Category: Semasa

  • Penjawat awam antara enam ditahan didakwa terima rasuah RM20,000

    Penjawat awam antara enam ditahan didakwa terima rasuah RM20,000

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan enam individu termasuk penjawat awam yang bertugas di sebuah jabatan di Semporna, pukul 10 malam tadi.

    Semua mereka l termasuk seorang lelaki disyaki sebagai orang tengah ditahan kerana dipercayai meminta wang rasuah kira-kira RM20,000 daripada seorang individu.

    Menurut sumber, sogokan itu diberi supaya tidak mengambil tindakan ke atas anaknya yang disyaki melakukan kesalahan menyimpan kira-kira 100 kotak minyak masak bersubsidi disyaki untuk diseludup ke luar negara.

    “Semua suspek berusia antara 29 dan 50 tahun ditahan pegawai SPRM selepas menerima sebahagian daripada wang rasuah iaitu sebanyak kira-kira RM5,000 daripada orang awam berkenaan,” katanya, lapor Astro Awani.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

    “Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    “Semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Tawau untuk proses permohonan reman pada hari ini bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.

  • Bot nelayan kelas C ditahan gajikan 4 PATI Myanmar

    Bot nelayan kelas C ditahan gajikan 4 PATI Myanmar

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan pukul 10.10 pagi semalam selepas didapati menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai kru bot.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia mengesan bot nelayan tempatan kelas C itu dalam keadaan mencurigakan ketika melaksanakan rondaan rutin OP TANJUNG.

    Jelas beliau, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu ditahan pada kedudukan 38 batu nautika barat laut Muka Head.


    “Hasil pemeriksaan mendapati, bot dikendalikan empat warga Myanmar termasuk tekong berumur dalam lingkungan 31 hingga 51 tahun yang kesemuanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta melanggar syarat sah lesen bot.

    “Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, bot serta kesemua kru ditahan termasuk kira-kira 500 kilogram (kg) hasil laut dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

     
    Dalam pada itu, katanya, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan PATI untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran telah diberikan sebelum ini.

    Sehubungan itu, tegas beliau, Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

  • Upah RM1,300 simbah cat, baling molotov cocktail di rumah mangsa ah long

    Upah RM1,300 simbah cat, baling molotov cocktail di rumah mangsa ah long

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENERIMA upah daripada ceti haram atau ah long sehingga RM1,300 untuk melakukan perbuatan khianat dengan api dan simbah cat di rumah peminjam wang.

    Bagaimanapun kegiatan tiga suspek yang terlibat melakukan jenayah tersebut di sekitar daerah Kulai dapat dihentikan selepas pihak polis berjaya menahan tiga pelakunya termasuk seorang wanita.

    Sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai memberkas mereka kelmarin di tiga lokasi berasingan.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya melakukan tiga serbuan tersebut antara pukul 9 pagi hingga 2.30 petang.

    “Menerusi serbuan itu, dua lelaki berusia 25 dan 36 tahun serta seorang wanita berusia 43 tahun ditahan sekitar Seri Alam, Iskandar Puteri dan Johor Bahru.

    “Masing-masing ditahan di rumah dan tepi jalan kerana terlibat kes khianat dengan api dan simbah cat di kawasan daerah Kulai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, menerusi serbuan berkenaan, pihak polis merampas sebuah motosikal dan beberapa peralatan yang digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah tersebut.

    Jelasnya, hasil soal siasat, semua suspek mengaku mengambil upah tersebut untuk menyimbah cat di dua rumah dan membaling molotov cocktail di sebuah rumah di daerah itu.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan bagi menyiasat penglibatan suspek dalam lain-lain kes jenayah di dalam dan luar daerah Kulai,” ujar beliau.

    Menurut Beng Yeow, hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan semua mereka direman enam hari bermula Rabu sehingga 16 Januari ini.

    Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan didenda selain Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

  • OKT meninggal dunia dalam lokap IPD Larkin

    OKT meninggal dunia dalam lokap IPD Larkin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki tempatan yang merupakan orang kena tahan (OKT) meninggal dunia dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Larkin di Johor Bahru semalam.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, OKT berusia 47 tahun itu mati semasa ditahan dalam lokap semasa menunggu untuk dituduh di mahkamah Johor Bahru semalam.

    “Sebelum itu lelaki berkenaan mengadu sakit dan muntah-muntah pada pada pukul 6.20 pagi semalam sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Larkin untuk menerima rawatan pada pukul 7.45 pagi.

