Category: Semasa

  • 2 ADUN PH, seorang BN antara angkat sumpah anggotai kerajaan Hajiji

    2 ADUN PH, seorang BN antara angkat sumpah anggotai kerajaan Hajiji

    DUA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH), Christina Liew dan Phoong Jin Zhe mengangkat sumpah jawatan jemaah menteri kerajaan Sabah, hari ini.

    Menurut Bernama, selain itu, turut mengangkat sumpah ADUN Barisan Nasional (BN) James Ratib.

    Tiga ADUN itu antara yang mengangkat sumpah jawatan dalam rombakan jemaah menteri diketuai Ketua Menteri Hajiji Noor, di Istana Negeri, Kota Kinabalu.

    Christina dilantik sebagai menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar, manakala Phoong dilantik menteri pembangunan perindustrian.

    James pula dilantik menteri pembangunan masyarakat dan kesejahteraan rakyat.

    Pada 5 Jan, tujuh ADUN PH Sabah menyatakan sokongan kepada Hajiji susulan ada usaha menumbangkan kerajaan negeri.

    Selain Christina (Api-Api) dan Phoong (Luyang), lima ADUN lain adalah Fung Ming Poon (Tanjung Papat), Ewon Benedick (Kadamaian), Jannie Lasimbang (Kepayan), Tan Lee Fatt (Likas) dan Peto Galim (Inanam).

    Pada 8 Jan, lima ADUN BN dari UMNO menandatangani akuan bersumpah menyokong Hajiji kekal sebagai ketua menteri.

    Perkara itu disahkan ADUN Tanjung Keramat, Shahelmey Yahya.

    Dalam rombakan jemaah menteri itu, Shahelmey dilantik sebagai timbalan ketua menteri menggantikan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

  • Bung antara 3 ADUN BN digugurkan, Shahelmey jadi Timbalan Ketua Menteri Sabah

    Bung antara 3 ADUN BN digugurkan, Shahelmey jadi Timbalan Ketua Menteri Sabah

    KETUA UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin digugurkan daripada jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah selepas rombakan Kabinet kerajaan negeri dilakukan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.

    Bung Moktar sebelum ini merupakan antara tiga Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Sabah.

    Ahli Parlimen Kinabatangan itu digantikan oleh Shahelmey Yahya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Tanjung Keramat, yang akan menyandang dua portfolio itu.

    Dua lagi ADUN BN yang sebelum ini memegang jawatan menteri turut digugurkan iaitu ADUN Sukau, Jafry Ariffin dan ADUN Karambunai, Yakub Khan.

    Jafry sebelum ini memegang jawatan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar manakala Yakub sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

    Shahelmey Yahya yang juga Ahli Parlimen Putatan antara lima ADUN UMNO yang mengekalkan sokongan mereka kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri selepas Bung mengumumkan parti itu menarik balik sokongan terhadap Hajiji.

    Dalam kenyataan hari ini, Hajiji berkata rombakan kabinet adalah sesuatu yang perlu dan bertujuan mengukuhkan kerajaan negeri sekarang.

    “Menyedari keperluan untuk membentuk satu pentadbiran inklusif, saya telah memasukkan ADUN dari Pakatan Harapan ke dalam Jemaah Menteri, sebagai tambahan di samping wakil dari BN dan GRS.

    “Adalah penting bagi kerajaan negeri di bawah pimpinan saya dapat berfungsi sebagai satu pasukan yang bersatu padu, dengan berkongsi aspirasi yang sama yang dibina atas kepercayaan dan saling menghormati,” katanya, lapor Free Malaysia Today (FMT).

  • Kerajaan perlu timbang tutup pintu sempadan negara: Pakar

    Kerajaan perlu timbang tutup pintu sempadan negara: Pakar

    PENULARAN pantas beberapa subvarian baharu COVID-19 yang dikesan di beberapa buah negara sudah tentu membangkitkan kebimbangan masyarakat negara ini terutama dengan jangkaan kehadiran pelancong dari China dalam jumlah besar ke Malaysia berikutan pembukaan sempadan negara itu sejak 8 Januari lepas.

