Category: Semasa

  • KKM tawar 4,914 jawatan tetap tahun ini

    KKM tawar 4,914 jawatan tetap tahun ini

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menawarkan 4,914 jawatan tetap bagi tahun ini, merangkumi 4,263 perjawatan bagi pegawai perubatan, 335 pegawai pergigian dan 316 pegawai farmasi.

    Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata permohonan untuk mengisi perjawatan berkenaan dibuka mulai hari ini hingga 21 Jan menerusi portal https://spa9.spa.gov.my.

    Berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 KKM di sini hari ini, Dr Zaliha berkata Pengarah Kesihatan Negeri disaran membuat penjajaran perjawatan atau sumber manusia dengan pusingan kerja, sebagai contoh menempatkan pegawai dari klinik kesihatan ke hospital bagi mengelakkan kejadian burnout atau lesu upaya pegawai.

    Beliau turut mencadangkan agar Pengarah Kesihatan Negeri meneliti semula keperluan untuk melanjutkan waktu pengoperasian klinik kesihatan bagi mengatasi isu kesesakan di Jabatan Kecemasan.

    “Ia bagi mengalihkan pesakit yang dikategorikan sebagai kes bukan kritikal untuk dirawat di klinik-klinik berkenaan dan bukan di Jabatan Kecemasan,” katanya dan menambah Laporan Ketua Audit Negara 2019 mendapati kesesakan berlaku di Jabatan Kecemasan dengan tempoh menunggu melebihi enam jam disebabkan kes bukan kritikal.

    Mengenai peruntukan KKM dalam Belanjawan 2023 yang disemak yang akan dibentangkan pada 24 Feb ini, Dr Zaliha optimis kementerian itu akan menerima peruntukan lebih tinggi tahun ini berbanding RM32.41 bilion yang diterima pada 2022.

    Bagi tahun ini, katanya KKM menjangkakan lebih 30 projek pembangunan fasiliti kesihatan dapat diserah dan dijangka beroperasi antaranya Hospital Pendang (Kedah) dan Hospital Kemaman (Terengganu).

    “Dengan siapnya projek ini, diharap perkhidmatan kesihatan yang lebih baik akan dapat diberikan dan memenuhi keperluan penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.

    Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata KKM akan melaksanakan kembali pemberian vaksin virus papiloma manusia (HPV) yang dapat mencegah penyakit kanser serviks kepada pelajar tingkatan satu pada tahun ini.

    “Pada 2021, pemberian vaksin itu terpaksa ditangguhkan akibat gangguan bekalan di peringkat global, namun KKM pada Disember lepas telah berjaya membuat perolehan sebanyak 100,000 dos vaksin dan ia telah berada di lapangan,” katanya. – BERNAMA

  • “Sejak bila bekas menteri ada kemudahan kereta,” Radzi persoal Anwar

    “Sejak bila bekas menteri ada kemudahan kereta,” Radzi persoal Anwar

    NAIB Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa bekas menteri Kabinet menikmati kemudahan kereta dari kerajaan.

    Radzi yang menyifatkan kenyataan Anwar sebagai fitnah turut hairan bagaimana Anwar mengumumkan membatalkan perkara itu yang menurutnya tidak wujud.

    “Ini fitnah apa pula? DSAI kata, beliau telah batalkan kemudahan kereta untuk bekas-bekas menteri yang baru ini.

    “Soalnya, sejak bila bekas menteri ada kemudahan kereta? Batalkan perkara yang tak wujud?

    “Bantu banteras fitnah ini, tolong kongsi-kongsikan,” kata ahli Parlimen Putrajaya itu menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

    Beliau turut berkongsi video kenyataan dibuat Anwar mengenai perkara itu baru-baru ini.

    Anwar dipercayai merujuk kenyataan bekas Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad bahawa, perbelanjaan negara boleh dijimatkan sekiranya pencen bekas anggota Jemaah Menteri dimansuhkan.

    Menurut Anwar yang juga menteri kewangan, setakat ini, tindakan yang boleh dilaksanakan sebagai langkah penjimatan adalah membatalkan kemudahan kereta untuk bekas menteri.

