Category: Semasa

  • Mahkamah Tinggi tolak saman empat ADUN Pulau Pinang

    Mahkamah Tinggi tolak saman empat ADUN Pulau Pinang

    MAHKAMAH Tinggi Georgetown hari ini menolak saman empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang terhadap DUN negeri itu dan Speakernya Datuk Law Choo Kiang berhubung usul yang dibentang pada Oktober 2020 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing.

    Pesuruhjaya Kehakiman Azizan Md Arshad menolak saman ADUN Sungai Acheh Zulkifli Ibrahim, Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang), tanpa perintah mengenai kos.

    “Mahkamah Persekutuan telah pun memutuskan bahawa Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah jadi mahkamah ini terikat dengan keputusan itu,” katanya ketika menyampaikan keputusan berkenaan hari ini.

    Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

    Bagi permohonan plaintif bahawa usul terhadap mereka adalah salah, Azizan berkata mahkamah tidak boleh membuat keputusan kerana perkara itu terletak di bawah bidang kuasa DUN.

    Beliau juga berkata mahkamah tidak boleh memberikan injunksi terhadap defendan untuk menghalang mereka daripada membincangkan usul meminta plaintif mengosongkan kerusi mereka semasa persidangan DUN.

    “Mahkamah tidak boleh menghalang defendan daripada menggunakan kuasa yang diberikan kepada mereka di bawah perlembagaan negeri. Mahkamah tidak boleh campur tangan dan tidak mempunyai kuasa ke atas pengurusan dalaman Dewan Undangan Negeri,” katanya.

    Selepas Azizan menyampaikan keputusannya, Chetan Jethwani yang mewakili keempat-empat ADUN berkenaan memberitahu mahkamah bahawa mereka berhasrat untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

    “Kami juga akan mengemukakan permohonan injunksi untuk menghalang defendan daripada membentangkan usul sehingga rayuan ini selesai,” katanya.

    Pada 16 Dis 2022, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan empat ADUN Pulau Pinang itu untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar DUN berkenaan daripada meluluskan usul undang-undang antilompat parti.

    Pada 2020, keempat-empat ADUN tersebut memfailkan writ saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.

    Sementara itu, semasa ditemui di luar mahkamah, Chetan berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu selepas cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

    “Ini kerana kami percaya hakim telah membuat kesilapan dalam keputusannya mengenai perkara ini. Persoalan yang kami kemukakan ialah sama ada Perkara 14A benar-benar terpakai kepada empat ADUN ini.

    “Kedua-dua ADUN Bersatu itu tidak pernah keluar parti dan mereka kekal dalam parti, manakala dua bekas ADUN PKR itu tidak keluar parti sebaliknya dipecat.

    “Ketepikan soal perlembagaan, kami menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai Perkara 14A tetapi bagi Dewan Undangan Negeri untuk melucutkan kelayakan ADUN berdasarkan Perkara ini, ia tidak memenuhi kriteria,” katanya.

  • Mahu pinjam RM15,000 tapi rugi RM23,950

    Mahu pinjam RM15,000 tapi rugi RM23,950

    DUA lelaki menanggung kerugian RM44,948 selepas diperdaya sindiket penipuan pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud pada Disember 2022.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam kes pertama, mangsa, 41, menetap di Raub kerugian RM23,950 selepas mahu membuat pinjaman sebanyak RM15,000 pada 14 Disember tahun lalu.

    “Mangsa berminat untuk membuat pinjaman selepas melihat iklan di laman sosial Facebook dan menyerah semua maklumat peribadi seperti slip gaji, salinan kad pengenalan, bil air dan maklumat CTOS bagi tujuan itu.

    “Suspek kemudian bersetuju dan memberi pinjaman selama empat tahun dengan kadar bayaran bulanan RM362, namun mangsa diminta membuat pembayaran duti setem, surat perjanjian dan proses penerimaan wang pinjaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ramli berkata, berdasarkan laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Raub, mangsa telah membuat 11 kali transaksi membabitkan jumlah RM23,950 kepada 11 akaun bank berbeza.

    Beliau berkata, kes kedua pula melibatkan mangsa berumur 43 tahun diperdaya selepas melihat satu iklan dalam Facebook pelaburan Amundi pada 28 Disember tahun lalu.

    Menurutnya, mangsa kemudian menekan capaian yang diberikan dan berminat untuk menyertai pelaburan itu menerusi pakej asas iaitu mengeluarkan wang modal dana sebanyak RM600.

    “Menerusi pengeluaran modal itu, mangsa akan mendapat pulangan sebanyak RM8,500 dalam tempoh selama tiga hari.

