Category: Semasa

  • Sanusi jemu layan Saifuddin, minta bawa ke mahkamah jika ada bukti

    Sanusi jemu layan Saifuddin, minta bawa ke mahkamah jika ada bukti

    Oleh BADLISHAH MAT

    DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membawa apa jua dokumen yang didakwa sebagai bukti penyelewangan unsur nadir bumi (REE) ke mahkamah jika benar Menteri Dalam Negeri itu memilikinya.

    Menteri Besar Kedah itu berkata, langkah tersebut lebih tepat berbanding tindakan Saifuddin yang melontarkan perkara-perkara berkaitan pada siri ceramahnya.

    Namun beliau menegaskan, dokumen yang dikemukakan Saifuddin ketika ini bukan bukti tetapi sekadar mahu membina naratif sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN). 

    “Apa-apa kes bukti (mesti) dibawa ke mahkamah, tak payah lontar di pentas ceramah, itu bukan kerja yang betul.  Saya tak pernah buat kerja lagu tu, (sebaiknya) bawa ke mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas program santai bersama beliau dan Baddrol Bakhtiar di Gurun, hari ini. 

    Muhammad Sanusi berkata, beliau sudah jemu melayan soalan Saifuddin berkenaan REE dan ingin membiarkan Setiausaha Agung PKR itu ‘menari’ seorang diri kerana Saifuddin juga semakin banyak ‘terkantoi’ apabila mengemukakan dokumen.

    “Kan dah kantoi. Orang dah cakap lama So Lai Fat tu sudah lama ada sini sebelum saya jadi Menteri Besar. Dia tak percaya dia kata Mr So masuk dengan surat daripada saya, tak betul.

    “Depa ada sini lama dah, tanyalah Fathul Bari (Dr Fathul Bari Mat Jahya), dia buat company dengan depa 2019 register yang (Prospek Suria) Kedah, yang Malaysia sebelum daripada itu,” katanya. 

    Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi memberi amaran agar Saifuddin tidak mencabarnya untuk mengemukakan bukti bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli perniagaan Indonesia, Riza Chalid memohon untuk mengusahakan REE.

    “Bencana bagi negara ini bila ahli politik mencampuri urusan jabatan kerajaan, dia ada petak (kuasa) dia. Duduk jangan campur semua  urusan jabatan.

     “Mai Kedah ini berapa puluh kali sebulan. Semua orang urus naik heli, naik kapal terbang nak kena buka bilik (hotel), nak kena jamu lagi (bila) dia mai kerap-kerap.Pi lah buat kerja KDN (Kementerian Dalam Negeri). Dia makan gaji RM70,000, RM80,000 dok kira REE ja, KDN berlambak lagi tugasan,” katanya.

  • MBI Kedah minta Saifuddin perbetul kenyataan atau berdepan tindakan undang-undang

    MBI Kedah minta Saifuddin perbetul kenyataan atau berdepan tindakan undang-undang

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PERBADANAN Menteri Besar (MBI) Kedah hari ini menafikan beberapa kenyataan dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang didakwa mengelirukan dan tular di media sosial termasuk TikTok serta Facebook berkaitan isu unsur nadir bumi (REE) baru-baru ini.

    Menerusi kenyataan dikeluarkan, syarikat itu pertamanya mengulas mengenai kenyataan Saifuddin pada 15 Julai lalu yang dibuat dalam ceramah di Padang Awam Guar Chempedak.

    Dalam ceramah tersebut, Saifuddin bertanyakan kepada Pengerusi MBI Kedah sama ada beliau pernah menerima surat yang menghendaki MBI Kedah membayar kompaun berjumlah RM500,000 kerana mencuri REE di Kampung Chong dekat Sik.

    “Menurut rekod MBI Kedah, surat tersebut dikeluarkan Pejabat Tanah Dan Galian kepada MBI Kedah dan individu bernama Ho Chung Meng. Surat tersebut dialamatkan kepada MBI Kedah kerana MBI Kedah adalah pemegang lesen ladang hutan yang sah manakala Ho Chung Meng pula adalah orang yang telah mengakui kesalahan dan membayar denda.

    “Tidak ada nama Pengerusi MBI Kedah seperti yang disebut Saifuddin,” katanya.

    Dalam kenyataan sama, MBI Kedah turut mengulas mengenai kenyataan dibuat Saifuddin pada 26 Julai di Pusat Operasi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantek, Inap Desa Din Haji Salleh yang mendakwa terdapat seorang warganegara China bernama Huang Zhi Yi yang ditahan pihak berkuasa dan bekerja dengan MBI Kedah.

