Category: Semasa

  • Kemalangan Litar Dato’ Sagor: Kerajaan negeri teliti laporan penuh penganjur

    Kemalangan Litar Dato’ Sagor: Kerajaan negeri teliti laporan penuh penganjur

    KERAJAAN Negeri Perak akan meneliti laporan penuh daripada penganjur Pertandingan ‘CCT Battle of Champion’ di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah susulan kemalangan yang mengorbankan seorang penonton, semalam.

    Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata tindakan selanjutnya akan dibuat selepas melihat laporan berkenaan khususnya melibatkan aspek keselamatan.

    “Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga penonton yang maut dan peristiwa semalam sudah pasti sesuatu yang kita kesalkan.

    “Saya akan umumkan apa tindakan selanjutnya selepas menerima dan meneliti semua laporan penuh termasuk daripada pihak berkuasa dari aspek teknikal, keselamatan penonton, pelumba, pegawai bertugas dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Petang semalam, seorang penonton yang juga mekanik sebuah bengkel dilanggar sebuah kereta lumba yang terbabas dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan dan hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala dan pendarahan di bahagian paru-paru.

    Khairudin berkata pihaknya tidak berkompromi terhadap pengabaian ciri keselamatan pada setiap acara sukan bermotor apatah lagi melibatkan kehilangan nyawa.

    Tambah beliau, pihak penganjur seharusnya bertanggungjawab terhadap kecuaian dalam melaksanakan program tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP).

  • Tapir ‘raikan’ tahun baharu di hotel Melaka cetus kekecohan

    Tapir ‘raikan’ tahun baharu di hotel Melaka cetus kekecohan

    MELAKA sememangnya menjadi lokasi percutian pilihan ramai lebih-lebih ketika sambutan Tahun Baharu 2023 hari ini.

    Namun begitu, sebuah hotel di Melaka bukan sahaja menjadi pilihan untuk menyambut tahun baharu tetapi juga ‘menyambut’ kehadiran seekor haiwan liar.

    Keadaan itu berlaku selepas seekor Tapir Malaya muncul sebagai tetamu tidak diundang sekali gus mencetuskan kekecohan.

    Memetik laporan The Star Online, Pengurus Besar Kumpulan Hatten Hotel Worldwide, Datuk Chuck Kassim berkata, haiwan itu dilihat berkeliaran di sekitar Hotel Estadia, Bandar Hilir, Melaka, pagi tadi.

    Menurut beliau, kehadiran tapir di sekitar kawasan hotel itu disedari tetamu.

    “Ia benar-benar satu kejutan tahun baharu untuk kami semua di Hatten Group,” katanya.

    Dalam pada itu, memetik laporan portal Melaka Hari Ini, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Kanan II Mohd Sofian Hassan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan mengenai kelibat haiwan liar itu di tingkat lima tempat parkir bangunan itu pada pukul 9.04 pagi.

    Beliau berkata, haiwan itu dipercayai masuk ke tempat parkir tersebut melalui jalan masuk kereta dan sesat untuk keluar semula dari bangunan berkenaan.

    Katanya, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati haiwan itu berkeliaran di kawasan terbabit.

    “Anggota bomba mengalami sedikit kesukaran sedikit untuk menangkap tapir berkenaan berikutan haiwan itu bertindak agresif sehingga merosakkan bahagian stor hotel terbabit dan beberapa kereta yang diletakkan di parkir tersebut,” katanya.

    Tapir Malaya atau nama saintifiknya, tapirus indicus juga dikenali sebagai Tapir Asia dalah spesis yang berasal dari Semenanjung Malaysia dan Sumatera.

    Haiwan berkenaan telah disenaraikan sebagai terancam oleh Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).

  • Litar pintas punca kebakaran Wisma Jakel

    Litar pintas punca kebakaran Wisma Jakel

    KEBAKARAN di Wisma Jakel cawangan Shah Alam yang berlaku awal pagi tadi, dipercayai berpunca daripada litar pintas.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim, berkata kebakaran bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.

    “Polis menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan sekitar pukul 7 pagi dan anggota polis bertugas menjalankan kawalan lalu lintas serta keselamatan di lokasi kejadian.

