Category: Semasa

  • Polis buru suspek ragut beg tangan

    Polis buru suspek ragut beg tangan

    POLIS Daerah Timur Laut, Pulau Pinang sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki meragut beg tangan seorang wanita di Lorong Selamat, George Town dalam kejadian semalam.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, video kejadian ragut itu dikesan tular selepas dimuat naik di laman Facebook ‘We are Malaysians’ kira-kira pukul 8 pagi ini.

    Jelas beliau, polis juga telah menerima laporan mengenai kejadian ragut itu kira-kira pukul 1.55 tengah hari semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun mendatangkan cedera.

    ”Melalui rakaman kamera papan pemuka kereta milik suami mangsa, mangsa diragut seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda berwarna hitam.

    ”Lelaki tersebut menghampiri dan meragut beg tangan mangsa yang disangkut di atas bahu kanannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada tangan kanan selain turut mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM2,800.

    Tambahnya, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi balai polis terdekat atau Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

  • Pulau Pinang isytihar penyakit demam babi Afrika sebagai bencana

    Pulau Pinang isytihar penyakit demam babi Afrika sebagai bencana

    PENYAKIT demam babi Afrika (ASF) di Pulau Pinang kini diisytihar sebagai bencana setelah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri itu mengesahkan setakat hari ini tujuh buah ladang babi komersil dijangkiti penyakit terbabit.

    JPV Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, sebanyak tujuh buah ladang babi komersial itu masing-masing lima di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan dua di Seberang Perai Tengah (SPT).

    Menurutnya, pengesahan penyakit itu dibuat melalui ujian Polimerase Chain Reaction (PCR) yang dijalankan oleh Makmal Veterinar Zon Utara Bukit Tengah, pada 4 hingga 12 Januari lalu ke atas sampel babi dari ladang-ladang tersebut.

    ”Bagi mengawal dan mencegah perebakan penyakit ASF, JPV Pulau Pinang telah menjalankan ‘stamping out policy’ menerusi pemusnahan babi di ladang yang disahkan positif penyakit ASF.

    “Pemusnahan tersebut dijalankan menggunakan kaedah gas CO2 (High Concentration) mengikut garis panduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan Pengurusan Pelupusan Haiwan sebelum ditanam secara sempurna,” kata kenyataan itu.

    Tambah kenyataan itu, sehingga hari ini, sebanyak 929 ekor babi telah dimusnahkan dari ladang di daerah SPS.

    Jelasnya, pemusnahan akan diteruskan pada hari ini di ladang kedua setelah terdapat banyak kematian babi di ladang terbabit dan dijangka memakan masa kira-kira satu minggu untuk diselesaikan.

    “Aktiviti pemusnahan tidak dapat dimulakan dengan lebih awal akibat kekangan kawasan untuk dijadikan tapak pelupusan babi,” katanya.

    Tambahnya, bagi mengesan jangkitan dan perebakan penyakit ASF di kawasan berhampiran aktiviti pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan bagi kesemua ladang ternakan babi dalam radius lima kilometer (km) dari ladang yang terlibat terus aktif dijalankan.

    Katanya, aktiviti pemantauan dan pemeriksaan karkas juga giat dijalankan di semua rumah sembelihan babi berlesen di Pulau Pinang.

    Dalam pada itu, kenyataan itu menambah, sekatan jalan raya (SJR) telah mula dijalankan di jalan-jalan masuk ke kawasan perkampungan Valdor bermula 10 Januari lalu.

    “SJR ini dijalankan bagi mengawal pergerakan keluar dan masuk babi hidup serta karkas babi dari kawasan jangkitan seterusnya mengawal penularan penyakit ASF ini ke kawasan lain,” katanya.

  • Kontraktor ditahan SPRM kerana menipu RM444,000

    Kontraktor ditahan SPRM kerana menipu RM444,000

    SEORANG kontraktor ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan membabitkan kes tuntutan palsu kerja pembersihan dan penyelenggaraan di sebuah institut latihan awam di Selangor bernilai RM 444,000.

