Category: Semasa

  • Seorang maut, lima cedera ketika berlumba haram

    Seorang maut, lima cedera ketika berlumba haram

    SEORANG penunggang motosikal maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan yang dipercayai berpunca daripada kegiatan lumba haram di KM187.7
    Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan awal pagi ini.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 1.50 pagi tadi berkaitan kemalangan membabitkan enam motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Plaza Tol Alor Pongsu menghala ke Bukit Merah.

    Beliau berkata, lelaki yang berumur 20 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala lima penunggang yang lain mengalami pelbagai kecederaan.

    “Kesemua yang cedera dibawa ke Hospital Taiping dan Parit Buntar bagi menerima rawatan manakala lelaki yang maut dibawa ke Hospital Parit Buntar bagi tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.

    Mohd Yusri berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan di talian 057210539 atau 0136200564.

  • Pengasuh taska mengaku tidak bersalah dera bayi hingga koma

    Pengasuh taska mengaku tidak bersalah dera bayi hingga koma

    SEORANG pengasuh Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) mengaku tidak bersalah atas tujuh tuduhan mendera seorang bayi lelaki berusia empat bulan sehingga koma.

    Tertuduh, Raja Noor Iffa Nadia Raja Nordin,27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu Nooriah Osman.

    Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa menganiayai mangsa yang berusia empat bulan sehingga menyebabkannya mengalami pendarahan di dalam kepala dan retak di bahagian kiri tempurung kepala.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah taska di daerah Kuala Terengganu antara 1 hingga 3 Januari lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim.

    Media sebelum ini melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma selepas dipercayai didera pengasuh dalam kejadian di sebuah taska di Kuala Terengganu.

    Bayi malang itu mengalami pendarahan dalam otak dan keretakan pada tempurung kepala lapor Astro Awani.

  • Kes letupan: Suami isteri dituduh esok

    Kes letupan: Suami isteri dituduh esok

    SUAMI isteri yang sebelum ini direman bagi siasatan berkaitan kejadian letupan melibatkan seorang tukang masak maut di hadapan sebuah restoran di Pandan Indah akan dituduh di Mahkamah Majistret Ampang, esok.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kedua-dua suspek akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Katanya, kedua-dua suspek yang merupakan pasangan suami isteri sebelum ini diberkas di sebuah taman perumahan, Serdang, Kedah sebelum direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

    “Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang untuk dituduh,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Pada 4 Januari lalu, media melaporkan pasangan suami isteri direman tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan kejadian letupan itu.

    Kedua-dua suspek itu kemudian disambung reman tujuh hari sehingga 17 Januari ini bagi membantu siasatan kes letupan yang mengorbankan seorang pelayan sebuah restoran di Pandan Indah, Ampang, pada 29 Disember lalu.

    Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi dilaporkan berkata, kedua-dua suspek itu diberkas sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

    Serbuan dijalankan pukul 7.20 petang di sebuah taman perumahan, Serdang, Kedah.

  • Pembunuhan karekter PN, penyucian kluster mahkamah jadi tumpuan PH-BN ketika ini

    Pembunuhan karekter PN, penyucian kluster mahkamah jadi tumpuan PH-BN ketika ini

    PEMBUNUHAN karakter Perikatan Nasional (PN) dan penyucian imej kluster mahkamah dilihat akan menjadi keutamaan kepada gabungan PH-BN ketika ini terutama sebagai persediaan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri tidak lama lagi.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, karakter PN perlu dibunuh kerana gabungan parti itu adalah pesaing terbesar PH-BN.

    Jelas beliau, BN telah kalah teruk dengan PN namun PH memerlukan BN untuk menarik sokongan Melayu, justeru PH-BN akan bekerjasama untuk menghasut dan membentuk persepsi rakyat seolah-olah PN itu rosak dan korup.

    “Target utama PH-BN ialah keperibadian Tan Sri Muhyiddin Yassin dan keperibadian pemimpin-pemimpin kanan dalam PN.

    “Ini kerana populariti dan keyakinan rakyat terhadap PN dan Tan Sri Muhyiddin terus kekal tinggi hingga ke hari ini.

    “Rakyat tahu bahawa jika dibandingkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan orang-orangnya dengan Muhyiddin dan pemimpin di sekeliling Muhyiddin, maka perbezaannya adalah seperti langit dan bumi.

    “PH-BN akan buat apa saja untuk merosakkan kredibiliti Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ujar Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, pembunuhan karakter itu tidak perlu hingga ranap sepenuhnya kerana jika PH-BN boleh menghasut rakyat mengatakan Muhyiddin dan pemimpin PN sama sahaja dengan pemimpin mereka, akan anggap sudah berjaya.

