Category: Semasa

  • Empat rakan termasuk pasangan suami isteri dituduh edar 99.26 kg dadah

    Empat rakan termasuk pasangan suami isteri dituduh edar 99.26 kg dadah

    EMPAT rakan termasuk sepasang suami isteri dituduh secara bersama di Mahkamah Majistret Jasin  hari ini atas dua pertuduhan mengedar 99.26 kilogram (kg) dadah jenis Methamphetamine dan 3, 4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA).

    Mohd Nor Fadzli Kamarudin, 38, Mohd Najib Jaafar, 44, serta pasangan suami isteri Muzairi Mustapa, 44, dan Rozita Ab Wahab, 41, menggangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan.

    Bagi pertuduhan pertama, mereka dituduh mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 82.64 kg di sebuah rumah di Jalan Serkam, Taman Serkam Jaya, Merlimau pada pukul 3 petang, 4 Jan lepas.

    Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa mengedar dadah jenis 3, 4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 16.62 kg pada tempat, masa dan tarikh yang sama.

    Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp Izuddin Said dan peguam Salim Bashir mewakili Mohd Nor Fadzli manakala tiga lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

    Majistret Tan Chai Wei menetapkan 14 Mac bagi sebutan semula kes.

    — BERNAMA

  • Adakah ‘big boss’ terima RM2 juta itu bekas PM – Peguam Guan Eng tanya saksi

    Adakah ‘big boss’ terima RM2 juta itu bekas PM – Peguam Guan Eng tanya saksi

    PASUKAN  pembelaan dalam perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Lim Guan Eng menegaskan saksi utama pendakwaan, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, tidak memberi RM2 juta kepada bekas ketua menteri Pulau Pinang itu seperti didakwa.

    Peguam Gobind Singh Deo memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, perbualan WhatsApp antara Zarul dan rakan perniagaannya, G Gnanaraja pada 17 Ogos 2017, menunjukkan “coklat” (bermaksud “rasuah”) dibayar kepada seorang yang dirujuk sebagai “big boss”, dan bukannya Lim.

    Dalam usaha merungkai identiti “big boss”, Gobind bertanya: “Adakah anda boleh katakan ‘big boss’ adalah perdana menteri ketika itu?” lapor FMT.

    Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib bangun membantah dengan Hakim Azura Alwi membenarkan pihak pembelaan meneruskan senarai soalan.

    Saksi pendakwaan kelapan itu, Pegawai Penyiasat Jabatan Forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Mohd Firdaus Wan Yusof, memberitahu mahkamah dia tidak mengetahui kepada siapa Zarul dan Gnanaraja rujuk berhubung terma berkenaan.

    Mengambil maklum satu lagi rujukan “big boss” dalam mesej dihantar, pada 23 Julai 2017, Gobind berkata: “Gnanaraja menghantar mesej kepada Zarul pada pagi dan berkata dia (Gnanaraja) ‘semalam ada upacara potong kek dengan big boss’. Gnanaraja juga berkata, dia akan menghantar mesej kepada Zarul selepas dia beredar dari Taman Duta.

    “Tertuduh (Lim) tidak lahir pada 23 Julai dan dia tidak menetap di Taman Duta. Adakah anda tahu?”

    Firdaus menjawab, dia tidak tahu.

    Gobind kemudian memberitahu mahkamah pihak pembelaan akan memfailkan permohonan mendapatkan laporan disediakan pihak pendakwaan dalam kes berasingan dan kandungan perbualan WhatsApp antara Zarul dan Gnanaraja sebagai keterangan.

    Laporan itu dan perbualan WhatsApp sebelum ini sudah ada disebut ketika perbicaraan sebelum ini di Mahkamah Sesyen Shah Alam, yang mana Gnanaraja didakwa menipu.

    Semasa pemeriksaan balas, Firdaus berkata, mesej WhatsApp tidak menyebut RM2 juta diberikan kepada Lim.

    Di akhir testimoni Firdaus, Azura mengarahkan pihak pembelaan memfailkan permohonan dalam tempoh dua minggu dan menetapkan pendengaran, pada 15 Mac.

    Lim dituduh menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu meminta suapan daripada Zarul sebanyak 10% daripada keuntungan projek jalan dan terowong.

    Beliau juga dituduh menerima RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul mendapatkan projek pembinaan itu.