    “Setakat ini, (langkah) itu lebih baik (kerana) melibatkan peraturan pentadbiran dan tidak melibatkan Perlembagaan,” katanya.

    Namun Anwar menjelaskan, cadangan memansuhkan atau mengurangkan pencen bekas anggota Jemaah Menteri tidak munasabah kerana perkara berkaitan pencen termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

  • Remaja hilang dalam hutan ditemui lemas di air terjun

    Remaja hilang dalam hutan ditemui lemas di air terjun

    SEORANG remaja yang dilaporkan hilang dalam hutan berhampiran Laman 3 Budaya Asahan, Jasin petang semalam ditemui lemas di air terjun di kawasan rekreasi berkenaan awal pagi ini.

    Mangsa, Muhammad Radif Azahari, 19 tahun, yang hilang sejak pukul 7 petang selepas pergi ke kawasan rekreasi itu bersama seorang rakannya, ditemui oleh anggota bomba dan penyelamat pada pukul 1.29 pagi tadi.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jasin (BBP) Jasin, Penguasa Bomba Kanan II, Seleman Tugi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.24 malam sebelum 16 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

    “Laporan awal diterima daripada seorang rakan mangsa yang dipercayai bersama-sama pergi ke kawasan rekreasi itu petang pada semalam dan setibanya di tempat kejadian, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus digerakkan.

    “Operasi ini kita lakukan dalam radius 500 meter dari kawasan mangsa dipercayai hilang dan selepas hampir tiga jam operasi dijalankan, pasukan SAR akhirnya menemui mangsa lemas di kawasan air terjun,” katanya dalam kenyataan, lapor Astro Awani.

    Mengulas lanjut Seleman memberitahu, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tangkak untuk dibedah siasat selain kes berkenaan turut diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak.

    Operasi SAR mangsa turut dibantu oleh Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Melaka dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

  • Harga makanan di kantin sekolah naik sehingga 50 peratus

    Harga makanan di kantin sekolah naik sehingga 50 peratus

    HARGA makanan di kantin sekolah meningkat sehingga 50 peratus sejak sesi persekolahan penggal tiga bermula Selasa lalu, didorong peningkatan harga bahan mentah di pasaran.

    Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah, Khairuddin Hamzah berkata, kenaikan harga itu bagi menampung kos operasi yang semakin meningkat, selain beberapa bahan asas yang menyaksikan peningkatan mendadak.

    Menurutnya, antara menu menyaksikan peningkatan harga adalah roti canai yang dijual pada harga RM1.50 berbanding RM1 pada tahun lepas.

    “Ayam goreng tepung dari RM1 dijual antara RM1.50 dan RM2 manakala nasi lemak dari RM1 kepada RM1.50,” katanya kepada Free Malaysia Today.

    Khairuddin yang juga mengusahakan kantin di sebuah sekolah dekat Semenyih bagaimanapun berkata, beberapa menu utama lain seperti mi goreng, nasi goreng, serta kuih-muih masih mengekalkan harga lama.

    Katanya, kesukaran mendapatkan bekalan bahan mentah seperti telur, gula dan minyak masak juga memberi kesan kepada kelancaran operasi kantin.

    “Di kantin sekolah, kami terikat dengan peraturan makanan dan minuman yang boleh dan tak boleh dijual.

    “Dengan terputusnya bekalan telur, kami kekurangan menu yang boleh dijual pada harga mampu dibeli oleh murid,” katanya, namun menambah situasi itu tidak sampai menjejaskan sebahagian besar aliran tunai mereka.

    Katanya, peningkatan kos operasi kantin juga menyaksikan hampir 50% pengusaha kantin tidak menyambung operasi mereka dan digantikan dengan pengusaha baharu.

    “Berdasarkan proses tender yang berakhir hujung tahun lepas, lebih 40% adalah operator baharu… saya perhatikan banyak sekolah yang sampai tarikh tutup tender masih tiada pemohon, sekolah saya sendiri kalau dulu lebih 10 pemohon tetapi kali ini hanya empat pemohon saja,” katanya.

