Category: Semasa

  • Cadangan wujud sekolah khas murid miskin tidak relevan

    Cadangan wujud sekolah khas murid miskin tidak relevan

    TIDAK dapat dinafikan lagi kerajaan sekarang yang diterajui PH-BN sememangnya tidak mempunyai keupayaan dalam mentadbir negara dengan hala tuju yang jelas dan efisien terutama melibatkan kepentingan rakyat.

    Isu-isu yang membelenggu masyarakat kebanyakannya masih gagal diatasi secara menyeluruh manakala idea-idea baru yang dikemukakan pula tidak relevan dengan keperluan semasa ketika ini.

    Contoh terbaru apabila Anwar Ibrahim mengatakan bahawa sekolah khas untuk orang miskin akan diwujudkan pada tahun depan bagi mengelakkan supaya murid daripada golongan berkenaan tercicir daripada arus pendidikan.

    Kata Anwar, sekolah itu akan lebih berkonsepkan kepada sekolah menengah sains dan sekolah menengah berasrama penuh.

    Menyambut cadangan itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan berusaha sedaya upaya agar konsep berkenaan dapat direalisasikan.

    Tok Chey sendiri apabila mengetahui akan cadangan berkenaan berasakan ia adalah satu pendekatan yang tidak sesuai sama sekali.

    Pertamanya sistem persekolahan sedia ada sudah mempunyai mekanisme untuk memastikan semua murid pelbagai latar belakang dan pendapatan keluarga tidak tercicir daripada pendidikan.

    Bahkan untuk murid dan pelajar daripada golongan miskin, sudah ada rekod mereka dalam simpanan pihak sekolah yang membolehkan pelbagai bantuan disalurkan daripada pelbagai sudut.

    Sepatutnya kerajaan menambahbaik fokus dari sudut itu bagi mengelakkan keciciran murid atau pelajar berbanding mewujudkan sekolah khas yang akan menelan kos yang lebih tinggi.

    Keduanya, mengasingkan murid dan pelajar miskin dalam satu sekolah khas adalah langkah terkebelakang kerana mewujudkan dasar kasta yang hanya merugikan mereka.

    Murid dari kategori miskin perlu bercampur dengan golongan pertengahan dan T20 supaya mereka dapat belajar benda baru, membentuk jaringan hubungan dan tidak berada dalam kepompong pemikiran asal usul keluarga mereka.

    Bukan itu sahaja, pakar akademik juga mempunyai pandangan yang sama seperti yang dinyatakan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad yang berkata, bahawa sekolah khas seperti itu akan menyebabkan pemisahan taraf dan pelabelan sedangkan negara sedang menuju ke arah sistem pendidikan inklusif.

    Daripada tinjauan yang Tok Chey lakukan juga, cadangan tersebut tidak dipersetujui oleh kebanyakan ibu bapa kerana sistem sedia seperti penyediaan asrama, rancangan makanan tambahan, biasiswa sudah terbukti dapat membantu pelajar miskin keluar daripada kemiskinan.

    Memang wajar golongan berkenaan perlu sentiasa dibantu, namun konsep yang dikemukakan separa masak dan hanya akan menimbulkan masalah baru serta menjadikan murid dan pelajar sebagai tikus makmal.

    Daripada mengeluarkan idea-idea tidak bernas seperti itu, lebih baik Kementerian Pendidikan menumpukan kepada beberapa isu besar seperti silibus, kemenjadian murid, fasiliti sekolah yang uzur dan banyak isu lain yang tertangguh.

    Banyak sekolah di kawasan bandar yang padat hinggakan pelajar terpaksa bersesak yang memerlukan perhatian segera tetapi tidak difikirkan jalan keluar kepada permasalahan berkenaan.

    Tok Chey ada juga dengar cakap-cakap yang mengatakan bahawa cadangan daripada Anwar dan menteri PH-BN tidak perlu diberi perhatian serius kerana ia hanya gula-gula pilihan raya negeri kerana diumumkan dalam tempoh berkempen.

    Lagipun ramai yang sudah tidak percaya lagi dengan kata-kata Anwar kerana sebelum ini banyak janji-janji yang ditawarkan masih belum ditunaikan.