    Negara tanah besar China itu berhadapan gelombang besar COVID-19 akibat varian BA.5.2 dan varian BF.7 merangkumi lebih kurang 80 peratus daripada varian yang menular di negara berkenaan pada masa ini.

    Laporan terkini menyebut di Henan (wilayah ketiga paling padat di China) sahaja, hampir 90 peratus penduduknya iaitu sekitar 88.5 juta daripada jumlah penduduk seramai 99.4 juta, dijangkiti COVID-19.

    Di samping itu, Amerika Syarikat dan Eropah kini bergelut dengan lonjakan kes COVID-19 akibat penularan subvarian Omicron, XBB.1.5 yang dikenali dengan nama ‘Kraken’ yang berpotensi mencetuskan gelombang besar COVID-19.

    Susulan kepada situasi berkenaan, banyak pihak mendesak kerajaan Malaysia mengambil langkah  wajar yang lebih serius bagi memastikan kesemua pelancong  patuh dengan Standard Prosedur Operasi (SOP) dan arahan ditetapkan bagi memastikan virus pembawa penyakit berjangkit COVID-19 itu dapat dikekang penularannya.

     TUTUP PINTU SEMPADAN?

    Mengulas mengenai isu ini, pakar kesihatan awam Dr Hanafiah Bashirun berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan penutupan semula pintu sempadan negara kerana ia adalah langkah terbaik yang boleh dilaksanakan ketika ini bagi membendung subvarian baharu yang sedang menular pantas.

    Beliau berpandangan, cadangan kerajaan memperketatkan saringan COVID-19 di pintu masuk sempadan negara tidak dijamin selamat dan negara perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku sehingga memaksa kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Untuk rekod, kes pertama COVID-19 (sebelum ini dikenali sebagai 2019-nCOV) dilaporkan di negara ini pada 25 Januari 2020, melibatkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari.

    “Melakukan saringan COVID-19 ke atas pelancong luar adalah langkah kawalan sedia ada dan ia telah pun dibuat sebelum ini dan  saya berpandangan ia perlu ada penambahbaikan.

    “Menteri Kesihatan juga perlu uar-uarkan kepada orang awam apa solusi terbaik yang akan dilakukan Kementerian Kesihatan  bagi mengelakkan pelancong yang positif virus COVID-19 lolos masuk ke negara ini,’’ katanya kepada Bernama.

    Menurut Dr Hanafiah lagi, kerajaan seharusnya merangka mekanisme terbaik menangani penularan  COVID-19 bagi menjamin keselamatan  rakyat selain memastikan tidak berlakunya lonjakan kes sehingga mengakibatkan sekatan pergerakan sepertimana sebelum ini.

    “Setakat ini, saya tidak nampak sebarang inisiatif terbaharu yang akan dibuat Kerajaan Perpaduan sekiranya kes naik mendadak susulan kewujudan pelbagai varian baharu COVID-19 di beberapa negara luar termasuk China.

    “Pastinya rakyat tertunggu-tunggu apakah jaminan ditawarkan kerajaan sekiranya jumlah kes naik mendadak  berpunca daripada kes import memandangkan mereka bimbang sekiranya terpaksa berdepan lagi dengan PKP, ” katanya.

    Pada Rabu lepas (4 Januari),  jemaah menteri memutuskan untuk tidak menguatkuasakan sekatan pelancong asing dari negara tertentu di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) negara dan susulan itu kerajaan akan memperketatkan kawalan sedia ada  di pusat Imigresen.

    Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Isnin (9 Januari) berkata, SOP kemasukan pelancong asing di semua pintu masuk antarabangsa adalah kekal dan sebarang  keputusan mengenai SOP baharu hanya akan dibuat berdasarkan data terkini COVID-19.

    Sementara itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya tidak menjangkakan berlaku lonjakan kes baharu COVID-19 semasa musim perayaan ini.

