Category: Semasa

  • Kadar tol BESRAYA, LEKAS turun mulai tengah malam ini

    Kadar tol BESRAYA, LEKAS turun mulai tengah malam ini

    KEMENTERIAN Kerja Raya mengumumkan penurunan kadar tol di Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) berkuat kuasa pukul 12.01 tengah malam ini.

    Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penurunan kadar tol antara 15 sen hingga 50 sen itu dibuat selepas perbincangan dan persetujuan syarikat konsesi dua lebuh raya itu, IJM Corporation Berhad.

    Menurutnya, penurunan selaras keputusan Jemaah Menteri pada 21 Disember lalu itu juga adalah sebahagian daripada persetujuan penyusunan semula struktur dan kadar tol bagi kedua-dua lebuh raya berkenaan yang diputuskan kerajaan.

    “Penurunan kadar tol adalah sebanyak RM0.15 bagi kenderaan kelas 1 yang melalui plaza tol Loke Yew dan Mines (arah Utara dan Selatan) di Lebuhraya BESRAYA.

    “Manakala kadar tol Lebuhraya LEKAS bagi kenderaan kelas 1 dikurangkan daripada 0.1811 sen/km kepada 0.1666 sen/km untuk sistem tol tertutup dan kadar tol kekal seperti sedia ada bagi sistem tol terbuka iaitu di Plaza Tol Ampangan.

    “Kadar tol yang dikutip pada masa ini adalah sebanyak RM2.00 sehala bagi kenderaan kelas 1 yang melalui mana-mana plaza tol Lebuhraya BESRAYA, dan RM8.30 sehala bagi kenderaan kelas 1 yang menggunakan keseluruhan Lebuhraya LEKAS.

    “Melalui penurunan kadar tol mulai 1 Januari 2023, kenderaan kelas 1 yang melalui mana-mana plaza tol Lebuhraya BESRAYA akan membayar RM1.85 sehala; manakala pengguna yang menggunakan keseluruhan Lebuhraya LEKAS akan membayar RM7.80 sehala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut, Alexander menjelaskan, penurunan kadar tol itu adalah bagi sepanjang tempoh konsesi kedua-dua tol lebuh raya berkenaan, berbanding kadar asal dalam perjanjian konsesi, dan disifatkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam menangani isu kenaikan kos sara hidup.

    “Melalui penyusunan semula struktur dan kadar tol bagi kedua-dua lebuh raya ini, kerajaan dapat menjimatkan peruntukan bayaran pampasan yang dianggarkan sebanyak RM1.978 bilion sepanjang tempoh konsesi bagi kedua-dua lebuh raya, yang mana peruntukan ini boleh disalurkan kepada keperluan asas lain rakyat Malaysia,” katanya.

    Pada masa sama, Alexander memaklumkan kerajaan sedang mengambil langkah berterusan untuk mengurangkan beban pengguna lebuh raya seluruh negara.

    Katanya, langkah itu dilaksanakan tanpa mengabaikan sebarang obligasi yang dipersetujui dengan memastikan kepentingan semua pihak terutamanya pengguna lebuh raya sentiasa dilindungi.

  • Penganggur ditemukan mati di depan rumah dengan kesan cedera

    Penganggur ditemukan mati di depan rumah dengan kesan cedera

    SEORANG penganggur yang dalam status orang pengawasan polis, ditemukan mati di hadapan rumahnya di Taman Klebang Putra, Chemor di Ipoh malam tadi. 

    Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata anggota Balai Polis Chemor bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira 11.30 malam dan mendapati satu mayat lelaki di luar rumah teres satu tingkat yang didiami mangsa dan isterinya.

    “Siasatan awal mendapati mangsa yang berumur 37 tahun merupakan seorang penganggur yang telah melarikan diri daripada pengawasan polis Parit Buntar.

    “Temu bual bersama adik ipar lelaki mangsa yang baru sahaja menumpang di rumahnya selama seminggu memaklumkan bahawa pada masa kejadian, beliau terdengar ada orang mengetuk pintu rumah dan mengatakan lelaki itu kena langgar. 

