Category: Semasa

  • Bapa tak pengaruhi saya keluar UMNO, perjuangan sudah tersasar, kata Afiq Amani Annuar

    Bapa tak pengaruhi saya keluar UMNO, perjuangan sudah tersasar, kata Afiq Amani Annuar

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO Ketereh, Afiq Amani Annuar menjelaskan tindakannya yang keluar parti itu dibuat atas kerelaannya sendiri tanpa dipengaruhi oleh pihak lain termasuk bapanya.

    Jelasnya yang juga anak kepada Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa, keputusan tersebut diambil susulan perjuangan UMNO sudah tidak selari dengan perjuangan asal.

    Katanya, susulan peletakan jawatan dan keluar dari UMNO, beliau tidak menyertai mana-mana parti termasuk Pas, sebaliknya mahu berehat daripada politik, namun akan memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

    Menurutnya, selepas beberapa bulan menjadi Ketua Pemuda UMNO Ketereh dan pada masa sama beliau melihat UMNO banyak tersasar daripada perjuangan asal.

    “Perkara yang nyata apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mempertahankan kenyataan Lim Guan Eng yang jelas berbaur perkauman.

    “Selain itu, UMNO dilihat mengenepikan rakan-rakan dalam parti sebaliknya menjulang rakan baru seperti DAP,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu hari ini.

    Terdahulu Warta Rakyat melaporkan, beliau dan 17 kepimpinan bahagian tersebut mengumumkan meletak jawatan masing-masing dan keluar parti UMNO sekali gus menyatakan sokongan terhadap PN.

    Dalam sidang akhbar tersebut, Annuar turut mengumumkan jawatankuasa UMNO Cabang Tiga Haji Musa terbubar selepas 20 kepimpinannya mengumumkan peletakan jawatan, hari ini.

    Ini termasuk Afiq Amani yang juga Ketua Pemuda Cabang berkenaan dan pengerusi tetap serta timbalan pengerusi tetap.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, atas beberapa faktor berkenaan menyebabkan beliau tidak mempunyai semangat untuk terus berada dalam UMNO.

    “Saya sudah dewasa dan tidak dipaksa oleh sesiapa atas tindakan yang dibuat hari ini termasuk bapa. Jika benar saya mahu mengikut perjuangan bapa, saya sudah keluar parti dari awal,” katanya, lapor Harian Metro.

  • UMNO Ketereh lumpuh, 18 pemimpin bahagian keluar parti, umum sokong PN

    UMNO Ketereh lumpuh, 18 pemimpin bahagian keluar parti, umum sokong PN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    UMNO Ketereh disifatkan ‘lumpuh’ selepas 18 pemimpin utama bahagian tersebut mengumumkan peletakan jawatan masing-masing dan beramai-ramai keluar daripada UMNO berkuat kuasa hari ini.

    Semua mereka memberi sokongan kepada Pas dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan yang akan berlangsung 12 Ogos ini.

    Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata, kepimpinan itu terdiri daripada Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Ketereh iaitu Kamaruddin Said bersama Ketua Wanita UMNO Bahagian Ketereh, Sabariah Hamzah dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh, Afiq Amani Annuar.

    “Selain itu, 18 kepimpinan melibatkan setiausaha, ahli jawatan kuasa (AJK) Wanita, ketua penerangan, AJK Pemuda dan pelbagai peringkat UMNO Bahagian Ketereh turut berbuat tindakan sama hari ini.

    “Selain itu, 20 AJK Jawatan Kuasa UMNO Cawangan Cabang Tiga Haji Musa di Kota Bharu termasuk Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap secara beramai-ramai meletakan jawatan serta-merta.

    “Keadaan itu juga menjadikan bahawa Jawatan Kuasa UMNO Cawangan Cabang Tiga Haji Musa dibubarkan,” katanya dalam sidang akhbar dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Tan Sri Abdul Hadi Awang di Seri Puri, Bukit Marak di Kota Bharu hari ini.

    Hadi Awang, Annuar bersama tokoh, pemimpin dan ahli UMNO yang mengumumkan keluar UMNO dan menyatakan sokongan terhadap PN selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Tan Sri Abdul Hadi Awang di Seri Puri, Bukit Marak di Ktota Bharu hari ini.

    Annuar memberitahu, beliau tidak dapat memberikan jumlah sebenar ahli UMNO Bahagian Ketereh yang keluar daripada parti tersebut.

