Category: Semasa

  • PN yakin menang 33 kerusi DUN Kedah walau PH, BN bergabung

    PN yakin menang 33 kerusi DUN Kedah walau PH, BN bergabung

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PERIKATAN Nasional (PN) dijangka tidak berdepan masalah untuk memenangi sekurang-kurangnya 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, cadangan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk bergabung dilihat tidak mampu menjejaskan kedudukan PN di negeri itu.

    Katanya, petunjuk kepada kekuatan PN di Kedah dapat dilihat menerusi keputusan diraih dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    “Keyakinan itu hadir berdasarkan prestasi PN dalam PRU-15. Kita tahu PH akan bekerjasama dengan BN seperti di peringkat Persekutuan.

    “Kalau undi PH dan BN dicampurkan pun, kita lihat PN akan tetap menang dan saya menjangkakan mereka hanya boleh menang tiga kerusi saja iaitu Kota Darul Aman, Sidam dan Bakar Arang,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan amanat kepad penjawat awam di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar, hari ini.

    Sebelum ini Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, PH dan BN tidak wajar berdepan PRN Kedah secara berasingan ketika kedua-dua gabungan tersebut sudah pun membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.

    Menurutnya, keadaan itu jika berlaku hanya akan menghantar mesej salah kepada pengundi selain mewujudkan keadaan tidak stabil di peringkat Persekutuan.

    Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, momentum PN ketika ini tampak memberangsangkan dan meningkat setiap hari.

    “Momentum kita sentiasa bertambah dan tidak akan pudar. Kita juga buat kerja sehabis baik.

    “Rakyat sentiasa menilai apa yang mereka lakukan. Mereka kata pandai tetapi apabila jadi kerajaan, sebulan pun tak tahu nak buat apa lagi.

    “Formula itu tak boleh pakai, formula ini tak boleh pakai… Orang sembang pasal ayam dan telur, dia sembang pasal babi. Jadi takkanlah rakyat Malaysia nak sokong kerajaan pening,” katanya.

  • Pegawai polis rogol remaja didakwa empat pertuduhan

    Pegawai polis rogol remaja didakwa empat pertuduhan

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG pegawai polis berpangkat inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini terhadap empat pertuduhan seksual termasuk merogol seorang remaja dalam kejadian minggu lalu.

    Tertuduh, Mohd. Maliki Azmi, 35, membuat pengakuan terbabit selepas empat pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Roslan Hamid.

    Tertuduh yang sudah berkahwin didakwa menggunakan kedudukan berkuasanya untuk merogol remaja perempuan yang kini berusia 17 tahun dan bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(f) Kanun Keseksaan.

    Mohd. Maliki yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan turut didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa sama mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Bagi pertuduhan seterusnya, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(c) akta sama kerana melakukan amang seksual dengan memasukkan alat ke dalam kemaluan mangsa.

    Tertuduh juga didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal dengan membuatkan mangsa menunjukkan badannya bagi maksud seksual dan kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(a)(ii) akta berkenaan.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan dalam Bilik Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Yan pada 28 Disember lalu.

    Tertuduh berdepan hukuman 20 tahun bagi setiap pertuduhan dan sebatan serta tambahan penjara lima tahun dan tidak kurang dua sebatan mengikut hukuman Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hizween Azleena Othman Kamal menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

    Hizween Azleena dibantu Timbalan Pendakwa Raya Zulfadzly Hassan dan Nurul Natasha Rizal turut meminta dikenakan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak menggangu saksi dan mangsa, melapor di balai polis terdekat setiap sebulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Mohd. Maliki yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan jaminan paling rendah kerana dia kini tiada punca pendapatan selain isteri tidak bekerja dan perlu menyara keluarga serta menanggung bebanan hutang yang tinggi.

    Roslan kemudian menetapkan jaminan RM25,000 bagi keempat-empat pertuduhan dan mengenakan syarat tambahan tersebut serta menetapkan tarikh 6 Februari ini untuk sebutan semula.

  • Warga Rusia dedah pengalaman ceroboh Menara Merdeka 118

    Warga Rusia dedah pengalaman ceroboh Menara Merdeka 118

    SEORANG wanita warga Rusia mendedahkan perbuatan menceroboh Menara Merdeka 118 dengan memanjat ke puncak pencakar langit berkenaan baru-baru ini.

    Menerusi perkongsian di akaun Twitter miliknya semalam, wanita yang dikenali sebagai Angela Nikolau itu menceritakan perjalanan dari awal bagaimana dia dapat memasuki menara itu tanpa disedari oleh mana-mana pihak.

