Category: Semasa

  • Segera aktifkan mesyuarat MKN hadapi penularan varian baharu COVID-19-Hamzah

    Segera aktifkan mesyuarat MKN hadapi penularan varian baharu COVID-19-Hamzah

    KERAJAAN wajar bertindak segera dengan mengaktifkan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan semua jabatan dan agensi kerajaan bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan penularan varian baharu COVID-19, terutamanya di negara China.

    Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan juga harus segera mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas bagi memastikan kepentingan negara terjamin, terutamanya bagi menjaga nyawa rakyat.

    Katanya, ini berikutan ada yang mencadangkan agar Malaysia menutup sempadan atau menghalang kemasukan pengembara dari negara China di pintu-pintu masuk negara.

    “SOP tersebut mestilah bersifat mencegah (preventive) agar penularan varian tersebut dapat dibendung dengan berkesan.

    “Ianya haruslah adil kepada semua pihak bagi memelihara kelangsungan kehidupan rakyat, terutama mereka yang terlibat dalam industri pelancongan dan perniagaan.

    “SOP tersebut juga mestilah mempunyai perincian yang mampu memantau serta menjejaki pengembara yang berada dalam negara dan mengambil kira keupayaan sistem kesihatan awam (national health care system),” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Satu Berita.

    Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan varian BA.5.2 dan BF.7 COVID-19 yang sedang menular di China, dikesan sudah berada di Malaysia dengan 4,148 kes dijangkiti BA.5.2 dan tiga kes BF.7 setakat 31 Disember lalu.

  • Abang maut ditikam kerana halang adik pulang ke Pakistan

    Abang maut ditikam kerana halang adik pulang ke Pakistan

    GARA-gara menghalang adik yang mahu pulang semula ke Pakistan, seorang abang maut ditikam dalam kejadian di Taman Desa Meranti, Kuala Muda pada Sabtu.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa yang juga warganegara Pakistan dikenali sebagai Mukhtiar, 39, dikatakan tidak bersetuju dengan keputusan adiknya yang mahu pulang ke negara asal.

    Menurutnya, pergaduhan tercetus apabila mangsa dikatakan menyembunyikan tiket penerbangan dengan tujuan menghalang adiknya pulang berjumpa ahli keluarga.

    “Kejadian pada jam lebih kurang 9.57 malam itu tercetus apabila suspek yang berang bertindak luar kawalan dengan memukul dan menikam abangnya.

    “Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan parah akibat ditikam di paha selain kesan lebam pada badan.

    “Mangsa yang tidak sedarkan diri kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 10.37 malam,” katanya lapor Sinar Harian.

    Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk proses bedah siasat.

    Zaidy berkata, suspek berusia 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan direman selama tujuh hari sehingga 6 Januari ini.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • PDRM kesan mesej tular aktiviti ‘push -pocket’,peras ugut di kawasan tumpuan

    PDRM kesan mesej tular aktiviti ‘push -pocket’,peras ugut di kawasan tumpuan

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihaknya tidak menerima laporan berhubung kegiatan jenayah push-pocket dan peras ugut berlaku di kawasan tumpuan seperti di lapangan terbang dan stesen Transit Aliran Ringan (LRT).

    Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata mesej mengenai kegiatan itu telah tular sejak 2016 dan kembali diulang siar di beberapa platform media sosial.

    “Menerusi mesej itu, penjenayah menggunakan modus operandi dengan memasukkan telefon bimbit atau dompetnya ke dalam beg mangsa sebelum menuduh mangsa mencuri barangan miliknya.

    “Mangsa seterusnya akan didesak membayar sejumlah wang dengan alasan untuk menyelesaikan kes dan sekiranya tidak bersetuju, mangsa diugut bahawa kejadian ‘curi’ akan dilaporkan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Noorsiah meminta orang ramai agar tidak mudah percaya dengan sebarang mesej yang tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya.

    Menurutnya, tindakan berkongsi atau menyebar berita-berita sedemikian boleh menimbulkan kegusaran dan kebimbangan kepada masyarakat.

  • Suspek kes letupan Pandan Indah diberkas

    Suspek kes letupan Pandan Indah diberkas

    POLIS memberkas sepasang suami isteri yang disyaki terbabit dalam kejadian letupan di Pandan Indah, Ampang Jaya, Khamis lalu.

    Sumber berkata, kedua-dua suspek diberkas di sebuah rumah di Kedah, tengah malam tadi.

    Sejurus ditahan, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

    Pada masa ini, kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang bagi mendapatkan perintah tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan.

    Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam Jumaat lalu, seorang tukang masak maut akibat letupan bungkusan diletak di atas keretanya di depan sebuah restoran di Pandan Indah, Ampang Jaya.