    “Huang Zhi Yi bukan pekerja MBI Kedah. Proses pengambilan pekerja di MBI Kedah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan pemohon pelru melalui temu duga serta pemeriksaan kesihatan sebelum tawaran pekerjaan dikeluarkan.

    “Tiada surat tawaran pekerjaan dikeluarkan kepada Huang Zhi Yi hingga kini. Oleh itu MBI Kedah menafikan Huang Zhi Yi sebagai pekerja MBI Kedah,” katanya.

    Selain itu, MBI Kedah turut mengulas mengenai kenyataan dibuat Saifuddin pada tarikh dan lokasi sama yang mendakwa Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor membawa masuk Huang Zhi Yi dan meletakkannya di MBI Kedah.

    “MBI Kedah bukan majikan Huang Zhi Yi. Majikan bermaksud mana-mana orang yang membuat kontrak perkhidmatan untuk mengambil bekerja orang lain sebagai pekerja. Majikan dan pekerja akan terikat dengan kontrak perkhidmatan.

    “Tiada kontrak perkhidmatan dikeluarkan atas nama Huang Zhi Yi. Oleh yang demikian, MBI Kedah menafikan menjadi majikan kepada individu berkenaan sebagaimana disebut Saifuddin,” katanya.

    Sementara itu MBI Kedah turut menafikan kenyataan dibuat Saifuddin di lokasi serta tempat sama yang mendakwa Menteri Besar memberikan kawasan Bukit Enggang kepada MBI Kedah.

    “MBI Kedah Incorporated JV Jaentique Sdn. Bhd. telah mendapat surat kelulusan Projek Pembangunan Ladang Hutan di sebahagian kompartmen 12, Hutan Simpan Bukit Enggang daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah pada Mei 2016. Kerajaan negeri mellaui Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Hasil Bumi Negeri telah meluluskan kawasan pada November 2015.

    “Menteri Besar Kedah pada masa itu bukanlah Muhammad Sanusi seperti dinyatakan Saifuddin,” katanya.

    MBI Kedah menambah, kenyataan itu dikeluarkan bagi menjaga nama baik dan imej syarikat itu, selain bertujuan mengelakkan kekeliruan dan tanggapan negatif orang awam serta mana-mana pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan mereka.

    “MBI Kedah menuntut Saifuddin membetulkan kenyataan dikeluarkan itu dan berhenti menyebarkan kenyataan mengelirukan.

    “Sekiranya tiada sebarang tindakan diambil Saifuddin, MBI Kedah akan menyerahkan perkara ini kepada proses perundangan selanjutnya,” katanya.

  • Dua wanita rugi lebih RM1 juta terpedaya pelaburan tak wujud

    Dua wanita rugi lebih RM1 juta terpedaya pelaburan tak wujud

    DUA  wanita mendakwa kerugian lebih RM1 juta selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud yang menawarkan keuntungan tinggi oleh sebuah syarikat pelaburan.

    Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata pihaknya menerima laporan dua hari lepas daripada wanita berusia 44 tahun yang mendakwa melihat satu akaun TikTok menawarkan pelaburan emas pada Mac lepas.

    “Mangsa yang berminat kemudian menghantar pesanan mesej kepada penama akaun berkenaan dan dimaklumkan pelaburan itu menawarkan pulangan lumayan dalam dolar Amerika Syarikat (AS) sebelum membuat 27 transaksi ke dalam satu akaun bank keseluruhan berjumlah RM621,800.

    “Mangsa mendakwa mendapat keuntungan sebanyak RM20,000 sahaja dan tidak mendapat apa-apa keuntungan selepas itu,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BERNAMA.

    Ahmad Dzaffir berkata mangsa kedua pula membabitkan warga emas berusia 63 tahun yang telah diperkenalkan oleh saudaranya mengenai satu syarikat pelaburan beralamat di Kuala Lumpur pada Jun 2020.

    Menurutnya, mangsa dijanjikan keuntungan antara 15 ke 17 peratus selama tiga tahun menyebabkan wanita terbabit membayar keseluruhan berjumlah RM500,000 selama enam bulan sejak 3 Julai 2020.

    “Mangsa mendakwa pernah menerima keuntungan sebanyak RM6,250. Dia tidak lagi menerima keuntungan yang dijanjikan oleh syarikat berkenaan selepas itu dan mendapati syarikat tersebut telah ditutup,” katanya.

