Category: Semasa

  • Polis siasat dakwaan kamera intip dalam bilik persalinan butik pakaian

    Polis siasat dakwaan kamera intip dalam bilik persalinan butik pakaian

    POLIS menyiasat laporan mengenai penyebaran video yang didakwa daripada kamera rahsia yang disembunyikan di dalam bilik persalinan wanita di sebuah butik pakaian berjenama di Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima satu laporan polis mengenai kejadian tersebut pada Isnin lalu.

    “Polis juga mengesan video yang dimuat naik dalam Twitter memaparkan rakaman daripada kamera yang disembunyikan di bilik persalinan butik pakaian berkenaan. Video itu kemudiannya dipadamkan.

    “Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti tarikh dan lokasi kejadian itu berlaku. Perbuatan terbabit adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Noor Dellhan berkata, polis menasihati orang ramai supaya tidak melakukan perkara yang melanggar undang-undang.

    “Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Fikri Abdul Manan di talian 013-4149917 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya, lapor FMT.

    Sebelum inj, beberapa pengguna Twitter melahirkan kebimbangan mengenai kemungkinan video yang dirakam di bilik persalinan itu dijual dalam talian.

    Butik pakaian tersebut juga dilaporkan sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

  • AGC tolak representasi Muhammad Yasin

    AGC tolak representasi Muhammad Yasin

    JABATAN Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman untuk mengkaji tiga pertuduhan dadah yang dihadapi.

    Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah semasa sebutan kes itu di hadapan Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, di sini pada Rabu.

    Representasi itu difailkan pada 23 September lalu dan keputusan sepatutnya diputuskan pada 15 Disember lalu.

    Bagaimanapun, pihak pendakwaan sebelum ini memohon ia ditangguhkan kerana AGC masih memerlukan masa.

    Semasa prosiding, Mohd Asnawi memaklumkan berkata, surat rasmi berhubung perkara itu belum sempat dikeluarkan dan tarikh perbicaraan diteruskan seperti ditetapkan.

    Sementara itu, peguam bela Muhammad Yasin, Ariff Azami Hussein berkata, pihaknya akan mengemukakan representasi kedua selewat-lewatnya dua minggu lagi.

    “Walaupun belum menerima makluman secara bertulis atau emel, kami telah mendapat arahan terkini daripada anak guam untuk mengemukakan representasi kedua,” kata peguam itu, lapor Astro Awani.

    Sebelum ini, mahkamah menetapkan perbicaraan kes Muhammad Yasin selama 15 hari bermula 6 Mac depan.

    Penyanyi lagu Mimpi Laila itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada pukul 11.05 malam, 24 Mac lalu.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

    Muhammad Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah dan daripadanya kanabis di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di Telaing Jaya, pukul 5.30 petang, pada 24 Mac lalu.

    Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 Akta ADB dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dipenjara seumur hidup dan sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.

  • Penjualan arak dibenar hanya di kawasan bukan Islam, kata Sanusi

    Penjualan arak dibenar hanya di kawasan bukan Islam, kata Sanusi

    KEDAH mengawal penjualan arak dengan menghadkan penjualannya hanya di kawasan yang didiami oleh orang bukan Islam, kata Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

    Menurutnya, penjualan arak hanya boleh dilakukan di premis yang dibenarkan dengan populasi besar penduduk bukan Islam sahaja.

    “Orang bukan Islam diberi kebenaran untuk minum arak tetapi ia tidak boleh dijual secara terbuka di tempat-tempat lain seperti di kampung-kampung.

    “Kerajaan negeri komited menghadkan penjualan minuman keras serta memastikan penjualannya tidak melebihi keperluan,” katanya kepada Harakahdaily.

    Keputusan mengawal penjualan arak dibuat pada 14 Nov 2021 selaras dengan larangan kerajaan negeri terhadap operasi perjudian berlesen.

    Mengulas lanjut, Sanusi berkata, langkah kawalan penjualan itu bagi mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan pada masa sama tidak menafikan hak orang bukan Islam untuk minum arak.

    “Saya mahu orang ramai terkawal daripada perkara seumpama itu seperti mabuk.

    “Tapi sebaiknya tak payahlah minum walaupun tiada larangan kepada non Muslim kerana alkohol tetap tidak baik,” katanya lagi.

    Sanusi juga menjelaskan penjualan arak di pulau bebas cukai Langkawi bukan di bawah bidang kuasa kerajaan Kedah, sebaliknya tanggungjawab Kementerian Kewangan.

