Category: Semasa

  • Peniaga didakwa memperdagangkan lima warga Indonesia

    Peniaga didakwa memperdagangkan lima warga Indonesia

    SEORANG peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini, atas lima pertuduhan memperdagangkan empat lelaki dan seorang wanita warga Indonesia pada Disember lalu.

    Tertuduh, Ng Eng Lee, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof, lapor Sinar Harian.

    Mengikut kertas pertuduhan, Eng Lee didakwa memperdagangkan kelima-lima mangsa berusia di antara 30 hingga 40 tahun bagi maksud mengeksploitasi aktiviti menyalahi undang-undang dengan cara penyalahgunaan kedudukan orang yang mudah terdedah kepada bahaya.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Pusat Perniagaan Seri Juru dan sebuah rumah di Taman Seri Juru, Bukit Mertajam pada 22 Disember tahun lalu antara jam 2 pagi hingga 3.05 petang.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

    Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Qatrin Nada Harun manakala tertuduh diwakili peguam, Benjamin Tan Yi Bin.

    Sebelum itu, pihak pendakwa raya tidak menawarkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh namun Benjamin memohon agar jaminan diberikan berikutan tertuduh tidak berisiko untuk melarikan diri selain telah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh mesti menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan kes.

  • Bersatu gesa Kerajaan Pusat benarkan pengeluaran KWSP bersasar

    Bersatu gesa Kerajaan Pusat benarkan pengeluaran KWSP bersasar

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa Kerajaan Pusat pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kompeten dalam menangani isu rayuan rakyat berhubung pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau membaca laporan kenyataan Anwar yang bunyinya tidak bersetuju dengan rayuan rakyat untuk mengeluarkan dana KWSP demi memastikan kelangsungan hidup.

    Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, beliau bersetuju Kerajaan Pusat mesti mencari penyelesaian jangka panjang untuk menghadapi kenaikan kos sara hidup yang semakin meruncing.

    “Selama berpuluh tahun Anwar berceritera mengenai betapa banyaknya idea yang akan dia bawa apabila menjadi Perdana Menteri. Sekaranglah masanya untuk melaksanakan semua itu.

    “Kenapa masih tercari-cari idea lagi? Adakah selama ini hanya berlakon tapi rupa-rupanya tiada idea? Kerajaan ini semakin hari semakin tidak kompeten menjaga kebajikan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Wan Saiful, beliau telah dikunjungi oleh beberapa pengadu di Pusat Khidmatnya di Tasek Gelugor selain menerima memorandum daripada Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIR) yang mahu dibenarkan mengeluarkan dana KWSP yang sebenarnya adalah milik dan hak mereka.

    “Saya sayu apabila ada yang menceritakan betapa mereka tidak mampu membeli makanan atau pakaian anak-anak sehingga ada yang menghadapi tekanan jiwa,” katanya.

    Tambahnya, beliau memahami kebimbangan Anwar mengenai masa depan pencarum selain faham kesusahan pencarum yang bimbang mengenai kehidupan hari ini yang semakin meruncing.

    Namun katanya, beliau harap Anwar faham bahawa tuntutan masa depan dan tuntutan semasa mestilah diseimbangkan.

    Secara umumnya, ujarnya, beliau berpandangan cadangan yang wajar diambil serius oleh pihak kerajaan ialah cadangan untuk membenarkan pengeluaran secara bersasar dengan penentuan sasaran dan kriteria pengeluaran mesti dikaji dengan mendalam.

    “Tapi jangan biarkan rakyat menderita dan sengsara hari ini, padahal mereka ada wang milik sendiri dalam akaun KWSP yang kerajaan halang mereka keluarkan,” katanya.

    Ujar beliau, kaedah yang dipelopori sewaktu era Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu pengeluaran bersasar dan pengeluaran dalam jumlah berperingkat boleh menjadi landasan bagi Anwar.

    “Oleh kerana perkara ini ada disuarakan oleh warga Tasek Gelugor, insya-Allah saya akan cuba membawa isu ini ke sidang Parlimen nanti. Dan saya harap Kerajaan akan menyentuhnya dalam pembentangan Belanjawan 2023,” katanya.

  • Warga emas ditahan lagi kes curi, pecah cermin kereta

    Warga emas ditahan lagi kes curi, pecah cermin kereta

    SEORANG lelaki warga emas yang memiliki 17 rekod jenayah lampau dan pernah beberapa kali ditahan tidak serik apabila sekali lagi ditangkap kerana terlibat dalam kes pecah cermin kereta di Jinjang, Kuala Lumpur pada 11 Januari lalu.

