Category: Semasa

  • Lelaki ragut wanita hingga cedera ditahan

    Lelaki ragut wanita hingga cedera ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki yang juga penagih dadah kerana terlibat dalam kejadian ragut beg tangan seorang wanita sehingga mangsa cedera di tangan, di Lorong Selamat, di Georgetown, Khamis lepas.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata lelaki tempatan berusia 37 tahun itu ditahan di Simpang Ampang, Seberang Perai Selatan (SPS) dekat Georgetown, pukul 12.15 tengah malam semalam (14 Jan), hasil risikan dan intipan dijalankan pihak polis.

    “Berdasarkan siasatan awal mendapati lelaki yang tidak bekerja itu disyaki terlibat dengan beberapa kes ragut di negeri ini termasuk dua kes ragut di kawasan George Town tahun ini.

    “Susulan penahanan lelaki itu, polis turut merampas beberapa barangan antaranya dua buah telefon bimbit, baju, topi keledar, tiga kad bank dan wang tunai, serta menyita sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Soffian berkata hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methapethamine, selain turut mempunyai lima rekod jenayah lampau dan kini direman sehingga 18 Jan, bagi membantu siasatan menurut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun dengan mendatangkan kecederaan.

    Video kejadian ragut itu tular dalam laman sosial dan pihak polis turut mengesahkan menerima laporan mengenai insiden wanita itu, dilihat diragut seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda berwarna hitam.

    Lelaki itu menghampiri dan meragut beg tangan mangsa yang disangkut di atas bahu kanannya menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada tangan kanan selain turut mengalami kerugian kira-kira RM2,800.

  • 9 Wanita UMNO cedera kemalangan pulang dari PAU 2022

    9 Wanita UMNO cedera kemalangan pulang dari PAU 2022

    SEMBILAN Wanita UMNO cedera selepas terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke Kemaman selepas menghadiri persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Kilometer 240.6 Lebuhraya Pantai Timur arah trimur, Kuantan, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, van dinaiki sekumpulan wanita yang dipercayai ahli UMNO itu dipandu oleh pemuda berusia 37 tahun.

    “Van yang dinaiki kumpulan itu dikatakan terbabas akibat mengelak sebuah kenderaan lain yang brek secara mengejut.

    “Siasatan awal mendapati, pemandu bersama sembilan orang penumpang dari arah Kuala Lumpur hendak menghala ke arah Kemaman selepas selesai program PAU 2022.

    “Akibat kemalangan tersebut, pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan, namun sembilan penumpang wanita mengalami kecederaan ringan dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afazan (HTAA),” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Beliau memaklumkan, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku atas kecuaian pemandu yang tidak dapat mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.

    Katanya, kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Dalam pada itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad, semalam, memaklumkan mendapat perkhabaran tentang kemalangan yang melibatkan rombongan perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kemaman, Terengganu di Lebuhraya Pantai Timur ketika mereka di dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing pada petang Sabtu.

    “Semoga Allah selamatkan mereka semua,” ciapnya.

  • Muhammad Affan dilantik Ketua Armada Bersatu Sabah

    Muhammad Affan dilantik Ketua Armada Bersatu Sabah

    KETUA Biro Ekonomi Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Muhammad Affan Jumahat dilantik sebagai Ketua Armada Bersatu Sabah yang baharu.

    Pelantikan watikah itu disampaikan Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, hari ini.

    Wan Ahmad Fayhsal berkata Muhammad Affan diberi tugas untuk memberikan semangat dan corak politik yang baru kepada semua Armada di negeri itu.

    “Lanjutan daripada perkembangan politik Sabah, selaku Ketua Armada Nasional saya telah melantik saudara Muhammad Affan Jumahat daripada Bersatu Kudat untuk menggalas amanah sebagai Ketua Armada Sabah yang baharu.

    “Syabas dan tahniah kami ucapkan kepada saudara Affan dan barisan kepimpinan Armada Sabah yang baru dibentuk semula nanti.