    Maka, masih sukar untuk mereka mempercayai apa-apa sahaja pengumuman dan tawaran baru kerana apabila sekali ditipu tidak mungkin lagi jadi mangsa buat kali kedua dan seterusnya.

    Bagi Tok Chey, sama ada janji palsu atau benar-benar akan dilaksanakan, jika ia tidak relevan maka harus dibantah kerana soal pendidikan bukan boleh dipolitikkan kerana melibatkan masa depan anak cucu cicit kita.

  • Bentuk kerajaan baru: ‘Anthony Loke, tunggu… sabar itu separuh daripada iman’ – Shahidan

    Bentuk kerajaan baru: ‘Anthony Loke, tunggu… sabar itu separuh daripada iman’ – Shahidan

    AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim membayangkan Perikatan Nasional (PN) bakal menawan Putrajaya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Malah bekas Menteri Besar Perlis itu juga yakin gabungan itu akan menang kesemua enam negeri pada 12 Ogos ini.

    “Insya-Allah, PN akan memenangi enam kerusi negeri kalau Anthony Loke kata, kalau menang di enam negeri tidak akan tukar Putrajaya, sabar… sabar itu separuh daripada iman, kamu tunggu, selepas kami menang di enam negeri, ingat bulan lapan (Ogos) bye-bye,” katanya kepada pemberita di pasar malam Taman Permint Jaya, Chendering di Kuala Terengganu, semalam.

    Sebelum itu beliau bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan calon Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad mengedarkan risalah kepada orang ramai.

    Mengulas lanjut, Shahidan bagaimanapun menafikan wujudnya gerakan untuk menjatuhkan kerajaan.

    Sebaliknya kata beliau, sekiranya PN menang di enam negeri, ia adalah referendum rakyat yang menolak Pakatan Harapan (PH).

    “Yang menentukan kerajaan adalah ahli Parlimen, jadi ahli Parlimen kena tengoklah, kalau rakyat di enam negeri tolak, tunggu apa lagi? soalnya, lapor Astro Awani.

    Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menempelak PN yang didakwa semberono dalam membuat kenyataan kononnya perubahan kepada kerajaan negeri mampu mengubah kedudukan kerajaan Persekutuan.

    Justeru, Anthony Loke menggesa PN supaya menghentikan politik tidak matang dan tidak mengelirukan rakyat.

  • Boleh tukar kerajaan walau terikat Akta Lompat Parti, kata Ahmad Faizal

    Boleh tukar kerajaan walau terikat Akta Lompat Parti, kata Ahmad Faizal

    TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tidak mustahil kerajaan Pusat akan bertukar sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang semua Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti walaupun terikat dengan Akta Lompat Parti.

    Jelas beliau, ini kerana ada proses undang-undang yang membolehkan perkara tersebut berlaku.

    “Begitu juga dengan kerajaan negeri lain, ada proses perundangan mengikut perlembagaan yang boleh dibuat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Munajat Akbar dan Jelajah PN Best Bersama Presiden Pas di Sendayan, Seremban, semalam.

    Pengerusi PN Negeri Sembilan itu turut menyatakan keyakinan potensi gabungan terbabit untuk menang di Negeri Sembilan amat tinggi, malah mampu memberi saingan sengit kepada pihak lawan.

    Ujarnya, sokongan diterima bukan saja daripada pengundi Melayu namun sokongan kaum Cina dan India juga amat memberangsangkan.

    “Ia agak berbeza daripada kajian sikap yang kita lakukan pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu di Negeri Sembilan yang mana kali ini kita mendapati orang ramai semakin selesa dan bagi ruang kepada PN.

    “Reaksi positif dan perkembangan inilah membuatkan jentera kami bersemangat kali ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Malah katanya, jika peratusan keluar mengundi tinggi, potensi untuk PN menubuhkan kerajaan juga cerah.

    Sementara itu, berkenaan dakwaan yang wujud elemen ‘jual kerusi’ dalam pemilihan calon PN di Negeri Sembilan, beliau berkata, sekiranya benar ia berlaku, gabungan itu tidak akan berkempen dalam keadaan ala kadar seperti sekarang.