  • OKU penglihatan buntu cita-cita jadi pensyarah belum tercapai

    OKU penglihatan buntu cita-cita jadi pensyarah belum tercapai

    GURU tuisyen, Chow Sak Chin menjadi insan yang paling gembira selepas berjaya menggenggam ijazah kedoktoran pada awal tahun lepas, meskipun berdepan pelbagai kesukaran sebagai orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

    Hilang penglihatan akibat kemalangan pada 1996, beliau bangkit daripada kegelapan untuk menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan khas di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kampus Tanjung Malim.

    Chow, 45, mempunyai harapan menggunung untuk menjadi seorang pensyarah bagi membantu insan sepertinya menimba ilmu pengetahuan dan berjaya dalam kehidupan.

    Bagaimanapun, bapa kepada dua anak itu buntu kerana sehingga kini, masih belum menerima sebarang tawaran berkhidmat sebagai pensyarah walaupun banyak permohonan dihantar ke institut pengajian tinggi sejak Jun tahun lepas.

    “Saya OKU, jadi saya lebih memahami golongan ini sekiranya dilantik menjadi pensyarah dalam bidang pendidikan khas tetapi malangnya tidak diberikan peluang…banyak panggilan dibuat dan e-mel dihantar kepada pelbagai pejabat dan agensi tetapi tiada respons,” katanya kepada pemberita di sini.

    Chow berkata beliau kini meneruskan kerjayanya sebagai guru tuisyen bahasa Inggeris sejak 11 tahun lepas di sebuah pusat tuisyen di sini.

    Katanya beliau berupaya mengajar pelajar dengan baik menggunakan teknologi seperti aplikasi pembaca skrin pada komputer dan peralatan untuk proses pengajaran dan pembelajaran.

    “Saya sudah lebih sedekad menjadi guru tuisyen, ibu bapa juga yakin dengan saya untuk mendidik anak-anak mereka,” katanya.

    Masih menyimpan hasrat untuk menjadi pensyarah, Chow berharap para majikan dapat memberikan peluang pekerjaan kepada golongan OKU terutama yang berpelajaran dan berkelayakan. – BERNAMA

  • Kereta lembu tular jalani latihan perarakan Thaipusam

    Kereta lembu tular jalani latihan perarakan Thaipusam

    KERETA lembu yang ditunggang tiga lelaki di Jalan Serdang Perdana sehingga tular di media sosial sedang berlatih untuk perarakan upacara keagamaan Hindu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, anggota kaunter aduan trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menerima maklumat berkaitan satu video yang sedang tular di media sosial Facebook pada pukul 7 malam tadi.

    Video yang disiarkan itu katanya membabitkan sebuah kereta lembu yang ditunggang oleh tiga lelaki di Jalan Besar, Seri Kembangan.

    “Siasatan awal yang dijalankan mendapati ia dirakam pada pukul 10 pagi Isnin lalu dan tular di media sosial.

    “Menurut pemilik kereta lembu terbabit, ia ditunggangi oleh tiga lelaki yang sedang berlatih untuk perarakan upacara keagamaan Hindu,” katanya.

    Anbalagan berkata, perarakan itu dijangka bermula bermula Februari sempena Thaipusam.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 11 (c) Akta Kesalahan Kecil 1955.

    “Di samping itu, tuan punya kereta lembu terbabit juga sudah membuat laporan polis di Balai Polis Seri Kembangan pada hari ini untuk menceritakan kejadian itu.

    “Pihak polis ingin menasihatkan pengguna jalan raya yang menggunakan sebarang binatang di jalan awam mematuhi undang-undang supaya tidak membahayakan pengguna lain,” katanya dalam kenyataan malam tadi lapor Berita Harian.

  • Tempahan konsert Jay Chou dibuat sejak 2019 – Hannah Yeoh

    Tempahan konsert Jay Chou dibuat sejak 2019 – Hannah Yeoh

    STADIUM Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sudah ditempah terlebih dahulu oleh Penganjur Jelajah Dunia Jay Chou pada 2019 sebelum Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berbuat demikian pada 18 Ogos lalu.

    Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan perkara itu menerusi akaun Twitter miliknya.

    “Booking (tempahan) stadium konsert Jay Chou World Tour dibuat 13 Mac 2019 manakala AFF 2022 oleh FAM dibuat 18 Ogos 2022.

