Category: Semasa

  • Nahas Elmina: Rakaman suara 30 minit terakhir pesawat berjaya diperoleh

    Nahas Elmina: Rakaman suara 30 minit terakhir pesawat berjaya diperoleh

    RAKAMAN suara 30 minit dalam komponen ‘memory puck’ pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu, berjaya diekstrak di makmal di Florida, Amerika Syarikat (AS) semalam.

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata hasil daripada ekstrak itu, Biro Keselamatan Kemalangan Udara (BSKU) berhasil mendapatkan rakaman suara yang jelas serta berada dalam keadaan baik.

    “Mengenai nahas pesawat di Elmina, semalam, dibantu jurutera di sana (Florida) membantu mendapatkan data, dan hasilnya data itu berjaya diekstrak daripada ‘memory puck’.

    “Jadi, semua rakaman suara dalam pesawat terutama 30 minit terakhir sebelum sehingga nahas itu berlaku, berjaya dimuat turun,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini, lapor Berita Harian.

  • Bayi lelaki ditemukan di luar pusat tahfiz

    Bayi lelaki ditemukan di luar pusat tahfiz

    SEORANG bayi lelaki yang cukup sifat ditemukan di atas wakaf luar pagar sebuah pusat tahfiz dekat Kampung Batu Tumbuh, di Jertih pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata bayi itu ditemukan orang awam yang sedang mengecat pusat tahfiz berkenaan pada pukul 8 pagi tadi.

    “Semasa lelaki itu melakukan kerja-kerja mengecat di dalam pusat tahfiz berkenaan, dia terdengar jeritan suara bayi. Pengadu kemudiannya mengikuti suara dan terjumpa bayi lelaki yang berbungkus dengan kain merah diletakkan di dalam bekas plastik juga berwarna merah di wakaf luar pagar pusat tahfiz.

    “Pengadu terus menghubungi balai polis. Pengadu juga mengatakan tidak nampak sesiapa yang meletakkan bayi itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata bayi seberat 2.6 kilogram yang dalam keadaan cukup sifat itu dipercayai dilahirkan dalam tempoh sekitar 48 jam.

    “Bangsa tidak dapat dipastikan, dan semasa diterima tali pusat bayi masih belum di potong. Ia hanya disimpulkan serta terdapat jangkitan kuman pada tali pusat bayi itu,” katanya dan menambah bayi itu telah dibawa ke Hospital Besut.

    Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan, dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Nur Izzati Arina Zahari dengan menelefon 09-695 9999.

  • Pemuda PN, pendakwah kritik ‘pelajar tahfiz’ dibawa sertai konsert

    Pemuda PN, pendakwah kritik ‘pelajar tahfiz’ dibawa sertai konsert

    KETUA Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari, tampil mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang didakwa menjemput pelajar tahfiz ke sebuah konsert yang diadakan pada Sabtu lalu.

    Difahamkam anggota parlimen Pasir Mas itu merujuk kepada satu video TikTok yang memperlihatkan kehadiran sejumlah individu yang dikatakan memakai kopiah atau serban.

    Majlis itu juga dikatakan turut menampilkan hiburan yang dianggap tidak sesuai dengan pelajar terbabit.

    “Kepada pihak yang menjemput anak-anak tahfiz (jika dilihat kepada pakaian berjubah dan berserban) ke konsert KFC semalam, saya mohon sensitiflah sikit.

    “Apa tujuan pergi hadap anak-anak pelajar agama ke konsert seperti itu? Apa nilai yang anda ingin sampaikan?” soalnya dalam hantaran di Facebook, malam tadi, lapor MalaysiaKini.

    Difahamkan ia berlaku dalam Konsert Kepci Music Fest yang berlangsung di Stadium Malawati di Shah Alam bersempena sambutan ulang tahun ke-50 KFC.

    Konsert selama hampir tiga jam itu menyaksikan lebih 8,500 penonton membanjiri premis berkenaan bagi menyaksikan persembahan artis seperti Amy Search, Siti Nurhaliza, Ella, Misha Omar dan Bunkface.