    “Mereka sudah berjaya jika rakyat mempersoalkan PN,” katanya.

    Dalam pada itu, tambahnya, penyucian imej kluster mahkamah pula akan dilakukan segera oleh PH-BN kerana mahu mempengaruhi persepsi rakyat dalam menghadapi PRN di enam negeri.

    Ujarnya, matlamat PH-BN sudah pasti untuk membersihkan seorang demi seorang kluster mahkamah terutamanya Ahmad Zahid dan membebaskan mereka dari imej tersebut.

    “Saya bimbang apabila membaca pendedahan Ketua Hakim Negara mengenai cubaan menakut-nakutkan atau memberi tekanan terhadap hakim pada tahun lepas.

    “Saya menyokong pandangan Ketua Hakim Negara bahawa percubaan yang mereka buat pada tahun lepas itu adalah penghinaan terhadap kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman.

    “Kita mesti pertahankan integriti institusi perundangan dari salahlaku serangan seperti yang berlaku tahun lepas,” katanya.

    Ujarnya, rakyat perlu ingat sama ada Anwar ataau Ahmad Zahid, kedua-duanya mempunyai rekod penyalahgunaan kuasa.

    Katanya, ramai yang terlupa Anwar telah dipenjara kerana bersalah memaksa agensi penguatkuasaan undang-undang bertindak untuk kepentingan dia sendiri dan telah menjalani hukuman penjara atas kesalahan itu.

    “Sekarang Anwar-Ahmad Zahid bergabung memegang dua jawatan tertinggi negara.

    “Adakah kita boleh percaya mereka tidak akan mempergunakan agensi penguat kuasa untuk menyiasat dan menekan, dengan tujuan membunuh karakter Muhyiddin dan pemimpin PN, serta untuk membersihkan imej kluster mahkamah?

    “Kita tahu agensi-agensi perundangan kita bekerja dengan ikhlas dan mereka mahu bebas bekerja. Tetapi gabungan Anwar-Ahmad Zahid memang ada rekod yang jelas mempergunakan segala-galanya untuk kepentingan peribadi,” katanya.

  • Sisa daging babi atas jalan untuk dilupuskan

    Sisa daging babi atas jalan untuk dilupuskan

    POLIS Pulau Pinang mengesahkan daging-daging khinzir yang dikesan bertaburan di sepanjang Jalan Pokok Tampang menghala ke Lahar Yooi, Tasek Gelugor semalam adalah sisa dari tempat sembelihan haiwan itu yang terjatuh ketika sedang dibawa ke tapak pelupusan.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Superintenden Siti Nor Salawati Saad berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam berkenaan sisa-sisa daging khinzir yang bertaburan di sepanjang jalan terbabit hingga menimbulkan rasa kurang menyenangkan.

    Tambahnya, aduan itu diterima sejak pukul 6 pagi semalam di Balai Polis Tasek Gelugor dan Sungai Dua.

    Jelas beliau, pemantauan di lokasi juga mendapati terdapat sisa-sisa khinzir hasil penyembelihan di jalan berkenaan seperti yang dilaporkan.

    “Bagaimanapun, kerja-kerja pembersihan telah dijalankan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat, Balai Bomba Tasek Gelugor, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta kakitangan syarikat terbabit.

    “Kes ini disiasat mengikut Peruntukan Kaedah 19, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 (L.N. 166/59),” ujar beliau dalam kenyataan.

    Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi tidak benar berhubung insiden itu yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.

    Terdahulu, beberapa keping gambar mengenai kejadian tersebut tular di media sosial sejak awal pagi semalam termasuk ada pihak mendakwa ia sengaja dilakukan oleh pihak tertentu atau terdapat unsur-unsur sabotaj.

  • Kanak-kanak lemas, abang sempat diselamatkan

    Kanak-kanak lemas, abang sempat diselamatkan

    KANAK-KANAK lelaki berusia 11 tahun ditemukan lemas di Pantai Kemayang, petang kelmarin.

    Semasa kejadian, mangsa, Muhammad Hanif Nurhaqim Amran dipercayai datang berkelah dan mandi bersama keluarganya di pantai itu.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, mangsa dipercayai bermain di tembok penghadang ombak sebelum terjatuh ke dalam laut bersama abangnya, Muhammad Hanif Lokman, 12.

    Bomba katanya, menerima panggilan pada pukul 5.55 petang sebelum bergegas ke lokasi.

