Category: Semasa

  • Datuk didakwa tipu pembelian milikan pegangan pesawat, helikopter lebih RM7 juta

    Datuk didakwa tipu pembelian milikan pegangan pesawat, helikopter lebih RM7 juta

    SEORANG  ahli perniagaan bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas dua pertuduhan menipu berhubung pembelian pesawat dan helikopter berjumlah lebih RM7 juta, enam tahun lepas.

    Datuk Ismail Hassan, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

    Mengikut pertuduhan pertama, Ismail didakwa menipu seorang ahli perniagaan berusia 57 tahun dengan memperdayakannya bahawa beliau hendak membeli milikan pegangan pesawat Cessna 650 Citation III (N95AZ) dan helikopter jenis EC120B (N120TX) dengan harga RM7,092,995.

    Tertuduh telah menyerahkan dua cek bernilai RM1 juta dan RM6,092,995 kepada mangsa sedangkan beliau mengetahui bahawa kedua-duanya tidak boleh ditunaikan.

    Ismail didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah firma guaman di Solaris Dutamas, Sentul pada 21 Feb 2019 mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, Ismail didakwa sebagai seorang muflis yang belum dilepaskan telah memasuki satu perjanjian pinjaman bertarikh 29 Nov 2017 dengan lelaki sama bagi tujuan pembelian pesawat dan helikopter sama serta penubuhan sebuah syarikat untuk menjalankan perniagaan penyewaan pesawat di negara ini.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat di Jalan Pinang, Dang Wangi pada 29 Nov 2017 mengikut Seksyen 109(1) (m) (ii) Akta Kebankrapan 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 109(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohd Josiendra Abu Senin menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Datuk Zainal Omar, yang mewakili Ismail, memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya telah muflis.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Feb ini untuk sebutan kes.

    — BERNAMA

  • OKU rugi RM4,000, amah larikan barang kemas

    OKU rugi RM4,000, amah larikan barang kemas

    SEORANG wanita orang kurang upaya (OKU) mengalami kerugian RM4,000 selepas barang kemas dan wang tunai berjumlah RM2,000 lesap disyaki dilarikan pembantu rumah warganegara India, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, mangsa, 38, menyedari orang gajinya bernama Jothi tiada dalam bilik di rumahnya di Telok Pelandok Pasir Panjang, Port Dickson pukul 5 pagi.

    “Mangsa sebelum itu telah membuat iklan bagi mencari orang gaji dalam Facebook dan telah dihubungi seorang ejen dikenali sebagai Raja.

    “Raja menawarkan seorang perempuan warganegara India sebagai orang gaji dengan kos bayaran RM10,000 termasuk penghantaran, passport dan visa pas pekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ujarnya, mangsa telah membayar gaji sebanyak RM1,200 kepada suspek yang diambil bekerja awal Disember tahun lepas.

    “Sepanjang bekerja, suspek diberikan kemudahan tempat tinggal, telefon bimbit dan ditanggung makan minum.

    “Bagaimanapun, suspek disedari tiada di biliknya ketika mangsa bangun tidur dan selepas pemeriksaan didapati barang kemas miliknya dan anaknya iaitu dua anting-anting, satu utas rantai leher, satu utas rantai tangan dan wang tunai RM2,000 telah hilang.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan polis masih mengesan suspek bernama Jothi Kumar,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kes itu boleh menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Nur Asyikin Kamarrudin menerusi talian 012-9310852 atau hotline Ibu Pejabat Polis (IPD) Port Dickson talian 06- 6472222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

  • Tiga warga Malaysia mangsa sindiket penipuan pekerjaan selamat pulang ke tanah air

    Tiga warga Malaysia mangsa sindiket penipuan pekerjaan selamat pulang ke tanah air

    TIGA lagi warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar telah berjaya diselamatkan dan pulang ke tanah air pada hari hari ini.

    Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata kesemua mangsa berusia antara 19 hingga 33 tahun yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut. 

    “Kementerian merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak berkuasa Thailand dan PDRM yang telah bersama-sama dengan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dalam membantu menyelamatkan mangsa sindiket jenayah ini,” kata kenyataan itu. 

     Kenyataan itu menyebut sehingga semalam, Kementerian telah menerima sebanyak 519 laporan melibatkan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa jenayah sindiket penipuan di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.

    Daripada bilangan itu, seramai 373 orang telah berjaya diselamatkan dengan 346 orang dibawa pulang ke Malaysia dan 27 lagi masih berada dalam depoh tahanan.

    “Kementerian melalui Kedutaan-kedutaan Besar Malaysia di negara-negara yang terlibat bersama dengan PDRM akan terus melipatgandakan usaha bagi menyelamatkan baki 146 orang mangsa sindiket jenayah ini,” menurut kenyataan itu.

