Category: Semasa

  • 62 ceramah dibatalkan hormati kemangkatan bonda Sultan Terengganu

    62 ceramah dibatalkan hormati kemangkatan bonda Sultan Terengganu

    SEBANYAK 62 ceramah politik sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu dibatalkan bagi menghormati kemangkatan bonda Sultan Terengganu, Tengku Besar Terengganu, Fatimah @ Sharifah Nong Alsagoff Abdillah.

    Ketua Urusetia PRN Polis Kontinjen Terengganu, Asisten Komisioner Noor Halim Nordin berkata, kesemua ceramah yang dibatalkan itu dijadualkan berlangsung pada Khamis.

    Jelas beliau, sebanyak 68 permohonan mengadakan ceramah politik dari parti-parti bertanding diluluskan pada Khamis iaitu 21 permohonan dari Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) (43) dan masing-masing dua permohonan dari Pakatan Harapan (PH) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

    “Ketika membuat pemantauan kita dapati 62 ceramah telah dibatalkan bagi menghormati kemangkatan Allahyarham Tengku Besar Terengganu, Fatimah @ Sharifah Nong Alsagoff Abdillah yang mangkat awal pagi Khamis,” katanya dalam kenyataan di Kuala Terengganu hari ini.

    Dalam pada itu, Noor Halim berkata, semua calon dan penyokong dinasihatkan untuk melakukan aktiviti kempen secara berhemah bagi mengelak wujud sebarang bentuk provokasi.

    “Semua calon dan penyokong parti bertanding perlu terus melakukan aktiviti kempen secara berhemah dan bersopan agar tidak menimbulkan sebarang bentuk provokasi dan mengelak insiden tidak diingini,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Terdahulu, Allahyarham dilaporkan mangkat di Kuala Lumpur pada pukul 3.17 pagi semalam.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Mohd Sophian Abu Bakar berkata, jenazah Allahyarham dibawa dari Kuala Lumpur ke Terengganu dengan menggunakan pesawat khas pada tengah hari semalam.

    Jenazah Allahyarham disemadikan di Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang pada petang semalam.

  • PRN: Pas Pulau Pinang akan ‘murnikan’ hubungan dengan Dominic

    PRN: Pas Pulau Pinang akan ‘murnikan’ hubungan dengan Dominic

    PAS Pulau Pinang akan berusaha untuk ‘memurnikan’ hubungan antara ahli serta penyokong mereka dengan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau yang dipilih menjadi calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi DUN Bayan Lepas.

    Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, Pas negeri juga akur dengan arahan Pas Pusat supaya semua ahli menyedari bantahan berterusan dan tindak-tanduk yang berlawanan dengan kepentingan parti boleh menimbulkan suasana tidak harmoni dalam gabungan PN.

    Katanya, Pas negeri akan bertemu dengan semua ahli Pas kawasan setempat, masyarakat sekitar dan sebagainya untuk menerangkan situasi berkenaan.

    “Kita akan berusaha untuk murnikan keadaan (hubungan Pas dengan Dominic), kita kena berjumpa dan usahakan dengan cara cermat.

    “Murnikan keadaan itu macam kita akan bertemu dengan semua ahli, masyarakat akan pastikan semua benda dengan baik. Kita tengok cara macam mana akan bincang, tengok apa yang sesuai dengan keadaan dan apa yang Pas Pusat arahkan,” katanya seperti dipetik laporan portal Utusan Malaysia hari ini.

    Sebelum ini, tular video di media sosial
    yang mendakwa Dominic ‘dihalau’ dan diminta meninggalkan ceramah mega ‘PN Best’ yang dianjurkan oleh Pas di Sungai Dua, Selasa lalu.

    Ceramah mega itu menampilkan Presiden Pas merangkap Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Pengerusi Perhubungan Bersatu Pulau Pinang yang juga calon PN DUN Penanti, Zulkifli Bakar.

    Susulan itu, Setiausaha Agung Pas,
    Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan membuat permohonan kepada Dominic dan menjelaskan, Pas Pusat tidak merestui insiden berkenaan.