    Perintah reman dikeluarkan Majistret Siti Hajar Ali selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Terdahulu suspek lelaki berusia 36 tahun itu ditahan jam 8 malam semalam selepas hadir di Pejabat SPRM cawangan Kuala Selangor.

    Menurut sumber, suspek yang menggunakan perniagaan sebuah syarikat mengemukakan tuntutan bayaran palsu kepada pihak institut latihan di Selangor.

    “Ia bagi kerja perkhidmatan pembersihan bangunan dan pejabat serta menyelenggara landskap berjumlah RM 444,000, sedangkan kerja itu tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

    “Suspek melakukan perbuatan itu antara September 2020 hingga April 2022 ketika menjadi kontraktor di institut berkenaan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

  • Bekas pelari pecut negara Anita Ali meninggal dunia

    Bekas pelari pecut negara Anita Ali meninggal dunia

    BEKAS pelari pecut wanita negara Anita Ali meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Kuala Lumpur, pada usia 49 tahun, semalam. 

    Berita pemergian atlet yang pernah beraksi pada Sukan SEA era 80-an itu dikongsi Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata arwah meninggal dunia kira-kira 7.15 petang semalam akibat kanser payudara yang dialaminya sebelum ini, yang merebak ke tulang belakang. 

    “Pada Disember lepas, arwah dimasukkan ke PPUM, dan pihak YAKEB membawa beliau ke hospital swasta untuk imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik), dan kanser beliau didapati semakin parah.

    “Beliau bersungguh-sungguh melawan kanser, namun meninggal dunia pada hari kelahirannya semalam,” katanya. 

    Noorul Ariffin berkata pemergian Anita yang pernah beraksi pada Sukan Asia di China pada 1990 disifatkan sebagai kehilangan besar buat arena olahraga tanah air. 

    Katanya, Anita yang merupakan ahli Yakeb, banyak memberi nasihat kepada atlet muda untuk terus mengharumkan nama negara. 

    Pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur, Anita yang ketika itu berusia 21 tahun bersama gandingannya G. Shanti, Sajaratuldur Hamzah dan Datuk Mumtaz Jaafar memperbaharui rekod kebangsaan acara 4×100 meter dengan catatan 45.37 saat. 

  • Siti Bainun antara 16 saksi beri keterangan peringkat bela diri

    Siti Bainun antara 16 saksi beri keterangan peringkat bela diri

    SERAMAI 16 saksi akan memberi keterangan dalam perbicaraan peringkat pembelaan Siti Bainun Ahd. Razali, atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan ‘sindrom down’ dikenali Bella, bermula minggu depan.

    Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi berkata, senarai itu membabitkan 11 saksi pembelaan, termasuk pengasas Rumah Bonda itu, empat saksi ditawarkan oleh pendakwaan dan seorang saksi pendakwaan yang dipanggil semula selepas memberi keterangan di peringkat pendakwaan.

    Pembelaan memohon untuk memanggil semula tiga saksi pendakwaan, namun hanya seorang dibenarkan iaitu Asisten Superintendan Rohaini Baharom dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).

    “Pembelaan membuat permohonan untuk panggil semula saksi pendakwaan pada 7 Disember lalu, mengikut Seksyen 173 Kanun Tatacara Jenayah. Mahkamah minta senarai saksi lengkap itu dua hari kemudian. Pada 21 Disember lalu, pembelaan memuktamadkan senarai itu berserta alasannya.

    “Pembelaan kata nak panggil bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood, selaku saksi utama kerana mahu sahkan keterangannya ada kredibiliti dan konsisten, namun ia adalah pertimbangan yang perlu dibuat mahkamah. Panggil semula Yasmin wajar ditolak.