    Menurut beliau, berdasarkan pengalaman setelah sempadan negara dibuka semula pada 1 April 2022 iaitu pelbagai perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha dan Krismas telah dilalui serta rakyat Malaysia kembali dari tanah suci, malah ketika Pilihan Raya Umum ke-15, tidak berlaku lonjakan kes.

    “Pengalaman kita pada 1 April lepas, pada permulaan kita tidak yakin kes dapat dikawal dengan baik tapi ternyata tempoh masa lebih lapan bulan telah menunjukkan kes dapat dikawal dengan baik walaupun dah buka semua sempadan, semua sektor dan membenarkan semua perayaan dan perhimpunan,” katanya dalam Sesi Libat Urus Menteri Kesihatan Bersama Media di Kuala Lumpur semalam (10 Januari).

    Beliau menambah, kes baharu COVID-19 dalam negara menunjukkan trend penurunan iaitu kurang 500 kes baharu dicatatkan setiap hari dalam tempoh dua minggu lepas, berbanding antara 3,000 ke 4,000 kes beberapa bulan sebelum ini.

    Beliau berkata vaksin yang digunakan juga dilihat masih mampu memberi perlindungan daripada jangkitan COVID-19.

    RUJUK PENGALAMAN TERDAHULU

     Bagi pensyarah Pusat Sains Liberal Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof, beliau berpandangan, walaupun tiada langkah drastik diambil buat masa ini berikutan jangkitan kes masih lagi terkawal, namun Kerajaan Perpaduan masih melihat virus COVID-19 sebagai ancaman kesihatan.

    Pengalaman kerajaan terdahulu menangani COVID-19 pastinya  akan digunakan sebaik mungkin  kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memutuskan tindakan sesuai membendung wabak berkenaan. 

    “Malaysia setakat ini menunjukkan trend jangkitan yang masih rendah sekitar 300 ke 500 kes harian berbanding tahun lepas (2022). Kes harian baharu COVID-19 negara pernah merekodkan kes harian melebihi 33,000.

    “Kritikaliti kerajaan waktu ini tidak sama ketika kes harian mencecah puluhan ribu kes. Sekiranya ada pihak melihat kerajaan baharu tidak komited atau tidak serius menangani COVID-19 adalah tidak  tepat kerana langkah agresif  akan diambil kerajaan berdasarkan indikator tertentu yang digunakapakai sebelum ini apabila kes menunjukkan semakin serius,’’ katanya.

    Namun begitu katanya, memutuskan pelaksanaan PKP bukan satu jalan penyelesaian muktamad, sebaliknya langkah pencegahan awal adalah solusi tepat bagi mengekang jangkitan virus berkenaan.

    Menurut Muhammad Izmer, langkah pencegahan itu termasuk kembali mengamalkan SOP seperti pemakaian pelitup muka, basuh tangan secara kerap serta pengambilan vaksin dan dos penggalak COVID-19.

    ‘’Kerajaan juga perlu kerap memberikan maklumat berhubung situasi terkini COVID-19 selain sentiasa memberikan peringatan kepada rakyat untuk menjaga kesihatan kendiri.

    ‘’Vaksinasi juga penting meskipun masih ada kes jangkitan tetapi  kematian akibat virus itu bukan lagi isu utama kerana  ramai yang dijangkiti berada pada  tahap satu dan dua sahaja kerana kebanyakannya lengkap divaksin,’’ katanya.

     KAJIAN VAKSIN

    Menyentuh mengenai keberkesanan vaksin, Dr Hanafiah pula menyarankan agar kerajaan melakukan kajian lebih terperinci mengenainya bagi mengembalikan keyakinan rakyat mengambil vaksin sebagai perlindungan daripada jangkitan virus tersebut.

    Ini berikutan peratusan individu yang mengambil dos penggalak berada pada tahap kurang memberansangkan walaupun  orang ramai boleh hadir tanpa janji temu di beberapa klinik swasta.

