Category: Semasa

  • PRN: Bersatu pecat ahli bertanding Bebas di DUN Kota Siputeh-Hamzah

    PRN: Bersatu pecat ahli bertanding Bebas di DUN Kota Siputeh-Hamzah

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan keahlian bekas Ketua Bersatu Bahagian Jerlun, Abdul Ramli terlucut serta-merta kerana bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan Abdul telah melanggar fasal 10.2.4 perlembagaan parti.

    “Bersatu memandang serius isu pelanggaran disiplin dan akan bertindak tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba mensabotaj calon Perikatan Nasional (PN) dalam PRN kali ini.

    “Bersatu sebelum ini juga telah memecat seorang ahli parti dari Bahagian Hulu Selangor dan menggantung keahlian dua yang lain, selama tiga tahun, disebabkan kesalahan sabotaj ketika kempen pilihan raya berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu katanya, berbaki lima hari tempoh berkempen, seluruh ahli serta jentera Bersatu adalah diseru supaya memberikan tumpuan serta fokus sepenuhnya dalam memastikan kemenangan kepada kesemua calon PN.

    Jelasnya, ini sama ada yang bertanding di bawah lambang PN atau Pas bagi menterjemahkan referendum penolakan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, lapor Sinar Harian.

    Bersatu turut mendedahkan surat berhubung kedudukan keahlian Abdul sebagai ahli Bersatu bertarikh 4 Ogos 2023.

    Menerusi surat berkenaan keahlian Abdul adalah terhenti serta-merta berdasarkan Perlembagaan Bersatu kerana tindakannya menjadi calon Bebas DUN tersebut.

    Sebelum ini media melaporkan penolakan terhadap calon PN bagi DUN Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir yang didakwa calon luar atau calon payung terjun menjadi punca Abdul bertanding sebagai calon Bebas PRN.

    Abdul berkata, beliau bersedia dipecat daripada Bersatu berikutan tindakan yang dianggap melanggar peraturan parti.

  • Tawaran Selangor terhasil daripada keprihatinan, nasib rakyat-Muhyiddin

    Tawaran Selangor terhasil daripada keprihatinan, nasib rakyat-Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Tawaran Selangor Baharu Kita Bangkit dihasilkan daripada rasa keprihatinan beliau dan gabungan politik itu dalam usaha mengurangkan beban rakyat.

    “Jujur saya katakan, tawaran ini terhasil dari rasa keprihatinan saya dan pasukan Perikatan Nasional Selangor terhadap masalah yang membelenggu rakyat di Selangor sekaligus mengurangkan beban mereka dan merancakkan ekonomi di Selangor.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Azmin Ali mengadakan sesi soal jawab pada Majlis Pelancaran Tawaran Perikatan Nasional Pilihan Raya Negeri Selangor 2023 di Shah Alam, baru-baru ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Dengan tawaran bernilai lebih RM2.0 bilion ini saya yakin mampu memberi sinar kepada rakyat yang sangat memerlukan.

    “Di sini saya sertakan 17 tawaran daripada 112 tawaran keseluruhan yang telah saya umumkan semalam.

    “Boleh layarai https://www.pnbest.my/selangor untuk dapatkan versi penuh Tawaran Selangor Baharu Kita Bangkit yang mengandungi 7 tunjang, 25 pendekatan dan 112 tawaran,” katanya dalam entri terbaharu Facebook miliknya, hari ini.

  • Calon PN DUN Jeram Padang nafi terlibat kongsi gelap

    Calon PN DUN Jeram Padang nafi terlibat kongsi gelap

    CALON Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk Seri S. Surash menafikan dakwaan dirinya terlibat dalam aktiviti kongsi gelap seperti dalam video tular di aplikasi Whatsapp semalam.

    Katanya, perbuatan itu terang-terangan bertujuan untuk menganggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang disertainya selaku calon DUN berkenaan.