    Pihak polis menerima laporan daripada seorang wanita yang bekerja sebagai akauntan mendakwa kehilangan dua buah komputer riba serta wang tunai bernilai RM11,000 setelah cermin keretanya dipecahkan oleh penjenayah.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, bertindak atas risikan dan siasatan pihaknya memberkas dua suspek berusia 64 dan 29 tahun secara berasingan di Jinjang Selatan dan Rawang pada Jumaat dan Sabtu lalu.

    “Susulan daripada tangkapan itu, kita merampas 11 buah komputer riba, dua telefon bimbit, tiga keping kad Touch ‘n Go, berjumlah RM3,500.

    “Hasil siasatan mendapati modus operandi suspek adalah dia akan menunggu dan memerhati mangsa yang datang meletakkan kenderaan berhampiran kedai makan.

    “Suspek kemudian akan mengumpil cermin pintu belakang kereta dengan menggunakan pemutar skru lalu membuka pintu kereta dan mengambil beg komputer riba yang diletakkan di dalam kereta tersebut,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas program di Pasar Pagi Kepong sempena Tahun Baru Cina, Kuala Lumpur, hari ini.

    Katanya, lelaki warga emas tersebut akan menjual komputer riba itu kepada suspek berusia 29 tahun yang juga peniaga kedai telefon bimbit dan komputer di sebuah pusat beli belah di Jinjang, Kuala Lumpur.

    Polis Sentul ujar beliau, berjaya menyelesaikan sebanyak 11 kes curi komputer riba dalam kereta di daerah ini.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Keluarga guru yang dilaporkan hilang di Makkah terus dibantu

    Keluarga guru yang dilaporkan hilang di Makkah terus dibantu

    KERAJAAN negeri Johor akan terus berusaha menghulur pelbagai bentuk bantuan kepada keluarga seorang guru Musthafa Kamal Abdullah, 49, yang dilaporkan hilang di tanah suci Makkah, bulan lepas.

    Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata bantuan awal sudahpun disalurkan untuk keperluan perjalanan anggota keluarga guru berkenaan ke Makkah bagi urusan pencarian.

    “Sekiranya ada pertambahan pembiayaan yang perlu, boleh memaklumkan kepada kerajaan negeri termasuk kepada wakil rakyat kawasan dan kita sentiasa terbuka untuk membantu,” katanya kepada pemberita selepas lawatannya ke rumah Musthafa di Sri Gading, Batu Pahat, hari ini.

    “Kerajaan negeri juga telah memaklumkan yang urusan pentadbiran (cuti) bagi Musthafa dan anaknya telah dipermudahkan untuk tujuan melaksanakan pencarian berkenaan,” tambahnya.

    Jumaat lepas, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilaporkan berkata Ketua Perwakilan Malaysia (Malawakil) di Arab Saudi kini memantau perkembangan usaha pencarian Musthafa, yang dilaporkan hilang sejak 12 Dis lepas ketika mengerjakan umrah dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu.

  • Apabila penipu, pencuri, perompak bersatu

    Apabila penipu, pencuri, perompak bersatu

    Oleh TAN SRI ABDUL HADI AWANG

    BERSATU teguh, bercerai roboh, menjadi satu kata-kata yang terkenal dalam kalangan masyarakat umum.

    Dalam sebuah kisah Arab pada zaman jahiliah yang rakus berperang, diceritakan ada seorang lelaki tua Badwi memanggil beberapa orang anak lelakinya untuk memberikan wasiat sebelum dia meninggal dunia. Setiap orang daripada mereka diminta agar membawa ranting kayu.

    Apabila mereka datang menemuinya dan mengumpulkan ranting-ranting di hadapannya, dia terus membahagikan setiap orang dengan sebatang ranting sahaja. Kemudiannya, disuruh masing-masing supaya mematahkannya. Maka, ranting kayu itu dapat dipatahkan dengan mudah sahaja.

    Seterusnya, dia mengumpulkan beberapa ranting kayu dan diikat menjadi seberkas kayu. Lalu, diminta tiap-tiap orang anaknya agar mematahkannya dan mereka semua tidak berjaya mematahkannya sekalipun dilakukan sepenuh tenaga.

    Si bapa menegaskan kata-katanya:

    “Begitulah, sekiranya kamu semua berpecah dengan membawa diri masing-masing, nescaya kamu akan menjadi lemah dan dapat dipatahkan dengan mudah oleh musuh. Sekiranya kamu bersatu hati, nescaya kamu kuat dan tidak boleh dikalahkan sama sekali.”

