Category: Semasa

  • Wang BAP lesap: Polis selesai rakam keterangan guru besar, dua individu

    Wang BAP lesap: Polis selesai rakam keterangan guru besar, dua individu

    POLIS telah merakam keterangan seorang guru besar dan dua individu bagi membantu siasatan kehilangan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM109,000 yang dikeluarkan dari sebuah bank di Semenyih dekat Sungai Buloh Isnin lepas.

    Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi berkata dua individu itu adalah seorang guru dan pekerja restoran tempat pengadu (guru besar) membeli minuman ketika kejadian tersebut.

    “Selain tiga individu ini, polis juga akan memanggil pekerja bank tempat wang berkenaan dikeluarkan. Kami tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan orang dalam, bagaimanapun siasatan masih belum menemui sebarang petunjuk,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, di Sungai Buloh hari ini.

    Beliau berkata kejadian itu juga tidak dapat dikesan oleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi terlibat.

    Pada 16 Jan lepas, media melaporkan pihak polis menerima laporan kejadian itu pada 12.17 tengah hari daripada guru besar berusia 50 tahun itu dan siasatan awal polis mendapati mangsa mengeluarkan wang berkenaan dari sebuah bank di Kampung Baru Semenyih kira-kira 10 pagi sebelum memasukkannya ke dalam sebuah beg.

    Mangsa kemudian meletakkan beg tersebut di tempat duduk penumpang hadapan keretanya dan meninggalkan kenderaan itu untuk pergi ke kedai makan bagi membeli minuman.

    Namun, sekembalinya ke kereta mangsa mendapati tingkap di bahagian kanan penumpang belakang telah dipecahkan dan beg yang berisi wang telah dicuri.

    Sementara itu, mengenai perkembangan siasatan penemuan mayat yang dipotong enam bahagian di tepi jalan di Kilometer 447 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran susur Rawang Selatan, pada Selasa lepas, Sasikala Devi berkata polis akan mendapatkan kerjasama Interpol untuk mengenal pasti identiti mangsa.

    “Polis mengesyaki mangsa adalah warga asing sebab tiada kesan suntikan BCG pada mangsa. Kami juga sedang menunggu jika ada mana-mana pihak tampil membuat aduan orang hilang dan disahkan sehingga hari ini tiada sebarang laporan diterima.

    “Hasil awal bedah siasat, mangsa dipercayai dibunuh kira-kira 12 jam sebelum dibuang dan ditemukan pengadu di lokasi kejadian,” katanya.

  • Kestabilan politik penting untuk Malaysia bergerak ke hadapan

    Kestabilan politik penting untuk Malaysia bergerak ke hadapan

    PRASYARAT paling penting bagi Malaysia pada masa ini ialah kestabilan politik untuk bergerak ke hadapan dengan berkesan, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

    Baginda bertitah, kestabilan politik akan membolehkan perancang memberi tumpuan pada jangka panjang dan melaksanakan dasar dan langkah yang perlu untuk membina keyakinan pelabur.

    “Pengukuhan institusi kita adalah satu lagi keutamaan kerana ia akan memastikan pelaksanaan berkesan pelbagai dasar yang akan mendorong kita ke hadapan,” titah baginda ketika melancarkan buku ‘Malaysia’s Leap Into The Future: The Building Blocks Towards Balanced Development’ di Institut Asia-Eropah Universiti Malaya di Kuala Lumpur, hari ini.

    Sultan Nazrin bertitah, Malaysia mempunyai asas institusi yang kukuh dalam pelbagai aspek dan perlu mempunyai iltizam politik untuk memacu institusi negara ke hadapan secara progresif.

    Baginda bertitah, negara perlu mencari jalan alternatif untuk makmur, membawa pendekatan baharu seperti pekeliling, ekonomi donat atau misi, untuk membina ekonomi yang berfungsi untuk planet ini serta penduduknya.

    Sultan Nazrin bertitah, model pembangunan negara juga perlu benar-benar inklusif kerana pendekatan dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan kepada kemiskinan dan ketidaksamarataan perlu melibatkan penyertaan semua rakyat Malaysia tanpa mengira etnik dan agama.

    “Kita semua adalah sebahagian daripada kejayaan Malaysia, pada masa kini dan masa lalu seperti yang telah kita bina kemakmuran bersama dan untuk masa depan, apabila kita menghadapi cabaran yang kompleks bersama-sama,” titah baginda.

