang Bajet 2023 24 Februari depan

    BAJET 2023 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 24 Februari tahun depan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul yang mengesahkan perkara itu berkata, tempoh tiga minggu diperuntukkan bagi keseluruhan proses pembentangan Bajet 2023 berlangsung termasuk perbahasan sebelum ia diluluskan.

    “Ya Bajet 2023 akan dibentangkan pada 24 Februari depan berikutan sebelum ini hanya Bajet mini yang dibentang bagi perbelanjaan perkhidmatan dan pembayaran gaji.

    “Secara keseluruhan proses pembentangan bajet, perbahasan termasuk urusan jawatankuasa dan dasar akan mengambil masa 21 hari,” katanya kepada BH, di sini.

    Pada masa sama, Johari berkata, persidangan Dewan Rakyat akan bermula 13 Februari depan selama 29 hari.

    Beliau berkata, mesyuarat pertama Dewan Rakyat Parlimen ke-15 itu akan membuka tirainya dengan titah ucapan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong.

    20 Disember lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022.

    Keputusan itu dimaklumkan oleh Johari selepas tiada perbahasan bagi kedua-dua usul yang dibentangkan Perdana Menteri.

    Anwar membentangkan peruntukan khas untuk perbelanjaan perkhidmatan berjumlah RM107,718,676,650.

  • ‘Ameba pemakan otak’: Belum ada kes di Malaysia

    ‘Ameba pemakan otak’: Belum ada kes di Malaysia

    MALAYSIA setakat ini tiada kes jangkitan Naegleria Fowleri atau dirujuk sebagai ‘ameba pemakan otak’  namun rakyat dinasihatkan berwaspada dan mengambil langkah sewajarnya ketika ingin melakukan aktiviti di kawasan air tawar.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataan hari ini, berkata ini termasuklah mengelakkan diri daripada menggali atau mengusik apa-apa sedimen yang berada di dasar tasik, kolam atau sungai memandangkan habitat ameba berada di situ.

    Selain itu, orang ramai dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti seperti menyelam, melompat ke dalam air yang mana air mungkin dicemari oleh ameba yang boleh memasuki rongga hidung secara terus.

    “Langkah lain ialah mencuci badan dengan air yang terawat dan sabun selepas melakukan aktiviti di dalam air dan segera mendapatkan rawatan apabila mengalami demam, sakit kepala, muntah atau kekakuan leher secara tiba-tiba terutamanya selepas melakukan aktiviti dalam air,” katanya.

    Naegleri Fowleri ialah ameba termofilik atau organisma sel tunggal protozoa yang boleh ditemui di seluruh dunia terutamanya dalam habitat air tawar seperti tasik, kolam, sungai, mata air panas serta dalam tanah dan boleh menyebabkan jangkitan otak yang teruk iaitu Primary Amoebic Meningoencephalitis (PAM) yang membawa maut.

    Ameba Naegleri Fowleri juga dikenali sebagai ‘ameba pemakan otak’ kerana berupaya menyebabkan kerosakan kepada otak melalui jangkitan sistem saraf tunjang dan berupaya untuk masuk ke dalam badan manusia melalui hidung semasa aktiviti berkaitan air tawar.

    Semalam, Korea Selatan telah melaporkan kes pertama jangkitan itu membabitkan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 50-an yang meninggal dunia pada 21 Dis selepas menetap selama empat bulan di sebuah negara Asia Tenggara sebelum kembali ke republik itu pada 10 Dis lepas.

    “Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau rapi situasi jangkitan Naegleria Fowleri di dalam dan luar negeri dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

    “Selain itu, KKM juga komited dalam memberikan informasi yang tepat dan responsif sekiranya terdapat perkembangan terbaharu tentang penyakit tersebut,” kata Dr Noor Hisham.

    Menjelaskan lanjut, beliau berkata gejala PAM pada peringkat awal menyerupai gejala meningitis yang disebabkan oleh bakteria atau virus lain seperti sakit kepala, demam, loya, atau muntah.

    Katanya. gejala yang lebih serius seperti kekakuan leher, kekeliruan, kurang kesedaran terhadap orang serta sekeliling, sawan, halusinasi dan koma juga boleh berlaku dan kebiasaannya, gejala ini muncul sekitar lima hari selepas jangkitan (tempoh inkubasi) dan seawal satu hari atau selewat-lewatnya 12 hari selepas dijangkiti.