    Selain itu, Lim didakwa dua pertuduhan menyalahgunakan RM208.7 juta nilai tanah milik kerajaan negeri untuk diberikan kepada dua syarikat.

  • Tol percuma sempena Tahun Baru Cina 20 dan 21 Januari

    Tol percuma sempena Tahun Baru Cina 20 dan 21 Januari

    PENGECUALIAN bayaran tol akan diberikan kepada pengguna lebuh raya seluruh negara melibatkan semua kelas kenderaan pada 20 dan 21 Jan ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Anwar berkata pengecualian bayaran tol selama dua hari itu akan melibatkan peruntukan RM40 juta.

    “Berita baik, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pengangkutan (sudah) adakan perbincangan dengan syarikat pengendali lebuh raya bagi ditiadakan (bayaran) tol pada 20 dan 21 Jan ini.

    “Ini bagi memudahkan rakyat bukan hanya berbangsa Cina tetapi juga Melayu dan India untuk pulang bercuti,” kata beliau pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.

    Masyarakat Cina di negara ini akan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina pada 22 dan 23 Jan ini.

    Anwar turut menitipkan pesanan agar mereka yang pulang bercuti supaya berhati-hati dan mematuhi semua peraturan jalan raya yang ditetapkan.

  • Kes pinda laporan audit 1MD: Nasib Najib,Arul bebas atau bela diri pada 3 Mac

    Kes pinda laporan audit 1MD: Nasib Najib,Arul bebas atau bela diri pada 3 Mac

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 3 Mac ini untuk keputusan sama ada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dipanggil untuk membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB.

    Sebelum ini, Hakim Mohamed Zaini Mazlan, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan menetapkan 30 Jan untuk menyampaikan keputusan di akhir kes pendakwaan itu.

    Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib ketika dihubungi, mengesahkan tarikh baharu keputusan itu dan memaklumkan pihaknya menerima e-mel daripada mahkamah hari ini.

    Beliau berkata berdasarkan e-mel itu, Timbalan Pendaftar Catherine Nicholas menyatakan keputusan kes yang ditetapkan pada 30 Jan dilapangkan dan semua pihak tidak perlu hadir pada tarikh berkenaan.

    “Tarikh baharu untuk keputusan telah ditetapkan semula pada Jumaat, 30 Mac jam 9.30 pagi,” katanya.

    Pada 7 Sept 2022, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas mengemukakan 16 saksi termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa, bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr Madinah Mohamad, bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan bekas Pengarah Audit Jabatan Audit Negara (NAD) Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.

    Najib, 69, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    — BERNAMA   

  • Apa nasib KJ…diberi amaran, digantung atau dipecat?

    Apa nasib KJ…diberi amaran, digantung atau dipecat?

    PADA hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO pada Sabtu lalu, Ahmad Zahid Hamidi yang akan mengekalkan jawatan Presiden selepas ia tidak ditandingi memaklumkan Lembaga Disiplin akan memutuskan tindakan ke atas Khairy Jamaluddin (KJ).

    Bekas Ahli Parlimen Rembau itu yang dalam PRU-15 ‘dicampak’ bertanding di Parlimen Sungai Buloh berhadapan kemungkinan dipecat kerana mendakwa ada pewakilan hantu pada perhimpunan tersebut.

    Kalaupun dipecat ia bukanlah mengejutkan, sebaliknya ramai sudah menjangkakannya. Ia memandangkan sejak awal lagi KJ memang dianggap ‘ancaman’ kepada individu tertentu di peringkat kepimpinan. Populariti KJ dalam kalangan rakyat pelbagai kaum khususnya anak muda meresahkan kelompok tersebut.

    Prestasi KJ di Kementerian Kesihatan juga menarik perhatian ramai hinggakan dalam media sosial ada desakan supaya KJ dilantik sebagai Senator selepas beliau kalah di kerusi Parlimen Sungai Buloh yang sejarahnya memang kawasan hitam pekat kepada BN.Namun ia tidak menjadi kenyataan, KJ tidak dilantik apa-apa jawatan dalam Kabinet mahupun parti.  Semua orang tahu dalam UMNO siapa yang dilantik kerana memuji dan siapa yang dipinggirkan kerana bercakap perkara benar.

    Bak kata seorang pemimpin ‘dok dalam UMNO kena ikut arus kalau nak selamat’ walaupun parti sedang menuju kehancuran.