    Demikianlah, perlunya penyatuan dan perpaduan dalam kehidupan yang banyak cabarannya kini. Namun, contoh yang berlaku pada zaman jahiliah adalah tidak berlandaskan prinsip yang sebenar, tanpa mengira antara kebaikan dengan kejahatan, benar dengan salah, betul dengan sesat.

    Islam melaksanakan konsep penyatuan dan perpaduan yang menyeluruh dalam segala aspek, dan melibatkan seluruh manusia bukan sahaja umat Islam. Selain itu, Islam juga menegaskan rukun dan syarat penting yang menjadi ciri-ciri penyatuan dan mewujudkan perpaduan.

    Apabila satu sahaja daripada salah satu cirinya salah, nescaya berlaku kesilapan yang pasti membawa akibat yang buruk seperti niatnya tidak ikhlas, cara yang salah dan matlamatnya adalah berbentuk kemungkaran. Oleh itu, konsep perpaduan dan saling bertolongan ke arah yang salah itu bertukar menjadi berdosa dan akan menyebabkan kesengsaraan.

     Hal ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:

     “Dan tolong-menolong kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan ketaqwaan, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah itu amat berat seksa-Nya.” (Surah al-Ma’idah: 2)

     Aqidah atau iman ialah prinsip asas, manakala taqwa pula menjadi konsep yang sangat penting mengikut petunjuk al-Quran dalam semua perkara yang menyentuh urusan agama dan urusan keduniaan yang tidak terpisah antara kedua-duanya. Islam itu bukan sahaja mengandungi perkara ibadat, malah termasuk juga urusan keduniaan seperti urusan politik, ekonomi dan kemasyarakatan yang tidak terpisah daripada agama Islam.

    Hasil daripada bersatu, maka wujudnya perpaduan. Amalan bersatu dan bekerjasama dalam Islam bagi mewujudkan perpaduan merupakan tujuan yang baik dan terpuji, jika dasarnya benar, niatnya baik dan caranya betul.

    Islam menetapkan prinsip iman dan konsep taqwa, serta benar-benar beristiqamah untuk melaksanakan amar ma‘ruf dan mencegah nahi munkar. Hal ini demikian kerana, sekiranya asas dan tujuannya adalah salah dan jahat, maka akibatnya juga besar padahnya.

    Semua pihak masing-masing bercakap mengenai tajuk perpaduan dan bertolong-menolong seperti perpaduan umat, perpaduan rakyat, perpaduan masyarakat, kerajaan perpaduan dan lain-lain. Namun, semuanya mestilah memahami makna perpaduan mengikut takrifnya yang sebenar.

    Dalam ilmu mantik ia disebutkan dengan takrif yang jami‘ dan mani‘, dengan maksud mengumpulkan semua yang berkait dengan makna yang sebenar dan menolak semua yang tiada kaitan dengannya. Jika tidak cukup syarat-syaratnya, maka takrifnya itu salah dan songsang.

    Konsep perpaduan adalah bersatu atas titik persamaan sahaja dan bertasamuh (bertoleransi) dalam perbezaan dan kelainan yang mengikut garis sempadannya. Kalau tiada ciri-ciri begini, maka bukanlah ia dinamakan perpaduan.

    Islam menolak daripada bersatu dan bekerjasama dengan kumpulan haram seperti kumpulan perompak yang mengambil harta secara paksaan dan terbuka yang dinamakan juga dengan merampas, melanun di lautan yang luas dan sebagainya.

    Begitu juga, diharamkan bersama kumpulan pencuri yang mengambil harta secara sembunyi tanpa diketahui dan diizinkan oleh pemiliknya. Kemudiannya, disertai oleh kumpulan penipu yang mengumpulkan harta secara menggoda atau berbohong.

    Antaranya, seperti berhutang dengan niat tidak mahu membayarnya atau menimbang dan menyukat dengan cara yang salah bagi mengambil keuntungan secara haram dalam muamalat perniagaan. Ini termasuklah juga amalan riba yang berdosa besar dengan mengambil kesempatan daripada orang miskin yang memerlukan bantuan. Pada masa yang sama, mengumpulkan hasil rasuah dan sebagainya, walhal semuanya adalah daripada sumber haram.

    Sekiranya kumpulan pencuri bersatu padu, nescaya mereka akan bertukar menjadi kumpulan perompak yang lebih berbahaya daripada pencuri.