    “Banyak yang tidak berasas dalam itu…pasal pendidikan saya, isu-isu pasal wang dan kereta saya miliki….itu semua tidak benar kerana kalau saya buat jahat saya percaya pihak polis ada sentiasa memantau saya.

    “Mereka tahu siapa saya sebenarnya, lagipun sebelum jadi calon sebelum dapat watikah kita kena juga buat satu laporan polis untuk saringan.

    “Sekarang ini masih lagi orang hantar (fitnah) yang buruk, bukan sahaja kata saya terlibat kongsi gelap tetapi menyentuh peribadi,” katanya kepada pemberita di Jempol hari ini.

    Katanya, laporan polis dibuat bagi menegakkan keadilan mengikut undang-undang sekali gus mencegah jenayah fitnah yang dilihat mampu mengugat keharmonian negara.

    Beliau menafikan sekeras-kerasnya segala dakwaan fitnah itu dan yakin tindakan pihak tidak bertanggingjawab itu disebabkan tidak berpuas hati atas kebajikan terhadap penduduk DUN Jeram Padang selama ini.

    “Bagaimana pun saya percaya warga DUN Jeram Padang tahu siapa saya dan cara saya berkerja terutamanya sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas, kini PRN,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Video berdurasi 4:12 minit itu antara lain memaparkan Surash mempunyai tatu disyaki ada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap, selain sering memakai pakaian dan kereta berjenama termasuklah gambarnya sedang bersosial.

    Surash sebelum itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol pada pukul 10.53 pagi tadi diiringi jentera pilihan raya PN DUN Jeram Padang.

    Sementara itu, Ketua Polis daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook mengesahkan menerima laporan polis itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

    Pada PRU14, Surash bertanding sebagai calon Bebas di DUN sama dan berjaya meraih undi kedua tertinggi selepas calon Barisan Nasional (BN) Datuk L. Manickam yang mempertahankan kerusi berkenaan bagi penggal kedua apabila memperoleh 3,702 undi.

    Surash memperolehi 2,640 undi dan sebagai calon bebas undi yang diterimanya adalah luar biasa berbanding calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memperoleh 2,302 manakala calon daripada Pas mendapat 785 undi.

  • Tak anggap UMNO musuh, dakwaan kafir bukan pendirian Pas

    Tak anggap UMNO musuh, dakwaan kafir bukan pendirian Pas

    MURSYIDUL Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, parti itu tidak menganggap UMNO musuh, apatah lagi mengkafirkan mereka.

    Kenyataan itu dibuat selepas tular video membabitkan seorang warga emas ‘mengkafirkan UMNO’.

    Jelas Hashim, video berkenaan dipergunakan pihak tertentu untuk meraih undi ketika pilihan raya negeri (PRN).

    Beliau menegaskan, pendirian Pas berhubung isu kafir-mengkafir telah lama selesai dan tidak perlu dibangkitkan lagi.

    “Bukan pandangan Pas, jelas dah pendirian Pas dalam persoalan ini. Kita tak anggap Umno musuh. Kita nak ajak berkawan, tapi UMNO tak mahu.

    “Dekat PRN ni, orang boleh berlakon. Orang UMNO mengaku dia Pas, tuduh UMNO semua orang boleh buat, nak raih undi. Jadi, saya rasa itu tak perlu kita beri perhatian,” katanya memetik laporan FMT.

    Terdahulu, tular satu video dalam media sosial menunjukkan kehadiran seorang wanita menemui pengundi ketika berkempen bagi calon Barisan Nasional tidak disambut baik penduduk setempat.

    Dalam video itu, seorang wanita warga emas memberitahu dia tidak mahu mengundi UMNO kerana ‘akan kafir sampai kiamat’.

    Susulan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam responsnya terhadap video itu menggesa kepimpinan Pas mengeluarkan arahan untuk menjernihkan keadaan bahawa rakyat yang mengundi mana-mana parti tidak sesekali jatuh kafir, apatah lagi masuk syurga atau neraka.