    Menjelaskan buku itu, Sultan Nazrin bertitah, fokus utamanya ialah mengenai cara-cara untuk menggalakkan perubahan struktur yang perlu bagi merancakkan dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara, meliputi topik daripada implikasi ciri-ciri populasi semasa dan unjuran perubahan demografi kepada pembiayaan pembangunan ekonomi.

    “Ia mengambil kira transformasi yang perlu dilakukan dalam sektor pertanian untuk mengukuhkan sekuriti makanan kita dan yang diperlukan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan untuk memastikan kita mengikuti perubahan teknologi dan lain-lain,” katanya.

    Editor buku itu ialah Profesor Ekonomi Universiti Malaya Profesor Dr Rajah Rasiah, mendiang Profesor Dr Cheong Kee Cheok dan Tan Sri Dr Kamal Salih. – Bernama

  • Warga Bosnia hargai inisiatif Muhyiddin selamatkan negara itu daripada Covid-19

    Warga Bosnia hargai inisiatif Muhyiddin selamatkan negara itu daripada Covid-19

    TIDAK ramai tahu, Malaysia yang pernah menjadi negara pertama menghulurkan bantuan kepada Bosnia Herzegovina ketika Perang Balkan telah mengulangi usaha murni itu sekali lagi – kali ini ketika negara itu berdepan ancaman pandemik Covid-19.

    Menurut seorang warga Bosnia, Mirza Vejzagic, ketika pandemik memuncak, Bosnia mencatat kadar kematian paling tinggi di Eropah.

    Pada ketika itu ujarnya, penduduk Bosnia benar-benar memerlukan bantuan untuk hidup.

    “Seperti pada awal 1990an ketika perang, Malaysia antara negara pertama menghulurkan bantuan kepada Bosnia, kali ini Malaysia juga menjadi pertama tetapi bantuan dalam bentuk vaksin dan bekalan perubatan.

    “Insan mulia yang membuat keputusan untuk membantu rakyat Bosnia adalah Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Pada saat ini saya hanya mampu memberi tunduk hormat dan setinggi-tinggi terima kasih kepada beliau,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini, lapor SatuBerita.

    Hantaran itu turut disertai beberapa keping gambar Mirza mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin.

    Mirza yang difahamkan berasal dari Sarajevo dan kini menyambung pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut merakamkan terima kasih kepada Datuk Marzuki Mohamad kerana menjayakan pertemuannya bersama Muhyiddin itu.

    Warga Bosnia dan Hazergovina, Mirza Vejzagic bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin (Foto Facebook)
  • Najib gagal gugurkan hakim Mahkamah Rayuan

    Najib gagal gugurkan hakim Mahkamah Rayuan

    DATUK Seri Najib Tun Razak gagal dalam usahanya untuk menggugurkan hakim Mahkamah Rayuan daripada menganggotai panel hakim yang mendengar permohonan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang mengekalkan sabitan serta hukuman terhadapnya kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

    Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli berkata mahkamah tidak diyakinkan dengan hujah peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa Hakim Datuk Abu Bakar Jais, yang merupakan hakim Mahkamah Rayuan seharusnya menarik diri daripada mendengar permohonan semakan itu.

    “Pada pandangan kami, undang-undang adalah jelas bahawa Ketua Hakim Negara (Tun Tengku Maimun Tuan Mat) diberikan kuasa budi bicara untuk melantik hakim Mahkamah Rayuan (Abu Bakar) untuk menganggotai panel Mahkamah Persekutuan, menurut Perkara 122 (2) Perlembagaan Persekutuan.

    “Atas alasan yang sama, kami menolak hujah bahawa Hakim Abu Bakar tidak sepatutnya terlibat dalam pendengaran permohonan semakan ini.

    “Oleh itu, bantahan awal ditolak. Kami akan terus mendengar permohonan itu,” kata Abdul Rahman.

    Hakim lain dalam panel itu ialah hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan.

    Terdahulu, Muhammad Shafee mengemukakan bantahan awal atas alasan Abu Bakar tidak sepatutnya berada dalam panel hakim untuk mendengar permohonan itu.

    Beliau mahu hakim itu menarik diri, dengan menyatakan bahawa hanya hakim Mahkamah Persekutuan yang sepatutnya menjadi panel hakim dalam prosiding semakan tersebut.

    Muhammad Shafee berkata mengikut Seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakiman 1974, komposisi hakim Mahkamah Persekutuan mestilah terdiri daripada semua hakim Mahkamah Persekutuan.