    “11 Januari lalu, mangsa telah membuat enam kali transaksi yang berjumlah keseluruhan RM21,034 ke dalam akaun bank yang diberikan suspek, namun sehingga kini tidak memperolehi sebarang pulangan,” jelasnya yang memaklumkan mangsa membuat laporan di IPD Kuantan.

    Sehubungan itu, Ramli menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud.

    “Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Kedudukan agenda Bumiputera dalam Malaysia Madani dipersoal

    Kedudukan agenda Bumiputera dalam Malaysia Madani dipersoal

    Oleh DATUK DR. MARZUKI MOHAMAD

    Saya telah meneliti teks amanat YAB Perdana Menteri ketika melancarkan gagasan baharu “Membangun Malaysia Madani”. Gagasan ini boleh dikatakan hala tuju baharu Malaysia di bawah kerajaan PH-BN pimpinan PM-10.

    Saya sebenarnya tercari-cari penekanan khusus terhadap Agenda Bumiputera dalam Malaysia Madani. Saya tak jumpa.

    Adakah ia diselit di mana-mana, saya tak tahu.

    Agenda Bumiputera terpahat dengan jelas dalam Dasar Ekonomi Baru (1970-1990), Dasar Pembangunan Nasional (1990-2000) dan Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (2020-2030).

    Idea Wawasan Kemakmuran Bersama telah dikupas oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau merasmikan Persidangan Perwakilan Srikandi dan Armada BERSATU pada tahun 2018. Pada ketika itu, BERSATU berpandangan bahawa kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad memerlukan satu dasar yang jelas mengenai Agenda Bumiputera.

    Akhirnya, Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) telah dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir pada 5 Oktober 2019. Pelaksanaan dasar ini diteruskan oleh kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin dan oleh kerajaan pimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob selepas itu.

    WKB 2030 yang berasaskan konsep “Shared Prosperity” bertujuan untuk mengagih kekayaan negara secara adil dan saksama bagi mengatasi ketidaksaksamaan (inequality) antara kaum, wilayah, kelas sosial dan rantaian bekalan.

    Sementara pelaksanaan WKB 2030 meliputi semua rakyat tanpa mengira kaum, tumpuan khusus diberikan kepada kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), miskin tegar dan rentan ekonomi, masyarakat dalam transisi ekonomi, Orang Asal, Bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Kurang Upaya, belia, wanita, kanak-kanak serta warga emas. Tujuannya ialah untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam
    mengecapi nikmat pembangunan dan kemajuan negara.

    Beberapa bidang utama pertumbuhan ekonomi baharu juga telah dikenal pasti untuk menjadi enjin pertumbuhan ekonomi negara bagi memacu Malaysia sebagai hub ekonomi Asia.

    Sasaran WKB 2030 telah dijajarkan dengan sasaran RMK-12 yang menjadi dasar utama kerajaan sehingga tahun 2025. Pelaksanaan WKB 2030 sepatutnya diteruskan dalam RMK-13 untuk memastikan semua sasaran dasar ini dapat dicapai sepenuhnya.

    Ketika menjadi PM-8, Tan Sri Muhyiddin telah menubuhkan Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama (MTKB) yang bertindak sebagai satu mekanisme pemantauan peringkat tertinggi untuk memastikan sasaran WKB 2030 dapat dicapai.

    Persoalannya, adakah Malaysia Madani telah menggantikan WKB 2030? Di manakah kedudukan dasar dan agenda Bumiputera dalam Malaysia Madani?

    Jika ada, apakah pelan tindakan menyeluruh yang akan diambil oleh kerajaan PH-BN dalam memacu agenda Bumiputera dan memantau pelaksanaannya?

    Hal ini seeloknya dijelaskan secara tuntas oleh PM-10.

    Penulis adalah bekas Setiausaha Sulit Kanan PM8

  • 2 remaja perempuan maut motosikal bertembung kereta

    2 remaja perempuan maut motosikal bertembung kereta

    DUA remaja perempuan yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pondok Upeh, Balik Pulau, Pulau Pinang maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Sungai Rusa malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 10.10 malam itu, mangsa, Nur Humaira Mohd. Zaini, 17, yang menunggang motosikal tersebut maut di lokasi kejadian kerana kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

    Sementara itu, pembonceng motosikal terbabit iaitu Nur Fatimah Salamahullah,17, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku semasa seorang lelaki yang memandu kereta jenis Proton Waja dalam perjalanan dari George Town ke Kuala Sungai Pinang.