    “Konsert perlu 14 hari pasang pentas oleh 500 krew+185 krew antarabangsa, 45 jentera berat, 200 speaker & 800 lampu. Mereka dah delay 2.5hari bagi ruang AFF,” katanya, hari ini.

    Lapor Berita Harian, berikutan persediaan konsert Jay Chou sehingga menyebabkan 21,000 tempat duduk Stadium Nasional Bukit Jalil terpaksa dikosongkan, akaun Facebook bintang dari Taiwan itu `diserang’ penyokong skuad Harimau Malaya.

    Rata-rata meluahkan rasa tidak puas hati selepas selebriti yang bakal melangsungkan konsertnya pada 15 Januari itu menyebabkan mereka gagal mendapatkan tiket perlawanan separuh akhir Piala AFF 2022 berdepan Thailand, Sabtu ini.

    Selain meluahkan rasa tidak puas hati, mereka juga menuntut Jay Chou supaya menangguhkan konsert terbabit bagi memberi laluan untuk ‘pemain ke-12’ memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya.

  • Politik Sabah bergolak lagi, spekulasi kerajaan negeri bertukar tersebar

    Politik Sabah bergolak lagi, spekulasi kerajaan negeri bertukar tersebar

    POLITIK Sabah kembali bergolak selepas tersebar khabar angin akan berlaku pertukaran kerajaan negeri dan Ketua Menteri Sabah.

    Spekulasi itu bermula malam tadi selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengeluarkan kenyataan mengenai kesediaannya untuk membuktikan keabsahan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

    Kenyataan Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun itu menyebut tindakan berkenaan berikutan khabar angin bahawa ada pihak tertentu mendakwa memperoleh sokongan lebih separuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menubuhkan kerajaan negeri yang baharu.

    Dikatakan kerajaan negeri baharu itu dikatakan diwujudkan menerusi kerjasama Parti Warisan (Warisan) dan Barisan Nasional (BN).

    Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dikatakan bakal dilantik semula sebagai Ketua Menteri, lapor Berita Harian.

    Pagi tadi, spekulasi turut tersebar Mohd. Shafie dan beberapa pemimpin UMNO serta Pakatan Harapan (PH) Sabah mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, dipercayai ada kaitan dengan pertukaran kerajaan negeri dan Ketua Menteri.

    Mengukuhkan lagi spekulasi itu apabila Warisan menjemput media menghadiri sidang media Mohd. Shafie pada pukul 4.30 petang tadi.

    Pada masa sama Ketua UMNO Sabah yang juga Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dikatakan mengadakan perjumpaan bersama semua pemimpin UMNO negeri di Bangunan UMNO Sabah, Kota Kinabalu turut mengadakan sidang media.

    Bagaimanapun, pada pukul 6.50 petang tadi, Warisan memaklumkan sidang Mohd. Shafie ditangguhkan, manakala Bung Moktar pula terus meninggalkan Bangunan UMNO Sabah selepas selesai mesyuarat pada pukul 6.30 petang tadi.

    Bung Moktar yang sempat disapa pemberita hanya mengatakan tiada apa-apa yang berlaku, selain hanya mesyuarat atau pertemuan biasa bersama pemimpin UMNO negeri ketika ditanya jika ada perkara ‘besar’ yang dibincangkan.

    “Tiada apa-apa hanya ‘meeting-meeting’ (perjumpaan) saja. Kami bincang mengenai masa depan parti,” katanya ketika meninggalkan Bangunan UMNO Sabah bersama pemimpin UMNO negeri yang lain.

    Khabar angin pertukaran kerajaan negeri itu juga dipercayai ada kaitan dengan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan kedudukan Hajiji tergugat selepas beliau bersama semua pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah mengumumkan keluar parti baru-baru ini dan menjadi ahli individu dalam GRS.

    Sementara itu, Setiausaha Akhbar Bung Moktar, Jaafar Abd. Wahid berkata, pertemuan pemimpin UMNO Sabah petang tadi adalah perjumpaan biasa bagi membincangkan hal parti di negeri ini.