    “Alasan diberikan untuk panggil saksi pendakwaan ke-20 (Rohaini) berkaitan keterangan saksi pendakwaan ke-21 dan ke-22. Alasan itu kukuh dan wajar untuk Rohaini dipanggil semula.

    “Keterangan pakar bedah plastik, Dr. Salmi Mohamed Shukur, pula dikatakan perlu untuk mengesahkan keterangan doktor yang lain. Saya berpendapat tiada keperluan memanggilnya kembali selepas memaklumkan pendirian dan diagnosis keadaan Bella yang akan diputuskan mahkamah,” katanya.

    Siti Bainun diarah membela diri terhadap pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, di antara Februari hingga Jun 2021 dan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas, mengesahkan sudah menerima salinan pernyataan saksi dibuat Siti Bainun.

    “Namun, saya membantah pernyataan tambahan yang diserahkan kepada pendakwaan dua hari lalu.

    “Ia berikutan ia dimaklumkan melebihi tempoh 14 hari, sekali gus tidak mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

    Peguam bela Siti Bainun, M. Yallini, memaklumkan mahu membuat rayuan terhadap bantahan itu.

    “Pernyataan tambahan itu sebenarnya memberi satu keistimewaan kepada pendakwaan untuk membuat pemeriksaan balas nanti,” katanya.

    Hakim kemudian menegaskan pembelaan tidak boleh membuat rayuan, sebaliknya hanya semakan dibenarkan.

    “Kita tidak nafikan hak tertuduh yang boleh memberi keterangan secara lisan. Prosiding kes ini ditangguhkan ke Isnin depan untuk bela diri.

    “Siti Bainun akan menjadi yang pertama beri keterangan. Aturan saksi lain akan dimuktamadkan pada masa itu,” katanya lapor BH.

    Pada 9 Disember lalu, Mahkamah Sesyen menetapkan tarikh perbicaraan bela diri Siti Bainun selama 25 hari iaitu 5, 6, 16 hingga 20, 26 dan 27 Januari, diikuti 20 hingga 24, 27 dan 28 Februari dan 6 hingga 10 serta 27 hingga 30 Mac.

  • Dua lelaki didakwa bunuh penganggur

    Dua lelaki didakwa bunuh penganggur

    DUA lelaki lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penganggur dalam status orang pengawasan polis, pada akhir bulan lepas.

    M. Shart Yanantham Naidu, 28, dan G. Kesevaraj, 31, didakwa bersama-sama dengan sengaja melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian T. Murthi, 37, di Taman Klebang Putra, Chemor, Ipoh antara 10.40 malam hingga 11.28 malam pada 30 Dis lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syahirah Azhar manakala kedua-dua tertuduh yang bekerja sendiri diwakili peguam Datuk Sheelan Arjunan.

  • Sokong Muhyiddin: Saya tak nafi, kalau betul, apa masalahnya, soal Abdul Rahman

    Sokong Muhyiddin: Saya tak nafi, kalau betul, apa masalahnya, soal Abdul Rahman

    AHLI Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad mendakwa tidak tahu-menahu bahawa namanya tersenarai dalam salah seorang yang menandatangani surat akuan berkanun (SD) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Sebaliknya, Timbalan Menteri Kerja Raya itu memberikan alasan bahawa beliau tidak menonton berita.

    “Ada nama saya? Saya tak perasan pula ada nama saya. Saya tak pernah tengok berita,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

    Ahmad Zahid sebelum ini mendedahkan nama 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk daripada UMNO yang menandatangani SD menyokong pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.

    Pendedahan itu dibuat Timbalan Perdana Menteri itu ketika berucap pada sesi taklimat khas Presiden UMNO yang diadakan secara tertutup sempena PAU2022, kelmarin.

    Semalam, beliau mengakui telah memaafkan tindakan 10 Ahli Parlimen terbabit dan akan terus memantau bersama Lembaga Disiplin parti mengenai pendirian mereka, atau jika ada sebarang gerakan.

