Category: Semasa

  • Siti Bainun menangis, semua peguam tarik diri

    Siti Bainun menangis, semua peguam tarik diri

    PENGASAS Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali menangis di kandang saksi Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas dua peguamnya menarik diri pada saat akhir semasa prosiding bela diri kes mengabai dan menganiaya kanak-kanak perempuan dikenali Bella.

    Siti Bainun, 31, dilihat mengesat air mata ketika Hakim Izralizam Sanusi memaklumkan, mahkamah telah menerima notis penarikan diri daripada peguam, Asiah Jalil dan Nurul Nurul Hafidzah Hassan pada pukul 9 malam tadi.

    Dengan penarikan dua peguam itu, ini menjadikan kesemua peguam dari lima firma, tidak lagi mewakili wanita itu dalam prosiding bela dirinya.

    Izralizam: Kamu tahu tak, mereka mahu tarik diri?

    Siti Bainun: Puan Asiah ada beritahu Sabtu lalu, boleh nak tarik diri sebab ada pertindihan jadual, tapi beliau tak ada cakap, betul-betul nak tarik diri, tak apalah Yang Arif, saya akan cuba bincang semula.

    Izralizam: Saya juga ada terima notis penarikan diri peguam, difailkan pukul 9 malam tadi, sekiranya ada pertindihan tarikh, peguam perlu buat permohonan berserta alasan, untuk saya pertimbangkan.

    Hakim ini turut menasihati tertuduh supaya membuat aduan kepada Majlis Peguam, sekiranya rasa teraniaya dengan tindakan peguam-peguamnya.

    “Mahkamah tak salahkan atau marahkan kamu, tetapi kalau kamu sendiri tidak beri arahan, macam mana mereka nak bersedia,” kata hakim itu.

    Siti Bainun: Saya tak tahu susunan jadual itu macam mana?

    Izralizam: Kamu bagi tak mereka tarik diri?

    Siti Bainun: Mestilah tidak.

    Izralizam kemudiannya menasihati Siti Bainun supaya melantik peguam yang lebih bertanggungjawab untuk mengendalikan kesnya.

    “Seorang sahaja sudah memadai untuk mengendalikan kes, kalau banyak firma tapi berlaku macam ini, ia tidak memberi manfaat kepada kamu juga,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Susulan itu, mahkamah kemudian menetapkan 26 dan 27 Januari ini bagi sambung perbicaraan bela diri manakala prosiding yang dijadualkan berlangsung hingga Jumaat ini dilapangkan.

    Tertuduh juga dikehendaki untuk memaklumkan mengenai status lantikan peguam baharu pada tarikh berkenaan.

    Semalam, Warta Rakyat melaporkan tiga peguam yang mewakili Siti Bainun menarik diri iaitu Mohammad Farhan Maaruf, Nur Ellena Mohamed Razif dan Nur A’minahtul Mardiah Md Nor.

    Mohammad Farhan dan Nur Ellena memfailkan permohonan itu secara bertulis pada Jumaat lalu manakala Nur A’minahtul membuat permohonan menarik diri secara terbuka.

    Pada 24 November tahun lalu, Siti Bainun diperintah untuk membela diri atas dua pertuduhan tersebut.

    Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

    Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja sama.

  • Wang bantuan persekolahan hilang: Wujud pelanggaran SOP kewangan-Fadhlina

    Wang bantuan persekolahan hilang: Wujud pelanggaran SOP kewangan-Fadhlina

    TERDAPAT pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kewangan sewaktu pengeluaran wang bantuan awal persekolahan berjumlah lebih RM100,000 yang dilarikan individu dalam satu kejadian di Beranang, Selangor semalam.

    Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata itu antara maklumat awal yang diterima pihaknya dan kes itu kini dalam siasatan polis serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bagi mengenal pasti punca kejadian.

    Menurut tatacara pengeluaran wang tunai yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, pengeluaran wang tunai hingga RM10,000 oleh pengetua atau guru besar hendaklah diiringi dua guru atau mendapatkan perkhidmatan pengiring daripada polis jika mengeluarkan wang tunai melebihi RM10,000.

    “Kita ambil serius kerana kehilangan ini melibatkan jumlah yang cukup besar dan SOP kewangan telah dilanggar, kita ada SOP yang ketat bahawa (pengeluaran wang) lebih RM10,000 mesti ada pengiring, ini kan pula satu jumlah yang amat besar.

