Category: Semasa

  • ‘Sokongan anak muda terhadap PN tidak goyah’

    ‘Sokongan anak muda terhadap PN tidak goyah’

    GELOMBANG anak muda yang menyokong Perikatan Nasional (PN) tidak berganjak walaupun kerajaan Persekutuan kini ditunjangi Kerajaan Perpaduan, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

    Ketua Pemuda PN Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, itu bukan omongan kosong sebaliknya dibuktikan oleh keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Padang Serai yang menunjukkan sokongan tetap berpihak kepada PN yang merupakan negeri pembangkang.

    “Undi anak muda tidak berbelah bahagi untuk menyokong PN, malah berdasarkan majoriti kemenangan besar di Parlimen dimenangi PN di Kedah adalah daripada sokongan pengundi pertama dan pengundi muda.

    “Kita dapati kebanyakan saluran mengundi anak muda termasuk di kubu kuat PH dan BN dimenangi oleh PN.

    “Anak muda sudah mulai sedar, UMNO/BN yang dahulu merupakan saingan utama kini ketinggalan di Kedah apabila tidak memenangi satu kerusi pun di Kedah,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Nurul Amin yang juga Ketua Pemuda Pas Kedah berkata, UMNO/BN dijangka mengambil masa lebih lama untuk membina kembali kekuatan akar umbi apabila terhalang oleh liabiliti pemimpin nombor satu parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang masih menerajui sebagai Presiden.

    Beliau percaya anak muda Kedah sudah celik maklumat berhubung prestasi kerajaan BN mahupun kerajaan PH termasuk kerajaan PN yang pernah mentadbir Kedah.

    Pencapaian cemerlang Kedah bawah PN katanya, tidak boleh ditandingi dan sudah menjadi pengetahuan umum kalangan pengundi muda.

    Menurutnya lagi, program-program bersama anak muda terus mendapat sambutan, terutama konvoi motosikal selain trend sokongan di media sosial terhadap pemimpin PN Kedah, khususnya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor terus meningkat.

    “Kecelaruan pentadbiran PH mahupun BN dalam menguruskan situasi ekonomi negara turut menjadi bualan anak muda, antaranya isu bekalan telur, harga makanan mahal di kedai sehingga trending isu ‘Duduk Rafizi’ menjadi troll anak muda.

    “Malah gambar Menteri Besar Kedah duduk atas kerusi pun mendapat lebih 31,600 tanda suka dan dikongsi 613 setakat semalam,” ujarnya.

    Nurul Amin memaklumkan, Pemuda PN Kedah kini di landasan selari dengan gelombang anak muda yang masih hangat.

    “Kita akan lancarkan program Santai Anak Muda Sejahtera Kedah (SAMUDRA) di setiap kawasan Parlimen di negeri ini, dengan pelbagai aktiviti antaranya konvoi motosikal dan aktiviti anak muda lain. Program ini akan bermula Mac depan,” katanya lagi.

  • Banjir: Penduduk dipindahkan ke PPS meningkat, lapan kematian dilaporkan

    Banjir: Penduduk dipindahkan ke PPS meningkat, lapan kematian dilaporkan

    BENCANA banjir di Sabah, Johor, Pahang, Sarawak dan Terengganu bertambah buruk susulan peningkatan jumlah penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) kepada 12,231 orang setakat tengah hari ini.

    Mengikut Laporan Bencana Nasional, Pusat Kawalan Operasi Pusat, Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), lapan kematian turut dicatatkan setakat ini.

    “Di Johor angka mangsa banjir di tujuh daerah iaitu Pontian, Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Mersing, Batu Pahat dan Muar, turut mencatatkan pertambahan dengan 58 PPS dibuka setakat pukul 12 tengah hari ini.

    “Di Pahang pula berlaku pertambahan PPS apabila satu lagi PPS dibuka membabitkan 286 mangsa dipindahkan setakat pukul 12 tengah hari ini,” katanya, lapor Harian Metro.

    Katanya, trend meningkat juga turut berlaku di Sabah membabitkan empat daerah dengan 25 PPS dibuka.