  • Wanita warga emas kerugian RM140,000 ditipu Macau Scam

    Wanita warga emas kerugian RM140,000 ditipu Macau Scam

    SEORANG warga emas mengalami kerugian RM140,000 selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis.

    Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata wanita berusia 66 tahun dan tidak bekerja itu membuat laporan polis semalam berhubung kejadian tersebut.

    “Mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis bernama ‘Puan Rohani’ dengan mendakwa kononnya mangsa terlibat dalam kes penggubahan wang haram dan akan ditangkap. 

    “Mangsa mendakwa telah ditipu oleh suspek sejak Oktober hingga Disember tahun lalu dan apabila membuat semakan semalam mendapati wang dalam akaun banknya telah berkurangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nor Omar berkata modus operandi sindiket itu ialah meminta mangsa memindahkan wang daripada akaun Tabung Haji ke akaun bank mangsa dan menyerahkan maklumat bank kepada suspek.

    “Suspek telah bertindak memindahkan wang di dalam akaun mangsa ke dalam akaun individu yang tidak dikenali,” katanya.

    Dalam pada itu, Nor Omar berkata sebanyak RM2.4 juta membabitkan 87 kes Macau Scam direkodkan di daerah Manjung sepanjang tahun lepas.

    “Polis mendapati antara modus operandi penipuan Macau Scam adalah suspek menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai penguat kuasa, polis, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), mahkamah, institusi kewangan atau syarikat perkhidmatan.

    “Orang ramai diingatkan supaya tidak melayan panggilan telefon oleh individu yang tidak dikenali selain  tidak mendedahkan maklumat perbankan kepada mana-mana pihak,” katanya.

  • Rogol, miliki gambar lucah, tukang masak dipenjara 15 tahun, 10 sebatan

    Rogol, miliki gambar lucah, tukang masak dipenjara 15 tahun, 10 sebatan

    SEORANG tukang masak warganegara Thailand dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen Gua Musang, hari ini atas pertuduhan merogol dan memiliki gambar lucah mangsa, Oktober tahun lalu.

    Ilham Wedue-oh, 26, yang kelihatan sugul, mengangguk faham dan mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah, lapor Harian Metro.

    Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa bawah umur yang berusia 15 tahun di tempat rehat pekerja di Hentian Anjung Paloh 02, Oktober tahun lalu

    Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan sebatan.

    Tertuduh juga didakwa terbabit dalam penghasilan pornografi kanak-kanak iaitu mangsa yang sama dengan menggunakan telefon bimbit di lokasi dan tarikh yang sama.

    Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan tidak kurang daripada enam sebatan.

    Tertuduh turut didakwa tidak memiliki pas yang sah bagi memasuki Malaysia di lokasi yang sama, pukul 8.30 malam, pada 4 Januari 2023.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63(Akta 155) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama yang boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya atau tidak lebih enam sebatan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh tidak diwakili peguam.

    Tertuduh merayu kepada mahkamah supaya mengurangkan hukuman terhadapnya.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan empat sebatan bagi pertuduhan rogol, penjara 15 tahun dan enam sebatan bagi penghasilan pornografi dan lapan bulan penjara untuk pertuduhan tidak memiliki pas sah.

    Hakim mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 4 Januari lalu.

  • Dua rakan termasuk warga Singapura didakwa beri rasuah RM90,000 kepada pegawai polis

    Dua rakan termasuk warga Singapura didakwa beri rasuah RM90,000 kepada pegawai polis

    DUA rakan termasuk seorang warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, atas pertuduhan memberi rasuah kepada seorang pegawai polis berjumlah RM90,000, tahun lepas.

    Mengikut kertas pertuduhan, Law Wen Xiang, 32, dan Donavan Sia Qi Xun, 27, didakwa mencapai niat bersama memberi suapan kepada pegawai risikan dan operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di hadapan sebuah restoran di Taman Suria Johor Bahru, pada 5.45 petang, 17 Okt tahun lepas.

    Perbuatan itu didakwa sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas Sia yang merupakan warga Singapura kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Bagi pertuduhan itu, Law dan Sia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Law dan Sia turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan memberi suapan kepada individu sama dengan jumlah yang sama sebagai balasan untuk tidak menjalankan tindakan penguatkuasaan ke atas Sia kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi, waktu dan hari yang sama mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

    Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dan mereka perlu melapor diri ke pejabat SPRM Johor di Johor Bahru setiap bulan.

    Mahkamah menetapkan 19 Feb ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Chan Choon Yew, manakala peguam K. Veeranesh Babu mewakili Law sementara peguam Mohamad Isa Mohamad Basir mewakili Sia.

