Category: Semasa

  • KWSP, Petronas organisasi paling dipercayai rakyat Malaysia

    KWSP, Petronas organisasi paling dipercayai rakyat Malaysia

    KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menjadi organisasi dan institusi tabung amanah yang paling dipercayai rakyat Malaysia bagi tahun lalu.

    Berdasarkan kajian terbaharu oleh Firma Penyelidikan Pasaran Ipsos Sdn Bhd (Ipsos), KWSP meraih 76 mata dalam indeks kepercayaan, manakala Petronas 72 mata.

    Pengarah Bersekutunya, Lars Erik Lie berkata, tahun 2022 menyaksikan pandemik yang melanda dunia sebelum ini semakin kurang membimbangkan orang ramai.

    “Kerisauan tersebut kini beralih kepada isu inflasi, kos sara hidup dan kenaikan kadar faedah yang menyebabkan peralihan kepada fasa pasca pandemik berlangsung dalam keadaan kurang lancar daripada jangkaan dan harapan pada peringkat permulaan.

    “Bagaimanapun, di tengah-tengah ketidaktentuan ini, tahap kepercayaan penduduk Malaysia terhadap syarikat dan institusi didapati kekal teguh pada 2022.

    “Sama seperti tahun sebelumnya, tahap kepercayaan kepada syarikat dan agensi-agensi pengawal selia secara khususnya kekal utuh, menyaksikan KWSP dan Petronas menduduki dua tangga teratas sebagai entiti yang paling dipercayai di Malaysia,” katanya menerusi laporan Ipsos, hari ini lapor Sinar Harian.

    Kajian sama menunjukkan Nestle, Laluan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Petron merupakan nama-nama baharu dalam lima kedudukan teratas bagi 2022.

    Nestle dan PLUS berkongsi mata sama iaitu 71 mata, manakala 70 mata dicatatkan oleh Petron.

    Ujar Erik Lie, pemansuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan orang ramai mula keluar berjalan, sekali gus menyumbang pada peningkatan tahap interaksi antara kumpulan pengguna dan jenama-jenama seperti Plus dan Petron.

    Sementara itu, jelasnya, syarikat yang menghasilkan barang pengguna cepat laris (FMCG) mencatatkan peningkatan kepercayaan dalam tempoh setahun yang lalu walaupun barangan pengguna mengalami kenaikan harga.

    “Situasi ini menunjukkan orang ramai faham bahawa kenaikan harga barangan berlaku kerana kuasa makro yang berada di luar kawalan syarikat-syarikat tersebut,” kata beliau.

    Tambahnya, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang mewarnai liputan media pada tahun lalu juga menyumbang kepada pengiktirafan orang ramai terhadap sektor media dengan mencatatkan lonjakan kepercayaan tertinggi pada 2022.

    Kajian sama merekodkan tahap kepercayaan terhadap sektor kewangan adalah sederhana, meskipun ia mencatatkan peningkatan kecil berbanding 2021.

    “Kenaikan kadar faedah berterusan yang berlarutan sehingga ke 2023 sama sekali tidak membantu situasi ini,” ujarnya.

    Kajian kepercayaan Ipsos melibatkan 6,000 responden yang ditemu bual secara bersemuka mewakili seluruh pelusuk negara.

  • CEO disyaki dalang agih projek runding terus kerajaan PN RM92.5b direman

    CEO disyaki dalang agih projek runding terus kerajaan PN RM92.5b direman

    SEORANG ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat swasta ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menjadi “orang tengah” dalam pengagihan projek kerajaan bawah Pakej Rangsangan Ekonomi sepanjang 2020 hingga 2022.

    Suspek lelaki berusia 42 tahun itu ditahan malam tadi ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya bagi membantu siasatan.

    Menurut sumber, CEO itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini dan direman lima hari bermula hari ini hingga 10 Jan.

    Katanya, SPRM membuka beberapa kertas siasatan terhadap sekurang-kurangnya lima individu yang dipercayai menjadi dalang atau orang tengah kepada beberapa syarikat untuk memperoleh projek bernilai antara RM50 juta hingga RM500 juta secara runding terus.

    “Hampir 90 peratus projek yang diberikan secara runding terus masih belum dilaksanakan kerana tiada pengeluaran surat setuju terima lagi.

    “Justeru, SPRM akan memfokuskan kepada siasatan terhadap baki 10 peratus projek yang sedang berjalan membabitkan perkembangan projek antara 10 peratus hingga 20 peratus,” katanya.

