SERAMAI 44 penumpang berdepan detik cemas selepas bas persiaran dinaiki mereka terbakar di Plaza Tol Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 6.19 pagi.
“Bas persiaran itu dari Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur dan mengalami kebakaran 100 peratus.
“Bagaimanapun, seramai 44 penumpang dan pemandu bas terbabit berjaya menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hafisham berkata, kebakaran tersebut turut merebak dan menyebabkan bumbung pondok tol terbakar 10 peratus.
“Api berjaya dipadamkan kira-kira setengah jam kemudian. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya, lapor BH Online.
SEORANG lelaki warga asing digelar ‘doktor’ ditahan bersama-sama tiga rakannya termasuk seorang remaja berusia 17 tahun kerana dipercayai membekalkan dadah di pusat hiburan di Batu Pahat, semalam.
Tiga suspek berkenaan ditahan dalam operasi di tiga pusat hiburan di Batu Pahat dan Kluang bermula pukul 1 hingga 3 pagi.
Serbuan tersebut melibatkan 39 pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPK) Johor.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tiga suspek berkenaan merupakan antara 78 individu yang ditahan dalam operasi itu.
“Pada mulanya kita menahan ‘Doktor’ terbabit dan susulan itu pihak polis berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia 17 hingga 33 tahun bersama sejumlah rampasan dadah. Suspek yang bergelar ‘Doktor’ ini tiada Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
“Dia tiada kelayakan sebenar sebagai doktor dan cuma dikenali di pusat hiburan sebagai doktor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seorang lelaki warga asing bergelar ‘Doktor’ yang mengedar dadah di pusat-pusat hiburan antara ditahan dalam operasi berkenaan
Beliau berkata, hasil daripada operasi berkenaan seramai 246 individu diperiksa dan daripada jumlah tersebut seramai 78 individu telah ditangkap atas pelbagai kesalahan.
Kamarul Zaman memberitahu, mereka terdiri daripada 55 lelaki tempatan, 15 wanita tempatan, tiga lelaki warga asing dan lima wanita warga asing berusia antara 16 hingga 68 tahun.
“Doktor berkenaan dan dua rakannya merupakan antara 78 individu yang ditahan. Menerusi operasi ini kita menjalankan ujian air kencing dan mendapati 68 individu positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC), methampetamine dan ketamine.
“Mereka yang positif dadah terdiri daripada 49 lelaki dan 19 wanita. Menerusi serbuan ini kita kita telah berjaya membuat rampasan pelbagai jenis dadah iaitu 3.43 serbuk ekstasi bernilai RM171,801; 417.08 gram ketamine (RM62,562); 423,23 gram atau 1,368 biji pil ekstasi (RM21,161) dan 83.64 gram atau 300 biji pil Eramin 5 (RM6,273),” katanya.
Antara dadah yang dirampas dalam serbuan selama tiga jam melibatkan tiga pusat hiburan di Batu Pahat dan Kluang
Katanya, nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM261,797 manakala dadah yang dirampas itu boleh digunakan 15,206 penagih.
Pihak polis ujar Kamarul Zaman, turut menyita sebuah kenderaan bernilai RM115,000 dan wang tunai RM31,218 dengan jumlah sitaan RM146,318 manakala keseluruhan jumlah rampasan dan sitaan RM408,015.
Turut dirampas katanya, tiga unit speaker; dua televisyen; dua unit ‘receiver wireless microphone’; tiga unit mikrofon; satu unit equalizer; satu unit ‘audio equilizer’ dan satu unit ‘power am’.
Pihak polis turut merampas wang tunai RM31,218, keseluruhan jumlah rampasan dan sitaan RM408,015.
Siasatan mendapati katanya, dua daripada pusat hiburan tersebut gagal mengemukakan lesen perniagaan dan hiburan yang sah manakala sebuah lagi pusat hiburan didapati beroperasi lebih masa daripada ditetapkan.
Tambahnya, semua suspek direman selama satu hingga enam hari bermula Sabtu sehingga 26 Januari ini untuk siasatan lanjut, kes disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1957; Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1)(a) akta yang sama.
Siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(2) serta Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Johor (ENJ) 4/98.
PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) dan UMNO didakwa sedang berusaha untuk membunuh persepsi baik Perikatan Nasional (PN) sebagai sebahagian strategi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.
Lapor Berita Harian, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mendakwa, PN mempunyai persepsi yang baik dalam kalangan majoriti rakyat negara ini khususnya orang Melayu dan golongan muda berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini.
Katanya, PN sudah terbukti mempunyai kepemimpinan yang berintegriti dan boleh membentuk kerajaan yang baik.
“Hakikatnya majoriti rakyat mahu bersama dengan kita (PN) seperti mereka tunjukkan dalam PRU15 dan sebagai strategi untuk melemahkan PN, maka persepsi ini perlu dibunuh dalam menghadapi PRN di enam buah negeri.
“Sebab itu hari-hari cerita yang sama, untuk menunjukkan PN tidak baik. Itu strategi yang sedang mereka gunakan,” dakwanya, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Semarak Gelombang Rakyat Bersama PN di Kampung Tengah, Seri Menanti, di Kuala Pilah hari ini.
Yang turut hadir, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Sith dan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha.
Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, PN akan menyusun strategi dalam usaha mencapai kemenangan pada PRN yang perlu diadakan selewat-lewatnya Julai tahun ini.
Katanya, kemenangan PN dalam PRN nanti adalah penting untuk generasi akan datang.
“Apa yang kita buat hari ini bukan untuk kita tetapi untuk masa depan generasi pewaris negara.
“Oleh itu, momentum baik yang dicapai pada PRU15 lalu perlu diteruskan pada PRN nanti,” katanya.
TAN Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan kerana ia hanyalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam.
Memetik laporan Berita Harian, Presiden Pas itu berkata demikian ketika mengulas tindakan UMNO Terengganu yang memfailkan petisyen bagi kerusi Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman dengan alasan wujud rasuah kepada pengundi di ketiga-tiga kerusi terbabit ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil-wakil calon tidak boleh beri (wang), tetapi orang awam mahu beri sedekah maka terpulang kepada dia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucap utama pada Majlis Semarak Gelombang Rakyat Bersama PN dan kenduri rakyat di Kampung Tengah, Seri Menanti, di Kuala Pilah.
Sebelum ini, Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memfailkan petisyen memohon mahkamah membatalkan keputusan PRU-15 membabitkan kerusi Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.
Ahmad berkata, petisyen difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari itu dibuat kerana beliau berlakunya pengagihan wang secara berleluasa di ketiga-tiga kawasan itu.
Dakwanya lagi, pengagihan wang itu berlaku di lapan Parlimen di Terengganu, namun kerana kesukaran mendapatkan saksi hanya tiga petisyen dapat difailkan buat masa ini.
LEBIH 100 kenderaan dikesan dan dirakam melakukan kesalahan memandu di lorong kecemasan di Lebuhraya Utara-Selatan dari Johor Bharu ke Putrajaya dari 10 pagi hingga 2 petang tadi.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kenyataan menerusi Facebook rasminya hari ini memaklumkan kesalahan itu dikesan melalui operasi pemantauan khas Tahun Baharu Cina 2023 yang dilaksanakan di lebuh raya berkenaan.
“JPJ ingin menegaskan bahawa kesalahan itu adalah antara tujuh kesalahan tidak boleh dikompaun dan akan terus didakwa ke mahkamah,” menurut kenyataan itu.
Tujuh kesalahan itu ialah memotong barisan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju, penggunaan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar dan memandu di lorong kecemasan.
JPJ meminta orang ramai untuk mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan sepanjang musim perayaan ini bagi mengelak berlakunya kesesakan dan menjadi punca kemalangan maut di jalan raya.
Sebarang aduan kesalahan lalu lintas boleh disalurkan melalui menu e-Aduan@jpj menerusi Aplikasi MyJPJ atau aduan e-mel JPJ [email protected]. – BERNAMA
PERCUTIAN sekeluarga di sebuah villa di Labuan, berakhir tragis apabila anak lelaki mereka berusia enam tahun lemas ketika mandi di kolam renang di premis itu, hari ini.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Unit Kecemasan Hospital Labuan, dalam kejadian pukul 7.45 pagi itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila, siasatan awal mendapati mangsa yang menginap di villa berkenaan bersama kanak-kanak lain pergi mandi di kolam renang yang terletak di hadapan villa.