    Jelasnya, apabila sampai di Jalan Sungai Rusa, Sungai Pinang semasa di jalan lurus, kereta itu bertembung dengan motosikal yang ditunggangi dua pelajar berkenaan yang datang dari arah bertentangan.

    ”Motosikal yang ditunggangi pelajar tersebut dipercayai cuba memotong sebuah kereta lain ketika kejadian berlaku,” katanya hari ini.

    Menurutnya, akibat kemalangan tersebut, pemandu kereta yang merupakan seorang mekanik mengalami kecederaan di pipi kanan.

    Tambah beliau, pemandu kereta dan penunggang motosikal mempunyai lesen memandu dan lesen kenderaan bermotor (LKM) yang masih sah tempoh.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Ramasamy gesa Kerajaan Perpaduan hapuskan Akta SOSMA

    Ramasamy gesa Kerajaan Perpaduan hapuskan Akta SOSMA

    BEKAS Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, P. Ramasamy menggesa Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menghapuskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana menyifatkan akta itu sebagai kejam.

    Ini kerana dakwa Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, tahanan di bawah SOSMA tidak boleh diadili mengikut proses undang-undang.

    Selain itu, kata beliau, akta SOSMA juga disifatkan bertentangan dengan perikemanusiaan kerana pihak berkuasa boleh menangkap sesiapa sahaja tanpa waran dengan hanya mempercayai mereka terlibat dengan jenayah keselamatan.

    Ujarnya, individu itu juga boleh ditahan maksimum selama 28 hari tanpa dibicarakan di mahkamah manakala akses kepada keluarga serta peguam mereka boleh ditangguhkan sehingga 48 jam selepas ditahan selain tidak dibenarkan diikat jamin.

    “Saya tidak bermaksud menyatakan tahanan SOSMA ini tidak bersalah, tetapi kenapa mereka tidak ditahan di bawah undang-undang sedia ada seperti di bawah Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar di George Town, Pulau Pinang hari ini.

    Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan keluarga seramai 33 individu dari Kedah yang dikenakan tahanan SOSMA sejak 2020 tanpa dibicarakan.

    Menurut Ramasamy, pada masa ini terdapat lebih 100 tahanan di bawah SOSMA di seluruh negara yang tidak mendapat perbicaraan di mahkamah.

    Sehubungan itu, beliau menggesa Anwar membantu tahanan SOSMA terbabit supaya dapat dilepaskan daripada tahanan untuk dibicarakan di mahkamah seterusnya memansuhkan SOSMA sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

    Mengulas lanjut, tambah beliau, tahanan-tahanan SOSMA telah melalui pelbagai keperitan seperti tahap kesihatan yang merosot, masalah kebersihan dan kesan negatif terhadap psikologi semasa berada dalam tahanan.

    Tambahnya, kebanyakan tahanan SOSMA itu jug masih muda iaitu bawah 40 tahun dan berasal dari keluarga berpendapatan rendah serta merupakan ketua keluarga.

    “Ahli keluarga tahanan SOSMA juga mengalami pelbagai keperitan terutamanya membabitkan masalah kewangan yang serius bagi perbelanjaan sara hidup selain terpaksa mengeluarkan wang untuk mendapatkan khidmat peguam,” katanya.

  • Gerakan terus setia dengan PN

    Gerakan terus setia dengan PN

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menafikan spekulasi parti itu akan keluar daripada Perikatan Nasional (PN) kerana bimbang akan hilang peluang untuk memenangi semula kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang.

    Setiausaha Gerakan, Mak Kah Keong berkata, perkara itu tidak pernah dibangkitkan dalam mana-mana perbincangan dalam Gerakan kerana parti berkenaan tetap setia bersama PN.

    “Kita juga menafikan kenyataan pemimpin Gerakan Kelantan, Ong Khang Woon bahawa terdapat pihak tertentu dalam parti itu mahu mereka keluar daripada PN kerana terdapat pergolakan.

    “Itu hanya spekulasi dibuat-buat dan Gerakan tidak pernah menyatakan hasrat seperti itu malah isu (keluar dari PN) ini tidak pernah bangkit dalam mana-mana perbincangan dalam Gerakan kerana kami tetap setia bersama PN.

    “Ini semua fitnah yang dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan saya tidak tahu apa motif sebenar mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

    Sementara itu, Kah Keong menegaskan tiada sebarang pihak atau pemimpin Gerakan yang tidak berpuas hati terhadap pimpinan di bawah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Sekarang Gerakan hanya fokus kepada persediaan dalam Pilihan Raya Negeri yang akan datang bukannya isu bangsa dalam PN.