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram berhujah bahawa pengaturan untuk memilih hakim Mahkamah Rayuan dibenarkan di bawah Perkara 122 (2) Perlembagaan Persekutuan.

    Tambahan pula, beliau berkata Tun Tengku Maimun telah memenuhi keperluan Perkara 122 dengan pemilihan Abu Bakar sebagai anggota panel hakim.

    Najib dalam usaha untuk membatalkan keputusan dibuat lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

  • Kalimah ALLAH: 3 majlis agama Islam negeri jadi ‘amicus curiae’

    Kalimah ALLAH: 3 majlis agama Islam negeri jadi ‘amicus curiae’

    MAHKAMAH Rayuan hari ini membenarkan tiga majlis agama Islam negeri bertindak sebagai ‘amicus curiae’ (rakan mahkamah) dalam rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak penggunaan kalimah Allah oleh wanita beragama Kristian dari Sarawak bagi tujuan pendidikan agamanya.

    Tiga majlis itu ialah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK).

    ‘Amicus curiae’ bukan pihak dalam saman undang-undang tetapi pihak yang dibenarkan untuk membantu mahkamah dengan memberi maklumat atau nasihat berkenaan beberapa perkara undang-undang yang secara langsung kepada kes itu.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk S Nantha Balan dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan ketiga-tiga majlis agama itu untuk bertindak sebagai ‘amicus curiae’ dalam rayuan tersebut.

    Yaacob, yang mengetuai panel itu bagaimanapun berkata, ketiga-tiga majlis itu perlu memohon kepada panel hakim yang akan mendengar rayuan berkenaan sama ada mereka boleh berhujah di mahkamah semasa pendengaran rayuan.

    Terdahulu, Yaacob membenarkan majlis agama itu menarik balik permohonan mereka untuk mencelah dalam rayuan tersebut dan membatalkan permohonan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula. Beliau juga tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.

    Pencelah ialah seseorang yang campur tangan sebagai pihak ketiga dalam prosiding undang-undang.

    Dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili majlis-majlis itu memberitahu mahkamah bahawa susulan perbincangan dengan pihak-pihak dalam rayuan itu, telah dipersetujui bahawa majlis-majlis itu menarik balik permohonan sebagai pencelah dan sebaliknya akan bertindak sebagai ‘amicus curiae’.

    Peguam Lim Heng Seng yang mewakili Jill Ireland Lawrence Bill, wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian, mengesahkan dan memohon mahkamah membatalkan permohonan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula. Beliau turut juga memohon kos.

    Peguam Persekutuan, Noor Atiqah Zainal Abidin yang mewakili Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tiada bantahan terhadap penarikan balik permohonan pencelah dan juga agar majlis agama itu tampil sebagai ‘amicus curiae’.

    Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi di Putrajaya memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman Jill Ireland.

    Dalam permohonannya, wanita itu antara lain memohon perisytiharan bahawa adalah hak perlembagaannya untuk mengakses penerbitan Kristian dalam menjalankan haknya untuk mengamalkan agama dan hak untuk pendidikan, seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

    Mahkamah Tinggi juga memutuskan bahawa arahan KDN pada 1986 yang melarang penggunaan perkataan ‘Allah, Baitullah, Kaabah dan solat’ oleh orang bukan Islam adalah menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan.

    KDN dan kerajaan kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 15 Mac tahun yang sama.

    Pengurusan kes untuk rayuan kerajaan ditetapkan pada 26 Januari. – Bernama

  • Syarikat pelancongan ‘lesap’, impian 40 orang bercuti di Krabi terbantut

    Syarikat pelancongan ‘lesap’, impian 40 orang bercuti di Krabi terbantut

    KETERUJAAN 40 individu untuk bercuti ke Krabi, Thailand terbantut apabila mereka ditipu sebuah agensi pelancongan yang mengakibatkan kerugian lebih RM30,000.

    Peserta rombongan Kartini Arshad, 58, berkata, perkara itu hanya diketahui mereka pukul 4 petang semalam apabila seorang wanita yang berurusan dengan pekerja syarikat pelancongan terbabit memaklumkan berlaku masalah membabitkan bas yang akan dinaiki mereka nanti.

    “Kami sepatutnya menaiki bas dari Seremban ke sempadan Thailand pada pukul 6 petang dan masing-masing semuanya dah bersiap sedia kerana ada yang datang dari Melaka, Kuala Lumpur dan Batu Pahat, Johor.

