Category: Semasa

  • Penuntut kolej, anggota tentera antara dicekup khalwat

    Penuntut kolej, anggota tentera antara dicekup khalwat

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEPASANG penuntut sebuah kolej yang tidak pulang bercuti di rumah masing-masing di Alor Setar dan Baling antara yang dicekup berkhalwat oleh Pejabat Agama Daerah Kuala Muda (PADKM) di sekitar Sungai Petani, awal pagi ini.

    Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Mohd. Noor Ismardi Ismail berkata, pasangan penuntut berusia 22 tahun itu sebaliknya menyewa sebuah bilik hotel untuk memadu kasih sebelum ditangkap dalam Operasi Bersepadu Ambang 2023.

    Katanya, pasangan terbabit pada mulanya enggan membuka pintu bilik hotel mereka di Bakar Arang, selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

    “Kami terpaksa guna kunci pendua yang diperolehi daripada penjaga hotel dan sebaik pintu bilik dibuka didapati penuntut lelaki terbabit sedang menyelimuti dirinya dengan cadar di atas katil, manakala pasangannya berpura-pura tidur di atas lantai.

    “Hasil pengakuan kedua-duanya, mereka menyewa bilik itu semata-mata untuk memadu kasih dan tidak berhasrat pulang ke rumah masing-masing bagi menghabiskan cuti bersama-sama keluarga,” katanya.

    Serbuan tersebut turut disertai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), Unit Risik Angkatan Tentera serta Skuad Badar.

    Menurut Mohd. Noor, mereka turut menahan tiga pasangan lain yang berumur antara 22 hingga 24 tahun di Padang Temusu dan Bandar Puteri Jaya termasuk salah seorangnya yang merupakan anggota tentera yang bertugas di Negeri Sembilan.

    Katanya, kesemua pasangan terbabit ditahan di bawah Seksyen 25, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2014 kerana berkhalwat dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk melengkapkan proses siasatan sebelum waris masing-masing dihubungi.

    Dalam pada itu di Kulim, tindakan seorang wanita berstatus ibu tunggal yang membawa anak lelakinya untuk tidur di sebuah hotel bagi mengaburi mata penguat kuasa tidak berjaya apabila dia ditahan bersama seorang lelaki bukan muhrim di dalam bilik sebuah hotel.

    Wanita berusia 32 tahun itu ditahan bersama pasangannya berusia 22 tahun pada pukul 1.35 pagi tadi dalam satu operasi ambang tahun baharu pencegahan maksiat oleh Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK).

    Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Azwan Ahmad berkata, ketika menjalankan pemeriksaan di sebuah bilik, seorang lelaki berpakaian lengkap membuka pintu sebelum pihaknya memperkenalkan diri.

    “Seorang wanita berpakaian lengkap bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun turut berada dalam bilik berkenaan. Pasangan terbabit pada mulanya mengaku sudah bertunang namun akhirnya memaklumkan mereka merancang akan bertunang selepas raya tahun ini,” katanya.

    Azwan berkata, hasil soal siasat mendapati wanita terbabit bekerja sebagai operator di sebuah kilang di Perai, Pulau Pinang dan teman lelakinya berasal dari daerah ini namun bekerja di Selayang, Selangor.

  • Op Ambang Tahun Baharu 2023; 475 saman dikeluarkan, 33 motosikal disita

    Op Ambang Tahun Baharu 2023; 475 saman dikeluarkan, 33 motosikal disita

    SEBANYAK 475 saman atas pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan polis Pulau Pinang dalam operasi bersepadu Op Ambang Tahun Baharu 2023 yang dijalankan di seluruh negeri itu malam tadi.

    Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, dalam operasi yang bermula pukul 9 malam hingga 2 pagi tadi itu, turut disita adalah 33 buah motosikal kerana melanggar pelbagai peraturan dan undang-undang jalan raya.

    Jelas beliau, Op Ambang Tahun Baharu 2023 yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang itu menumpukan kepada pemeriksaan kenderaan dan mengambil tindakan tegas terhadap penunggang motosikal bagi membendung kegiatan samseng jalanan.

    “Dalam operasi ini, kita dapat lihat pengguna motosikal melakukan modifikasi terhadap motosikal masing-masing, ada yang tayarnya lebih kecil dan sebagainya.

    “Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama kegiatan samseng jalanan bagi memastikan ambang tahun baharu di Pulau Pinang tidak dicemari dengan kegiatan lumba haram,” katanya ketika meninjau operasi itu di susur masuk lorong motosikal di Jambatan Pulau Pinang malam tadi.

    Menurut Fisol, sepanjang tahun ini juga polis Pulau Pinang akan menumpukan usaha untuk membendung kegiatan samseng jalanan dalam kalangan pengguna motosikal.