    Selain itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut dilaporkan meghadiri konsert berkenaan.

    Malaysiakini setakat ini tidak dapat mengesahkan secara bebas bahawa kumpulan penonton yang dirujuk Ahmad Fadhli itu benar-benar pelajar tahfiz atau sekolah agama.

    Ahmad Fadhli berkata, beliau berasa sedih dan terhiris hati apabila melihat video anak-anak pelajar agama terbabit yang mungkin terkejut dengan suasana di tempat berkenaan.

    “Soal PMX (Anwar) turut sama menonton itu terpulanglah, saya tidak mahu komen, boleh buat penilaian sendiri,” katanya.

    Sementara itu harakahdaily turut mengetengahkan isu berkenaan dengan menyiarkan satu artikel berkaitan.

    Penulisnya, Nurul Islam Mohamed Yusoff mengkritik keras penganjuran konsert yang didakwa menjemput sekumpulan pelajar-pelajar tahfiz itu.

    Kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Getah Malaysia itu, beliau sebagai bapa pelajar tahzif berasa sangat geram dengan apa yang berlaku kerana ia bercanggah dengan nasihat yang diberikan kepadanya sebelum ini.

    Konsert KFC dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

    Anggap anjuran kerajaan Madani

    Menurut Nurul Islam, antara pesanan yang diterimanya ialah pentingnya persekitaran yang baik dalam membantu anak menghafal.

    “Guru peranan dia dekat sekolah, ibu bapa peranannya dekat rumah. Pemakanan pelajar perlu dijaga, apa yang dilihat dan ditonton juga perlu dijaga.

    “Tetapi apa yang berlaku ni sangat mengecewakan, apabila pelajar tahfiz ini dibawa ke konsert, aku ulang konsert yang penuh nyanyian, joget dan tarian liar,” tulisnya seperti dipetik itu lidah rasmi Pas itu.

    Dalam perkembangan sama pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin turut memberikan respon kurang senang terhadap isu berkenaan apabila ia membabitkan kerajaan.

    Menurutnya, terdapat satu video tersebar menunjukkan agak ramai anak-anak muda yang menari seperti orang sedang mabuk dan mendakwa kelibat seperti Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil juga kelihatan.

    Dalam sekian banyak komen, kata Wan Ji, semuanya menganggap individu terbabit gagal membentuk imej Islam dalam kerajaan Madani sehingga memberi kesan buruk pada kerajaan dalam pilihan raya negeri baru-baru ini.

    “Dalam pada itu pula, turut hadir adalah sebilangan anak-anak muda yang memakai serban. Ramai yang memberi komen bahawa itu adalah anak-anak tahfiz al-Quran yang dijemput hadir dalam program terbabit. Saya tidak tahu, program itu anjuran siapa.

    “Bagaimanapun, saya anggap adalah satu kegilaan dan kejahatan, program seburuk itu dijemput anak-anak tahfiz al-Quran untuk hadir.

    “Sekarang ini, ramai persepsikan bahawa itu adalah program anjuran kerajaan Madani hanya kerana ada individu seiras menteri komunikasi dalam program terbabit,” katanya.

    Wan Ji berkata, memang ada kemungkinan hal itu tidak benar namun baginya, konsep Madani sepatutnya membentuk masyarakat bertamadun dengan mengikut nilai-nilai agama.

    “Program tarian seperti orang mabuk itu bukan sekadar tidak bertamadun, bahkan amat jauh dari nilai Islam,” katanya di Facebook, hari ini.

    Malaysiakini sudah menghubungi pihak penganjur konsert berkenaan dan menunggu respon lanjut berhubung perkara yang dibangkitkan itu.

  • Empat lelaki warga Myanmar lepas, bebas tuduhan bunuh rakan senegara

    Empat lelaki warga Myanmar lepas, bebas tuduhan bunuh rakan senegara

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan empat lelaki warganegara Myanmar daripada pertuduhan membunuh rakan senegara mereka, empat tahun lepas.