    Mengulas lanjut, Hashim menyifatkan dakwaan kafir itu pandangan ‘tepi jalan’ yang tidak boleh diambil kira kerana bukan dibuat kepimpinan tertinggi Pas.

    “Kalau ada pimpinan, lebih-lebih lagi di peringkat Pusat yang melafazkan, itu boleh kita beri perhatian.

    “Kalau orang biasa, kadang-kadang orang boleh berlakon, dia kata Pas yang kata atau dia mengaku dia Pas, kemudian dia kata UMNO kafir, saya rasa itu tak perlu diberi perhatian,” katanya.

    Katanya, Pas tidak perlu mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan itu kerana bukan pendirian Pas dan akan menyeru kepada penyatuan umah.

  • Pengguna media sosial bidas cara PM jawab soalan pelajar mengenai meritokrasi

    Pengguna media sosial bidas cara PM jawab soalan pelajar mengenai meritokrasi

    RATA-RATA pengguna media sosial mengkritik jawapan diberikan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap remaja yang dilihat tergamam ketika menanyakan soalan sama ada kerajaan berhasrat untuk menghapuskan sistem kuota.

    Malah ramai menyifatkan tindakan Perdana Menteri seperti membuli kepada soalan yang diajukan oleh seorang pelajar yang tidak mengharapkan jawapan politik.

    Namun beberapa kritikan pedas hadir daripada aktivis hak asasi manusia dan penulis Tashny Sukumaran, yang berkata, tingkah laku Anwar adalah seperti ‘membuli yang menjijikkan’.

    “Adakah PM tidak dapat membezakan antara musuh politik dan pelajar muda? Kerana itulah satu-satunya penjelasan untuk buli yang menjijikkan ini. Tingkah laku sampah,” ciap Tashy, seorang aktivis hak asasi manusia yang sebelum ini bekerja dengan badan pemikir terkemuka Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa.

    Komennya itu bagaimanapun segera disambut oleh beberapa siri tweet penyokong kerajaan yang membela Anwar sambil mengecam pelajar itu yang bertanyakan soalan sedemikian.

    “Hidup ini sukar, ‘suck it and grow’. Soalan-soalan provokasi patut dijawab seperti itu. Dia bukan kanak-kanak lagi!” tulis pengguna Twitter dengan nama Krypto_G yang memaparkan profil pemimpin diktator Korea Utara, Kim Jong Un sambil menunjukkan jari tengah.

    “Nak jadi dewasa, kena tanya dan terima jawapan sebagai dewasa,” kata seorang lagi penyokong kerajaan, Kapsterloong.

    Pelajar tersebut merupakan individu terakhir yang bertanyakan soalan kepada Anwar semasa sesi dialog di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di Kepala Batas semalam yang merupakan sebahagian daripada siri pertemuan Perdana Menteri dengan pengundi muda menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

    Sebelum mengemukakan soalan, pelajar tersebut merayu supaya diberi masa untuk memberi penjelasan supaya dia tidak disalah tafsir.

    “Sebelum saya bertanya soalan saya, saya ingin menyatakan bahawa saya ingin mengambil masa 1-2 minit untuk bertanyakan soalan dan juga memberi sedikit penjelasan, supaya ia tidak disalahtafsirkan.

    “Bilakah sistem kuota akan dimansuhkan dan digantikan dengan sistem meritokrasi? Saya dan kawan-kawan saya, serta kawan-kawan di luar yang tidak dikenali terkesan daripada sistem kuota ini hanya kerana mereka tidak memiliki status Bumiputera,” soalnya.

    Anwar secara ringkas menghentikan pertanyaan tersebut sebelum beliau cuba menjelaskan, dengan pelajar itu dilihat tergamam pada satu ketika.

    Anwar kemudian memberitahu pelajar berkenaan dia sepatutnya mengikuti sesi sebelumnya kerana beliau sudah menjawab soalan yang sama.