    Apabila semua kumpulan tersebut bersatu mengadakan pakatan dan kerjasama dengan menubuhkan sebuah syarikat modal daripada kerja dan hasil yang haram, walaupun tujuannya selepas itu adalah berbentuk kebajikan dengan menunaikan perkara yang wajib dalam agama, seperti nafkah keluarga, haji, umrah, mendirikan masjid, bantuan kemiskinan dan lain-lain amal kebajikan. Maka, kerjasama dan perpaduannya tetap tiada keberkatan di dunia dan amalannya pula ditolak oleh Allah SWT.

    Sabda Rasulullah SAW:

    “Sesungguhnya, Allah itu Amat Baik dan Dia tidak menerima melainkan apa yang baik. Sesungguhnya, perintah-Nya kepada orang-orang yang beriman adalah sama sahaja perintah-Nya terhadap para rasul (pilihan-Nya).”

    Firman Allah kepada para rasul:

    “Wahai rasul-rasul! Makanlah dari makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh. Sesungguhnya, Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mu’minun: 51)

    Dan firman Allah kepada orang-orang yang beriman:

    Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah antara rezeki yang baik-baik sebagaimana yang Kami berikan kepadamu, dan bersyukurlah kepada Allah; jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah.” (Surah al-Baqarah: 172)

    Kemudian, Rasulullah SAW menceritakan seorang yang jauh musafirnya bagi menjalankan kerja amal, sehingga kusut masai rambutnya dan berdebu jasad serta pakaiannya kerana melakukan amalnya, seraya menadah tangan berdoa:

    “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku! Akan tetapi, makanannya haram, minumannya haram, dan dia diberi makan dengan makanan yang haram, lalu bagaimana mungkin Allah menerima doanya?” (Riwayat Muslim, no. 1015)

    Begitulah pula, dilaksanakan perpaduan dalam skop yang lebih besar, sehinggakan dalam konteks menubuhkan sebuah negara dan kerajaan.

    Maka mesti dilihat, adakah kumpulan tersebut terbentuk daripada hasil salah laku, rasuah, menipu, zalim dan lain-lain? Tanpa mereka itu bertaubat dengan taubat nasuha dan berazam dengan ikhlas untuk meninggalkan maksiat setelah benar-benar berjaya meninggalkannya, atau setelah benar-benar menjalani hukuman yang adil di alam dunia, bukan yang berjaya melepaskan diri dengan berbagai-bagai tipu dan helah. Maka, perpaduannya adalah sangat rapuh.

    Mesti dilihat juga takrifnya yang sahih dalam istilah politik. Kerajaan Perpaduan bermakna tiada pembangkang atau pembangkang terlalu kecil dan tidak bermaya. Jika pembangkangnya sangat besar, jadilah kerajaan itu berkepala besar bukannya kerajaan perpaduan. Jika kepalanya terlalu besar lebih besar daripada jasadnya, maka kemungkinan jatuhnya itu lebih mudah.

    Islam menetapkan asas keberkatan kepada kerja dan hasilnya yang membawa kebajikan di dunia yang menjadi jambatan ke akhirat, berpahala di akhirat atau kebajikan yang disimpan di Hari Akhirat kelak. Perkataan berkat tidak terdapat dalam kamus istilah agama bukan Islam dan ideologi ciptaan manusia.

    Firman Allah SWT:

    “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan yang banyak dari langit dan bumi. Akan tetapi, mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, lalu Kami timpakan ke atas mereka seksaan disebabkan perbuatan yang telah mereka lakukan.” (Surah al-A‘raf: 96) 

    Rasulullah SAW pernah mewujudkan perpaduan umat Islam dan umat manusia yang lebih majmuk sewaktu menegakkan negara di Madinah.

    Perpaduan umat Islam adalah berdasarkan kepada iman yang berpandukan kepada firman Allah SWT:

    “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai…” (Surah Ali ‘Imran: 103)

    Dan juga firman-Nya:   

    “Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Hal yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah al-Nisa’: 59)

    Syarat perpaduan adalah berdasarkan kepada aqidah atau iman yang kukuh dengan berpegang kepada konsep aqidah Islamiah yang berteraskan beriman kepada Allah, Rasul, Kitab dan Hari Akhirat.

    Aqidah menjadi ikatan hati yang menjalinkan hubungan yang erat mengatasi kepentingan diri, keluarga dan kebangsaan. Kebenaran dan pembetulan daripada petunjuk Allah SWT dan Rasul-Nya menyelesaikan pertelingkahan dan perkelahian.

    Perpaduan mestilah dipimpin oleh Islam yang berintegriti mengikut takrifnya yang tepat. Bukannya dipimpin oleh kalangan yang tidak beriman, tidak berakhlak dan tidak berilmu, serta bukan pula berwala’ kepada musuh Islam yang nyata. Inilah perpaduan atas asas ketaqwaan yang mendapat rahmat Allah SWT.