    “Kalau saya boleh jual kerusi, kita tiada masalah duit, tiada masalah nak berkempen dan sebagainya.

    “Malah bebanan kepada pemimpin dalam menghadapi PRN ini amat getir dan besar. Pada mereka yang buat dakwaan fitnah bahawa saya telah jual kerusi, saya ampunkan mereka supaya tak perlu cari saya di Padang Mahsyar nanti,” katanya.

    Sebelum ini, media melaporkan calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Mohammed Hafiz Baharudin mendakwa wujud elemen jual kerusi terbabit selepas mendapati senarai calon yang diumumkan gabungan itu sangat lemah dan tidak berpotensi untuk menang.

  • Safwan, Mazlan kekal ahli Pas jika tarik diri bertanding Bebas

    Safwan, Mazlan kekal ahli Pas jika tarik diri bertanding Bebas

    Oleh BADLISHAH MAT

    DUA pemimpin Pas di Langkawi yang menjadi calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan kekal menjadi ahli parti itu sekiranya mereka segera menarik diri daripada bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat dan Kuah.

    Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, tawaran itu sebagai antara usaha bagi memastikan Perikatan Nasional (PN) menang dalam saingan merebut dua kerusi itu pada 12 Ogos ini.

    “Saya masih beri peluang dan jaminan mereka tidak akan dikenakan tindakan (pecat), dengan syarat kedua-dua mereka perlu segera buat pengisytiharan (menarik diri) dan meminta pengundi tidak lagi mengundi mereka.

    “Mungkin tindakan sebelum ini adalah terlanjur dan tanpa berfikir panjang. Jadi ini peluang kedua bagi mereka,” katanya ketika berucap pada Sembang Santai Jentera DUN Kuah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kelibang di Langkawi, malam tadi.

    Yang turut hadir, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan calon PN bagi kerusi DUN Kuah, Amar Pared Mahamud.

    Kedua-dua calon itu adalah Mazlan Ahmad yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua Pas Langkawi dan bertanding sebagai calon Bebas DUN Kuah, manakala bekas Bendahari Pemuda Pas Langkawi, Safwan Hanif Shafie (Ayer Hangat).

    Sementara itu, Hamzah berkata, dakwaan kedua-dua calon terbabit yang menyatakan tindakan mereka bertanding telah mendapat restu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor adalah tidak benar.

    “Sebelum mai Langkawi, saya dan Takiyuddin berjumpa dengan Menteri Besar di Alor Setar dan dia menafikan serta tidak sesekali memberi restu kepada kedua-dua calon Bebas berkenaan.

    “Kami juga sepakat, hanya seorang calon daripada PN masing-masing bertanding bagi kerusi DUN Kuah dan Ayer Hangat, manakala calon lain (Bebas) tiada kaitan dengan PN. Itu kena jelas dan faham,” katanya.

  • Ada perangkap dipasang untuk Sanusi?

    Ada perangkap dipasang untuk Sanusi?

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PROGRAM Jom Pakat Pi Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) Bersama MB Kedah di Padang Awam, Taman Ria dekat Sungai Petani, Kedah malam ini seakan kurang serinya setelah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak dapat hadir untuk membuat kemunculan di program tersebut.

    Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Muhammad Sanusi tidak dapat hadir untuk menyampaikan ceramah di situ setelah dinasihatkan berbuat demikian, dalam satu mesyuarat penting dihadiri Menteri Besar tersebut, pagi tadi di Kuala Lumpur.

    “Pagi tadi ‘MB’ mesyuarat di Kuala Lumpur, mesyuarat penting. Dalam mesyuarat itu dibincangkan beberapa perkara besar dan daripada situ dinasihatkan agar beliau tak teruskan ceramah malam ini.

    “Ada perangkap-perangkap yang sedang dipasang musuh dan perangkap itu mengkehendaki MB masuk ke dalamnya, dipegang dan buat sesuatu yang kita tak jangka.

    “Jadi waktu-waktu begini, kita kena bersedia dengan segala kemungkinan. Saya dah sebut tadi, sehari dua ini akan berlaku macam-macam benda dahsyat,” katanya ketika menyampaikan ceramah dalam program tersebut.