    Setakat ini, hanya 49.8 peratus rakyat negara ini mendapatkan vaksin dos penggalak pertama dan 1.9 peratus sahaja sudah mengambil dos kedua.

    “Seperti kita maklum vaksin ini sebagai perlindungan, meskipun mereka yang divaksinasi masih boleh dijangkiti COVID-19 tetapi ia mengurangkan kesan jangka panjang jangkitan itu.

    “Bagi saya kajian dalaman perlu dibuat untuk melihat tahap keberkesanan vaksin sekali gus mengambil kira kebimbangan rakyat  mengenai kesan sampingannya selain pihak berkenaan perlu turun padang dan ambil maklum balas kenapa mereka yang mengambil vaksin sebelum ini tidak mendapatkan dos penggalak sebagai perlindungan seterusnya,’’ katanya sambil menambah, kebanyakan golongan dewasa tidak mahu mengambil dos penggalak kerana dilihat tiada keperluan.

  • Tiga sungai di Hulu Selangor dikenal pasti Hotspot lemas, kepala air

    Tiga sungai di Hulu Selangor dikenal pasti Hotspot lemas, kepala air

    TIGA lokasi perkelahan di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor dikenal pasti sebagai kawasan yang kerap melaporkan kejadian kes mati lemas dan terperangkap dalam kepala air sepanjang 2020 hingga 2022.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata kawasan tersebut adalah Sungai Batang Kali, Sungai Chiling dan Sungai Pertak.

    “Secara umumnya, kesemua sungai atau jeram berisiko untuk berlaku kepala air atau berlaku insiden lemas namun begitu jika dikategorikan sebagai lokasi hotspot (titik panas), ia adalah (lokasi di mana) kejadian yang berlaku lebih dari sekali,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata berdasarkan statistik, sepanjang tempoh itu sebanyak 15 kes mati lemas dan enam kes terperangkap dalam kepala air dilaporkan di Selangor melibatkan 10 kawasan rekreasi di sungai, air terjun, hutan lipur dan lata.

    Daripada jumlah itu, katanya, Sungai Batang Kali mempunyai rekod kes lemas paling tinggi iaitu sebanyak lima kes dan empat kes melibatkan mangsa yang terperangkap dalam kepala air.

    Justeru, Norazam menasihatkan orang awam agar berhati-hati dan berwaspada terhadap tanda-tanda kepala air sebelum memulakan aktiviti perkelahan atau sebarang aktiviti rekreasi berdekatan sungai.

    “Sekiranya terperangkap di kepala air, hubungi pasukan penyelamat atau tunggu sehingga kepala air reda dan jangan sekali-kali menyeberangi sungai pada waktu itu,” katanya.

  • Ibu Menteri Besar Perak meninggal dunia

    Ibu Menteri Besar Perak meninggal dunia

    IBU kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad meninggal dunia pada pukul 11.15 malam tadi akibat sakit tua.

    Aminah Mohd Yusuf yang berusia 75 tahun, menghembuskan nafas terakhir di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di Jalan Raja Dihilir, di Ipoh.

    Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Perak, jenazah akan dimandi dan dikafankan di kediaman Menteri Besar Perak, pagi ini.

    Jenazah kemudian akan dibawa ke Masjid Kampung Raban, Lenggong untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan kampung tersebut, kira-kira pukul 11 pagi.

    Allahyarham meninggalkan sembilan orang anak termasuk Saarani yang merupakan anak sulung, lapor Astro Awani.

  • TH perjelas sebab harga pakej umrah meningkat

    TH perjelas sebab harga pakej umrah meningkat

    KETUA Pegawai Eksekutif TH Travel & Services, Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Ghazali memaklumkan, peningkatan harga pakej umrah ketika ini didapati disebabkan oleh dua faktor utama, iaitu kenaikan kos penerbangan dan kos penginapan hotel.

    Beliau memberikan perincian terhadap sebab ang menyebabkan kenaikan kos tersebut, lapor Astro Awani.