    Adapun perpaduan dengan masyarakat bukan Islam berkonsepkan kemanusiaan. Maka, diwajibkan menegakkan keadilan kepada semua termasuk terhadap golongan bukan Islam yang bersedia berada di bawah pemerintahan Islam.

    Firman Allah SWT:

    “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ma’idah:

    Ikatan dilakukan dengan kesediaan golongan bukan Islam menjadi rakyat tanpa paksaan dalam beragama. Perpaduan itu terjalin setelah diadakan tahaluf dan ta‘awun (persefahaman dan kerjasama) termasuk bersama kaum Yahudi bukan Islam ketika menegakkan negara contoh di Madinah, walaupun golongan tersebut dikatakan sebagai kelompok yang paling bermusuh terhadap Islam dan penganutnya, sebagaimana firman Allah SWT:

    Demi sesungguhnya, kamu (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang paling keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang Musyrik...” (Surah al-Ma’idah: 82)

    Namun, kaum Yahudi yang paling keras permusuhannya itu pada awalnya diterima untuk bersama dalam masyarakat majmuk, kerana Islam mendahulukan konsep perdamaian dan keadilan kepada semua berpandukan al-Quran. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh firman Allah SWT:

    Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (61); Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah Tuhan yang memberikan kekuatan kepadamu dengan pertolongan-Nya dan dengan (dukungan) orang-orang Mukmin. (62); Dan Dia (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak akan dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya, Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. (63)” (Surah al-Anfal: 61-63)

    Allah SWT juga menetapkan sempadan terhadap amalan politik perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk berpandukan firman-Nya:

    “Mudah-mudahan, Allah menimbulkan kasih sayang antaramu dengan orang-orang yang kamu musuhi antara mereka. Dan Allah adalah Maha Kuasa. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (7); Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8); Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” (Surah al-Mumtahanah: 7–9)

    Apabila ternyata kaum Yahudi dan Musyrikin melakukan pengkhianatan terhadap tahaluf siyasi sama ada dengan menunjukkan sifat-sifat permusuhan mereka terhadap Islam dan penganutnya, atau bergabung dengan musuh secara terbuka dan tersembunyi yang diketahui pada akhirnya, maka perjanjian dibatalkan. Hal ini demikian kerana, dilarang secara haram berwala’ kepada musuh dalam ayat yang telah disebutkan di atas dan banyak lagi ayat-ayat yang lain yang lebih keras hukumnya.

    Atas prinsip yang dinyatakan dalam ayat di atas, maka diharamkan bekerjasama dan bersatu sehingga berwala’ (berwali) dalam satu perpaduan dengan mana-mana kumpulan yang menentang Islam dan umatnya. Islam hanya mengizinkan perbezaan dan berlainan agama berkonsepkan tiada paksaan beragama, tetapi meraikan perbezaan itu tanpa permusuhan dan penentangan serta tidak meninggalkan prinsip Islam yang nyata.

    Penentangan terhadap pelaksanaan Islam bagi umat Islam sahaja dengan bantahan dan protes adalah suatu sikap permusuhan yang nyata terhadap Islam dan penganutnya, walaupun diberikan hak kebebasan beragama kepada kalangan bukan Islam. Hal ini disebabkan oleh penentangan itu dilakukan terhadap konsep amar ma‘ruf dan nahi munkar. Pembelaan secara nyata terhadap golongan murtad dan lain-lain kemungkaran adalah bukti permusuhan yang nyata.

    Islam mengizinkan wujudnya perbezaan antara agama dan perbezaan pendapat, serta memerintahkan agar berdialog dengan berakhlak. Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh firman Allah SWT:

    Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim antara mereka, dan katakanlah: ‘Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan kitab yang diturunkan kepadamu; Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu; dan hanya kepada-Nya kami berserah diri.’” (Surah al-‘Ankabut: 46)

    Islam menegaskan semua keputusan yang diambil mestilah mengikut perhitungan hukumnya dan semua urusan yang tiada berpisah daripadanya. Di sinilah letaknya batas sempadan kerjasama dan perpaduan dengan semua pihak yang sama dan berbeza dalam kalangan masyarakat majmuk. Tidak mudah untuk menyertai perpaduan yang salah takrifnya serta tidak mengikut prinsip dan konsep Islam.

    Pihak yang bermusuh terhadap Islam, kini sedang menjual propaganda Islamofobia yang menjadi halangan untuk sementara waktu sahaja. Demikian itu, kerana manusia tidak boleh ditipu untuk selama-lamanya.