    “Semoga Armada Sabah yang baharu dan Armada di seluruh negara akan terus istiqomah dan memulihara agama, bangsa dan peradaban kita bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal mempengerusikan mesyuarat pertama Armada Bersatu Malaysia bagi tahun 2023 yang memperincikan laporan berhubung post-mortem Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan membincangkan persiapan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

    “Aramda Bersatu Nasional akan terus mengangkat dan mengupayakan ahli Armada dalam persada politik tanah air khususnya dalam menjadi calon-calon berwibawa dalam pilihan raya yang parti bakal sertai,” katanya lapor Berita Bersatu.

  • PH Selangor tak akan serah kerusi kepada BN-Amanah

    PH Selangor tak akan serah kerusi kepada BN-Amanah

    PAKATAN Harapan (PH) Selangor akan mempertahankan semua 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi pada pilihan raya umum 2018 walaupun gabungan itu kini mempunyai kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

    Ahli Jawatankuasa Pimpinan Pusat Amanah, Sany Hamzan difahamkan setakat ini PH tidak akan memberi laluan kepada BN di kerusi dimenanginya pada 2018.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer berkata, kerusi yang akan dibincangkan dengan BN nanti membabitkan kerusi dimenangi Perikatan Nasional (PN).

    “Enam kerusi dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) manakala satu oleh Pas.

    “Kita perlu situasi menang-menang untuk semua dalam rundingan pembahagian kerusi dan faktor akan diambil kira seperti jentera, kewangan serta calon,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT) hari ini.

    Beliau berkata, sebelum Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, parti yang menganggotai PH sudah pun berunding mengenai peruntukan kerusi.

    Berhubung tanggapan Amanah adalah komponen paling lemah dalam PH, Sany berkata, parti itu sebenarnya boleh menang banyak kerusi jika diberi peluang bertanding di lebih banyak kawasan.

    “Kami perlu kerusi campuran (membabitkan pengundi pelbagai kaum) kerana kita tahu PH mempunyai kelebihan di kerusi ini.

    “Tetapi kami faham yang kami tidak boleh membuat banyak tuntutan kerana Amanah adalah parti baharu, bukan seperti PKR dan DAP,” katanya.

    Beliau turut menjangkakan DUN Selangor bakal dibubarkan Mei dengan pilihan raya pada bulan berikutnya.

    Pilihan raya negeri (PRN) di negeri ditadbir PH iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan serta Kedah, Kelantan serta Terengganu yang ditadbir Pas bakal diadakan pada tahun ini.

  • Langkah halang tandingan jawatan Presiden, Timbalan tidak wajar – UMNO Johor

    Langkah halang tandingan jawatan Presiden, Timbalan tidak wajar – UMNO Johor

    UMNO Johor menyifatkan tindakan menghalang mana-mana ahli parti itu untuk menawarkan diri bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, walaupun ketetapan sudah dicapai dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, semalam, adalah tidak wajar.

    Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, ini berikutan kaedah usul tambahan berhubung jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan ketika PAU 2022 semalam, adalah melanggar perlembagaan parti.

    “Isu pemilihan jawatan tertinggi parti itu perlu diteliti sewajarnya.

    “Cara usul tambahan itu dibawa melanggar kehendak perlembagaan parti, sedangkan usul itu perlu mendapat persetujuan dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS),” ujar Ahli Parlimen Simpang Renggam itu.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu berpendapat, ada juga pendapat menyatakan keputusan itu tidak mematuhi garis panduan ditetapkan ROS.

    “Sama ada perkara itu benar atau sebaliknya, itu terpulang kepada pentadbiran UMNO menanganinya.

    “Oleh itu, UMNO Johor berpandangan tidak perlu wujud sekatan kepada mana-mana pihak yang mahu bertanding atau menawarkan diri walaupun ada ketetapan tiada pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan akan datang.