    ”Kita akan menjalankan operasi dengan lebih menyeluruh tahun ini dan akan turut membuat operasi ke atas bengkel-bengkel motosikal yang disyaki menjadi lokasi pemilik motosikal menjalankan modifikasi,” katanya.

    Tambah beliau, Pulau Pinang juga akan menjadi negeri model pada tahun ini dalam usaha membendung dan membanteras kegiatan samseng jalanan menerusi pelbagai operasi pencegahan dan sebagainya.

  • Pelan induk 10 tahun P Pinang ada kesilapan, kurang perincian

    Pelan induk 10 tahun P Pinang ada kesilapan, kurang perincian

    YAYASAN Warisan Pulau Pinang (PHT) menyifatkan cadangan pelan induk pembangunan sepuluh tahun Pulau Pinang di pulau dilihat mempunyai kesilapan dan kurang perincian.

    Naib Presiden PHT, Khoo Salma Nasution berkata, tanpa perincian tersebut pelan berkenaan berdepan risiko menjejaskan warisan terdapat di bahagian pulau.

    “Dokumen yang dipanggil pelan deraf tempatan 2030, juga meminggirkan keperluan bangunan pencakar langit dan pemandangan berbukit tidak terhalang dengan mengehadkan pembangunan di kawasan tertentu, merujuk kepada pemandangan banjaran di Penang Hill apabila memandu dari Jalan Dato Keramat menuju Air Itam.

    “Pemandangan koridor perlu diberi keutamaan tinggi dalam pelan itu. Namun, perancang terlepas pandang melindungi pemandangan Penang Hill, termasuk kawasan pemandangan lain,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

    Salma berkata, majlis perbandaran dan perunding dilantik kelihatan meminggirkan kepentingan melindungi bangunan warisan di luar Tapak Warisan Dunia George Town.

    Menurutnya, peminggiran paling ketara dalam pelan itu untuk mengiktiraf bangunan warisan, yang mana hanya 1,714 sahaja struktur disenaraikan sedangkan sepatutnya 3,977 tersenarai.

    Jelasnya, terdapat keperluan bagi kajian semula keseluruhan pelan memandangkan banyak perkara tidak diambil kira yang perlu ada dalam pelan tempatan.

    Katanya, peminggiran paling ketara dalam pelan itu untuk mengiktiraf bangunan warisan, yang mana hanya 1,714 sahaja struktur itu disenaraikan sedangkan sepatutnya jumlah itu sebanyak 3,977, berdasarkan pelan kawasan khas (SAP) George Town.

    Mercu tanda terkenal ujarnya, seperti Penang Free School, Rex Cinema, seminari College-General Catholic, Masjid Maqbul dan Wadda Gurdwara Sahib juga tidak disenaraikan dalam senarai warisan.

    Art Deco di pinggir Jalan Irrawaddy, Jalan Chow Thye Road dan sekitarnya juga tidak disenarai, kata Khoo, sambil menambah ia sudah dijangka memandangkan projek mega bertingkat pernah dilaporkan untuk dilaksanakan.

    Tambahnya, terdapat kesilapan ketara dalam rancangan seumpama itu seperti Menara Jam Jubli Ratu Victoria yang dinamakan ‘Menara Jam Queen Elizabeth’ dan Dewan Mahatma Gandhi dieja ‘Dewah Mahatma Ghani’.

    Dalam pada itu, Presiden PHT, Lim Gaik Siang, berkata perbezaan besar berlaku dalam deraf pelan pulau itu, berbanding perancangan di kawasan lebih kecil.

    “Berbanding SAP George Town, dokumen perancangan bandar bagi Tapak Warisan Dunia, merangkumi 808 halaman meliputi kawasan seluas 2.6km persegi, berbanding pelan tempatan 2030 hanya 616 halaman meliputi 295km persegi yang mana keseluruhan pulau.

    Gaik Siang berkata, dalam bancian 1994 menunjukkan sejumlah 12,543 bangunan warisan sebelum perang di kawasan luar George Town, bermula di Bagan Jermal hingga ke kawasan Green Lane.

    “Mengikut SAP George Town, terdapat sekitar 4,000 hartanah warisan yang tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia. Kemungkinan ada kira-kira lebih 8,000 bangunan warisan di seluruh bahagian pulau,” katanya.

  • Shahidan umum lancar NGO Pertubuhan Perpaduan Ummah

    Shahidan umum lancar NGO Pertubuhan Perpaduan Ummah

    AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan penubuhan Pertubuhan Perpaduan Ummah selepas menerima Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada 29 Disember lalu.

    “NGO ini berperanan menyatukan masyarakat di Malaysia tanpa mengira parti selain memfokuskan kepada kerja-kerja kebajikan,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung penajanya.