Katanya, ibu mangsa berada di tepi kolam dan mengawasi mangsa mandi bersama kanak-kanak yang lain.
“Kira-kira 15 minit kemudian, semua kanak-kanak yang mandi di dalam kolam itu diarah untuk masuk ke dalam villa.
“Namun, ibu mangsa tidak melihat anaknya lalu masuk ke dalam rumah untuk mencari mangsa.
“Selang beberapa minit, beberapa kanak-kanak menjerit di kawasan kolam kerana menemui mangsa di dalam kolam dengan keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.
Ahmad berkata, mangsa kemudian diangkat ke tepi kolam sebelum diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).
Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia dan siasatan awal mendapati bahawa tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.
“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan di talian 087-412222.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.
SINDIKET penyeludupan rokok dan minuman keras tidak bercukai bernilai hampir RM8 juta tumpas dalam serbuan Op Kontraban di tiga lokasi di Sandakan, Sabah kelmarin.
Serbuan oleh pasukan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas Bukit Aman, Petugas Khas Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan itu turut menahan tiga lelaki tempatan berusia 29, 37 dan 45 tahun.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah, serbuan ke atas dua gudang dan sebuah rumah yang menemukan rokok pelbagai jenama dianggarkan RM5,950,740.09.
“Pasukan serbuan merampas minuman keras, juga tidak bercukai pelbagai jenama dianggarkan RM1,714,437.
“Hasil serbuan itu juga merampas dua van dan sebuah lori dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan berkenaan, dengan jumlah keseluruhan rampasan adalah RM7,915,177.45,” katanya hari ini, lapor Harian Metro.
Idris berkata, siasatan mendapati tiga suspek yang ditahan adalah penjaga premis dan pemandu, yang dipercayai aktif dengan kegiatan penyeludupan berkenaan.
Katanya, rampasan dan tahanan diserahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyem 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.
SURUHANJAYA Sekuriti (SC) mengesahkan sebuah syarikat yang baru-baru ini melantik orang kuat kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam siasatan agensi itu kerana melanggar peraturan pasaran modal.
Lapor MalaysiaNow, pengawal selia pasaran modal itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kes tersebut kerana perkara berkenaan berada dalam mahkamah.
Farhash Wafa Salvador yang juga bekas pengerusi PKR Perak, dilantik sebagai pengerusi kumpulan Apex Equity Holdings Bhd, sebuah syarikat yang terlibat dalam pegangan pelaburan, pembrokeran saham, pembangunan hartanah dan pinjaman wang, tidak lama selepas SC melancarkan siasatan terhadap syarikat itu.
Individu berusia 40 tahun itu, yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik Anwar dan terkenal sebagai penyokong setia kepada perdana menteri itu, turut dinamakan pengerusi syarikat rangkaian runcit 7-Eleven.
Langkah itu mencetuskan perdebatan mengenai hubungan antara dunia korporat dan ahli politik yang mempunyai peranan di peringkat tertinggi.
Apex Holdings menjadi tumpuan siasatan SC, pengawal selia pasaran Malaysia di bawah kementerian kewangan, kerana didakwa melanggar Akta Pasaran Modal dan Akta Perkhidmatan serta Akta Syarikat.
Sementara itu, pemegang saham kedua terbesar dalam Apex Equity, ACE Group dilaporkan turut diheret ke mahkamah oleh SC untuk menghalangnya daripada mengawal firma broker saham itu.
SC mendakwa Apex Securities melanggar undang-undang sekuriti, sambil menambah ACE Group bukanlah “syarikat yang layak dan sesuai” untuk menjadi pengawal syarikat itu.
Bulan lalu, memetik fail mahkamah bertarikh 1 Disember 2022, The Edge memetik Apex Equity sebagai berkata SC memohon pengisytiharan mahkamah bahawa anak syarikatnya Apex Securities Sdn Bhd melanggar undang-undang sekuriti, dan ACE Holdings Bhd, yang merupakan sebahagian daripada ACE Group, secara sedar terlibat dalam pelanggaran itu.
