Category: Semasa

  • Adakah TPM patut diberi layanan lebih tinggi berbanding Agong-Tun M

    Adakah TPM patut diberi layanan lebih tinggi berbanding Agong-Tun M

    TUN Dr. Mahathir Mohamad mempersoalkan pelantikan Timbalan Perdana Menteri yang masih berdepan pendakwaan mahkamah.

    Menerusi entri terbaharu di akaun Twitter, bekas Perdana Menteri itu berpendapat perlu satu bentuk reformasi terhadap jawatan tersebut.

    “Ini berlandaskan ketidakselarasan peruntukan di bawah Perkara 33A Perlembagaan Persekutuan.

    “Ketika saya sedang mengimbas Perlembagaan Persekutuan, tiba-tiba saya mendapati ketidakselarasan peruntukan di bawah Perkara 33A

    “Ia berbunyi seperti berikut: Yang di-Pertuan Agong hendaklah terhenti menjalankan fungsi Yang diPertuan Agong jika dipertuduh atas suatu kesalahan.

    “Ia jelas sekali menunjukkan bahawa pertuduhan atas sebarang kesalahan adalah sangat serius sehingga seseorang seperti Yang di-Pertuan Agong perlu menghentikan fungsi sebagai Ketua Negara.

    “Pada masa sama, ia tidak menyatakan bahawa baginda perlu didapati bersalah sebelum baginda menghentikan tugasnya.

    “Ia secara jelas menyatakan sudah didakwa juga cukup serius untuk Perlembagaan menetapkan pemberhetian fungsinya,” ujar beliau.

    Sehubungan itu, Dr. Mahathir mempersoalkan bagaimana pula pemimpin yang lebih rendah kedudukannya berbanding Yang di-Pertuan Agong seperti Timbalan Perdana Menteri (TPM).

    Tanpa menamakan mana-mana individu, Dr. Mahathir turut mempersoalkan, sekiranya individu tersebut berdepan pendakwaan sehingga lebih 40 pertuduhan namun dilantik menggalas jawatan tersebut.

    “Adakah TPM sepatutnya diberi layanan lebih baik berbanding YDPA?” soalnya lagi, lapor Astro Awani.

    Mengakhiri entri tersebut, Dr. Mahathir dengan nada berseloroh menulis agar diabaikan sahaja penulisannya itu kerana beliau mahu kembali menjaga cucunya.

  • TLDM siasat bot tempur berlanggar sewaktu demonstrlasi

    TLDM siasat bot tempur berlanggar sewaktu demonstrlasi

    TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian pelanggaran bot tempur semasa Hari Terbuka Armada (HTA2022), semalam.

    Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat dalam satu kenyataan memaklumkan, insiden berlaku ketika sebuah bot tempur TLDM telah hilang kawalan dan terlanggar KD Laksamana Tan Pusmah sewaktu melaksanakan demonstrasi manuvra bagi memintas bot mencurigakan di jeti Pangkalan TLDM Lumut.

    Insiden kira-kira pukul 11.30 pagi tersebut telah mengakibatkan badan kapal KD Laksamana Tan Pusmah terkoyak sepanjang 2 x 1m dan Bot Tempur kemek di bahagian haluan.

    “Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan akibat insiden ini. Insiden juga tidak menjejaskan perjalanan HTA22 yang akan diteruskan mengikut atur cara telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

    Sambutan HTA22 sedang berlangsung bermula semalam hingga esok di Pangkalan TLDM Lumut. – Bernama

  • Langkah bebas tahanan Sosma mampu ancam keselamatan negara – Penganalisis

    Langkah bebas tahanan Sosma mampu ancam keselamatan negara – Penganalisis

    PEMBEBASAN tahanan Sosma secara serta merta boleh mendatangkan bahaya dan mengancam keselamatan serta kedaulatan negara, kata penganalisis keselamatan.

    Pakar kajian hubungan antarabangsa, keselamatan dan undang-undang di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Mizan Mohammad Aslam berkata, tahanan Sosma terbabit dengan pelbagai kesalahan serius seperti pengintipan, jenayah terancang dan keganasan.

    Katanya, penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) penting untuk negara kerana ia bertujuan mengekang jenayah berbahaya.

    Mengulas mengenai cadangan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer supaya tahanan Sosma dibebaskan serta-merta sementara menunggu sesi libat urus berhubung penambahbaikan akta itu selesai, Mizan berkata, cadangan wakil rakyat DAP itu tidak mencerminkan patriotisme.