    “Punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas di premis itu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini lapor BH.

  • Tular aktiviti khurafat di tanah perkuburan

    Tular aktiviti khurafat di tanah perkuburan

    TULAR sejak semalam dalam Facebook mengenai aktiviti khurafat di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Haji Mohd Said, Seremban.

    Terdapat beberapa colok ditaman semasa seorang pelawat singgah menziarahi kubur Allahyarham ibunya.

    Jelas maklumat tular itu, aduan mengenainya telah pun di panjangkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

    Selain itu dia juga meminta keluarga atau waris terlibat datang melihat keadaan di kawasan berkenaan.

    “Petang tadi kami singgah ziarah kubur arwah ibu, terkejut kami tengok ada batang colok ditanam atas kubur arwah ibu..bukan kubur arwah ibu je, kubur lain pun sama ada.

    “Kami dah buat aduan pada pihak Jabatan Agama, sesiapa yang ada ahli keluarga dikuburkan di Perkuburan Sheikh Haji Said pergila cek tengok.Awat la dok buat kerja khurafat camni,” kata maklumat tular itu.

    Sementara itu, Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Zaidi Ramli berkata, siasatan akan dibuat berhubung dakwaan itu dan pemantauan juga akan dilakukan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

    “Bagi kes macam ini, JHEAINS akan buat siasatan dan juga pemantauan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

  • Dua lelaki Orang Asli maut dalam kemalangan

    Dua lelaki Orang Asli maut dalam kemalangan

    DUA lelaki Orang Asli maut apabila motosikal yang dinaiki bertembung dengan kereta dalam kemalangan di Kilometer 18, Jalan Rasa-Bukit Beruntung, Hulu Selangor pukul 7.15 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, kedua mangsa berumur 34 dan 35 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dari Bukit Beruntung menghala ke Batang Kali.

    “Motosikal jenis Yamaha 135LC dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki berumur 56 tahun.

    “Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, mayat kedua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Waspada iklan tawar lesen memandu tanpa perlu ke kelas,ujian memandu

    Waspada iklan tawar lesen memandu tanpa perlu ke kelas,ujian memandu

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan orang ramai agar berwaspada dan tidak terpengaruh dengan iklan dalam media sosial yang kononnya menawarkan lesen memandu tanpa perlu menghadiri kelas dan ujian memandu.

    Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata pihaknya telah mengesan tawaran iklan itu yang turut menggunakan gambar profil ‘China doll’ bagi menarik perhatian pengguna media sosial yang diuarkan-uarkan secara terbuka di platform berkenaan.

    “Sindiket ini mengaut keuntungan dengan memperdaya mangsa dan kemudiannya melarikan diri dengan duit yang dibayar kepada mereka.

    “Niat tawaran iklan ini adalah tidak baik kerana mengelirukan rakyat bahawa boleh dapat lesen tanpa perlu hadir ke sekolah memandu. JPJ menafikan sekeras-kerasnya perkara ini,” katanya pada sidang media Operasi Sepadu Ambang Tahun Baharu di Plaza Tol Gombak di Gimbak awal pagi tadi.

    Beliau berkata JPJ akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengesan sindiket itu melalui pautan yang dikongsikan.

    “Sindiket berkenaan telah menyedari bahawa mereka dipantau pihak berkuasa maka mereka (sindiket) yang terlibat sering menukarkan pautan setiap empat hingga enam bulan.

    “Kami akan berusaha mendapatkan individu yang bertanggungjawab menipu pengguna media sosial dengan taktik ini dan tindakan selanjutnya akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKD,” katanya.

    Sementara itu mengulas mengenai operasi sepadu itu, Zailani berkata sebanyak 3,481 saman kesalahan jalan raya dikeluarkan dalam operasi bermula dari 9 malam hingga 12 tengah malam yang dilaksanakan serentak di seluruh negara.

    Menurutnya, JPJ mengeluarkan lebih 30 peratus saman daripada 12,234 jumlah kenderaan diperiksa dalam operasi itu yang memfokuskan kepada pemeriksaan lesen memandu, cukai jalan, insurans kenderaan dan kenderaan klon.