    “Kita sedang menunggu laporan polis dan JPN Selangor, kemudian kita umumkan tindakan yang akan diambil,” katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan Chepor di Ipoh, hari ini.

    Dalam kejadian 10 pagi semalam, seorang guru besar berputih mata selepas wang bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang hilang selepas dilarikan individu yang memecah tingkap kenderaannya di Semenyih.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan, berdasarkan keterangan guru besar terbabit, mangsa yang berpengalaman 10 tahun mengendalikan transaksi pengeluaran wang tidak membuat sebarang permohonan polis pengiring kerana sudah biasa melakukan sebegitu.

    Fadhlina berkata pihaknya tidak akan berkompromi dalam hal berkenaan.

    Beliau berkata kementerian akan mengembalikan semula wang itu kepada sekolah berkenaan memandangkan ia hak yang perlu dipulangkan kepada murid sekolah melalui proses yang sepatutnya.

    “Tindakan kepada guru besar pula kita serahkan kepada JPN dan pihak polis. Ini untuk memberi jaminan bahawa kes ini sedang disiasat dengan teliti,” katanya.

    Terdahulu, beliau meluangkan masa melawat Sekolah Kebangsaan Seri Tanjung, Tanjung Rambutan sebelum ke Sekolah Kebangsaan Chepor dan mengumumkan peruntukan untuk sekolah masing-masing sebanyak RM400,00 serta RM150,000 bagi tujuan penambahbaikan termasuk penyelenggaran sekolah.

  • Pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah ugut bunuh polis

    Pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah ugut bunuh polis

    SEORANG pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini atas tiga pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap pegawai dan anggota polis pada November dan Disember tahun lepas.

    Muhamad Hafidz Azrul Mat Nizan, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

    Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan, lelaki terbabit secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat mengancam kepada pegawai dan anggota polis dengan niat untuk mengugut menggunakan aplikasi WhatsApp pada 22 Nov, 3 Dis dan 24 Dis tahun lepas.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan tersebut diteruskan, jika disabitkan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Feb ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din dan tertuduh diwakili peguam Che Amir Che Musa.

  • Kakitangan, bekas pengetua sekolah ditahan SPRM

    Kakitangan, bekas pengetua sekolah ditahan SPRM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG kakitangan dan bekas pengetua sebuah sekolah di Kluang ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan dan penyelenggaraan, lapan tahun lalu.

    Menurut sumber, kakitangan berusia 41 tahun dan bekas pengetua berusia 60 tahun itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kluang antara pukul 11 hingga 11.30 pagi tadi selepas hadir memberikan keterangan.

    Warta Rakyat difahamkan, pada 2015 hingga tahun lalu, kakitangan tersebut telah menyalahgunakan jawatannya bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan dan penyelenggaraan di sekolah tersebut kepada syarikat miliknya sendiri.

    Pada masa sama, bekas pengetua sekolah itu juga dikatakan dengan niat bersama meluluskan kerja-kerja tersebut kepada syarikat terbabit.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

    Suspek kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM.

  • Pakai BMW, Ford Mustang hasil jual dadah

    Pakai BMW, Ford Mustang hasil jual dadah

    RAHSIA kehidupan mewah tiga lelaki muda berusia 22 hingga 32 tahun yang memandu kereta BMW dan Ford Mustang bernilai kira-kira RM300,000 terbongkar selepas mereka sebenarnya disyaki mengedar dadah jenis serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan ketamin.

    Ketiga-tiga mereka yang merupakan penganggur dan ejen insurans itu ditahan polis Pulau Pinang dalam dua serbuan berbeza di sekitar pusat bandar George Town, Jumaat lalu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, ketiga-tiga suspek itu ditahan antara pukul 7 petang hingga 10 malam yang mana polis turut merampas 151 paket plastik serbuk dadah MDMA seberat 2,507 gram bernilai RM125,350 dan satu paket ketamin seberat 25.8 gram bernilai RM3,870.

    Ujar beliau, suspek pertama ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Jelutong manakala dua suspek ditahan dalam serbuan kedua di sebuah kondominium di Lebuh Gat.

    Jelasnya, siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai membungkus dadah yang mempunyai pelbagai perisa antaranya lemon dan oren untuk dicampur di dalam minuman.

    Tambah beliau, sindiket itu kemudian akan menjual setiap bungkusan dadah yang dicampur dengan serbuk minuman bermula dari RM180 hingga RM250 yang MDMA tersebut mudah larut di dalam air serta memberi kesan seperti pil ekstasi.

