Category: Semasa

  • Pegawai perubatan ditahan cabul pesakit wanita

    Pegawai perubatan ditahan cabul pesakit wanita

    POLIS menahan seorang pegawai perubatan kerana mencabul seorang wanita ketika menjalani pemeriksaan di sebuah pusat perubatan di Kuching, semalam.

    Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa, polis menerima laporan yang dibuat wanita tempatan berusia 34 tahun berhubung kejadian pukul 6.09 petang.

    “Kejadian dipercayai berlaku jam 11.30 pagi, suspek mengambil kesempatan mencabul kehormatan mangsa ketika menjalankan prosedur pemeriksaan secara bersendirian dalam bilik rawatan.

    “Bertindak atas maklumat, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menahan lelaki warga tempatan berusia 28 tahun yang juga pegawai perubatan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

    Jelasnya, jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman terbabit.

    “Polis menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian bagi memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan,” katanya lapor Harian Metro.

  • Dua lelaki maut dalam nahas dua kenderaan di WCE

    Dua lelaki maut dalam nahas dua kenderaan di WCE

    DUA lelaki maut dan seorang lagi cedera apabila kereta yang dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lagi kenderaan di kilometer 208.6 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), Manjung, hari ini.

    Kemalangan tersebut berlaku apabila kereta jenis Toyota Vios dinaiki tiga mangsa itu berpusing lalu dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta jenis Proton Saga yang tidak sempat mengelak.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 7.35 pagi, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan dikejar ke lokasi.

    “Dipercayai Toyota Vios itu berpusing dan Proton Saga terlanggar dari arah belakang lalu menyebabkan Toyota Vios itu tersangkut di atas pembahagi jalan.

    “Selain itu seorang penumpang tercampak ke dalam parit. Terdapat empat orang mangsa dalam kemalangan dua kenderaan ini. Pemandu lelaki Toyota Vios cedera tersepit manakala dua lagi penumpang lelaki maut di lokasi kejadian.

    “Pemandu kereta Proton Saga selamat dalam nahas itu,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Menurutnya lagi, anggota bomba kemudian menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa tersepit.

    Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Ellya Syaril Tahrim itu tamat pada pukul 8.46 pagi.

  • OPR dijangka naik dua kali lagi 2023

    OPR dijangka naik dua kali lagi 2023

    KADAR Dasar Semalaman (OPR) dijangka mengalami dua lagi kenaikan masing-masing 25 mata asas kepada 3.25 peratus, berbanding 2.75 peratus sekarang memandangkan tekanan inflasi dijangka kekal pada 2023, kata CGS-CIMB.

    Menurut Ahli Ekonomi CGS-CIMB, Nazmi Idrus pertumbuhan inflasi teras yang kukuh pada November 2022 mencerminkan persekitaran permintaan domestik yang mantap pada bulan berkenaan.

    “Kami melihat ini sebagai sokongan kepada kitaran normalisasi kadar berterusan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kerana pada kenyataannya bulan lalu, bank pusat memberikan amaran yang jelas bahawa tekanan inflasi akan kekal pada 2023,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

    Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kenaikan inflasi di Malaysia pada November meningkat 0.3 peratus berbanding bulan sebelumnya dan 4.0 peratus daripada setahun lalu.

    Angka itu adalah lebih tinggi berbanding jangkaan CGS-CIMB.

    Sementara itu, IHP teras menokok 0.4 peratus berbanding bulan sebelumnya dan meningkat 4.2 peratus daripada setahun sebelumnya.

    “Dua komponen yang memacu IHP teras adalah makanan serta hotel dan restoran. Bagi indeks makanan, subkomponen makanan di luar rumah adalah penyumbang utama, meningkat 9.6 peratus dalam tempoh setahun, tertinggi sejak 8 Oktober lalu,” kata CGS-CIMB, lapor Berita Harian.

    CGS-CIMB menyatakan bahawa campur kerajaan terhadap beberapa barangan kawalan, seperti harga ayam, petrol dan tol, sebahagiannya dapat membendung inflasi dalam jangka terdekat.

    Namun, katanya kenaikan harga tarif elektrik bagi pengguna bukan domestik dan bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang akan berkuat kuasa pada 23 Januari depan dijangka menyebabkan sedikit kenaikan dalam kadar inflasi utama.