    Kos penerbangan

    Kebanyakan pesawat tidak digunakan dalam tempoh yang lama dek pandemik COVID-19. Untuk membolehkannya beroperasi semula, pesawat perlu menjalani pemeriksaan besar (C-Check) yang terperinci dan memakan masa yang panjang, sekurang-kurangnya enam bulan. Kosnya juga tinggi.

    Sebahagian syarikat penerbangan krunya perlu dilatih semula, selepas lama tidak berkhidmat. Ia juga memakan kos dan tempoh kurang lebih enam bulan.

    Harga minyak mentah turut meningkat, menyebabkan harga bahan api pesawat ikut sama.

    Untuk menampung kos yang terpaksa dibelanjakan untuk tiga perkara tersebut, syarikat penerbangan terpaksa menyerapkannya ke dalam harga tambangnya.

    Pada masa sama, berlaku ketidakseimbangan dalam rantaian bekalan dan permintaan dek kekurangan staf serta ketidaksediaan banyak pesawat turut menyumbang kepada kenaikan harga tambang.

    Kejatuhan nilai ringgit Malaysia berbanding dolar AS juga menyebabkan tambang menjadi lebih mahal.

    Kos penginapan hotel

    Akibat pandemik COVID-19, jemaah umrah ke Mekah dan Madinah turun mendadak menyebabkan hampir semua hotel berhenti beroperasi. Untuk ‘dihidupkan’ kembali, banyak kerja pembersihan dan pembaikan perlu dilakukan – seperti rumah yang ditinggalkan lama.

    Kebanyakan pekerja hotel-hotel di Mekah dan Madinah adalah warga asing yang kembali ke negara asal masing-masing tatkala pandemik melanda. Untuk memanggil mereka semula, ia memakan kos lagi untuk penerbangan dan visa pekerja mereka.

  • Dua lelaki ditahan SPRM bantu siasatan tuntutan palsu RM20.3 juta

    Dua lelaki ditahan SPRM bantu siasatan tuntutan palsu RM20.3 juta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki terdiri daripada pengarah dan pemilik dua syarikat berbeza bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu berkaitan insentif pembayaran penternakan lembu tenusu di bawah program projek permulaan (EPP) 13 Kluster Tenusu, Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) bernilai RM20.3 juta pada 2015.

    Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia 51 dan 52 tahun itu ditahan di dua lokasi berbeza hari ini.

    Katanya, pengarah syarikat berkenaan berusia 51 tahun terlebih dulu ditahan di Pejabat SPRM Kedah kira-kira pukul 1 tengah hari.

    “Pemilik syarikat berusia 52 tahun itu pula ditahan di kawasan rehat dan rawat (R&R) Simpang Renggam, Johor kira-kira pukul 3 petang.

    “Kedua-dua mereka akan dibawa ke Mahkamah Alor Setar pagi esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman,” katanya kepada Warta Rakyat, hari ini.

    Difahamkan pada 2015, beberapa syarikat disyaki bersubahat mengemukakan tuntutan palsu berkaitan insentif pembayaran projek tersebut kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar tanpa membuat sebarang pembekalan.

    Sumber itu menambah, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 18, Akta SPRM 2009.

    “Ketika ini SPRM sedang giat mengesan saksi dan mengambil keterangan individu dipercayai terlibat.

    “Siasatan masih diteruskan bagi mengesan lain-lain individu yang mungkin terlibat dalam kes tersebut,” katanya.

  • ‘’Ini pembohongan ‘maha dahsyat’, fitnah terhadap Bersatu – Muhyiddin

    ‘’Ini pembohongan ‘maha dahsyat’, fitnah terhadap Bersatu – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan, tohmahan beliau dan BERSATU menyeleweng dana  RM92.5 bilion sebagai pembohongan ‘maha dahsyat’.

    Dalam kenyataan hari ini, beliau yang juga Presiden BERSATU dan Pengerusi Perikatan Nasional mengecam dakwaan yang mengatakan Bersatu mempunyai dana pilihan raya berjumlah RM4.5 bilion.