    “Keadaan pesakit juga boleh bertambah teruk dengan cepat iaitu dalam tempoh lima hari dan kematian boleh berlaku dalam tempoh satu hingga 18 hari daripada onset gejala,” katanya.

    Menurut Dr Noor Hisham, penyakit tersebut didiagnosis melalui pengesanan asid nukleik Naegleria Fowleri dalam cecair tulang belakang atau tisu otak individu yang dijangkiti dan rawatannya adalah dengan pemberian gabungan ubat-ubatan namun sangat terhad disebabkan perkembangan penyakit berlaku sangat cepat. – BERNAMA 

  • Kematian isteri dan anak akibat nahas, lelaki gagal saman LPT

    Kematian isteri dan anak akibat nahas, lelaki gagal saman LPT

    MAHKAMAH Sesyen Temerloh menolak saman sivil difailkan seorang lelaki terhadap syarikat konsesi Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) susulan kematian anak dan isterinya di Pahang, dua tahun lalu.

    Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim memutuskan Redza Hassan gagal membuktikan tuntutannya terhadap Anih Bhd berdasarkan imbangan kebarangkalian, selepas mendengar keterangan lima saksi.

    Menurutnya, tindakan Redza bergantung kepada laporan media untuk membuktikan kewujudan lopak air di KM119 lebuh raya berkenaan adalah tidak mencukupi.

    Isteri Redza, Norhadiyatul Akma Jaafar maut dalam kemalangan bersama seorang anak mereka, Amer Asyraf, ketika memandu sebuah pikap dari Temerloh ke Kuala Lumpur pada kira-kira 6 petang 2 Februari 2020.

    Tiga lagi anak mereka, Ammar Wafiy, Rania Zulfa dan Adeeb Rayyan yang juga berada dalam kenderaan itu, bagaimanapun terselamat.

    “Berdasarkan keterangan lima saksi ini, mahkamah mendapati plaintif gagal membuktikan kecuaian di pihak pemilik konsesi lebuh raya dalam menyenggara lebuh raya berkenaan,” kata Che Wan Zaidi dalam penghakiman yang dibacakan secara dalam talian, lapor Free Malaysia Today.

    Katanya, dua saksi iaitu seorang anggota polis dan pegawai penyiasat, telah memberi keterangan bahawa tiada bukti menunjukkan kehadiran lopak di tempat kejadian seperti didakwa, yang bertentangan dengan laporan media.

    Sebaliknya, katanya, berdasarkan keterangan pegawai penyiasat, Norhadiyatul lebih berkemungkinan hilang kawalan terhadap kenderaannya akibat cara pemanduannya ketika hujan.

    Che Wan Zaidi turut tidak mengambil kira lima laporan media mengenai kemalangan di bahagian lain lebuh raya berkenaan kerana tidak relevan dengan kes ini.

    Susulan itu, Redza berkata beliau akan memfailkan rayuan dengan menuntut ganti rugi sebanyak RM1.8 juta.

    KS Naicker dan Rosmaria Daud mewakili Anih Berhad, manakala Ranizan Mokhtar dan Amirul Faliq mewakili Redza.

  • Sanusi ingatkan orang ramai tak tertipu dengan iklan palsu guna wajahnya

    Sanusi ingatkan orang ramai tak tertipu dengan iklan palsu guna wajahnya

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BERIKUTAN populariti dimilikinya, wajah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor turut tidak terlepas daripada digunakan sebagai ‘pelaris’ oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk iklan pelaburan yang cukup meragukan di laman media sosial.

    Memuat naik iklan tersebut di laman media sosialnya hari ini, Muhammad Sanusi turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah tertipu.

    “Ini ‘scammer’ guna gambar saya. Harap jangan ada yang tertipu,” katanya menerusi hantaran dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.

    Iklan tersebut memaparkan mengenai pelaburan yang didakwa patuh syariah menggunakan operasi mudah, pantas, selamat dan boleh dipercayai.

    Pelaburan itu jelas meragukan apabila iklan tersebut mendakwa pelabur boleh mendapat keuntungan hanya dalam masa empat jam.

    Para pelabur juga boleh didakwa bolej mendapat keuntungan hingga RM9,000 dengan pelaburan hanya RM300, RM16,000 untuk pelaburan berjumlah RM500 serta RM29,000 untuk pelaburan bernilai RM1,000.