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan pelaburan yang menawarkan keuntungan tinggi dan menyemak pendaftaran syarikat terbabit dengan Suruhanjaya Sekuriti atau Bank Negara Malaysia.

  • Tiket umrah : Bekas Penyelia Syarikat Pelancongan didakwa 11 pertuduhan rasuah

    Tiket umrah : Bekas Penyelia Syarikat Pelancongan didakwa 11 pertuduhan rasuah

    SEORANG bekas penyelia syarikat pelancongan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas 11 pertuduhan meminta dan menerima rasuah lebih RM130,000, sebagai upah membantu mendapatkan 6,051 tiket penerbangan bagi mengerjakan umrah, empat tahun lepas.

    Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Muhammad Fariz Jamaluddin, 35, didakwa secara rasuah meminta dua unit telefon bimbit iaitu Samsung Galaxy Z Fold 4 dan Iphone 14 Pro Max 1TB, masing-masing bernilai RM7,299 dan RM8,299.

    Kedua-duanya didakwa diterima daripada Pengarah Urusan Syarikat Myway Haramain Travel Services Sdn Bhd Ab Hakimee Abdullah, sebagai upah membantu mendapatkan 2,231 tiket penerbangan Saudi Airlines bagi urusan jemaah mengerjakan umrah, yang ditempah oleh syarikat tersebut, lapor BERNAMA.

    Muhammad Fariz juga didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM110,280 dan dua unit telefon bimbit jenama sama, serta satu set lensa kamera jenama SONY FE 35MM F1.4 GM LENS bernilai RM6,600 daripada Ab Hakimee serta Mohd Zahid Saaizan dan Abdul Rahim Ibrahim, yang masing-masing meruakan pengarah urusan syarikat Alam Shah Travel & Tours Sdn Bhd dan syarikat Busyra Holidays Sdn Bhd.

    Perbuatan itu dilakukan sebagai upah bagi membantu mendapatkan 6,051 tiket penerbangan sama untuk urusan jemaah mengerjakan umrah, yang ditempah oleh tiga syarikat pelancongan berkenaan.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi di ibu negara, termasuk di restoran, kedai telefon bimbit dan kamera serta rumah tertuduh antara 16 Dis 2019 sehingga 7 Feb 2023.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh menawarkan jaminan berjumlah RM70,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM.

    “Jumlah jaminan itu sesuai dan wajar, tertuduh juga tidak boleh berinteraksi dengan saksi pendakwaan yang difahamkan merupakan kenalan tertuduh,” katanya.

    Peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili tertuduh, memohon jaminan RM20,000 dengan alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga, serta perlu menjaga dua anak berusia lima dan lapan tahun.

    “Anak guam saya seorang duda yang telah bercerai dengan isterinya tahun lepas dan dia juga tinggal bersama ibunya yang uzur. Sepanjang siasatan dijalankan, anak guam telah memberikan kerjasama baik terhadap pegawai penyiasat, selain tertuduh hadir sendiri ke mahkamah hari ini,” kata peguam itu.

    Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 bagi kesemua pertuduhan dengan dua penjamin, berserta syarat tambahan yang dipohon pendakwaan dan perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM cawangan Kuala Lumpur sehingga kes selesai, serta menetapkan 18 Sept ini untuk sebutan kes bagi serahan dokuman.

  • Bayi 40 hari alami pendarahan otak dihempas ke lantai

    Bayi 40 hari alami pendarahan otak dihempas ke lantai

    SEORANG bayi berusia 40 hari mengalami pendarahan otak selepas dihempas ke lantai oleh bapa saudaranya yang dipercayai mengalami gangguan mental dalam kejadian di sebuah pangsapuri di George Town, Pulau Pinang semalam.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, suspek berusia 28 tahun turut mencampak seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dari tingkat satu pangsapuri berkenaan sehingga patah kaki dan cedera pada mulut.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada bapa kanak-kanak berkenaan pukul 9.30 malam tadi.

    Menurut beliau, lelaki berusia 31 tahun itu mendakwa suspek yang juga adik iparnya telah menghempas dan mencampak anaknya dari tingkat satu blok pangsapuri kediaman mereka.

    “Kedua-dua mangsa kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurut Soffian, ketika kejadian, suspek dikatakan dalam keadaan tidak berpakaian dan turut cedera pada pergelangan tangan kiri akibat dikelar sendiri.

