Category: Semasa

  • Gelombang hijau, kemenangan PN sebelum ini bantu rampas DUN Simpang Jeram

    Gelombang hijau, kemenangan PN sebelum ini bantu rampas DUN Simpang Jeram

    GELOMBANG hijau dan sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) ketika ini akan menjadi faktor gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Bakri, Muar pada 9 September ini.

    Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Bakri, Mahadzir Abu Said berkata, ini ditambah lagi dengan kemampuan PN menarik sokongan rakyat terutama Melayu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

    “Keadaan akan bertambah mudah dan meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap PN sekiranya gabungan politik menang pada pilihan raya di enam negeri 12 Ogos ini.

    “Keyakinan kita untuk merampas kerusi DUN Simpang Jeram apabila melihat kepada gelombang hijau yang berlaku dalam kempen pilihan raya kecil (PRN) yang sedang berlangsung ketika ini,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya, keadaan itu ditambah dengan kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PN-BH) yang ada ini tidak nampak kestabilannya selain persepsi rakyat yang lebih berpihak kepada PN.

    “Kita amat berharap gelombang ini berterusan di DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai seterusnya memberikan kemenangan kepada calon terpilih nanti,” uajr beliau.

    Beliau mendakwa, sokongan rakyat pada masa ini berpihak kepada PN yang sebelum ini menunjukan prestasi cemerlang semasa menjadi kerajaan.

    Menurutnya, siapa pun yang akan menjadi calon untuk DUN Simpang Jeram nanti akan diberi sokongan penuh oleh ahli di peringkat akar umbi.

    Ujarnya, apa yang perlu dilakukan pada masa sekarang ialah untuk menggempur kubu lawan yang sekarang ini dilihat lebih condong kepada PN selain mendekati pengundi atas pagar.

    “Kami hanya menunggu masa untuk bergerak kerana semua jawatankuasa kerja sudah bersedia melaksanakan tugas diamanahkan nanti,” katanya.

    SPR menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi DUN Simpang Jeram pada 5 September manakala hari pengundian 9 September.

    PRK bagi kerusi DUN Simpang Jeram diadakan ekoran kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

    Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

  • Putrajaya perlu bantu, bukan ambil alih atau rombak AKSB, kata Tuan Ibrahim

    Putrajaya perlu bantu, bukan ambil alih atau rombak AKSB, kata Tuan Ibrahim

    BEKAS Menteri Alam Sekitar dan Air, DatuK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Putrajaya perlu membantu dari segi pembiayaan mengurus, bukannya mengambil alih atau merombak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

    Naib Presiden Pas itu berkata, masalah bekalan air bukan hanya dihadapi Kelantan, tetapi negeri lain termasuk Melaka juga memerlukan bantuan kerajaan Persekutuan.

    “Kelantan mengakui tidak mampu dari segi kewangan, justeru ia memerlukan geran untuk melaksanakan beberapa projek, contohnya penukaran paip baharu dan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS).

    “Sebenarnya, penyelesaian (masalah) bukan hanya pengambilalihan dan rombakan, tapi laksanakan tanggungjawab yang belum dilaksanakan dan saya tengok kita perlu satu reformasi dari segi kaedah bekalan air seluruh negara.

    “Masalah ini bukan Kelantan saja, (tapi) negeri lain pun teruk. Macam Melaka, sumber airnya kritikal, terpaksa beli air dari Johor. Jadi bagi saya, kerajaan Pusat bertanggungjawab untuk bantu.

    “Pengambilalihan ini walau akta ada hak, tapi dari segi itu, kerajaan negeri mana-mana pun tak akan rela kerajaan persekutuan ambil (alih), cuma bantu,” katanya selepas Ceramah Mega Pakat Pertahan DUN Kelaboran di Padang Kemahkotaan, Tumpat, malam tadi.

    Semalam, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, Putrajaya tidak menolak kemungkinan melakukan rombakan atau mengambil alih AKSB, jika usaha menyelesaikan masalah air di Kelantan tidak berhasil.

    Katanya, rombakan dan pengambilalihan boleh dilakukan menerusi Akta Industri Perkhidmatan Air (Wasia), tetapi itu jalan terakhir dan keadaan belum sampai ke tahap itu sekarang.

