Category: Semasa

  • Pemandu lori lawan arus dipercayai mabuk ditahan

    Pemandu lori lawan arus dipercayai mabuk ditahan

    PEMANDU lori yang dirakam melawan arus hingga terbabit nahas dua buah kenderaan lain di Kilometer 5.5 Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) di Iskandar Puteri petang ini dipercayai memandu di bawah di bawah pengaruh alkohol.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Arrifin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa pemandu lori berusia 41 tahun itu dalam perjalanan dari Kulai menghala ke Tanjung Pelepas.

    Menurutnya, laporan berhubung kejadian itu diterima pada pukul 4.30 petang.

    “Apabila sampai di kawasan rehat dan rawat (R&R) Gelang Patah menghala ke selatan, pemandu lori telah terlepas susur ke Pelabuhan Tanjung Pelepas dan memandu melawan arus untuk masuk semula ke susur pelabuhan tersebut.

    “Lori dipandu di lorong paling kanan melawan arus bertembung dengan dua buah kereta iaitu Mercedes Benz dan Nissan Almera yang berada di laluan tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini,

    Mengulas lanjut Rahmat berkata, kemalangan itu menyebabkan lelaki berusia 44 tahun yang memandu Mercedes Benz mengalami kecederaan pada bahagian leher dan kaki.

    Jelasnya, mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan.

    “Pemandu lori telah ditahan dan didapati berada bawah pengaruh alkohol semasa kejadian.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Syuhaidy Fazly Yahya berkata seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.

    Sebelum itu tular, rakaman video berdurasi 50 saat memaparkan sebuah lori dipandu dalam keadaan melawan arus sebelum bertembung dengan sebuah kereta di Linkedua.

  • Lori lawan arus punca kemalangan 3 kenderaan

    Lori lawan arus punca kemalangan 3 kenderaan

    TINDAKAN seorang pemandu lori memandu lawan arus di lebuh raya Linkedua-Tanjung Kupang di Iskandar Puteri petang ini nyaris meragut nyawa beberapa pengguna jalan raya.

    Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Johor, kejadian berlaku sebelum kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tanjung Kupang.

    Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.31 petang hari ini.

    Menurutnya, sebuah jentera Fire Rescue Tender dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin dengan kekuatan 13 anggota diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Syuhaidy Fazly Yahya dikerah ke tempat kejadian.

    “Kemalangan membabitkan lori lima tan yang dipandu melawan arus sebelum merempuh sebuah kereta jenis Mercedes Benz E250 dan kereta jenis Nissan Almera.

    “Pemandu kereta Mercedes Benz E250 mengalami cedera ringan dan dikeluarkan oleh orang awam.

    “Mangsa iaitu seorang lelaki dewasa berusia 44 tahun dibawa dengan ambulans untuk menerima rawatan manakala pemandu lori berusia iaitu lelaki 41 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan didapati tidak terperangkap,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, manakala pemandu kereta Nissan Almera seorang wanita berusia 46 tahun juga dalam keadaan selamat.

    “Operasi tamat pada 5.18 petang hari ini,” katanya menerusi siaran media hari ini.

  • Dakwaan kebakaran Wisma Jakel disengajakan tidak logik

    Dakwaan kebakaran Wisma Jakel disengajakan tidak logik

    PENGARAH Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel menegaskan dakwaan kebakaran Wisma Jakel di Seksyen 7 di Shah Alam disengajakan kerana hendak menuntut insurans adalah tidak logik

    Beliau sebaliknya mempersoalkan dakwaan tular di media sosial itu memandangkan cawangan gedung tekstil di Shah Alam adalah kedua paling maju selepas Jakel Mall, Kuala Lumpur.

    “Shah Alam merupakan kedua terbanyak jualan yang mana setahun memberikan sebanyak hampir RM300 juta, buat apa kita bakar?

    “Sudah dua minggu berturut-turut orang ramai disebabkan cuti sekolah. Kejadian berlaku pada hari Ahad, iaitu seminggu sebelum tamat jualan murah dan memang orang tengah sesak beli barang.

    “Hari Jumaat pun barang berapa juta masuk (seperti) kain-kain baru untuk menyokong jualan. Kemudian, hari raya lagi tiga bulan dan memang waktu untuk membeli-belah selain Shah Alam kebiasaannya padat kalau musim perayaan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

    Mohamed Faroz berkata, bukan kerja pihaknya untuk melakukan perbuatan kotor seperti itu.