    “Kalau awak ikut sesi ‘Temu Anwar’… ada orang tanya soalan itu dan saya sudah jawab. Lain kali ikut.”

    Anwar kemudiannya menjawab, soalan tersebut selama kira-kira 10 minit, sambil mengkritik pelajar itu kerana tidak berlaku adil kepada Bumiputera di sekolah terpencil.

    Katanya, daripada menyentuh sistem kuota, di mana kumpulan Bumiputera diutamakan untuk kemasukan ke universiti awam, pelajar itu sepatutnya hanya menunjukkan kes-kes tertentu bukan Melayu dinafikan kemasukan supaya kerajaan dapat meneliti mereka.

    Pelajar itu beberapa kali cuba memberi penjelasan, tetapi dicantas berulang kali oleh Perdana Menteri, yang disambut dengan tepukan.

    Anwar kemudian mengakhiri jawapannya dengan mengatakan bahawa memansuhkan sistem kuota akan menyebabkan beliau kalah dalam pilihan raya.

    Cara Anwar menangani soalan pelajar itu mencetuskan gelombang kritikan di media sosial.

    Mediha berkata tingkah laku itu ‘cukup mengecewakan’.

    “Setiap kali orang dewasa bercakap dengan seorang kanak-kanak dengan cara merendahkannya, ia akan melemahkan keyakinan mereka dan memalukan mereka, saya benar-benar hilang rasa hormat,” tulisnya di Twitter.

    Seorang lagi pengguna Twitter menggunakan nama @housefly111 berkata: “Cara beliau potong kata-kata pelajar itu adalah cara lama sama seperti seorang bos. Hanya komunikasi sehala.”

    Pengguna @ede_421 memuji pelajar itu kerana menyedari soalannya sensitif.

    “Dia betul-betul tahu tentang Q seperti ini yang diketepikan kerana kononnya mengganggu sensitiviti majoriti. Daripada menerangkan perkara ini, PM sebaliknya memilih untuk menghina budak sekolah.”

    Burhan dalam pada itu mempersoalkan cubaan Anwar ‘membunuh’ soalan pelajar tersebut dengan memperkatakan tentang pelajar Melayu dan Dayak yang miskin.

    “Kecewa sungguh bila PM sendiri senjatakan hujah meritokrasi balik dekat dia. Seiring dengan pelajar Dayak dan Melayu yang miskin, kena angkat sekali lah pelajar India yang susah. That’s her point. That’s the justice she wants (Itu matlamatnya. Itu keadilan yang dia mahukan),” tambahnya.

    Dalam pada itu, Nadhirah Ali membidas Anwar kerana mengaitkan soalan itu dengan kelangsungan politiknya.

    “Jadi, reformasi bukan tentang membuat perubahan progresif? Hanya janji kosong sebagai cara untuk memenangi pilihan raya.”

    Pengguna lain mengaitkan insiden itu dengan keputusan Anwar meletakkan Najwan Halimi dari PKR meskipun dikecam oleh kaum India.

    “Bukankah salah seorang calon PH mempersendakan dan menggunakan kata-kata kesat terhadap kaum lain seperti ‘Indian Estet’ baru-baru ini?” kata seorang pengguna bernama Jedimaster.

    “Jika kita semak Manifesto PRU (14 & 15) PH sebelum ini, kita akan melihat banyak janji Reformasi adalah satu penipuan!”

    Malah, ada yang berkata walaupun mereka bersetuju dengan penjelasan Anwar, namun tingkah lakunya tidak sesuai untuk seorang pemimpin dalam menangani soalan daripada generasi muda.

    “Apa yang Anwar terangkan itu ada banyak betulnya tapi jangan la potong soalan dia. Dengarlah dulu, biar dia habiskan dan baru jawab. Ni belum apa-apa dah potong, not proper (tak wajar) la. Lagipun bagus dia berani bertanya, patut digalakkan bukan disergah macam tu,” tulis blueocean di Twitter.

