Category: Semasa

  • Tadika, taska kerajaan terhad, ibu bapa B40 ikat perut hantar anak sekolah swasta

    Tadika, taska kerajaan terhad, ibu bapa B40 ikat perut hantar anak sekolah swasta

    TIDAK dapat dinafikan, kekurangan prasekolah, tadika dan taska kerajaan di kawasan bandar menjadi antara punca bebanan kewangan terutama bagi golongan B40 hingga ada ibu bapa sanggup mengikat perut.

    Ini susulan kaedah ‘siapa cepat dia dapat’ diguna pakai bagi kemasukan ke institusi berkenaan yang mendapat permintaan tinggi masyarakat memaksa mereka menghantar anak masing-masing ke sekolah swasta.

    Pekerja swasta, Nadia Syazana, 34, mengakui terpaksa berebut untuk mendaftarkan anak ke tadika dan taska kerajaan susulan tempat yang terhad dan permintaan yang tinggi.

    Katanya, kekurangan tadika dan ketiadaan pusat asuhan kerajaan menyebabkan ibu bapa tiada pilihan selain mengeluarkan belanja yang banyak untuk menghantar anak ke pusat swasta.

    “Kalau nak masuk tadika dan prasekolah kerajaan, konsep dia siapa cepat dia dapat. Ikut nasib, kalau ada kosong dapat daftarkan anak, sebab dengan keadaan ekonomi tak tentu ini bukan golongan B40 sahaja nak hantar anak ke sekolah kerajaan.

    “Bab ikat perut, hidup berjimat memang tidak dinafikan sebab kita ibu bapa banyak komitmen penting yang kena hadap setiap bulan, termasuklah kos persekolahan dan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya lapor Free Malaysia Today.

    Suri rumah, Hafiza Nek Man, 37 pula berkata, disebabkan tempat yang terhad, dan pendapatan ibu bapa yang rendah, ada yang terpaksa tidak menghantar anak ke prasekolah dan tadika.

    “Di tempat saya (Damansara Damai), prasekolah hanya ada satu, tapi penduduk di sini padat. Yang ada duit lebih, bolehlah hantar anak pergi (tadika) swasta, yang tak cukup duit, tunggu masuk Tahun Satu baru pergi sekolah.

    “Di sini kawasan bandar, yuran tadika swasta bukannya murah,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

    Sementara itu, seorang lagi pekerja swasta, Muhammad Afiq, 34, berkata selain menambah jumlah prasekolah dan tadika, beliau berharap agar kerajaan turut menubuhkan pusat asuhan khas buat ibu bapa yang berpendapatan rendah dan sederhana.

    “Jika kerajaan boleh menyediakan pusat asuhan khas buat golongan berpendapatan rendah dan sederhana, sememangnya ia sangat membantu.

    “Bayangkan untuk seorang anak, yuran tadika, upah pengasuh, dan barangan sekolah dah lebih RM1,000. Saya dan isteri ada tiga orang anak,” katanya.

    Kakitangan hospital swasta, Azira Azmi, 28, berkata, beliau dan suami terpaksa membuat kerja sambilan bagi menambah pendapatan kerana kos sara hidup melebihi pendapatan tetap mereka.

    Azira berkata, beliau memperuntukkan lebih RM500 sebulan untuk kos taska seorang anaknya, harga yang paling murah boleh didapatinya.

    “Kos anak sahaja paling kurang sebulan RM530 sebulan. Kena juga berkorban buat kerja sambilan, meniaga sikit untuk tampung kos bulanan.

    “Jadi kalau kerajaan tubuh pusat asuhan dengan bayaran yang rendah pun dah syukur sangat,” katanya.

    Terdahulu, isu kekurangan prasekolah dan tadika mendapat maklum balas daripada Kementerian Pendidikan, dengan menterinya Fadhlina Sidek mengakui wujudnya keperluan menambah prasekolah dan tadika kendalian agensi kerajaan di kawasan bandar.

    Beliau berkata, buat masa ini, isu itu menjadi antara keutamaan Kementerian Pendidikan (KPM).

  • ‘Mana janji Anwar mahu siasat tiga institusi berkaitan masyarakat India?’

    ‘Mana janji Anwar mahu siasat tiga institusi berkaitan masyarakat India?’