    Hakim K. Muniandy membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Pau Deih Lian, Kai Lian Mong, Kai Za Muang dan Tuang Siang Muang di akhir kes pendakwaan, tanpa perlu memanggil mereka membela diri atas pertuduhan itu.

    Dalam penghakimannya, Muniandy berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan seorang anggota keselamatan yang dikenali sebagai Rajan adalah individu yang menghayun cota ke arah sekumpulan warga Myanmar ketika pergelutan semasa kejadian.

    “Persoalannya adakah Rajan merupakan individu yang memukul mangsa hingga mati? Persoalan itu tidak terjawab sehingga akhir kes pendakwaan memandangkan Rajan tidak dipanggil sebagai saksi pendakwaan.

    “Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan lain, individu yang boleh memberikan penjelasan mengenai kejadian ini adalah Rajan kerana dia adalah individu terakhir berbual dengan mangsa, dan satu-satunya inidvidu yang mempunyai senjata yang boleh menyebabkan kecederaan senjata tumpul kepada si mati adalah Rajan, dan orang bukan lain.

    “Malah keterangan pakar patologi di mahkamah turut mengesahkan kematian mangsa adalah disebabkan objek tumpul yang dialami, namun tiada bukti daripada pihak pendakwaan menunjukkan bahawa kesemua tertuduh bersenjata. Oleh itu, keempat-empat tertuduh dibebaskan dan dilepaskan tanpa perintah membela diri terhadap pertuduhan membunuh yang dihadapi mereka,” kata hakim itu.

    Mengikut pertuduhan, mereka berumur antara 30 tahun hingga 40 tahun itu didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kematian seorang lelaki pekerja kedai kopi yang dikenali dengan nama panggilan ‘kawan’ di Jalan Pudu Lama, Dang Wangi di Kuala Lumpur pada 10 pagi, 18 November 2019.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zaileen Nadia Zubir manakala keempat-empat tertuduh masing-masing diwakili peguam Datuk C. Vignesh Kumar, P.G. Cyril, Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu dan M. Visvanathan.

    Sebelas saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 28 Feb lepas.

  • PN tuntut firma insurans beri penjelasan penggunaan data skim Insan

    PN tuntut firma insurans beri penjelasan penggunaan data skim Insan

    AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Hilman Idham menuntut penjelasan daripada syarikat insurans, AmGeneral Insurance berhubung kebocoran data peribadi beliau dan jutaan penduduk negeri Selangor yang didaftarkan di bawah Skim Insurans Hayat Selangor (Insan).

    Menurut pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu, situasi itu menjadi kebimbangan kerana polisi insurans didaftar tanpa persetujuan mereka.

    “Ini isu kedaulatan rakyat dan negeri kerana kita tak mahu syarikat mempunyai kebebasan menjual data peribadi kepada syarikat lain, atau kepada musuh negara,” katanya pada sidang media hari ini.

    Beliau dan beberapa aktivis termasuk Badrul Hisham Shaharin menyerahkan memorandum kepada pengurusan syarikat AmGeneral Insurance di Brickfields hari ini.

    Hilman membangkitkan isu pegangan saham kerajaan negeri dalam syarikat Wavpay Fintech Sdn Bhd pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lepas. 

    Katanya ketika itu, kerajaan negeri tidak mempunyai kawalan terhadap data-data milikan syarikat walaupun melabur RM10 juta untuk pembelian sebahagian saham syarikat. 

    Katanya, beliau tidak pernah mendaftar dalam skim tersebut namun telah mempunyai sijil insurans.

    “Akta Perkhidmatan Kewangan jelas menyebut insurans hanya sah apabila polisi dikeluarkan. 

    “Kalau ia merupakan satu polisi, saya ingin mendapat maklum balas daripada syarikat insurans bagaimana mereka mendaftarkan saya tanpa persetujuan,” katanya lapor Malaysianow.