    “Bung Moktar juga tidak akan hadir pada sidang media bersama Warisan seperti dikhabarkan pihak tertentu. Selepas mesyuarat, beliau terus balik untuk menghantar isteri dan ahli keluarganya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) yang akan menunaikan umrah.

    “Ketika mesyuarat, semua pemimpin UMNO Sabah ada bersama dan tiada yang menyertai perjumpaan dengan WARISAN seperti dikhabarkan pihak tertentu,” katanya.

    Ketika ini kerajaan Sabah ditunjangi GRS bersama BN atau disebut Kerajaan GRS-BN dengan 46 kerusi selain turut disokong PH Sabah sejajar pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan yang ditunjangi PH.

    GRS yang merangkumi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) mempunyai 29 ADUN termasuk tiga ADUN dilantik.

    BN pula mempunyai 17 ADUN termasuk dua ADUN dilantik, manakala PH mempunyai tujuh ADUN, iaitu masing-masing empat DAP, diikuti dua PKR dan seorang ADUN Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

    Selain itu, tiga ADUN Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), seorang ADUN Bebas (Kuamut) dan seorang ADUN Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) sebelum ini turut menyatakan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Hajiji.

  • PRN: Pas tampil 30 peratus muka baharu di Kelantan – Mohd. Amar

    PRN: Pas tampil 30 peratus muka baharu di Kelantan – Mohd. Amar

    PAS akan mengemukakan 30 peratus calon muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan akan datang, kata Naib Presiden, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

    Beliau berkata calon muka baharu itu kelak akan meliputi calon dalam kalangan veteran, orang muda, wanita dan ulama.

    “Saya selalu sebut setiap kali pilihan raya akan berlaku perubahan calon… biasanya akan ada 30 peratus calon baharu…kita campur, ada orang lama, calon muda, wanita dan ulama.

    “Kita akan memberi perhatian dengan mempertaruhkan calon-calon yang boleh menang pada PRN kali ini sama ada muka baharu atau lama,” katanya pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 dan Perhimpunan Penjawat Awam Kelantan, di Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu, hari ini.

    Sementara itu, Mohd Amar, yang juga Timbalan Menteri Besar, berkata setakat ini tiada sebarang perbincangan mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

    “Apa-apa keputusan kita serah dan tunggu Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) yang akan tentukan bila masa yang bersesuaian selepas dapat perkenan Tuanku (Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V),” katanya.

    Parlimen dibubarkan pada 10 Okt tahun lepas bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)  diadakan pada 19 Nov lalu.

    Hanya Pahang, Perak dan Perlis mengadakan pilihan raya peringkat DUN bersekali dengan Parlimen berikutan langkah ketiga-tiga negeri berkenaan membubarkan DUN masing-masing.

    Negeri diterajui Pakatan Harapan iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor serta negeri diterajui PAS iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah, memutuskan tidak membubarkan DUN.

  • Pukul anak OKU kekasih sehingga maut, buang dalam semak

    Pukul anak OKU kekasih sehingga maut, buang dalam semak

    KANAK-KANAK lelaki orang kurang upaya (OKU) dipukul sehingga mati sebelum mayatnya dicampak di kawasan semak di Kampung Kranji, di Bau, Sarawak.

    Sebelum penemuan tersebut ibu mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya pada 21 Disember lalu.

    Penemuan tersebut dipercayai berlaku kira-kira lima hari sebelum ibu mangsa membuat laporan polis.

    Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Poge Nyaon berkata, anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak yang menjalankan siasatan membuat tangkapan terhadap lelaki berusia 35 tahun pukul 3 petang semalam.

    “Hasil soal siasat, suspek memberitahu memukul anak bongsu teman wanitanya sehingga tidak bernyawa sebelum membuang mayat kanak-kanak itu di kawasan semak.

    “Pihak polis dipandu suspek kemudian dibawa ke tempat kanak-kanak itu dibuang pada 6.45 petang semalam, dan ibu mangsa mengesahkan identiti anaknya berdasarkan pakaian dan anak patung yang dipegang mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, ibu kanak-kanak itu berusia 34 tahun juga ditahan untuk siasatan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

    Katanya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Pihak polis akan menjalankan siasatan secara rapi dan profesional,” katanya, lapor Harian Metro.