    “Tapi kami diberitahu bas yang akan dinaiki di Krabi pada Jumaat nanti terbabit kemalangan. Kami tak percaya dan paksa syarikat guna bas dari Malaysia untuk perjalanan kami di sana,” katanya, lapor Sinar Harian hari ini.

    Bagaimanapun katanya, sehingga pukul 8 malam tiada bas yang datang dan pekerja syarikat pelancongan itu tidak lagi dapat lagi dihubungi.

    Dia yang menguruskan 25 peserta rombongan itu berkata, setiap peserta telah dikenakan bayaran RM900 untuk menyertai pakej percutian selama lima hari terbabit.

    Ujarnya, mereka membuat tempahan pada Julai tahun lalu dan telah membuat bayaran sebanyak tiga kali dengan diuruskan oleh seorang wanita yang bertanggungjawab berurusan dengan pekerja syarikat pelancongan itu.

    “Bila sampai waktunya tak sangka pula jadi macam ini. Saya pun jadi serba salah sebab saya yang uruskan 25 peserta yang terdiri daripada kawan-kawan dan keluarga.

    “Kita telah hubungi Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pelancongan itu, tapi malangnya dia beri alasan tak bertanggungjawab kerana tidak menerima duit daripada pekerja yang menguruskan trip pelancongan itu,” katanya.

    Sementara itu suri rumah Najihah Rosli, 25, berkata, tidak menyangka percubaan pertama kali bercuti menggunakan khidmat syarikat pelancongan menjadi pengalaman pahit buatnya dan suami.

    “Saya dan suami dah mula ragu-ragu bila diberitahu bas tak dapat datang kerana terlibat kemalangan.

    “Rasa terkilan juga kerana ini kali pertama kami nak pergi Krabi. Tapi nampaknya tak kesampaian,” katanya yang datang dari Melaka.

    Tidak puas hati menjadi mangsa penipuan pelancongan, sebahagian mereka telah membuat laporan polis, semalam.

  • Hilang semasa memancing, mayat lelaki jatuh tebing dijumpai

    Hilang semasa memancing, mayat lelaki jatuh tebing dijumpai

    MAYAT Muhammad Ikhram, 23 tahun, yang dilaporkan hilang ketika memancing pada Selasa ditemui dalam keadaan sempurna berseluar tanpa baju pada pada pukul 8.37 pagi tadi.

    Mangsa bersama rakannya dilaporkan pergi memancing di Jambatan Mempatih, Lanchang, Temerloh, dan dipercayai terjatuh dari tebing sungai pada pukul 10.56 malam.

    Anggota Bomba dan Penyelamat, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab dan Unit pengesan K9 menemui mayat mangsa pada jarak 1.5 kilometer dari tempat dia dipercayai terjatuh.

    Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima maklumat daripada polis sebelum ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    “Anggota pasukan bomba bertindak memulakan operasi SAR di sekitar tempat kejadian sebelum ditangguhkan dan bersambung pada pagi ini.

    “Mayat mangsa ditemui dalam keadaan sempurna dan berseluar. Mangsa tidak memakai baju ketika terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

  • Bersatu akan failkan ke mahkamah secepat mungkin

    Bersatu akan failkan ke mahkamah secepat mungkin

    PARTI Pribumi bersatu Malaysia (Bersatu) dalam proses menyiapkan dokumen untuk dibawa dan difailkan ke pihak mahkamah sebelum tempoh yang ditetapkan iaitu tiga bulan.

    Perkara itu merujuk kepada keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mengenai kedudukan semasa empat kerusi Parlimen di Sabah yang tidak perlu dikosongkan, selepas Ahli Parlimen berkenaan didakwa ‘melompat parti’.

    Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata pihaknya akan menghantar dokumen tersebut secepat mungkin untuk diputuskan seadilnya oleh mahkamah.

    “Sekarang kita sedang failkan semua dokumen yang diperlukan untuk dibawa ke mahkamah, kita akan segerakan perkara itu untuk dihantar ke mahkamah,” katanya, lapor SatuBerita, hari ini.

    Terdahulu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertikai keputusan Johari terhadap empat kerusi Parlimen di Sabah iaitu Papar, Batu Sapi, Ranau serta Sipitang, yang tidak perlu dikosongkan dan bercadang untuk merujuk perkara itu ke mahkamah.