    *Tan Sri Abdul Hadi Awang adalah Presiden Pas dan Ahli Parlimen Marang. Artikel ini dipetik daripada ruangan Minda Presiden.

  • Kerjasama BN-PH tak mampu kalahkan PN di Pantai Timur, kata penganalisis

    Kerjasama BN-PH tak mampu kalahkan PN di Pantai Timur, kata penganalisis

    KESEDIAAN UMNO untuk mengagihkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlaku tahun ini memberi isyarat seolah-olah parti itu semakin hilang sokongan Melayu terutama di negeri-negeri Pantai Timur, kata beberapa penganalisis.

    Mereka berpandangan usaha UMNO mengelakkan pertembungan dengan PH di Terengganu ibarat cubaan ‘menyelam sambil minum air’ apabila langkah ini meningkatkan peluang mereka meraih kemenangan dan pada masa sama membuktikan keikhlasan terhadap kerjasama dengan gabungan dipimpin Datuk Seri  Anwar Ibrahim itu.

    Penganalisis politik dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berpandangan bahawa kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PH masih tidak cukup kuat untuk menghalang kekuatan Perikatan Nasional (PN) terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur.

    Katanya, cadangan pengagihan kerusi yang dipercayai akan berlaku antara dua blok itu mungkin didorong atas faktor mereka semakin kekurangan kerusi di kawasan terbabit.

    “Secara umumnya, PH dan BN semakin ditolak di negeri-negeri itu, jadi mereka pun ‘bermurah hati’ antara mereka,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Tambah Oh, di negeri-negeri yang dikuasai PH pastinya akan menyaksikan rundingan sengit memandangkan gabungan itu dan BN akan lebih yakin untuk memenangi sebahagian daripada kerusi yang dipertandingkan.

    Sementara Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir berkata, langkah ini juga membuktikan UMNO tidak lagi mampu bergerak solo dan memerlukan bantuan parti komponen PH untuk kekal relevan.

    Jangkaan beliau ialah UMNO yang menerajui BN mungkin memberi laluan kepada PH terutama di kawasan yang dipercayai hampir mustahil untuk parti itu menang.

    “Ketika ini mereka tidak mendapat sokongan Melayu, jadi kerjasama dengan PH penting.

    “Hanya dengan kerjasama kukuh antara pakatan itu dapat beri kesan positif kepada UMNO atau BN untuk mereka menang. Tak boleh sendiri, perlu sokongan PH,” katanya.

    Pada 7 Januari, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Rozi Mamat memaklumkan BN bersedia untuk mengagihkan kerusi kepada PH pada PRN di negeri itu dan perbincangan akan diadakan selepas mendapat arahan daripada pemimpin pusat.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan pada 19 November, PN yang dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) berjaya menyapu bersih kerusi Parlimen di Terengganu dan Kelantan serta menawan majoriti kerusi di Pahang yang merupakan kubu kuat UMNO setelah sekian lama.

    Melangkah ke hadapan, Malaysia bakal melalui fasa pilihan raya sekali lagi apabila PRN dijangka berlaku tahun ini di enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah dan Terengganu yang tidak melakukan pembubaran selari dengan kerajaan Pusat pada PRU-15.

    Mengulas lanjut, Jeniri berkata, sekiranya ada keterbukaan komitmen antara BN dan PH, maka ada potensi PH untuk mengambil pendekatan sama di negeri-negeri yang ditadbirnya.

  • Keputusan Speaker Dewan Rakyat terkhilaf, Bersatu rujuk mahkamah – Muhyiddin

    Keputusan Speaker Dewan Rakyat terkhilaf, Bersatu rujuk mahkamah – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu akan merujuk keputusan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Johari Baharum berkaitan kedudukan empat ahli Parlimennya ke mahkamah.

    Dalam kenyataan hari ini, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, Johari terkhilaf  apabila memutuskan keempat-empat ahli Parlimen daripada parti itu di Sabah tidak perlu mengosongkan kerusi kerana mereka bukan ahli Bersatu ketika bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Berikut kenyataan penuh beliau:

    Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat bertarikh 16 Januari 2023 berhubung notis kekosongan kerusi empat Ahli Dewan Rakyat di negeri Sabah yang telah gugur keahlian mereka dalam Bersatu.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat memutuskan empat Ahli Dewan Rakyat tersebut tidak perlu mengosongkan kerusi masing-masing menurut Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan kerana mereka bukan ahli Bersatu ketika bertanding dalam PRU-15.