    “Jumlah itu tidak boleh dihitung. Semua yang keluar ini terdiri daripada pemimpin UMNO Ketereh. Kemungkinan anak, isteri, sahabat dan menantu mengikut jejak langkah mereka selepas ini.

    “Saya tidak boleh menyatakan angka. Jika kata 1,000 orang, itu sedikit. Mungkin puluh-puluh ribu yang menyertai mereka. Apa pun tunggu kiraan peti undi pada selepas mengundi nanti,” katanya.

  • Annuar Musa umum lebih 100 tokoh, pemimpin, ahli tinggalkan UMNO sokong PN

    Annuar Musa umum lebih 100 tokoh, pemimpin, ahli tinggalkan UMNO sokong PN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TAN Sri Annuar Musa hari ini mengumumkan lebih 100 ahli UMNO daripada pelbagai peringkat kepimpinan bahagian serta cawangan secara sukarela telah meletak jawatan dalam parti itu dan menyokong Perikatan Nasional (PN).

    Menurut Pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu, mereka terdiri daripada bekas pemimpin di peringkat bahagian dan sayap parti selain bekas calon pilihan raya serta mereka yang pernah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.

    “Pada 1 Ogos lalu dalam ceramah saya di Kok Lanas, saya telah menyebut bahawa akan mengumumkan beberapa kepimpinan UMNO Bahagian serta cawangan yang akan meletak jawatan.

    “Hari ini iaitu pada 4 Ogos saya ingin memaklumkan bersama-sama saya melebihi 100 ahli UMNO daripada pelbagai peringkat kepimpinan bahagian serta cawangan secara sukarela telah meletak jawatan dalam UMNO.

    “Turut bersama saya juga beberapa orang bekas penjawat awam serta tokoh-tokoh tempatan di antaranya mantan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Sirajuddin Salleh.

    “Semua tokoh tersebut menyatakan sepenuhnya sokongan mereka kepada PN dan akan membantu memperkasakan lagi PN bagi memenangi pilihan raya negeri (PRN) yang diadakan pada 12 Ogos nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mereka semuanya mengumumkan keluar UMNO dan menyatakan sokongan kepada PN dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Tan Sri Abdul Hadi Awang di Seri Puri, Bukit Marak di Kota Bharu hari ini.

    Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, dianggarkan lebih ramai lagi yang akan berhijrah ke PN dan meninggalkan UMNO selepas PRN kelak.

    “Saya bersama sahabat-sahabat semua komited untuk meneruskan agenda Muafakat Nasional dalam memperkasakan penyatuan ummah dan keharmonian negara berlandaskan perlembagaan persekutuan yang sedia ada dan membangun bersama masyarakat majmuk di seluruh negara,” katanya.

  • ‘Jangan pelik saya minum kopi dengan calon parti lawan’

    ‘Jangan pelik saya minum kopi dengan calon parti lawan’

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Demit, Asri Daud memilih pendekatan damai dan harmoni sepanjang tempoh berkempen termasuk berkunjung ke rumah pemimpin parti lawan.

    Asri yakin melalui sentuhan dan tautan damai akan menjayakan visinya untuk membentuk masyarakat bersatu-padu.

    “Konsep saya sendiri adalah turun ke semua rumah-rumah penduduk, termasuklah mereka penyokong parti-parti yang lain seperti PKR, UMNO dan Amanah, saya turun semua.

    “Ke rumah calon (lawan), wakil calon, dan bekas calon parti lawan dan mereka memberi respon yang baik.

    “Mereka sendiri sebut kita berlawan ini dalam liga persahabatan, maknanya saya faham situasi itu dan mereka faham kerana wadah parti yang meletakkan kita bertanding,” katanya dalam sidang media harian calon-calon PN Kelantan, di Kota Bharu, semalam.

    Beliau berkata, semua itu kerana semua calon berkongsi visi sama dengannya untuk membina masyarakat di situ walaupun berbeza parti.

    “Jadi jangan peliklah saya boleh minum di kopi bersama orang UMNO dan PKR misalnya,” kata bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan itu.

    Beliau dicalonkan mewakili Pas bagi menggantikan penyandangnya Mumtaz Md Nawi yang kini merupakan anggota parlimen Tumpat.