    ‘’ Ini jelas merupakan satu cerita rekaan yang karut dan merepek. Hakikatnya, tidak ada dana RM4.5 bilion dalam akaun Bersatu atau akaun saya,’’ katanya.

    Berikut kenyataan penuh beliau:

    YAB Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan telah membuat kenyataan bahawa Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM600 billion telah diselewengkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) semasa saya menjadi Perdana Menteri.

    Kenyataan itu jelas palsu apabila mantan Menteri Kewangan kerajaan PN, YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, mengesahkan bahawa segala perbelanjaan yang melibatkan 8 Pakej Rangsangan Ekonomi diurus secara telus. Kenyataan beliau boleh dibaca di sini.

    (https://www.sinarharian.com.my/…/tengku-zafrul-sahkan… )

    Tengku Zafrul kini adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kabinet kerajaan PH-BN. 

    Kemudiannya, isu RM600 bilion tidak disebut lagi. Ini kerana sebahagian besar daripada jumlah ini adalah berbentuk non-fiskal, iaitu bukan perbelanjaan dana kerajaan. Ini termasuklah moratorium bank dan pengeluaran KWSP yang tidak melibatkan wang kerajaan.

    Dana yang berbentuk fiskal, iaitu yang melibatkan wang kerajaan ialah sebanyak RM92.5 bilion. Semasa saya menjadi Perdana Menteri, jumlahnya RM83 bilion tetapi telah meningkat selepas itu.

    Kerana itulah, tohmahan yang dilemparkan kepada saya dan BERSATU kini tertumpu kepada dakwaan penyelewengan dana berjumlah RM92.5 bilion. Kononnya, saya telah mengarahkan individu tertentu untuk mengutip 3%-5%  komisen daripada keseluruhan dana ini untuk dimasukkan ke dalam akaun BERSATU. Jadi, atas andaian ini mereka memfitnah kononnya BERSATU mempunyai dana pilihanraya berjumlah RM4.5 bilion yang digunakan semasa PRU-15.

    Kerana itulah PN dikatakan berbelanja besar dan mewah semasa PRU-15 yang lalu sehingga ada pemimpin politik BN menuduh PN membeli undi untuk menang.

    Ini adalah suatu pembohongan maha dahsyat yang disandarkan kepada cerita rekaan atas rekaan. Penyelewengan dana RM92.5 bilion itu adalah satu rekaan. Perbelanjaan fiskal di bawah pakej-pakej rangsangan ekonomi bukan dalam bentuk projek yang boleh diselewengkan, tetapi sebahagian besarnya adalah pemberian tunai langsung kepada rakyat (direct cash transfer) seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Geran Prihatin dan Subsidi Upah. Bagaimana dana ini boleh diseleweng jika ia merupakan pemberian tunai langsung kepada rakyat?

    Kutipan komisen 3%-5% daripada perbelanjaan fiskal ini juga adalah rekaan. Bagaimana saya boleh kutip komisen daripada perbelanjaan ini? Adakah 10.6 juta rakyat yang menerima BPN memberi komisen kepada saya? Adakah 2.96 juta pekerja yang menerima subsidi upah memberi komisen  kepada saya? Tentu sekali tidak.

    Jadi kalau mereka tidak memberi komisen kepada saya seperti yang didakwa, dari mana datangnya RM4.5 bilion untuk BERSATU yang kononnya diseleweng daripada dana RM92.5 bilion itu? Ini jelas merupakan satu cerita rekaan yang karut dan merepek. Hakikatnya, tidak ada dana RM4.5 bilion dalam akaun BERSATU atau akaun saya.

    Sebagai sebuah parti politik, BERSATU mempunyai dana hasil sumbangan pihak-pihak yang menyokong perjuangan BERSATU. Akaun parti BERSATU diurus secara telus di mana setiap terimaan dan perbelanjaan direkod, diaudit dan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan mengikut kehendak perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966.