    Jelas beliau, ahli keluarganya turut memaklumkan suspek yang tidak bekerja dan mempunyai satu rekod jenayah membabitkan kesalahan dadah itu mengalami gangguan mental sejak sebulan lalu.

    Ujarnya, suspek juga telah ditahan oleh pasukan D9 Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Timur Laut dan direman selama tujuh hari sehingga 9 Ogos ini.

    “Suspek kini ditahan di HPP untuk rawatan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cubaan bunuh,” katanya.

    Dalam pada itu, Soffian turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu tampil ke ibu pejabat polis daerah Timur Laut bagi membantu siasatan.

  • Lelaki didakwa minta, terima telefon pintar, lensa kamera, wang tunai lebih RM148,000 sebagai upah

    Lelaki didakwa minta, terima telefon pintar, lensa kamera, wang tunai lebih RM148,000 sebagai upah

    SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 11 pertuduhan meminta dan menerima telefon pintar, wang tunai serta lensa kamera berjumlah RM148,076 sebagai upah mendapatkan tiket penerbangan jemaah umrah dan haji antara Disember 2019 sehingga Februari 2023.

    Tertuduh, Muhammad Fariz Jamaluddin ,35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu selepas pertuduhan di bacakan di hadapan Hakim Azura Alwi pagi ini, lapor Utusan TV.

    Mengikut empat pertuduhan, tertuduh didakwa telah secara rasuah meminta dan menerima dua unit telefon pintar jenis Samsung Galaxy Z Fold dan Iphone14 Pro Max 1TB dengan harga berjumlah RM15,598 daripada Ab Hakimee Abdullah.

    Perbuatan itu adalah sebagai upah mendapatkan 2231 tiket penerbangan Saudi Airlines bagi urusan jemaah-jemaah mengerjakan umrah untuk bulan Julai sehingga November 2022.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai telefon pintar serta di sebuah kediaman di sekitar Kuala Lumpur antara 14 Ogos sehingga 3 November 2023.

    Bagi lapan lagi pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah meminta dan menerima wang tunai berjumlah RM96,420 masing-masing daripada Ab. Hakimee, Mohd. Zahid Saaizan, dan Abdul Rahim Ibrahim.

    Kesalahan meminta dan menerima wang tunai secara rasuah itu adalah sebagai upah membantu mendapatkan 3,522 tiket penerbangan Saudi Airlines untuk jemaah umrah bagi bulan Ogos 2019 sehingga Januari 2023 serta 191 tiket penerbangan jemaah haji bagi tahun 2022.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di di lima buah kedai makan berlainan dan di sebuah kediaman di sekitar ibu negara antara 16 Disember 2019 sehingga 8 Disember 2022.

    Mengikut satu lagi pertuduhan, tertuduh didakwa menerima satu set lensa kamera jenama SONY FE 35MM F1.4 GM LENS bernilai RM6,600 daripada Abdul Rahim dapatkan 90 tiket penerbangan Saudi Airlines jemaah umrah untuk bulan Februari 2023.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai kamera di Berjaya Times Square pada 7 Februari lalu.

    Bagi kesemua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

    Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh menawarkan jaminan sebanyak RM70,000 ke atas tertuduh selain syarat tambahan agar menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

    Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Ridha Abdah Subri memohon jumlah jaminan yang minima memandangkan anak guamnya itu kehilangan sumber pendapatan sejak ditahan oleh SPRM serta seorang duda yang menjaga dua cahaya mata berusia lima dan lapan tahun.

    Peguam itu juga tidak membantah cadangan syarat tambahan yang dikemukan oleh pihak pendakwaan.

    Hakim Azura kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan dua orang penjamin serta bersetuju untuk mengenakan syarat tambahan sepertimana yang ditawarkan oleh pendakwaan.

    Mahkamah menetapkan 18 September depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen di hadapan Hakim Rozina Ayob.

  • 4 hari bersembunyi, pekerja ladang bakar isteri ditahan polis

    4 hari bersembunyi, pekerja ladang bakar isteri ditahan polis

    SELEPAS empat hari menyembunyikan diri, seorang pekerja ladang yang membakar isterinya sehingga mengakibatkan kecederaan parah dalam kejadian di Tasek Gelugor, Pulau Pinang Isnin lalu akhirnya berjaya ditahan polis.

    Suspek yang berusia 36 tahun itu ditahan di sebuah kawasan di Nibong Tebal, Pulau Pinang kira-kira pukul 12.30 tengah hari, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang untuk mendapatkan perintah reman pagi esok.