    “Rayer tidak melihat kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi. Tahanan Sosma terbabit dengan pelbagai kesalahan serius termasuk pengintipan, pengkhianatan, jenayah terancang, keganasan dan segala bentuk perbuatan subversif yang boleh mendatangkan bahaya dan mengancam keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya, lapor FMT.

    Mizan berkata, cadangan Rayer supaya tahanan Sosma dibebaskan akan meletakkan negara dalam keadaan berisiko walaupun negara mempunyai undang-undang lain.

    “Rayer harus faham bahawa kesalahan bawah Sosma adalah serius dan cukup bahaya. Kita belajar daripada apa yang berlaku selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibatalkan.

    “Selepas ISA dibatalkan, negara mengalami peningkatan kes jenayah, keselamatan negara terancam dan lain-lain lagi sehingga memaksa kerajaan, dalam kadar yang segera, melaksanakan undang-undang alternatif dengan memperkenalkan Sosma pada 2012,” katanya.

    Tambahnya, mana-mana pihak tidak perlu bimbang berlakunya penyalahgunaan kuasa oleh polis bawah Sosma kerana ia boleh ditangani melalui Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

    “IPCC akan memantau dan mengambil tindakan ke atas mana-mana anggota polis yang menyalahgunakan kuasa dalam melaksanakan tanggungjawab yang termaktub dalam perlembagaan.

    “Malah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sendiri bersetuju bahawa IPCC akan dilaksanakan mulai Jun 2023. Penubuhan IPCC juga adalah hasil perjuangan pelbagai pihak, termasuk Rayer sendiri,” katanya.

    Tambahnya, jika kerajaan bersetuju membebaskan juga tahanan Sosma, ia tidak boleh dilakukan secara automatik dan perlu diteliti berdasarkan kes dan darjah penglibatan mereka dalam sesuatu jenayah.

    “Sementara menunggu sesi libat urus tersebut selesai, penubuhan satu jawatankuasa untuk meneliti setiap kes mungkin boleh dipertimbangkan,” katanya.

    Semalam, Rayer menggesa agar Sosma tidak digunakan lagi dan tahanan dibebaskan serta-merta sehingga sesi libat urus antara kerajaan dan pihak berkepentingan diadakan.

    Desakan Rayer itu menyusuli kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh pada 23 Dis yang memaklumkan Saifuddin bersetuju untuk mengkaji dan mengadakan perbincangan mengenai peruntukan Sosma.

  • Kerajaan diminta gantung sementara penerbangan keluar masuk dari China

    Kerajaan diminta gantung sementara penerbangan keluar masuk dari China

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KERAJAAN perlu segera menggantung penerbangan keluar masuk ke China buat sementara waktu berikutan penularan Covid-19 yang sedang mengganas di negara itu.

    Menurut Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa, Syed Hairoul Faizey Syed Ali, tindakan tersebut perlu diambil bagi memastikan Covid-19 tidak kembali menular secara berleluasa seperti sebelum ini.

    Selain itu katanya, kerajaan turut disyorkan mengambil beberapa langkah berjaga-jaga termasuk menyekat kemasukan rakyat China ke negara ini buat sementara waktu.

    “Perkasa dengan tegas menggesa kerajaan menggantung sementara penerbangan keluar masuk China ke negara ini kerana penularan Covid-19 sedang melonjak naik di negara tersebut.

    “Dengan angka amat membimbangkan di China ketika ini, kerajaan disyorkan unntuk mengambil langkah berjaga-jaga antaranya menyekat kemasukan negara itu ke Malaysia untuk satu tempoh ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di hari ini.

    Baru-baru ini terdapat laporan menyatakan separuh daripada penumpang yang menaiki dua pesawat ke Milan, Itali dari China didapati positif Covid-19.

    Semalam pula Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) secara konservatif menyasarkan kira-kira 300,000 pelancong dari China ke negara ini tahun depan, susulan kelonggaran protokol kuarantin terhadap pengembara yang masuk ke negara itu berkuat kuasa 8 Januari 2023.

    Mengulas lanjut Syed Hairoul berkata, kedatangan pelancong asing ke negara ini diakui akan merancakkan lagi sektor ekonomi negara yang baru saja hendak pulih ekoran serangan Covid-19 sebelum ini.

    Begitu pun katanya, semua pihak tidak seharusnya lupa akan hakikat betapa Covid-19 kini sedang mengganas di China.