    “Saksi membuka pintu dan ternampak sebuah motosikal yang tidak dikenal pasti model dan nombor pendaftaran telah melarikan diri dari tempat kejadian. Kemudian saksi ternampak mangsa berada di hadapan rumah dalam keadaan terlantar dan tercungap-cungap. Mangsa juga tidak mengatakan apa-apa kepadanya (sebelum meninggal dunia),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata pemeriksaan lanjut oleh pasukan siasatan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati terdapat kesan kecederaan pada telinga, tangan, kaki dan badan mangsa.

    “Ada kemungkinan si mati merupakan mangsa kemalangan. Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut ke atas si mati diperlukan untuk menentukan punca kematian,” kata Mohd Yusri dan menambah bedah siasat akan dijalankan di hospital itu hari ini. – BERNAMA

  • Sabah wajibkan ujian COVID-19 untuk pengembara China

    Sabah wajibkan ujian COVID-19 untuk pengembara China

    SEMUA pengembara dari China yang ingin masuk ke Sabah  wajib menunjukkan keputusan negatif COVID-19, berkuat kuasa, Ahad in (1 Jan), kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

    Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah itu berkata semua pengunjung dari China perlu mempunyai keputusan negatif dalam ujian sebelum berlepas (Predeparture Test) dalam tempoh 48 jam sebelum dibenarkan masuk ke negeri itu.

    “Keputusan ini telah dibuat Kerajaan Sabah,” katanya menerusi kenyataan di sini, malam ini.

    Sementara itu, beliau berkata sebanyak 15 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan di Sabah hari ini iaitu bertambah enam kes direkodkan daripada 1,228 sampel ujian berbanding 1,251 ujian semalam. – BERNAMA

  • Peluncur udara maut terhempas di cerun konkrit

    Peluncur udara maut terhempas di cerun konkrit

    SEORANG peluncur udara (paraglider) maut selepas terhempas pada cerun konkrit akibat diterbangkan angin sejurus mendarat dan menurunkan rakan peluncur (penumpang) yang terbang bersamanya, hari ini.

    Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu berlaku di kawasan Projek Lebuhraya Pan Borneo berhampiran Kampung Keliangau, Manggatal, di Kota Kinabalu.

    Mangsa lelaki berusia 26 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Difahamkan, ketika kejadian mangsa dikatakan membawa seorang penumpang meluncur udara menuruni bukit dari kawasan Bukit Kokol, Manggatal dan berjaya mendarat dengan selamat.

    Sebaik penumpang diturunkan, mangsa yang belum sempat menanggalkan tali payung luncur udara dibadannya tiba-tiba ditiup angin kuat menyebabkan mangsa terbang sebelum tubuhnya terhempas ke cerun konkrit.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan masih dijalankan.

    “Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tindakan selanjutnya.

    “Siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Data 250,248 pelanggan Unifi Mobile diceroboh

    Data 250,248 pelanggan Unifi Mobile diceroboh

    SEJUMLAH 250,248 pelanggan Unifi Mobile, yang terdiri daripada pelanggan individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), didapati terjejas dalam pelanggaran data yang membabitkan maklumat perhubungan mereka, kata Telekom Malaysia (TM).

    Jenis data itu membabitkan nama pelanggan, nombor telefon dan e-mel, kata syarikat berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.

    Ia tidak membabitkan maklumat lain.

    “TM mengesahkan bahawa pelanggaran itu sudah dibendung dan langkah sudah diambil untuk meminimumkan potensi kesan kepada 250,248 pelanggan ini. Pelanggan tertentu yang terjejas sudah dimaklumkan. Pelanggan yang tidak menerima sebarang pemberitahuan adalah mereka yang tidak terjejas,” katanya.

    TM juga sudah melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa yang berkaitan, iaitu Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara, Jabatan Perlindungan Data Peribadi, dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

    Syarikat telekomunikasi itu berkata, ia sudah dimaklumkan mengenai pelanggaran data pada 28 Disember membabitkan jumlah yang terhad untuk maklumat pelanggan Unifi Mobile.