    “Jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat mendadak kepada 6,331 orang yang ditempatkan di 25 PPS di empat daerah setakat ini, berbanding 1,421 orang pada 8 malam tadi.

    “Selain itu di Terengganu satu PPS dibuka membabitkan 50 mangsa di satu daerah di negeri berkenaan,” katanya.

    Katanya, dua PPS turut dibuka di negeri Sarawak membabitkan 56 mangsa dari 17 keluarga dan menunjukkan trend meningkat.

    Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan pagi ini memaklumkan keadaan hujan dijangka terus berlaku di beberapa tempat di Kudat, Tawau, Sandakan, Pantai Barat dan pedalaman Sabah, selain di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

  • Suami isteri tak ngaku salah kemuka dokumen palsu tuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 Perkeso

    Suami isteri tak ngaku salah kemuka dokumen palsu tuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 Perkeso

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEPASANG suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini terhadap tiga pertuduhan dihadapi mereka secara bersama kerana mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu, bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan jumlah keseluruhan hampir RM30,000, dua tahun lalu.

    Pasangan tersebut, Anuar Che Lat, 53 dan isterinya, Rohana Othman, 55, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduha dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah.

    Untuk ketiga-tiga pertuduhan itu, pasangan tersebut didakwa memberikan satu dokumen iaitu borang pengesahan pekerja program insentif pengambilan pekerja atas nama Widad Tours & Travel bagi menuntut insentif tersebut.

    Borang itu didakwa diserahkan kepada seorang Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Pejabat Perkeso Kedah dengan niat memperdayakan Perkeso.

    Pasangan suami isteri itu didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen diserahkan itu mengandungi butiran palsu mengenai tiga individu berbeza sedangkan kesemua mereka yang dinamakan itu, bukanlah pekerja syarikat berkenaan.

    Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan pada 20 Jun 2021, 9 Mac 2021 dan 23 Ogos 2021 di Wisma Perkeso, Jalan Teluk Wan Jah di Alor Setar.

    Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Salizawaty Abd. Samad mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 (Akta 694) manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Rahamathullah Baharudeen.

    Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu, atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi bagi setiap pertuduhan dihadapi.

    Terdahulu pihak pendakwaan mencadangkan agar kedua-dua tertuduh dibenarkan diikat jamin dengan kadar RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

    Begitu pun peguam mewakili tertuduh memohon agar kadar jaminan itu dikurangkan kepada RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dihadapi.

  • 14 ditahan, polis percaya berjaya selesaikan 21 kes samun bernilai hampir RM700,000

    14 ditahan, polis percaya berjaya selesaikan 21 kes samun bernilai hampir RM700,000

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBANYAK 21 kes samun di Kedah dan negeri bersempadan berjaya diselesaikan menerusi tangkapan terhadap 14 individu terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita, dalam operasi khas dijalankan pihak polis sejak tiga bulan lalu di Kedah.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kesemua mereka ditahan di beberapa lokasi berasingan dalam negeri ini kira-kira pukul 6 petang, 13 Januari lalu.

    Katanya, operasi tersebut dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah bagi mengesan kumpulan jenayah terancang yang aktif melakukan kes samun dan kekerasan.

    “Hasil siasatan awal, pasukan JSJ berjaya menyelesaikan 21 kes samun di sekitar Kedah dan negeri bersempadan melibatkan kerugian hampir RM700,000.

    Antara senjata yang dirampas pihak polis

    “Semakan rekod lampau mendapati ada dalam kalangan mereka yang ditahan berstatus ‘dikehendaki’ kerana disyaki terlibat dalam kes samun dan dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, pihak polis turut menyerbu premis pajak gadai dan merampas kembali barang-barang kemas miliki mangsa.

    “Pihak polis tidak akan berkompromi terhadap peniaga mahu pun urusan jual beli emas yang mengaut keuntungan dengan membantu mana-mana pihak yang dalam pengetahuannya, adalah hasil daripada kegiatan jenayah.