    KETUA Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu S Subramaniam mengungkit janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan audit forensik terhadap tiga institusi berkaitan masyarakat India.

    Subramaniam berkata dia menyambut baik langkah SPRM menyiasat peruntukan pakej rangsangan ekonomi kerajaan terdahulu, namun mengingatkan janji Anwar itu ketika berkempen pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

    “Saya menyambut baik tindakan SPRM dakwaan penyelewengan RM92.5 bilion yang diperuntukkan untuk pakej rangsangan ketika pandemik Covid-19 sewaktu pentadbiran terdahulu.

    “Tapi, bagaimana dengan audit forensik yang dijanji olehnya perdana menteri terhadap beberapa institusi berkaitan masyarakat India. Anwar membangkitkan isu ini hampir dalam setiap kali berjumpa dengan masyarakat India ketika kempen PRU15.

    “Setelah menubuhkan kerajaan perpaduan tiba-tiba semuanya senyap,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Tiga institusi berkaitan masyarakat India tersebut adalah syarikat pelaburan Maika Holdings, Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

    Malaysiakini telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk ulasan.

    Anwar sebelum ini berkata masyarakat India di Malaysia berhak mengetahui perkara sebenar di sebalik dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa berkaitan institusi tersebut.

    Katanya, penyelewengan banyak telah terbukti, telah dibongkar dan perlu ada audit forensik serta Siasatan Suruhanjaya DiRaja (RCI).

    MIC menubuhkan Maika Holdings pada awal 1980-an sebagai syarikat pelaburan dengan mengumpulkan RM106 juta daripada kira-kira 55,000 pemegang saham – kebanyakannya daripada kumpulan berpendapatan rendah.

    Bagaimanapun, Maika Holdings gagal memberikan pulangan kepada pelabur – sesetengahnya ada yang membuat pinjaman dan menjual aset – selama bertahun-tahun.

    Keadaan kewangannya bertambah buruk pada tahun 1990-an apabila Maika sepatutnya membeli 10 juta saham Telekom, namun hanya sejuta unit saham mampu dibeli.

    Mitra pula pada awalnya dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (Sedic). Ia dilancarkan pada tahun 2013 oleh bekas perdana menteri Najib Razak dengan matlamat meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dalam kalangan masyarakat India.

    Sedic dibubarkan apabila BN tumbang pada PRU14 dan dijenamakan semula sebagai Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) ketika pentadbiran kerajaan PH.

    Selepas kerajaan PH tumbang dan diambil alih oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN), Mitra diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan.

    Isu dana Mitra menjadi hangat susulan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terlibat dengan penyelewengan geran peruntukannya.

    Sebanyak 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dikenal pasti menerima geran peruntukan oleh Mitra sejak 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta.

    Pendakwaan terpilih

    Sementara itu, Subramaniam juga mendakwa Anwar sebagai mengamalkan “pendakwaan terpilih” kerana menurutnya bersungguh-sungguh dengan isu-isu melibatkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) berbanding pemimpin BN.

    “Apa terjadi dengan isu kapal tempur LCS yang merupakan senjata utama PH ketika berkempen. Katanya, siasatan kini di peringkat akhir. Masih, tiada sebarang kenyataan rasmi selepas Anwar mengetuai kerajaan.

    “Nampaknya, seperti kapal tempur LCS, pemimpin PH yang sebelum ini membangkitkan isu ini menjadi ‘invisible’ selepas menubuhkan kerajaan perpaduan dengan BN,” katanya.

    Untuk rekod, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pada Ogos 2022 berkata bahawa kes kapal tempur LCS di peringkat akhir siasatan.

    Sebelum ini, pelbagai pihak mendesak SPRM supaya menyelesaikan segera siasatan berhubung kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur LCS susulan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan pada awal Ogos 2022.

    Dalam laporan yang dibentangkan itu, PAC menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan kapal berkenaan.

    Antaranya, laporan itu menyebut kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima, setakat ini.

  • Sudah nasihatkan Bung Moktar jangan huru-harakan politik Sabah

    Sudah nasihatkan Bung Moktar jangan huru-harakan politik Sabah

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob telah menasihatkan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin supaya tidak ‘mengganggu’ kerajaan Sabah sebelum ini.