    Tuan Ibrahim berkata, isu air di Kelantan ada kaitan dengan sistem loji air perlu dinaik taraf.

    “Sistem loji kita, kerajaan kita (Pusat) kena biaya sebab kos besar, kerajaan negeri tak mampu. Satu loji sampai RM200 juta hingga RM300 juta, loji ini sudah lama dan kena ‘upgrade’, (kerajaan) pusat perlu sediakan (dana).

    “Saya sudah beritahu dulu (ketika menjadi menteri alam sekitar dan air), kerajaan Persekutuan perlu biayai RM2 bilion setahun kepada semua operator air di seluruh negara untuk ‘sustain’.

    “Saya fikir PM sudah berjanji untuk membantu dan kalau diberi bantuan boleh selesai, tak perlu rombakan apa-apa,” katanya lapor Harian Metro.

  • MB Negeri Sembilan akui berlaku ‘pergeseran’ dengan Rafie

    MB Negeri Sembilan akui berlaku ‘pergeseran’ dengan Rafie

    MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengakui berlaku pergeseran dengan bekas Exco kerajaan negeri, Datuk Rafie Abdul Malek yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan sebagai calon Bebas.

    Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berkata, keadaan itu berlaku kerana Rafie tidak menghormatinya selaku Menteri Besar dan pimpinan PH negeri tersebut.

    “Saya tak mahu tunjuk pergeseran itu. Tapi memang ada. Sebab beliau tak hormat saya,” katanya ketika menyampaikan ceramah pada program Bicara Serangkai Perpaduan di Ampangan semalam, lapor Sinar Harian.

    Sekalipun begitu, Aminuddin tidak menafikan Rafie banyak membawa pembangunan dan perubahan di Ampangan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Timbalan Ketua Cabang Seremban.

    Bagaimanapun katanya, sukar untuk Rafie meneruskannya jika berseorangan, memandangkan kini beliau bertanding sebagai calon bebas.

    “Bila tak bersama (PH), bagaimana nak bangunkan Ampangan selepas ini dan teruskan kesinambungan pembangunannya pada masa hadapan?

    “Kita tidak akan mampu buat semuanya seorang diri,” kata Aminuddin, lapor FMT.

    Terdahulu, keahlian Rafie dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) gugur secara automatik berikutan tindakannya bertanding bebas di DUN Ampangan pada PRN Negeri Sembilan kali ini.

    Rafie memaklumkan bahawa beliau membuat keputusan menjadi calon Bebas kerana namanya ditolak daripada menjadi calon mempertahankan kerusi yang dipegangnya sejak 2018.

    Beliau mendakwa dimaklumkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Aminuddin dan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli membantah pencalonannya.

  • Tanpa ceramah pun Pas yakin menang besar

    Tanpa ceramah pun Pas yakin menang besar

    AHLI Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary yakin kemenangan akan berpihak kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini meskipun tanpa gabungan itu mengadakan ceramah.

    Ini kerana kata beliau, sepanjang pengalamannya, PRN kali ini merupakan pilihan raya yang paling diyakini mampu memberi kemenangan besar terhadap gabungan itu.

    “Di hadapan kita ini ada satu tarikh yang sangat penting iaitu tarikh untuk kita tunaikan tanggungjawab pada 12 Ogos.

    “Sebagaimana disebutkan, tak payah ceramah dah sebenarnya. Tetapi oleh kerana memenuhi tuntutan untuk memastikan gerak kerja semuanya dalam keadaan siap-siaga, jadi antara agendanya kita buat ceramah.

    “Kerana di seluruh negara rakyat dah tahu siapa yang ada di hadapan kita yang kita nak lawan, siapa yang kita nak pilih.

    “Inilah dalam sejarah sepanjang pengalaman ambo (saya) satu-satunya pilihan raya yang kita rasa dengan penuh keyakinan dengan izin Allah kita akan mencapai kemenangan yang besar,” katanya sambil memetik ayat al-Quran.

    Beliau berkata demikian dalam ceramah mega Pakat Pertahan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelaboran di Tumpat, malam tadi.

    Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan calon PN DUN Kelaboran, Mohd. Adanan Hassan.