    Terdahulu, media melaporkan seorang wanita berusia 35 tahun melecur 27 peratus di anggota badan selepas suspek menyimbah petrol dan membakar mangsa di rumah mereka di kawasan ladang kelapa sawit di Tasek Gelugor.

    Pasangan suami isteri yang telah berkahwin sejak 15 tahun itu dikatakan bertengkar sebelum suspek bertindak demikian kira-kira pukul 9.30 malam.

    Hasil siasatan mendapati, pasangan suami isteri itu tinggal di kediaman yang disediakan untuk pekerja di ladang berkenaan.

    Susulan kejadian itu, mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

  • Sanusi ingatkan Saifuddin jangan melampaui batas

    Sanusi ingatkan Saifuddin jangan melampaui batas

    MENTERI Besar, Datuk  Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi peringatan kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail jangan agar melampaui kuasa diperuntukkan kepada Menteri Dalam Negeri itu. 

    Beliau mengingatkan Setiausaha Agung PKR itu agar tidak berbuat sewenang-wenangnya semasa di Kedah, tetapi mesti menghormati setiap peranan yang ada di Kedah. 

    “Ni duk melawat loji rawatan ayaq (LRA) rata (pergi). Macam harta pak dia. Negeri ni ada tuan hoi. Kampung pun ada tuan, tambahlah negeri. Buat masa la ni Tuanku (Sultan) lantik saya jadi MB, sayalah tuan dia.  

    “Tuanku Sultan bagi tauliah kepada 12 orang Dato’-Dato’ Pegawai Daerah (DO), jaga tiap-tiap daerah ni. Apa jadi dalam daerah, hang (Saifuddin) nak jadi kut mana apa, orang susah, pembangunan projek apa, kena rujuk kat DO. 

    “Pi jumpa depa dulu, nak pi tengok tang mana pun. Ni hang langgar ikut dan ni. Awat hang ingat negeri ni tak dak tuan? Nak jadi Menteri kena mengaji (belajar) sikit dulu. Nak masuk rumah orang kena bagi salam.  Dia kata Perdana Menteri arahkan saya, wei negeri ini ada Raja, ada Sultan negeri ini. Ada Menteri Besar, ada Exco. Perdana Menteri pun tak boleh arah sembarangan. Kalau hangpa mengaji betul-betul.  

    “Ini dak, ini langgar ikut dan. Dapur rumah aku pun hang mai selongkar. Jurus (simbah) ayaq (air) panas baru hang tahu,” seloroh beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), lapor HarakahDaily.

    Beliau yang juga calon PN DUN Jeneri berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Mega PN BEST ‘Sayangi Kedah Sejahtera’ di Dataran Darul Aman, Jitra  malam tadi. 

    Sanusi turut membidas dakwaan Saifuddin bahawa LRA berkenaan adalah peruntukan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan dan menggambarkan boleh sesukanya untuk mengadakan lawatan pada bila-bila masa. 

    “Weh Pudin, duit itu aku pinjam oi. Walaupun Kerajaan Pusat, tapi kita pinjam dan kita bayar balik. Dah hang bagi pinjam, hang kata hang bagi. Mana boleh lagu itu? Ada tatakelola, ada kaedah, ada proses, ada prosedur dia.  

    “Ooh…. dia kata bila Kerajaan Pusat bagi duit, jadi projek Kerajaan Pusat? Dak, projek itu state punya kerajaan negeri punya. Semua projek, lima projek LRA itu adalah projek kerajaan negeri, bukan projek Kerajaan Persekutuan.  

    “Mengaji undang-undang Akta WSIA 2006, mengaji undang-undang SPAN, mengaji undang-undang sikit bab hutang kerajaan negeri, mengaji lagi Pudin,” tempelak Sanusi terhadap Saifuddin.

  • Sangat pelik…dulu pantang sebut DAP…kini UMNO berpeluk dengan DAP’’ – Muhyiddin

    Sangat pelik…dulu pantang sebut DAP…kini UMNO berpeluk dengan DAP’’ – Muhyiddin

    ’PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa parti UMNO tidak seperti dahulu sebaliknya sudah rosak dan digambarkan juga sebagai sudah koyak serta rabak.

    Muhyiddin turut mendakwa prinsip asal perjuangan UMNO juga telah tiada, ia telah dikorbankan oleh masalah 47 pertuduhan yang dihadapi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Katanya, sejak dahulu lagi UMNO tidak sehaluan dengan DAP dan menjadi kepantangan untuk menyebut DAP.