    Bagi menyakinkan orang ramai, iklan berkenaan turut mendakwa kononnya pelaburan itu sah dan berisiko rendah, 100 peratus menambah aset selain pelabur akan mendapati gantian modal semula secara penuh.

    Taktik sama sering digunakan oleh pemilik perniagaan atau produk-produk tertentu terutamanya kecantikan sebelum ini.

  • Pasangan Rusia ceroboh panjat Menara Merdeka 118 disiasat

    Pasangan Rusia ceroboh panjat Menara Merdeka 118 disiasat

    POLIS akan menjalankan siasatan terhadap pasangan dari Rusia yang dipercayai menceroboh bagi memanjat Menara Merdeka 118, di ibu negara, baru-baru ini.

    Jelas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman, pihaknya akan memanggil pasangan itu untuk dirakam keterangan.

    “Kedua-dua individu berkenaan akan disiasat atas tuduhan menceroboh,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Berita Harian.

    Terdahulu, gambar pasangan itu, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia berkenaan dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.

    Pasangan itu dipercayai menggunakan dron untuk mengambil gambar dan memanjat tangga dari dalam menara untuk ke puncak.

    Dalam hantaran dimuat naik Ivan di laman sesawang itu, dia memaklumkan pengalaman berada di atas puncak menara berkenaan sebagai sesuatu yang ‘gila’.

    Sementara itu, Angela menerusi hantaran di Twitter, menulis dia tidak ditahan semasa memanjat menara terbabit yang belum lagi dibuka kepada umum.

    “Saya sudah melakukan perbuatan ‘gila’ dan tidak ditahan. Ia pengalaman menakutkan, tetapi dengan penamat yang menggembirakan,” katanya.

    Pasangan itu sememangnya dikenali dengan lagak aksi di beberapa bangunan tinggi di seluruh dunia.

  • Sesi persekolahan penggal 3 bermula 1 Januari – Fadhlina

    Sesi persekolahan penggal 3 bermula 1 Januari – Fadhlina

    KALENDAR Akademik Penggal 3 Sesi 2022-2023 akan bermula pada 1 Januari 2023 bagi sekolah-sekolah dalam Kumpulan A.

    Bagi sekolah-sekolah dalam Kumpulan B pula akan memulakan sesi persekolahan pada 3 Januari 2023.

    Perkara itu dimaklumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi kenyataan di akaun media sosial beliau.

    Fadhlina Sidek

    “Kalendar Akademik Penggal 3 Sesi 2022-2023 akan bermula pada 1 Jan 2023 bagi sekolah-sekolah dalam Kumpulan A.

    “Manakala sekolah-sekolah dalam Kumpulan B akan memulakan sesi persekolahan pada 3 Januari 2023.

    “Saya ucapkan selamat kembali ke sekolah tidak lama lagi,” katanya hari ini.

    Berdasarkan infografik yang dikongsi, Kumpulan A adalah sekolah-sekolah yang berada di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Bagi kumpulan B, sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

    Sementara itu berdasarkan infografik berkenaan, cuti persekolahan bagi sekolah dalam kumpulan A bermula pada 17 Februari hingga 18 Mac 2023.

    Cuti persekolahan bagi sekolah dalam kumpulan B pula bermula pada 18 Februari hingga 19 Mac 2023.

  • Pemandu mabuk lawan arus punca kemalangan di LDP direman

    Pemandu mabuk lawan arus punca kemalangan di LDP direman

    TINDAKAN lelaki mabuk memandu secara melawan arus mengakibatkan kemalangan dua kenderaan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran jejambat Taman Megah, dekat Petaling Jaya, hari ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu, 6.09 pagi tadi.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku akibat Honda Civic dipandu secara melawan arus oleh seorang lelaki di bawah pengaruh alkohol berusia 27 tahun.

    “Tindakan itu menyebabkan kenderaan berkenaan terlanggar sebuah Proton Saga yang datang dari arah hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohamad Fakhrudin berkata, kemalangan itu menyebabkan dua penumpang kereta Honda Civic serta pemandu kereta Proton Saga cedera.

    “Semua mangsa yang cedera dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan.

    “Pemandu kereta Honda Civic itu pula direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi penolong pegawai penyiasat trafik, Sarjan Juwita Selamat di talian 019-2841667 bagi membantu siasatan.