    “Saya percaya apa pun yang terjadi, Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan bersetuju dan majoriti pemimpin UMNO juga turut bersetuju bahawa tidak ada sekatan untuk mana pihak bertanding atau menawarkan diri walaupun adanya usul tiada pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden.

    “Malah saya yakin Presiden dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan tiada halangan, kalau ada ahli yang menawarkan diri untuk bertanding. Ini kerana saya percaya itu dibenarkan dalam perlembagaan dan itu adalah hak ahli yang dijamin melalui perlembagaan parti,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas acara mengangkat sumpah Ketua Kampung Daerah Pontian, di Pontian, hari ini.

    Semalam, perwakilan UMNO dari Johor dilaporkan melahirkan rasa pelik apabila usul tambahan mengenai jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan yang dibawa oleh perwakilan Negeri Sembilan kelmarin boleh diterima dan dibahaskan.

    Jurucakap UMNO Johor yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad, dilaporkan berkata mungkin parti itu kini telah menjadi ‘pasti asal boleh’.

    Usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang seterusnya diluluskan pada PAU 2022.

    Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, dilaporkan berkata, usul berkenaan disokong hampir kesemua perwakilan yang hadir.

    Dalam pada itu, Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian, berkata imej parti terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pastinya mempunyai kesan pada pemilihan akan datang.

    “UMNO Johor berpandangan masyarakat di luar terutama pimpinan parti di peringkat cawangan memandang tentang imej parti selepas PRU15. Kita tidak melihat selain daripada mahu menguatkan kedudukan parti.

    “Oleh itu, parti seolah-olah digambarkan tidak menjunjung demokrasi atau kebebasan lebih-lebih lagi apabila ada ahli-ahli yang bertanya berhubung kelulusan usul tiada pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Tutup saja UMNO jika terus ditolak rakyat – kata Ku Li

    Tutup saja UMNO jika terus ditolak rakyat – kata Ku Li

    VETERAN UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa, UMNO dilihat perlu melakukan perubahan untuk terus relevan atau berdepan risiko terus ditolak rakyat dalam pilihan raya akan datang.

    Bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, adalah lebih baik parti tersebut dibubarkan sahaja sekiranya terus ditolak rakyat.

    “UMNO mesti ada perubahan. Kalau tidak UMNO tidak boleh hadapi pilihan raya negeri dan akan kalah teruk. Kalau ditolak terus oleh rakyat, lebih baik tutup sahaja parti,” katanya seperti dilaporkan Mingguan Malaysia hari ini.

    Beliau berkata terpulang kepada barisan kepimpinan UMNO untuk menumpukan usaha bagi mendapatkan semula sokongan rakyat.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), UMNO merekodkan prestasi terburuknya apabila hanya menang 26 kerusi Parlimen berbanding 54 Parlimen pada PRU14.

    Parti komponen BN lain pula hanya menang empat kerusi, menjadikan kerusi keseluruhan yang dimiliki gabungan itu kepada hanya 30.

    Sementara itu Tengku Razaleigh berpandangan Kerajaan Perpaduan pada masa ini belum cukup kukuh.

    Katanya, ini kerana kes mahkamah yang dihadapi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan mempengaruhi barisan kepimpinan parti itu nanti.

    “Keadaan sekarang masih tidak menentu. Sekarang ini walau Anwar (Ibrahim) mendapat sokongan dalam Parlimen, beliau tetap bergantung kepada 30 ahli Parlimen BN,” katanya lagi.

  • Ahli Parlimen tandatangan SD sokong PN bukan pengkhianat

    Ahli Parlimen tandatangan SD sokong PN bukan pengkhianat

    DATUK Seri Hasni Mohammad menegaskan tindakan 10 Ahli Parlimen menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, mempunyai tujuan dan sebab yang berbeza.

    Ahli Parlimen Simpang Renggam yang juga Pengerusi UMNO Johor itu berkata, sehingga kini beliau tertanya-tanya di mana elemen pengkhianatan seperti yang didakwa.