    “Selain itu, kami turut menyita 69 kenderaan terdiri daripada 56 motosikal, 12 kereta dan satu kenderaan lain di seluruh negara setakat 12 tengah malam tadi,” katanya dan menambah lebih 200 anggota pelbagai agensi penguat kuasa terlibat antaranya PDRM, Jabatan Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Alam Sekitar.

  • Pelajar rugi RM57,488 terjerat pekerjaan tidak wujud

    Pelajar rugi RM57,488 terjerat pekerjaan tidak wujud

    SEORANG pelajar lelaki mengalami kerugian RM57,488 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan laporan, mangsa berusia 19 tahun menyertai satu iklan dalam media sosial Instagram pada 19 Disember lalu.

    “Mangsa dikehendaki melaburkan modal terlebih dahulu dan dijanjikan pulangan daripada pelaburan terbabit.

    “Mangsa berurusan melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram dalam melaksanakan tugasan yang diberikan oleh suspek sehingga melakukan lima pindahan wang ke lima akaun bank yang berlainan.

    “Siasatan mendapati mangsa menggunakan wang simpanan selain meminjam daripada rakan dan menggunakan wang persaraan ayahnya yang juga pesara guru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam kes terbabit, Ramli menasihati masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial tanpa usul periksa yang jelas.

    “Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya lapor BH.

  • Polis keluar 372 saman, sita 10 motosikal dalam operasi ambang tahun baharu di ibu negara

    Polis keluar 372 saman, sita 10 motosikal dalam operasi ambang tahun baharu di ibu negara

    JABATAN Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur  mengeluarkan 372 saman pelbagai kesalahan jalan raya dalam Operasi Khas Malam Ambang Tahun Baharu 2023 di 26 lokasi sekatan jalan raya (SJR) di seluruh ibu negara awal pagi tadi.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata ia merupakan hasil pemeriksaan yang dibuat ke atas 841 buah kenderaan yang terlibat di kesemua lokasi SJR.

    “Sebahagian besar pemeriksaan malam ini dibuat ke atas kenderaan jenis motosikal iaitu sebanyak 619, diikuti kereta (171), van (19) dan jeep (32). Seramai 848 individu pula telah diperiksa dalam operasi berkenaan, dan 10 motosikal disita kerana ubah suai struktur kenderaan,” katanya.

    Beliau berkata selain itu 12 individu berumur dalam lingkungan 15 hingga 21 tahun ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan melakukan aksi berbahaya.

    Bercakap kepada media ketika ditemui di satu lokasi sekatan jalan raya Operasi Khas Ambang Tahun Baharu di Jalan Loke Yew, di Kuala Lumpur, awal pagi ini Yahaya berkata Operasi Khas itu disertai 30 pegawai kanan dan 200 anggota.

    Sementara itu di PULAU PINANG, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Fisol Salleh berkata polis mengeluarkan 475 saman dalam operasi sempena Ambang Tahun Baharu yang bermula sejak pukul 9 malam tadi.

    “Operasi bersepadu pula dijalankan bermula petang Jumaat lagi bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan  Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang di seluruh negeri dan sebanyak 450 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan sepanjang tempoh itu.

    “Dalam operasi itu juga, kami menyita 33 buah motosikal kerana pelbagai kesalahan terutama motosikal yang diubah suai secara berlebihan dan tanpa kebenaran, manakala dalam operasi malam tadi 475 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan,” katanya ketika ditemui semasa meninjau Op Motosikal di lorong motosikal Jambatan Pulau Pinang.

    Di KOTA BHARU, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata pihaknya telah memeriksa 420 kenderaan dalam Op Khas Ambang Tahun Baharu, yang menyaksikan 251 notis saman pelbagai kesalahan dikeluarkan.

    Bercakap kepada pemberita ketika ditemui semasa mengikuti Op Khas Ambang Tahun Baharu 2023 di Jalan Padang Enggang, di sini semalam, beliau berkata sepanjang 2022, sebanyak 187,424 buah kenderaan telah diperiksa dengan 31,031 telah dikenakan tindakan.