    “Mayat mangsa ditemui di kepala tembok penghadang ombak kira-kira 200 meter dari lokasi dipercayai terjatuh. Bagaimanapun, sebelum itu abang mangsa sempat diselamatkan orang awam,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

  • PAU2022: Usul jawatan ‘top 2’ UMNO tak dipertanding lulus

    PAU2022: Usul jawatan ‘top 2’ UMNO tak dipertanding lulus

    PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) meluluskan usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan menerusi pungutan suara dilakukan sebentar tadi.

    Ini bermakna jawatan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden dan timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan tidak akan dipertandingkan pada pemilihan Mei ini.

    Lapor Free Malaysia Today, pemilihan presiden dan timbalan presiden UMNO menimbulkan polemik apabila pemimpin parti mempunyai pandangan berbeza sama ada ia perlu dipertandingkan atau tidak.

    Dalam kalangan perwakilan, beberapa negeri mencadangkan jawatan “top 2” parti dipertandingkan, manakala beberapa negeri menolak cadangan itu.

    Sumber memberitahu FMT, 3/4 dewan menyokong usul itu manakala baki yang tidak menyokong dikehendaki bangun.

    Kata sumber yang enggan dinamakan itu, sejurus proses pengundian selesai, separuh dewan kembali kosong.

    “Mungkin mereka malas nak dengar Zahid berucap atau mereka dah ‘fed up’,” katanya.

    Terdahulu, media melaporkan Khairy Jamaluddin mendakwa beberapa tanda nama dikhaskan untuk perwakilan Umno pada kerusi dalam Dewan Merdeka ditanggalkan untuk undian usul sempena PAU.

    Menerusi satu video di TikTok, beliau berkata tindakan itu dipercayai bagi membolehkan “perwakilan import” dibawa masuk untuk sorak dan “bulldoze” usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

    Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal Ketua Penerangan Umno Isham Jalil.

    Beliau menganggap dakwaan Khairy sebagai fitnah dan meminta bekas menteri kesihatan itu memohon maaf kepada semua perwakilan Umno dan petugas yang hadir.

    Sementara itu, Isham dalam catatan di Facebook mengesahkan semua usul termasuk usul tambahan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dicabar, diterima dan disokong majoriti perwakilan.

  • Hilang sokongan Melayu, UMNO jangan salahkan orang lain, kata Saifuddin

    Hilang sokongan Melayu, UMNO jangan salahkan orang lain, kata Saifuddin

    UMNO sepatutnya tidak menyalahkan orang lain apabila parti itu semakin kehilangan sokongan orang Melayu, kata ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu, Saifuddin Abdullah.

    Saifuddin turut berpendapat ucapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika merasmikan perhimpunan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada Rabu lalu sebagai memalukan.

    “Saya lihat PAU kali ini agak kelam kabut, ia bermula dengan menuduh 10 orang ahli parlimen (UMNO) sebagai pengkhianat, tetapi tidak pula disoal mengapa sebelum PRU15 (pilihan raya umum ke-15) ada perjanjian sulit antara Datuk Seri Najib (Razak), Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Saya fikir itu persoalan yang perlu dijawab.

    “Dan saya rasa ahli UMNO tentu terkilan dengan kenyataan Timbalan Presiden UMNO (Mohamad Hasan) yang mengatakan sekian lama UMNO berjuang, tetapi sokongan orang Melayu semakin berkurangan.

    “Sebenarnya sokongan orang Melayu semakin berkurangan bukan sebab orang lain dan tak ada kena mengena dengan DAP. Itu adalah kerana kelemahan UMNO sendiri, amat memalukanlah apabila timbalan presiden UMNO merasa dah tak boleh berjuang untuk orang Melayu,” katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.

    Mohamad dalam ucapannya Rabu lalu berkata, kehilangan undi Melayu dan tiadanya undi bukan Melayu adalah ‘resipi’ kematian UMNO.

    Katanya, dengan pendirian yang diambil UMNO dalam menyokong penubuhan kerajaan perpaduan mungkin membuka ruang untuk masyarakat bukan Melayu membina semula keyakinan kepada UMNO.

    “Sokongan masyarakat bukan Melayu merosot dengan amat drastik semenjak beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

    “Sehingga dalam keadaan tertentu, kita tewas, kerana tidak mampu mendapat walau lima peratus sokongan daripada mereka,” kata Mohamad lagi.

    Saifuddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkaitan hal dalaman UMNO kerana beliau bukan ahli parti berkenaan.

    Beliau turut menegaskan situasi yang berlaku dalam UMNO sebagai kritikal dan masalah sama boleh berlaku kepada Bersatu jika pimpinan parti terbabit tidak mengambil iktibar.

