Category: Semasa

  • Empat ditahan terlibat sindiket penipuan jual beli barangan kemas

    Empat ditahan terlibat sindiket penipuan jual beli barangan kemas

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket penipuan jual beli barangan kemas dalam talian susulan penahanan empat individu menerusi dua serbuan berasingan di ibu negara dan Selangor, Khamis lepas.

    Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata empat individu yang ditahan itu berumur 26 hingga 45 tahun terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita termasuk seorang bertaraf pemastautin tetap yang disyaki dalang utama sindiket terbabit.

    Noorsiah berkata sindiket itu dipercayai aktif menjalankan penipuan sejak pertengahan 2022 dengan mewujudkan kumpulan melalui aplikasi Telegram dan Instagram bagi mengiklankan barang kemas dan seterusnya mencari mangsa.

    “Mangsa yang berminat dengan barang kemas yang diiklankan akan dihubungi oleh ahli sindiket dan akan diarahkan untuk membuat pembayaran ke akaun tertentu. 

    Namun setelah pembayaran dilakukan, barang kemas yang dijanjikan tidak diterima mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Noorsiah berkata semasa serbuan sebanyak enam unit telefon bimbit, dua kad bank, tujuh salinan perbualan dalam aplikasi WhatsApp yang disyaki digunakan untuk kegiatan penipuan jual beli barang kemas secara dalam talian telah dirampas.

    “PDRM percaya melalui penahanan sindiket itu, sekurang-kurangnya enam kes berkaitan penipuan jual beli barangan kemas berjaya diselesaikan melibatkan jumlah kerugian keseluruhan RM17,100,” katanya.

    Noorsiah berkata kesemua suspek direman dua hari bermula Jumaat lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    “Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada bagi mencegah kes-kes sebegini daripada terus berleluasa. Mereka boleh mendapatkan maklumat dan nasihat dengan membuat rujukan dengan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial atau menghubungi National Scam Response Center di talian 997,” katanya. – BERNAMA

  • Lelaki dipercayai mabuk rempuh Vios, dua budak perempuan parah

    Lelaki dipercayai mabuk rempuh Vios, dua budak perempuan parah

    DUA beradik cedera parah selepas kereta dinaiki bersama keluarga terbabit kemalangan dengan pacuan empat roda dipercayai dipandu lelaki dalam keadaan mabuk dalam kejadian di kilometer 57 Jalan Batu Pahat-Mersing lewat petang semalam.

    Mangsa, Nur Hana Humaira yang berusia setahun enam bulan parah di kepala, mengalami pendarahan otak serta cedera pada tulang pinggul, manakala kakaknya, Nur Aisyah Humaira yang berusia enam tahun parah di kepala, mengalami pendarahan pada otak dan bengkak tulang rahang.

    Kejadian melibatkan kereta jenis Toyota Vios dinaiki keluarga mangsa dari arah Kluang menuju Mersing yang dirempuh Nissan Navara dari belakang sebelum terbabas dan melanggar pokok pada bahu jalan.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Md Noh mengesahkan kejadian itu dengan dua beradik berkenaan masih menerima rawatan di Zon Merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.

    Katanya, kejadian turut menyebabkan bapa mereka, 34, yang memandu Toyota Vios bersama isteri cedera dan mendapatkan rawatan di Zon Kuning hospital sama.

    “Tangkapan telah dibuat terhadap lelaki berusia 29 tahun yang juga pemandu Nissan Navara oleh Pegawai Polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

    “Suspek dipercayai mabuk semasa kejadian itu dan sampel darahnya telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan pemeriksaan toksikologi,” katanya, lapor Berita Harian.

    Bahrain berkata, polis akan memohon perintah reman ke atas pemandu Nissan Navara itu untuk siasatan kes yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Terdahulu, tular klip rakaman video perbuatan suspek yang berjaya dirakam orang awam di media sosial hingga mendapat kecaman ramai kerana memandu melulu dan menjadi punca kemalangan itu.

  • Mangsa banjir di Sabah menurun, Johor meningkat

    Mangsa banjir di Sabah menurun, Johor meningkat

    JUMLAH mangsa banjir di Sabah menurun manakala Johor menunjukkan peningkatan dan Pahang kekal dengan 314 orang, setakat 8 pagi ini.

    Di SABAH,  Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu terus menurun kepada 1,664 orang daripada 651 keluarga di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini, berbanding 1,723 orang daripada 673 keluarga malam tadi.

    Menurut kenyataan itu, mangsa di Pitas seramai 1,363 orang daripada 565 keluarga dipindahkan ke empat PPS, diikuti Paitan dengan 259 orang (76 keluarga) di empat PPS dan Lahad Datu 42 orang (10 keluarga) di satu PPS.

    JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir di Pitas dan Lahad Datu dijangka kekal, manakala di Paitan mungkin menurun hari ini.