    Tetapi itulah realiti  percaturan politik dalam UMNO sekarang, demokrasi semakin terhakis dan KJ akan menjadi ‘mangsa’ seterusnya. Tidak tahu apa hukuman yang beliau akan terima tetapi yang pasti beliau bukan berada dalam kedudukan sekadar diberi amaran sahaja.

    Lagipun pemilihan UMNO akan berlangsung tidak lama lagi bagi sesetengah pemimpin dalam parti itu ‘Langkah Khairy’ dianggap ‘ancaman’ yang harus dihentikan.

    Kemungkinan juga kalaupun tidak dipecat Khairy akan ‘dicampak’ dalam keadaan ‘hidup pun tidak, mati pun tidak’ maksudnya digantung keahlian bagi mengelakkan beliau bertanding dalam pemilihan parti dan selepas itu tidak diberi apa-apa jawatan termasuk tidak dipilih jadi calon pilihan raya.

    Mungkin kepada kelompok pembodek dan pengampu dalam UMNO, mereka gembira jika KJ dikenakan tindakan tetapi jangan lupa ia juga akan membawa bencana politik lebih buruk kepada UMNO.

    Faktanya, dalam UMNO ketika ini tiada pemimpin yang lebih popular daripada KJ, yang ada pun popular ‘sebab lain’.

    Walaupun seorang pemimpin tertinggi kata kalau hebat sangat KJ pasti menang di Sungai Buloh hakikatnya biarpun tidak menang tapi beliau kalah dengan majoriti sekitar 1,000 undi biarpun tidak menyamai calon PH kalah di Bagan Datuk iaitu 358 undi tetapi beliau berjaya menarik undi  yang cukup signifikan sekaligus memberi isyarat Sungai Buloh bukan lagi kubu kuat PH.

    Penulis bukanlah peminat KJ tetapi penulis sentiasa menghormati karisma dan kebolehan beliau untuk menjadi pemimpin masa depan bukan sahaja untuk UMNO dan negara. Lima tahun lagi majoriti pemimpin yang ada sudah tidak relevan untuk membawa UMNO bertarung dalam PRU-16 kerana pola pengundi sudah berubah. Apatah lagi kalau pemimpin itu asyik kalah dalam pilihan raya walaupun bertanding di kawasan dianggap selamat.

    Apapun sama-samalah kita tunggu keputusan Lembaga Disiplin tetapi khabarnya bukan sahaja KJ tetapi juga beberapa orang lagi turut akan dikenakan tindakan? Siapa? Kenapa? Sebab mereka bercakap benar demi menyelamatkan parti, walaupun UMNO sudah nazak dan perlu diselamatkan.

  • 1.6 tan mercun, bunga api diseludup untuk Tahun Baharu Cina dirampas

    1.6 tan mercun, bunga api diseludup untuk Tahun Baharu Cina dirampas

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JDKM) Pulau Pinang mematahkan cubaan menyeludup pelbagai jenis mercun seberat 1.6 tan bernilai RM87,010 dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di George Town, 9 Januari lalu.

    Pengarah JKDM Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, mercun yang dipercayai diseludup untuk sambutan Tahun Baharu Cina itu dirampas di dalam 463 kotak dalam serbuan kira-kira pukul 4.30 pagi.

    Menurut beliau, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan tiga lelaki berusia antara 30 hingga 42 tahun yang sedang memunggah barang tersebut ke dalam sebuah lori.

    “Siasatan mendapati mercun dan bunga api tidak berkastam itu dibawa masuk melalui salah sebuah negara di Asia Tenggara menggunakan pengangkutan darat secara tidak sah dengan nilai cukai sebanyak RM56,556.50,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Kata beliau, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali amaun duti kastam atau RM50,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali amaun duti kastam atau RM500,000 mana lebih besar atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Sementara itu, dalam operasi berasingan, tambah beliau, JKDM Pulau Pinang turut merampas sejumlah 510 unit dapur memasak hob (elektrik) yang disyaki tidak berkastam bernilai RM358,500 dengan duti dan cukai berjumlah RM114,720.

    Hamisan berkata, rampasan itu susulan pemeriksaan terhadap sebuah kontena di Pengkalan Kontena Butterworth Utara, kira-kira pukul 11 pagi, 10 Januari lalu yang dipercayai diimport sebuah syarikat tempatan berpangkalan di Pasir Mas, Kelantan.