    Yusof bagaimanapun berkata, cubaan merampas kuasa daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor tetap dilakukan dan menyebabkan berlakunya pergolakan politik di negeri ini.

    “Saya salah seorang yang tidak bersetuju menentang selain Datuk Ir. Shahelmey Yahya (ADUN Tanjung Keramat), Datuk Jasnih Daya, (ADUN Pantai Dalit), Datuk James Ratip (ADUN Sugut) dan Datuk Mohd. Arsad Bistari (ADUN Tempasuk).

    “Saya sudah beri nasihat kepada Bung pada 1 Januari lalu selepas balik daripada bercuti, saya katakan kepada beliau supaya jangan lakukan, berhati-hati dengan gerakan ini. Kita tidak cukup (sokongan), tetapi dia teruskan juga,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, beliau terus menasihatkan Bung pada 5 dan 6 Januari untuk tidak berbuat demikuian dan mengikut arahan Perdana Menteri supaya tidak menghuru-harakan politik di negeri itu tetapi tetap diteruskan.

    Jelasnya lagi, jika dikira daripada segi jumlah sokongan, Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal masih belum mempunyai sokongan yang kukuh untuk membentuk kerajaan.

    “Shafie pun tahu dia tidak cukup, kira matematik betul-betul. Warisan 19 ADUN dan BN ada 18 ADUN baru 37, campur parti lain tiga, baru 40, lebih satu kerusi tetap tidak stabil, jika satu lari, memang selesai (tumbang).

    “Jadi sebab itu kita tidak menyokong kerana ini akan menyusahkan rakyat dan saya tahu dari awal tidak cukup (sokongan). Ini juga tidak sejajar dengan kehendak semangat kita sehingga pilihan raya akan datang,” katanya.

    Ditanya mengenai tindakan disiplin yang mungkin akan diambil terhadapnya, Yusof berkata, sepatutnya tindakan disiplin dikenakan kepada Bung Moktar sendiri.

    “Apa lagi tindakan yang mahu diambil, paling pun pecat daripada parti saja. Terpulanglah, kerana ia mesti ada prosesnya.

    “Tindakan Bung sekarang ini mahu rampas kuasa ini dipersetujui UMNO pusat atau tidak, ini kepentingan peribadi dia. Yang sepatutnya dipecat kalau melanggar arahan pusat. Bung lah yang sepatutnya dipecat, bukan kami.

    “Jadi saya nyatakan lagi, adakah tindakan ini mendapat kelulusan daripada majlis tertinggi, adakah kelulusan daripada Presiden dan tidak akur dengan arahan jangan berpolitik.

    “Kami sebenarnya mempertahankan imej UMNO, kita sebenarnya bukan mahu berpilihan raya, berpolitik. Yang kita mahu harga barang turun, ekonomi bagus, keadaan stabil, peluang pekerjaan dan pelaburan masuk, ini harapan rakyat,” katanya.

  • Mayat remaja separuh bogel, leher dijerut, tangan diikat dalam longkang

    Mayat remaja separuh bogel, leher dijerut, tangan diikat dalam longkang

    MAYAT seorang remaja perempuan berusia 16 tahun disyaki dibunuh ditemukan dalam keadaan separuh bogel dalam longkang berhampiran sebuah ladang kelapa sawit dekat Brantian, di Tawau, Rabu lalu.

    Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu daripada pengurus ladang terbabit pada jam 2.45 petang.

    “Siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati mayat perempuan terbabit ditemukan orang awam dalam keadaan separuh bogel dengan leher dijerut serta tangan mangsa diikat.

    “Terdapat juga beberapa kecederaan pada tubuh mangsa iaitu koyakan pada bahagian kepala sebelah kiri dipercayai disebabkan objek keras selain tangan dan leher diikat menggunakan pita pelekat berwarna hitam.

    “Mayat remaja itu kemudiannya di bawa ke Hospital Tawau untuk bedah siasat dan pihak polis masih menunggu hasil laporan terbabit bagi mengetahui punca kematian termasuk sama ada mangsa dirogol atau tidak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Mengulas lanjut, Jasmin berkata susulan laporan dan maklumat yang diterima pihaknya berjaya menahan seorang suspek remaja lelaki berumur 14 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

    Katanya, hasil siasatan mendapati suspek dan mangsa adalah anak pekerja ladang warga asing dan tinggal di kawasan kejiranan yang sama.