    Tambah Takiyuddin, pemilihan Dominic sebagai calon PN di DUN Bayan Lepas adalah melalui semua proses dan melepasi syarat ditetapkan, sekali gus semua ahli dan penyokong perlu menerimanya.

    Dalam pada itu, Muhammad Fauzi berkata, salah satu petanda ahli Pas akur dengan arahan dan ketetapan yang dibuat oleh Pas Pusat ialah tidak ada ahli yang memilih bertanding sebagai calon Bebas pada PRN kali ini.

    “Kita akur dan tidak bertanding Bebas, itu maknanya kita akur dan telah memberi ruang kepada Dominic,” katanya.

    Dalam pada itu, diminta mengulas mengenai jentera Pas yang dikatakan tidak turun bersama membantu kempen Dominic di DUN Bayan Lepas, Muhammad Fauzi berkata, tidak timbul isu Pas memboikot kempen Dominic di kawasan tersebut.

    “Sekarang masing masing bertanding kena bawa jentera masing-masing, jadi Dominic kena bawa jentera dia.

    “Kita pun tidak cukup (jentera), malah jentera kita sebenarnya ada kawasan yang kena bantu juga, jadi siapa yang bertanding dia kena ketuai jentera di situ dan bawa jentera masing-masing,” katanya.

  • Dominic berlapang dada, `move on’ dapatkan sokongan pengundi

    Dominic berlapang dada, `move on’ dapatkan sokongan pengundi

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang, Datuk Dr. Dominic Lau berlapang dada dan menerima permohonan maaf pemimpin Pas berhubung kontroversi insiden beliau `dihalau’ ketika menghadiri ceramah anjuran parti tersebut di Tasek Gelugor baru-baru ini.

    Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) itu tidak mahu menoleh ke belakang lagi dan mahu semua pihak dalam PN melupakan apa yang telah berlaku dan sama-sama berusaha mendapatkan mandat rakyat pada PRN kali ini.

    Beliau yang menjadi calon PN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas menyifatkan insiden yang berlaku itu hanya salah faham dan kesilapan kecil daripada pihak-pihak terlibat.

    “Apa yang berlaku hanyalah kesilapan kecil dan sebagai manusia kita tak penah lari daripada melakukan kesilapan.

    “Oleh itu, saya telah maafkan isu ini, tapi apa yang saya nak katakan ayuhlah letakkan titik noktah sekarang, ‘move on’ dan kembali meraih sokongan rakyat,” katanya kepada pemberita di Bayan Lepas hari ini.

    Beliau mengulas mengenai permohonan maaf dan rasa kurang senang Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan terhadap beliau ekoran insiden dihalang untuk hadir pada Ceramah Mega PN Best di Tasek Gelugor, baru-baru ini.

    Takiyuddin berkata, walaupun Dominic kemudiannya dilaporkan menolak dakwaan tersebut, namun pihak kepimpinan Pas Pusat percaya kehadiran beliau perlu diterima dan dihargai sebagai tetamu berdasarkan akhlak dan prinsip-prinsip Islam.

    Katanya, selain itu, parti pimpinan Gerakan juga merupakan rakan gabungan dalam PNdan beliau sendiri merupakan calon PRN, sekali gus sewajarnya diberikan penghormatan.

    Ujar Takiyuddin, dalam suasana politik semasa yang dicemari naratif cauvinis dan melampau, maka sebagai sebuah parti Islam tertua dan besar, Pas percaya menjadi bertanggungjawab bukan sahaja untuk menunjuk arah kepada politik matang dan sederhana, malah memberi pertolongan serta perlindungan kepada pihak yang memerlukan.

  • Debat Syed Saddiq: Pemuda PN terima, Adam Adli tolak

    Debat Syed Saddiq: Pemuda PN terima, Adam Adli tolak

    KETUA Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari menerima sahutan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk berdebat mengenai hala tuju anak muda.

    Bagaimanapun, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim menolak tawaran tersebut dan mencadangkan supaya calon muka baharu yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) diberikan peluang untuk berdebat.