    “Dagangan ini dipercayai dibawa masuk dari sebuah negara di Asia Timur dan seorang wanita berusia 34 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan, namun dilepaskan dengan jaminan,” katanya.

    Sementara itu, ujarnya, JKDM Pulau Pinang turut merampas sebanyak 129 unit skuter elektrik disyaki tidak berkastam bernilai RM283,800 dengan duti dan cukai berjumlah RM85,140 dalam serbuan kira-kira pukul 4.30 petang, 16 Disember lalu.

    Ujar beliau, skuter terbabit diikrar sebagai kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dalam Borang K1 dan seorang suspek lelaki berusia 54 tahun turut ditahan dalam serbuan tersebut.

    “Kedua-dua serbuan itu disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.

  • Didenda RM30,000 kerana tawar suapan rantai emas kepada polis

    Didenda RM30,000 kerana tawar suapan rantai emas kepada polis

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MAHKAMAH Sesyen Alor Setar hari ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM30,000 terhadap seorang lelaki selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan menawarkan suapan iaitu seutas rantai emas kepada seorang anggota polis, tahun lalu.

    Tertuduh, V. Sancheev membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah.

    Hakim turut memerintahkan supaya tertuduh dihukum penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda ditetapkan itu.

    Mengikut kertas pertuduhan, pekerja pasar raya mini itu didakwa menawarkan rantai tersebut yang dianggarkan bernilai RM4,649 kepada seorang anggota polis berpangkat Sub Inspektor dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

    Dia didakwa membuat tawaran itu sebagai sebagai balasan agar anggota polis berkenaan melepaskannya daripada menerima hukuman undang-undang bagi kesalahan memiliki dadah jenis methamphetamine yang boleh disabitkan dengan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Tertuduh didakwa menawarkan suapan tersebut di sebuah hotel dekat Jalan Pintu Sepuluh di sini kira-kira pukul 2 petang, 7 September 2022.

    Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan sementara tertuduh tiada diwakili peguam.

    Terdahulu dalam rayuannya, tertuduh memohon agar dikenakan denda lebih ringan memandangkan dia masih perlu menyara ibu dan bapa selain adik serta isterinya.

    Bagaimanapun Rehab yang bangun selepas itu meminta tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan apa dilakukannya kerana tindakan memberi rasuah kepada anggota polis semasa operasi narkotik merupakan sesuatu yang serius.

    Mahkamah kemudiannya turut memerintahkan agar rantai emas itu dilucut hak kepada kerajaan.

  • Sharnaaz mengaku tidak bersalah cederakan pengawal keselamatan

    Sharnaaz mengaku tidak bersalah cederakan pengawal keselamatan

    PELAKON Sharnaaz Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki di sebuah kondominium di Jalan Dutamas, 16 Jun tahun lalu.

    Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim.

    Mengikut pertuduhan, pelakon itu didakwa pada 16 Jun 2022, 8.30 malam ketika berada di kawasan lif sebuah kondominium dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang individu berusia 27 tahun.

    Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

    Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, lapor FMT.

    Bagaimanapun, peguam mewakili orang kena saman (OKS) Abu Bakar Isa Rahmat memohon mahkamah mengenakan ikat jamin rendah dengan alasan OKS memberi kerjasama baik ketika siasatan dijalankan.

    Majistret kemudian membenarkan Sharnaaz diikat jamin RM2,000 dan menetapkan 6 Mac untuk sebutan semula kes, lapor Harian Metro.

    Pada Jun tahun lalu, pelakon itu direman tiga hari selepas disyaki menumbuk dan menendang seorang penghuni kondominium di Segambut.

    Kejadian dipercayai berlaku selepas pertengkaran antara mangsa dengan pengawal keselamatan sebelum pelakon itu datang secara tiba-tiba dan memukul mangsa.

    Pada September 2017, pelakon filem Juvana itu pernah didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan dengan cara menumbuk pekerja kelab golf warga Bangladesh.

    Dia didakwa melakukan kesalahan terhadap Gous Ali di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) di Taman Tun Dr Ismail, Brickfields, pada 5.30 petang, 22 Julai 2017 mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

  • Dua pemilik syarikat ditahan, disyaki seleweng LPG

    Dua pemilik syarikat ditahan, disyaki seleweng LPG

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA pemilik syarikat pemborong gas ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana disyaki melakukan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) yang merupakan barang kawalan bersubsidi di Kampung Perana Yoi, Mukim Ulu Melaka, Langkawi, kelmarin.

    Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, serbuan tersebut dilakukan kira-kira pukul 10.15 malam di sebuah stor penyimpanan LPG di kampung berkenaan.

    Ketika ditahan katanya, dua lelaki itu disyaki sedang menjalankan kegiatan pemindahan gas petroleum cari bersubsidi ke dalam tong gas industri secara haram.

    “Selain menahan dua lelaki tersebut, pihak kami turut menyita 20 tong LPG bersaiz 12 kilogram (Kg), 20 tong LPG industri bersaiz 50 kg, 312 tong LPG bersubsidi berisi penuh 12 kg dan 162 tong LPG berisi penuh 50 kg (industri).

    “Selain itu sebanyak 20 unit hos getah yang sedang digunakan dalam proses pemindahan gas atau ‘decanting’ turut disita. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM40,323,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana pemilik premis disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat khas lesen bagi penjual borong dengan melakukan ‘decanting’ LPG untuk penjualan atau kegunaan sendiri tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

    “Jika sabit kesalahan, denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan terhadap individu perseorangan untuk kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua, mereka boleh didenda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi pertubuhan perbadanan pula, hukuman denda boleh dikenakan tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan denda tidak lebih RM5 juta bagi kesalahan kedua,” katanya.

    Tambahnya KPDN serius dalam membanteras isu penyelewengan barang kawalan bersubsidi diberikan kerajaan.

    “Tujuan pemberian subsidi adalah untuk megimbangi kos sara hidup rakyat dan bukannya untuk diseleweng, sekali gus menafikan hak golongan masyarakat yang sepatutnya menikmati subsidi ini,” katanya.

  • Kasihan mereka terkapai-kapai…saya terus terjun tanpa fikir apa-apa

    Kasihan mereka terkapai-kapai…saya terus terjun tanpa fikir apa-apa

    *Penyelia kilang cerita pengalaman selamatkan tiga individu hampir lemas

    SEORANG  lelaki sanggup menggadai nyawa menyelamatkan tiga individu hampir lemas selepas Perodua Myvi dinaiki mereka terbabas dan terjatuh ke dalam tasik dekat Kampung Jorak Elahi, Bukit Pasir, di Batu Pahat, hari ini.

    Penolong penyelia kilang, Suzaini Mohd Sadali, 43, bertindak demikian selepas menyedari nahas berkenaan ketika dia sedang memandu kereta berhampiran tasik terbabit.

    “Saya sedang memandu kereta melalui kawasan sebelah tasik dan ternampak kereta terbabas ke dalam tasik lalu terus berhenti sebelum ternampak dua mangsa perempuan di sebelah tempat duduk pemandu dan penumpang belakang berpaut pada badan kereta sambil menangis.

    “Pemandu kereta, seorang lelaki pula sudah terkapai-kapai. Bila nampak saya, dia menjerit minta tolong, saya terus terjun tanpa fikir apa-apa, tak fikir panjang kerana kasihan melihat mereka terkapai-kapai dan menjerit minta tolong,” katanya lapor Berita Harian.

    Katanya, dia berjaya membawa mangsa lelaki ke tepian tasik sebelum dua lelaki lain membantu menyelamatkan dua wanita berkenaan dengan menarik kedua-dua mangsa ke tebing.

    “Alhamdulillah, semua berjaya kami selamatkan. Memang ini pengalaman tak boleh dilupakan, baru saya tahu, tasik ini memang dalam,” katanya.

    Suzaini berkata, sebelum kejadian itu, dia bersama anak lelakinya, Muhammad Haziq Asyraf, 12, dalam perjalanan pulang ke rumah di Parit Yaani selepas anaknya mendapatkan pemeriksaan mata di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di pusat bandar.

    “Saya memang tahu berenang dan tasik ini juga sering jadi lokasi saya memancing. Selepas menyelamatkan lelaki itu, baru saya tahu penat bukan kepalang dan saya memang sudah tak larat lagi untuk selamatkan dua yang lain.

    “Mujur ada dua lelaki datang membantu hingga kami berjaya menarik semua mangsa ke tebing dengan menghulurkan kayu yang ada di kawasan itu,” katanya.

    Kejadian terbabit tular di media sosial dengan komen-komen memuji tindakan Suziani dan mereka yang membantu menyelamatkan tiga mangsa berkenaan.