  • Bekas pengetua mengaku tidak bersalah laku amang seksual, rogol pelajar

    Bekas pengetua mengaku tidak bersalah laku amang seksual, rogol pelajar

    BEKAS pengetua mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas tuduhan berkomunikasi secara seksual, melakukan amang seksual fizikal dan merogol pelajarnya.

    Tertuduh, Rosli Abd Rahman, 58, membuat pengakuan tersebut selepas 13 pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa berkomunikasi secara seksual dengan mangsa yang ketika kejadian berusia 16 tahun lapan bulan.

    Tertuduh turut berdepan pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama, lapor Harian Metro.

    Kesemua kesalahan itu dilakukan di sekitar daerah ini dan Marang antara November 2020 hingga November 2021.

    Bagi perbuatan itu, tertuduh berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2) (f) Kanun Keseksaan dan empat pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017.

    Dia turut didakwa mengikut dua pertuduhan mengikut Seksyen 11 (a), satu pertuduhan mengikut Seksyen 14 (c) dan satu pertuduhan Seksyen 14 (d) AKSTKK 2017.

    Bagi semua pertuduhan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara antara tiga tahun hingga 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

    Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 20 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Hayyatuddin Muhamad.

  • Mayat dikerat enam dalam bagasi di tepi PLUS

    Mayat dikerat enam dalam bagasi di tepi PLUS

    MAYAT dipotong enam bahagian dan disumbat dalam bagasi ditemui di tepi Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur Rawang Selatan arah utara di Kuala Lumpur, pukul 2 petang tadi.

    Menurut sumber, ketika ditemui bahagian badan mangsa didapati atas rumput berhampiran beg berkenaan.

    “Identiti mangsa masih belum dikenal pasti berikutan tiada pengenalan diri ditemui pada mayat mangsa,” katanya sambil menambah setakat ini polis mengesyaki mangsa adalah lelaki warga asing berdasarkan siasatan awal dilakukan, lapor Harian Metro.

    Susulan penemuan mayat itu, sepasukan anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan mayat berkenaan.

  • Wanita menyamar peguam tipu wanita RM191,250

    Wanita menyamar peguam tipu wanita RM191,250

    POLIS menahan seorang wanita semalam selepas disyaki menyamar sebagai peguam dan memperdayakan wanita lain hingga mengalami kerugian sebanyak RM191,250.

    Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd. Shahril Abd. Rahman berkata, sepasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub berjaya menahan wanita berusia 41 tahun tersebut di sebuah taman perumahan di Kuala Lipis pukul 2 petang.

    “Hasil pemeriksaan, pihak polis merampas dua buah telefon bimbit dan satu kad mesin juruwang automatik (ATM) kepunyaan suspek.

    “Kad tersebut disyaki telah digunakan bagi memperdaya mangsa berusia 39 tahun untuk menyerahkan wang bagi tujuan menjadi peguam untuk kes dihadapi mangsa.

    “Sebelum itu, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan berkait laporan mangsa yang mendakwa telah diperdaya suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, beliau menggesa dan menasihati orang ramai supaya berhati-hati dalam mempercayai individu yang menawarkan tawaran atau khidmat profesional dengan membuat semakan latar belakang.

    “Jangan tanpa secara usul periksa membuat pembayaran seperti mana yang diminta suspek hingga alami kerugian,” jelas Mohd Shahril, lapor Sinar Harian.

  • Fyna Jebat, Zainal Abidin dilihat makan bersama, akhirnya ada gambar berdua

    Fyna Jebat, Zainal Abidin dilihat makan bersama, akhirnya ada gambar berdua

    UMUM mengetahui sebelum ini adik kepada Ayda Jebat iaitu Fyna Jebat mengesahkan sudah pun berkahwin dengan jurulatih bola sepak, Datuk Zainal Abidin Hassan.

    Bagaimanapun, Fyna mahupun Zainal masih belum memuat naik sebarang gambar perkahwinan mereka untuk tatapan umum.

    Baru-baru ini, pasangan tersebut dilihat makan berdua bersama pasangan pelakon, Datuk Mustapha Kamal dan isteri. Perkara tersebut dikongsikan oleh Mustapha menerusi satu video yang dimuat naik di aplikasi TikTok.

    Mustapha turut menulis kapsyen mengatakan tidak sengaja bertemu rakan lamanya iaitu Datuk Zainal ketika keluar makan serta mengucapkan tahniah diatas pernikahan pasangan itu.

    Perkongsian video itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang akhirnya ‘berpuas hati’ dan percaya bahawa pasangan itu telah berkahwin lapor SatuBerita.