  • Lelaki mengaku salah rosak mesin ATM

    Lelaki mengaku salah rosak mesin ATM

    SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan merosakkan mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Lukut pada Isnin lalu.

    P. Manoharan, 50, mengaku bersalah atas pertuduhan khianat selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan khianat iaitu merosakkan skrin mesin ATM di sebuah bank di pekan Lukut, Port Dickson dengan cara menumbuknya pada jam 11.10 pagi 9 Januari lalu.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

    Pada prosiding itu, Manoharan mengaku tindakannya adalah salah tetapi ia dilakukan disebabkan duit tidak dapat dikeluarkan dari mesin ATM.

    “Masa ambil duit, duit tidak keluar, memang saya salah dan minta rayu,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan(YBGK), Iwana Sakinah Mohd. Lajis merayu wang jaminan dikurangkan kerana isteri tertuduh hanya suri rumah serta perlu menanggung empat anak termasuk dua daripadanya adalah orang kurang upaya (OKU).

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur.

    Mahkamah menetapkan jaminan RM2,000 dan 8 Februari depan untuk dibacakan fakta kes serta hukuman di Mahkamah Majistret Port Dickson.

    Sebelum ini media melaporkan, tertuduh ditahan pada pukul 11.30 pagi di hadapan Bank CIMB Lukut selepas polis menerima aduan daripada pembantu pengurus bank iaitu seorang wanita berusia 54 tahun berhubung tindakannya.

    Jumlah kerugian akibat kerosakan mesin ATM itu dianggarkan lebih kurang RM500.

  • Dakwaan Anwar ‘tiada akhlak’, Mahkamah arah Sanusi failkan pembelaan

    Dakwaan Anwar ‘tiada akhlak’, Mahkamah arah Sanusi failkan pembelaan

    MAHKAMAH Tinggi Alor Setar, hari ini mengarahkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk memfailkan pernyataan pembelaan terhadap saman fitnah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selewat-lewatnya sebelum 13 Februari ini.

    Memetik laporan Malaysiakini, semasa pengurusan kes tindakan sivil awal hari ini, mahkamah juga mengarahkan Anwar untuk memfailkan jawapannya kepada pembelaan Sanusi selewat-lewatnya pada 13 Mac.

    Perkara itu disahkan oleh peguam Sankara Nair, yang mewakili plaintif Anwar, semasa menghadiri prosiding dalam kamar.

    “Mahkamah mengarahkan defendan (Sanusi) memfailkan pembelaannya selewat-lewatnya 13 Februari, dan plaintif pula untuk memfailkan jawapannya kepada pihak pembelaan selewat-lewatnya 13 Mac.

    “Pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 20 Mac melalui e-semakan di hadapan penolong pendaftar (Mahkamah Tinggi) untuk kemas kini status,” kata peguam itu kepada Malaysiakini.

    Sanusi diwakili oleh peguam Adam Luqman Amdan semasa pengurusan kes di hadapan Penolong Pendaftar VK Neethiya Nair.

    Sebelum ini, peguam Anwar mengeluarkan surat tuntutan meminta ganti rugi daripada Sanusi atas dakwaan memfitnahnya pada 13 November lalu ketika berkempen untuk calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Anwar memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November lalu.

    Menurut salinan pernyataan tuntutan saman itu, kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook bernama “Faizal Azumu”.

    Anwar mendakwa kenyataan itu, antara lain mengandungi dakwaan bahawa dirinya “tidak berakhlak”.

    Plaintif berhujah bahawa kenyataan itu adalah fitnah, palsu dan memperlekehkan dirinya.

    Anwar mendakwa kenyataan itu antara lain membayangkan dirinya bukan seorang Muslim yang baik dan menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

    Pada 2018, plaintif telah diberikan pengampunan diraja berhubung kes liwat yang melibatkan bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

    Anwar mendakwa bahawa selepas surat tuntutan dikeluarkan pada 16 Nov, peguam Sanusi telah menulis balik dan membuat pengakuan tidak berbelah bahagi akan fakta bahawa defendan mengucapkan/mengungkapkan kata-kata memfitnah tersebut dan kandungan di dalamnya.

    Melalui saman sivil, plaintif menuntut ganti rugi am, pampasan, teruk dan teladan.

    Anwar juga memohon injunksi untuk menghalang Sanusi daripada terus mengeluarkan atau menerbitkan kata-kata fitnah terhadapnya.

    Plaintif juga menuntut faedah lima peratus ke atas jumlah penghakiman dari tarikh tindakan undang-undang terakru sehingga penyelesaian penuh, kos, dan apa-apa relif lain yang difikirkan patut oleh mahkamah.