    “Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan dan suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 5 sehingga 11 Januari.

    “Setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Bung Moktar beri bayangan kemelut politik Sabah akan selesai

    Bung Moktar beri bayangan kemelut politik Sabah akan selesai

    TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi bayangan kemelut politik dan pentadbiran di Sabah dijangka selesai dalam masa terdekat selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

    Bung Moktar yang berkongsi empat gambar pertemuan itu dalam Facebook miliknya, memberikan isyarat bahawa situasi semasa yang melanda pentadbiran di Sabah akan ada pengakhirannya.

    Berdasarkan catatan di media sosial itu, Bung Moktar memaklumkan bahawa pertemuan terbabit diadakan bagi memberi penjelasan berkenaan isu pergolakan politik di Sabah.

    “Setiap yang bermula pasti akan ada pengakhirannya…perjuangan baharu bermula dan perjalanan masih jauh dan panjang,” katanya menerusi entri terbaharu tersebut.

    Selain bertemu Presiden UMNO, beberapa pemimpin lain parti itu turut berada pada pertemuan dengan Bung Moktar yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah.

    Antara yang dilihat dalam gambar itu ialah Timbalan Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

    Kemelut politik di Sabah bermula apabila terdapat cubaan menggulingkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor melalui ‘Langkah Kinabalu’.

    ‘Langkah Kinabalu’ itu dikatakan ada kaitan dengan gerakan daripada pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN).

    Ketika ini kerajaan Sabah ditunjangi Gerakan Rakyat Sabah (GRS) bersama BN atau disebut Kerajaan GRS-BN dengan 46 kerusi, selain turut disokong Pakatan Harapan Sabah sejajar pembentukan Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan yang ditunjangi PH.

    UMNO dan BN Sabah sebelum ini menamatkan kerjasama membentuk kerajaan negeri Sabah yang dimeterai sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020.

    Ini berikutan pengumuman dibuat Pengerusi BN Sabah yang juga Ketua UMNO Sabah, Bung Moktar malam ini berhubung keputusan pihaknya untuk menarik diri daripada kerjasama itu.

  • 5 ADUN BN Sabah desak Bung Moktar letak jawatan

    5 ADUN BN Sabah desak Bung Moktar letak jawatan

    LIMA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) mendesak supaya Datuk Seri Bung Moktar Radin meletakkan jawatan beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah dengan serta-merta.

    Desakan itu dibuat menerusi satu kenyataan yang diketuai ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya bersama ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya; ADUN Sugut, Datuk James Ratib; ADUN Sindumin, Datuk Dr. Yusuf Yacob dan ADUN Tempasuk, Datuk Mohd. Arsad Bistari.

    “Kami telah dikejutkan oleh tindakan beberapa pihak tertentu khususnya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah yang telah berusaha menjatuhkan kerajaan negeri Sabah yang sah.

    “Sesungguhnya kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan dengan ini kami mendesak agar beliau meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah dengan serta-merta kerana tindakan tersebut mencemarkan nama baik parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Jelas lima ADUN berkenaan, bersama-sama rakyat Sabah mereka berpegang teguh dengan kepercayaan bahawa ini bukan masanya untuk merebut kuasa politik.

    “Sebaliknya, sudah tiba masanya untuk bersatu agar kerajaan negeri sekarang dan semua pihak dapat terus menumpukan masa, tenaga dan sumber untuk memulih dan memajukan ekonomi negeri serta meningkatkan taraf hidup rakyat,” kata kenyataan itu, lapor Sinar Harian.

    Sehubungan itu, lima ADUN berkenaan mengisytiharkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri yang sah di sisi perlembagaan.

  • Hajiji selesai bertemu Yang di-Pertua Negeri Sabah

    Hajiji selesai bertemu Yang di-Pertua Negeri Sabah

    KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor telah selesai bertemu dengan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin petang ini.

    Rombongan kereta yang dinaiki Hajiji dilihat tiba di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu pada pukul 4.22 petang dan kemudian meninggalkan bangunan istana terbabit pada pukul 5.12 petang.

    Pertemuan dalam tempoh kurang dari sejam itu dipercayai berkaitan kemelut politik yang melanda negeri itu ketika ini.