    Sementara itu Ahmad Marzuk berkata, jika PN diibaratkan berlawan bola sepak, gabungan itu sudah menang skor 5-1 di enam negeri yang terlibat dalam PRN.

    Malah dakwannya, PN juga mendapat peningkatan 20 peratus sokongan pengundi kaum Cina di Pulau Pinang.

    “Kalau dikatakan enam buah negeri ini ibarat kita boleh (skor) 5-1 kalau berlawan bola sepak.

    “Maklumat terbaru yang datang kepada kita tidak mustahil (6-0) kerana sebahagian besar daripada pengundi-pengundi kaum Cina, yang menjadi pengundi teras DAP di Pulau Pinang sudah pun menunjukkan sokongan kepada kita meningkat kepada 20 peratus.

    “Dalam masa berbaki sebelum hari pembuangan undi ini, tidak mustahil kerana ada di hadapan kita sebuah kerajaan yang terdiri parti-parti gabungan parti yang khianat,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu turut merujuk kepada pertembungan kempen antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam PRU ke-15 lalu yang kemudiannya bergabung membentuk kerajaan Persekutuan.

  • ‘Ini peluang terakhir ahli UMNO selamatkan parti’ – Annuar

    ‘Ini peluang terakhir ahli UMNO selamatkan parti’ – Annuar

    BEKAS Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa minta ahli dan penyokong UMNO di enam negeri yang terlibat dalam pilihan raya negeri (PRN) menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

    Jelas beliau, ini bagi menyelamatkan parti yang banyak berjasa demi pembangunan negara sejak sebelum kemerdekaan.

    “Hanya ada satu ruang sekiranya UMNO ingin dipulihkan iaitu melalui referendum rakyat pada PRN, 12 Ogos ini.

    “Ini peluang terakhir ahli-ahli UMNO menyelamatkan parti ini dengan menyertai referendum rakyat, walaupun terpaksa melihat UMNO kalah dan hanya dengan kekalahan teruk barulah dapat diselamatkan,” katanya.

    Pengerusi Muafakat Nasional (PN) itu berkata demikian semasa berucap pada Ceramah Umum di Mamba’ul Huda Tanjong Karang di Hulu Selangor malam tadi.

    Sekiranya UMNO terus diberi mandat dalam PRN enam negeri ini, beliau bimbang parti itu terus menjadi alat kepada parti lain.

    Ditanya adakah beliau masih menyayangi UMNO, Annuar berkata, semua orang Melayu yang tahu tentang sejarah politik menyayangi parti itu.

    “Orang Pas sayang pada UMNO dan orang yang faham bermulanya politik negara ini dihidupkan oleh UMNO dan kemudian kita ada berbeza pendapat, maka lahir Pas dan parti-parti lain, tapi semua parti ini perjuangannya bermula daripada UMNO itu sendiri,” ujarnya.

    Jelas beliau, UMNO berada pada landasan dan perjuangan yang betul, tetapi pemimpin UMNO ketika ini menjadikan parti itu tidak lagi dihormati.

    “Jadi rakyat tidak boleh menunggu UMNO, macam saya tak menunggu UMNO kerana parti ini buang (pecat) saya.

    “Kalau saya duduk dalam UMNO akan berusaha baiki (parti ini). Bagaimana hendak baiki? Saya kena bersuara dan tidak boleh dicucuk hidung,” jelas beliau.

    Bagaimanapun, beliau bukan lagi menjadi ahli UMNO setelah dipecat parti itu dan kini telah menyertai Pas.

    Menurut beliau, Pas tidak pernah ‘mematikan’ UMNO, sebaliknya berjuang mirip dengan dasar-dasar diperjuangkan UMNO.

    “Pada saya UMNO dan Pas ada peranan masing-masing dan bila UMNO lemah, Pas wajib menjadi pengganti.

    “Pas mesti mengambil obor-obor yang dicampakkan UMNO yang telah membuang obor-obor dan lari daripada tanggungjawab,” katanya.

    Justeru, Annuar memberitahu, tidak salah sekiranya ahli UMNO memberi sokongan kepada PN dalam PRN enam negeri.

    “Kita akan sampai ke stesen sama dan ibarat kereta (dinaiki) rosak dan kita naik kereta lain dan sampai ke stesen dituju,” tambahnya.