    Antara lain, memorandum tersebut mendakwa AmGeneral Insurance dan Takaful Ikhlas melakukan jenayah di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan ekoran data rakyat diperoleh secara haram untuk mendaftarkan penama dalam polisi insurans.

    Ini termasuk penama yang sudah meninggal dunia. 

    Insan menjadi kontroversi apabila beberapa pempengaruh media sosial mendedahkan beberapa nama telah didaftarkan tanpa persetujuan mereka.

    Persoalan juga timbul mengenai status Wavpay Fintech Sdn Bhd yang sebelum itu dilaporkan syarikat pinjaman wang berlesen.

    Menurut Menteri Besar Selangor Amirudin Shari ia hanya proses pra-pendaftaran dan penama perlu mengesahkan persetujuan polisi itu.

  • Ustaz Fauzi ketuai ADUN PN angkat sumpah hari ini

    Ustaz Fauzi ketuai ADUN PN angkat sumpah hari ini

     SERAMAI sebelas wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang yang menang pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang (PRN) ke-15 mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Undangan Negeri, hari ini.

    Mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Law Choo Kiang pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama (Majlis Angkat Sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri-ADUN) Sidang DUN ke-15.

    Selain itu, 29 wakil rakyat kerajaan negeri mengangkat sumpah dalam majlis yang sama diketuai Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

    Ustaz Mohd. Yusni Mat Piah mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat pembangkang buat kali kedua kali tidak keseorangan sebaliknya ditemani dengan sepuluh muka baharu wakil rakyat pembangkang, lapor Harakahdaily.

    Sesi angkat sumpah giliran pembangkang bermula dengan ADUNSungai Dua iaitu Pesuruhjaya Pas negeri, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff, Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu, Zulkefli Bakar sebagai ADUN Penanti, diikuti ADUN Penaga, Ustaz Mohd. Yusni Mat Piah, ADUN Pinang Tunggal, Bukhori Ghazali, ADUN Telok Ayer Tawar, Azmi Alang.

    Seterusnya ialah ADUN Permatang Pasir, Amir Hamzah Abdul Hashim; ADUN Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah; ADUN Permatang Berangan, Mohd. Sobri Salleh; ADUN Telok Bahang, Muhamad Kasim; ADUN Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff dan Pulau Betong, Mohamad Shukor Zakariah.

  • PRK: Sambutan rakyat kepada PN makin baik, PH tertekan

    PRK: Sambutan rakyat kepada PN makin baik, PH tertekan

    NAIB Presiden Pas Datuk Idris Ahmad yakin sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) akan meningkat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram. 

    Katanya, ini susulan luahan daripada warga emas yang ditemui kelmarin yang mengharapkan kemenangan kepada PN.

    Menurutnya kumpulan warga emas itu meluahkan rasa tidak puas hati dan penolakan terhadap kepimpinan Presiden UMNO sekarang. 

    “Ini salah satu indikator, kalau itu fikiran orang tua, maka insya-Allah gelombang ini bukan sahaja berlaku di kalangan orang muda tetapi penolakan tehadap Pakatan Harapan semakin meluas,” katanya ketika ditemui di Bilik Operasi DUN Simpang Jeram. 

    Begitu juga, kata beliau sambutan masyarakat Simpang Jeram dalam ceramah, sesi calon bertemu masyarakat menunjukkan penerimaan yang sangat baik. 

    “Perkara ini diakui sendiri oleh Dr Mazri yang pernah bertanding pada tahun 2018. Ketika itu sukar untuk mendapat sokongan rakyat berbanding sekarang. 

    “Ini menunjukkan bahawa sambutan masyarakat terhadap PN semakin meningkat,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai menurut Harakahdaily.

    Justeru, kata beliau ini menyebabkan pimpinan Pakatan Harapan sekarang berada dalam suasana tertekan melalui kenyataan yang dibuat oleh mereka.

  • Lelaki ceroboh rumah Nabil Ahmad untuk ‘lepak’ tidur didenda RM3,000

    Lelaki ceroboh rumah Nabil Ahmad untuk ‘lepak’ tidur didenda RM3,000

    SEORANG penganggur didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Rembau hari ini, selepas mengaku bersalah sengaja menceroboh rumah pelakon dan pengacara Ahmad Nabil Ahmad atau lebih dikenali Nabil.