    Asri akan berdepan dengan calon mewakili PH-BN yang mempertaruhkan bekas Pegawai Daerah, Ismail Ghani daripada Parti Amanah Negara (Amanah).

    Sementara itu, Asri juga berkesempatan turun berkempen dengan menziarahi rumah bekas calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 dan PRU ke-14 di kerusi berkenaan.

    Beliau bersyukur kerana kehadiran ke rumah De Wan Ahmad Kamil iaitu bekas calon PH DUN Demit dan Wan Mohd. Nazi Wan Hamat (bekas calon BN DUN Demit) diterima baik walaupun mereka daripada parti berbeza.

    “Saya juga pergi ke rumah bekas calon yang bertanding sebelum ini dan mereka berterima kasih dan gembira kerana saya calon pertama hadir ke rumahnya.

    “Jadi maksudnya Alhamdulillah sentuhan begitu dirasakan menjadi satu tautan. Itulah hasrat saya untuk bertemu sesiapa saja dalam menjayakan visi ini,” jelasnya, lapor Malaysiakini.

  • PH eksploitasi insiden Lau ‘dihalau’ Pas, kata Zuraida

    PH eksploitasi insiden Lau ‘dihalau’ Pas, kata Zuraida

    BEKAS Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) menuduh Pakatan Harapan (PH) mengeksploitasi insiden antara Pas Pulau Pinang dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Datuk Dr. Dominic Lau untuk kepentingan mereka.

    Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, insiden itu yang menyaksikan Lau dihalang daripada masuk ke ceramah Pas, bukan seperti digambarkan di media.

    “Saya berada di ceramah itu dan saya rasa terdapat salah faham. PH mentafsirkan isu itu demi kepentingan mereka,” katanya pada sidang media,” lapor FMT hari ini.

    Sebelum ini, tular video yang mendakwa Lau ‘dihalau’ dan diminta meninggalkan ceramah mega PN Best dianjurkan Pas di Sungai Dua, Selasa lalu.

    Lau kemudian menafikan dihalau dan berkata, beliau ke majlis berkenaan untuk bertemu Tan Sri Abdul Hadi Awang tetapi Presiden Pas itu lewat dan beliau perlu segera beredar kerana ada majlis lain perlu dihadiri.

    Bagaimanapun, hari ini Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memohon maaf kepada Lau dan menegaskan pucuk pimpinan tidak merestui perbuatan ahli parti itu.

    Mengulas mengenai laporan akan menyertai Gerakan, Zuraida berkata, beliau mahu memainkan peranan strategik dalam pilihan raya kali ini.

    “Dua lagi parti dalam PN (Pas dan Bersatu) didominasi Melayu, jadi saya tak fikir mereka perlukan seorang lagi pemimpin Melayu seperti saya.

    “Saya bukan ahli Gerakan tetapi saya adalah aktivis PN,” katanya.

  • Tengku Hassanal: Tiada siapa kebal dari tindakan undang-undang

    Tengku Hassanal: Tiada siapa kebal dari tindakan undang-undang

    PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah memberi amaran semua pihak yang didapati melanggar undang-undang, terutamanya membabitkan kesalahan alam sekitar di negeri ini akan berdepan tindakan tegas.

    Titah baginda, ini termasuklah kerabat diraja Pahang sendiri dan ahli politik.

    Tengku Hassanal memohon agensi penguatkuasaan bertindak tegas dalam usaha memastikan alam sekitar, flora dan fauna di Pahang sentiasa terjaga.

    “Jalankan penguatkuasaan dengan bersungguh-sungguh, saya ada bersama tuan-tuan dan puan-puan semua, jangan risau.

    “Jangan ambil rasuah dan jaga integriti, jika ada yang ‘jual nama’, sembahkan (maklumkan) kepada saya.

    “Tiada yang kebal daripada undang-undang, yang salah tetap salah, tidak kira kerabat, orang politik mahu pun rakyat jelata,” titahnya.

    Tengku Hassanal bertitah demikian ketika berucap pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang Bersempena Memuliakan Hari Keputeraan Sultan Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan, hari ini.

    Baginda turut memberi peringatan kepada kerabat diraja Pahang bahawa semua projek yang ingin dijalankan dengan kerjasama kerabat diraja negeri lain di negeri ini perlu mendapat perkenan daripadanya terlebih dahulu.