    Mengulas mengenai peluang PN dalam PRN enam negeri, Annuar memberitahu, pengundi Melayu dan bumiputera serta bukan Melayu akan bersatu padu di bawah satu obor sama dengan menyokong PN.

    Katanya, di Selangor ini misalnya menyaksikan penyatuan pada tahap tertinggi dan mampu mengambil alih pentadbiran di Selangor.

    “Saya yakin pengundi Selangor akan bersatu dan bersama-sama untuk bawa perubahan dan jika berubah di Selangor, maka berubahlah Putrajaya,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Ada lagi kejutan ahli, pemimpin keluar UMNO – Nik Muhammad Zawawi

    Ada lagi kejutan ahli, pemimpin keluar UMNO – Nik Muhammad Zawawi

    KETUA Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh memberi bayangan akan berlaku lagi kejutan penghijrahan ahli dan pemimpin UMNO Kelantan ke dalam Perikatan Nasional (PN) dalam tempoh terdekat.

    “Momentum Tan Sri Annuar Musa membawa masuk pemimpin dan ahli UMNO untuk bersama PN kelmarin akan berterusan selepas ini bagi menjamin kemenangan Pas untuk diberi mandat terus mentadbir negeri itu.

    “Beberapa hari lagi pula kita akan menyaksikan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mustapha Mohamed isytihar anak buahnya di Jeli Kelantan sekarang ini sedang dipungut beramai-ramai untuk meninggalkan UMNO, BN di Jeli.

    “Mereka akan berduyun-duyun bersama Pas dan Bersatu dan bukan setakat rakan dari UMNO malah dari parti PH (Pakatan Harapan) iaitu PKR, Amanah telah keluar parti dan menyertai Pas dan Bersatu,” dakwanya.

    Beliau berkata demikian pada Ceramah Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik di Pangsapuri Seksyen 7 di Shah Alam malam tadi yang turut dihadiri calon PN bagi Dun Kota Anggerik, Mohamed Sukri Omar.

    Jelas Nik Muhammad Zawawi, selepas Gua Musang jatuh ke tangan PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, tidak ada lagi kerusi Parlimen di Kelantan dikuasai UMNO-BN.

    “Kalau dalam PRU15 baru-baru ini Kelantan catatkan 15-0, selepas ini bayangkan berapa natijah yang akan dihasilkan dalam PRN kali ini.

    “Jumlah kerusi DUN ada 45, jika diizinkan Allah SWT, kita mahu catat sejarah di Kelantan, sejarah sifar pembangkang 45-0,” ujar Ahli Parlimen Pasir Puteh itu.

    Dakwanya, situasi sama berlaku di Kemaman, Terengganu yang menjadi kawasan orang kuat UMNO dan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Md. Said, juga ramai telah memberi sokongan kepada PN.

    “Terengganu pada PRU lalu tidak ada satu kerusi yang dimenangi UMNO dan penghijrahan ahli-ahli di Terengganu di daerah Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu sampai ke Kemaman dengan setiap penghijrahan beramai-ramai dari UMNO menyertai PN,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Ada lagi pemimpin parti kerajaan sertai PN-Bersatu Perak

    Ada lagi pemimpin parti kerajaan sertai PN-Bersatu Perak

    PERIKATAN Nasional (PN) Perak mengesahkan dua pemimpin muda UMNO bahagian di Perak menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

    “Mereka ialah bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Dr. Nik Mohammad Azli Nik Ariffin dan bekas Ketua Pemuda UMNO Tambun, Faridzul Azlan Abd. Shani,” ujarnya.

    Menurutnya, kedua-dua bekas pemimpin itu bukanlah baru menyertai Bersatu tetapi dipanggil untuk diumumkan secara rasmi ketika pertemuan dengan Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa kelmarin.

    “Untuk makluman Ketua Pemuda UMNO Bagan Datuk sudah menyertai Bersatu sebelum PRU15 lagi iaitu pada tahun 2019, cuma kita tak umumkan secara rasmi begitu juga bekas Ketua Pemuda UMNO Tambun pada bulan lepas mengisi borang Bersatu bahagian Ipoh Barat.