    Ahmad Fadhli berkata, beliau sedang berhubung dengan Syed Saddiq bagi menentukan masa dan tarikh yang bersesuaian untuk merealisasikan debat itu.

    “Saya tiada masalah untuk menyambut baik cadangan ini. Buat masa sekarang, saya sedang berhubung dengan pihak Syed Saddiq untuk menentukan masa dan tarikh yang boleh dipersetujui bersama.

    “Perdebatan adalah budaya yang sihat dalam masyarakat kita. Bagi saya, tiada masalah dan bila-bila masa sahaja perbincangan (debat) ini boleh dilakukan. Bukan hanya dalam tempoh PRN sahaja,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

    Semalam, Syed Saddiq melalui satu hantaran di Twitternya mempelawa pimpinan tertinggi anak muda mewakili Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), Adam Adli dan PN, Ahmad Fadhli untuk mengadakan perdebatan mengenai hala tuju anak muda.

    Jelas Syed Saddiq, cabaran debat tersebut sebagai usaha menyahut cadangan mengangkat politik idea dan solusi agar rakyat dapat menilai hala tuju serta tawaran parti masing-masing dalam PRN 12 Ogos ini.

    Sementara itu, Adam Adli memaklumkan, peluang perlu diberikan kepada calon baharu yang bertanding pada PRN supaya mereka mendapat lebih pendedahan dan perhatian daripada media serta rakyat.

    Beliau turut mencadangkan supaya perdebatan di antara pimpinan tertinggi anak muda parti itu diadakan selepas selesai PRN.

    “Terima kasih atas ajakan. Biarpun janggal untuk debat diadakan antara dua ahli Parlimen kerajaan dengan disertai pula oleh seorang ahli Parlimen pembangkang, saya kira ianya menarik dan boleh kita jadikan medan untuk merungkai banyak perkara agar jelas semuanya.

    “Begitu pun, saya percaya ada yang lebih memerlukan pentas ini saat sekarang. Saya cadangkan sempena PRN ini, kita beri peluang dahulu kepada calon-calon muka baharu kita berdebat.

    “Beri tumpuan kepada suara mereka. Biar mereka dapat lebih pendedahan berbanding kita yang ada kelebihan dari segi perhatian media dan masyarakat selama ini. Ini masa untuk serlahkan mereka. Urusan antara kita ini boleh diadakan selepas selesai PRN. Insya-AllaH.. Tetapkan perimeternya nanti,” ujarnya.

  • Projek PSI batal jika PN ambil alih P Pinang, kata Lau

    Projek PSI batal jika PN ambil alih P Pinang, kata Lau

    PRESIDEN Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau memberi jaminan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) akan dibatalkan jika Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan negeri.

    Beliau yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas untuk PRN 12 Ogos berkata, tumpuan PN sebaliknya adalah membangunkan pelancongan eko di perkampungan nelayan Pulau Pinang.

    “Jika PN diberi mandat selepas PRN, kita akan batalkan projek penambakan. Kita takkan benar satu pulau pun dibangunkan,” katanya pada sidang media di perkampungan nelayan di Bayan Lepas.

    Ketua PN Pulau Pinang itu berkata, beliau faham kesukaran dihadapi nelayan yang terjejas akibat projek itu.

    Katanya, PN bukan menentang pembangunan di Pulau Pinang, tetapi idea DAP untuk membangunkan negeri itu nampaknya terhad kepada tebus guna tanah dan membina kondominium tidak mampu dimiliki kebanyakan rakyat Pulau Pinang.

    “Ini sebab saya kata mereka kerajaan untuk warga asing, (kerajaan) yang bina kondominium untuk orang Singapura, Taiwan dan Hong Kong,” katanya, lapor FMT.

    Apabila diberitahu kerajaan negeri pimpinan Gerakan sebelum ini meluluskan projek penambakan, Lau berkata projek itu adalah untuk perumahan mampu milik.

    Beliau memetik projek tebus guna pantai timur untuk membina kawasan kediaman mampu milik pada 1990-an.