    “Kalangan pelancong perlu kembali diwajibkan melakukan ujian kendiri dan saringan ujian kesihatan di negara ini.
    Selain itu, laporan Mysejahtera turut perlu dilaksanakan di setiap pintu masuk ke negara ini bagi membendung Covid-19.

    “Sejarah membuktikan bahawa penularan Covid-19 di awal tahun 2020 datangnya dari China. Maka kita perlu mengambil langkah untuk berjaga-jaga,” katanya.

  • Covid-19: Tangguh kemasukan pelancong China ke Malaysia

    Covid-19: Tangguh kemasukan pelancong China ke Malaysia

    PERSATUAN Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menggesa kerajaan agar menangguhkan sementara kemasukan pelancong dari China sehingga kes harian COVID-19 di negara itu reda.

    Presiden MATA Datuk Dr Mohd Khalid Harun berkata lonjakan ketara kes COVID-19 di China baru-baru ini meningkatkan lagi potensi varian baharu yang bakal muncul sekali gus memberi kegusaran kepada rakyat Malaysia khususnya pemain industri pelancongan.

    “Kita semua sedia maklum hospital di seluruh China telah dibelenggu oleh letupan kes COVID-19 berikutan keputusan Beijing untuk menarik balik peraturan ketat mereka.

    “Trauma yang dihadapi oleh pemain industri pelancongan akibat COVID-19 masih belum selesai malah banyak agensi pelancongan serta hotel ditutup sepenuhnya akibat COVID-19 dengan kerugian berbilion ringgit dalam tempoh dua tahun yang lalu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Justeru, beliau berharap perkara seumpama itu tidak berulang memandangkan pemain industri pelancongan amat terkesan sebelum ini dan masih dalam proses pemulihan. 

    Mohd Khalid juga berkata banyak negara telah memperketat kemasukan pelancong atau ahli perniagaan dari China buat masa ini bagi menyekat penularan virus COVID-19.

    Beliau turut menasihati pemain industri pelancongan Malaysia agar mengalihkan perniagaan mereka kepada pelancong dari Timur Tengah dan Eropah tanpa bergantung kepada China buat masa ini.

    Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Malaysia dijangka menyaksikan lonjakan permintaan penerbangan susulan pembukaan semula sempadan China. 

    China dilapor akan membuka semula sempadannya pada 8 Jan 2023 selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik COVID-19.

  • Adakah Malaysia bersedia gelombang baharu Covid-19?

    Adakah Malaysia bersedia gelombang baharu Covid-19?

    BEKAS Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad melontarkan persoalan adakah kerajaan sudah bersedia untuk berhadapan dengan gelombang baharu Covid-19 dari China, berikutan situasinya yang dilihat masih kritikal.

    Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, ramai rakyat negara berkenaan disahkan positif di Itali sejurus satu pemeriksaan dibuat ketika mereka tiba di Lapangan Terbang Milan, baru-baru ini.

    “Dengan lebih daripada 50 peratus rakyat China disahkan positif sebaik tiba di Lapangan Terbang Milan, koordinasi peringkat global perlu lebih bersedia.

    “Adakah Malaysia bersedia?” soalnya dalam satu ciapan di Twitter, semalam, lapor Sinar Harian.

    Memetik laporan antarabangsa, Malaysia merupakan antara 10 negara pilihan rakyat China untuk melancong menerusi carian di laman web Trip.com Group.

    Pengendali laman web berkenaan turut menyenaraikan beberapa negara lain yang menjadi pilihan warga tersebut seperti Jepun, Thailand, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Singapura, Australia, United Kingdom, Macau dan Hong Kong.

    Sebelum ini, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China pada Isnin mengumumkan pelancong yang tiba ke negara itu tidak lagi perlu dikuarantin bermula 8 Januari depan sekali gus menamatkan polisi hampir tiga tahun.

    Pihak berkuasa juga memaklumkan, warganya turut dibenar untuk melancong ke luar negara tanpa perlu memberikan butiran perjalanan.

  • Pelayan restoran maut selepas bungkusan atas bonet kereta meletup

    Pelayan restoran maut selepas bungkusan atas bonet kereta meletup

    SEORANG lelaki maut selepas bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet keretanya meletup ketika dipegang di Pandan Indah, Kuala Lumpur, pukul 8.55 malam tadi.

    Difahamkan mangsa berusia 28 tahun itu terlihat sebuah bungkusan ditinggalkan di atas bonet kereta sebelum cuba mengambilnya.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata,
    bagaimanapun ketika mangsa memegang bungkusan berkenaan, berlaku letupan mengakibatkan kecederaan pada mangsa.