    Selain itu, Angela berkongsi beberapa gambar dan video berdurasi 7 saat mengenai perjalanan sewaktu memanjat menara tersebut.

    “Saya mengakui jatuh cinta terhadap Menara Merdeka 118 sebaik melihatnya dan merasakan suatu sambungan secara spiritual.

    “Ia merupakan bangunan yang sangat megah di tengah bandar menakjubkan. Saya terpaksa menemukannya dan berkongsi pemandangan itu dengan orang lain,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Wanita itu memberitahu dia menyewa sebuah apartmen dengan pemandangan menara yang bagus supaya boleh menjalankan pengawasan dan pemerhatian terhadap bangunan berkenaan sebelum memasukinya.

    Dia menghabiskan beberapa minggu mencari butiran penting yang perlu diketahui sebelum pergi ke sana.

    Angela Nikolau memulakan misinya dengan menyamar memakai tudung, cermin mata dan seragam pekerja bangunan untuk memastikan identitinya tidak dikesan.

    Angela Nikolau memulakan misinya dengan menyamar memakai tudung, cermin mata dan seragam pekerja bangunan untuk memastikan identitinya tidak dikesan.

    Angela menceritakan misinya dimulakan dengan melakukan penyamaran iaitu memakai tudung, cermin mata dan seragam pekerja bangunan untuk memastikan identitinya tidak dikesan sebaik mungkin.

    “Saya berlari ke 32 tingkat pertama dan berada dalam keadaan terlalu panas.

    “Saya terpaksa baring di atas lantai konkrit dalam keadaan tidak berpakaian untuk menyejukkan diri sedikit dan minum semua air yang ada,” katanya.

    Wanita itu juga menceritakan detik cemas apabila dikesan ketika sedang berehat.

    “Semasa berehat, saya menyedari bahawa saya telah dikesan dan kemudian mimpi ngeri bermula.

    “Saya menjumpai tempat berlindung dalam kotak konkrit kecil di mana saya tidak dapat meregangkan kaki dan perlu menghabiskan lebih dari 20 jam dalam kotak tersebut,” tambahnya.

    Angela turut berkongsi keadaan dirinya pada 25 jam kemudian dengan tidak mempunyai makanan dan air selain tidak tidur.

    “Saya tidak dapat meregangkan kaki dan seluruh badan kaku dan sakit. Saya tidak boleh menangis pun kerana pekerja berada berhampiran.

    “Mereka boleh mendengar tangisan saya dan serahkan saya kepada pihak keselamatan. Ia adalah masa paling teruk dalam hidup saya,” ujarnya.

    Tambah Angela, tiga jam kemudian dia perlu meneruskan misi itu meskipun berada dalam keadaan sukar.

    “Jika saya tidak mula bergerak, saya akan terlalu lemah untuk menyelesaikan misi itu.

    “Saya perlu kuatkan diri dan mula melakukan sesuatu. Nasib baik pekerja di situ berehat dan saya boleh keluar dan berlari ke puncak menara!” katanya.

    Angela memberitahu dia yang memanjat menara setinggi 53 tingkat itu turut memakai memakai beg galas seberat 15 kilogram.

    “Saya tidak pasti saya mendakinya jika saya tahu betapa tingginya menara itu. Selepas saya selesai mendaki, saya tidak merasakan lengan saya dan tidak dapat mengangkatnya,” katanya.

    Bagaimanapun, dia berkata, semangatnya meningkat semula sebaik melihat pemandangan menara tersebut.

    “Ia adalah musim hujan jadi saya menjangkakan keadaan awan dan landskap kelabu. Sebaliknya saya melihat sinaran matahari dan kecantikan yang luar biasa.

    “Ia adalah keajaiban peribadi saya. Saya berasa terjaga dan bertenaga semula. Semuanya berbaloi!” ujarnya lagi.

    Wanita itu menceritakan meskipun pendakian itu paling sukar dalam hidupnya namun ia adalah suatu pengalaman yang luar biasa.

    “Saya tidak pasti saya akan dapat melakukannya lagi tetapi keindahan yang dilihat dan dirakam selain kongsikan dengan anda adalah luar biasa,” katanya.

    Angela menyatakan dia akan memuat naik Non-Fungible Token (NFT) khusus untuk Menara Merdeka 118 pada esok.

    “Saya mahu orang lain juga memiliki pencapaian seperti ini,” jelasnya.

    Baru-baru ini tular gambar pasangan itu, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia berkenaan dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.

    Pada 29 Disember lalu, polis menerima satu laporan daripada pihak pengurusan Menara Merdeka 118 untuk tindakan lanjut mengenai kes pencerobohan pasangan dari Rusia yang dipercayai memanjat menara terbabit.

    PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad (PMVSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung tindakan pasangan yang memanjat ke puncak Menara Merdeka 118.

  • Pasangan kekasih dituduh bunuh budak 4 tahun, kakak dituduh dera

    Pasangan kekasih dituduh bunuh budak 4 tahun, kakak dituduh dera

    SEPASANG kekasih berusia 20 dan 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan bersama membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang dikenali sebagai Lokman.

    Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Izwan Mahmood, 25, dan gadis bawah umur itu telah membunuh kanak-kanak yang tidak mempunyai MyKid itu antara jam 8 pagi hingga 2 petang di Felda Semenchu Teluk Sengat Kota Tinggi, antara 10 hingga 23 Disember tahun lalu.

    Dengan itu mereka telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta sama yang membawa hukuman mati, lapor BH Online.

    Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dan tiada sebarang rekod pengakuan diambil.

    Dalam pada itu, di mahkamah yang sama, kakak kandung mangsa bunuh berkenaan, Nurul Natashah Danial @ Zainal, 20, tidak mengaku bersalah atas pertuduhan mendera adiknya itu di Jalan Kampung Sri Pantai, Senggarang di Batu Pahat sekitar November hingga Disember tahun lalu.

    Mengikut kertas pertuduhan, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak lelaki itu, tertuduh telah menganiaya iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan jam lebih kurang 10 pagi hingga 10 malam pada tempoh berkenaan dan oleh yang demikian tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd. Yunos tidak menawarkan sebarang jaminan untuk tertuduh.

    Tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

    Dalam pada itu, Majistret Nurasidah A. Rahman menetapkan tarikh 12 Januari ini supaya permohonan jaminan untuk anak guam Song Yan didengar di Mahkamah Sesyen Batu Pahat.

    Terdahulu media melaporkan, kakak kepada budak lelaki berusia empat tahun yang maut, dipercayai didera di Senggarang, Batu Pahat pada Isnin minggu lalu antara tiga individu akan didakwa di mahkamah esok.

    Semalam Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata polis sudah mendapat arahan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk menuduh ketiga-tiga suspek berkenaan di Mahkamah Majistret Batu Pahat.

  • Isu RM600 bilion: ‘Tidak ada apa-apa yang tak kena’ – Tengku Zafrul

    Isu RM600 bilion: ‘Tidak ada apa-apa yang tak kena’ – Tengku Zafrul

    MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan dana melibatkan beberapa pakej rangsangan ekonomi sejak 2020 dilaksana secara telus.

    Sehubungan itu, bekas Menteri Kewangan itu menegaskan, tidak ada apa-apa perkara yang tidak kena susulan dakwaan penyelewengan dana tersebut.

    “Tidak ada apa-apa yang tidak kena (melibatkan pengurusan dana). Tapi saya sedia untuk bekerjasama sekiranya dipanggil oleh agensi berkaitan. Kami sangat telus.

    “Seperti saya katakan, kita ada laporan mingguan (Laporan Laksana). Ia tidak pernah dilakukan sebelum ini.

    “Laporan itu diserahkan kepada media, malah orang awam juga boleh mendapatkannya,” ujar beliau dalam temu bual eksklusif bersama CNBC hari ini lapor Astro Awani.

    Beliau pada masa sama turut mengesahkan belum lagi dipanggil oleh mana-mana agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait siasatan dakwaan penyelewengan dana tersebut.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet pada 5 Disember lalu berkata, pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan terdapat pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Muhyiddin sebelum ini menegaskan tidak takut disiasat dan melafazkan sumpah bahawa beliau tidak pernah mengambil satu sen pun wang tersebut kerana bukan hak miliknya.

    Katanya, jumlah sebenar yang dibelanjakan bukanlah RM600 bilion, sebaliknya RM530 bilion merangkumi lapan pakej rangsangan ekonomi dan sebahagian besarnya berbentuk non-fiscal iaitu tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan.

  • Zahid beri bayangan sedia dicabar jawatan Presiden pada PAU 2022

    Zahid beri bayangan sedia dicabar jawatan Presiden pada PAU 2022

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedia untuk dicabar bagi jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti akan datang.

    Menurutnya yang juga Timbalan Perdana Menteri, dalam pemilihan sebelum ini pada 2018, beliau juga dicabar dua ahli parti tapi keputusannya masih memihak kepada beliau yang kemudiannya menyaksikannya memegang jawatan nombor satu parti itu.

    Bahkan, beliau berkata kombinasi undi dua pencabarnya itu masih kurang berbanding undi diperolehinya dan jelasnya, kenyataan itu adalah fakta, bukan untuk bersikap sombong, riak, takbur atau ujub.