    “Gerakan berharap agar pemimpin-pemimpin PN iaitu rakan seperjuangan dalam Pas dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) tidak mudah percaya dengan hasutan murahan ini,” katanya lapor Sinar Harian.

  • Hanya ingin cari ketenangan hadapi peperiksaan, dakwa penuntut IPT hilang

    Hanya ingin cari ketenangan hadapi peperiksaan, dakwa penuntut IPT hilang

    PENUNTUT sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang ditemukan di Johor Bahru, Johor selepas seminggu menghilangkan diri mendakwa hanya ingin mencari ketenangan untuk menghadapi peperiksaan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan, Mohd Irfan Hakimi Azhar, 22, memberi kenyataan itu selepas ditemukan selamat di Stesen Bas Larkin, Johor Bahru, semalam.

    “Individu berkenaan (Mohd Irfan Hakimi) ditemukan pada 5 petang oleh bapanya.

    “Siasatan lanjut mendapati, dia ke Johor Bahru bagi menenangkan fikiran untuk menghadapi peperiksaan, tiada unsur jenayah dalam kejadian orang hilang ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Anbalagan yang dipetik Harian Metro memberitahu, penuntut UPM berkenaan juga tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah dibawa pulang keluarganya ke Sabak Bernam, Selangor.

    Polis sebelum ini memohon bantuan orang ramai untuk mengesan Mohd Irfan Hakimi yang dilaporkan hilang dari bilik asrama Blok Delima, Kolej Canselor, UPM sejak Jumaat lalu.

    Bapa Mohd Irfan Hakimi membuat laporan polis Isnin lalu selepas usaha menghubungi anaknya itu tiada sebarang maklum balas.

    Penuntut UPM itu yang dikatakan hilang, dikesan berada di sekitar Johor Bahru berdasarkan rekod transaksi kad debit miliknya.

    Dia dilihat ada bersama seorang individu lain dipercayai rakannya yang dirakam hasil semakan televisyen litar tertutup (CCTV) di premis berhampiran.

  • Mahkamah Persekutuan batal rancangan pembangunan di lereng bukit

    Mahkamah Persekutuan batal rancangan pembangunan di lereng bukit

    PENGHUNI sebuah kondominium di Sungai Ara, Pulau Pinang hari ini memenangi rayuan mereka untuk membatalkan keputusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang memberikan kebenaran merancang kepada pemaju hartanah untuk membina perumahan di lereng bukit.

    Keputusan sebulat suara itu disampaikan secara dalam talian oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Hakim Besar Malaya yang baru dilantik Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Rhodzariah Bujang.

    Hakim Nallini yang menyampaikan keputusan mahkamah, memutuskan bahawa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bagi kebenaran merancang untuk diberikan kepada pemaju dan pemilik tanah berkenaan, Sunway City (Penang) Sdn Bhd adalah ultra vires dan terbatal.

    “Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang dalam mengekalkan keputusan PBT untuk memberikan kelulusan merancang,” katanya.

    Mahkamah turut memerintahkan Sunway City dan MBPP membayar kos keseluruhan RM300,000 kepada penghuni kondominium Sunrise Garden.

    Hakim Nallini berkata di bawah Seksyen 22 (2A) (c) Akta Perancangan Bandar dan Desa (TCPA) 1976, jawatankuasa perancang negeri, dalam mempertimbangkan permohonan kebenaran merancang, bertanggungjawab untuk meminta nasihat daripada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) apabila permohonan itu melibatkan pembangunan yang menjejaskan lereng bukit di kawasan yang ditetapkan sebagai sensitif alam sekitar dalam pelan pembangunan.

    Beliau berkata pembangunan yang melibatkan lereng bukit bukan lagi sekadar isu tadbir urus tempatan atau negeri semata-mata tetapi juga isu persekutuan dan nasional.

    Sehubungan itu, beliau berkata PBT selaku entiti yang bertanggungjawab mengeluarkan kelulusan perancangan bertanggungjawab mematuhi peruntukan TCPA.

    MBPP meluluskan permohonan Sunway City pada 21 Feb 2012, untuk kebenaran merancang bagi membina 600 unit rumah termasuk 13 blok kondominium dan banglo tiga tingkat atas tanah seluas 32.69 hektar, yang 43 peratus terdiri daripada tanah bukit.

    Kedudukan tapak itu melebihi 76 meter dari aras laut dengan kecerunan melebihi 25 darjah.

    Penduduk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan Pulau Pinang dan pada 20 Nov 2015, lembaga itu mengetepikan kebenaran merancang yang diberikan kepada Sunway City.