    “Kami melihat apa yang berlaku di WTC dengan kritikal, sebab apa yang berlaku dalam Umno (sekarang) kalau kami tak jaga pun boleh berlaku frkat kami juga, jadi kami bukan bersorak dengan apa yang berlaku di WTC ketika ini,” katanya lagi.

    Ketika ditanya mengenai pergolakan politik di Sabah baru-baru ini, Saifuddin berkata ia membuktikan pihak berkenaan masih belum dapat menerima keputusan PRU15.

    “Kami dah reda jadi pembangkang, kami nak lihat ketenangan politik wujud, tapi apa yang berlaku di Sabah, siapa yang belum move on?

    “Nampaknya orang yang selama ini kata move on (tapi) dia tak ‘move on’. Kami dah move on, kami dah declare kami ini pembangkang,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Dua rentung terperangkap, kereta terbakar bertembung lori

    Dua rentung terperangkap, kereta terbakar bertembung lori

    DUA individu rentung selepas terperangkap dalam kereta dinaiki yang terbakar akibat kemalangan dengan sebuah lori di Kampung Datuk Sharif Ahmad, Jalan Temerloh, Kuala Krau, hari ini.

    Kejadian pada pukul 10.48 pagi itu mengakibatkan kereta terlibat terbakar sepenuhnya.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, terdapat dua mangsa tersepit dalam kereta itu.

    “Kereta itu terbakar 100 peratus manakala lori mengalami kemusnahan 80 peratus.

    “Seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau dan Temerloh dengan tiga jentera memadam kebakaran itu,” katanya, lapor Harian Metro

    Beliau berkata, kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 11.46 pagi dan operasi mengeluarkan mangsa dijalankan.

    Katanya, mangsa yang tersepit ditemukan rentung dan mayat diserahkan kepada polis.

  • Bantuan banjir: ‘Anwar perlu hentikan amalan politik sempit’

    Bantuan banjir: ‘Anwar perlu hentikan amalan politik sempit’

    TINDAKAN Kerajaan Pusat menyalurkan bantuan banjir kepada rakyat Kelantan dan Terengganu menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di negeri terbabit hanya kerana di bawah pentadbiran pembangkang, disifatkan sebagai amalan politik sempit yang bertentangan dengan reformasi dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini.

    Tegas penganalisis politik daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Zaharul Abdullah, sebagai pemimpin Kerajaan Perpaduan, Perdana Menteri seharusnya perlu ‘cakap serupa bikin’ membabitkan soal hubungan di antara pusat dan negeri.

    “Tindakan ini menunjukkan Kerajaan Perpaduan tidak menghayati semangat Federalisme. Ia menunjukkan sistem negara kita kekal bersifat ‘quasi-federal’ iaitu hubungan pusat dan negeri yang tidak seimbang di mana kuasa menumpu kepada Kerajaan Pusat.

    “Ya, ia bercanggah…reformasi hubungan Pusat dengan negeri juga sangat tertumpu kepada Sabah dan Sarawak melalui usaha merealisasikan peruntukan serta semangat MA63.

    “Keadilan juga perlu diberikan kepada negeri Kelantan dan Terengganu yang lebih ketinggalan dari segi pembangunan,” katanya kepada Berita Harian, hari ini.

    Beliau mengulas pendedahan kerajaan negeri Kelantan yang tidak menerima bantuan banjir RM50 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini.

    Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, dilaporkan berkata sebaliknya bantuan banjir itu disalurkan oleh kerajaan Pusat kepada JPP Kelantan.

    Nasib sama dihadapi Kerajaan Terengganu, apabila peruntukan mangsa banjir di negeri itu disalurkan menerusi JPP negeri berkenaan.

    Pada masa sama, Zaharul berkata, dalam soal kebajikan masyarakat seperti banjir, ia seharusnya berada di bawah senarai bersama.

    Dr Zaharul berkata, atas dasar itu Kerajaan Pusat dan negeri perlu bekerjasama, memanfaatkan serta menyelaraskan keupayaan masing-masing untuk menyegerakan bantuan kepada rakyat.

    “Kerajaan Pusat juga perlu menyalurkan bantuan pembangunan secara terus kepada kerajaan negeri walaupun berada di bawah pembangkang, bukannya melalui JPP.

    “Meskipun penubuhan JPP ada justifikasi, tetapi ia lebih dilihat sebagai alat politik Kerajaan Pusat.

    “Mengambil semangat Kerajaan Perpaduan dan Federalisme, peranan JPP perlu dihadkan dan sebahagian besar bantuan pembangunan perlu disalurkan terus kepada kerajaan negeri pembangkang,” katanya.