    Sumbangan untuk dana pilihan raya juga dimasukkan ke dalam akaun parti. Walaupun negara kita masih belum mempunyai undang-undang pendanaan politik, saya percaya setiap sumbangan yang diterima oleh BERSATU tidak menyalahi mana-mana undang-undang atau peraturan yang sedang berkuatkuasa.

    Mengenai perbelanjaan pilihan raya PN yang dikatakan mewah dengan bendera, baju dan “merchandise” yang banyak, saya hendak ceritakan perkara yang sebenarnya. Sebagai langkah penjimatan, BERSATU telah mencetak bendera dan merchandise PN secara “bulk order” dua tahun lebih awal dengan kos hampir empat kali ganda lebih murah berbanding jika ia dicetak hampir dengan tarikh pilihan raya.

    Sebab itulah PN membuat keputusan untuk tidak menukar bendera dan logo yang digunakan dalam PRU-15  walaupun ada cadangan sedemikian. Ini kerana kita telah menyimpan stok lebih awal. Jika hendak dicetak semula, semua stok yang ada akan dibazirkan selain perlu menanggung kos yang berkali ganda lebih tinggi untuk mencetak bendera dan “merchandise” yang baharu. PN tidak ada dana untuk tujuan itu.

    Jadi, janganlah reka cerita palsu dan menabur fitnah kononnya BERSATU mempunyai dana berbilion ringgit semata-mata untuk mencemarkan imej BERSATU dan PN.

    Apa motif PH-BN hampir setiap hari melemparkan tohmahan terhadap PN dan secara berterusan melakukan witch-hunting? Yang terkini, penahanan reman Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut untuk tujuan siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan dana RM92.5 bilion juga dikaitkan dengan saya.

    Jawapannya mudah. PH-BN takut dengan bayang-bayang mereka sendiri. Mereka gelisah melihat PN mendapat sokongan sekurang-kurangnya 62% orang Melayu dan Bumiputera dalam PRU-15. Dengan tindakan BN bergabung dengan PH, sokongan kepada gabungan yang terbentuk atas pembohongan kepada pengundi ini akan lebih merosot, sepertimana yang terbukti dalam PRK Padang Serai dan PRK Tioman.

    Jadi saya fikir mereka gentar menghadapi kemaraan PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang melibatkan enam buah negeri di Semenanjung Malaysia dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Kerana itu, kerajaan PH-BN akan terus melakukan pembunuhan karakter (character assasination) terhadap PN dan saya dengan melemparkan pelbagai tohmahan jahat yang tidak berasas.

    Saya tidak menolak kemungkinan tohmahan penyelewengan RM600 bilion direka supaya tindakan undang-undang terhadap BERSATU dapat diambil dengan tujuan untuk melemahkan jentera pentadbiran BERSATU sehingga sukar menghadapi PRN akan datang. Saya harap ini tidak benar dan menyerahkan kepada pihak SPRM untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil.

    Saya yakin siasatan SPRM setakat ini akan mendapati bahawa tohmahan terdapat RM4.5 bilion dalam akaun BERSATU atau akaun saya adalah palsu. Saya tidak pernah mengambil walau satu sen pun wang yang bukan hak saya.

    Sehubungan itu, BERSATU akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam menjalankan siasatan.

    .

  • Sanusi kesal SOP ekstrak REE lewat dikeluarkan

    Sanusi kesal SOP ekstrak REE lewat dikeluarkan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor membidas Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang didakwanya lambat mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekstrak unsur nadir bumi atau rare earth element (REE).

    Katanya, perkara itu tidak seharusnya berlaku ketika permintaan terhadap REE kian melonjak sehingga memungkinkannya dibawa keluar secara haram.

    Tambahnya, keadaan itu mendatangkan kerugian kepada kerajaan kerana gagal mendapatkan hasil yang sepatutnya diterima.