    “Kita ada lebih 500 pekerja, gaji pun kita komited bayar. Ini kedai tutup setahun kita hilang jualan. Gaji sebulan berapa? Lebih RM2 juta. Kalau kita bakar, mana nak dapat RM2 juta untuk bayar (gaji).

    “Insurans bukan boleh bayar esok. Insurans nak kena proses dan ada prosedur. Mungkin enam bulan atau setahun.

    “Selepas itu jumlah barang lebih daripada insurans. Buat apa kita nak ambil satu langkah yang merosakkan nama Jakel. Apabila ini berlaku, kita pun terkesan. Tetapi kita reda dengan kehendak ALLAH dan yakin ada hikmah di sebaliknya,” katanya.

    Sementara itu, Mohamed Faroz memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang membuat fitnah tersebut selain telah membuat laporan polis mengenainya.

    “Kita akan buat beberapa lagi laporan polis dan sudah dapatkan maklumat-maklumat (ini) semua serta meneruskan (tindakan undang-undang) bagi pemfitnahan-pemfitnah ini,” katanya.

  • Remaja dirogol Inspektor, polis hantar bukti ke jabatan kimia

    Remaja dirogol Inspektor, polis hantar bukti ke jabatan kimia

    POLIS menahan seorang Inspektor dan menyerahkan beberapa bahan bukti kepada Jabatan Kimia susulan siasatan kes remaja perempuan 16 tahun dirogol di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan di Yan, Rabu lalu.

    Suspek berusia 34 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan selain polis juga memanggil mangsa bersama ahli keluarganya ke IPD berkenaan untuk dirakam keterangan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

    “Selain itu polis turut merampas pakaian yang dipakai mangsa ketika kejadian untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

    “Polis juga merampas tiga telefon bimbit masing-masing milik remaja berkenaan, rakannya dan juga suspek untuk dihantar ke makmal forensik,” menurut sumber kepada Harian Metro, hari ini.

    Warta Rakyat semalam melaporkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun menjadi mangsa rogol seorang Inspektor ketika berada dalam bilik pejabatnya di IPD Yan pada 6.30 petang Rabu lalu.

    Suspek dikatakan mengambil kesempatan terhadap mangsa dengan menggunakan alasan untuk menjalankan siasatan terhadap remaja berkenaan yang sebelum itu membuat laporan mendakwa dirogol bapa tiri.

    Ketika berada dalam bilik, Inspektor berkenaan yang juga pegawai penyiasat kes membabitkan remaja perempuan itu memberitahu dia mahu membuat pemeriksaan pada kemaluan mangsa.

    Mangsa mendakwa kejadian itu berlaku hampir 30 minit dan selepas itu dia diminta pegawai polis terbabit memakai kembali pakaiannya selain turut diberitahu yang kes berkenaan belum selesai serta diarahkan kembali untuk siasatan.

    Susulan daripada itu, mangsa yang sudah tidak bersekolah tampil membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit selepas tiga hari ia berlaku dan dia juga dipanggil ke IPD untuk memberi keterangan.

    Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan laporan dan penahanan pegawai berkenaan namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan.

    Sumber berkata, hasil pemeriksaan lanjut polis merampas sarung bantal serta cadar yang dipercayai mengandungi sampel DNA, rambut, bulu dan juga pisau cukur.

    “Semua bahan yang dirampas itu diserahkan ke Jabatan Kimia Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

  • Lesen judi: DHPP Kedah sedia jelaskan kepada bukan Islam

    Lesen judi: DHPP Kedah sedia jelaskan kepada bukan Islam

    DEWAN Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kedah bersedia memikul cabaran memberi penerangan kepada golongan bukan Islam tentang penamatan semua premis dan lesen judi di Kedah, berkuatkuasa 1 Januari lalu.

    Pengerusinya, K Kumaresan berkata, pihaknya seringkali berhadapan dengan masalah kerosakan institusi keluarga khususnya dari kaum India berpunca dari kegiatan judi.

    “Judi bukan sahaja haram di sisi agama Islam, malah agama lain juga melarang aktiviti judi yang jelas membawa kerosakan kepada yang terlibat dan orang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

    Kumaresan yang juga Pegawai Khas Menteri Besar (hal ehwal kaum India) sehubungan itu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan kerajaan negeri atas tindakan yang baik itu.

    Menurutnya, walaupun keputusan berkenaan mendapat tekanan dan desakan dari pelbagai pihak, namun ia tetap dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

    “Judi hanya memberi keuntungan kepada tauke dan pemilik premis, sedangkan manfaat yang diperolehi oleh kaki judi sangat sedikit berbanding kerosakan serta kemudaratan yang lebih besar,” ujarnya.