    Pada Mei, Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengumumkan projek PSI akan dikecilkan kepada satu pulau berukuran 931ha, bukan tiga pulau seperti rancangan asal (berukuran 1,821ha setiap satu), di selatan landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

    Pembangunan kini akan memberikan tumpuan kepada Pulau Silikon, dahulunya dikenali sebagai Pulau A, yang akan mengambil masa 20 tahun untuk disiapkan, mengikut anggaran projek.

    Turut mengiringi Lau pada sidang media hari ini adalah wakil Persatuan Nelayan Pulau Pinang dan Ravinder Singh, calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) bagi kerusi DUN Pantai Jerejak.

  • PRK: Calon PN Johor dimuktamadkan minggu depan

    PRK: Calon PN Johor dimuktamadkan minggu depan

    SENARAI calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, akan diserahkan Perikatan Nasional (PN) Johor kepada pucuk pimpinan untuk dinilai pada minggu depan.

    Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, setiap sayap parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) telah diarahkan untuk menghantar tiga nama calon.

    “PN Johor telah mengadakan mesyuarat pertama persediaan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, sejurus selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penting pilihan raya itu, pada petang Khamis.

    “Antara perkara utama dibincangkan adalah mengenai calon yang bakal diturunkan. Kesemua nama calon tersebut akan pada mesyuarat PN Johor minggu depan, sebelum ia dimuktamadkan oleh pucuk kepimpinan Pusat pada minggu hadapan juga,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    SPR pada Khamis menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 9 September.

    Tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi berkenaan pula ialah masing-masing pada 26 Ogos dan 5 September.

    PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan ekoran kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

    Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak, lapor Sinar Harian.

  • Mahkamah dengar permohonan bicarakan bersama semua pertuduhan Muhyiddin pada 19 September

    Mahkamah dengar permohonan bicarakan bersama semua pertuduhan Muhyiddin pada 19 September

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur menetapkan 19 Sept untuk mendengar permohonan pihak pendakwaan bagi perbicaraan bersama tujuh pertuduhan jenayah ke atas bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membabitkan RM232.5 juta yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

    Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh perbicaraan itu semasa sebutan kes pagi tadi, berhubung empat pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

    Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata semua pliding (dokumentasi mahkamah) telah difailkan oleh pihak pendakwaan dan pasukan pembelaan.

    Memetik laporan MalaysiaKini, Azura kemudian menetapkan 19 September untuk mendengar permohonan perbicaraan bersama.

    Beliau mengambil maklum bahawa pihak pendakwa telah menyerahkan dokumen perbicaraan lanjut kepada pasukan peguam Muhyiddin yang diketuai oleh Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

    Akram juga memaklumkan kepada hakim bahawa Muhyiddin membuat permohonan berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa, yang ditetapkan untuk keputusan pada 15 Ogos.

    Muhyiddin tidak hadir hari ini kerana dikecualikan daripada menghadiri prosiding.

    Pada Mac lalu di Mahkamah Sesyen, Muhyiddin memohon untuk dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta.

    Empat pertuduhan salah guna kuasa dikenakan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, mendakwa Muhyiddin menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk dorongan RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

    Tiga syarikat itu ialah Bukhary Equity Sdn Bhd (Bukhary Equity), Nepturis Sdn Bhd, dan Mamfor Sdn Bhd, manakala individu terbabit ialah Azman Yusoff.

    Tiga pertuduhan pengubahan wang haram pula didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta yang sama.

    Muhyiddin, 76, didakwa menerima lebih RM120 juta hasil daripada aktiviti haram Bukhary Equity antara 25 Feb 2021 dan 8 Julai 2022.

    Pengubahan wang haram itu didakwa dilakukan dengan menerima wang yang dimasukkan ke dalam akaun Bersatu dan bukan dibuat terus kepadanya, justeru akaun bank peribadi Muhyiddin tidak pernah dibekukan.

  • ADUN Melayu ‘bisu’ isu libat komuniti, kata pemimpin Pas

    ADUN Melayu ‘bisu’ isu libat komuniti, kata pemimpin Pas

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melayu di Pulau Pinang tidak bersuara mengenai isu berkaitan orang Melayu dan Islam, kata Ketua Pas negeri Fauzi Yusoff.