    “Pertubuhan ini juga akan diperluaskan ke semua 222 Parlimen di seluruh negara dalam memastikan usaha membentuk kerjasama seluruh rakyat selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    “Untuk (organisasi), saya adalah pemudah cara sahaja. Selepas ini, pertubuhan ini akan dipimpin orang yang lebih hebat dan berjenama,” katanya, menurut Astro Awani.

    Shahidan turut berharap pelancaran pertubuhan itu dilaksanakan di Parlimen Arau adalah bagi memastikan struktur organisasinya dapat dicontohi di Parlimen yang lain.

    Sementara itu Shahidan menafikan penubuhan NGO itu bagi ‘melawan’ NGO Muafakat Nasional yang diketuai bekas Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa.

    Beliau turut menolak mempunyai masalah dengan Annuar.

    “Sesiapa sahaja jika hendak masuk kedua-dua NGO ini pun tidak apa, tidak ada masalah.

    “Masuk tiga atau empat tidak beri apa-apa kesan, tetapi saya nyatakan bahawa Perpaduan Ummah lebih tekankan kepada kebajikan dan manifesto supaya semua pihak selepas pilihan raya mesti bersatu padu,” kata Shahidan.

  • Bunuh isteri guna sepana selepas berang hantar wang ke kampung

    Bunuh isteri guna sepana selepas berang hantar wang ke kampung

    POLIS menahan seorang lelaki warga Indonesia di Batu Gajah, Perak, semalam kerana disyaki membunuh isterinya dengan menggunakan sepana dalam kejadian pada 16 Disember lalu.

    Ketua Polis Daerah Serdang, A.A. Anbalagan berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

    “Suspek melarikan diri selepas kejadian di Taman Damai Utama, Bandar Kinrara dan meninggalkan empat anaknya bersama mayat isterinya yang berusia lewat 30-an,” katanya.

    Menurutnya, semua anaknya yang berusia lingkungan lima tahun hingga enam bulan ditemui selamat beberapa jam selepas anggota polis tiba di lokasi kejadian.

    “Siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan di belakang kepala hingga menyebabkan kematian di tempat kejadian.

    “Dengan bantuan sepasukan polis dari Balai Polis Batu Gajah, seorang lelaki warga Indonesia berusia 27 tahun ditahan selepas disyaki terlibat dengan kes tersebut, tengah hari tadi (semalam),” katanya dalam kenyataan, lapor Kosmo!.

    Menurut Anbalagan, suspek sudah berkahwin selama tujuh tahun dan mengaku bertindak memukul kepala isterinya menggunakan sepana boleh laras.

    “Kejadian terjadi akibat pergaduhan antara suspek dan mangsa di mana wang simpanan bersama berjumlah RM6,000 digunakan mangsa untuk dihantar kepada keluarga di kampung tanpa pengetahuan suspek.

    “Suspek ditahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman,” katanya.

  • Polis siasat ketulenan rakaman tular panjat Menara Merdeka 118

    Polis siasat ketulenan rakaman tular panjat Menara Merdeka 118

    POLIS sedang mengenal pasti sama ada video tular pasangan Russia disyaki memanjat Menara Merdeka 118 sahih dan tulen, kata Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Yahaya Othman.

    Beliau berkata, selain itu, pihaknya masih menunggu maklum balas mengenai rekod kemasukan pasangan berkenaan ke negara ini.

    “Kita juga sedang bekerjasama dengan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) mengenai kesahihan dan ketulenan rakaman video yang ditularkan menerusi laman web ‘Sky Scraper City Forum’.

    “Selain itu pada masa sama, Polis Daerah Dang Wangi sedang merakam percakapan pihak pengurusan menara berkenaan iaitu Perbadanan Nasional Berhad (PNB),” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau tidak menolak kemungkinan rakaman itu dihasilkan dengan kesan teknologi terkini tanpa perlu berada di menara berkenaan.

    “Berdasarkan siasatan awal, pihak pengurusan PNB menyatakan bahawa sistem kawalan ketat yang dibuat di seluruh kawasan menara itu menyukarkan mana-mana pihak untuk masuk sekali gus memanjat menara berkenaan.

    “Apapun pihak polis harus menunggu hasil dari siasatan yang dibuat selepas merujuk kepada SKMM dan JIM (Jabatan Imigresen),” katanya.

    Yahaya berkata, setakat ini pihak polis menerima satu laporan dibuat pihak pengurusan selepas video pasangan itu memanjat Menara Merdeka 118 tular.

  • Shahidan dakwa Ahli Parlimen PN tidak dapat peruntukan

    Shahidan dakwa Ahli Parlimen PN tidak dapat peruntukan

    AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa keputusan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak memberikan peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang sebagai tidak adil.

    Bagaimanapun, beliau menyatakan akan membuat perbincangan secara berterusan bersama pihak terlibat bagi memastikan isu berkaitan peruntukan dapat diselesaikan.