    Alasan yang diberikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat ialah empat Ahli Dewan Rakyat tersebut telah menjadi ahli langsung Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 27 Oktober 2022. Dengan mentafsir Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu, Yang Dipertua Dewan Rakyat mendapati keahlian mereka dalam Bersatu telah gugur serta-merta pada waktu itu, iaitu sebelum mereka bertanding dalam PRU-15 pada 19 November 2022.

    Saya percaya Yang Dipertua Dewan Rakyat telah terkhilaf dalam membuat tafsiran Perlembagaan Bersatu dan dengan itu keputusannya juga adalah terkhilaf. Yang Dipertua Dewan Rakyat bukanlah pihak yang mempunyai kuasa untuk mentafsir Perlembagaan Bersatu.

    Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu menyatakan seorang ahli gugur keahliannya secara serta-merta apabila menyertai mana-mana parti politik lain. Fasal ini tidak terpakai kepada empat Ahli Dewan Rakyat tersebut kerana mereka adalah ahli Bersatu dan Bersatu adalah pengasas serta parti komponen GRS pada masa itu. Justeru, GRS tidak boleh ditafsirkan sebagai “parti politik lain” mengikut semangat dan intipati Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.

    Selain itu, surat daripada Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sabah bertarikh 3 November 2022 jelas menyenaraikan empat Ahli Dewan Rakyat tersebut adalah calon GRS dari parti Bersatu. Ini bermakna, penyertaan mereka sebagai ahli langsung GRS tidak menjejaskan keahlian mereka dalam Bersatu ketika mereka bertanding dalam PRU-15 yang lalu. Surat tersebut telah diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk membantu beliau membuat keputusan.

    Jika pun terdapat perselisihan dalam mentafsir Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu, Fasal 27 Perlembagaan Bersatu memperuntukkan kuasa untuk memberikan tafsiran yang muktamad terletak pada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu. Maka, dalam hal ini hanya MPT Bersatu boleh menentukan sama ada empat Ahli Dewan Rakyat tersebut telah gugur keahlian mereka serta-merta apabila mereka menyertai GRS.

    Yang Dipertua  Dewan Rakyat membuat keputusannya berdasarkan tafsiran beliau mengenai Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.Oleh kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk mentafsir Perlembagaan Bersatu, keputusannya bahawa empat Ahli Dewan Rakyat berkenaan tidak perlu mengosongkan kerusi mereka adalah terkhilaf.

    Fakta juga jelas menunjukkan bahawa mantan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor hanya mengisytiharkan keluar parti pada 10 Disember 2022. Tindakan menyeberang lantai (crossing the floor) empat Ahli Dewan Rakyat berkenaan juga berlaku pada 19 Disember 2022 yang mana kedua-dua perbuatan ini mengakibatkan keguguran keahlian mereka dalam Bersatu di bawah Perkara 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu selepas PRU-15.

    Adalah jelas Yang Dipertua Dewan Rakyat telah membuat tafsiran khilaf berkenaan Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan. Memandangkan kuasa mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang terletak pada mahkamah, maka Bersatu akan merujuk perkara ini ke mahkamah supaya keluhuran undang-undang sentiasa terpelihara.

    Saya percaya mahkamah adalah tempat yang sesuai untuk mendapatkan keadilan dalam hal ini memandangkan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada parti Pakatan Harapan adalah pihak yang berkepentingan.

  • Pemuda Pas kecam UMNO ulangi ‘permainan’ lama kawal peruntukan

    Pemuda Pas kecam UMNO ulangi ‘permainan’ lama kawal peruntukan

    PEMUDA Pas Terengganu mendakwa UMNO mengulangi ‘permainan’ lama dengan menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Persekutuan (JPP) bagi mengawal peruntukan kerajaan Pusat daripada disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

    Ketua Penerangannya, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata, penubuhan jawatankuasa itu disifatkan mempunyai kepentingan politik termasuk menganaktirikan negeri-negeri yang tidak sealiran dengan Pusat.

    “Kelantan dan Terengganu antara negeri yang sangat terkesan dengan kewujudan JPP kerana berlaku sekatan terhadap peruntukan yang diberikan.

    “Penubuhan JPP bukan satu perkara asing lagi kerana selama ini UMNO telah menggunakan kaedah ini untuk mengawal peruntukan kerajaan Persekutuan dari disalurkan terus kepada kerajaan negeri yang tidak sealiran dengan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini .

    Beliau berkata, antaranya saluran hasil royalti yang sepatutnya diberikan kepada kerajaan Terengganu sebanyak 5 peratus telah diturunkan melalui JPP dan seterusnya diagihkan dalam bentuk wang ihsan untuk memancing undi bagi menjatuhkan kerajaan Pas ketika itu.