    “Kalau kelmarin mereka menyertai Pas itu terpulang kepada mereka tetapi rekod yang ada pada kita itulah. Di samping itu mungkin ada pemimpin dari peringkat akar umbi yang menawarkan diri menyertai Bersatu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ipoh, semalam.

    Dalam pada itu, Zainol Fadzi yang juga Setiausaha Bersatu Perak berkata, selain pemimpin UMNO, ada beberapa pemimpin dalam kalangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan menyertai PN.

    “Semua parti dalam PN menyambut baik dan mengalu-alukan kehadiran mereka.

    “Saya tak boleh sebut dengan rasmi (nama pemimpin PKR) sebab yang ini digerakkan beberapa rakan-rakan saya di bahagian di Taiping termasuklah di utara di Parit Buntar, Bagan Serai.

    “Soal apa alasan mereka kita tak pertikaikan yang itu terserah pada mereka dan kita mengalu-alukan sesiapa sahaja yang nak bersama dengan PN sama ada Bersatu atau PN,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Kelmarin, Nik Mohammad Azli dan Faridzul Azlan kelihatan bersama-sama beberapa pemimpin lain yang diumumkan oleh Annuar Musa menyertai PN menerusi satu sidang media khas di Kota Bharu, Kelantan.

  • Undi PN, dapat selamatkan UMNO, kata Hamzah

    Undi PN, dapat selamatkan UMNO, kata Hamzah

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin meminta ahli UMNO menyokong PN sekiranya mereka sayangkan masa depan parti itu.

    Menurutnya, dengan cara itu saja dapat mengubah masa depan UMNO sekali gus membolehkan parti tersebut diterima semula oleh rakyat.

    “Kepada orang UMNO, cukuplah. Kalau benar sayangkan UMNO, pastikan ‘kepala’ atau presiden kamu itu baik.

    “Kalau ke pasar beli ikan, contohnya ikan senangin kita akan tengok kepala dia dulu, kalau baik kita beli dan kalau kepala baik, ekornya juga baik.

    “Hari ini presidennya busuk. Kita tak mahu seluruh ahli UMNO jadi busuk,” katanya berucap pada Majlis Sembang Santai di Juasseh di Kuala Pilah malam tadi.

    Sementara itu, ketika ditemui pemberita beliau mendakwa, ramai ahli UMNO kini melihat PN sebagai parti alternatif buat mereka.

    Sehubungan itu beliau meminta ahli parti itu yang tidak suka kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya mengundi PN.

    Sebab itu saya minta ahli UMNO kalau tak suka kepada Ahmad Zahid, jangan biar saja tetapi caranya dengan mengundi PN dengan beritahu ‘kau sebagai Presiden telah kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 dan PRN ini.

    “Saya mahu kalau boleh orang UMNO sedar, marilah bersama kita (PN). Kalau tak mahu keluar parti tiada masalah, tapi marilah bersama perjuangan ini dengan mengundi PN,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Tambahnya, PN mahu melihat pemimpin negara tidak kira dari parti mana sekalipun mempunyai tanggungjawab dan penuh integriti dalam menentukan masa depan negara.

    Malah beliau juga menyatakan keyakinan gelombang rakyat yang mahukan perubahan sedang berlaku di seluruh negeri.

  • PRN: Saingan dua penjuru, PN boleh menang di 33 kerusi majoriti Melayu, kata Noh Omar

    PRN: Saingan dua penjuru, PN boleh menang di 33 kerusi majoriti Melayu, kata Noh Omar

    TAN Sri Noh Omar menjangkakan strategi pertembungan dua penjuru di Selangor mungkin memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk mengalahkan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

    Namun menurut bekas Pengerusi UMNO Selangor itu, kemenangan di kerusi satu lawan satu bergantung kepada peratusan pengundi Melayu yang keluar mengundi, selain sokongan daripada pengundi bukan Melayu.

    “Jika keadaan itu sekurang-kurangnya 33 daripada 56 kerusi di Selangor yang lebih 60 peratus pengundi Melayu, mampu dimenangi oleh PN.

    “Sebab di seluruh Selangor ini kita ada 33 kerusi, yang pengundian Melayu lebih 60 peratus.