    “Dulu pun saya dicabar juga, dua orang cabar saya dan undi mereka masih belum sama dengan undi yang saya peroleh. Bukan riak, bukan sombong dan takabur mahupun ujub tapi itu terbukti pada 2018.

    “Malah kombinasi undi kedua-duanya sangat kurang berbanding undi saya,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Seri Lestari di Putrajaya hari ini.

    Hadir sama Timbalannya, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Ramlan Harun.

    Pada pemilihan tahun 2018, Ahmad Zahid diangkat sebagai Presiden mengalahkan dua pencabarnya iaitu Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin.

    Ahmad Zahid memperoleh 93 undi, menewaskan empat pesaing lain antaranya dua nama besar UMNO iaitu bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah selaku Ahli Parlimen Gua Musang.

    Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan kuasa untuk menentukan kepimpinan parti terletak kepada kuasa dan suara perwakilan parti di seluruh negara.

    “Saya mempunyai pendirian bahawa kuasa untuk menentukan kepimpinan terletak kepada kuasa dan suara perwakilan di seluruh negara.

    “Terdapat hampir 160,000 perwakilan yang mewakili cawangan-cawangan untuk menentukan sama ada mahu kepimpinan yang sedia ada atau kepimpinan yang berubah untuk pastikan UMNO terus relevan dalam pentas politik negara.

    “Kuasa mutlak itu adalah kuasa perwakilan,” ujarnya, lapor Astro Awani.

    Pemilihan UMNO dijangka diadakan pada tahun ini dan dengan desakan supayan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tetap dipertandingkan, ia pastinya akan menghadirkan pelbagai cerita sebelum dan selepas pemilihan parti.

  • Sabah perketat pemeriksaan, pengembara dari China perlu lengkap vaksin

    Sabah perketat pemeriksaan, pengembara dari China perlu lengkap vaksin

    KERAJAAN negeri Sabah semalam menetapkan pengembara yang berlepas dari China perlu lengkap vaksinasi Covid-19 mengikut kriteria negara asal masing-masing sebelum memasuki negeri ini, berkuatkuasa 8 Jan.

    Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun, berkata pengembara berkenaan juga perlu menunjukkan ujian Covid-19 (RT-PCR atau RTK Ag Professional) dengan keputusan negatif dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas.

    “Perkara itu diputuskan Jemaah Menteri Negeri Sabah yang bermesyuarat hari ini (semalam),” kata jurucakap Covid-19 kerajaan Sabah itu menerusi kenyataan malam tadi.

    Masidi berkata kerajaan negeri juga menetapkan semua pengembara dari luar negara yang tiba di Sabah dikehendaki menjalani saringan suhu dan pengembara dikesan mempunyai simptom demam akan menjalani pemeriksaan lanjut.

    “Pengembara yang mempunyai gejala Covid-19 wajib menjalani ujian RTK Antigen Covid-19,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata sebanyak 12 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah semalam manakala 138 pesakit masih menerima rawatan dengan 10 daripadanya memerlukan penjagaan kritikal dan 23 pesakit telah pulih.

  • Banjir : Empat jalan terputus hubungan, 45 orang dipindahkan di Ranau

    Banjir : Empat jalan terputus hubungan, 45 orang dipindahkan di Ranau

    EMPAT jalan terputus hubungan di daerah Ranau akibat kejadian hujan lebat berterusan dan banjir pada petang semalam.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan jalan utama yang menghubungkan Kota Kinabalu-Sandakan di Km179.308 telah ditutup serta-merta akibat banjir.

    Kenyataan itu memberitahu Jalan Marakau-Kinapulidan-Kigik, dan Jalan Libang-Marakau juga ditutup disebabkan banjir, manakala Jalan Kituntul Lama ditutup kerana tanah runtuh.

    “Hujan berterusan lebih tiga jam telah menyebabkan beberapa kawasan kampung di daerah ini telah dinaiki air iaitu Kampung Libang, Kituntul dan Marakau.

    “Susulan itu, hingga 8 pagi ini seramai 45 mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan ke PPS (pusat pemindahan sementara) di PPS Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau yang dibuka pada 12.45 tengah malam tadi,” menurut kenyataan itu.

    Enam lokasi di daerah itu telah dikenal pasti sebagai lokasi berisiko di daerah Ranau iaitu Kampung Libang, Marakau, Kituntul, Silou, Lasing dan Bahab.

    “Pemantauan pada pagi ini mendapati kejadian banjir sudah semakin surut,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah dalam kenyataan berasingan memberitahu pengguna Jalan Kota Kinabalu-Sandakan boleh menggunakan dua jalan alternatif untuk ke destinasi masing-masing.