    “Modus operandi mereka ada menyasarkan rumah-rumah yang terasing dan jauh. Mereka akan bergerak menaiki kenderaan untuk melakukan samun di awal pagi secara berkumpulan bersenjatakan parang,” katanya.

    Antara yang dirampas dan pasukan JSJ berjaya menyelesaikan 21 kes samun di sekitar Kedah dan negeri bersempadan melibatkan kerugian hampir RM700,000.

    Menurutnya, suspek juga dipercayai turut mengugut untuk membunuh dan mengambil barangan berharga milik mangsa.

    “Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun penjara dan juga boleh dikenakan sebatan.

    “Kejayaan ini adalah salah satu usaha PDRM Kedah untuk menumpaskan kegiatan samun dan mengurangkan kadar jenayah kekerasan. Pihak polis amat menghargai kerjasama dan penglibatan masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat bagi membantu memerangi jenayah,” katanya. – SB

  • Ahmad Zahid mohon pasport dikembalikan secara kekal

    Ahmad Zahid mohon pasport dikembalikan secara kekal

    DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi sebagai timbalan perdana menteri.

    Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.

    Menerusi afidavit sokongan permohonan itu, Ahmad Zahid, 70, berkata permohonan tersebut adalah bersifat bona fide (berniat baik) dan hanya bertujuan untuk memohon kebenaran bagi pelepasan pasport agar beliau dapat menjalankan tugas rasmi dengan lancar.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau mempunyai beberapa kekangan untuk menjalankan tugas seperti menteri lain kerana tidak mempunyai akses kepada pasport tersebut.

    “Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya telah menerima mandat dan tanggungjawab utama daripada Perdana Menteri yang ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewakilkan beliau dalam beberapa urusan pentadbiran negara,” katanya yang memfailkan notis permohonan berserta afidavit sokongan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 20 Jan lepas.

    Bagi melancarkan pergerakan dan urusan dalam menjalankan tugasan rasmi, Ahmad Zahid berkata beliau dikehendaki berada di dalam dan luar negara yang memerlukan pasport berada dalam pegangannya sendiri.

    Selain itu, Ahmad Zahid berkata pasport tersebut diperlukan kerana ia adalah syarat dalam proses permohonannya untuk mendapatkan Pasport Diplomatik daripada Jabatan Imigresen Malaysia, bagi tujuan pergerakan rasmi keluar dan masuk negara.

    “Adalah wajar untuk mahkamah mempertimbangkan bahawa kelulusan permohonan itu bakal memberi kebaikan serta kelangsungan terhadap pentadbiran Malaysia yang menjadi tanggungjawab setiap individu rakyat di negara ini,” katanya menerusi afidavit itu.

    Ahmad Zahid berkata permohonan tersebut tidak bersifat mala fide (berniat jahat) atau prejudis terhadap mana-mana pihak kerana beliau mengaku janji untuk tetap akan memberi kerjasama penuh dalam menyelesaikan kesnya sehingga ke peringkat akhir pembelaan.

    “Saya turut mengaku janji bahawa saya akan patuh pada semua syarat-syarat yang ditetapkan oleh mahkamah dan akan memberi kerjasama penuh untuk menghadiri perbicaraan pada tarikh-tarikh yang telah ditetapkan,” jelasnya.

    Menurutnya, permohonan itu sekali gus dapat mengurangkan jumlah permohonan-permohonan pelepasan pasport sementara kepada pihak mahkamah untuk membenarkannya ke luar negara bagi tujuan-tujuan rasmi.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata beliau tidak mempunyai niat untuk melarikan diri dari negara ini dan tidak menghadirkan diri ke prosiding mahkamah kerana beliau masih berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan bergiat aktif dalam bidang politik selain kesemuanya ahli keluarganya berada di negara ini.

    Sehubungan itu, Ahmad Zahid memohon supaya mahkamah mengetepikan syarat tambahan jaminan iaitu penyerahan pasport kepada mahkamah dan memohon ia dikembalikan kepadanya secara kekal secepat mungkin selain mengekalkan wang jaminan RM2 juta dengan seorang penjamin yang dikenakan terhadapnya. 

    Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi permohonan tersebut di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nurul Ain Hamzah yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob dan peguam Nabihah Meor Azli mewakili Ahmad Zahid.

    Mahkamah menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 3 Feb ini.

    Pihak pembelaan telah memanggil enam saksi termasuk Ahmad Zahid pada perbicaraan kes itu yang kini di peringkat membela diri dan akan bersambung 10 April di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah. – BERNAMA

  • Siti Bainun diarah beri keterangan tanpa peguam

    Siti Bainun diarah beri keterangan tanpa peguam

    SITI Bainun Ahd Razali yang berdepan pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella, hari ini diarahkan memberi keterangan membela diri meskipun pengasas Rumah Bonda itu tidak diwakili peguam.

    Siti Bainun, 30, diarahkan membaca pernyataan saksinya selepas Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi memutuskan bahawa prosiding bela diri itu perlu diteruskan agar tidak mengganggu perjalanan kes.

    “Mahkamah ini mempunyai ‘absolute discretion’ (budi bicara mutlak) untuk membenarkan atau menolak permohonan penangguhan. Dalam kes ini, saya perlu menggunakan budi bicara saya yang bijaksana. Oleh itu, hari ini saya akan mulakan kes pembelaan dengan kamu membacakan pernyataan saksi kamu yang telah diterima oleh pihak pendakwaan.

    “Saya mengambil kira pernyataan saksi itu yang mempunyai lebih kurang 200 muka surat dan saya percaya pembacaan pernyataan saksi itu akan mengambil masa selama dua hari. Saya juga mengambil berat hak kamu untuk diwakili peguam. Maka, saya akan menangguhkan pemeriksaaan balas oleh pihak timbalan pendakwa raya (TPR).

    “Kamu berjanji untuk membawa peguam kamu dalam tempoh sebulan dan pada tarikh bicara yang ditetapkan 20 Feb ini, saya percaya pihak TPR boleh membuat pemeriksaan balas dan ketika itu kamu sepatutnya mempunyai peguam,” kata hakim itu.

    Izralizam menegaskan supaya tertuduh mengutamakan kes hari ini kerana ini adalah peluang untuknya membela diri. 

    “Namun, kamu memilih untuk melantik dua peguam mewakili kamu bagi kes rayuan di Mahkamah Rayuan dan kes sivil berkaitan Rumah Bonda, sedangkan untuk kes ini kamu memilih untuk mendapatkan peguam YBGK. 

    “Saya telah nyatakan sebelum ini pelantikan peguam YBGK memerlukan masa dan adalah lebih baik untuk kamu mendapatkan peguam yang lebih bersedia mewakili kamu. Saya boleh nampak tindakan kamu hari ini seolah-olah menganggap kes hari ini kurang penting,” katanya.  

    Terdahulu, Siti Bainun memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau telah bertemu dengan peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dan mereka memohon masa sebulan untuk meneliti segala dokumen berkaitan kes itu.

    “Mereka (YBGK) kata boleh dan mereka ada minta saya berikan dokumen. Semua dokumen dah ada kecuali penyata bank daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

    “Mereka mohon (penangguhan) sebulan tetapi kalau saya boleh dapat dokumen (penyata bank) awal dan berikan pada mereka, mereka akan e-mel semula,” katanya. 

    Sementara itu, ditanya hakim sama ada Siti Bainun ada membuat aduan kepada Majlis Peguam berhubung tindakan lima peguamnya sebelum ini menarik diri daripada mewakilinya, Siti Bainun berkata: “Tidak, kerana mereka masih membantu saya dalam penyediaan pernyataan tuntutan dan dokumen berkaitan perbicaraan.”

    Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas membantah beberapa perenggan dalam pernyataan saksi Siti Bainun atas alasan ia menyentuh peribadi saksi terdahulu dan kepakaran saksi-saksi pendakwaan.

    Izralizam kemudian mengarahkan pendakwaan menyenaraikan perenggan-perenggan yang dimaksudkan dan menangguhkan prosiding seketika.

