Category: Semasa

  • Ronald terima watikah pelantikan Ketua BPN Bersatu Sabah

    Ronald terima watikah pelantikan Ketua BPN Bersatu Sabah

    NAIB Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menerima watikah pelantikan sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah, yang berkuat kuasa 10 Disember tahun lalu.

    Watikah pelantikan itu disampaikan oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas selesai Mesyuarat Biro Politik Bersatu, semalam.

    Hadir sama, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Naib Presiden BERSATU Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

    Ronald juga turut dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional (PN) Sabah.

    Pada perjumpaan khas Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah di Kota Kinabalu pada 8 Januari lalu, Ronald berkata BERSATU Sabah kekal utuh malah bertambah kukuh walau beberapa pemimpin meninggalkan parti.

    Ronald berkata hakikatnya penghijrahan mereka ini tidak memberi kesan terhadap kekuatan parti di peringkat akar umbi.

    “Bersatu Sabah akan terus diperkasakan dan penyertaan beberapa pemimpin baru di semua peringkat akan merealisasikan hasrat parti untuk bangkit semula.

    “Kepimpinan Badan Pimpinan Negeri akan dikemaskini dalam masa terdekat ini bagi menggerakkan jentera parti menghadapi cabaran politik negeri,” katanya, lapor Berita Bersatu.

  • Pegawai khas Zahid Hamidi meninggal dunia

    Pegawai khas Zahid Hamidi meninggal dunia

    PEGAWAI Khas Hal Ehwal Kaum India kepada Timbalan Perdana Menteri Ramesh Rao dilaporkan meninggal dunia pagi tadi.

    Menurut Malaysia Gazette, mendiang yang juga Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia meninggal dunia akibat serangan jantung.

    Ramesh dikenali sebagai individu yang aktif memperjuangkan kebajikan masyarakat di negara ini, terutamanya kaum India.

    Pada 24 Dis lepas, pemimpin NGO yang juga penyokong Barisan Nasional itu dilantik menjadi pegawai khas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Sementara itu, Zahid dalam kenyataannya menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang selain menghargai khidmat bakti dan jasanya kepada masyarakat serta negara sebelum dan semasa berkhidmat.

    “Dengan perasaan sedih dan dukacita, saya dan seluruh warga Pejabat Timbalan Perdana Menteri serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Ramesh Rao, Pegawai Khas yang meninggal dunia pada awal pagi ini.

    “Semoga ahli keluarga, kenalan dan rakan taulan mendiang tetap sabar dan tabah dalam menghadapi dugaan kehilangan insan yang mereka sayangi,” katanya.

  • Zahid dikritik beri Azalina ‘arahan’ tentang inkuiri Thomas

    Zahid dikritik beri Azalina ‘arahan’ tentang inkuiri Thomas

    GESAAN Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya menteri undang-undang “mengorek hingga ke lubang cacing” dalam inkuiri memoir bekas peguam negara Tommy Thomas bersifat partisan dan tidak boleh diterima.

    Peguam Andrew Khoo berkata, inkuiri itu bertujuan menyiasat dakwaan yang dibuat oleh Thomas dalam buku itu, bukan peranannya sebagai bekas peguam negara mahupun sebarang “agenda sulit”.

    “Ini dilihat sebagai seruan yang sangat (bersifat) partisan, seolah-olah menjadi agenda UMNO untuk ‘mengejar’ bekas peguam negara itu,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Pada perhimpunan agung UMNO (PAU) semalam, Zahid, yang juga timbalan perdana menteri berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Azalina Othman Said akan “menggagalkan UMNO keseluruhannya” jika tidak bersungguh-sungguh dalam inkuiri itu.

    Azalina sebelum ini berkata, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja untuk meneliti dakwaan dalam memoir Thomas.

    Dalam pada itu, bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan berkata, kenyataan Zahid itu membayangkan wujudnya campur tangan dalam kebebasan inkuiri yang dicadangkan itu, dan bukti bahawa inkuiri tersebut adalah untuk kepentingan Umno, terutamanya pemimpin parti itu yang berdepan perbicaraan.

    Ambiga berkata, beliau menyokong kerjasama gabungan perpaduan, tetapi ia tidak boleh mengatasi institusi penting.