    Walaupun langkah keselamatan tambahan sudah dilaksanakan untuk mengasingkan risiko dan melindungi pelanggannya, TM berkata bahawa pelanggan tidak mengalami sebarang gangguan perkhidmatan dalam kejadian itu.

    “TM sedang memantau dengan teliti dan sedang menjalankan penilaian tambahan. Kami menasihati pelanggan supaya mengambil langkah berjaga-jaga tambahan apabila menerima komunikasi daripada pihak yang tidak dikenali, serta memastikan maklumat dalam talian mereka pada setiap masa,” katanya.

    TM juga menyatakan bahawa privasi dan keselamatan pelanggannya tetap menjadi keutamaan tertinggi syarikat dan pihaknya mengambil serius tentang perkara berkenaan.

    “Kami akan terus mengukuhkan dan memastikan rangka kerja keselamatan data, dasar, sistem dan proses kami sentiasa pada penanda aras piawaian Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT) Bank Negara Malaysia (BNM) dan ISO27001, serta piawaian global lain untuk mengelakkan kejadian sedemikian,” tambahnya.-BERNAMA

  • ‘Hakim terkhilaf bebaskan Ahmad Zahid’- Pendakwaan

    ‘Hakim terkhilaf bebaskan Ahmad Zahid’- Pendakwaan

    PENDAKWAAN menyatakan ia terkilan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, daripada 40 tuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

    Ia berkata demikian melalui petisyen rayuan difailkan semalam, untuk mengetepikan keputusan pada 22 September lalu, berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN).

    Lapor Berita Harian, pihak pendakwaan mengemukakan 14 alasan yang tertumpu kepada dapatan fakta dan undang-undang oleh Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa, terhadap persoalan sama ada berlakunya pemberian dan penerimaan wang secara rasuah dalam kes terbabit.

    Pendakwaan menegaskan, Mohd Yazid terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila memutuskan ia gagal membuktikan kes prima facie.

    Hakim itu juga dikatakan gagal menilai secara maksimum dan menyeluruh keterangan bagi membuktikan setiap elemen kesalahan yang dihadapi Timbalan Perdana Menteri itu.

    Menurut pendakwaan, hakim bicara terkhilaf apabila menolak pembuktian elemen menerima suapan secara rasuah dan elemen mendapatkan benda berharga tanpa balasan daripada UKSB, sedangkan terdapat keterangan lisan dan dokumen yang cukup serta kukuh untuk membuktikannya.

    Dalam menolak keterangan mengenai penghantaran wang rasuah kepada Ahmad Zahid, pendakwaan berkata, hakim tersalah arah apabila membuat perbandingan fakta antara kes itu dan fakta dalam kes rasuah berhubung projek solar hibrid bagi sekolah luar bandar di Sarawak membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor.

    Pendakwaan menyatakan, ia adalah kerana suatu dapatan fakta bukan duluan yang mengikat (binding precedent) dan tidak wajar untuk diguna pakai sebagai otoriti.

    Pendakwaan juga menyatakan, hakim tersalah arah dalam menilai kredibiliti saksi apabila gagal mengambil kira bahawa mereka tiada motif jahat atau terselindung ketika memberikan keterangan mengenai penghantaran wang kepada Ahmad Zahid.

    “Hakim terkhilaf apabila menolak bulat-bulat keterangan saksi, yang bukan sahaja atas alasan yang rapuh dan tidak munasabah, malah mengambil kira keterangan yang tidak relevan, tidak pernah dikemukakan serta membuat rumusan berdasarkan keraguan yang diada-adakan.

    “Hakim juga terkhilaf apabila gagal untuk mengambil manfaat dan kelebihan sebagai hakim bicara ketika melihat dan mendengar saksi pendakwaan memberikan keterangan;

    “Hakim tersalah arah apabila gagal mengambil kira keterangan saksi pendakwaan bahawa sebuah lejer yang dikemukakan sebagai keterangan dokumen adalah satu dokumen semasa dan menolaknya secara total walaupun ada keterangan mencukupi untuk membuktikan sebaliknya,” katanya.