    Pada 24 Nov tahun lepas, Izralizam memerintahkan Siti Bainun membela diri atas kedua-dua pertuduhan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

    Beliau didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

  • Anwar pertahan hak tunjuk perasaan menjelang demo Pas di Kedutaan Sweden

    Anwar pertahan hak tunjuk perasaan menjelang demo Pas di Kedutaan Sweden

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan hak rakyat untuk menunjuk perasaan perasaan secara aman, menjelang demonstrasi Pemuda Pas yang akan berarak ke Kedutaan Sweden, esok.

    “Mereka ambil inisiatif itu, kita sokong (hak mereka), dan kalau ada masalah kita bantah,” kata Anwar selepas majlis pelancangan buku di ibu negara, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Pemuda Pas selepas solat Jumaat akan berarak ke Kedutaan Sweden dari Masjid Asy-Syakirin, KLCC bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan seorang ahli politik Sweden membakar Al-Quran ketika menunjuk perasaan.

    Ahli politik terbabit, Ramus Paludan, membakar Al-Quran ketika menunjuk perasaan di depan Kedutaan Turki di ibu negara Sweden, Stockholm, pada 21 Januari lepas, dengan kebenaran polis negara itu.

    Menurut laporan Al-Arabiya, Paludan dalam permitnya menyatakan tunjuk perasaan itu adalah terhadap Islam dan cubaan presiden Turki, mempengaruhi kebebasan bersuara di Sweden.

    Pembakaran kitab suci itu mengundang kecaman banyak pihak, termasuk Amerika Syarikat yang menarik perhatian bahawa pembakaran itu berlaku ketika Sweden perlukan persetujuan Turki untuk menyertai Nato.

  • Peniaga mengaku tak bersalah, tuntut RM1.12 juta program Penjana

    Peniaga mengaku tak bersalah, tuntut RM1.12 juta program Penjana

    SEORANG peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi program Penjana Kerjaya 2.0 membabitkan jumlah RM1,123,030.

    Mohd Eszahar Mansor, 38, didakwa dengan niat memperdaya Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso Melaka Nurshahera Nordin dengan mengunci masuk 19 pekerja syarikat Eszahar Maju Enterprise ke dalam Sistem Penjana Kerjaya 1.0 yang sebenarnya mereka bukanlah pekerja syarikat terbabit, di Unit Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso Melaka pada 10 Okt 2020.

    Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, Eszahar dituduh mengunci masuk masing-masing 49 dan 35 pekerja ke dalam Sistem Penjana Kerjaya 1.0 dan 2.0 dan mereka bukanlah pekerja syarikat Eszahar Maju Enterprise, masing-masing pada 6 Okt 2020 dan 21 April 2021 di tempat sama.

    Dia dituduh melakukan kesalahan bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah jika dapat dinilai atau berbentuk wang dan RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan selain memohon syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri ke pejabat SPRM Negeri Sembilan sekali sebulan sehingga kes selesai.

    Peguam tertuduh, Azrul Zulkifli Stork pula memohon agar tertuduh diberi jaminan rendah memandangkan pendapatannya hanyalah RM5,000 sebulan selain isteri masih menyambung pelajaran, menanggung dua anak masih bersekolah serta menjaga ibu bapa.

    Hakim Elesabet Paya Wan membenarkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Negeri Sembilan sekali sebulan sehingga kes selesai.

  • Mangsa banjir jangan risau keselamatan rumah-KP Johor

    Mangsa banjir jangan risau keselamatan rumah-KP Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS Johor hari ini memberi jaminan kepada lebih 5,000 mangsa banjir di negeri itu supaya tidak bimbang dengan keselamatan harta benda mereka di rumah selepas diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat yang memberi jaminan itu berkata, lebih 5,000 anggota polis sudah diarahkan di semua daerah untuk meningkatkan kawalan dan rondaan di kawasan kediaman terjejas bermula hari ini.

    “Polis jamin keselamatan rumah-rumah ditinggalkan penduduk yang terpaksa berpindah ke PPS akibat banjir.