    Memoir Thomas mengundang kritikan daripada Peguam Negara Idrus Harun, peguam, ahli politik, malah orang awam, yang membawa kepada banyak laporan polis dibuat.

    Antara dakwaan dalam buku itu termasuk bahawa beliau mengadakan perbincangan dengan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, mengenai pelantikan ketua hakim, presiden Mahkamah Rayuan dan hakim besar Sabah dan Sarawak.

    Oktober tahun lepas, polis berkata, mereka sedang melengkapkan siasatan terhadap Thomas atas dakwaan menghasut serta kesalahan lain yang disyaki berhubung dakwaan dalam memoirnya.

  • Mengapa MB, Exco tak dijemput dalam majlis menteri serah Hospital Pendang?

    Mengapa MB, Exco tak dijemput dalam majlis menteri serah Hospital Pendang?

    Oleh RIZQI ZABIDI

    AHLI Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim mempersoalkan mengapa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman tidak dijemput pada Majlis Penyerahan Hospital Pendang oleh Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa kelmarin.

    Menurutnya, beliau dimaklumkan tiada jemputan diterima Menteri Besar dan exco berkenaan sekali gus menampakkan betapa mereka yang terlibat, tidak peka dengan keadaan.

    “Apakah alasannya? Adakah hanya kerana politik yang tidak seiring dengan kerajaan pusat?

    “Ini jelas menunjukkan betapa tidak pekanya seorang menteri yang seakan-akan memberi gambaran tauladan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beberapa kali mengadakan lawatan mengejut tanpa melibatkan pentadbiran negeri.

    “Mungkin suka agaknya tetapi keadaan ini sangat menjelikkan,” katanya menerusi satu status di Facebook yang dimuat naik semalam.

    Dalam majlis yang berlangsung kelmarin, Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin turut menyaksikan majlis penyerahan tersebut daripada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi kepada Dr. Zaliha.

    Hospital Pendang yang secara rasmi akan mula beroperasi pada 15 Februari ini dikategorikan sebagai hospital pakar minor setelah dilengkapi 126 katil pesakit dan empat dewah bedah.

    Mengulas lanjut Awang berkata, semua pihak perlu mengamalkan politik matang dan beradab.

    Katanya, tidak ada salahnya untuk pemimpin daripada parti pembangkang dijemput ke majlis tersebut ketika pemimpin parti sehaluan dengan kerajaan turut dipelawa ke majlis berkenaan walaupun tewas dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

    “Dalam hal membawa kebaikan kepada rakyat, kementerian sepatutnya lebih bersifat terbuka dengan melibatkan semua pihak tanpa mengira ideologi politik. Semua itu sepatutnya dilakukan demi rakyat.

    “Sudah-sudahlah bermain dengan politik murahan ‘scrap off’ dan ‘discredit’ yang akan memberi gambaran lebih buruk kepada kerajaan hari ini,” katanya.

    Tambahnya, waktu berpolitik sudah pun tamat dan kini masanya untuk menabur bakti serta memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

    “Berilah khidmat bakti dengan lebih ikhlas agar lebih banyak kebaikan dapat disalurkan kepada rakyat,” katanya.

  • Bimbang disaman, lelaki berlari ke sawah sewaktu lalui sekatan jalan raya

    Bimbang disaman, lelaki berlari ke sawah sewaktu lalui sekatan jalan raya

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TINDAKAN seorang lelaki yang tiba-tiba keluar dari kenderaannya dan melarikan diri ke sawah padi ketika diarahkan untuk berhenti ketika melalui sekatan jalan raya di kawasan Alor Mengkudu, Alor Setar semalam mengundang rasa curiga pihak berkuasa.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu mendorong anggota polis bertugas mengejar dan menahannya di tengah sawah.

    “Pemeriksaan dijalankan terhadapnya tidak menemukan sebarang sebarang barang salah. Selain itu kereta dipandunya juga tidak memiliki rekod hilang.

    “Semakan lebih lanjut mendapati dia tidak memiliki rekod kesalahan lampau. Hasil temu bual kemudiannya mendedahkan yang dia sebenarnya melarikan diri hanya semata-mata kerana tidak memiliki lesen memandu,” katanya.

    Kejadian itu turut dirakam orang awam dan menjadi tular di media sosial, Tik Tok.

    Mengulas lanjut Ahmad Shukri berkata, lelaki tersebut memaklumkan yang dia bimbang dikenakan saman kerana tidak bekerja.