    “Kenderaan kecil boleh menggunakan Jalan Sinarut Baru-Togudon Baru, manakala kenderaan berat di Jalan Marak Parak-Kota Marudu-Kota Kinabalu,” menurut kenyataan itu.

  • PM perlu bertindak segera kes rasuah, jangan sekadar retorik politik

    PM perlu bertindak segera kes rasuah, jangan sekadar retorik politik

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bertindak segera tangani kes rasuah seperti yang sering dilaungkan dan menjadi tonggak perjuangannya selama ini.

    Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, sekiranya Anwar tidak segera bertindak, rakyat akan beranggapan apa yang dikatakan sebelum ini hanya retorik politik yang semata-mata untuk meningkatkan imej politiknya.

    “Ini kerana rakyat di negara ini sudah lama berhadapan dengan kes-kes ketirisan dan rasuah terutama melibatkan orang politik.

    “Anwar sering mengetengahkan isu amalan rasuah dan kepincangan pemimpin politik dalam isu memunggah kekayaan negara. Kini Anwar masih lagi mengetengahkan isu ini dalam majlis rasmi beliau tetapi belum ada satu tindakan yang berani dan konkrit,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sekiranya masih tiada tindakan konkrit yang diambil terhadap kes-kes rasuah katanya, rakyat akan hilang kepercayaan terhadap beliau.

    “Bagi mendapatkan keyakinan rakyat, Anwar perlu bertindak tegas terhadap gejala ini dan tidak boleh bertolak ansur. Tindakan susulan perlu diambil segera olehnya kerana sebagai Perdana Menteri, beliau perlu memastikan amalan ini dihentikan dan segala yang didedahkan dapat tindakan segera dan menyeluruh,” katanya.

    Anwar dalam majlis Munajat Ambang Tahun Baharu 2023, Masjid Putra, Putrajaya, Ahad lalu menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya ingin membawa pelbagai perubahan kepada negara.

    Anwar dilaporkan berkata, komitmennya untuk membendung masalah rasuah yang dikatakan masih lagi dilakukan oleh kelompok kecil dalam kerajaan.

    Beliau juga akan mengambil tindakan tegas terhadap kelompok kecil itu kerana ia boleh mencemarkan imej Kerajaan Perpaduan.

    Anwar juga menegaskan bahawa beliau akan menamatkan amalan rasuah yang didakwanya menggunakan kepimpinan politik dan kedudukan dalam kerajaan sebagai ‘kesempatan untuk memunggah kekayaan.’

    Sementara itu, Awang Pawi berpendapat, Anwar boleh melaksanakan pendekatan itu melalui tindakan segera menerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    “Agensi ini misalnya perlu lebih proaktif bagi memastikan siasatan dan tindakan tegas dapat diambil termasuk tangkapan reman dan proses mahkamah.

    “Menangguhkan tindakan tegas akan menyebabkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan akan terjejas dan populariti kerajaan perpaduan akan menurun,” ujarnya.

  • Shahrir Samad dilepas, dibebaskan kes penggubahan wang haram RM1 juta

    Shahrir Samad dilepas, dibebaskan kes penggubahan wang haram RM1 juta

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membebaskan veteran Umno Shahrir Samad daripada tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM1 juta.

    Hakim Jamil Hussin mengeluarkan perintah melepas dan membebaskan Shahrir selepas Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi memberitahu mahkamah pihaknya tidak mahu meneruskan kes itu.

    Shahrir dituduh mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) kerana didakwa menerima RM1 juta daripada Najib Razak pada 2013 dan tidak mengisytiharkan jumlahnya kepada LHDN.

    Dana itu didakwa datang daripada 1MDB, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Seramai 22 saksi memberi keterangan semasa perbicaraan.

    Terdahulu, Rasyidah meminta mahkamah membenarkan Shahrir dilepas tanpa dibebaskan.

    “Kami menggunakan hak kami bawah Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah memandangkan kami tidak berniat untuk meneruskan (kes ini).

    “Kami harap mahkamah akan mengeluarkan perintah dilepas tanpa dibebaskan terhadap tertuduh (Shahrir),” katanya.

    Bagaimanapun, peguam Shahrir, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Dzulkilfi Ahmad, menggesa mahkamah memberikan pembebasan penuh.

    Jamil kemudian bertanya kepada Rasyidah mengapa pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan kes itu.

    “Arahan (yang kami terima) adalah untuk tidak meneruskan (kes),” katanya.

    Peguam bersama Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros berkata, dalam keadaan itu, mahkamah patut menamatkan kes ini untuk Shahrir dengan membebaskannya.