    Seorang penyokong Muda menulis tweet: “Cara menjawab seolah-olah merendahkan pemikiran seorang pelajar yang dengan ikhlas bertanya.

    “Bagaimana pula dengan pelajar Cina dan India yang miskin dan kurang berkemampuan… Mana justice untuk mereka ini? Dulu cakap semua kaum anak dia. Sekarang jawab lain,” kata Izdham Zainal.

    Bagi Hamirudin, insiden itu menunjukkan perbezaan ketara antara Anwar dan seterunya dulu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    “Aku tak pernah dengar Tun cakap marah-marah. Tun jenis orang yang ‘cool’,” katanya merujuk kepada bekas Perdana Menteri itu.

  • Kajian EMGC: Apa pilihan pengundi DUN Selangor?

    Kajian EMGC: Apa pilihan pengundi DUN Selangor?

    TIDAK sampai seminggu lagi sebelum pengundi di enam negeri akan memilih calon dan parti pilihan mereka, seterusnya membentuk kerajaan negeri bagi penggal seterusnya.

    Badan penyelidik Endeavour-MGC meneruskan siri tinjauan mereka, khususnya di negeri Selangor, bagi melihat sentimen pengundi di 34 kerusi marginal DUN Selangor, dengan memberi fokus kepada dua kategori – pengundi pelbagai bangsa dan pengundi Melayu.

    No Image Caption

    Tinjauan dilakukan ke atas 1,068 peserta kajian pelbagai bangsa melalui kaedah persampelan rawak berstrata, di 34 kerusi marginal DUN Selangor dengan jumlah sampel populasi seramai 2,006,569 pengundi, dan 724 peserta kajian berbangsa Melayu dengan jumlah sampel populasi seramai 1,359,683 pengundi.

    Dalam tinjauan yang dilakukan antara 22 dan 28 Julai 2023 itu, peserta kajian pelbagai bangsa di 34 kerusi marginal tersebut terdiri daripada kaum Melayu sebanyak 67.8 peratus; Cina (15.6 peratus); India (12.4 peratus; dan lain-lain (4.2 peratus).

    No Image Caption

    Selain itu, 45 peratus golongan B40 berpendapatan RM4,850 ke bawah, manakala 40 peratus dari golongan M40 pendapatan antara RM4,850 dan RM10,959 dan 15 peratus golongan T20 dengan pendapatan RM10,959 ke atas.

    Adakah Datuk Seri Amirudin Shari terus menjadi pilihan sebagai Menteri Besar Selangor? Adakah kumpulan pengundi ini berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menterik Datuk Seri Anwar Ibrahim?

    No Image Caption

    Atau mampukan Perikatan Nasional menidakkan keyakinan gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional untuk kekal di negeri termaju itu?

    Hasil dapatan penuh kaji selidik ini akan diterbitkan oleh lima media utama iaitu Sinar Harian, The Star, Sin Chew Daily dan Malaysia Nanban, selain Awani, pada 6 Ogos ini, lapor Astro Awani.

  • Khianat papan iklan calon PN, polis Selangor buka kertas siasatan

    Khianat papan iklan calon PN, polis Selangor buka kertas siasatan

    POLIS Selangor membuka satu kertas siasatan berkaitan kes papan iklan calon Perikatan Nasional (PN) dirobohkan oleh individu yang tidak dikenali, semalam.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

    “Polis Selangor telah menerima 55 laporan dan membuka satu kertas siasatan berkaitan pilihan raya negeri (PRN), semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hussein berkata, sebanyak 54 laporan polis telah diklasifikasikan sebagai NOD (no offence diclosed) iaitu laporan polis yang dibuat tidak ada berlakunya apa-apa kesalahan dan tangkapan.

    Jelasnya, laporan itu dibuat oleh Pasukan Ops Cantas yang melakukan pemeriksaan di beberapa lokasi Ops Cantas PRN Selangor.