    “Setelah berpuas hati dengan penjelasan diberikan, atas budi bicara pihak polis membenarkannya pulang apatah lagi dia hanya tinggal di kawasan berhampiran.

    “Begitu pun, dia diberikan amaran agar tidak mengulangi tindakan sama selepas ini,” katanya.

    Tambahnya, satu laporan polis turut dibuat berkaitan kejadian itu dan pihaknya menasihati semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan arahan anggota bertugas ketika melalui sekatan jalan raya.

  • Yamagami didakwa bunuh bekas Perdana Menteri Jepun

    Yamagami didakwa bunuh bekas Perdana Menteri Jepun

    PEJABAT Pendakwa Raya Daerah Nara pada Jumaat mendakwa Tetsuya Yamagami, 42, atas tuduhan membunuh bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe, lapor Xinhua memetik laporan akhbar Yomiuri Shimbun.

    Dia juga didakwa melanggar undang-undang kawalan senjata Jepun, menurut laporan itu.

    Tuduhan rasmi dibuat selepas Yamagami menjalani perbicaraan psikiatri enam bulan bagi menentukan kesihatan mentalnya.

    Yamagami ditahan di tempat kejadian pada 8 Julai tahun lepas selepas didakwa menembak bekas perdana menteri Abe dua kali dari jarak dekat dengan pistol buatan tangan.

    Abe, 67, ketika itu sedang menyampaikan ucapan di wilayah barat Nara, menjelang pilihan raya dewan negara.

    Yamagami, bekas pekerja Pasukan Bela Diri Maritim, didakwa menyimpan dendam terhadap Gereja Penyatuan kerana meminta derma berjumlah sekitar 100 juta yen (AS$774,000) dari ibunya.

    Pembunuh itu dilaporkan percaya Abe mempunyai kaitan dan mempromosikan organisasi itu.

  • Laporan penuh kebakaran gedung Jakel akhir Januari-Bomba

    Laporan penuh kebakaran gedung Jakel akhir Januari-Bomba

    LAPORAN siasatan kes kebakaran di Wisma Jakel di Seksyen 7, di sini dijangka siap selewat-lewatnya pada hujung bulan ini, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis.

    Katanya laporan itu meliputi hasil analisis  sampel kebakaran yang diambil di setiap sudut bangunan berkenaan serta dokumen daripada pihak Jakel sendiri.

    Selain itu katanya, pihak bomba juga akan menyiasat tentang dakwaan beberapa bahagian dalam wisma berkenaan yang diubah suai tanpa mendapat sijil perakuan bomba (FC) untuk dimasukkan dalam laporan berkenaan.

    “Bangunan tersebut mempunyai FC pada peringkat awal, tapi saya akan semak semula dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan siasat secara mendalam.

    “Jika ada perubahan (pengubahsuaian) mungkin ia masih dalam proses permohonan kerana tempoh pandemik COVID-19 selama dua tahun sebelum ini dan kemungkinan permohonan itu tergantung, tapi semua blok itu ada FC,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Lawatan Kerja Rasmi Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid ke JBPM Negeri Selangor dan Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba di Ibu Pejabat JBPM Selangor hari ini.

    Sementara itu, Norazam turut memaklumkan bangunan berkenaan masih selamat untuk diduduki dan digunakan semula kerana tempoh kebakaran yang tidak lama dan hanya melibatkan kemusnahan fabrik.

    ” (Namun) mungkin pihak Jakel perlu mencari pihak tertentu untuk mengukur tahap ketahanan bangunan tersebut. Tapi setakat ini, wisma itu tiada masalah (untuk digunakan semula),” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan gedung tekstil terkemuka itu terbakar sebanyak dua kali pada 1 dan 3 Jan lepas membabitkan anggaran kerugian hampir RM100 juta.

    Terdahulu, Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba hari ini menyaksikan seramai 83 pegawai dan anggota bomba dari seluruh negeri Selangor menerima Pingat Kebesaran Jabatan atas kecemerlangan perkhidmatan mereka sepanjang 2020 yang disampaikan Mohammad Hamdan.

    Norazam berkata daripada jumlah tersebut seramai 68 anggota menerima Pingat Cemerlang Bomba manakala selebihnya mendapat Pingat Setia Bomba.