    “Namun pegawai perubatan yang memberi rawatan kemudian telah mengesahkan kematian OKT pada pukul 8.30 pagi. Bedah siasat dijadualkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut, Unit Jabatan dan Siasatan Jenayah Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman akan melakukan siasatan kes berkenaan.

    Raub berkata, OKT ditahan kelmarin kerana mempunyai rekod orang dikehendaki berkenaan kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Menurutnya, OKT berkenaan mempunyai 12 rekod lampau berkaitan kes dadah.

  • Hantaran Chang Khim dalam isu arak biadab – Pemuda Pas Selangor

    Hantaran Chang Khim dalam isu arak biadab – Pemuda Pas Selangor

    PEMUDA Pas Selangor menyifatkan hantaran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Khim di laman Facebook miliknya mengaitkan isu arak dengan solat adalah biadab.

    Menurut Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar, hantaran tersebut jelas menunjukkan Chang Khim sengaja memainkan sentimen agama dengan memperlekehkan umat Islam serta solat.

    “YB Teng Chang Kim nampak gaya ‘banyak masa kosong’ dengan menyibukkan diri dalam isu berkaitan arak sekalipun ia di luar negeri Selangor.

    “Sedangkan isu arak ini jelas perkara mendatangkan kerosakan lebih besar ditambah lagi dengan isu-isu kemalangan jalan raya sehingga ada yang terkorban disebabkan kes mabuk,” katanya menerusi kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian

    Kenyataan Mohamed Sukri itu juga bagi mempertahankan kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan yang sebelum ini membantah penjualan arak secara terbuka di ruang legar sebuah pusat beli-belah di Seberang Jaya di Pulau Pinang.

    Muhammad Fawwaz turut memuat naik video pertemuannya dengan pihak pengurusan pusat beli-belah tersebut di Facebooknya.

    Dalam pada itu, Mohamed Shukri berkata, pihaknya menyokong dan mempertahankan tindakan Muhammad Fawwaz kerana itu juga antara yang dilakukan Pemuda Pas Selangor dalam isu-isu berkaitan arak dan kes mabuk sama ada membantah, mengkritik serta memberikan solusi.

    “Isunya ialah penjualan arak secara terbuka dan inilah yang ditentang, sama ada berbentuk penjualan mahupun pesta yang dianjurkan dan sebab itu Pemuda Pas Selangor malah seluruh negara pasti akan bangkit menentang hal yang sama.

    “Sebagaimana YB Teng Chang Kim sanggup ‘merentas negeri’ dengan hantaran yang biadab lagi celopar kerana ‘sayang sangat’ pada arak, maka kami Pemuda Pas Negeri Selangor juga bangkit mempertahankan YB Muhammad Fawwaz atas tindakannya dan akidah yang satu.

    “Malunya negeri Selangor kerana sikap YB (Chang Kim) ini yang celopar, biadab serta memperlekehkan solat. Mana pergi Exco lain yang beragama Islam dalam kerajaan negeri Selangor yang lain untuk tegur,” soalnya dalam kenyataan tersebut.

    Tambahnya, sudah jelas dalam banyak kenyataan media sama ada tulisan atau lisan sebelum ini bahawa arak hanya lebih membawa kemudaratan sama ada moral, sahsiah, nyawa malah ekonomi negara.

    Katanya, akal yang waras pasti tidak menerima arak itu sesuatu yang membawa kebaikan yang banyak.

  • Suami tampar isteri semata-mata berbalah mengenai kereta

    Suami tampar isteri semata-mata berbalah mengenai kereta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG isteri terpaksa menanggung aib apabila ditampar suaminya di depan sebuah kilang dekat Sungai Petani, Kedah semata-mata kerana perbalahan akibat penggunaan kereta.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3 petang semalam dengan turut disaksikan anak sulung mereka.

    Menurutnya, pertengkaran itu dipercayai berlaku akibat perebutan pasangan tersebut mengenai kereta dimiliki mangsa yang berusia 44 tahun.

    “Setelah mereka bertengkar, mangsa mendakwa ditampar suaminya berusia 45 tahun di depan kilang tersebut. Selain itu, suaminya juga didakwa turut membuat ugutan terhadap wanita tersebut.

    “Berikutan itu wanita berkenaan mendakwa merasa sakit di pipi kiri namun tiada kesan lebam padanya dan sudah pun mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani,” katanya.

    Difahamkan pasangan tersebut sudah berkahwin selama 25 tahun dan mempunyai tiga anak.

    Tambahnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

  • Penjara 8 tahun, 10 sebatan kerana dadah

    Penjara 8 tahun, 10 sebatan kerana dadah

    SEORANG lelaki dipenjara lapan tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini kerana memiliki dan mengambil dadah, dua tahun lalu.

    Hakim Hamidah Mohamed Deril menjatuhkan hukuman itu selepas Muhammad Al Hafiz Abu Bakar, 27, menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan kes itu.

    Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara lapan tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan memiliki dadah dan 12 bulan penjara bagi kesalahan mengambil dadah serta pengawasan daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan selama dua tahun.

    Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 8 Nov 2021.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 47.20 gram dan memasukkan dadah itu ke dalam badannya di tepi tangga Blok KP2, di Taman Kuchai Jaya di Kuala Lumpur dan Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Brickfields, pada 8.30 malam dan 10 malam, 8 Nov 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang daripada lima tahun dan minimum 10 sebatan dan Seksyen 15(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan tidak melebihi tiga tahun.

    Muhammad Al Hafiz, yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan telah insaf manakala Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

  • Mahdzir akui ke London tetapi bukan untuk bincang jatuhkan kerajaan

    Mahdzir akui ke London tetapi bukan untuk bincang jatuhkan kerajaan

    NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikan menghadiri apa-apa pertemuan di London baru-baru ini untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar itu mengakui pergi ke London baru-baru ini namun menafikan menemui mana-mana individu yang dikaitkan dengan khabar angin ‘Langkah London’.

    “Kenapa pula tiba-tiba ada sekumpulan dan dikaitkan dengan nama saya pula kata kita ni pergi mesyuarat (Langkah London), dan kata kita berusaha nak memberi helah bagi mencari jalan bagi menjatuhkan kerajaan perpaduan?

    “Pada saya, saya nafi benda tu. Tiada pun. Memang saya akui saya pergi (London) tapi saya tak jumpa siapa-siapa orang-orang yang disebut dalam tu,” katanya dalam temubual video yang disiarkan portal Malaysia Gazette sempena Perhimpunan Agung Umno yang bermula hari ini.

    Mahdzir berkata, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menafikan penglibatan beliau dalam langkah politik tersebut.

    “Ismail Sabri pun dah buat kenyataan dia pun tiada di London, dia ada di Dubai ke Abu Dhabi.

    “Itu pun tak betul juga,” kata bekas Ahli Parlimen Padang Terap itu.

    Langkah London sebelum ini menjadi bualan hangat apabila gambar memaparkan individu didakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin dikatakan mengadakan pertemuan tertutup di London tersebar.

    Gambar tersebut menimbulkan spekulasi yang membayangkan bahawa terdapat rancangan bagi menjatuhkan Perdana Menteri dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Sebelum ini, Ismail turut menafikan beliau ada bercuti ke London baru-baru ini, sebaliknya ke Timur Tengah selain menganggap dakwaan yang mengaitkan beliau dengan ‘Langkah London’ itu sebagai fitnah jahat.

    “Saya berada di Abu Dhabi dan Dubai untuk bercuti bersama keluarga. Kami melawat Warner Bros di Abu Dhabi.” kata Ismail.

    Pada masa yang sama, Mahdzir turut menyatakan keyakinan beliau bahawa rundingan kerusi melibatkan BN dan PH Kedah akan berjalan lancar bagi menghadapi PRN Kedah tahun ini.

    Katanya, kedua-dua pihak akan berbincang bagi pembahagian kerusi yang akan ditandingi mereka kelak.

    “Kalau di Kedah tu tiada nak korban apalah, semua kerusi mereka (PH).

    “Berapa banyak kerusi yang kita dapat berdasarkan kepada perbincangan itu nanti,” katanya.

  • Bekas eksekutif Petronas dituduh rasuah, AMLA RM9.65 juta

    Bekas eksekutif Petronas dituduh rasuah, AMLA RM9.65 juta

    SEORANG bekas eksekutif (Pembinaan) Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas 41 pertuduhan rasuah dan lima pengubahan wang haram berjumlah RM9.65 juta berhubung kerja-kerja penyelenggaraan.