    “Hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket ini telah bergiat aktif sejak tahun lalu untuk pasaran tempatan.

    “Suspek menyasarkan dadah yang diproses itu dijual kepada pelanggan kelab malam di sekitar negeri ini dan kita masih menyiasat dari mana sindiket ini memperoleh bekalan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

    Tambahnya, ujian saringan air kencing ketiga-tiga suspek negatif dadah namun semakan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

    Selain dadah, ujar beliau, polis turut menyita pelbagai barangan daripada sindiket itu termasuk empat buah kenderaan termasuk motosikal; wang tunai RM3,559; dua utas rantai leher; seutas rantai tangan; dua bentuk cincin dan loket emas yang kesemuanya bernilai RM441,588.

    Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 20 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Isytihar aset sandiwara masa lalu-PM

    Isytihar aset sandiwara masa lalu-PM

    PERDANA Menteri berkata, terdapat keperluan pemimpin politik termasuk yang menjadi menteri membuat pengisytiharan aset secara telus bagi mengelaknya dijadikan ‘gimik politik’.

    Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menganggap pengisytiharan harta dilakukan sebelum ini hanya sandiwara kerana jumlah didedahkan tidak menggambarkan yang sebenar dimiliki mereka.

    “Pengisytiharan aset adalah satu sandiwara pada masa lalu, orang (menteri) mungkin ada ratusan juta tetapi hanya isytihar RM11 hingga 12 juta,” katanya pada sidang media di Kementerian Kewangan.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada barisan menterinya sudah mengisytiharkan harta dan jika belum dilakukan, mengapa dan bila ia akan didedahkan kepada umum.

    Anwar akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memastikan proses pengisytiharan aset menteri lebih telus dengan menetapkan parameter yang betul.

    Ahli Parlimen Tambun itu mendakwa, terdapat segelintir menteri sebelum ini tidak telus dalam membuat pengisytiharan aset sambil menyifatkan mereka seolah-olah mempersenda proses itu.

    “Keutamaan (sekarang) ialah apa sahaja keputusan yang dilakukan lebih baik, bertanggungjawab serta telus, bukannya dibuat untuk gimik politik,” katanya, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    November lalu, Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) berkata. semua Ahli Parlimen baharu dipilih terutama dalam Pakatan Harapan (PH) perlu membuat pengisytiharan harta selaras janji pilihan raya mereka.

    Pengerusi C4, Terence Gomez berkata, Ahli Parlimen PH juga mesti mengisytiharkan harta pasangan masing-masing dan ahli keluarga berusia 18 tahun ke atas sebagaimana dijanjikan dalam manifesto.

    Beliau berkata, mengisytiharkan harta tidak sepatutnya menjadi amalan sekali sahaja selepas pilihan raya atau seseorang itu dilantik memegang jawatan menteri.

    Pengisytiharan harta perlu dilakukan setiap tahun, justeru rakyat dapat menentukan sekiranya ada kemewahan dikumpul ketika dalam jawatan.

    Semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Ikatan Demoktratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengisytiharkan harta mereka.

    DAP berkata, hanya mereka yang menjadi calon dan menang diperlukan mengisytiharkan aset, manakala PAS merujuk tindakan isytihar harta sebagai ‘bodoh’.

  • Ahli perniagaan sekali lagi didakwa buat tuntutan palsu RM1.26 juta

    Ahli perniagaan sekali lagi didakwa buat tuntutan palsu RM1.26 juta

    SEORANG ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Perkeso bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM1.26 juta.

    Mengikut keenam-enam pertuduhan itu, M Karthikesan, 44, pemilik syarikat Fajaa Murudana Sdn Bhd didakwa memberikan borang pengesahan pekerja bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama syarikat itu bertarikh 12 dan 26 Mei serta 4 Jun 2021 kepada tiga pegawai Perkeso bagi menuntut insentif di bawah program berkenaan.

    Dia dituduh dengan niat memperdayakan Perkeso dengan borang pengesahan itu yang mengandungi pernyataan palsu mengenai maklumat pekerja baharu sedangkan 34 orang dalam senarai pekerja tidak bekerja dengan syarikat itu (Fajaa Murudana).

    Karthikesan didakwa melakukan perbuatan itu di Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur dan di Persiaran Perdana Presint 2, Putrajaya, antara 19 Mei hingga 3 Ogos 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir matan palsu itu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Fadhly Mohd Zamry memohon jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Selangor sehingga kes selesai.