    Pada 9 Dis lalu, SPRM berkata fokus siasatan berhubung dakwaan salah guna dana Pakej Rangsangan Ekonomi ketika Covid-19 akan tertumpu kepada RM92.5 bilion, iaitu jumlah dibelanjakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

    SPRM berkata, hanya RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan daripada peruntukan dianggarkan berjumlah RM530 bilion yang dibelanjakan pada 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan Covid-19.

    Berdasarkan jumlah itu, RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.

    Dalam pada itu, sumber berkata suspek yang ditahan dipercayai menerima rasuah bagi menghubungkan antara kontraktor dan “pihak atasan”.

    Katanya, beberapa kontraktor yang disoal siasat mengaku bersetuju membayar komisen sebanyak 3 hingga 5 peratus dan dimasukkan ke dalam akaun sebuah parti politik konon untuk tujuan pembiayaan politik.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

  • Penghantar makanan antara 2 ‘tokan’ dadah ditahan polis

    Penghantar makanan antara 2 ‘tokan’ dadah ditahan polis

    SEORANG penghantar makanan merupakan antara dua lelaki berusia 22 dan 25 tahun yang ditahan polis daerah Seberang Perai Utara (SPU), Pulau Pinang selepas disyaki menjadi ‘tokan’ dadah.

    Mereka ditahan dalam serbuan di sebuah restoran di Jalan Raja Uda, Butterworth, kelmarin yang mana polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM104,879 dalam operasi itu.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, ketika serbuan pukul 5.30 petang itu, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 22 dan 25 tahun itu dipercayai sedang menunggu pembeli untuk mendapatkan bekalan dadah yang dijual mereka.

    Ujarnya, susulan penahanan suspek, polis merampas sebanyak 88 bungkus heroin seberat 4,995 gram bernilai RM66,933; ganja seberat 1,009 gram (RM2,522) dan 984 gram syabu (RM35,424) yang disimpan di dalam sebuah kereta di belakang restoran berkenaan.

    “Kedua-dua suspek dipercayai terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah itu sejak bulan lalu dan masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.

    “Kesemua dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 34,940 penagih jika terlepas ke pasaran,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) SPU, Bukit Mertajam hari ini.

    Menurut Mohd. Radzi, dalam operasi itu, polis turut merampas sebuah kereta Toyota Vios bernilai RM90,000 yang digunakan suspek yang dipercayai kenderaan curi susulan laporan kehilangan kenderaan yang dilaporkan di Johor kira-kira tiga tahun lalu.

    Jelasnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek turut direman sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan.

    “Ketika ini, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk untuk mengesan rangkaian sindiket pengedaran dadah tersebut termasuk pembekal yang dipercayai tinggal di bahagian pulau (George Town),” katanya.

  • Tuntutan palsu: SPRM tahan kakitangan GLC bantu siasatan

    Tuntutan palsu: SPRM tahan kakitangan GLC bantu siasatan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang kakitangan di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM10,000.

    Menurut sumber, suspek wanita yang berusia 39 tahun itu ditahan pada pukul 10 pagi tadi selepas hadir memberi keterangan.

    Difahamkan, pada 2017 hingga 2019, suspek telah mengemukakan tuntutan palsu kepada GLC terbabit berkaitan pelaksanaan program di sebuah daerah di Johor, sedangkan program tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. Suspek kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM,” ujar beliau.

  • Ladang babi di Pulau Pinang dikesan ada kes ASF, lebih 1,000 babi dilupus

    Ladang babi di Pulau Pinang dikesan ada kes ASF, lebih 1,000 babi dilupus

    SEBUAH ladang babi di daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang diarahkan ditutup selepas kes Demam Babi Afrika (ASF) dikesan di ladang itu.

    Ketika ini juga, lebih 1,000 ekor babi di ladang itu telah dilupuskan dan ditanam di kawasan ladang berkenaan yang dijangka selesai akhir minggu ini.

    Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, situasi itu sedang dalam pemantauan dan diambil perhatian oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri.

    ”Keseluruhan ladang telah ditutup dan babi sedang dimusnahkan serta ditanam di lokasi itu pada masa ini.

    “Langkah ini diambil bagi membendung dan mengelakkan daripada merebak ke ladang babi lain,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Sehingga tahun lalu, terdapat 124 ladang babi di Pulau Pinang dengan 267,348 ekor babi direkodkan yang mana 64 ladang berada di daerah Seberang Perai Utara (SPU); Seberang Perai Selatan (52) dan masing-masing empat ladang di Seberang Perai Tengah dan Barat Daya.

    Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri telah menasihati penternak babi di negeri itu supaya mengambil langkah berjaga-jaga apabila wabak ASF melanda negeri lain tahun lalu.