    Mangsa berusia 28 tahun dilaporkan mahu mengalih sebuah bungkusan diletakkan di atas keretanya, selepas dimaklumkan rakan sekerja, lapor Berita Harian.

  • Isu libat kepentingan awam perlu diketengahkan

    Isu libat kepentingan awam perlu diketengahkan

    SEBARANG isu yang melibatkan kepentingan awam perlu dipersoal dan diketengahkan kepada umum walaupun ia melibatkan perkara sensitif dan kontroversi.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’ Aman bagaimanapun berpandangan, pendekatan untuk mendedahkannya mungkin berbeza bagi setiap individu.

    “Kami (pembangkang) tak kata kami lebih baik, tapi sudah tentu ada cara dan pendekatan kita yang berbeza dengan pihak sebelah sana (kerajaan).

    “Apabila mengkritik kerajaan, bukanlah semata-mata nak mencari salah tapi sudah tentu ada alternatif, hujah dan persoalannya.

    “Apabila kita bertanya, takkan ia boleh menjadi fitnah? Wajar perkara ini disantuni dengan bijaksana oleh pihak sebelah sana.

    “Perkara sebegini, bagi saya biasa dalam politik dan Parlimen iaitu banyak soal jawab,” katanya dalam Wacana Sinar siri 377 bertajuk ‘Saman: Elak fitnah atau…’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

    Muhammad Faiz menambah, sebagai orang yang dikenali, ahli politik mempunyai tanggungjawab untuk mendidik pengundi apa yang benar dan tidak menokok tambah.

    “Contohnya, kita tahu orang itu kesalahannya adalah kes yang bersangkutan dengan rasuah, jangan pula kita tokok tambah benda lain.

    “Kadang-kadang, kita seronok apabila pegang mikrofon dan apabila bercakap, sudah ‘tak khabar ingat’.

    “Kita kena cakap berdasarkan fakta, bukan buat lawak kelakar. Sebab itu kena jadikannya budaya dan tidak melampaui batas.

    “Jangan bercakap benda yang bukan berfakta. Sebagai orang Islam, kita kena bercakap benar kalau kita nak mendidik masyarakat buat pilihan yang betul, bernas, logik dan rasional,” katanya.

  • Isu pelancong China: Sila contohi kerajaan PN – Wong

    Isu pelancong China: Sila contohi kerajaan PN – Wong

    KEBELAKANGAN ini timbul kerisauan dalam kalangan orang awam tentang kemasukan pelancong dari China berikutan varian Covid-19 baharu yang melanda negara berkenaan.

    Pemangku Ketua Pemuda Gerakan,Wong Chia Zhen berkata, kebimbangan rakyat terhadap isu berkenaan bernas disebabkan kehidupan mereka baharu sahaja kembali normal dan ekonomi sedang memulih.

    “Yang terkesan daripada krisis ekonomi adalah golongan marhaen dan golongan terpinggir. Sekiranya Covid-19 melanda negara kita seperti tahun 2020-2021, berkemungkinan impaknya lebih besar kepada golongan ini berbanding sebelum ini.

    “Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini meneliti, mengambil keputusan dan melaksanakan dasar supaya krisis ini diatasi secepat mungkin. Hakikatnya, negara pulih sehingga hari ini adalah hasil pentadbiran yang cekap walaupun dilontarkan pelbagai tohmahan dan persepsi ‘kerajaan gagal’,” katanya dalam satu kenyataan.

    Menurut beliau,keyakinan rakyat kepada Tan Sri Muhyiddin dan keputusan pentadbiran itu menyumbang kemenangan PN dalam PRU-15.

    “Saya ingin menyeru kepada kerajaan supaya mendengar keluhan rakyat. Bukankah Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) wakil suara rakyat seperti didakwa? Bukankah naratif ‘kerajaan gagal’ selalu dimainkan ketika PN mentadbir?

    “Kerajaan baharu sila buktikan kebolehan mencegah supaya kejayaan memulihkan negara oleh kerajaan PN tidak ‘reverse’. Silap-silap, kerajaan sekarang perlu mencontohi gerak kerja ‘kerajaan gagal’ yang mereka dakwa,” katanya, lapor Satu Berita.

  • Peniaga warga emas maut, motosikal terbabas dalam semak

    Peniaga warga emas maut, motosikal terbabas dalam semak

    SEORANG peniaga maut selepas motosikal ditungganginya terbabas ke dalam semak di Jalan Tanjung Lumpur berhampiran Bandar Putra, Kuantan pukul 8.30 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, mangsa emas tersebut, Muhammad Firdaus Ching Abdullah, 62 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Siasatan awal polis mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 dari arah Kuantan menghala ke arah Kempadang.