  • Pengarah syarikat didakwa kemuka dokumen palsu jual, lupus mesin terpakai bernilai RM2.95 juta

    Pengarah syarikat didakwa kemuka dokumen palsu jual, lupus mesin terpakai bernilai RM2.95 juta

    DUA pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini di atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada syarikat pengauditan berhubung penjualan dan pelupusan mesin terpakai bernilai RM2.95 juta.

    Bagaimanapun kedua-dua tertuduh yang juga pengarah GIIB Rubber, Wong Ping Kiong, 59, dan Tai Boon Wee, 62, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan di bacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

    Ping Kiong didakwa atas empat pertuduhan, manakala Boon Wee didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat melakukan perbuatan itu.

    Bagi pertuduhan pertama, Ping Kiong didakwa mengemukakan nota debit GIIB Rubber mengandungi butiran palsu kepada pengurus audit Grant Thornton Malaysia PLT berhubung penjualan enam unit mesin terpakai bernilai RM2.95 juta kepada Top Rate Engineering Works.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh Ping Kiong dengan niat memperdayakan syarikat pengauditan berkenaan, sedangkan penjualan mesin tersebut tidak berlaku.

    Ping Kiong didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama, lapor Utusan TV.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

    Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, Ping Kiong didakwa mengemukakan dokumen palsu kepada individu sama agar kebenaran diberikan kepada Goodway Rubber Industries Sdn. Bhd. bagi melupuskan mesin sama bernilai RM2.95 juta kepada Top Rate Engineering.

    Manakala Boon Wee didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat dengan Ping Kiong melupuskan mesin-mesin berkenaan di antara bulan Januari dan Februari 2021 di Pejabat Grant Thornthon Malaysia PLT, Sheraton Imperial Court, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

    Seorang lagi pengarah GIIB Rubber, Tai Boon Wee didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan Ping Kiong melupuskan mesin-mesin terpakai bernilai RM2.95 juta di Pejabat Grant Thornthon Malaysia PLT, Sheraton Imperial Court, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur antara bulan Januari dan Februari 2021 lalu.

    Boon Wee didakwa bersubahat mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 18 akta itu.

    Hakim Suzana membenarkan Ping Kiong dan Boon Wee diikat jamin masing-masing RM60,000 dan RM50,000 dengan syarat pasport kedua-dua tertuduh ditahan.

    Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua tertuduh melaporkan diri ke Pejabat SPRM terdekat pada Isnin setiap awal bulan dan menetapkan tarikh sebutan bagi kedua-dua kes pada 28 Februari ini.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How memohon jaminan RM100,000 bagi setiap tertuduh dan dua syarat jaminan tambahan.

    Bagaimanapun, peguam Amer Hamzah Arshad memohon jaminan di antara RM30,000 dan RM40,000 atas alasan kedua-dua anak guamnya memberikan kerjasama kepada SPRM ketika siasatan.

    Peguam bela berhujah, jaminan RM100,000 yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan terlalu tinggi manakala tiada bukti yang menunjukkan kedua-duanya akan melarikan diri.

    Amer Hamzah berkata, kesalahan yang didakwa dilakukan hanya berkaitan penyerahan dokumen kepada syarikat pengauditan tanpa melibatkan kerugian wang.

    Bagaimanapun, Chin How berhujah bahawa jaminan RM100,000 itu munasabah berdasarkan kepada nilai wang yang dinyatakan dalam pertuduhan mencecah RM3 juta.

    Dalam pada itu, Amer Hamzah memaklumkan pihak pembelaan akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) agar pertuduhan terhadap anak-anak guamnya dipertimbangkan.

  • Mahkamah rayuan benar rayuan MAIS, kerajaan Selangor untuk kembali status agama wanita

    Mahkamah rayuan benar rayuan MAIS, kerajaan Selangor untuk kembali status agama wanita

    MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) dan kerajaan negeri Selangor hari ini berjaya dalam rayuan untuk mengembalikan status agama Islam seorang wanita berusia 37 tahun.

    Dalam keputusan majoriti 2-1, panel Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Yaacob Md Sam membenarkan rayuan MAIS dan kerajaan negeri untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan penukaran agama wanita itu.

    Keputusan majoriti itu yang disampaikan secara dalam talian adalah daripada Yaacob dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang memihak kepada MAIS dan kerajaan negeri Selangor manakala Datuk P. Ravinthran memberikan penghakiman bertentangan.

