Category: Semasa

  • “Saya pun tak tahu kenapa digelar pengkhianat,” kata Hishammuddin

    “Saya pun tak tahu kenapa digelar pengkhianat,” kata Hishammuddin

    AHLI Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak tahu mengapa dirinya dan sembilan lagi Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) digelar pengkhianat kerana menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata, mereka akhirnya mengikut ketetapan parti dan menarik semula sokongan berkenaan.

    “Sehingga hari ini saya tak tahu apa sebabnya kita dituduh sebagai pengkhianat. Saya cukup yakin bahawa apa yang telah berlaku, tidak ada benda yang patut kita apologetik sehingga dituduh mengkhianati perjuangan parti.

    “”Kalau mereka nak ambil tindakan, ambillah tak ada benda yang saya perlu bimbang,” katanya ketika ditemui media selepas ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

    Hishammuddin berkata, mereka menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong Muhyiddin berdasarkan pendirian awal BN untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan.

    Jelas beliau, pihaknya konsisten sebelum ini kerana peringkat awal usaha bersama-sama PH bercanggah dengan pendirian parti sendiri.

    “Jadi kita buat SD berkenaan tetapi bila parti sudah buat keputusan, kita berkecuali pada satu ketika dahulu (tidak menyokong PH atau PN), kita tarik balik SD berkenaan.

    “Selepas itu bila Agong bertitah, kita setuju wujudkan kerajaan perpaduan. Kita pun anggap itu kehendak parti lalu kita setuju. Jadi, di mana pengkhianatannya,” soalnya.

    Selain itu, beliau turut mengingatkan semua pihak bahawa rakyat di luar sana sudah muak dengan cara UMNO dan BN bertelagah serta membuat tuduhan sesama sendiri.

    “Saya nak ingatkan semua pihak, orang di luar sana sudah muak, bosan dengan cara kita berbalah, bertelagah, menuduh sesama kita kerana penting untuk parti lihat ke hadapan.

    “Kita akan berdepan dengan pilihan raya negeri. Kita sudah kalah dalam pilihan raya umum. Saya harap apa yang kita dapat bincangkan dalam PAU tahun ini ialah hala tuju dan cara bagaimana dapat mengurangkan jurang kepercayaan orang ramai terhadap parti dan perjuangan.

    “Itu lebih baik daripada hanya menggunakan platfom PAU ini untuk bercakaran berbalah sesama kita, tuduh menuduh sesama kita, serang menyerang sesama kita cukup-cukuplah,” katanya, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau bersama Lembaga Disiplin Barisan Nasional (BN) akan memantau 10 Ahli Parlimen gabungan itu bertindak menyokong Muhyiddin yang juga pengerusi PN sebagai perdana menteri selepas PRU15.

    Menurutnya, pemantauan dilakukan bagi memastikan tiada lagi gerakan pembentukan kerajaan dengan membelakangi keputusan parti.

  • Tajuddin tolak keputusan MKT UMNO kekal gantung keahliannya

    Tajuddin tolak keputusan MKT UMNO kekal gantung keahliannya

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEKAS Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menolak keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang tidak melayan rayuan keahliannya sebaliknya kekal dengan ketetapan sebelum ini iaitu menggantung keahliannya selama enam tahun.

    Tegas beliau, walaupun MKT mempunyai kuasa di bawah fasal 5.9 dan 10.6 untuk menggantung atau memecat seseorang ahli, pertuduhan

    terhadapnya di bawah fasal 20.9 tidak disebutkan dengan jelas alah tanpa sebarang bukti.

    Jelasnya, beliau juga tidak diberi peluang untuk membela diri atas pertuduhan sekiranya memang benar ada melakukan kesalahan.

    “Pada hemat saya MKT telah membuat berdasarkan berdasarkan tohmahan dan fitnah orang-orang tertentu yang mahu menjatuhkan kerjaya politik saya.

    “Mereka ini terdiri daripada beberapa ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pasir Salak yang telah berpakat dengan pegawai-pegawai di ibu pejabat UMNO.

    “Pada mulanya tujuan mereka adalah untuk menafikan kedudukan saya yang berhak untuk menjadi calon kerusi Parlimen Pasir Salak pada Pilihan Raya Umum ke-15.

    “Kali ini mereka melancarkan gerakan menjatuhkan saya sebagai Ketua Bahagian UMNO Pasir Salak dengan tuduhan mensabotaj ketiga-tiga calon yang bertanding dalam kawasan Parlimen Pasir Salak,” katanya menerusi surat kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Mazlan, semalam.

    Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil pada minggu lalu memaklumkan, MKT menolak rayuan Tajuddin dan keputusan itu berkuat kuasa pada 6 Januari lalu dan penggantungan adalah selama enam tahun.

    Jelas Isham, rayuan Tajuddin ditolak atas alasan disiplin seperti yang terkandung dalam Perlembagaan UMNO.

    Tajuddin berkata, semua tuduhan yang dilemparkan terhadapnya berniat jahat dan tidak benar sama sekali.

    “Untuk maklumat Dato Seri saya sudah menerima dengan hati yang terbuka keputusan pucuk pimpinan untuk tidak menamakan saya semula sebagai calon ahli Parlimen pada PRU yang lalu,” katanya.

    Menurutnya, atas dasar cintakan parti dan inginkan ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Pasir Salak tetap menjadi milik UMNO dan Barisan Nasional (BN), beliau telah membantu jentera untuk berkempen siang dan malam pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

    Dakwanya, ini termasuk menyuntik semangat dan menghulurkan bantuan kewangan kepada jentera parti sebanyak RM1 juta.

    Semua gambar-gambar beliau semasa aktiviti berkempen pada PRU lalu katanya, diserahkan kepada Ahmad bagi membuktikan penglibatannya.

    “Saya ingin memohon kepada MKT agar memberi keadilan kepada saya serta menarik balik keputusan tersebut dengan seberapa segera bagi tujuan mengembalikan semula perpaduan dan keutuhan UMNO Bahagian Pasir Salak,” katanya.

  • Calon PRU15, sokong Anwar bukan keputusan saya seorang-Zahid

    Calon PRU15, sokong Anwar bukan keputusan saya seorang-Zahid

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan mengatakan beliau bertindak sendirian dalam pemilihan calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam penubuhan kerajaan perpaduan.

    “Proses pemilihan calon parti melibatkan rundingan di peringkat ‘top five’, Majlis Kerja Tertinggi dan perhubungan negeri melalui pengerusi-pengerusinya.

    “Memilih gabungan parti lain sebagai gabungan bagi membentuk kerajaan perpaduan juga adalah bersandarkan persefahaman awal di peringkat parti kita bahawa tiada mana-mana parti boleh membentuk kerajaan.

    “Maka dengan sebab itu rundingan dengan pihak luar perlu diadakan,” katanya dalam ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

    Jelas Zahid, tidak adil menuding jari beliau membuat persefahaman awal dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan bersama selepas PRU15.

    Beliau menafikan wujudnya perjanjian sulit, sebagaimana yang pernah ditandatangani 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tanpa pengetahuan parti sebelum PRU15.

    Zahid turut menjelaskan daripada 119 calon UMNO pada PRU15, hanya enam sahaja yang bertukar di saat akhir atas beberapa pertimbangan.

    “Bakinya 113, adalah hasil rundingan dengan pengerusi perhubungan negeri bersama ‘top five’,” katanya, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu dan memimpin kerajaan perpaduan dianggotai PH yang mempunyai 82 kerusi, diikuti BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23) dan Gabungan Rakyat Sabah (enam) serta parti lain dengan keseluruhan kekuatan kini hampir mencecah dua pertiga Ahli Parlimen.

  • Zahid jelaskan alasan UMNO pilih PH walau ada ‘No Anwar No DAP’

    Zahid jelaskan alasan UMNO pilih PH walau ada ‘No Anwar No DAP’

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberikan alasan berkenaan keputusan parti itu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di sebalik ketetapan no Anwar dan no DAP sebelum ini.

    Ahmad Zahid berkata, walaupun keputusan itu dibuat oleh perhimpunan parti sebelum ini, ada fasal dalam perlembagaan UMNO memberikan kuasa kepada salah satu badan parti bagi.

    “Merujuk kepada Fasal 9.1 Perlembagaan UMNO, ia memberi kuasa kepada majlis kerja tertinggi (MKT) untuk menjalankan kerja pentadbiran parti di bawah perhimpunan agung.

    “Ada suara mempertaikankan parti apabila bekerjasama dengan PH dengan mengungkit ketetapan menolak Anwar Ibrahim dan DAP sebelum ini.

    “Mereka ini cenderung untuk melihat UMNO bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) yang disertai antaranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan.