    “Pengiraan kami mendapati kemungkinan IHP akan meningkat sebantak 10 mata asas tahun ke tahun pada 23 Januari depan memandangkan kira-kira 60 peratus pengguna elektrik di negara ini adalah pengguna bukan domestik, dan daripada jumlah itu, 60 peratus adalah bukan PKS,” katanya.

    Ia menambah bahawa pemberat elektrik dalam bakul IHP adalah pada 2.7 peratus, namun kesan pusingan kedua akan menjadi sedikit lebih besar.

    Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan unjuran inflasi tahunan 2023 pada 3.0 peratus, sedikit lebih rendah berbanding IHP tahun ini pada 3.3 peratus.

  • 1,059 individu ditahan terlibat aktiviti pelacuran di Selangor

    1,059 individu ditahan terlibat aktiviti pelacuran di Selangor

    POLIS Selangor menumpaskan kegiatan pelacuran dengan penahanan 1,059 individu hasil serbuan sejak Januari lalu.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, statistik tangkapan setakat November itu dilaksanakan hasil kejayaan 279 serbuan.

    “Jumlah tangkapan yang direkodkan terdiri daripada 41 lelaki dan 1,018 wanita terdiri daripada pelbagai warganegara termasuk tempatan.

    “Siasatan mendapati suspek lelaki yang ditahan dipercayai berperanan sebagai pekerja premis, ejen atau ‘runner’ manakala tangkapan wanita melibatkan gadis pelayan pelanggan (GRO), pelacur dan tukang urut.

    “Polis percaya kegiatan ini sering dijalankan secara individu di hotel dan sering berpindah-randah bagi menyukarkan aktiviti itu dikesan.

    “Mereka menggunakan media sosial seperti WeChat dan MiChat untuk mencari pelanggan.

    “Kegiatan tidak bermoral di hotel dikesan apabila wanita terlibat akan menempah dalam tempoh tertentu selain pergerakan yang diuruskan oleh ejen sindiket,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Arjunaidi berkata, mengenai jumlah bayaran ia bergantung kepada status wanita berkenaan.

    Katanya, polis percaya ada pemilik hotel ini mengetahui kegiatan tidak bermoral itu namun ia ‘dibenarkan’ kerana memikirkan keuntungan bayaran bilik.

    “Kita memandang serius kegiatan sebegini dan diingatkan pemilik premis untuk tidak bersekongkol dengan aktiviti haram ini,” tegasnya.

    Dalam pada itu, Arjunaidi juga percaya terdapat kegiatan pelacuran ini yang berselindung di sebalik premis rumah urut dan pusat refleksologi.

    “Kita juga kesan wanita warga asing yang datang ke Malaysia kononnya sebagai pelancong namun melakukan kerja tidak bermoral.

    “Sebagai contoh ada kes di mana wanita ini bergerak secara freelance di pusat hiburan untuk mencari pelanggan,” jelasnya.

    Tegasnya, tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 372 Kanun Keseksaan, Seksyen 373 Kanun Keseksaan selain Akta Imigresen 1959/63.

  • Dua pelajar universiti swasta lemas di Sungai Chiling Peretak

    Dua pelajar universiti swasta lemas di Sungai Chiling Peretak

    KESERONOKAN tujuh pelajar sebuah universiti swasta bermandi-manda di Sungai Chiling Peretak, Kuala Kubu Baharu bertukar tragedi apabila dua daripada mereka lemas, tengah hari tadi.

    Mangsa ialah Shaik Rahim Khan Salauddin dan Muhammad Arief Haiqal Azhan masing-masing berusia 21 tahun dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan membabitkan kejadian pada pukul 12 tengah hari.

    Katanya, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Bomba tiba 21 minit kemudian dan mendapati mangsa pertama telah dibawa naik oleh orang awam dan pihak bomba memberi bantuan pertolongan cemas.

    “Mangsa kedua dijumpai oleh anggota bomba yang melakukan pencarian di kawasan kejadian pada pukul 12.45 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor UtusanTV.

  • Wanita warga emas parah dimuka, rugi RM2,000 disamun

    Wanita warga emas parah dimuka, rugi RM2,000 disamun

    SEORANG wanita warga emas bukan hanya mengalami kederaan parah di bahagian muka serta mata malah turut kerugian sebanyak RM2,000 selepas disamun dalam kejadian di kedai penapis air, di Jelutong, Pulau Pinang pada 24 Disember lalu.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa yang berusia 50-an berada seorang diri di kedai berkenaan sebelum didatangi suspek lelaki berusia 50-an.