    Bagi berdepan semua itu Afnan berkata, semua pihak perlu bersedia untuk menjaga kubu selain sentiasa ingat bahawa kemenangan adalah pemberian Allah.

    “Jangan tinggal solat hajat, doakan keselamatan MB, calon-calon kita serta semua orang sebab pergantungan dengan Allah inilah yang akan menentukan kemenangan pada 12 Ogos nanti, insya Allah.

    “Kita dah ada kekuatan, orang ramai dan sokongan besar… Bimbang kita tersilap langkah , Allah uji kita dengan tidak memberi kemenangan, maka jangan putus berharap dengan Allah,” katanya.

    Terdahulu dalam sesi ceramah tersebut, Afnan melontarkan persoalan kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tentang siapa yang akan menjadi Menteri Besar sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan negeri di Kedah.

    “Biasanya calon MB ini ketua parti yang bertanding dan ketua PH ‘hat’ bertanding di Alor Mengkudu sekarang ini (Datuk Mahfuz Omar), pernah kalah di Parlimen Pokok Sena dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan majoriti lebih 31,000.

    “Takkan nak bagi orang yang kalah dengan majoriti 30,000 jadi MB? Seorang lagi Pengerusi UMNO negeri (Datuk Mahdzir Khalid) kalah juga di Padang Terap dengan majoriti lebih 11,000 undi dan kita yakin rakyat setelah rakyat menolak mereka dalam PRU, rakyat takkan beri kemenangan lagi kepada mereka dalam PRN kali ini.

    “Macam kita ini sudah ada calon dan orangnya tak lain tak bukan, Muhammad Sanusi. Kita dah kemukakan nama dan insya Allah tuanku akan terima setelah kita cukup bilangan kerusi untuk bentuk kerajaan,” katanya.

  • Nik Bahrum sedia bertemu Nik Abduh

    Nik Bahrum sedia bertemu Nik Abduh

    CALON Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Nik Bahrum Nik Abdullah mengakui tiada masalah bertanding di kerusi yang pernah menjadi sebutan untuk bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz.

    Beliau berkata, fokusnya kini untuk berjuang membawa amanat parti dan bukan kerana individu tertentu.

    “Saya juga pernah bertemu ibu Nik Muhammad Abduh, Puan Sri Tuan Sabariah Tuan Ishak dan tiada sebarang masalah berkaitan ditimbulkan.

    “Kami bertemu seperti satu keluarga. Insya-Allah saya juga sedia bertemu Nik Muhammad Abduh selepas ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar harian Perikatan Nasional (PN) sempena pilihan raya negeri (PRN) di Pejabat Perhubungan Pas Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

    Media ini sebelum ini melaporkan, terdapat desas-desus Nik Muhammad Abduh dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan di DUN Chempaka.

    Sementara itu, Nik Bahrum yang merupakan calon muka baharu berkata, sepanjang berkempen, penduduk di DUN berkenaan memberi sokongan daripada pelbagai peringkat umur.

    “Setakat ini tidak banyak permintaan melibatkan material tetapi penduduk di situ meminta kebersamaan dan semangat wakil rakyat untuk mendengar luahan mereka,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • ‘Sampel kajian EMGC terpesong’ – Dr Marzuki

    ‘Sampel kajian EMGC terpesong’ – Dr Marzuki

    KESAHIHAN dapatan kajian EMGC mengenai Pilihan Raya Negeri Selangor boleh dipertikaikan kerana mengandungi dua kelemahan besar.

    Bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Kelapan, Datuk Dr. Marzuki Mohamad berkata, selain persampelan, kelemahan besar lain kaji selidik tersebut berjaya mencerap 100 peratus parti responden.

    “Saya boleh menerima kesahan kajiselidik ini jika ia menyatakan sekitar 20 peratus responden Melayu mengundi Pakatan Harapan dalam PRU-15 kerana itulah demografi sebenar pengundi Melayu di Selangor.

    “Jika ada mana-mana pollster yang boleh mencerap 100 peratus pilihan parti responden, maka ini adalah suatu keajaiban,” katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Ahad.