  • COO, perunding syarikat pembinaan direman kes tuntutan palsu berkait projek RM389 juta

    COO, perunding syarikat pembinaan direman kes tuntutan palsu berkait projek RM389 juta

    SEORANG ketua pegawai operasi dan seorang perunding syarikat pembinaan warga United Kingdom (UK) direman enam hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu berkaitan sebuah projek bangunan 41 tingkat di ibu negara berjumlah RM389 juta.

    Perintah reman terhadap dua lelaki berumur lingkungan 50-an itu, dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin setelah membenarkan permohonan reman dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

    Semalam, kedua-dua individu itu ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada kira-kira 3 petang ketika hadir memberikan keterangan.

    Menurut sumber SPRM, kedua-dua individu itu dipercayai bersubahat membantu syarikat pembinaan tersebut mengemukakan sejumlah tuntutan palsu kepada sebuah syarikat pelaburan.

    Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim yang mengesahkan penahanan itu memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

  • Tuntutan palsu Penjana Kerjaya 2.0: Tiga lagi individu didakwa

    Tuntutan palsu Penjana Kerjaya 2.0: Tiga lagi individu didakwa

    TIGA lagi individu didakwa di tiga Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM123,100.

    Ini menjadikan seramai 10 individu termasuk ketua pegawai eksekutif dan pengarah syarikat telah didakwa di mahkamah atas pertuduhan tersebut membabitkan jumlah keseluruhan RM818,260.

    Prosiding pada Rabu, ejen insurans, Isa Mohd Ismail, 28, dan suri rumah Mazlina Ali, 45, mengaku tidak bersalah masing-masing atas satu pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.

    Mengikut pertuduhan, Isa dan Mazlina masing-masing didakwa telah memberikan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama Perusahaan Isa Legacy dan Perusahaan Aida Hani Enterprise bertarikh 29 Jun 2021 dan 9 Mac 2021 melalui seorang lelaki kepada seorang pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat Perkeso bagi menuntut insentif di bawah program tersebut berjumlah RM54,600.

    Mereka dituduh dengan niat memperdayakan Perkeso dengan dokumen tersebut yang mengandungi pernyataan palsu tentang borang pengesahan itu sedangkan senarai pekerja yang dinamakan dalam dokumen tersebut bukan pekerja dua syarikat berkenaan.

    Isa didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perkeso, Menara Perkeso di Putrajaya pada 29 Jun 2021 manakala Mazlina di Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak pada 9 Mac 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR) SPRM Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Yasri Yahya memohon Isa dikenakan jaminan RM20,000 manakala Mazlina RM2,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan mereka perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.

    Peguam Lokman Zainal mewakili Isa memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya yang baru berkahwin hanya bergantung kepada komisen manakala Mazlina yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana dia tidak bekerja, diisytihar muflis serta suami bekerja sebagai pembantu jualan di pasar borong.

    Azura membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan masing-masing perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Melaka dan Kuala Lumpur dan tarikh sebutan semula bagi kedua-dua kes ditetapkan pada 14 Februari ini.

    Di hadapan Hakim Rozina Ayob dan Hakim Suzana Hussin, tukang gunting rambut Mohamad Mohamed Amin, 31, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan sama melibatkan jumlah RM68,500 dan syarikat berlainan iaitu Perusahaan Mikel Enterprise dan Perusahaan Translimit Industries.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Menara Perkeso, Putrajaya dan di Pejabat Perkeso di Kuala Lumpur, pada 25 Mac 2021 dan 29 Mei 2021. Pertuduhan juga mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Pendakwaan dikendalikan TPR SPRM Nurul Atiqah Alias dan Siti Amirah Muhamed Ali manakala Mohamad tidak diwakili peguam.

    Kedua-dua hakim itu membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM di sini, setiap bulan sehingga kes selesai serta sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Februari ini.

  • Pemuda Pas sokong angkat teks BM jadi versi rasmi Perlembagaan Persekutuan

    Pemuda Pas sokong angkat teks BM jadi versi rasmi Perlembagaan Persekutuan

    DEWAN Pemuda Pas menyokong penuh cadangan Peguam Negara agar kerajaan menjadikan Perlembagaan Persekutuan edisi Bahasa Melayu (BM) sebagai versi rasmi menggantikan teks asal dalam Bahasa Inggeris.

    Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan itu selaras dengan Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa sekiranya terdapat percanggahan atau perselisihan antara teks Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris, maka teks Bahasa Kebangsaan sepatutnya mengatasi teks Bahasa Inggeris.