    Mengulas lanjut, Abdul Rahman bagaimanapun tidak menafikan bahawa beliau antara yang termasuk dalam senarai 10 orang Ahli Parlimen berkenaan.

    “Saya tak nafi, tapi saya tak tahu. Kalau ada, apa masalah,” soalnya.

    Sementara itu, menyentuh mengenai ucapan Ahmad Zahid yang dilihat seperti berbaur sindiran kepada individu tertentu, Abdul Rahman bertindak menafikannya.

    “Bukan sindiran. Itu maksudnya, menasihati kita, UMNO ini, supaya bersatu kembali. Itu bukan sindiran. Tafsiran (masing-masing) sahaja (mengatakan) sindiran,” katanya lapor Astro Awani.

  • Tiga penyamun bertopeng tetak tuan rumah

    Tiga penyamun bertopeng tetak tuan rumah

    TIGA individu bertopeng memecah masuk ke dalam sebuah rumah dan menetak seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun di Kemayan, Bera, dalam kejadian samun pagi Rabu lalu.

    Selain mencederakan pemilik rumah, lelaki terbabit juga melarikan sebuah Toyota Fortuner warna hitam ketika kejadian pukul 10 pagi itu.

    Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan N. Kumaran, berkata polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera mendapati mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

    “Mangsa mengalami kecederaan di lengan dan kaki dipercayai akibat ditetak dengan parang dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh untuk rawatan.

    “Hasil siasalan awal mendapati, suspek adalah tiga lelaki bertopeng yang memacah masuk melalui pintu belakang rumah mangsa dan mencederakannya sebelum melarikan kenderaan milik mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, suspek dipercayai melarikan diri menaiki kenderaan Perodua Myvi warna kelabu dan kenderaan milik mangsa menghala ke Bahau, Negeri Sembilan.

    “Kenderaan mangsa kemudian ditemui di dalam kawasan kebun getah, FELDA Sungai Lui, Negeri Sembilan. Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

    “Orang ramai diminta menyalurkan maklumat dengan segera dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Bera, 09-2507999 atau balai polis berhampiran,” katanya, lapor BH Online.

  • PM jangan rendahkan daya intelektual rakyat Malaysia

    PM jangan rendahkan daya intelektual rakyat Malaysia

    PAS membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berucap di CTCORP Leadership Forum di Indonesia baru-baru ini yang menyentuh beberapa perkara. Berikut adalah kenyataan penuh Pas:

    1 – Kami menelaah ucapan Perdana Menteri di CTCORP Leadership Forum di Indonesia baru-baru ini yang berbicara mengenai soal kelangsungan bagaimana rakyat hari ini khasnya anak muda kurang membaca dan tidak ada nilai ada apatah lagi dengan merujuk kepada suara hati anak muda di Tik Tok sebagai contoh.

    2 – Kenyataan itu sedikit sebanyak mengguris dan merendahkan daya intelektual rakyat khasnya anak muda ketika ini yang secara majoritinya menolak kepimpinan PH-BN mengikut keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.

    3 – Generasi Tik Tok yang telah sebulat suara menolak PH-BN ini sebenarnya adalah mereka yang intelektual namun cara mereka mengekspresi luahan mereka dengan menggunakan Tik Tok amat tidak disenangi oleh PH-BN yang gagal menjawab persoalan dibangkit TikTokers khasnya mengenai isu rasuah juga skandal moral pemimpin PH-BN.

    4- Malah apabila PM berbicara soal adab kononnya, ia sebenarnya satu tamparan kepada beliau sendiri yang mana meninggalkan jauh adab apabila pernah menuduh Tuan Guru Presiden PAS fitnah beliau kononnya akan bersama BN selepas PRU-15, sedang hakikatnya pasca pilihan raya benar-benar kleptokrat yang digelar sebagai penyamun ‘hoi ya hoi’ itu menjadi gabungan bagi membentuk kerajaan pusat.