    Tertuduh Fadzril Aqmal Abdul Anif, 31 dari Rembau, mengaku salah melakukan perbuatan itu sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret, Kartini Kasran.

    Memetik laporan Berita Harian, perbuatan itu dilakukan tertuduh pada jam 7.50 malam, 4 Januari 2022 bertempat di Kampung Senama Tengah, Rembau.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 442 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

    Majistret turut memerintahkan lelaki itu dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.

    Berdasarkan fakta kes, tertuduh masuk ke dalam rumah berkenaan secara menolak pintu dengan kuat, selain makan, berehat dan tidur di dalam rumah berkenaan.

    Sebaik dimaklumkan rumah berkenaan diceroboh, adik kepada Ahmad Nabil yang ditugaskan menjaga kediaman itu bergegas memeriksa kediaman itu sebelum dan mendapati kejadian itu adalah benar.

    Pemeriksaan menjumpai sehelai baju t-shirt, tiga helai seluar tracksuit dan sepasang kasut dan di dalam poket track suit turut ditemui MyKad milik tertuduh.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

  • Kerajaan digesa supaya telus mengenai pemindahan wanita, kanak-kanak dari depoh imigresen

    Kerajaan digesa supaya telus mengenai pemindahan wanita, kanak-kanak dari depoh imigresen

    RANCANGAN kerajaan untuk memindahkan tahanan wanita dan kanak-kanak dari depoh tahanan imigresen ke lokasi berbeza sebagai sebahagian daripada program alternatif untuk penahanan(ATD) menarik perhatian berikutan kekurangan butiran yang dikongsi oleh pegawai dengan pihak berkepentingan.

    Ini susulan pengumuman Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution baru-baru ini 80 kanak-kanak akan dipindahkan keluar dari depoh imigresen untuk menempatkan mereka di bawah pusat yang “lebih kondusif”.

    Awal tahun ini, Saifuddin berkata kanak-kanak itu akan diletakkan di bawah jagaan badan bukan kerajaan.

    Pengumuman terbaru Saifuddin bagaimanapun dibuat tanpa sebarang butiran mengenai lokasi tempat baru mereka.

    Ia mendorong bekas pengerusi Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan menggesa kerajaan supaya lebih telus.

    “Siapa yang terlibat dalam membuat keputusan ini? Ini mengenai kanak-kanak: sila dedahkan semua maklumat.

    “Kerajaan ini sepatutnya tidak ada isu dengan ketelusan,” katanya di Twitter, lapor MalaysiaNow.

    Beliau juga mempersoalkan sama ada Kementerian Dalam Negeri bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. 

    “Dan apakah Nancy Shukri dan kementeriannya terlibat dalam isu ini yang melibatkan wanita dan kanak-kanak?” 

    Minggu lalu, Saifuddin berkata anak tahanan dari depoh imigresen di Bukit Jalil, Semenyih dan KLIA akan ditempatkan di Nilai, Negeri Sembilan, sambil menambah aspek logistik masih belum selesai seperti alas tidur, bekalan air dan elektrik.

  • Penghuni pusat jagaan didakwa bunuh penghuni lain

    Penghuni pusat jagaan didakwa bunuh penghuni lain

    SEORANG penghuni sebuah pusat jagaan didakwa di Mahkamah Majistret di Ipoh hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penghuni lain di pusat jagaan sama, minggu lepas.

    Lai Mun Kong, 50, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya namun tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mengikut pertuduhan, Lai didakwa membunuh Lim Han Tong, 42, di dalam tandas blok A, pusat jagaan di Jalan Jelapang, Chemor dekat Ipoh antara 6 pagi hingga 6.50 pagi, pada 24 Ogos lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dihukum dengan tidak kurang 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

    Majistret Jesseca Daimis menetapkan 29 Sept ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.