    “Kelompok yang bersuara ini tidak pula menyebut PAU juga membuat keputusan dan ketetapan no Bersatu,” katanya dalam ucapan dasar presiden di Kuala Lumpur hari ini.

    Ahmad Zahid menjelaskan sebagai sebuah parti berperlembagaan, UMNO membuat keputusan sesuai dengan peraturan yang ada.

    Justeru katanya fasal 9.1 menyebutkan MKT berkuasa menjalankan sebarang langkah bagi pihak perhimpunan agung dan keputusan berkenaan hendaklah dimaklumkan kepada perhimpunan agung.

    Pada pilihan raya umum (PRU) lalu BN mencatat keputusan terburuknya apabila hanya memenangi 30 kerusi Dewan Rakyat dengan 26 daripada diwakili UMNO.

    Pada masa sama tiada parti lain mampu mendapat majoriti kerusi parlimen dan ia menyebabkan berlaku kebuntuan politik selama beberapa hari selepas berakhirnya PRU ke-15.

    Umno-BN kemudian memutuskan untuk memberikan sokongan kepada PH yang diketuai Anwar dan turut dianggotai DAP untuk membentuk kerajaan pusat.

    Pada masa sama wujud kumpulan tertentu yang keberatan dengan langkah tersebut dan menunjukkan keengganan mereka sama ada secara terbuka atau tersirat.

    Kumpulan terbabit dilihat lebih cenderung kepada PN.

    Berdasarkan keadaan ketika itu, jika sokongan diberikan kepada BN, parti itu akan membantu Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

    Selaras dengan pembentukan kerajaan gabungan bersama PH, Ahmad Zahid dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

    Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pendirian UMNO membentuk kerajaan dengan PH adalah selaras perakuan yang diberikan kepada Yang di- Pertuan Agong yang mahukan kerajaan perpaduan diwujudkan.

    “Pada masa yang sama PH juga bersetuju dengan titah Yang di-Pertuan Agong sebaliknya Perikatan Nasional (PN) menolak titah berkenaan.

    “Makanya, sesuai dengan perlembagaan parti dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, mesyuarat MKT telah membuat keputusan, berdasarkan kaedah mempertimbangkan mudarat kecil dan mudarat besar kepada parti. Malah kita juga turut membuat pertimbangan berasaskan prinsip demokrasi,” katanya lagi.

    Tambah ahli parlimen Bagan Datuk itu lagi pemilihan PH juga adalah berdasarkan jumlah kerusi yang diberikan rakyat kepada parti itu dan mandat lebih besar rakyat beri kepada mereka.

    “Setelah dibahaskan, MKT membuat ketetapan untuk memilih bersama PH bagi menubuhkan kerajaan perpaduan Malaysia,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • BN kalah PRU15: “Saya boleh saja salahkan ‘poster boy'” – Ahmad Zahid

    BN kalah PRU15: “Saya boleh saja salahkan ‘poster boy’” – Ahmad Zahid

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau boleh sahaja meletakkan tanggungjawab di bahu ‘poster boy’ susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Namun saya memilih untuk tidak berbuat demikian kerana mahu memastikan parti bergerak ke hadapan dan bukan terus mencari kesalahan,” katanya.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengakui, kekalahan BN juga telah mengundang pelbagai pandangan, desakan serta kecaman.

    “Kita boleh sahaja menggariskan pelbagai alasan dan punca dengan menuding jari ke sana sini. Akan tetapi, janganlah kita menjadi telunjuk lurus kelingking berkait.

    “Saya boleh sahaja menggariskan; adanya kempen pilihan raya calon kita memburukkkan partinya sendiri. UMNO katanya parti korup, UMNO sudah rosak, sudah sesat dan pelbagai nista dilemparkan.

    “Sehingga ucapannya dijadikan modal pihak pembangkang menyerang kembali UMNO. Boleh juga saya menyebut, poster boy…. poster boy perlu bertanggungjawab sepenuhnya, kerana beliau menjadi wajah hadapan parti dalam PRU15.

    “Jika ini hendak dijadikan polemik, kita tidak akan bergerak ke hadapan. Kita akan terus mencari-cari kesalahan,” katanya ketika menyampaikan ucapan Dasar Presiden pada PAU2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini, lapor Astro Awani.

    Pada PRU15, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Perdana Menteri ketika itu dijadikan ‘poster boy’ bagi BN untuk menghadapi PRU15.