    Lebih teruk lagi di Kelantan katanya, sehingga hari ini hak royalti mereka masih dinafikan lagi.

    Muhammad Irsyad Syafiq mendakwa, Pakatan Harapan (PH) juga mengambil pendekatan sama ketika memerintah dengan cuba mewujudkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) bagi mewakili kerajaan Persekutuan di negeri yang tidak sehaluan.

    Menurutnya, usaha itu sebaliknya terbantut apabila Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan dan memberi mandat secara adil kepada setiap kerajaan negeri termasuk agihan peruntukkan kepada ahli Parlimen pembangkang.

    Muhammad Irsyad memberitahu, penubuhan JPP juga mencerminkan kegagalan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa melaungkan isu integriti dan keadilan buat semua.

    “Kerajaan Persekutuan selaku seorang ayah perlu bersifat matang dengan memberikan hak yang sewajarnya kepada negeri-negeri yang ada dalam negara secara adil supaya dapat memacu pembangunan dan membela rakyat.

    “Sebaliknya, penubuhan JPP dilihat akan mencabul hak federalisme dan autonomi kerajaan negeri yang tidak sealiran kerana rakyat telah memilih siapa yang berhak mentadbir di kawasan masing-masing. Jadi, jangan tekan dan hukum rakyat.

    “Tidak perlu bimbang dari segi ketelusan agihan kerana empat negeri yang tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan itu ditadbir Pas yang telah terbukti tiada kes rasuah dan salah guna wang seperti yang ada dalam BN dan PH,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini, kerajaan berhasrat membentangkan cadangan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan JPKKP kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keanggotaan ahli JPKK dan JPKKP yang dibentuk perlu mengambil kira komposisi parti komponen Kerajaan Perpaduan sebagai menyokong prinsip sealiran dalam kerajaan kini.

  • Pegawai polis mengaku bersalah atas 24 pertuduhan rogol

    Pegawai polis mengaku bersalah atas 24 pertuduhan rogol

    SEORANG pegawai polis London mengaku merogol dan mendera 24 wanita selama hampir dua dekad, menjadikannya salah seorang pesalah seks paling aktif di Britain.

    Menurut Polis Metropolitan dan Pendakwa Raya, David Carrick, 48 tahun, menggunakan kedudukannya untuk mengugut dan menakut-nakutkan mangsanya.

    Pendedahan terbaharu ini terus mencalar imej Polis Metropolitan yang kini berdepan kemerosotan keyakinan dalam kalangan orang awam.

    Ketua Pesuruhjaya Polis, Mark Rowley memohon maaf kerana gagal melihat corak penderaan sebelum ini.

    Suspek menurut beliau, tidak layak menjadi anggota polis, lapor Astro Awani.

    Sementara itu, jurucakap Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak menyifatkan kes itu sebagai mengerikan.

    Datuk Bandar London, Sadiq Khan pula menuntut pihak berkuasa memberi penjelasan selepas Carrick mengaku bersalah terhadap 49 pertuduhan berkaitan 12 mangsa antara 2003 hingga 2020.

    Carrick menyertai Polis Metropolitan pada 2001 dilaporkan mengasingkan wanita daripada segi sosial dan kewangan.

    Dia akan dijatuhkan hukuman pada 6 Februari.

  • Dua lelaki ditahan bawa petrol tanpa kebenaran

    Dua lelaki ditahan bawa petrol tanpa kebenaran

    AGENSI Penguatkasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah bot penumpang kerana membawa barang kawalan tanpa kebenaran disyaki minyak petrol di kedudukan 0.2 batu nautika utara Pulau Indah, Klang, 11.45 pagi, semalam.

    Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata hasil pemeriksaan awal mendapati ia didaftarkan untuk membawa penumpang dan dikendalikan oleh dua lelaki warga tempatan masing-masing berumur 46 dan 49 tahun.

    “Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 26 tong jenis jerry can’mengandungi 640 liter cecair disyaki minyak petrol dianggarkan berharga RM 1,312 yang diletakkan di bahagian belakang bot tersebut.

    “Siasatan awal ke atas kru bot mendapati, mereka membeli minyak dari stesen minyak di Pelabuhan Klang dan ingin menuju ke Pulau Ketam. Kesemua barangan berserta bot dan kru ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

    Siva Kumar berkata kes berkenaan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana disyaki melakukan kesalahan menyalahgunakan lesen bot dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa kebenaran.