    Titahnya lagi, projek pembangunan kerajaan Persekutuan yang ingin dilaksanakan di negeri ini juga perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan Pahang.

    “Begitu juga kepada semua ahli politik, projek pembangunan perlu disembah maklum dan mohon perkenan daripada saya selepas berbincang dengan Menteri Besar Pahang,” jelas baginda.

    Dalam pada itu, Tengku Hassanal mahu semua laporan impak alam sekitar (EIA) yang dilakukan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum sebarang projek dijalankan di Pahang, hendaklah dikemukakan kepadanya.

    Tengku Hassanal bertitah, hasil laporan EIA berkenaan akan dipersembahkan untuk perhatian ayahandanya Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum sebarang keputusan dibuat.

    “Sebagai pewaris takhta negeri Pahang, saya tidak berhasrat untuk campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan, namun saya mahu menjadi ‘stake holder’ yang penting, menjadi ‘check and balance’ kepada pembangunan yang akan dilaksanakan.

    “Saya mahu prosedur ini terus dilaksanakan walaupun ketika saya menjadi Tengku Mahkota Pahang semula, agar semua pembangunan dirancang akan memberikan manfaat terbaik kepada rakyat dan alam sekitar kekal lestari,” titah baginda lagi, lapor FMT.

  • Tinggalkan UMNO selepas 20 tahun kerana terlalu banyak kepincangan

    Tinggalkan UMNO selepas 20 tahun kerana terlalu banyak kepincangan

    BEKAS Naib Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena, Haris Che Mat menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) selepas hampir 20 tahun berjuang bersama parti itu.

    Beliau yang memegang jawatan itu dari 2013 hingga 2018 mengubah haluan politiknya selepas kecewa dengan kepincangan yang didakwa berlaku dalam parti itu.

    “Sikap pemimpin parti yang tidak boleh ditegur selain enggan mendengar pandangan ahli parti antara sebab beliau meninggalkan parti keramat itu.

    “Saya bersama UMNO selama 20 tahun bermula 2004 hingga hari penamaan calon (29 Julai), sebelum buat keputusan berhijrah dan menyatakan sokongan kepada PN.

    “Sepanjang tempoh itu, banyak kepincangan saya lihat, apabila ditegur atau kritik, suara kami tidak didengari.

    “Saya menegur parti bukan bermaksud tidak menyokong tetapi mahukan satu perubahan,” katanya di Alor Setar, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Haris sebelum ini memikul pelbagai jawatan antaranya Setiausaha Kerja UMNO, Naib Ketua Pemuda UMNO negeri dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena (2004 hingga 2013).

    Jelasnya, disebabkan mahu memperbetulkan parti itu sebelum ini, beliau menawarkan diri bertanding Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena dalam pemilihan parti 2018 untuk membawa perubahan namun tewas.

    “Saya mahu perbetulkan kesilapan UMNO di peringkat bahagian sebab selepas Barisan Nasional (BN) tewas pilihan raya, pemimpin UMNO tak perbetulkan kesilapan lalu.

    “Mereka hanya perbetulkan diri sendiri untuk dapatkan tempat menjadi ketua bahagian atau calon berbanding usaha bantu rakyat.

    “Apabila saya tegur, dimarahi. Apabila diam, mereka kata tidak aktif, sedangkan mahu bawa perubahan pun disekat,” ujarnya.

    Haris yang juga bekas pegawai khas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (2013-2016) berkata, antara kepincangan parti termasuk data keahlian dan pemilihan calon yang disifatkan tidak telus.

    “Daftar keahlian cawangan masih tidak dikemas kini, ada yang sudah bersama Bersatu atau meninggal dunia.

    Perkara paling mudah pun tidak dilakukan, data keahlian senarai lama.

    “BN masih mencalonkan Datuk Said Ali Syed Rastan di DUN Bukit Lada yang dianggap tidak lagi relevan kini.”

    Walaupun beliau Ketua UMNO Bahagian (Pokok Sena) dibimbangi keakraban beliau dengan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi faktor dipilih sebagai calon sedangkan bukan calon boleh menang, jelasnya.

    Haris mendakwa, pemilihan nama calon untuk diangkat kepada peringkat negeri juga meragukan.

    “Di Parlimen Pokok Sena terdapat tiga DUN (Bukit Lada, Bukit Pinang, Derga). Ahli jawatankuasa (AJK) DUN Bukit Pinang boleh undi untuk Bukit Lada, ini tak betul.