    Fauzi yang bertanding di kerusi Sungai Dua pada pilihan raya negeri (PRN) menyeru pengundi Melayu di negeri itu memastikan suara mereka didengari dan tidak memilih “jaguh kampung”.

    “Tidak cukup ADUN Melayu setakat memberikan bantuan kepada pengundi, mereka juga mesti memperjuangkan isu Melayu dan Islam.

    “Pergi duduk dalam (persidangan) Dewan Undangan Negeri (DUN) bisu daripada mempertahankan hak orang Islam, daripada mempertahankan orang Melayu, membawa suara orang Melayu dalam DUN.

    “Sebab itulah kita lihat jadi macam-macam ni. Takda halangan, sekatan kepada apa sahaja projek gila yang kerajaan negeri Pulau Pinang nak buat,” katanya pada ceramah di Kampung Lahar Tiang malam tadi, menurut FMT.

    Terdahulu, Fauzi bercakap mengenai Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) dan projek perumahan ‘mahal’, yang menurutnya tidak menguntungkan orang Melayu.

    Pemimpin Pas itu berkempen untuk Bukhori Ghazali, calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pinang Tunggal yang berdepan Zainudin Mohamed (PH).

    Kerusi itu disandang UMNO sehingga Pakatan Harapan (PH) memenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) melalui Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (PKR), yang kemudian menjadi Timbalan Ketua Menteri.

    Pada PRN 12 Ogos, Perikatan Nasional (PN) bertanding 40 kerusi di Pulau Pinang, dengan Pas bertanding 10 daripadanya.

  • Bank Dunia iktiraf daya tahan Malaysia harungi Covid-19 bawah pimpinan Muhyiddin

    Bank Dunia iktiraf daya tahan Malaysia harungi Covid-19 bawah pimpinan Muhyiddin

    KEPIMPINAN bekas Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mendepani pandemik Covid-19 terus mendapat pengiktirafan dunia.

    Kali ini Bank Dunia mengiktiraf Malaysia sebagai negara terbaik di Asia Tenggara dari segi daya tahan luar biasa menghadapi Covid-19.

    Pengiktirafan berkenaan disiarkan dalam laporan komprehensif terbarunya bertajuk ‘Building Malaysia’s Resilience: Lessons from Covid-19’s Economic Impacts and Policy Responses.’

    “Institut Masa Depan Malaysia (MASA) amat berbesar hati dan terharu dengan pengiktirafan oleh Bank Dunia,

    “Tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, atas kepimpinan cemerlang beliau sepanjang krisis kesihatan global yang tidak diduga ini.

    “Keazaman, visi dan pendekatan strategik dalam menguruskan pandemik memainkan peranan penting dalam mencapai kejayaan luar biasa ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut MASA, Azril Mohd. Amin dalam satu kenyataan hari ini.

    Laporan terbitan Bank Dunia itu menyerlahkan keberkesanan dasar dan langkah ekonomi Malaysia, yang disokong oleh tindakan tegas serta kepimpinan yang cukup empati terhadap nasib rakyat.

    “Pengiktirafan Bank Dunia terhadap kedudukan tertinggi Malaysia di Asia Tenggara ini adalah bukti usaha kolektif negara dalam melindungi kesihatan awam, mengurangkan gangguan ekonomi dan memupuk daya tahan masyarakat.

    “Ketika dunia terus bergelut dengan impak pandemik yang meluas, daya tahan Malaysia menjadi contoh untuk diteladani oleh negara-negara lain. Pengajaran yang diperoleh daripada krisis ini sudah pasti akan membentuk dasar dan strategi masa depan, serta mengukuhkan keupayaan untuk menangani sebarang cabaran yang mungkin timbul kelak,” katanya, lapor SatuBerita. 