    Harian Metro melaporkan, pengamal media mula berkumpul di hadapan pintu pagar utama Istana Seri Kinabalu sejak pagi tadi.

    Sehingga kini, pengamal media masih berkumpul bagi meninjau situasi semasa di hadapan pintu pagar utama Istana Seri Kinabalu.

  • Polis tahan tiga lelaki disyaki samun, curi kereta bersenjatakan parang

    Polis tahan tiga lelaki disyaki samun, curi kereta bersenjatakan parang

    POLIS berjaya menahan tiga lelaki dipercayai terlibat kes samun bersenjatakan parang dan mencuri kereta Perodua Myvi berhampiran sebuah pangsapuri di Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Khamis lepas.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata dua daripadanya berusia 32 tahun manakala seorang lagi 39 tahun dengan kesemuanya ditahan berasingan di sebuah hotel di Bandar Sunway dan pangsapuri di Puchong, antara 6 hingga 7 pagi semalam.

    “Polis berjaya menemukan semula kereta yang dilarikan suspek di Seksyen 27, Shah Alam,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata dalam kejadian pada 2.05 pagi itu, seorang lelaki berusia 25 tahun telah didekati suspek yang menaiki dua motosikal sebelum seorang daripada mereka melarikan kenderaan mangsa.

    Ku Mashariman berkata mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan manakala kesemua suspek didapati mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, katanya.

  • Anak Beckham, Romeo sertai Brentford

    Anak Beckham, Romeo sertai Brentford

    ROMEO Beckham, anak kepada bekas kapten England, David Beckham, akan bermain untuk Brentford secara pinjaman daripada Inter Miami II sehingga akhir musim, kata kelab Liga Perdana Inggeris itu.

    Pemain sayap berusia 20 tahun itu menyertai sekutu simpanan pasukan Bola Sepak Liga Utama bapanya, Inter Miami – dahulunya dikenali Fort Lauderdale CF pada 2021 selepas berehat enam tahun dalam karier bola sepak yang bermula di Akademi Arsenal.

    Romeo menghabiskan latihan musim penutup MLS Next Pro bersama pasukan remaja Brentford sebelum berpindah.

    “Kami sangat gembira dengan Romeo sejak dia tiba bersama kami.

    “Dia datang dari Inter Miami dengan tujuan untuk bekerja dengan kami. Romeo telah mempamerkan karakter dirinya dengan sangat baik. Saya suka standardnya dan cara dia berkelakuan dalam dan luar padang.

    “Dia boleh menjadi lebih cergas sepanjang bersama kami, ia meletakkan dia di tempat yang baik untuk kini melangkah ke hadapan setelah menyertai kami secara pinjaman,” kata pengendali Brentford B, Neil MacFarlane.

    Romeo mengetuai MLS Next Pro dengan 10 bantuan gol musim lalu, membuat 20 penampilan dan menjaringkan dua gol, lapor Sinar Harian.

  • Dua hilang, seorang selamat kereta terhumban ke Sungai Rajang

    Dua hilang, seorang selamat kereta terhumban ke Sungai Rajang

    DUA individu dilaporkan hilang manakala pemandu kereta sedan selamat selepas kenderaan yang dinaiki mereka terhumban ke dalam Sungai Batang Rajang berdekatan Jeti Feri Tanjung Kunyit, kira-kira 15 kilometer dari Sibu awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima kira-kira pukul 2.03 pagi dan satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sudah diaktifkan.

    “Mangsa pertama seorang lelaki berumur 38 tahun berjaya ditemukan pada pukul 7.30 pagi dan telah dibawa ke Hospital Sibu dan keadaan mangsa stabil manakala usaha mengesan dua lagi mangsa masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak dalam kenyataan berkata, seorang daripada dua mangsa yang masih hilang dikenal pasti sebagai Philip Yiin Chung Leong, 61, sementara identiti seorang lagi mangsa belum diperoleh.

    Kenyataan itu menyebut lima anggota JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral telah digerakkan ke lokasi itu bagi menyertai operasi SAR berkenaan.

    “Pencarian dilakukan dengan menaiki sebuah bot dan dibantu empat anggota Polis Marin dalam sebuah lagi bot bagi menjalankan pencarian di permukaan air,” tambahnya.