    Malah katanya, beberapa langkah seperti menyekat pengeluaran babi rentas negeri telah diambil oleh JPV negeri sejak wabak ASF mula dikesan di negeri lain.

    ”Bagaimanapun, di sebalik semua langkah berjaga-jaga itu, kes tetap berlaku dan kita telah merekodkan satu kes ASF di SPS,” katanya.

    Pada September tahun lalu, dua ladang babi komersial di daerah Kerian, Perak dilanda wabak ASF dan langkah berjaga-jaga telah diambil bagi mengelak ia merebak ke negeri lain.

  • Piala AFF: Ketiadaan 21,000 penyokong gembirakan Thailand

    Piala AFF: Ketiadaan 21,000 penyokong gembirakan Thailand

    KEKOSONGAN 21,000 tempat duduk di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF esok angkara halangan struktur konsert selebriti antarabangsa Taiwan, Jay Chou nampaknya memberi kegembiraan pasukan Thailand.

    Perkembangan itu diakui sendiri pengendali skuad Gajah Perang, Alexandre Polking yang tampak menarik nafas lega selepas SNBJ tidak dapat beroperasi semaksimum mungkin susulan penganjuran konsert artis berkenaan pada 15 Januari ini.

    Namun ketiadaan 21,000 penyokong itu bukanlah ‘lesen’ untuk anak buahnya memandang enteng pertembungan separuh akhir pertama Piala AFF 2022 malam esok memandangkan Malaysia tetap memiliki kekuatannya yang tersendiri.

    “Segala-galanya baik di sini dan mental kita sudah bersedia sepenuhnya untuk aksi sengit ini. Saya rasa kita agak bertuah dengan penganjuran konsert yang menyebabkan 21,000 tempat terpaksa dikosongkan, jadi kami gembira dengan situasi itu.

    “Tetapi kami tahu aksi ini tetap sukar dan kita harus bersedia denga apa juga situasi yang mungkin terjadi pada perlawanan esok (malam ini). Kita akan bermain dengan kekuatan kita, cuba mendapatkan bola dan mengawal permainan,” katanya pada sidang media pra perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di ibu negara, hari ini.

    Dalam perkembangan sama, jurulatih kelahiran Brazil itu melihat skuad Harimau Malaya yang ‘berwajah baharu’ ini tetap mampu mengancam mereka apatah lagi dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman luas dalam bola sepak, Kim Pan Gon.

    “Pasukan Malaysia ada kekuatan dengan DNA mereka sebagai pejuang. Tak kisahlah siapa pun yang bermain, DNA ini tetap ada dalam setiap pemain Malaysia walaupun mereka berdepan senario sama seperti kita apabila tidak mendapat pemain terbaik.

    “Tetapi mereka tetap ada pemain yang berkualiti dan pertembungan ini sentiasa sukar sama seperti sebelum ini. Ini adalah aksi yang begitu kompetitif dan harapnya kita dapat membawa pulang keputusan yang positif bagi aksi kedua nanti,”katanya, lapor Berita Harian.

  • 4 PATI Thailand kendali bot tempatan ditahan

    4 PATI Thailand kendali bot tempatan ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan di perairan Pulau Kendi semalam kerana dikendalikan tekong dan kru warga asing yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot Maritim Malaysia memeriksa sebuah bot nelayan tempatan kelas C ketika melaksanakan rondaan Op Pertiwi
    sekitar pukul 4.30 petang.

    Ujarnya, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu ditahan di kedudukan 28.1 kilometer barat daya Pulau Kendi.

    ”Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan tekong warga Thailand dan empat kru warga Myanmar berumur antara 26 hingga 68 tahun yang kesemuanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta melanggar syarat sah lesen bot,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Abd. Razak, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

    Sehubungan itu, tambahnya, bot serta kesemua kru ditahan termasuk hasil laut anggaran150 kilogram (kg) dibawa ke Jeti Limbong Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

    Dalam pada itu ujar beliau, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan pendatang tanpa izin (PATI) untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran telah diberikan sebelum ini.

    “Sehubungan itu, Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan lebih tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di zon maritim Malaysia,” katanya.

    Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh segera menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999.

  • Indonesia kurangkan eksport minyak sawit untuk bekalan tempatan

    Indonesia kurangkan eksport minyak sawit untuk bekalan tempatan

    INDONESIA, pengeluar minyak sawit terbesar dunia akan mengurangkan eksport komoditi itu dan mengetatkan dasar yang menetapkan syarikat menyimpan lebih banyak bekalan dalam negara.