    “Kita sudah mengarahkan semua polis khusus di daerah terjejas banjir untuk meningkatkan tahap keselamatan. Sebagai contoh di Kluang, anggota ditempatkan 24 jam di laluan-laluan utama demi menjaga keselamatan sekitar,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.

    Katanya, selain usaha menyelamat, pihak polis juga bertanggungjawab memastikan keselamatan rumah atau premis yang ditinggalkan tidak diceroboh mana-mana pihak.

    Kamarul Zaman memberitahu, pihaknya akan meningkatkan jumlah keanggotaan dari masa ke semasa selain memastikan kerjasama erat antara agensi keselamatan yang terlibat dalam operasi ketika banjir ini.

    Setakat pukul 12 tengah hari tad, mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 5,528 orang yang ditempatkan di 58 PPS.

    Mereka yang terjejas terdiri daripada sejumlah 1,536 buah keluarga dan daerah yang terjejas akibat banjir ketika ini adalah Segamat, Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Pontian, Muar dan Batu Pahat.

  • Nenek nekad bawa peti sejuk, mesin basuh ke PPS

    Nenek nekad bawa peti sejuk, mesin basuh ke PPS

    SEORANG warga emas nekad membawa perkakas rumah termasuk peti sejuk dan mesin basuh ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Komuniti Kampung Tasek, Gemereh di Segamat setelah rumahnya dilanda banjir.

    Khatijah Othman, 75, ingin menyelamatkan peralatan berkenaan setelah kediamannya di Kampung Seberang Batu Badak sering dilanda banjir iaitu pada Januari, November dan Disember tahun lepas, manakala kejadian kali ini yang pertama berlaku bagi tahun ini.

    Selain peralatan itu, beberapa bungkusan plastik hitam turut dibawa Khatijah yang dimuatkan di belakang lori dipandu anaknya, dan setelah sampai di PPS berkenaan Khatijah berkeras mahu semua barangnya diletakkan di pusat pemindahan itu.

    Bagaimanapun, atas faktor ruang dewan yang terhad dan lebih ramai mangsa dijangka datang berlindung di situ, permintaannya ditolak baik petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang bertanggungjawab mengawal PPS berkenaan. 

    Bercakap kepada Bernama, cucunya Siti Balqis Abdullah, 16, yang turut ditempatkan di PPS sama berkata apabila air mulai naik setelah beberapa hari hujan dan diberitahu akan ke PPS, nenek berkeras mahu semua barang di rumahnya dibawa sekali.

    “Tahun lepas nenek tidak bawa apa-apa ketika keluar dari rumahnya apabila datang ke PPS. Disebabkan itu, habis barang-barangnya rosak,” katanya. 

    Melihat barang-barangnya tiada di situ, Khatijah kerap bertanya kepada Siti Balqis keberadaan harta bendanya itu dan kadangkala berdiri di pintu dewan sambil merenung jauh ke luar, seolah-olah mencari sesuatu yang ‘hilang’.

    “Barang nenek tak hilang, pak cik (bapa saudara) simpan dekat rumah bos pak cik, tak boleh simpan dekat sini, nanti kita ambil semula,” katanya setiap kali diajukan soalan sama daripada neneknya itu.

    Sementara itu, Ketua Kampung Gemereh 3 Wan Hussein Wan Abas berkata Khatijah adalah antara 38 mangsa daripada 11 keluarga yang dipindahkan ke PPS itu yang mula dibuka Selasa lepas.

    “Penduduk Kampung Seberang Batu Badak sebenarnya sudah biasa dengan banjir. Setelah tiga kali menghadapi banjir tahun lepas, kali ini apabila air mulai naik, mereka datang sendiri ke PPS ini sekali gus memudahkan urusan kami untuk membantu menguruskan mereka dan salurkan bantuan sebaik mungkin,” katanya.

    Segamat menjadi daerah paling teruk terjejas banjir di Johor kali ini. Berdasarkan data oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah setakat tengah malam tadi, sebanyak 21 PPS telah dibuka dan dihuni oleh 1,801 mangsa daripada 504 keluarga.