    Muhyiddin dalam kenyataan mendakwa, keputusan dibuat Johari adalah berdasarkan tafsiran Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu, namun menurutnya Yang Dipertua Dewan Rakyat bukan pihak yang mempunyai kuasa untuk mentafsir perlembagaan parti.

    Justeru kata Muhyiddin, Johari terkhilaf dalam membuat tafsiran serta keputusan.

    Bagaimanapun, Johari dalam kenyataan kelmarin turut menjelaskan, keputusan berhubung empat ahli Parlimen berkenaan adalah muktamad dan segala justifikasi dan alasan berhubung keputusan itu telah dijelaskan olehnya dalam surat bertarikh 16 Januari yang dihantar kepada Bersatu.

    “Seperti yang saya dah jawab (dalam surat kepada Bersatu, itulah dia (keputusan), muktamad.

    “Terpulang kepada Bersatu (untuk rujuk ke mahkamah), mereka ada hak dan boleh menggunakan segala hak mereka,” katanya ringkas.

    Mengulas lanjut, ketika ditanya adakah Bersatu yakin keputusan mahkamah akan berpihak kepadanya, Ro­nald yakin dengan keputusan mahkamah berdasarkan dokumen yang dihantar oleh pihaknya nanti.

    “Kita percaya hanya pihak mahkamah sahaja boleh menentukan perkara ini dengan seadilnya berkaitan perlembagaan dengan Perkara 49 seperti yang disebutkan,” katanya.

  • Lelaki didenda RM10,000 sebar gambar lucah di Telegram

    Lelaki didenda RM10,000 sebar gambar lucah di Telegram

    AKIBAT membuat dan memulakan penghantaran komunikasi imej lucah menerusi aplikasi Telegram tiga tahun lepas, seorang lelaki didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini.

    Hakim Rohaida Ishak menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Asyraf Ahmad Suhaimi , 28, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah atas perbuatan tersebut terhadap seorang individu dengan niat menyakiti hati orang lain.

    Mahkamah memerintahkan OKS dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda. OKS membayar denda.

    Komunikasi itu dibaca di sebuah rumah di Persiaran Putri 3/16, Taman Chandan Putri 3, di Kuala Kangsar  pada 10 pagi, 9 Jan 2020.

    Bapa seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

    Mengikut fakta kes, pengadu membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas berasa sakit hati kerana komunikasi yang dihantar OKS menunjukkan gambarnya dalam keadaan mengaibkan.

    Bertindak daripada aduan tersebut, sepasukan anggota polis dan pegawai MCMC membuat serbuan di sebuah rumah di Taiping serta merampas barangan antaranya telefon bimbit dan unit kad sim dan menemukan komunikasi lucah berkenaan hasil analisis forensik.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa MCMC Siti Hajar Sulaiman manakala OKS tidak diwakili peguam.

  • Saman fitnah: Muhyiddin fail pernyataan pembelaan 17 Jan

    Saman fitnah: Muhyiddin fail pernyataan pembelaan 17 Jan

    TAN Sri Muhyiddin Yassin telah memfailkan pernyataan pembelaan dalam saman fitnah difailkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, kelmarin.

    Saman itu berhubung ucapan didakwa berbaur fitnah mengenai Anwar menerima gaji sebanyak RM15 juta semasa berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

    Peguam Datuk S.N. Nair yang mewakili Anwar selaku plaintif berkata semasa pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Penolong Pendaftar Nur Shasha Hidayah Nor Azahar hari ini, mahkamah mengarahkan anak guamnya memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan pada 16 Feb ini.

    “Mahkamah menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 23 Feb secara dalam talian di hadapan penolong pendaftar yang sama,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

    Anwar turut diwakili peguam Jaden Phoon Wai Ken dan Wong Guo Jin manakala peguam Chetan Lachman Jethwani mewakili Muhyiddin sebagai defendan.

    Dalam saman itu, Anwar, 75, mendakwa pada 5 Dis lepas, Muhyiddin, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) telah membuat kenyataan fitnah itu dalam satu ucapan semasa ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim sebagai menyokong calon PN, Datuk Azman Nasrudin bagi Pilihan Raya Umum ke-15 dengan ratusan pengunjung telah menghadiri ceramah tersebut.

    Sehubungan itu, Anwar menuntut Muhyiddin antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi pampasan selain perintah injunksi untuk menghalangnya daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah serupa.