    Beliau berkata, pihaknya mendapati hanya satu kempen dijalankan tanpa permit.

    Setakat Sabtu ujar beliau, 286 kempen dan 90 ceramah dijalankan dengan memiliki permit.

    “Semua calon hendaklah memastikan bahawa pemasangan bendera parti, kain rentang dan poster tidak diletakkan di pagar premis kerajaan dan rumah ibadat,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • PRN P.Pinang: Calon PH DUN Machang Bubok pengsan kerana keletihan

    PRN P.Pinang: Calon PH DUN Machang Bubok pengsan kerana keletihan

    CALON Pakatan Harapan (PH) daripada PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machang Bubok Lee Khai Loon dilaporkan pengsan di pusat khidmatnya, di Bukit Merjatam, hari ini.

    Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata Lee, 45, rebah sebaik tiba di pusat khidmatnya selepas pulang daripada berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di kawasan Machang Bubok kira-kira 11 pagi tadi.

    “Khai Loon mungkin keletihan akibat cuaca panas pagi ini, namun beliau telah sedar seketika tadi dan dalam keadaan stabil sekarang.

    “Tiada apa-apa (penyakit) yang serius dengan Khai Loon … beliau tidak dihantar ke hospital dan berehat di rumahnya hari ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Muhammad Bakhtiar yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau berkata semua program dan kempen Lee hari ini dibatalkan, namun jentera parti akan meneruskan kempen yang telah dirancang termasuk menemui pengundi-pengundi di kawasan itu.

    “Beliau memang seorang yang kuat bekerja dan saya difahamkan sejak memulakan kempen pada 29 Julai lepas, beliau turun padang untuk bertemu sebanyak mungkin pengundi di kawasan Machang Bubok,” katanya.

    Lee merupakan penyandang DUN Machang Bubok dan kawasan itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara beliau dengan calon daripada Perikatan Nasional (PN) Tan Hum Wei.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos ini.

  • Ini soal prinsip, UMNO sudah tergelincir-Bekas Exco Pemuda UMNO

    Ini soal prinsip, UMNO sudah tergelincir-Bekas Exco Pemuda UMNO

    BEKAS Exco Pemuda UMNO, Faridzul Azlan Abd Shani mengakui tidak sanggup menggadai prinsip dengan terus bersama UMNO yang disifatkan sudah tergelincir daripada perjuangan sebenar.

    Beliau yang umum menyertai Perikatan Nasional (PN) berkata, perjuangan UMNO hari ini lebih kepada kepentingan individu yang hanya menguntungkan segelintir pemegang jawatan dan merugikan sebahagian besar ahli di peringkat akar umbi.

    “Saya menyertai PN atas dasar prinsip kerana pada pandangan saya kerosakan yang ada pada UMNO sudah tidak dapat diperbetulkan lagi.

    “Saya berpendapat rakan-rakan yang memilih untuk bersama PN adalah atas faktor yang sama, hilang keyakinan dengan kepimpinan parti yang membawa UMNO menyimpang daripada perjuangan asal menjadi tempat naungan dan perjuangan orang Melayu,” katanya kepada Sinar Harian.

    Beliau yang menyertai UMNO sejak 2004 berkata, usaha mengubah UMNO dari dalam telah diusahakan ramai pihak, namun tidak berjaya.

    Menurutnya, keputusan parti untuk menjalin kerjasama dan kekal bersama Pakatan Harapan (PH) melangkaui pilihan raya menjadi bukti kukuh bahawa UMNO bukan sahaja menggadai falsafah perjuangan sebaliknya perlu berkorban agihan kerusi.

    Katanya, apa yang paling jelas dapat dilihat apabila UMNO dan Barisan Nasional (BN) hanya diberikan sebilangan kecil kerusi pada pilihan raya negeri yang terdekat ini.