    “Sepatutnya di Bukit Lada biarlah AJK situ menentukan pemilihan calon.

    “Proses pilih tiga nama untuk dibawa ke peringkat negeri seterusnya ke pusat agak pelik, yang nak bertanding di DUN Bukit Lada, tak adil lah tanya AJK Derga atau Bukit Pinang yang tak terlibat dengan masyarakat DUN itu, pemilihan calon pun pincang,” dakwanya.

    Dalam pada itu, Haris memaklumkan sehingga kini masih menjadi ahli UMNO kerana tidak mengumumkan keluar parti.

    “Setakat ini saya belum sertai mana-mana parti dalam PN, saya beri sokongan dulu. Keahlian masih UMNO namun saya bersedia dengan tindakan parti yang pastinya akan pecat saya.

    “Sehingga hari ini, belum terima surat pemecatan. Saya sudah sepentas dengan pemimpin PN, perbuatan itu jelas salah dari sudut perlembagaan parti.

    “Ceramah pertama saya bersama calon PN Bukit Lada, Salim Mahmood di Kampung Jabi dan Kampung Aman 31 Julai lalu,” katanya.

    Haris yang juga AJK UMNO Bahagian Pokok Sena dalam pemilihan baru-baru ini tegaskan, akan terus berkempen untuk PN seperti dilakukan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim dan Tan Sri Noh Omar, yang dipecat parti.

    “Saya harap rakyat dapat melihat kepincangan dalam UMNO sehingga saya tidak lagi mampu untuk menegur dan bertahan, saya tak mahu lagi bersikap kepura-puraan untuk bersama parti.

    “Saya ajak semua rakyat terus memberikan kepercayaan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan PN untuk memerintah semula negeri ini,” kata pegawai perhubungan pendidikan negeri, Yayasan Pelajaran Mara ini.

  • Tun Mahathir dibenar keluar IJN

    Tun Mahathir dibenar keluar IJN

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) selepas empat hari menjalani pemeriksaan kesihatan, kata sumber kepada AFP.

    Mahathir, 98, dimasukan ke IJN pada Selasa untuk pemeriksaan biasa, kata seorang pembantu bekas perdana menteri itu yang enggan dikenali.

    “Ya, Mahathir sudah dibenarkan keluar dari hospital,” katanya tanpa mengulas lanjut, lapor FMT.

    Semalam, seorang lagi pembantu Mahathir berkata beliau dimasukkan ke hospital dipercayai akibat mengalami jangkitan.

    Mahathir, 98, sebelum ini pernah dimasukkan ke IJN selama 16 hari pada Januari tahun lalu selepas menjalani prosedur perubatan elektif.

  • Empat 4 ahli DAP dipecat bertanding lawan calon parti

    Empat 4 ahli DAP dipecat bertanding lawan calon parti

    DAP memecat empat anggotanya yang bertanding melawan calon daripada parti itu dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Ngeh Koo Ham berkata, mereka termasuk tiga anggota yang telah mengumumkan keluar parti selepas mereka tidak termasuk dalam senarai calon DAP.

    “Jawatankuasa disiplin memang memegang pendirian mana-mana anggota yang menjadi calon menentang calon yang diputuskan parti dalam mana-mana pilihan raya (DUN atau Parlimen) akan dipecat secara automatik,” kata Ngeh dalam kenyataan hari ini.

    Mereka yang dipecat adalah Satees Muniandy, P. David Marshel, Chng Boon Lai dan B. Gunalan.

    Satees adalah penyandang DUN Bagan Dalam dan keluar DAP pada 28 Julai lalu. Beliau juga berkata akan bertanding sebagai calon Bebas dan akan bertembung dengan calon DAP, Kumaran Krishan.

    Marshel pula adalah bekas ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai. Beliau juga keluar DAP pada 28 Julai lalu dan berkata akan bertanding sebagai calon bebas di Perai, kerusi DUN yang disandang P. Ramasamy yang digugurkan dalam PRN ini.

    Chng pula keluar parti sehari lebih awal, iaitu pada 27 Julai, dan akan bertanding sebagai calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) di DUN Kuala Kubu Bharu di Selangor.