    Menerusi PRU15, UMNO hanya memenangi 30 kerusi Parlimen.

    Sementara itu, Malaysiakini melaporkan, Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya mengumpamakan pihak yang sebelum ini menyalahkan UMNO namun muncul kembali selepas parti itu menjadi kerajaan seperti kura-kura.

    Bercakap secara berkias dalam ucapan dasar presiden pagi ini, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjelaskan ketika BN gagal membentuk kerajaan dan sedang berdepan pilihan sama ada Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH), mereka menjauhkan diri.

    Kononnya, kata Ahmad Zahid, sebagai mengambil tanggungjawab atas kekalahan Umno-BN dalam PRU ke-15 lalu.

    “Tidak kurang juga setelah tewas dalam pemilihan mereka terus menyepikan diri, ibarat kura-kura yang menyorokkan kepala,” katanya.

    Ahmad Zahid memberitahu pihak terbabit melemparkan pelbagai tuduhan kepada UMNO seperti menggelarnya parti korup dan sudah rosak.

    Hujah itu, katanya, kemudian digunakan pula oleh pihak lawan untuk mengalahkan UMNO.

    Ketika pemimpin parti cuba mengembalikan kekuatan UMNO semula, tambahnya, ‘kura-kura’ berkenaan muncul dan mengeluarkan kepalanya kembali.

  • Zahid dedah gerakan singkir Pengerusi BN

    Zahid dedah gerakan singkir Pengerusi BN

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat gerakan yang dibuat untuk menyingkirkan beliau sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) selepas kekalahan besar parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Selain itu beliau mendakwa terdapat rundingan pintu belakang yang diatur dengan Perikatan Nasional (PN) melalui Langkah St Regis.

    “Saya tidak mahu mencanangkan di sini, siapa dan apakah gerakan itu kerana bagi saya, apa yang telah berlaku, makin menyerlahkan sikap dan nafsu politik serakah peribadi mereka terlibat tanpa memikirkan mudarat kepada parti.

    “Semoga dengan penjelasan ini, letakkanlah noktah kepada polemik ini. Saya tahu, perkara-perkara ini menjadi modal yang terus dimainkan tambahan pula pemilihan parti semakin hampir.

    “Termasuklah, saya mendengar lontaran-lontaran pandangan yang menyentuh soal pemilihan parti khususnya jawatan utama Presiden dan Timbalan Presiden parti. Ada yang mahu kedua-dua jawatan ini tidak dipertandingkan dan tidak kurang juga yang mahu ia dipertandingkan.

    “Sebagai seorang yang yakin kepada proses demokrasi, saya menyerahkan kepada para perwakilan untuk menentukannya. Namun, saya yakin ahli-ahli UMNO boleh menilai yang mana kaca, yang mana permata. Yang mana pepat di luar, rencong di dalam. Bak kata orang muda, yang mana ‘ori’ yang mana ‘fake’,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

  • Zahid serah perwakilan tentu dua jawatan utama dipertanding

    Zahid serah perwakilan tentu dua jawatan utama dipertanding

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada perwakilan membuat keputusan sama ada dua jawatan utama parti akan dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

    Menurutnya, sebagai seorang yang yakin kepada proses demokrasi, beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukannya.

    “Namun, saya yakin ahli UMNO boleh menilai yang mana kaca yang mana permata. Yang mana pepat di luar, rencong di dalam. Bak kata orang muda, yang mana ‘ori’ yang mana ‘fake’,” katanya dalam ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

    Pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO menimbulkan polemik apabila pemimpin parti mempunyai pandangan berbeza sama ada ia perlu dipertandingkan atau tidak.

    Semalam, Khairy Jamaluddin yakin Zahid seorang pejuang dan tidak gentar menghadapi pencabar untuk merebut jawatan presiden parti itu.

    Khairy melalui Instagramnya berkata, UMNO seharusnya membuka ruang jawatan Presiden untuk dipertandingkan bagi mengekalkan demokrasi dalam parti politik Melayu itu.

  • Polis tumpaskan sindiket dadah

    Polis tumpaskan sindiket dadah

    Oleh BADLISHAH MAT

    SINDIKET penyeludupan dan pengedaran dadah berjaya ditumpaskan polis menerusi serbuan di sebuah pondok berdekatan kandang lembu di Kampung Sungai Division, Sungai Petani pada Isnin dan Selasa lalu.