    Jika hanya diberikan sedikit jumlah kerusi ujar beliau, tidak ada logik untuk UMNO kembali menjadi gergasi politik dan berkuasa di tanah air, sebaliknya melukut di tepi gantang dan selamanya menjadi parti pelengkap bagi menubuhkan kerajaan.

    Bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tambun itu berharap, sokongannya terhadap PN dapat membantu memperkasa gabungan parti itu dalam mensejahterakan negara dengan telus dan penuh integriti.

    Katanya, perjuangan dibawa PN telah terbukti mendapat sokongan besar rakyat terutama kalangan generasi muda melalui keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

    “Saya akan cuba memainkan peranan agar agenda ini dapat diperkasakan tanpa mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh UMNO sebelum ini.

    “Sokongan padu anak muda yang diberikan kepada PN juga perlu dimanfaatkan sebaiknya dengan jaminan masa depan yang lebih baik,” katanya.

    Pada Jumaat, Faridzul Azlan bersama beberapa bekas pemimpin UMNO lain termasuk Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin hadir dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Kota Bharu, Kelantan.

    Dalam majlis itu turut dimumkan barisan bekas pemimpin UMNO yang menyatakan sokongan terhadap PN antaranya Bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh, Afiq Amani Annuar iaitu anak kepada Presiden Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa.

  • ‘Nak naik bas, kena tengok pemandu gila ke tak gila’-Tuan Ibrahim

    ‘Nak naik bas, kena tengok pemandu gila ke tak gila’-Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man tampil mengkiritik kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan lebih banyak bercakap berbanding bekerja.

    Menggunakan analogi seseorang mahu menaiki bas katanya, penumpang tidak perlu lihat bas tersebut cantik atau tidak, sebaliknya perlu periksa kewarasan pemandunya.

    “Kita nak nak naik bas jangan tengok bas comel atau tak comel, kena tengok pemandu gila ke tak gila.

    “Kalau bas molek, pemandu gila bukan saja tak sampai (ke destinasi), dengan kita sekali mampus.

    “Nak pergi ke mana, biar jelas kerajaan nak bawa rakyat ke mana? masalah ekonomi apa dibuat, apa perancangan?” soalnya ketika berucap di ceramah mega dewan undangan negeri (DUN) Kelaboran sempena pilihan raya negeri (PRN) di Tumpat, malam tadi.

    Tuan Ibrahim berkata demikian sebagai mengkritik Anwar dan menteri kerajaan Persekutuan yang disifatkannya lebih banyak bercakap daripada bertindak menyelesaikan masalah rakyat.

    Tegasnya, rakyat mahu melihat pemimpin kerajaan melaksanakan tugas, bukan hanya bercakap semata-mata.

    “Ini datang berceramah, duduk ulang penyakau, penyamun, perasuah. Awak kerajaan, kalau betul ada kes rasuah tangkaplah, kenapa duduk ceramah kata negara kita susah kerana perompak, penyamun rampas harta rakyat.

    “Eh pergi tangkaplah, dakwalah di mahkamah. kenapa tak dakwa, tuduh kosong tak jadi apa.

    “Hari ini kita menang esok minyak turun, saya ulang. tak payah ulanglah, buat saja. Rakyat sekarang bukan nak dengar menteri, perdana menteri bercakap. Rakyat nak tengok apa dibuat. Apabila kita ada kuasa, buat,” katanya yang juga anggota Parlimen Kubang Kerian.

    Bekas Menteri Alam Sekitar dan Air itu turut menempelak Anwar yang didakwa tidak melaksanakan agenda reformasi dalam pentadbiran kerajaannya.

    “Kelmarin pergi ke Kedah naik helikopter kerajaan untuk kempen, mana boleh. Saya bukan apa, sebab waktu sebelum ini nak buat reformasi, mana reformasi itu?

    “Reformasi pentadbiran, kata tak nak lagi ada salahguna kuasa harta kerajaan diguna parti-parti politik untuk kempen.

    “Reformasi pembaharuan dalam Parlimen mana,” soalnya, lapor Malaysiakini.