    Menurutnya dalam tempoh itu juga 71,025 notis saman dikeluarkan, manakala 245 kenderaan disita kerana pelbagai kesalahan.

  • Kerajaan Perlis fokus bangunkan ekonomi negeri, tumpuan kepada pelaburan – MB

    Kerajaan Perlis fokus bangunkan ekonomi negeri, tumpuan kepada pelaburan – MB

    KERAJAAN Perlis akan menyusun projek-projek ekonomi negeri dalam memastikan pembangunan sektor berkenaan mampu ditingkatkan sekali gus memberi kesan positif kepada negeri pada tahun 2023.

    Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli memaklumkan bahawa pihaknya akan mengambil pendekatan yang sama dengan kerajaan negeri Kedah pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam urusan membabitkan pelaburan di negeri itu.

    “Projek-projek ekonomi kita tengah susun (dengan baik) supaya dapat memastikan ekonomi negeri Perlis lebih meningkat.

    “Saya buat pendekatan sama dengan kerajaan Kedah di mana sekiranya ada perjanjian untuk melabur di sini, kita akan beri had masa untuk pelabur bagi memastikan (urusan) pelaburan berlaku dengan cepat.

    “Kita tidak mahu satu-satu projek tertangguh sampai bertahun, yang akan menyebabkan peluang orang lain tiada, dan pihak berkenaan tidak dapat laksanakan apa yang dirancang.

    “Jadi kita akan pastikan pelaburan-pelaburan berlaku dengan cepat di Perlis,” katanya lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Pertubuhan Perpaduan Ummah di Pusat Khidmat Parlimen Arau, Kubang Gajah, semalam.

    Dalam perkembangan sama, sektor pelancongan jelasnya akan diperkemas terutama dalam menarik lebih ramai pelancong ke negeri paling utara di Semenanjung Malaysia itu.

    Pada 20 Disember lalu, Mohd. Shukri menyatakan bahawa Bajet Perlis 2023 memfokuskan kepada tiga teras iaitu peningkatan ekonomi melalui pelaburan, peningkatan kualiti hidup rakyat dan pembangunan negeri yang mampan.

    Bajet sulung kerajaan negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) itu berjumlah RM293.36 juta melibatkan peruntukan perbelanjaan mengurus dan pembangunan bertemakan ‘Merangka Perubahan, Menjana Kestabilan, Mendepani Cabaran’.

  • Remaja 16 tahun antara 11 lelaki Islam ditahan ambil minuman keras

    Remaja 16 tahun antara 11 lelaki Islam ditahan ambil minuman keras

    SEORANG remaja lelaki bawah umur berusia 16 tahun ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) selepas didapati mengambil minuman keras dalam Ops Bersepadu Tahun Baharu di sebuah pusat hiburan di Persiaran Gurney, Georgetown, Pulau Pinang malam tadi.

    Remaja berkenaan merupakan antara 11 lelaki beragama Islam yang berusia sehingga 38 tahun yang ditahan ketika minum minuman keras dalam operasi yang dijalankan kira-kira pukul 11.45 malam.

    Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP, Mohd. Azizon Noordin berkata, remaja berkenaan memberi alasan kali pertama berkunjung ke pusat hiburan itu selepas diajak rakan-rakannya.

    “Hasil ujian saringan yang dijalankan mendapati semua individu terbabit berada di bawah pengaruh alkohol.

    “Mereka yang ditahan kebanyakannya bekerja dalam sektor perkilangan dan kesihatan telah dibawa ke Jabatan Pemeriksaan JHEAIPP untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu awal pagi tadi.

    Mengulas lanjut, Mohd. Azizon berkata, salah seorang daripada individu yang ditahan turut membawa teman wanita warga Indonesia berumur lingkungan 20-an yang didakwa adalah tunangnya untuk meraikan tahun baharu bersama di premis terbabit.

    Bagaimanapun ujar beliau, wanita terbabit tidak ditahan memandangkan dia bukan beragama Islam.

    “Pihak JHEAIPP akan memghubungi waris individu yang ditahan bagi tujuan ikat jamin dan kes disiasat mengikut Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996,” katanya.