    “Zaman berzaman lagi, sejak saya menjadi ahli UMNO pun jangan sebut DAP, pantang memang tak sebulu, bukan parti yang harus didokong oleh orang Melayu. Saya bukan nak bercakap soal perkauman tetapi saya tahu…perjuangan mereka tidak mengambarkan yang memahami hasrat dan cita-cita orang Melayu.

    “Sebab itu UMNO sejak dahulu lagi tidak mahu bersepakat dengan DAP, tidak boleh. Tetapi macam mana hari ini berbeza? Jadi ini sangat pelik, UMNO dengan DAP dengan Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) berpeluk-peluk,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Parlimen Tampin di Felda Jelai 4 di Tampin, malam tadi, lapor Sinar Harian.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau tidak menolak sebahagian yang hadir pada program malam ini (Rabu) merupakan ahli-ahli UMNO.

    “Semua yang ada di sini adalah mahabah, saya ingin mengingatkan dan saya nak menyebut juga sebab saya bekas Timbalan Presiden UMNO dahulu, walaupun saudara-saudara masih UMNO (ahli) jangan fikir bahawa UMNO macam dahulu,” katanya.

    Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, PN akan mengumumkan manifesto bagi Selangor pada Jumaat ini sebagai tawaran kepada pengundi-pengundi di negeri itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

    Katanya, setiap negeri yang terbabit dalam PRN akan diketengahkan manifesto masing-masing.

    “Saya nak katakan janji kami…memperkenalkan beberapa perkara dalam manifesto Negeri Sembilan iaitu mahu bangunkan ekonomi, pendidikan, sosial dan bidang-bidang lain. Ini janji kami dan bila kami berjanji, kami akan laksanakan,” katanya.

  • ”Jadilah (cukuplah) Pudin, hang habis modal dah” – Sanusi

    ”Jadilah (cukuplah) Pudin, hang habis modal dah” – Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor meminta Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menghentikan perdebatan mengenai isu unsur nadir bumi (REE) kerana Menteri Dalam Negeri itu sudah ketandusan modal.

    Muhammad Sanusi berkata, beliau memiliki satu lagi maklumat penting berkaitan isu terbabit yang mungkin akan mengejutkan pihak lawan khususnya Saifuddin, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

    Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu, Saifuddin sudah kehabisan modal berkenaan isu REE, sebaliknya beliau masih memiliki ‘peluru’ terakhir.

    “Saya ingat cerita REE ini kita tutuplah malam ini, Pudin jadilah (cukuplah). Hang habis dah modal. Aku ada satu lagi (pendedahan), kalau hang keluarkan (apa-apa) esok, aku balun yang tu hang kena kunci. Jadi jangan sampai saya bawa keluar (dedahkan) ‘bom atom’ itu. Kalau aku keluar hang punya muka kalih letak belakang,” katanya ketika berucap dalam Jelajah Mega PN Best di Dataran Darul Aman, Jitra.

    Tambahnya, beliau juga boleh mendedahkan lokasi pejabat milik usahawan Indonesia, Riza Chalid yang sebelum ini didakwanya pernah hadir ke Kedah bersama Perdana Menteri untuk memohon tanah bagi melombong REE di negeri itu.

    “Yang ini last punya. Kalau esok dia (Saifuddin) bercakap lagi saya nak tunjuk pejabat (Riza) di Alor Setar,” katanya.

    Terdahulu, Saifuddin berkata, beliau akan mengemukakan bukti-bukti baharu mengenai kecurian REE di Bukit Enggang, Sik pada sidang akhbar di Jitra, hari ini.

    Sebelum itu, beliau menegaskan tiada sebarang permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Riza untuk mengusahakan aktiviti REE di Kedah kerana ahli perniagaan itu hanya sekadar menemani Anwar untuk menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

    “Sebenarnya dia (Riza) mai ke Kedah menemani Datuk Seri Anwar untuk kunjungan hormat Sultan Kedah, itu saja lepas itu dia balik. Saya sendiri tanya Anwar tadi sebelum mai ceramah.

    “Saya kata Datuk Seri kena jawab sikit. Datuk Seri pasti tak pernah jumpa Sanusi? Beliau kata tak, perjumpaan itu berlaku di istana dan Sanusi pun tak dak,” katanya.

    Saifuddin mendakwa, kenyataan Muhammad Sanusi adalah untuk mengalih perhatian rakyat, namun ianya gagal kerana kunjungan Riza ke istana didakwa tiada kaitan langsung dengan REE.