    5- Dimana nilai adab PM bilamana terlalu banyak berbohong? Inikah yang mahu beliau tunjuk kepada rakyat yang dikatakan sebagai beradab? Malah janji sebelum PRU-15 mahu mengutamakan kebajikan rakyat hingga kini masih tinggal janji walau lebih sebulan kerajaan PH-BN dibentuk.

    5- Kami menyarankan agar PM belajar adab dan belajar mengotakan janji mengurangkan beban ekonomi rakyat selain hormat kepada orang yang pernah membela beliau semasa beliau kononnya difitnah dalam skandal peribadi walau selepas itu dibuktikan bersalah di mahkamah dan dijatuhkan hukuman.

    6 – Usah berkokok di padang lain (di negara jiran) sedang ekor bergelumang najis di negara sendiri.

    YB IR TS KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
    Ketua Penerangan Pas Pusat
    Ahli Parlimen Jerantut
    13 Januari 2023

  • Pas bunuh UMNO: Pas sanggah kenyataan Timbalan Presiden UMNO

    Pas bunuh UMNO: Pas sanggah kenyataan Timbalan Presiden UMNO

    KENYATAAN Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa Pas mahu membunuh UMNO dan pada masa sama menyifatkan DAP sebagai parti politik yang tidak bermuka-muka dan berpura-pura semasa berucap pada perasmian perhimpunan agung sayap UMNO malam semalam mengundang pelbagai kritikan.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan antara yang tidak bersetuju dengan kenyataan Mohamad atau Tok Mat yang menyaksikan beliau berterus-terang dengan perwakilan tentang kerjasama UMNO dengan seteru lama, DAP.

    Berikuta adalah kenyataan penuh Takiyuddin:

    Kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohamad Hasan, bahawa Pas ‘ingin membunuh’ UMNO dalam politik negara ini dan pada masa yang sama menganggap DAP ikhlas terhadap UMNO adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan dibuat dalam keterpaksaan.

    Hakikatnya rakaman sejarah politik negara ini menunjukkan UMNO terus bertekad sejak sekian lama untuk menghapuskan Pas termasuk percubaan untuk mengharamkannya pada suatu ketika dahulu.

    Sebaliknya sebagai sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai dasarnya, Pas sentiasa berazam dan bertindak mendekati UMNO dalam usaha menyatukan umat Islam dan orang Melayu yang merupakan kelompok majoriti rakyat negara ini.

    Usaha Penyatuan Ummah juga seterusnya digagaskan merentasi rakyat pelbagai kaum dan agama bagi mewujudkan suasana yang aman dan harmoni melalui saluran demokrasi dan berlandaskan lunas undang-undang.

    Sehubungan itu sebagai sebuah parti arus perdana, Pas akan terus bersikap terbuka serta bersedia mengadakan pertemuan, perbincangan dan perundingan dengan mana-mana pihak dengan memfokuskan kepada titik-titik persamaan dan merapatkan jurang perbezaan demi kebaikan negara dan rakyat jelata.

    Pas amat yakin hanya dengan perpaduan semua parti-parti politik yang terbentuk di atas keikhlasan dan niat murni sahaja akan dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan yang adil dan saksama kepada seluruh rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya seterusnya akan diterima baik oleh semua.

    Dalam pada itu, Pas juga sentiasa menjunjung tinggi amalan serta pendekatan yang matang dan sejahtera dalam politik negara kita selain mendoakan agar sikap melulu, provokatif dan tidak berpijak pada kenyataan atas apa juga sebab dan tujuannya tidak akan menggugat serta merosakkan kesejahteraan dan hubungan baik yang sedia ada dalam masyarakat kita.

    ‘MALAYSIA SEJAHTERA’

    Takiyuddin Hassan
    Setiausaha Agung PAS
    13 Januari 2023