    Difahamkan, suspek kemudian memukul mangsa menggunakan objek tumpul di bahagian muka sehingga mengakibatkan kecederaan parah dan mangsa kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pulau Pinang (HPP).

    Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, V. Saravanan, mangsa pada mulanya didatangi suspek di kedainya yang kononnya mahu berjumpa suami mangsa.

    “Bagaimanapun, setelah dimaklumkan suaminya tiada di kedai, suspek bertindak memukul mangsa sehingga mangsa cedera parah di bahagian muka dan kerugian RM2,000” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, George Town, Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Saravanan, susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia 50-an ditahan pada keesokan harinya kerana disyaki menyamun dan mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

    Jelas beliau, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu di bawah di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan.

    “Kedai berkenaan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan kita memohon mana-mana saksi yang melihat kejadian itu tampil membantu siasatan,” katanya.

  • 32 mesin simulator perjudian bernilai lebih RM10,000 dilupuskan

    32 mesin simulator perjudian bernilai lebih RM10,000 dilupuskan

    SEBANYAK 32 buah mesin simulator perjudian bernilai lebih RM10,000 dilupuskan oleh polis daerah Timur Laut, Pulau Pinang hari ini.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, V. Saravanan berkata, kesemua mesin yang dilupuskan itu melibatkan dua kes perjudian yang disiasat pada 2017 dan 2018 di bawah seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 11 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan 1998.

    Jelas beliau, pelupusan hari ini melibatkan barang kes perjudian yang telah dijatuhi hukuman oleh pihak mahkamah dan dilupuskan di bawah seksyen 16A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

    “Terdapat banyak lagi mesin simulator perjudian yang akan dilupuskan selepas ini dan program pelupusan barang kes hari ini turut disaksikan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP),” katanya dalam sidang akhbar di IPD Timur Laut, di George Town, Pulau Pinang hari ini.

    Menurut beliau, proses pelupusan barang kes turut diadakan pada 21 Mac lalu bersama-sama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Pulau Pinang.

    Jelasnya, sebanyak 50 barang kes am dan perjudian dari IPD Timur Laut telah dilupuskan ketika itu di Padang Kawad Pasukan Simpanan Persekutuan No. 3, Ayer Itam.

    “Sepanjang tahun 2022 juga, IPD Timur Laut telah membuat serbuan melibatkan kes perjudian sebanyak 416 kes,” katanya.

  • Jururawat rugi RM198,000 diperdaya sindiket Macau Scam

    Jururawat rugi RM198,000 diperdaya sindiket Macau Scam

    SEORANG jururawat terpaksa berputih mata kerana kerugian wang berjumlah RM198,000 yang baharu dipinjam daripada pihak bank selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

    Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata wanita berusia 36 tahun itu telah menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pihak syarikat penghantaran barang pada 13 Dis lepas.

    Beliau berkata panggilan telefon tersebut telah disambungkan kepada ‘pegawai polis’ yang memaklumkan kononnya mangsa terlibat dalam sindiket senjata api dan pengedaran dadah.

    “Sejurus itu suspek telah meminta mangsa membuat pinjaman peribadi dan telah memberikan satu pautan untuk mengisi maklumat wanita berkenaan.

    “Setelah pinjaman peribadi diluluskan oleh pihak bank daripada tempoh permohonan lebih kurang dua minggu, wang tersebut telah dipindahkan ke akaun suspek tanpa disedari oleh mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, mangsa yang menyedari dirinya diperdaya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Ramli turut mengingatkan masyarakat bahawa pihak penguat kuasa tidak menjalankan sebarang siasatan melalui panggilan telefon dan sentiasa melakukan semakan dengan balai polis, bank atau pejabat berkaitan yang berhampiran untuk pengesahan. – BERNAMA

  • Pakar beri amaran risiko Covid-19 ketika Malaysia berdepan kemasukan pelancong China

    Pakar beri amaran risiko Covid-19 ketika Malaysia berdepan kemasukan pelancong China

    KERAJAAN digesa mempertimbangkan langkah ‘ketat’ bagi membendung kemasukan pengembara dari China, ketika negara itu mencatatkan gelombang baru Covid-19. 