    “Saya percaya ramai pihak yang bertanya dan ada yang telah menjawab mengenai 10 Ahli Parlimen yang tandatangan SD yang sokong Perikatan Nasional (PN).

    “Saya hanya boleh katakan bahawa antara 10 itu, kesemuanya mempunyai tujuan berbeza, ada yang tandatangan sebab berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

    “Ada juga (tandatangan SD) sebab ketetapan PAU ‘no Anwar, no DAP’, ada yang tolak DAP, ada juga yang tidak setuju dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia berbeza-beza,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Kampung Daerah Pontian, di Pontian, hari ini.

    Khamis lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan menyatakan sedia memaafkan 10 ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) termasuk partinya yang menandatangani SD bagi menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15 lalu.

    Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri itu dilaporkan menegaskan, beliau bersama-sama Lembaga Disiplin Umno akan tetap memantau pergerakan ahli-ahli Parlimen terbabit sama ada mereka melakukan mana-mana gerakan.

    Dalam pada itu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut berkata, beliau sependapat dengan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang mempersoalkan elemen pengkhianatan.

    “Di mana elemen pengkhianatan, tiada pengkhianatan. Cuma kalau kita dengar cakap sesetengah pihak, saya percaya kita harus lihat soal struktur parti.

    “Saya harap pucuk pimpinan parti melihat kepada isu SD dalam konteks yang boleh menambah kekuatan parti. Saya tidak lihat mereka yang tandatangan SD itu mahu melemahkan parti.

    “Jika dilihat hanya seorang dua saja Ahli Parlimen terbabit yang buat kenyataan. Ini kerana jika kenyataan dibuat ia akan mengurangkan peluang untuk parti menang enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan,” katanya lapor Harian Metro.

  • Video laung azan dalam ritual agama bukan di Malaysia – MCMC

    Video laung azan dalam ritual agama bukan di Malaysia – MCMC

    VIDEO tular di media sosial memaparkan seorang lelaki sedang melaungkan azan dalam ritual keagamaan tidak berlaku di negara ini.

    Perkara itu disahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam kenyataan hari ini.

    Semakan MCMC mendapati video berdurasi 2 minit 27 saat itu berasal dari luar negara dan ditular semula seolah-olah ia berlaku di Malaysia.

    MCMC menegaskan, video sedemikian dilihat sebagai satu kandungan yang boleh mengancam dan mengundang ketegangan antara masyarakat pelbagai kaum serta agama di negara ini.

    “Susulan sebuah video berdurasi 2 minit 27 saat memaparkan seorang lelaki sedang melaungkan azan yang tular di media sosial ketika ini, MCMC ingin memaklumkan bahawa video berkenaan bukan berasal dari Malaysia.

    “Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan kandungan berkenaan kerana dikhuatiri boleh menggambarkan konteks tidak tepat.

    “Ia juga boleh digunakan oleh individu atau pihak tidak bertanggungjawab dalam melakukan provokasi antara agama di Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu, lapor Utusan TV.

    Mengulas lanjut, MCMC juga menasihatkan orang ramai untuk tidak menokok tambah kapsyen yang bersifat spekulatif dan provokatif.

    Pada masa sama, suruhanjaya itu juga meminta orang ramai menyalurkan atau melaporkan kepada pihak berkuasa untuk perhatian dan tindakan selanjutnya.

    “Penyebaran kandungan berbaur provokasi dengan niat menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, kebencian dan prejudis terhadap mana-mana kaum atau agama boleh menjadi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    “Orang ramai juga diingatkan untuk sentiasa cakna, berhati-hati dan elakkan daripada memuat naik sebarang kandungan yang boleh menyentuh sensitiviti agama demi keharmonian dalam negara,” jelasnya.