  • Dominic Lau perlu dihargai sebagai tetamu berdasarkan akhlak, prinsip Islam – Pas Pusat

    Dominic Lau perlu dihargai sebagai tetamu berdasarkan akhlak, prinsip Islam – Pas Pusat

    PAS Pusat pusat meminta maaf berikutan kejadian yanga berlaku ke atas Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau majlis Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) di Tasek Gelugor, Pulau Pinang baru-baru ini.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, walaupun Dominic menolak dakwaan beliau ‘diminta keluar’ namun kehadiran beliau perlu diterima dan dihargai sebagai tetamu berdasarkan akhlak dan prinsip-prinsip Islam.

    Berikutan kenyataan penuh beliau:

    PAS merakamkan rasa kurang selesa sekali gus meminta maaf atas insiden melibatkan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau, yang dilihat tidak dialu- alukan ke majlis Ceramah Mega PN Best di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, yang turut dihadiri oleh Presiden Pas baru-baru ini.

    Walaupun Dr. Dominic kemudiannya dilaporkan menolak dakwaan bahawa beliau “diminta keluar” dari situ oleh seorang pemimpin Pas tempatan, namun bagi pihak kepimpinan PAS Pusat , saya percaya kehadiran beliau perlu diterima dan dihargai sebagai tetamu berdasarkan akhlak dan prinsip-prinsip Islam.

    Selain itu, parti pimpinannya Gerakan juga merupakan rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) dan beliau sendiri merupakan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung sewajarnya diberikan penghormatan yang layak dan munasabah.

    Pas seperti mana parti-parti lain juga amat sedar dan maklum bahawa politik gabungan cenderung untuk menimbulkan rasa tidak puas hati, kecewa dan sebagainya, terutamanya dalam isu-isu berkaitan pembahagian kerusi atau pemilihan calon bagi sesuatu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen.

    Dalam konteks pemilihan Dr. Dominic sebagai calon PN bagi kerusi DUN Bayan Lepas yang merupakan sebuah kerusi majoriti Melayu, Pas amat sedar berhubung sentimen dalam kalangan ahli dan penyokong di peringkat tempatan susulan pencalonan beliau.

    Namun Pas juga percaya, apabila keputusan mengenainya dibuat dengan persetujuan kepimpinan tertinggi parti setelah melalui semua proses dan melepasi syarat yang ditetapkan, maka ahli dan penyokong perlu menerimanya dengan hati terbuka selain meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan parti yang diketuai oleh Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sendiri.

    Justeru itu saya menyeru ahli-ahli Pas berkaitan supaya menyedari bahawa bantahan berterusan dan tindak-tanduk yang berlawanan dengan kepentingan parti bukan sahaja berkemungkinan menimbulkan suasana tidak harmoni dalam gabungan PN, malah turut mencabar dan mempersoalkan kebijaksanaan serta ketepatan keputusan Tan Sri Presiden Pas sendiri.

    Dalam suasana politik semasa yang dicemari oleh naratif cauvinis dan melampau, maka sebagai sebuah Parti Islam, tertua dan besar, Pas percaya kita bertanggungjawab bukan sahaja untuk menunjuk arah kepada politik matang dan sederhana, malah turut bertanggungjawab untuk memberi pertolongan dan perlindungan kepada pihak-pihak yang memerlukannya.

    Berdasarkan latar belakang itu, Pas melihat Dr. Dominic dan parti pimpinannya tergolong dalam kelompok yang memerlukan pertolongan serta perlindungan itu, justeru sekali lagi saya menyeru ahli-ahli Pas dengan berlapang dada sewajarnya menjadi pihak yang menghulur segala bantuan yang sehabis mampu atas semangat setiakawan dan persaudaraan yang tulus.

    PAS juga berharap dan menggesa semua ahli dan penyokong parti dan PN supaya memberi tumpuan kepada PRN yang sedang kita hadapi, sekali gus mengetepikan sementara perkara-perkara lebih kecil yang boleh melemahkan usaha bersama untuk mencapai kejayaan yang akan membolehkan kita meraih kejayaan-kejayaan yang lebih besar dan bermakna.

    Sewaktu negara dan nusa memerlukan kita berbakti kepadanya, sewajarnya dengan tulus dan bertanggungjawab, kita menyahut seruan itu dalam kerangka satu suara dan satu tekad yang sebaik-baiknya.