    Terdahulu beberapa media melaporkan dapatan kajian EMGC yang antara lain menyebut 73 peratus responden Selangor berpuas hati dengan prestasi kerajaan perpaduan. Berikuta adalah kenyataan penuh beliau.

    Oleh DATUK DR. MARZUKI MOHAMAD

    Saya meneliti hasil kajian EMGC mengenai PRN Selangor yang disiarkan oleh akhbar-akhbar utama hari ini.

    Kajian ini mendapati 52% pengundi Melayu di Selangor akan mengundi PH dalam PRN nanti.

    Dalam situasi pertembungan 2 penjuru antara PN dan PH, kajian ini mendedahkan 61% pengundi Melayu akan mengundi PH dan 39% akan mengundi PN. Manakala dalam pertembungan 2 penjuru antara PN dan BN, 58% pengundi Melayu akan mengundi BN dan 42% akan mengundi PN.

    Berbeza dengan banyak kajian lain, kajian oleh EMGC ini berjaya mencerap 100% pilihan parti pengundi.

    Tidak ada seorang pun yang kata tidak pasti, tidak tahu atau undi itu rahsia.

    Saya lihat ada dua kelemahan besar kajian ini.

    Pertama dari segi persampelan.

    Kajian ini mendedahkan 52% daripada responden Melayu dalam kajian ini mengundi PH dalam PRU15 di Selangor.

    Sedangkan analisa data sebenar keputusan PRU15 di Selangor menunjukkan hanya 24% pengundi Melayu di Selangor mengundi PH dalam PRU15.

    Untuk analisa lanjut mengenai undi Melayu di Selangor dalam PRU15 boleh rujuk kajian oleh Bridget Welsh di sini dan artikel saya yang disiarkan dalam jurnal ISEAS Perspective.

    Apabila 52% daripada responden dalam kajiselidik ini adalah pengundi PH, maka tidak hairanlah jawapan kepada soalan-soalan dalam kajiselidik ini lebih cenderung untuk menyokong PH.

    Saya boleh menerima kesahan kajiselidik ini jika ia menyatakan sekitar 20% responden Melayu mengundi PH dalam PRU 15 kerana itulah demografi sebenar pengundi Melayu di Selangor.

    Dengan ertikata lain, sampel di dalam kajiselidik ini “skewed” atau terpesong. “Rule of thumb” dalam mana-mana kajiselidik ialah “You must get the right sample in order to get the right findings”.

    Apabila sampel terpesong, maka dapatan kajian juga terpesong.

    Satu lagi, jika benarlah 52% pengundi Melayu menyokong PH dalam PRU15 di Selangor, sudah tentulah PH sapu bersih semua kerusi Parlimen di Selangor dalam PRU15.

    Faktanya tidak begitu. PN menang 6 kerusi majoriti Melayu di Selangor dalam PRU15.

    Keduanya ialah kaji selidik ini berupaya mencerap 100% pilihan parti responden. Ini luar biasa.

    Sepanjang pengalaman saya terlibat dalam pelaksanaan kajiselidik kajian pendapat sejak tahun 2008, saya tidak pernah menemui mana-mana kajian yang berupaya mencerap 100% pilihan parti responden.

    Akan ada lebih kurang 30% – 40% responden yang jawab tidak tahu, tidak pasti, undi itu rahsia atau menolak untuk menjawab.

    Kadang-kadang sehingga hari terakhir kempen pun masih ada responden yang tidak mendedahkan parti mana yang mereka akan undi.

    Ini bukan bermakna mereka gagal membuat pilihan. Sebahagian besarnya telah membuat pilihan tetapi tidak mahu mendedahkannya.

    Jika ada mana-mana pollster yang boleh mencerap 100% pilihan parti responden, maka ini adalah suatu keajaiban.

  • Tawaran ‘Selangor Baharu, Kita Bangkit’ realistik – Azmin

    Tawaran ‘Selangor Baharu, Kita Bangkit’ realistik – Azmin

    PERIKATAN Nasional (PN) yakin mampu merealisasikan tawaran Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin bernilai lebih RM2 bilion untuk Selangor sekiranya diberi mandat pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

    Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan, pakej rangsangan bertemakan ‘Selangor Baharu, Kita Bangkit’ itu realistik dan boleh dilaksanakan berdasarkan rekod cemerlang ketika beliau menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

    Beliau yang pernah menjadi Menteri Besar dari tahun 2014 hingga 2018 berkata, ketika membentangkan Belanjawan Selangor pada tahun 2017, Dewan Undangan Negeri (DUN) dimaklumkan bahawa kutipan hasil adalah berjumlah RM2.6 bilion.