    Sunway City, kemudian memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, dengan menamakan lembaga Rayuan, MBPP dan penduduk sebagai responden.

    Pada 29 Mei 2017, Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang memihak kepada pemaju dan membatalkan keputusan Lembaga Rayuan.

    Penduduk kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan tetapi rayuan mereka ditolak pada 7 Mei 2021, menyebabkan mereka membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

    Pada prosiding hari ini, sepasukan peguam diketuai Datuk Dr Gurdial Singh Nijar mewakili penduduk manakala peguam Christina Siew bagi pihak Sunway City dan peguam Karin Lim Ai Ching mewakili MBPP.

  • 2 mangsa kemalangan disangka mati diselimut kain putih, kereta remuk

    2 mangsa kemalangan disangka mati diselimut kain putih, kereta remuk

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA mangsa kemalangan di Lebuh Raya Perling berhampiran Sungai Danga di Johor Bahru awal pagi ini disangka maut oleh pengguna jalan raya selepas kereta yang dinaiki remuk teruk.

    Kemalangan kira-kira pada pukul 2 pagi itu mengakibatkan seorang lelaki, 25, dan seorang wanita, 20, tersepit dalam kereta Proton Wira berkenaan.

    Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan I Mohd. Nazaruddin Ahmad berkata, seramai 12 anggota dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Proton Wira berkenaan telah terbabas sendiri dan terdapat dua mangsa tersepit. Pihak bomba bertindak
    mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, kedua-dua mangsa berjaya
    diselamatkan dan diserahkan kepada pegawai perubatan untuk tindakan lanjut, operasi tamat pada pukul 3.19 pagi.

    Sebelum ini, foto nahas berkenaan tular dalam media sosial dan ramai pihak menjangkakan kedua-dua mangsa maut berdasarkan keadaan kereta yang remuk.

    Malah berdasarkan keadaan kereta yang remuk serta mangsa yang diselaputi kain putih, ada pengguna jalan raya menzahirkan ucapan takziah kerana menyangka mangsa maut.

  • CAP sokong tiada kompaun kesalahan jalan raya, terus dakwa di mahkamah

    CAP sokong tiada kompaun kesalahan jalan raya, terus dakwa di mahkamah

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong langkah Kementerian Pengangkutan yang tidak akan mengeluarkan kompaun sebaliknya terus dirujuk ke mahkamah bagi tujuh kesalahan utama lalu lintas sempena Tahun Baharu Cina ini.

    Malah, Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, langkah itu juga tidak seharusnya dihadkan semasa perayaan tetapi sewajarnya dilaksanakan sepanjang tahun.

    ”Dengan pelaksanaan ini mereka yang didapati melanggar undang-undang jalan raya tidak akan ditawarkan denda tetapi akan dirujuk terus ke mahkamah.

    ”Kami berharap pelaksanaan ini ia akan menjadi pencegahan yang berkesan kepada pelanggaran jalan raya di negara ini dan mengurangkan jumlah kemalangan serta kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyenaraikan tujuh kesalahan utama lalu lintas sempena Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan 2023 yang tidak dibenarkan kompaun.

    Kesalahan itu membabitkan memotong barisan; memotong di garisan berkembar; tidak mematuhi isyarat lampu merah; memandu melebihi had laju; menggunakan telefon bimbit semasa memandu; tidak memakai tali pinggang atau topi keledar dan memandu di lorong kecemasan.

    Menurut Mohideen, berdasarkan statistik polis, sejumlah 402,626 kemalangan jalan raya direkodkan di negara ini dari Januari hingga September tahun lalu yang mengakibatkan sebanyak 4,379 kematian.

    Jelasnya, jumlah itu menunjukkan peningkatan daripada 255,532 kemalangan jalan raya sepanjang tempoh sama pada 2021 membabitkan 3,324 kematian.

    Ujar beliau, angka untuk sembilan bulan pertama tahun lalu menunjukkan peningkatan 58 peratus atau 147,094 kes kemalangan berbanding 2021, manakala jumlah kematian meningkat hampir 32 peratus atau 1,055 kematian.

    “Kadar kematian pengguna jalan raya yang tinggi di negara ini amat membimbangkan, justeru kerajaan perlu bertindak pantas dan tanpa sebarang kompromi.

    “Kerajaan juga perlu segera menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat punca sebenar peningkatan jumlah kemalangan jalan raya dan kematian di jalan raya setiap hari,” katanya.

    Tambah beliau, banyak faktor telah dikenal pasti sebagai kemungkinan penyebab kepada senario yang amat menyedihkan itu dengan yang paling biasa adalah pemandu itu sendiri yang memandu secara melulu.