    Mohd Nazlan, yang menyampaikan keputusan majoriti itu berkata Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah telah memutuskan bahawa wanita itu masih beragama Islam dan oleh itu ia adalah kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

    Beliau berkata penentuan kehakiman oleh Mahkamah Syariah bahawa seseorang itu masih Islam seperti dalam kes wanita ini, semestinya bermakna dia seorang Islam dan bukannya seorang yang tidak pernah beragama Islam.

    Mohd Nazlan berkata mahkamah sivil tidak mempunyai kuasa semakan kehakiman ke atas Mahkamah Syariah, apatah lagi dalam mengubah atau meminda, membicarakan semula atau menolak keputusan Mahkamah Syariah kerana ia sama seperti melanggar Perkara 121 ( 1A) Perlembagaan Persekutuan.

    Perkara 121 (1A) menyatakan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa terhadap perkara yang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

    Beliau berkata keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan keputusan Mahkamah Syariah adalah salah dan tidak boleh dikekalkan.

    Pada 12 Dis 2013, wanita itu telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa dia tidak lagi beragama Islam namun pada 20 Julai 2017, Mahkamah Tinggi Syariah menolak samannya. Mahkamah Rayuan Syariah juga menolak rayuannya pada 1 Ogos 2017.

    Ravinthran, dalam penghakimannya yang menolak rayuan MAIS dan kerajaan negeri Selangor berkata Mahkamah Tinggi betul dalam memberikan relif yang dimohon oleh wanita itu.

    Dalam saman pemulanya, wanita itu yang semasa dilahirkan pada 1986, berbapa seorang penganut agama Hindu dan ibu yang penganut Buddha, memohon perisytiharan bahawa dia bukan seorang yang menganut agama Islam.

    Dia berkata ibunya memeluk Islam pada 1991 dan secara unilateral telah mengislamkannya, yang ketika itu berusia lima tahun, di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

    Penukaran agama itu berlaku semasa ibu bapanya dalam proses perceraian, yang kemudian dimuktamadkan pada 1992. Pada tahun berikutnya (1993) ibunya berkahwin dengan seorang lelaki Islam manakala bapanya meninggal dunia dalam kemalangan tiga tahun kemudian.

    Wanita itu mendakwa walaupun dia memeluk Islam, ibu dan bapa tirinya membenarkan dia terus mengamalkan kepercayaan Hindu, agama yang dianuti sejak dilahirkan. Dia mendakwa tidak mengamalkan ajaran Islam.

    Selepas gagal di Mahkamah Syariah, wanita itu kemudiannya memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam. Dia kemudiannya berjaya mendapat pengisytiharan bahawa dia bukan beragama Islam pada 4 April tahun lepas.

    Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Majdah Muda mewakili MAIS manakala Penasihat Undang-undang Negeri Selangor Datuk Salim Soib@Hamid bagi pihak kerajaan negeri Selangor.

    Peguam A. Surendra Ananth yang mewakili wanita itu memberitahu media bahawa beliau mendapat arahan daripada anak guamnya supaya memfailkan permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

  • Ahli perniagaan didakwa buat tuntutan palsu lebih RM1.4 juta

    Ahli perniagaan didakwa buat tuntutan palsu lebih RM1.4 juta

    SEORANG ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini atas sembilan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah lebih RM1.4 juta, pada 2021.

    Tertuduh, M Karthikesan, 44, didakwa memberikan dokumen palsu atas nama syarikat, Profit Sonata Sdn Bhd, bertarikh 4, 20 dan 26 Mei serta 21 Jun 2021 kepada seorang pegawai Perkeso bagi menuntut insentif di bawah program itu berjumlah RM1,448,240.

    Dia dituduh dengan niat memperdayakan Perkeso dengan dokumen tersebut mengandungi pernyataan palsu tentang borang pengesahan itu sedangkan senarai pekerja dinamakan dalam dokumen tersebut bukan pekerja syarikat berkenaan.

    Karthikesan didakwa melakukan perbuatan itu di Wisma Perkeso Petaling Jaya antara 22 Mei dan 25 Jun 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir matan palsu itu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 dan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Mahkamah menetapkan 13 Februari depan untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry manakala tertuduh diwakili peguam, S Vijaya.