    Maknanya, jelas calon DUN Hulu Kelang itu, negeri Selangor memiliki kutipan pendapatan besar yang boleh digunakan untuk manfaat serta kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

    “Alhamdulillah PN sudah melancarkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM2 bilion dan beberapa inisiatif lain yang non fiskal yang akan kita teliti dari semasa ke semasa.

    “Namun persoalan yang berbangkit apakah kita berkeupayaan untuk laksanakan pakej ransangan ini, jawaban saya ya.

    “Pakej rangsangan dan tawaran yang telah kita kemukakan ini adalah realistik dan boleh dilaksanakan berdasarkan rekod dan prestasi cemerlang ketika kita berada di dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor,” katanya dalam sidang media khas, hari ini.

    Pengerusi PN Selangor yang juga Calon Perikatan Nasional DUN Hulu Kelang, Datuk Seri Azmin Ali menyantuni dengan sebahagian penduduk kampung ketika singgah di Warung Kamal pada Program Menyantuni Penduduk di Kampung Klang Gate, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Mohamed Azmin menambah, sekiranya diberi mandat, beliau tidak mahu melihat Selangor berada ditakuk yang lama lagi dan mahu mengangkatnya menjadi sebuah ‘Super Smart City’.

    Beliau menegaskan, ketika negara sedang berdepan kegawatan ekonomi sepatutnya kerajaan mengambil sikap untuk berbelanja dan bukan menabung atau pun menyimpan wang.

    Ini kerana, ujar beliau, tidak ada maknanya pemimpin mendabik dada kononnya simpanan rizab mereka besar sedangkan rakyat tidak mendapat manfaat dan terus sengsara.

    “Dua kali saya telah kemukakan belanjawan defisit pada tahun 2015 iaitu RM 450 juta…maknanya kita berbelanja lebih daripada pendapatan.

    “Dalam kegawatan kita harus merancakkan aktiviti ekonomi supaya rakyat dapat manfaat, jadi kita kena belanja lebih daripada pendapatan, itu dibenarkan ketika berlakunya kegawatan.

    “Daripada belanjawan defisit RM450 juta akhirnya kita mendapat surplus pada tahun itu iaitu RM230 juta, saya menggunakan pendekatan sama pada tahun berikutnya.

    “Saya kemukakan belanjawan defisit RM630 juta tetapi pada bukan Oktober 2016 saya telah mencatatkan surplus RM351 juta, inilah langkah yang berhemah dan bertanggungjwab,” katanya, lapor Utusan TV.

  • Saifuddin diingatkan jangan jadikan isu REE modal politik

    Saifuddin diingatkan jangan jadikan isu REE modal politik

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sepatutnya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan berkaitan unsur nadir bumi (REE).

    Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, Saifuddin tidak wajar mendedahkan secara terbuka maklumat berkaitan REE yang dibimbangi boleh menjejaskan siasatan selain mengelirukan rakyat Kedah.

    Beliau juga mengingatkan Saifuddin supaya tidak menjadikan siri pendedahan itu sebagai modal politik.

    “Prosedur undang-undang cukup jelas dan wajar dipatuhi, seeloknya biarlah pihak penguat kuasa melaksanakan tanggungjawab menyiasat, sebelum dilakukan pendakwaan. Pihak yang menentukan salah atau tidak adalah hakim di mahkamah.

    “Saifuddin tidak boleh berikan bayangan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mencuri atau bersubahat kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, bawah Perkara 5 klausa (1) iaitu tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang,” katanya di Alor Setar hari ini.

    Khairul Anuar berharap semua pihak menyerahkan kepada undang-undang dalam menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau sebaliknya, dan bukan ‘dibicarakan’ atas pentas politik atau debat.