    Dalam masa yang sama, beliau juga mengharap kerajaan negeri tidak terlepas pandang dan mengambil tindakan terhadap mereka yang menjalankan aktiviti perjudian secara haram dengan berselindung di sebalik premis lain.

    “Kedai-kedai judi haram yang operasinya berselindung disebalik perniagaan lain akan tumbuh seperti cendawan ekoran penutupan premis terbabit,” katanya, lapor Harakahdaily.

  • COVID-19: Varian baharu tak bawa kesan teruk

    COVID-19: Varian baharu tak bawa kesan teruk

    VARIAN BA.5.2 dan BF.7 COVID-19 yang menular di China ketika ini, disifatkan tidak mendatangkan kesan jangkitan teruk di negara ini memandangkan hampir 90 peratus penduduk sudah divaksin.

    Menurut Pakar Virologi Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, ia juga boleh dilihat menerusi laporan di China yang tidak menunjukkan kadar kematian atau kemasukan ke hospital yang tinggi.

    Virus yang ada itu katanya akan sentiasa bermutasi kerana ia adalah proses biasa bagi terus berkembang dan menyesuaikan hidup dengan manusia.

    “Ramai yang tersalah anggap dengan menyifatkan mutasi baharu itu berbahaya, tetapi sebenarnya ia tidak meninggalkan kesan yang teruk.

    “Kedua-dua jenis varian ini hanya dibezakan berdasarkan penjujukan yang sentiasa berubah-ubah pada bahagian genetik dan ia adalah perkara biasa.

    “Untuk varian BA.5.2 dan BF.7 ini, gejalanya kurang menyebabkan penyakit teruk manakala jangkitannya sederhana kerana hampir semua orang sudah divaksin,” katanya kepada Berita Harian, hari ini.

    Varian BA.5.2 dan BF.7 COVID-19 dikesan sudah berada di Malaysia dengan 4,148 kes dijangkiti BA.5.2 dan tiga kes BF.7 setakat 31 Disember lalu.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, belum ada data dapat mengaitkan peningkatan bilangan kes kemudaratan atau kematian dengan varian BA.5.2 dan BF.7.

    Dr Sazaly berkata, vaksin penggalak tambahan perlu diambil oleh individu berisiko tinggi kerana berkemungkinan status imun mereka semakin rendah dan memerlukan dos tambahan bagi merangsang sistem imun sedia ada.

    “Saya berpandangan tiada masalah kita menerima kedatangan pelancong dari China, namun perkara utama perlu dilakukan ialah memastikan mereka melakukan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) sebelum menaiki pesawat dan ketika tiba di negara ini untuk memastikan mereka benar-benar negatif.

    “Sekiranya positif, rawatan yang perlu dilakukan agak tinggi selain perlu melindungi mereka yang mempunyai penyakit serius.

    “Ujian pantas (RTK) Antigen tidak digalakkan kerana ia kurang sensitif dan dalam masa sama, amalan pemakaian pelitup muka dan mencuci tangan patut diteruskan bagi melindungi jangkitan saluran penafasan,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Unit Virologi, Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit Institut Penyelidikan Perubatan, Institut Kesihatan Negara, Dr Ravindran Thayan berkata, setakat ini varian XBB subvarian Omicron yang menguasai penularan COVID-19 di negara ini, selain BA.2.75 dan BQ.1.

    Katanya, virus sentiasa bermutasi untuk hidup dan apabila tersebar dalam komuniti, ia memberi kelebihan untuknya terus membiak dan menghasilkan varian baharu.

    “Varian BA.5.2 dan BF.7 dijangka mempunyai kebolehjangkitan tinggi tetapi tidak memudaratkan hingga memberi kesan kepada kadar kematian dan kemasukan ke hospital.

    “Varian BA.5.2 sudah dikesan di Malaysia sejak 16 Mac 2022 manakala BF.7 ditemui di Belgium pada Mei 2022, maka susah untuk mengatakan ia berasal dari China.

    “Tahap berbahaya tidak boleh dijangkakan kerana ia belum dilabel sebagai Lineage Under Monitoring (LUM) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    “Bagaimanapun, hospital di negara kita sentiasa bersedia dan jika berlaku jangkitan semula, segera ke hospital dan dapatkan rawatan,” katanya.

  • Kebakaran Wisma Jakel : Polis ambil alih kes jika ada unsur khianat

    Kebakaran Wisma Jakel : Polis ambil alih kes jika ada unsur khianat

    POLIS hanya akan mengambil alih siasatan kes kebakaran di Wisma Jakel, Seksyen 7 di Shah Alam sekiranya didapati terdapat unsur khianat dikesan, berdasarkan hasil laporan bomba.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata setakat ini polis belum menerima apa-apa laporan daripada pemilik Wisma Jakel atau mana-mana pihak lain, berkaitan punca kebakaran bangunan itu.