    “Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam semak di bahu jalan sebelah kiri.

    “Akibat kemalangan itu, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi proses bedah siasat.

    Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut diteruskan.

  • Bekas pembantu Anwar ganti anak Vincent Tan jadi pengerusi 7-Eleven

    Bekas pembantu Anwar ganti anak Vincent Tan jadi pengerusi 7-Eleven

    BEKAS Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan pengerusi 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd berkuat kuasa serta-merta.

    The Edge melaporkan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menggantikan Robin Tan Yeong Ching yang berundur untuk ‘meneruskan minat lain’.

    Robin ialah anak taikun Vincent Tan, pemegang saham utama rangkaian kedai serbaneka itu dengan 41.8% kepentingan.

    Robin dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif dan pengerusi lembaga pengarah kumpulan pada 25 November 2021.

    Menurut 7-Eleven, Farhash memiliki pengalaman lebih sedekad dalam bidang perniagaan, perundingan dan khidmat nasihat.

    Dalam pemfailan bursa saham hari ini, 7-Eleven berkata, Farhash adalah atau pernah menjadi pengarah, pemegang saham dalam sekurang-kurangnya 10 syarikat swasta, termasuk Swag Technologies Sdn Bhd dan Pacific Samudera Sdn Bhd.

    Beliau dilantik sebagai pengerusi eksekutif Kumpulan Apex Equity Holdings Bhd minggu lalu.

  • Curi wang daripada mesin ATM:Pekerja syarikat kawalan keselamatan ditahan bersama RM 5,000

    Curi wang daripada mesin ATM:Pekerja syarikat kawalan keselamatan ditahan bersama RM 5,000

    SEORANG pekerja syarikat kawalan keselamatan ditahan dan wang tunai RM 5,000 dirampas selepas polis melakukan serbuan di sebuah rumah di Kundang, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan polis pada pukul 1.45 pagi.

    “Suspek disyaki terbabit dalam kes curi wang daripada sebuah mesin juruwang automatik (ATM) Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya, di Kuala Selangor, Ahad lalu.

    “Pemeriksaan lanjut di kediaman suspek turut menemukan wang tunai RM 5,000,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Ramli berkata, kejadian terbabit disedari seorang rakan suspek yang membuat pembaikan kerosakan mesin ATM itu.

    “Rakan suspek mendapati satu seal casset bahagian bawah dan casset penolakan wang dalam keadaan terbuka dan tiada wang di dalamnya.

    “Curiga dengan keadaan itu, dia kemudian membuat laporan polis pada 11.40 malam,” katanya.

    Ramli berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

  • Tampar pemain: KBS teruskan siasatan jurulatih bola tampar

    Tampar pemain: KBS teruskan siasatan jurulatih bola tampar

    KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan meneruskan siasatan ke atas jurulatih yang menampar dua pemain remajanya ketika satu kejohanan di Johor.

    Menterinya, Hannah Yeoh menerusi catatan Twitter berkata, ia bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

    “@KBSMalaysia akan meneruskan siasatan bebas kami kerana ini bukan mengenai seorang jurulatih atau dua pemain, tetapi duluan yang akan kami tetapkan untuk generasi akan datang dalam sukan.

    “@FadhlinaSiddiq dan saya sedang meneliti perkara ini bersama. Terima kasih,” katanya merujuk menteri pendidikan itu, lapor Free Malaysia Today.

    Klip video yang tular di media sosial menunjukkan jurulatih itu menampar dua pemainnya ketika Kejohanan Bola Tampar Remaja B14 di Kota Tinggi, Johor baru-baru ini.

    Tindakannya mengundang kemarahan ramai, termasuk Yeoh yang berkata, perbuatan itu salah.

    Semalam, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Melaka, VP Shanmugam berkata, jurulatih itu sudah berjumpa ibu bapa pemain terbabit untuk memohon maaf.

    Hari ini, bapa salah seorang pemain itu dilaporkan berkata, beliau sudah memaafkan jurulatih itu dan berharap dia tidak dikenakan sebarang tindakan.

    Sementara itu, pasukan bola tampar wanita B14 Melaka tampil menyokong jurulatih mereka. Dalam catatan Twitter, mereka menggesa warganet berhenti menularkan insiden itu di media sosial.

    “Henti viralkan isu ini kerana kami sayang jurulatih kami. Biarkan kami yang menilai baik dan buruknya. Kami sentiasa berdiri teguh di belakang jurulatih dan pasukan kami kerana kami pasukan Melaka.”