    Serbuan itu menyaksikan dadah seberat 1.67 kilogram (kg) bernilai RM58,496 dirampas oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, seramai lima lelaki termasuk seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 22 hingga 36 tahun ditahan dalam serbuan tersebut.

    Zaidy berkata, serbuan pertama dijalankan pada pukul 11 malam dan berjaya menahan tiga lelaki termasuk seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 22 hingga 36 tahun.

    “Hasil serbuan tersebut polis merampas dadah jenis heroin seberat 1660.5 gram dan syabu seberat 1007.5 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, serbuan kedua di lokasi sama pada pukul 12.15 malam membawa kepada penahanan dua lagi suspek yang merupakan pengembala lembu dan pengawal keselamatan berusia 35 dan 36 tahun.

    “Ujian air kencing bagi kesemua suspek yang ditahan didapati negatif daripada sebarang jenis dadah, namun tiga daripada mereka didapati mempunyai rekod jenayah,” katanya. 

    Zaidy berkata, pihaknya turut merampas lima buah motosikal dan sejumlah wang tunai dengan nilai rampasan itu berjumlah RM29,100.

    “Bagi jumlah keseluruhan rampasan dadah dan barang yang disita itu pula adalah sebanyak RM87,569.

    “Kesemua tangkapan kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Siasat dakwaan campur tangan kes profil tinggi

    Siasat dakwaan campur tangan kes profil tinggi

    KERAJAAN perlu menyiasat dakwaan campur tangan kehakiman dalam kes berprofil tinggi.

    Pengamal undang-undang, Bastian Pius Vendargon berkata, perkara itu berlakuseperti didakwa seorang hakim bersara.

    “Beberapa pendedahan dan aduan telah timbul berkaitan isu berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

    “Adalah diharapkan panel yang bebas, berkecuali, objektif dan berani akan dilantik untuk memastikan keadilan,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), hari ini.

    Beliau mengulas cadangan Jemaah Menteri supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan dibangkitkan dalam memoir kontroversi bekas Peguam Negara Tommy Thomas.

    Menteri Undang-undang, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan RCI itu bertujuan mencungkil kebenaran dan mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk membaharui institusi perundangan negara.

    Pada Ogos 2018, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer mendedahkan beliau telah ditegur hakim kanan kerana memberi penghakiman bertentangan dalam kes penukaran agama secara unilateral.

    Katanya, hakim yang tidak didedahkan identiti itu menegurnya secara keras dan tidak bersesuaian dengan seseorang yang memegang jawatan seumpama itu.

    Pada Februari 2019, Hamid mengesahkan afidavit sepanjang 65 muka surat menyokong saman difailkan peguam Sangeet Kaur Deo terhadap ketua hakim negara ketika itu, Richard Malanjum.

    Afidavit yang tersebar luas itu mengatakan Malanjum gagal dalam tugasnya untuk melindungi dan memelihara kewibawaan badan kehakiman.

    Hamid turut mendakwa berlaku campur tangan dalam kes liwat kedua terhadap Anwar Ibrahim, dan rayuan kes hasutan oleh mendiang Karpal Singh.

    Susulan dakwaan itu, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berusaha merekodkan kenyataan daripada Hamid, tetapi beliau menegaskan hanya akan membuat pendedahan di RCI.

    Susulan aduan dikemukakan dua hakim, Hamid yang diwakili pasukan peguam diketuai Vendargon, diarah menghadap Jawatankuasa Etika Hakim.

    Pada Februari 2021, beliau digantung tugas selama enam bulan seterusnya menjadikannya hakim pertama menerima hukuman seumpama itu sejak Akta Jawatankuasa Etika Kehakiman 2010 diwartakan.

  • Mayat mangsa bunuh ditemukan dalam guni di tepi jalan

    Mayat mangsa bunuh ditemukan dalam guni di tepi jalan

    SATU mayat dalam guni ditemui di tepi Jalan Persiaran Aman Perdana 1, di Klang petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, penemuan berkenaan dimaklumkan orang awam kepada polis pada pukul 6.10 petang.

    “Mayat yang mulai reput itu ditemui dalam keadaan berbungkus dalam guni putih.

    “Keadaan mayat hanya memakai kain sarung warna biru tanpa baju. Identitinya juga masih belum dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, mayat dipercayai mangsa bunuh itu telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya.

    Tambah beliau, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan You Swee Leong di talian 012-4071452.

    “Orang ramai juga boleh hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di talian 03-32912222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya, lapor Astro Awani.