    Peguam S Vijaya mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung tiga anak yang masih bersekolah, selain perniagaannya kini terjejas selepas didakwa di mahkamah.

    Hakim Azura Alwi membenarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Selangor sehingga kes selesai selain menetapkan sebutan kes pada 1 Mac ini.

    Pada 13 Jan lalu, Karthikesan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor atas sembilan pertuduhan sama membabitkan jumlah lebih RM1.4 juta, pada 2021.

  • DSP, inspektor disyaki subahat kemuka invois palsu RM19,980

    DSP, inspektor disyaki subahat kemuka invois palsu RM19,980

    DUA pegawai polis, masing-masing berpangkat deputi superintenden (DSP) dan inspektor direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu, empat tahun lalu.

    Majistret Siti Farah Ibrahim mengeluarkan perintah reman itu terhadap kedua-dua suspek yang ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak, kira-kira 3.15 petang semalam.

    Kedua-dua suspek berumur 49 tahun itu disyaki bersubahat bersama seorang pengurus sebuah syarikat untuk mengemukakan invois dan pesanan kerajaan yang mengandungi butiran palsu berjumlah RM19,980.

    Invois dan pesanan kerajaan itu bagi perkhidmatan dan pembaikan bangunan di IPD Julau, dekat Sibu, iaitu tempat kedua-dua pegawai terbabit bertugas pada 2019.

    Sementara itu, Mahkamah Majistret di Sibu memerintahkan pengurus syarikat berumur 39 tahun yang disyaki bersubahat dengan kedua-dua pegawai polis berkenaan direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

  • Permohonan Wan Ji tangguh 7 April

    Permohonan Wan Ji tangguh 7 April

    MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya menetapkan 7 April ini bagi mendengar permohonan penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin untuk merujuk isu perlembagaan melibatkan Akta Hasutan ke Mahkamah Persekutuan.

    Peguam Sangeet Kaur Deo mewakili Wan Ji ketika dihubungi pemberita mengesahkan tarikh baharu itu selepas mahkamah menangguhkan pendengaran permohonan itu yang sepatutnya berlangsung hari ini.

    “Penangguhan itu akan memberi masa kepada saya untuk lebih bersedia dalam rayuan berkenaan selepas mengambil alih kes tersebut daripada peguam Ramkarpal Singh,” kata Sangeet.

    Wan Ji merayu terhadap hukuman penjara setahun yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Julai 2019 selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menambah hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 9 April 2018.

    Bagaimanapun, mahkamah itu membenarkan permohonan Wan Ji untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara setahun sehingga rayuannya di Mahkamah Rayuan selesai.

    Wan Ji didapati bersalah atas dakwaan menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook dengan nama wanji.attaaduddi di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di Putrajaya pada 10 pagi, 5 Nov 2012.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, bagi  kesalahan kedua dan seterusnya, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun.

  • Polis minta bantuan orang ramai kesan waris kanak-kanak Myanmar yang disyaki didera

    Polis minta bantuan orang ramai kesan waris kanak-kanak Myanmar yang disyaki didera

    ORANG ramai yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak lelaki warga Myanmar yang ditemukan Jumaat lepas dengan beberapa kesan kecederaan, duduk bersendirian di tepi jalan simpang tiga berhampiran Pangsapuri Cheras Utama, Batu 9, Cheras, supaya tampil membantu polis.

    Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata polis telah menggunakan pelbagai kaedah dalam usaha mengesan waris kanak-kanak berkenaan, namun sehingga kini masih menemui jalan buntu.

    Beliau berkata selain memeriksa sekitar lokasi kanak-kanak itu ditemukan, polis turut membuat hebahan dan mengedar gambar kanak-kanak itu dalam kumpulan Whatsapp penduduk dan masjid di kawasan berhampiran.

    Bercakap pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat 19/13 sempena Tahun Baharu Cina 2023 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), di Kajang, Mohd Zaid berkata polis turut meminta bantuan jurubahasa Myanmar untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak yang berumur sekitar empat tahun itu, namun masih tidak membuahkan hasil.

    “Dia (kanak-kanak) tidak mahu bercakap tetapi hanya boleh menulis angka satu hingga 10 dalam bentuk perkataan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Cina. Kanak-kanak itu dilihat masih trauma,” katanya.

    Kanak-kanak yang disyaki mangsa dera itu telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Hulu Langat.