    “Ini adalah target (sasaran) kita. Sebab itu saya ambil contoh, macam dekat PDM (Pusat Daerah Mengundi), kalau PDM itu kalau ada pengundi bukan Melayu, dia 40 peratus, tentu kalah.

    “Sebab pengundi Melayu 60 peratus, pecah tiga (saingan tiga penjuru). Sebab itu dia (saingan kerusi) tak boleh pecah tiga, tetapi kena pecah dua (baru) kita (PN) boleh menang,” katanya.

    Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata demikian ketika ditemui selepas Ceramah Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang di Sungai Gulang-Gulang, di Hulu Selangor, malam tadi.

    Mengulas lanjut, Noh berkata, walaupun telah dipecat daripada UMNO, teori saingan dua penjuru yang diperjuangkan beliau sejak menjadi Pengerusi UMNO Selangor diteruskan melalui platform Perikatan Nasional (PN) dalam usaha mengalahkan PH.

    Selain itu, beliau berkata, manifesto PN Selangor iaitu ‘Selangor Baharu Kita Bangkit’ disifatkan sebagai menyeluruh kerana merangkumi kebajikan penduduk di luar dan separa bandar, yang pernah diperjuangkannya sebelum ini.

    “Di Selangor, mesti ada manifesto untuk bandar, separa dan luar bandar. Saya masyarakat luar bandar (Tanjong Karang), terima kasih (kerana tawar pemansuhan) parkir.

    “Daripada dulu saya memang tak bersetuju (kena ada bayaran) parkir di kampung dan luar bandar di Tanjong Karang. Kenapa buat (bayaran) parkir, ini luar bandar,” ujarnya, lapor Astro Awani.

    Pada PRN 12 Ogos ini, 26 kerusi menyaksikan persaingan dua penjuru antara gabungan PH-BN dengan PN, 25 kerusi melibatkan tiga penjuru manakala lima kerusi berdepan saingan empat penjuru.

    DUN Permatang menyaksikan saingan dua penjuru antara antara Nurul Syazwani yang juga anak Noh, menentang Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tanjong Karang, Mohd. Yahya Mat Sahri.

  • ‘Ini bukan gelombang PN, tetapi puting beliung’ – Eddin Syazlee

    ‘Ini bukan gelombang PN, tetapi puting beliung’ – Eddin Syazlee

    CALON Perikatan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Datuk Eddin Syazlee Shith, menjanjikan saingan sengit bagi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada PRN enam negeri.

    Beliau yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kuala Pilah berkata, sokongan rakyat kepada PN kini lebih kuat berbanding ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Di Negeri Sembilan hari itu tak cukup besar. Tetapi saya yakin untuk PRN dia lagi besar gelombangnya,” katanya ketika ditemui FMT di bilik gerakan PN.

    Beliau yakin sokongan kepada PN akan membadai Negeri Sembilan jua.

    “Ini bukan gelombang macam PRU15, tetapi puting beliung.”

    PRU15 peringkat Parlimen menyaksikan PN gagal merungkai cengkaman Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di negeri itu.

    Pada peringkat DUN kali ini, PH-BN mengetengahkan nama-nama besar untuk mempertahankan dominasi di Darul Khusus, termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Datuk Seri Mohamad Hasan, Anthony Loke Siew Fook dan Jalaluddin Alias.

    Eddin sendiri bakal berdepan calon BN, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid, yang juga isteri kepada bekas Menteri Besar, Tan Sri Isa Abdul Samad.

    Namun, beliau percaya pengundi rata-ratanya tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan dalam membantu rakyat.

    “Saya fikir ini akan memberi kesan kepada undian yang bakal diterima kerajaan,” ujarnya, lapor FMT.

    Malah, katanya, sambutan yang disaksikan ketika kempen PN menguatkan keyakinannya.

    “Saya lihat dalam kempen hari ini secara jujur banyak sambutan amat memberangsangkan.”

    Pada PRU14, calon BN memenangi DUN Juasseh dengan majoriti tipis 692 undi selepas memperoleh 4,146 undi, berbanding 3,454 yang diraih calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan 624 bagi calon Pas.

    DUN ini terletak bawah Parlimen Kuala Pilah, yang dirampas BN daripada Eddin pada PRU15, dengan majoriti 6,483 undi.