    Mohd Amal M. Razalan, 36, bapa kepada dua anak itu mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

    Bagi pertuduhan pertama hingga ke-41, tertuduh didakwa menerima kesemua suapan tersebut berjumlah RM9.4 juta daripada empat individu iaitu Ketua Pegawai Operasi Synergy Spectular Sdn Bhd, Mohd Hakimin Mohd Zubir; Pengarah Faltech Engineering Sdn Bhd, Faisol Mustapha Idris; Pengarah Majestika Sdn Bhd, Mustaza Zawawi dan Pengurus Projek SAP Sdn Bhd, Robert Khoo melalui cek serta pindahan dalam talian dari akaun Maybank Berhad milik beberapa syarikat menerusi MGV Energy Sdn Bhd.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu dengan persubahatan bersama pengarah syarikat MGV Energy, Muhammad Nazreen Abd Hamid sebagai upah tertuduh melakukan apa-apa transaksi yang berkaitan dengan tugasnya iaitu memperakukan kira-kira lebih 50 ‘Job Completion Ticket’ kepada PCSB serta membantu Faltech Engineering mendapatkan kerja-kerja ‘Provision Of Civil & Structural Maintenance Services For PCSB’.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 28 (1) (c) dan boleh dihukum dengan Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Mohd Amal juga didakwa atas lima pertuduhan menerima RM252,042.92 melalui beberapa akaun bank miliknya dan satu akaun Kad Kredit Korporat Maybank Berhad milik MGV Energy daripada akaun Maybank Berhad milik MGV Energy, yang kesemua wang berkenaan merupakan hasil daripada aktiviti haram.

    Pertuduhan mengikut Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001, yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa cawangan Maybank dan Hong Leong Bank di Shah Alam, Petaling Jaya serta Puchong, dekat Shah Alam antara 29 Ogos 2018 dan 18 Mac 2022.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon jaminan RM200,000 hingga RM300,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

    “Apa bentuk jaminan yang dikenakan seharusnya mencerminkan tahap keseriusan kesalahan dan jumlah jaminan yang ditawarkan itu adalah munasabah,” katanya.

    Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mohd Amal memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya telah dikenakan jaminan RM180,000 pada 4 Januari lepas di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi lebih 40 pertuduhan.

    “Saya mohon mahkamah mengambil kira semua aset anak guam saya telah dibekukan, penjamin perlu mencari sumber untuk membayar jaminan.

    “Anak guam saya juga adalah penanggung utama keluarga, dia menanggung isteri, dua anak dan adik-beradiknya selain bapanya kini menghidap penyakit lumpuh kekal,” katanya.

    Menurutnya, tertuduh juga telah ditamatkan perkhidmatan dengan Petronas sejak Mei tahun lepas selain memberi kerjasama baik dengan pihak SPRM sepanjang siasatan dijalankan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 berserta seorang penjamin dengan RM70,000 dibayar hari ini dan selebihnya sebelum tarikh sebutan semula kes pada 30 Januari ini.

    Pada 4 Januari lepas, lelaki itu didakwa atas 37 pertuduhan rasuah dan enam pengubahan wang haram melibatkan wang berjumlah lebih RM6 juta.

  • Warisan tidak diterima dalam kabinet kerajaan Sabah

    Warisan tidak diterima dalam kabinet kerajaan Sabah

    TIADA wakil daripada Parti Warisan (Warisan) dalam Majlis Angkat Sumpah di Dewan Kunjungan, Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini, walaupun parti itu menyokong Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

    Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, itu merupakan antara keputusan yang dipersetujui bersama oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) Sabah, dan lima ADUN Barisan Nasional (BN) Sabah.

    “Ini merupakan satu daripada formula Kerajaan Perpaduan dengan rombakan Kabinet baharu di Sabah yang telah masukkan tiga muka baharu, dua PH dan satu BN.

    “Daripada Warisan dan daripada satu kumpulan yang telah mengadakan penentangan terhadap Ketua Menteri itu memang kita telah persetujui bersama tidak akan menerima mereka”, ujar Shahelmey ketika ditemui media di luar Istana Seri Kinabalu, hari ini, lapor Astro Awani.

    Keputusan tersebut dipercayai rentetan peristiwa cubaan menjatuhkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Datuk Seri Hajiji Haji Noor selaku Ketua Menteri Sabah.

    Sebelum ini, Warisan melalui presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengeluarkan kenyataan mempertikaikan keabsahan Hajiji sebagai Ketua Menteri berdasarkan Fasal 6(3) dan (7) Perlembagaan Negeri Sabah serta menggesa beliau meletakkan jawatan memandangkan Hajiji bukan lagi ketua parti dan tidak memiliki majoriti berdasarkan Fasal 6(7).

    Tindakan Warisan yang dilihat senada dengan BN Sabah itu akhirnya membawa konotasi politik berbeza oleh orang awam seolah-olah keduanya mempunyai hubungan kerjasama untuk ‘merampas kerajaan’ daripada Hajiji.

    Namun, perkara tersebut menurut Shafie merupakan sekadar dakwaan orang awam sahaja.