  • Lebih sebulan hilang ketika tunai umrah, usaha cari guru diteruskan keluarga

    Lebih sebulan hilang ketika tunai umrah, usaha cari guru diteruskan keluarga

    WALAUPUN telah lebih sebulan dilaporkan hilang ketika mengerjakan umrah, usaha untuk mencari dan mengesan seorang guru, Musthafa Kamal Abdullah, 49, tetap diteruskan oleh keluarganya.

    Anak sulungnya, Muhammad Nabil, 26, berkata dia sendiri akan berangkat ke Makkah pada Jumaat ini (20 Jan) dan akan berada di Tanah Suci selama kira-kira 14 hari.

    Dia yang akan ditemani oleh adiknya, Muaz, 17, dan beberapa rakan ayahnya itu akan terus mencari kerana mereka sekeluarga termasuk ibunya, Zurina Muhammad@Shamsuddin, 49, yakin yang ayahnya masih lagi hidup.

    “Saya sendiri akan mengedarkan poster yang memaparkan wajah babah apabila berada di Makkah nanti setelah selesai mengerjakan umrah dan berharap dengan usaha ini, ia akan membuahkan hasil dengan ayah berjaya dijumpai nanti.

    “Saya turut berharap usaha dan harapan saya sekeluarga untuk menemukan babah akan terus mendapat kerjasama daripada kedua-dua kerajaan (Malaysia dan Arab Saudi),” katanya ketika ditemui semasa lawatan Ahli Parlimen Sri Gading Aminolhuda Hassan di kediaman guru berkenaan di Sri Gading, Batu Pahat, hari ini.

    Jelas Muhammad Nabil lagi, dia bersama keluarga turut berikhtiar dengan merujuk beberapa pengamal perubatan Islam, serta tidak putus-putus mengadakan solat hajat.

    Sementara itu, Muaz yang bersama Musthafa Kamal yang mengerjakan umrah ketika itu berkata ayahnya disedari hilang apabila tiada di bilik hotel setelah menyatakan dirinya tidak sihat dan tidak keluar untuk mengerjakan tawaf bersama.

    Beliau berkata pada mulanya dia tidak bimbang kerana ayahnya fasih berbahasa Arab dan beranggapan melakukan tawaf sendirian, namun mulai risau apabila tersebar gambar ayahnya yang memakai ihram di dalam kenderaan dipercayai ambulans melalui aplikasi WhatsApp.

    “Mutawif kemudiannya pergi ke hospital untuk mencari babah tetapi diberitahu yang babah telah keluar dan telah dihantar pulang ke hotel, tetapi ketika semakan di hotel mendapati dia tiada di premis itu. Namun pada hari ketiga kehilangan babah, beg silang kepunyaannya dipulangkan ke hotel,” katanya.

    Jumaat lepas, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilaporkan berkata Ketua Perwakilan Malaysia (Malawakil) di Arab Saudi memantau perkembangan Musthafa Kamal yang dilaporkan hilang sejak 12 Disember itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu.

  • Bapa ditahan pukul, ugut bunuh anak perempuan

    Bapa ditahan pukul, ugut bunuh anak perempuan

    POLIS menahan seorang lelaki kerana disyaki memukul dan mengugut bunuh anak perempuannya berusia 15 tahun.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Fakhrudin Abdul Hamid berkata suspek berusia 58 tahun yang bekerja sebagai pembantu restoran itu ditahan di Lembah Subang, Selangor pada 10.30 malam, Jumaat lepas, setelah pihaknya menerima laporan daripada remaja itu pada 1.18 tengah hari, hari yang sama.

    “Siasatan awal mendapati suspek telah mengugut menggunakan sebilah parang pemotong daging dan memukul mangsa menggunakan tali pinggang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada mangsa yang leka bermain telefon pintar hingga lewat malam selain sifat bapanya yang panas baran.

    Fakhrudin berkata polis turut merampas sebilah parang pemotong daging berukuran kira-kira 33 sentimeter.

    Suspek direman empat hari bermula semalam hingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.