    Beliau sekali lagi mengingatkan orang ramai, terutama pengguna media sosial supaya tidak membuat spekulasi atau tuduhan berhubung punca kebakaran itu.

    “Kita hentilah (buat spekulasi) yang cuba menimbulkan kemarahan pekerja yang hilang pekerjaan. Kejadian ini kita tidak minta berlaku, jadi berhati-hatilah dalam mengeluarkan kenyataan,” katanya ketika ditemui berhampiran lokasi kejadian di Wisma Jakel, hari ini.

    Katanya enam orang anggota polis termasuk dari cawangan trafik di Pusat Kawalan Hadapan (PKH) bersama petugas bomba ditempatkan di sekitar tempat kejadian bagi mengawasi keselamatan lokasi kebakaran.

    Mohd Iqbal turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak meletakkan kenderaan atau berhenti di bahu jalan untuk melihat kerja-kerja pemunggahan barangan tekstil yang terselamat, atau sengaja meninjau tempat kejadian, kerana ia akan mengganggu lalu lintas.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Saya nasihatkan (orang ramai) supaya tidak berhenti bagi mengambil gambar, atau apa sahaja tujuan supaya lalu lintas di kawasan ini dapat berjalan lancar, dan proses pemunggahan dapat dilaksanakan,” katanya.

    Selepas bangunan lot kedai yang cukup terkenal di Shah Alam itu mengalami kemusnahan lebih 80 peratus akibat kebakaran pada awal 1 Jan lepas, Wisma Jakel sekali lagi dilaporkan terbakar tengah malam tadi apabila bilik simpanan kain langsirnya di tingkat atas bangunan itu dijilat api lewat tengah malam tadi.

  • Suaram gesa siasatan telus ke atas dakwaan remaja dirogol polis

    Suaram gesa siasatan telus ke atas dakwaan remaja dirogol polis

    SUARA Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa siasatan telus ke atas dakwaan seorang gadis berusia 16 tahun yang dirogol seorang pegawai polis.

    Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy berkata, prosedur mengendalikan kes rogol dan gangguan seksual juga perlu diteliti, selaras Akta Anti Gangguan Seksual 2022.

    “Suaram mengingatkan pihak umum bahawa ini bukan kali pertama pihak media membongkarkan kes rogol atau gangguan seksual yang dilakukan pegawai polis.

    “Kami khuatir kes sebegini tetap berulang kerana budaya bebas daripada sebarang hukuman,” katanya dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today (FMT), hari ini.

    Beliau berkata, insiden ini satu lagi contoh mengapa Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dicadangkan pada 2019, yang digantikan RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) semasa, perlu dikembalikan.

    “IPCC tiada kuasa menyiasat dan penguatkuasaan mencukupi. Sebarang keputusan siasatan oleh IPCC hanya dirujuk kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP), akan tetapi SPP tidak mempunyai kewajipan melaksanakan cadangan tersebut ataupun melapor balik kepada IPCC.”

    Sevan turut menggesa sistem akauntabiliti dalam pasukan polis diperkukuhkan bagi membaiki imej jabatan dan mendapat kepercayaan orang ramai.

    Semalam, media melaporkan seorang remaja membuat laporan mendakwa dirogol seorang pegawai polis berpangkat inspektor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar. Pegawai terbabit sudah ditahan.

    Mangsa membuat laporan tiga hari selepas dakwaan serangan seksual oleh suspek dalam lingkungan 30-an.

    Menurut akhbar itu, mangsa dipanggil inspektor itu untuk membantu siasatan berhubung kes rogol berasingan membabitkan gadis itu dan bapa tirinya.

    Mangsa yang tidak bersekolah lagi, membuat laporan pada Sabtu lalu dan memberi keterangan di IPD sebelum menjalani pemeriksaan di hospital.

  • Melaka pantau kenaikan kes Covid-19, pertimbang semula pemakaian pelitup muka

    Melaka pantau kenaikan kes Covid-19, pertimbang semula pemakaian pelitup muka

    KERAJAAN Melaka mungkin mewajibkan semula pemakaian pelitup muka di tempat awam, kawasan tertutup dan sesak sekiranya kes Covid-19 terus menunjukkan trend peningkatan.

    Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, Jabatan Kesihatan Negeri akan membuat pemantauan dalam tempoh dua minggu sebelum memutuskan peraturan itu akan dilaksanakan semula.