    Pakar perubatan awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, perkembangan terbaru di republik itu disifatkan sebagai ‘tricky’.

    “Peningkatan Covid-19 di China adalah benar dan membimbangkan.

    “China telah benarkan warganya keluar. Ini seperti membuka ‘floodgate’ dan melimpahkan kes ke serata dunia,” katanya, lapor MalaysiaNow.

    Katanya, langkah itu termasuk pemantauan harian dan jika perlu, menimbangkan sekatan jika kes terlalu tinggi. 

    “Pelancong yang hendak masuk perlu lengkap vaksinasi mereka, mengadakan ujian saringan Covid-19 selain perlu diawas dengan ketat.

    “Lakukan ujian secara rawak mengikut penerbangan,” tambahnya.

    Datuk Dr Zainal Ariffin Omar

    Gesaan itu sama seperti apa yang disuarakan Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata) yang mahu kerajaan menangguhkan kemasukan pelancong dari republik itu.

    Semalam, media melaporkan hampir separuh penumpang pesawat China yang tiba di Itali dilaporkan positif Covid-19.

    Beijing baru-baru ini membenarkan warganya ke luar negara, menamatkan dasar sifar Covid-19 di negara itu, meskipun peningkatan kes Covid-19.

    Ia mencetuskan kebimbangkan gelombang dan varian baru yang berkemungkinan tersebar di seluruh dunia. 

    Amerika Syarikat (AS) merupakan antara negara yang mengenakan sekatan terhadap pengembara dari republik itu.

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke pula berkata negara akan menyaksikan peningkatan trafik udara pada 2023 ekoran pembukaan sempadan oleh China. 

    Keadaan itu membawa kebimbangan apabila Malaysia dilaporkan antara 10 negara paling diminati pelancong China untuk bercuti ketika sambutan Tahun Baru China. 

    Seramai sejuta pelancong China dijangka tiba ke negara ini pada tahun depan, menurut satu laporan media. 

    Negara lain termasuk Jepun, Thailand, Korea Selatan, AS, Singapura, Australia dan United Kingdom.

    Di Malaysia, kebimbangan juga semakin meningkat terutama menjelang sambutan Tahun Baru Cina yang biasanya menyaksikan kebanjiran pelancong dari China.

    Satu laporan menganggarkan sejuta pelancong China bakal tiba di negara pada 2023.

    Malaysia pertama kali menutup sempadannya pada Mac 2020, beberapa bulan selepas wabak itu mula menular.

    Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini berkata sempadan negara tidak perlu ditutup.

    Dalam pada itu, Zainal berkata Malaysia sedang hampir dalam usaha keluar sepenuhnya daripada fasa pandemik. 

    Meskipun liputan imunisasi tinggi, liputan dos penggalak pertama dan kedua masih rendah.

    “Kemungkinan tahap imunisasi penduduk semakin menurun. Amalan pencegahan juga semakin longgar.

    “Mari kita berdoa. Masih segar memori Disember 2019 hingga 2021,” katanya merujuk kepada tempoh penutupan sempadan dan perintah kawalan pergerakan. 

    Beliau menggesa kerajaan bersiap-sedia meningkatkan liputan dos penggalak pertama dan kedua, selain kesedaran amalan pencegahan.

  • Wanita mengandung tujuh bulan didakwa cuba rompak kedai emas

    Wanita mengandung tujuh bulan didakwa cuba rompak kedai emas

    SEORANG wanita mengandung tujuh bulan didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini atas pertuduhan cuba merompak sebuah kedai emas di sebuah pasar raya, baru-baru ini.

    Norraniza Muhamad Puslam, 35, yang menangis semasa pertuduhan dibacakan kepadanya, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

    Dia didakwa cuba merompak Nur Rabeatul Addawiyah Rasul, 16, di Kedai Emas Daz Jewellery Mydin Ayer Keroh, pada pukul 4.45 petang, 20 Dis lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin.

    Bagaimanapun peguam tertuduh, Illya Shahar memohon jaminan yang rendah memandangkan anak guamnya berpendapatan sederhana, mengandung dan mempunyai dua anak berusia 5 dan 2 tahun, selain masih menanggung kedua ibu bapa dan seorang adik yang masih belajar di pusat pengajian tinggi.

    Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman membenarkan Norraniza diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan dua penjamin serta menetapkan 10 Feb depan sebutan semula kes.