    “Apabila mangsa memegang bungkusan berkenaan, terus berlaku letupan dipercayai daripada bungkusan berkenaan.

    “Mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan tangan telah dibawa oleh orang awam ke Hospital Ampang.

    “Mangsa telah disahkan meninggal dunia pada jam 9.45 malam di Hospital Ampang,” jelasnya dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani hari ini.

    Siasatan awal di tempat kejadian turut menemui beberapa kesan lekukan pada kenderaan mangsa dipercayai akibat letupan berkenaan.

    Mengulas sama ada di lokasi kejadian mempunyai rakaman kamera litar tertutup, beliau enggan mengulas lanjut dan siasatan masih dilakukan.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

  • Pembantu pusat jagaan ditahan bunuh pesakit mental

    Pembantu pusat jagaan ditahan bunuh pesakit mental

    PEKERJA warga asing ditahan kerana disyaki membunuh seorang penghuni rumah jagaan psikiatri iaitu tempat suspek bekerja di Jalan Cempaka, Bukit Beruntung, Hulu Selangor, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada salah seorang pekerja rumah jagaan berkenaan sekitar pukul 12.18 tengah hari Ahad.

    Jelasnya, mangsa merupakan lelaki warga tempatan merupakan seorang pesakit mental di pusat jagaan berkenaan ditemui tidak sedarkan diri dalam biliknya sekitar pukul 8.45 pagi.

    “Pengadu seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang bekerja di pusat jagaan berkenaan telah menghubungi talian 999 seterusnya seorang pembantu perubatan telah mengesahkan kematian mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Suffian berkata, mangsa ditemui dengan kesan lebam pada tubuhnya yang dipercayai berpunca daripada impak objek tumpul manakala motif kejadian masih dalam siasatan.

    Katanya, bertindak di atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Hulu Selangor berjaya menahan suspek seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun dalam satu serbuan di lokasi kejadian.

    “Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau dan ujian urin terhadapnya adalah negatif.

    “Suspek yang bekerja sebagai pembantu di pusat jagaan berkenaan direman tujuh hari bermula Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Majikan belasah pekerja hingga cedera didenda RM3,000

    Majikan belasah pekerja hingga cedera didenda RM3,000

    SEORANG majikan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas kesalahan memukul pekerjanya hingga cedera menggunakan kerusi, kayu dan rotan kerana merakamkan gambar tempat kerja sebagai jurujual tambah nilai dalam talian, tahun lalu.

    Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ng Chong Lam, 22, selepas menerima pengakuan dan mensabitkannya dengan pertuduhan, meneliti fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

    Jika gagal membayar denda, tertuduh diperintahkan dipenjara sembilan bulan, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, Chong Lam didakwa bersama-sama tiga orang yang sudah disabitkan didapati memukul pekerja lelaki, Chok Kar Jun, 24, hingga cedera menggunakan kerusi, kayu dan rotan di sebuah rumah di Jalan Seri Duyong pada 23 Mac 2021.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu, jika disabitkan.

    Mengikut fakta kes, antara lain menyatakan pengadu dan teman wanitanya datang dari Kuala Lumpur untuk mencari kerja di sebuah kedai di Plaza Sungai Udang dan bertemu dengan seorang lelaki dikenali ‘Boss’ atau Sam selepas berurusan di Facebook.

    Kedua-dua mereka diberi kerja sebagai penjual kad tambah nilai dalam talian di Jalan PSU 1 mengikut syif 8 pagi hingga 8 malam dan 8 malam hingga 8 pagi selama 10 hari dengan dikawal lelaki dikenali ‘Apy’.

    Pada 22 Mac 2021, kira-kira 10 malam, mereka dibawa oleh Sam dan Apy ke sebuah rumah di Jalan Duyung 11, untuk bekerja menjual kad tambah nilai judi dalam talian dan disebabkan enggan, pengadu ditampar beberapa kali oleh Apy dan telefon bimbit teman wanitanya dirampas.

    Pergerakan pengadu dan teman wanitanya dikawal oleh seorang lelaki lain berusia 50 tahun dan dikurung di dalam rumah terbabit.

    Keesokannya, Sam, Apy dan rakan mereka dikenali sebagai Ah Siang datang berjumpa pengadu sebelum memukulnya dengan kayu, rotan dan kerusi plastik hingga cedera di seluruh badan kerana didapati merakam gambar di kedai telefon bimbit.