    Sehubungan itu, pendakwaan memohon Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan memerintahkan Ahmad Zahid dipanggil membela diri terhadap semua pertuduhan.

  • Padah gurauan ada bom di lapangan terbang, wanita Indonesia ditahan polis

    Padah gurauan ada bom di lapangan terbang, wanita Indonesia ditahan polis

    SEORANG wanita Indonesia menerima padah selepas bergurau keterlaluan dengan menyebut ada bom di dalam begnya ketika pemeriksaan beg dijalankan di kaunter daftar masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

    Wanita berusia 33 tahun itu ditahan polis dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang semalam ketika dia mahu menaiki penerbangan ke Medan, Indonesia.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, wanita berkenaan yang bekerja sebagai operator kilang di Ipoh, Perak menyebut dengan lantang ada bom di dalam begnya sehingga didengari kakitangan di kaunter.

    ”Perkataan ada bom itu turut didengari orang lain yang sedang menunggu untuk mendaftar masuk penerbangan di lapangan terbang tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, semasa kejadian wanita itu bersama dua rakannya dijadualkan menaiki penerbangan ke Medan, Indonesia pukul 5.30 petang.

    “Wanita itu kini direman selama dua hari sehingga esok dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

  • Mayat lelaki ditemukan dengan tangan, kaki terikat

    Mayat lelaki ditemukan dengan tangan, kaki terikat

    SATU mayat lelaki warga tempatan ditemukan dalam keadaan tangan dan kakinya berikat di tepi Jalan Bestari Jaya – Rawang menghala ke Bestari Jaya, dekat Gombak, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata mayat yang identitinya belum dikenal pasti itu ditemukan seorang lelaki tempatan yang kemudian menghubungi Balai Polis Rawang pada 11.40 pagi. 

    Beliau berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak termasuk pasukan forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

    “Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 40-an. Bagaimanapun, tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mayat berkenaan.

    Pemeriksaan pada tubuh si mati yang tangan dan kakinya diikat dengan tali nilon menemukan kesan kecederaan dan luka yang parah di bahagian atas kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Zainal Mohamed berkata mayat ditemukan berpakaian lengkap dengan  baju-t berwarna “maroon” dan berseluar pendek berwarna hitam jenama H&G.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan suspek yang terlibat serta motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya sambil menambah mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

    Beliau berkata orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit diminta menghubungi pegawai penyiasat ASP R Kolanthaivelu di talian 03-61262222 atau 019-2579232. – BERNAMA

  • Geng Harrier Putih aktif curi kenderaan lumpuh

    Geng Harrier Putih aktif curi kenderaan lumpuh

    TAKTIK empat lelaki yang menjadi penjual buah dengan bergerak sekitar Lembah Klang untuk memantau keadaan sebelum mencuri kenderaan akhirnya terbongkar, selepas ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Seri Kembangan dan Setapak, Kuala Lumpur pada Sabtu lepas. 

    Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. Anbalagan berkata keempat-empat suspek berusia antara 41 dan 59 tahun, yang dikenali sebagai Geng Harrier Putih itu ditahan selepas pihaknya menerima maklumat kejadian curi kenderaan di tepi jalan Bandar Kinrara 3/1, Puchong, Selangor, pada hari sama tangkapan dibuat. 

    “Siasatan mendapati kesemua suspek berselindung sebalik pekerjaan mereka iaitu menjual buah menggunakan kenderaan seperti kereta dan van sekitar Lembah Klang untuk mencuri kenderaan yang diparkir di kawasan stesen Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan perumahan. 

    Anggota polis menunjukkan peralatan untuk mencuri kenderaan yang berjaya dirampas selepas menahan suspek yang terlibat dalam kegiatan curi kenderaan yang dikenali sebagai ‘Geng Harrier Putih’ ketika Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Geng ini akan menggunakan kereta jenis Harrier berwarna putih milik seorang daripada suspek untuk melakukan aktiviti curi kenderaan pada waktu pagi dengan menyasarkan pelbagai jenis kereta mengikut permintaan pembeli yang dipercayai dalam kalangan pemilik bengkel kenderaan di luar kawasan Lembah Klang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini, hari ini.