“SC mendakwa Apex Securities melanggar undang-undang sekuriti ‘kerana ACE menjadi pengawal kepada Apex Securities, apabila ACE bukan syarikat yang layak dan sesuai’untuk berbuat demikian,” tambah laporan itu.
ACE Group diketuai Calvin Choong Chee Meng yang dilantik sebagai pengarah urusan Apex Equity awal tahun ini.
ACE Group juga terlibat dalam pelanggaran akta SC sebelum ini, yang membawa kepada larangan ke atasnya daripada aktiviti pengumpulan dana.
Dokumen mahkamah yang difailkan pada Oktober tahun lepas menunjukkan ACE Group dan Apex Securities berusaha untuk menghalang SC daripada mengenakan syarat tambahan berkenaan dengan Pasaran Modal dan Lesen Perkhidmatan (CMSL) Apex.
Pada 2019, Apex Equity dan anak syarikatnya Apex Securities Sdn Bhd memfailkan tindakan undang-undang terhadap 18 defendan termasuk pemegang sahamnya Lim Siew Kim, anak perempuan pengasas Kumpulan Genting mendiang Lim Goh Tong.
Syarikat itu menuduh mereka cuba mendapatkan kawalan ke atas syarikat dengan melanggar peraturan pasaran modal.
KERAJAAN sepatutnya memperluaskan pelepasan cukai bagi ‘bonus’ pekerja swasta sebagai jaminan tidak berlakunya “double standard”, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Setiausaha agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, apa diumumkan Anwar suatu langkah wajar dalam memahami kepayahan dihadapi pekerja, namun ia juga wajar diperluaskan kepada semua pekerja termasuk sektor swasta.
“MTUC melihat perkara ini (memperluas pelepasan cukai) sebagai satu langkah kecil daripada kerajaan, namun memberi kesan besar kepada pekerja.
“Dengan ini, tiada lagi soal (layanan) ‘double standard’ kerajaan antara penjawat awam dan swasta,” lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi pelepasan cukai untuk bantuan khas kewangan kepada kakitangan awam, di Kuching, semalam.
Kamarul berkata, pelepasan cukai itu membolehkan pekerja membelanjakan wang untuk merancakkan ekonomi negara.
“Bonus adalah penghargaan majikan kepada pekerja dan ia amat dinantikan setiap tahun oleh pekerja yang berdepan kepayahan berkhidmat di pelbagai sektor dan industri dalam negara
“Jadi, adalah wajar bagi kerajaan memberi pelepasan cukai untuk mengiktiraf sumbangan pekerja ini,” katanya.
SEORANG pejalan kaki maut dilanggar sebuah kereta dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 19, Jalan Lipis – Merapoh di Lipis, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kejadian pukul 6.50 pagi itu melibatkan pembantu makmal, Muhammad Fadly Riduan, 41, yang beralamat di Seksyen 24, Shah Alam, Selangor, yang meninggal dunia di lokasi.
Menurutnya, siasatan mendapati, pemandu kereta Proton Saga yang dalam perjalanan ke arah Kuala Lipis, sudah memperlahankan kenderaannya setibanya di lokasi selepas melihat seorang lelaki hendak melintas dari kiri ke kanan jalan.
“Pemandu berusia 38 tahun itu telah memperlahankan keretanya kerana melihat seorang lelaki melintas jalan dari arah kiri ke kanan.
“Secara tiba-tiba, lelaki terbabit berpatah balik ke arah lokasi menyebabkan pemandu (Proton Saga) cuba mengelak ke kiri namun terlanggar mangsa,” katanya, lapor Berita Harian.
Azli berkata, akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
“Hasil siasatan mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian si mati iaitu melintas jalan tanpa kecemasan.
“Lokasi kemalangan adalah di kawasan jalan lurus, keadaan jalan berturap serta basah, tiada bahu jalan. Sistem jalan satu lorong dua hala, terdapat garisan tengah putus-putus. Keadaan cuaca basah akibat hujan, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987, ” katanya.