    Keempat-empat suspek kemudian ditahan polis selepas pengadu membuat laporan pada 2 April 2021 di Rawang, Selangor.

    Terdahulu, dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman denda ringan kerana hanya berpendapatan RM1,000, namun Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau sembilan bulan penjara jika gagal bayar.

  • PN Pahang tubuh portfolio tumpuan

    PN Pahang tubuh portfolio tumpuan

    PERIKATAN Nasional (PN) Pahang menubuhkan portfolio tumpuan bagi membayangi kerja-kerja yang dilaksanakan Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri.

    Menurut Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, penubuhan protfolio terbabit sebagai satu petanda bahawa PN serius untuk menjadi pembangkang yang konstruktif.

    Jelas beliau, PN negeri akan membariskan 18 portfolio yang akan dipegang oleh kesemua 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

    Katanya, ini sebagaimana kerajaan negeri ada Menteri Besar dan 10 Exco dengan 18 portfolio.

    “Setiap satu portfolio akan diketuai seorang ADUN, namun ketua pembangkang akan memegang dua portfolio. Jadi, pelbagai perkara dibawa dalam dan luar Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh diselarakan secara khusus di mana setiap ADUN memainkan peranan masing-masing,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar di Pejabat Sekretariat PN Pahang di Jalan Pintasan Kuantan di Kuantan hari ini.

    Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota turut memaklumkan PN telah menubuhkan sekretariat bagi meningkatkan prestasi ADUN PN dalam menjalankan amanah, tugas dan tanggungjawab.

    Tambah Saifuddin, sekretariat ini diketuai ADUN Beserah, Andansura Rabu bersama setiausaha kerja, ketua penyelidik dan beberapa anggota penyelidikan daripada pelbagai bidang berkaitan.

    Menurutnya, selain itu, jawatan penyelaras DUN dan Parlimen akan wujudkan.

    “Bagi kawasan kami belum menang sama ada parlimen atau DUN, kami akan melantik penyelaras dan sebahagian daripada mereka mungkin calon yang tidak menang serta tokoh baharu yang ingin kami ketengahkan.

    “Perancangan ini dibuat bagi memastikan semua urusan perkhidmatan kepada rakyat dapat diteruskan,” ujar beliau, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, menerusi portfolio tumpuan yang diperkenalkan, ADUN Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang akan memegang dua portfolio iaitu Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta portfolio Sumber Asli, Tenaga dan Air.

    Ini diikuti ADUN Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabar yang juga merupakan Pesuruhjaya Pas Pahang memegang portfolio Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga.

    Andansura pula memegang portfolio Pelaburan, Perindustrian manakala ADUN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus memgang portfolio Belia, Sukan dan Kebudayaan.

    Senarai portfolio tumpuan:

    1. Industri Asas Tani, Bioteknologi – ADUN Lanchang, Hassan Omar
    2. Pendidikan dan Kesihatan – ADUN Chenor, Mujibur Rahman Ishak
    3. Hal Ehwal Agama – ADUN Bukit Ibam, Nazri Ahmad
    4. Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli – ADUN Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin
    5. Kerja Raya dan Pengangkutan – ADUN Pulau Manis, Mohammad Rafiq Khan Ahmad Khan
    6. Kerajaan Tempatan dan Perumahan – ADUN Kuala Sentul, Jasri Jamaludin
    7. Alam Sekitar dan Teknologi Hijau – ADUN Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
    8. Komunikasi Dan Multimedia – ADUN Panching, Mohd Tarmizi Yahya
    9. Belia, Sukan Dan Kebudayaan – ADUN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus
    10. Pelaburan, Perindustrian – ADUN Beserah, Andansura Rabu
    11. Sains, Teknologi Dan Inovasi – ADUN Damak, Zuridan Mohd Daud
    12. Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga – ADUN Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabar
    13. Hal Ehwal Pengguna Dan Sumber Manusia – ADUN Sungai Lembing, Ayub Ashri
    14. Perpaduan, Pelancongan Dan Badan-badan Bukan Kerajaan – ADUN Luit, Mohd Sofian Abdul Jalil
    15. Hal Ehwal Felda, Usahawan dan Koperasi – ADUN Jengka, Shahril Azam Abd Halim
    16. Ekonomi da Peladangan, Komuniti – ADUN Pulau Tawar, Yohanis Ahmad
    17. Sumber Asli, Tenaga dan Air – ADUN Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
    18. Kewangan dan Tanah – ADUN Kuala Semantan, Hasanuddin Salim