    Siasatan lanjut mendapati setiap suspek memperoleh RM1,500 hingga RM2,000 bagi setiap kereta yang berjaya dicuri.

    Anbalagan berkata hasil semakan kesemua suspek dipercayai terbabit dalam 15 kes curi kenderaan yang direkodkan pada tahun ini di Serdang, Kajang, Brickfields, Cheras dan Subang Jaya dan tiga daripadanya mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau melibatkan kes curi kenderaan dan dadah.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan (kiri) menunjukkan sebahagian kenderaan yang berjaya dirampas selepas menahan suspek yang terlibat dalam kegiatan curi kenderaan yang dikenali sebagai ‘Geng Harrier Putih’ ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Polis kini sedang mengesan seorang lagi lelaki yang disyaki dalang dalam kes tersebut, dipercayai turut mempunyai kaitan keluarga dengan seorang daripada suspek yang ditahan,” katanya.

    Kesemua mereka direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. 

    Sementara itu dalam kes berasingan, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga asing dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan dekat sini pada Rabu lepas, selepas disyaki memiliki 33.56 gram dadah jenis syabu dan sepucuk pistol jenis revolver. 

    Katanya, suspek yang berusia lingkungan 27 hingga 60 tahun itu dipercayai mengedar dadah sekitar Serdang dan membeli pistol tersebut daripada seorang lelaki dipercayai dari negara jiran dengan harga RM800 pada 2019 untuk melindungi diri. 

    Sepucuk pistol yang berjaya dirampas selepas polis menahan empat suspek bersama peluru dan dadah ketika Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Semakan mendapati wanita warga asing itu merupakan teman wanita seorang daripada suspek, tidak memiliki pasport dan telah berada di dalam negara ini sejak tiga tahun lepas. 

    “Tiga lelaki yang ditahan turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine serta amphetamine hasil saringan ujian air kencing,” katanya. 

    Semua suspek direman tujuh hari sehingga 4 Jan 2023 untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

  • Empat ditahan jual dadah, miliki senjata api

    Empat ditahan jual dadah, miliki senjata api

    POLIS menahan empat penagih dadah yang menjual bahan terlarang itu secara kecil-kecilan dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan di Serdang, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, ketika serbuan, polis menemui dadah dan sepucuk pistol revolver jenis Smith & Wesson bersama tujuh butir peluru hidup.

    “Pistol dan peluru ditemui dalam poket seluar suspek pertama yang juga dalang kumpulan berkenaan manakala dadah seberat 33.55 gram (g) ditemui di atas meja biliknya.

    “Modus operandi yang dijalankan suspek adalah menjalankan perniagaan dadah di sekitar kawasan daerah Serdang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang hari ini.

    Anbalagan berkata, suspek pertama seorang lelaki berusia 42 tahun yang berasal dari Selangor mempunyai pelbagai rekod kesalahan narkotik dan merupakan individu dikehendaki di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Katanya, suspek berkenaan mengaku membeli pistol dan peluru daripada seorang lelaki dipercayai dari negara jiran dengan harga RM800 pada 2019.

    Suspek juga katanya, memaklumkan pistol berkenaan dibeli untuk melindungi dirinya.

    “Siasatan lanjut dan ujian balistik sedang dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya senjata api berkenaan terbabit dalam sebarang kes jenayah lain sebelum ini,” jelasnya.

    Beliau berkata, semakan terhadap suspek kedua dan ketiga yang merupakan lelaki tempatan berusia 60 dan 32 tahun mendapati kedua-duanya mempunyai beberapa rekod kesalahan dadah.

    “Suspek keempat seorang wanita warga China berusia 27 tahun yang juga teman wanita suspek pertama didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

    “Kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 309A (2) ADB 1952,” ujar beliau, lapor Sinar Harian.