    “Dalam sidang media terbaharu, Saifuddin sendiri mengatakan sebagai Setiausaha Agung PKR beliau mendesak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan polis melakukan siasatan sedangkan beliau adalah Menteri Dalam Negeri.

    “Dalam sidang media sama, Saifuddin juga mengakui pendedahan isu REE adalah bagi tujuan kepentingan politik untuk pilihan raya negeri (PRN) Kedah,” dakwanya.

    Menurutnya, strategi seumpama itu tidak wajar digunakan susulan rakyat kini sudah bijak dan peka terhadap proses undang-undang.

    Khairul Anuar turut mempersoal tindakan Saifuddin sebelum ini yang turut membangkitkan isu kapal peronda generasi kedua kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    “Individu yang dedahkan isu LCS orang yang sama, iaitu Saifuddin. Tentu semua masih ingat Saifuddin cabar agar tiga dokumen projek LCS dinyahklasifikasikan. Selepas membentuk kerajaan bersama Barisan Nasional (BN), cerita LCS sudah tidak didengari malah peruntukan bertambah dari RM6 bilion kepada RM11 bilion.

    “Dulu mereka cakap ribuan juta wang rakyat hilang dalam projek LCS, sekarang ratusan juta dalam projek REE, selepas ini berbilion wang rakyat, semua itu hanya retorik,” katanya lagi.

    Khairul Anuar yang juga calon PN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas berkata, rakyat hanya mahukan tawaran yang menjamin masa depan dan bukan disajikan dengan propaganda politik semata-mata.

    “Perikatan Nasional mempunyai 17 tawaran manifesto untuk rakyat Kedah dengan slogan ‘Kedah Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Berbakti’.

    “Ia diyakini mampu memenuhi hasrat menjadikan negeri ini sebagai ‘The Greater Kedah’ menjelang 2035 seperti terkandung dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035. Matlamat kita jelas, hala tuju juga jelas, ini yang rakyat mahu,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Pas tidak ajar budaya kafirkan parti lain, kata Ahmad Fadhli

    Pas tidak ajar budaya kafirkan parti lain, kata Ahmad Fadhli

    PEMUDA Pas menafikan dakwaan kononnya parti itu menerapkan budaya ekstrem seperti mengkafirkan penyokong dan parti lain, tegas Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari.

    “Pimpinan parti tidak sewenang-wenangnya melabelkan orang sebagai kafir secara mutlak dan menghukum sama ada seseorang itu penghuni syurga atau neraka.

    “Kami (Pemuda Pas) membesar dalam situasi tidak melabelkan orang sebagai secara mutlak atau orang itu ke neraka atau ke syurga,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.

    Ahmad Fadhli mengulas isu seorang nenek penyokong parti Pas yang mengkafirkan parti lain dalam sebuah video tular baru-baru ini.

    Beliau menegaskan, segala yang dikatakan menerusi video berkenaan adalah pandangan peribadi wanita itu sendiri yang tidak pernah diajarkan oleh Pas, khususnya pimpinan parti sekarang.

    Bagaimanapun, Ahmad Fadhli meminta supaya isu tersebut dapat diperbetulkan supaya tidak ada lagi budaya mengkafirkan sesama sendiri.

    Dalam pada itu, beliau turut berkongsi ulasan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkaitan budaya kafir-mengkafir.

    Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan, hanya Allah SWT yang layak untuk menentukan sama ada manusia ke syurga atau neraka dan bukannya manusia.

    Tambahnya, manusia dilarang untuk terus menghukum hanya kerana segelintir daripadanya tidak mengetahui atau jahil dalam sesuatu perkara, sebaliknya saling menasihati antara satu sama lain.

    Ujar Ahmad Fadhli, perkara tersebut merupakan ideologi yang diajarkan kepada Pemuda Pas dan juga ahli parti itu kerana agama mengajarkan supaya menasihatkan orang lain supaya tidak terjebak dalam unsur kejahatan.

    “Agama adalah nasihat, maka menasihati orang lain supaya tidak terjerumus ke dalam neraka atau melakukan kejahatan merupakan satu intipati agama, bukan melabelkan kafir dan sebagainya,” katanya, lapor Sinar Harian.