    “Perkara ini saya bangkitkan sudah lama dan kita sudah bincangkan beberapa kali. Kementerian tersebut menerusi Majlis Tanah Negara (MTN) suruh kita tunggu SOP dikeluarkan tetapi sampai sekarang, kita masih belum terima SOP tersebut.

    “Dalam pengamatan saya, bahan-bahan atau mineral REE ini bukan saja telah dikeluarkan di beberapa lokasi di Kedah malah turut dikeluarkan di beberapa lokasi dalam negeri lain secara haram.

    “Saya dah cakap tentang perkara ini sejak begitu lama tetapi oleh kerana mereka ini ‘mak ngot’, ralit atau sebenarnya tak tahu bagaimana nak buat SOP sepatutnya supaya negeri-negeri dapat maksimumkan kegiatan perlombongan dan hasil, maka pihak-pihak lain bergerak tanpa SOP tersebut,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah) bersama Jangka Bakat Minerals Sdn. Bhd. dan Xiamen Tungsten Co. Ltd. dari China di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

    Muhammad Sanusi menambah, berikutan kelewatan itu, jabatan-jabatan terlibat di Kedah khususnya Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dari semasa ke semasa sentiasa membuat penilaian serta mengenal pasti langkah mahu pun pendekatan untuk memastikan industri tersebut mampu mendatangkan hasil kepada kerajaan.

    “Kalau kementerian terus ‘mak ngot’, berjalan perlahan macam kura-kura sedangkan orang lain dah berlari, maka mereka akan ketinggalan dan itu sesuatu yang tak dapat dielak.

    “Janganlah sampai REE habis diekstrak, baru nak keluarkan SOP dan kalau itu berlaku, rugilah semua orang. Janganlah kerana kita ada kuasa di kementerian, maka kita nak menahan orang lain daripada menjalankan kegiatan ini hingga mengakibatkan kerugian akibat berlakunya perlombongan tidak bersandarkan undang-undang dan pengambilan secara tidak sah,” katanya.

    Dalam pada itu Muhammad Sanusi memaklumkan, semua unsur nadi bumi atau rare earth element (REE) yang dirampas pihak berkuasa setelah dibawa keluar secara haram oleh pihak tertentu dari bumi Kedah sebelum ini, akan dijual kepada pihak yang berminat mendapatkannya.

    Menurutnya, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) akan membuka tender untuk proses pelupusan bahan rampasan tersebut dengan mereka yang berminat membelinya boleh melihat sendiri ‘barangan’ berkenaan bermula hari ini.

    “Sebelum ini ada pihak buat ‘tour’ kononnya kita telah menyembunyikan REE dan mereka meletakkan harga konon bahan itu berharga antara RM7,000 hingga RM8,000 satu gram.

    “Kalau ikut penilaian mereka, kononnya boleh untung RM4 bilion. Maka saya cadangkan mereka masuk proses bidaan dibuat PTG kerana rizab untuk berpuluh tan REE itu saya difahamkan bernilai kira-kira RM2.6 juta saja.

    “Disebabkan mereka pandai sangat ceramah, eloklah mereka beli untuk jual semula dan tengoklah dapat banyak mana,” katanya sinis.

  • Pengarah syarikat disyaki jadi proksi dapatkan projek GLC lebih RM1j direman

    Pengarah syarikat disyaki jadi proksi dapatkan projek GLC lebih RM1j direman

    SEORANG pengarah syarikat swasta dipercayai menjadi proksi untuk mendapatkan projek daripada sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berjumlah lebih RM1 juta ringgit, empat tahun lepas (2019), direman empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan.

    Perintah reman terhadap lelaki berusia 47 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Johor Bahru R. Salini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan pagi tadi.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Menurut sumber lelaki itu ditahan di Pejabat SPRM Johor pada 11.35 malam tadi selepas hadir memberikan keterangan. 

    Difahamkan, beliau dipercayai menjadi proksi kepada seorang pengarah GLC dalam mendapatkan kontrak-kontrak daripada GLC berkenaan.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Ibu Pejabat SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit. – BERNAMA