    “Di Parlimen, (kita memang) lain. Walaupun nama Kerajaan Perpaduan, tetapi kami ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional tidak dapat peruntukan, manakala Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan dapat peruntukan.

    “Itu sudah ‘sesuatu’, bak kata (Allahyarham) P. Ramlee: ‘ini tidak adil!’

    “Walau bagaimanapun kita akan bincang perkara ini berterusan dan dapat manfaatkan semua pihak,” kata Shahidan.

    Shahidan berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Pertubuhan Perpaduan Ummah di Pusat Khidmat Parlimen Arau, Kubang Gajah, semalam.

    Awal Disember lalu, Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khiruddin menyatakan bahawa kerjasama baik antara kerajaan dan pembangkang boleh dilaksanakan sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mengutamakan pemberian peruntukan Ahli Parlimen dengan sama rata.

    Ahli Parlimen Jerantut itu menerusi satu kenyataan di Facebooknya berkata, perkara berkenaan merupakan antara janji termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), yang kini menerajui Kerajaan Persekutuan lapor Astro Awani.

  • PH yakin menang PRN Kedah kerana mahu gabung dengan BN

    PH yakin menang PRN Kedah kerana mahu gabung dengan BN

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SETELAH bermati-matian mengata sesama sendiri dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, Pakatan Harapan (PH) Kedah seakan menjilat ludah sendiri apabila dengan mendakwa jalinan kerjasama bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan menjadi faktor kepada mereka untuk mencatat kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Pengarah Biro Komunikasi dan Penerangan PH Kedah, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, perbincangan mengenai kerjasama itu di semua peringkat sudah pun bermula.

    Selain itu dakwanya, terdapat dua lagi faktor yang akan membolehkan gabungan PH serta BN meraih kemenangan di negeri ini dengan salah satu daripadanya adalah tsunami PN yang melanda Kedah dalam PRU-15 didakwa kononnya hanya bersifat sementara.

    “Tsunami PN dalam PRU-15 bersifat sementara kerana gelombang itu wujud atas tiupan sentimen bangsa dan agama. Ramai telah menyedari hakikat permainan sentimen inni yang hanya untuk meraih laba politik tanpa memberi apa-apa keuntungan kepada negara.

    “Faktor kedua ialah kerana kecemerlangan Kerajaan Perpaduan memerintah. Perdana Menteri bukan hanya bercakap malah turut bertindak dengan menunjukkan contoh terbaik,” katanya dalam satu kenyataan sempena kehadiran Tahun Baharu, hari ini.

    Ismail mendakwa, ketiga-tiga faktor utama itu akan meredakan momentum tsunami PN dan akan memberi kelebihan kepada gabungan PH dan BN sekali gus memberi kemenangan dalam PRN akan datang.

  • Wisma Jakel Shah Alam terbakar, musnah 80 peratus

    Wisma Jakel Shah Alam terbakar, musnah 80 peratus

    GEDUNG tekstil terkemuka, Wisma Jakel cawangan Shah Alam musnah 80 peratus dalam kebakaran di Seksyen 7, Kuala Lumpur, pagi tadi.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 7.08 pagi dan sepasukan anggota dari tujuh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, pasukan pegawai dan anggota serta aset dari BBP Shah Alam; BBP Kota Anggerik; BBP Subang; BBP Kota Raja; BBP Damansara; BBP Sungai Pinang dan BBP Puchong terlibat.

    “Sebaik tiba di lokasi, didapati satu kebakaran membabitkan satu lot kedai tiga tingkat yang sedang terbakar 80 peratus. Bahagian dalam bangunan musnah terbakar.

    “Bagaimanapun api telah berjaya dikawal dan dipadamkan dalam tempoh lebih kurang sejam.

    “Ketika ini pasukan JBPM sedang melaksanakan pemadaman bara bara api dan timbunan kain,” katanya hari ini, lapor Astro Awani.

    Norazam menambah tiada mangsa yang terlibat dalam kebakaran tersebut, dan punca insiden masih dalam siasatan.

  • Penonton maut dirempuh kereta di Litar Dato Sagor

    Penonton maut dirempuh kereta di Litar Dato Sagor

    SEORANG lelaki maut akibat dirempuh kereta yang terbabas di Litar Dato Sagor, Kampung Gajah di Pasir Salak hari ini.

    Rakaman kejadian yang tular di media sosial memaparkan dua buah kereta yang sedang berlumba dalam acara permotoran bergesel hingga menyebabkan salah sebuah kereta berkenaan terbabas.

    Lapor Sinar Harian, kejadian itu menyebabkan beberapa individu yang berada di tepi litar segera lari menyelamatkan diri namun mangsa parah akibat rempuhan berkenaan.

    Beberapa orang penonton kemudian dilihat bergegas untuk memeriksa keadaan mangsa sebelum ambulans tiba untuk memberikan bantuan.

    Difahamkan, mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.