    Sementara itu, Gunalan bertanding sebagai calon PN di DUN Pandamaran, juga di Selangor.

    Ngeh turut memberi amaran kepada anggota DAP agar tidak membantu mereka dalam kempen PRN dan akan dikenakan tindakan disiplin jika mengingkarinya.

    “Anggota parti turut diingatkan tindakan disiplin akan diambil terhadap mereka yang bertindak bertentangan dengan kepentingan parti,” katanya, lapor FMT.

  • Tak mustahil akan ada PM dari DAP, kata Noh

    Tak mustahil akan ada PM dari DAP, kata Noh

    BEKAS Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar meramalkan bahawa Putrajaya akan melakukan persempadanan semula kerusi pilihan raya bagi memihak kepada DAP.

    Noh berkata, ini akan memberi DAP peluang menang yang lebih besar dan seterusnya memiliki lebih ramai ahli Parlimen dan akhirnya membuka peluang kepada parti itu untuk menuntut jawatan perdana menteri.

    “Sebab hari ini saya tahu mereka tak puas hati, Mengapa? Tanjung Karang, Sabak Bernam, Sungai Besar pengundinya hanya sekitar 60,000 (setiap satu). Ada tiga Parlimen, campur tiga baru dapat 180,000 pengundi, Tapi ada Parlimennya tiga orang.

    “Dalam bandar, di Bangi, pengundinya 300,000 orang, wakil rakyatnya seorang. Di Damansara, dekat 300,000 wakil rakyatnya seorang. Faham tak maksudnya? Pecah kawasan, dia akan buat dasar minimum 100,000.

    “Kalau ini dasar dia buat, bermakna Parlimen Sungai Besar dengan Parlimen Sabak Bernam satu Parlimen saja, Parlimen Tanjung Karang juga saya ramal akan hilang dan akan dimasukkan ke Parlimen Kuala Selangor,” katanya berucap di Kampung Sungai Yu di Tanjung Karang malam tadi.

    Noh berkata ramalannya akan menyaksikan kawasan bandar besar akan berpecah, manakala kawasan luar bandar yang lebih kecil seperti Sungai Besar dan Sabak Bernam akan digabungkan.

    Ini, kata Noh, akan mengurangkan bilangan kawasan atau kerusi majoriti pengundi Melayu.

    Jelasnya, Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan perdana menteri mestilah seorang Melayu dan dengan kerusi yang mencukupi, berkemungkinan pemimpin DAP akan menjadi perdana menteri suatu hari nanti.

    Noh juga menyoal kepada hadirin siapa yang mereka fikir akan menang di kerusi yang bakal diwujudkan daripada persempadanan semula kawasan pilihan raya seperti di Damansara, Bukit Bintang dan Seputeh, dan orang ramai menjawab: “DAP”.

    Noh berkata, apa yang diluahkannya itu bukan berunsur perkauman sebaliknya berdasarkan sejarah.

    Beliau mendakwa Kuala Lumpur telah dijual kepada kerajaan Persekutuan pada 1974 oleh Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Harun Taib bagi mengelakkan Selangor ‘dikuasai’ oleh DAP.

    “Itu yang berlaku 13 Mei dulu, sebab dia dah tahu, Datuk Harun dah tahu dah kalau Kuala Lumpur dalam Selangor lagi, jawabnya sampai bila pun DUN Selangor kita takkan menang.

    “Datuk Harun (buat) korban (pengorbanan), okay, keluarkan Kuala Lumpur dengan harapan bahawa dominan parti yang akan memerintah di Selangor ini ialah daripada orang Melayu. Tapi hari ni tuan-tuan, tak tahulah, apa yang dibuat macam dah tak jadi kenyataan. Dan DAP pula yang menjadi kerajaan dalam negeri kita,” katanya.

    Noh mendakwa atas sebab yang sama, Singapura diusir daripada Malaysia.

    Dia juga memberi amaran sekiranya DAP berkuasa, Singapura akan diterima masuk semula ke Malaysia.

    “Saya tak cakap. Tunku Abdul Rahman yang cakap (pada) 1968.

    “(Jadi) inilah anak-anak muda, tolonglah, tolong, kalau kita tak bersatu, kalau kita tak kuatkan perpaduan umat, saya bimbang.

    “Tak payah halau, kita sendiri akan keluar dan lari dari negeri kita,” katanya lagi, lapor Malaysiakini.