    Kerajaan mengurangkan jumlah yang boleh dieksport oleh pengeluar kepada enam kali ganda keperluan jualan domestik berbanding lapan kali ganda pada masa ini, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik kenyataan Budi Santoso, Ketua Pengarah Perdagangan Luar di Kementerian Perdagangan Indonesia.

    Perubahan itu berkuat kuasa mulai 1 Jan, katanya.

    VNA juga melaporkan Firman Hidayat, seorang pegawai di Kementerian Penyelarasan Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, berkata kerajaan Indonesia mahu memastikan bekalan domestik mencukupi semasa cuti Ramadan dan Aidilfitri pada April memandangkan pengeluaran akan merosot mengikut musim pada suku pertama.

    Pengurangan eksport minyak sawit di Indonesia sebaliknya telah menjejaskan harga di Malaysia, pengeksport kedua terbesar dunia bagi komoditi itu.

    Langkah itu mungkin mendorong Malaysia untuk menaikkan harga dan eksport. – BERNAMA 

  • Murid tujuh tahun tahan sakit sejam bibir tersepit penutup botol

    Murid tujuh tahun tahan sakit sejam bibir tersepit penutup botol

    SEORANG murid lelaki berusia tujuh tahun terpaksa menahan kesakitan selama sejam selepas bibirnya tersepit pada penutup botol.

    Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10 pagi.

    Katanya, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Keramat diketuai Komander Operasi Mohd Rusdi Ibrahim kemudiannya bergegas ke Klinik Desa Tun Hussein Onn, Jelatek.

    “Bomba berjaya mengeluarkan bibir mangsa dari penutup botol dengan menggunakan ‘mini grinder’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tambahnya, mangsa mengalami bengkak pada bibir dan dihantar ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.

  • Pakar ekonomi, mufti tepis kebimbangan penutupan pusat judi di Kedah

    Pakar ekonomi, mufti tepis kebimbangan penutupan pusat judi di Kedah

    KEPUTUSAN Kedah untuk menutup operasi premis judi di negeri itu dijangka tidak akan mendatangkan sebarang impak negatif atau menjejaskan pendapatan kerajaan negeri, kata pakar ekonomi.

    Menurut Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Putra Business School Ahmed Razman Abdul Latiff, langkah itu dipercayai hanya akan memberi impak minimum terhadap ekonomi negeri utara itu memandangkan golongan bukan Islam yang menetap di Kedah dianggarkan kurang daripada 300,000 orang.

    Selain itu katanya, daripada jumlah terbabit, mungkin kurang daripada 50,000 dikategorikan sebagai pelanggan pusat perjudian di negeri itu.

    “Hasil daripada cukai taksiran dan permit perniagaan boleh digantikan dengan perniagaan lain.

    “Oleh itu, tiada impak kepada hasil kerajaan negeri dan pelabur tidak melihat industri perjudian sebagai penting di Kedah yang mana majoriti penduduknya adalah beragama Islam,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan penutupan operasi premis judi di seluruh negeri itu bermula Januari 2023 selepas kerajaan negeri memutuskan untuk tidak memperbaharui lesen operasi.

    Langkah ini mengikut jejak daripada Kelantan dan Terengganu, manakala Perlis masih belum membuat keputusan untuk melaksanakan tindakan sama.

    Keputusan itu mengundang reaksi bercampur dalam kalangan masyarakat yang mana golongan Islam terutamanya amat menyambut baik tindakan itu.

    Bagaimanapun terdapat juga reaksi negatif daripada beberapa pihak termasuk parti DAP yang memohon supaya kerajaan negeri mempertimbangkan keputusan tersebut.

    Menurut setiausaha DAP negeri itu, Teh Swee Leong, tindakan kerajaan negeri dijangka akan memberi lebih banyak masalah kepada masyarakat kerana ia mampu menggalakkan aktiviti perjudian haram.

    Menjawab kepada ulasan ini, Sanusi dalam kenyataan terbaharunya kekal dengan pendirian untuk hentikan operasi judi dan loteri di negeri itu meskipun ia mampu meraih jutaan ringgit.

    Mengulas daripada aspek agama, Mufti Negeri Sembilan Mohd Yusof Ahmad berkata, tindakan itu adalah tepat dengan ajaran agama yang wajib dilaksanakan pemimpin Islam.

    “Ya wajib. Ini bererti pemerintah wajib berhenti menguruskan perbuatan yang ditegah dalam agama Islam,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Ditanya sama ada tindakan itu ibarat melanggar hak orang bukan Islam, beliau menjawab “Allah tidak menjadikan perkara haram sebagai hak kepada sesiapa pun”.