    Tambahan pula katanya, teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Kebangsaan telahpun wujud dan telah dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong semenjak 2003 lagi.

    “Maka, ini bukan lagi persoalan terjemahan. Ini soal perlaksanaan agar menjadikan teks Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Malaysia sebagai versi muktamad yang akan dirujuk oleh semua.

    “Pelaksanaan ini adalah suatu tindakan yang baik dan wajar disambut oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia. Usaha ini selari dengan pemerkasaan Bahasa Kebangsaan yang menjadi sebahagian daripada identiti negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) mencadangkan kepada kerajaan supaya preskripsi Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu menjadi teks rasmi selaras Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan.

    Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dalam ucapan pada pembukaan Tahun Perundangan 2023 berkata, pihaknya juga bercadang untuk mencetak semula Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan pindaan perlembagaan bersejarah yang terkini mengikut Perkara 160A Perlembagaan Persekutuan.

    Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata, usaha menjadikan versi Perlembagaan Persekutuan edisi Bahasa Melayu sedikit sebanyak dapat menjernihkan lagi kekeliruan yang berlaku di mahkamah.

    Katanya, ia juga memberi penafsiran yang lebih tepat terhadap peruntukan Perlembagaan, serta tidak mengenepikan semangat sebenar Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan, serta aspirasi perjanjian sosial yang sudah lama termeterai.

    “Justeru itu, Pemuda Pas menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar memberikan sokongan penuh kepada usaha yang baik ini,” katanya.

  • Isu perkauman: Jangan curah minyak ke dalam api – Raja Perlis

    Isu perkauman: Jangan curah minyak ke dalam api – Raja Perlis

    RAJA Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah agar mana-mana pihak tidak ‘mencurahkan minyak ke dalam api’ atau memburukkan lagi keadaan, terutama apabila membangkitkan isu perkauman yang mampu meruntuhkan semangat perpaduan di negara ini.

    “Semua pihak tidak kira asal usul, latar belakang, status, haruslah sentiasa berusaha untuk saling faham memahami antara satu sama lain dan cuba lebih mengenali latar belakang semua kaum bagi menyemai semangat perpaduan yang tinggi untuk lebih bertoleransi,” titah baginda menerusi kenyataan oleh Istana Arau, hari ini.

    Menurut kenyataan itu baginda bertitah demikian ketika berkenan menerima sembah menghadap Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang di Balai Menghadap Biru, Istana Arau, semalam.

    Berangkat sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

    Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim dan Ketua Pengarah Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Bahrin A. Kassim.

    Baginda turut berkongsi pengalaman peribadi semasa berkhidmat sebagai pegawai tentera dalam Kor Peninjau Di Raja (kini dikenali sebagai Kor Armor DiRaja) ketika negara bergelut dengan ancaman komunis, konfrontasi dengan Indonesia serta peristiwa 13 Mei.

    Baginda bertitah anggota pasukan itu merupakan campuran pelbagai bangsa serta agama dan mempunyai semangat perpaduan yang amat tinggi bukan sahaja dalam melaksanakan tugasan, malah saling membantu walaupun di luar waktu kerja.

  • Adik didakwa sebabkan kematian abang

    Adik didakwa sebabkan kematian abang

    SEORANG lelaki warga Pakistan didakwa di Mahkamah Seksyen Sungai Petani hari ini menyebabkan kematian abangnya dalam kejadian di Taman Desa Meranti di Sungai Petani, dua minggu lalu.

    Tertuduh, Ali Ashtar, 24, didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 10.30 malam di sebuah rumah di taman perumahan terbabit 31 Disember lalu, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, dia telah melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Mukhtiar Ali, 39, yang juga merupakan seorang warga Pakistan dengan niat hendak menyebabkan kematian.

    Dengan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh dan boleh dihukum di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).

    Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara yang boleh sampai 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Galvin Loo Wei Ming manakala tertuduh diwakili Peguam SP Raman.

    Hakim Azman Abu Hassan menetapkan sebutan semula kes pada 20 Februari 2023 bagi mendapatkan jurubahasa Urdu.

    Warta Rakyat sebelum ini melaporkan seorang abang maut ditikam selepas dikatakan tidak bersetuju dengan keputusan adiknya yang mahu pulang ke negara asalnya di Pakistan.

    Mangsa dipercayai bertindak menyembunyikan tiket penerbangan dengan tujuan menghalang adiknya pulang menyebabkan tercetus pergaduhan.

    Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah dipercayai ditikam di paha selain kesan lebam pada badan.

    Mangsa yang tidak sedarkan diri kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 10.37 malam.