    “Langkah ini susulan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah kes Covid-19 di seluruh dunia ketika ini.

    “Sudah pasti Melaka mengambil maklum dan serius bilangan kes yang bertambah.

    “Kita tidak akan teragak-agak menguatkuasakan semula undang-undang pemakaian pelitup muka di tempat tertutup dan kawasan orang ramai,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Muhamad Akmal turut menggalakkan orang ramai mendapatkan dos penggalak bagi mengekang penularan wabak itu.

    Terdahulu, terdapat desakan supaya kerajaan menyekat kemasukan pelancong, terutama dari China susulan peningkatan kes Covid-19 di negara itu.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah semalam memaklumkan dua varian Covid-19, iaitu BA.5.2 dan BF.7 yang merangkumi kira-kira 80% daripada varian menular di China ketika ini dikesan di Malaysia.

    Setakat 31 Disember lalu, katanya, terdapat 4,148 kes dijangkiti BA.5.2 dan tiga kes dijangkiti BF.7.

  • 5 suspek aktif lakukan jenayah samun bersenjata api ditahan

    5 suspek aktif lakukan jenayah samun bersenjata api ditahan

    POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan tiga sindiket yang aktif melakukan kejadian samun yang mensasarkan kedai serbaneka di negeri itu menerusi penahanan lima suspek lelaki warga tempatan dalam beberapa serbuan baru-baru ini.

    Susulan penahanan kumpulan itu juga, Polis Pulau Pinang percaya dapat menyelesaikan lebih 10 kes samun termasuk melibatkan senjata parang yang dilaporkan berlaku di beberapa daerah di Pulau Pinang.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, penahanan kumpulan pertama melibatkan dua lelaki berusia 26 dan 30 tahun yang dipercayai aktif menyamun menggunakan senjata sejak awal Disember lalu.

    Katanya, kedua-dua suspek itu ditahan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian samun bersenjata di sebuah kedai serbaneka di Jalan Betik, Bukit Mertajam, pukul 10 malam, pada 9 Disember lalu.

    Ujar beliau, kedua-dua suspek ditahan pukul 12.01 tengah malam 1 Januari lalu di tepi jalan di Jalan Berjaya dan Taman Desa Damai, di Bukit Mertajam.

    Ketika ditahan, tambah beliau, salah seorang suspek didapati membawa sepucuk revolver .38, bersama dua kelongsong serta tiga butir peluru.

    “Kita tidak menolak kemungkinan mereka mahu menyamun kedai serbaneka di sekitar kawasan tersebut ketika ditahan.

    “Penahan dua suspek ini juga dapat menyelesaikan enam kes samun bersenjata api di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

    “Kedua-dua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau dan positif dadah itu direman selama enam hari sehingga 6 Januari ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Tambah beliau, siasatan awal mendapati kumpulan itu menyasarkan kedai serbaneka yang beroperasi lewat malam dengan melarikan wang hasil jualan serta telefon bimbit.

    Jelasnya, polis turut merampas dua buah motosikal Yamaha 125z dan SYM; sebuah kereta; dua buah telefon bimbit; sebilah parang; empat topi kaledar dan dua beg silang daripada kedua-dua suspek berkenaan.

    Sementara itu, Mohd. Shuhaily menambah, penahanan kumpulan kedua melibatkan dua suspek berusia 24 dan 25 tahun pada 25 Disember lalu di Kepala Batas.

    Jelasnya, kedua-dua suspek ditahan pukul 6 petang selepas disyaki terlibat dalam kes samun kedai sebaneka di beberapa lokasi di daerah Seberang Perai Utara (SPU) menggunakan parang.

    “Mereka direman sehingga 4 Januari ini bagi membantu siasatan dan kita percaya sebanyak tiga kes samun dan satu kes curi motosikal di daerah SPU berjaya diselesaikan dengan penahanan kedua-dua suspek ini,” katanya.

    Sementara itu, tambah beliau, turut ditahan ialah seorang lelaki berusia 30 tahun pada 30 Disember lalu kerana terlibat dalam kes ragut dua hari sebelumnya di Jalan Rafaie, Tanjung Bungah.

    Jelasnya, siasatan awal juga mendapati suspek dipercayai terlibat dalam lima kes samun di daerah Timur Laut dan satu kes curi motosikal di daerah Barat Daya.

    “Selain itu, suspek ini turut mempunyai sembilan rekod lampau dan dipercayai terlibat dalam jenayah samun ragut sejak Mac tahun lalu,” katanya.