    Dalam pada itu, satu PPS iaitu Masjid Binsulung di Paitan telah ditutup pada pagi ini.

    Di JOHOR, JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS meningkat sedikit kepada 2,511 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 2,216 orang pada 8 malam tadi.

    Terdapat pertambahan satu PPS di Mersing dan dua di Batu Pahat menjadikan 33 PPS beroperasi setakat ini di tujuh daerah masih terjejas iaitu Mersing, Kota Tinggi, Kluang, Batu Pahat, Segamat, Tangkak dan Muar.

    Mersing masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 836 orang, diikuti Batu Pahat (694), Kluang (422), Kota Tinggi (416), Segamat (123), Tangkak (15) dan Muar (5).

    Di PAHANG, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir di Rompin kekal 314 orang daripada 96 keluarga, yang kini ditempatkan di tiga PPS iaitu PPS Kampung Setajam seramai 165 mangsa, PPS Kampung Rekoh (122) dan PPS Kampung Denai (27). – BERNAMA

  • Pekerja kilang maut bergaduh kerana pokok timun

    Pekerja kilang maut bergaduh kerana pokok timun

    SEORANG pekerja kilang warga asing maut selepas terbabit pergaduhan antara pekerja warga Bangladesh dan Myanmar kerana tidak berpuas hati pokok timun ditanamnya dirosakkan dalam kejadian di sebuah kilang di Jalan Mengkibol, Kluang, Khamis lalu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrain Mohd Noh, kejadian melibatkan mangsa yang merupakan operator kilang warga Bangladesh berusia 31 tahun di hadapan bilik asrama pekerja kilang tersebut pada pukul 4 petang.

    Katanya, kejadian itu diketahui selepas pengurus kilang berkenaan diberitahu seorang pekerjanya mengatakan pekerja kilang berkenaan sedang bergaduh di hadapan asrama kilang.

    “Pengurus berkenaan kemudian pergi ke asrama pekerja untuk membuat pemeriksaan dan mendapati keadaan terkawal, namun pada pukul 5 petang pengurus berkenaan melihat tiga pekerja dibawa rakan-rakannya ke tengah jalan di kawasan kilang dalam keadaan cedera.

    “Pengurus bersama-sama rakannya telah membawa dua pekerja untuk mendapat rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) dan seorang lagi pekerja telah dibawa mendapatkan rawatan di klinik berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Bahrain berkata, hasil siasatan mendapati pergaduhan tersebut melibatkan pekerja warga Bangladesh dan Myanmar di asrama pekerja.

    Katanya, asrama pekerja kilang itu mempunyai dua blok yang diduduki pekerja warga Bangladesh, Myanmar dan Nepal.

    “Punca kejadian pada hari itu adalah kerana pokok timun yang ditanam mangsa dirosakkan oleh suspek warga Myanmar. Kemudian mangsa dan rakan-rakannya iaitu warga Bangladesh bertanya suspek berkenaan pokok yang dipotong itu lalu berlaku pergaduhan antara mereka,” katanya.

    Jelas Bahrain, mangsa yang cedera di bahagian kepala dihantar ke HEBHK selepas tidak sedarkan diri dan kritikal.

    “Pegawai perubatan di HEBHK memaklumkan mangsa meninggal dunia pada pukul 1.56 pagi semalam,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Bahrain berkata, pihaknya menahan lima lelaki Bangladesh berusia 30 sehingga 41 tahun dan lima lagi lelaki Myanmar berusia 21 sehingga 41 tahun sebelum mereka direman selama tujuh hari bermula Jumaat.

    Pihaknya turut merampas sebilah parang sepanjang kira-kira hampir setengah meter dan dua batang paip sepanjang hampir satu meter.

    Tambahnya, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Ismail Sabri tak setuju tindakan UMNO pecat, gantung pemimpin

    Ismail Sabri tak setuju tindakan UMNO pecat, gantung pemimpin

    NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak bersetuju dengan keputusan parti itu memecat dan menggantung keahlian beberapa pemimpinnya.

    Bekas Perdana Menteri itu membantah keputusan berkenaan atas alasan pemecatan dan penggantungan dibuat tidak mematuhi proses perundangan dan bertentangan dengan prinsip keadilan asasi seperti hak membela diri.

    “Keputusan ini menimbulkan beberapa perkara berbangkit termasuk tiada surat tunjuk sebab dan tiada ruang menjawab pertuduhan diberikan kepada pemimpin-pemimpin berkenaan.

    “Dalam isu ini tiada surat tunjuk sebab bagi yang dituduh mengetahui pertuduhan terhadap mereka.

    “Selain itu, tiada ruang menjawab pertuduhan melalui surat tunjuk sebab tersebut,” katanya menerusi hantaran di Instagram beliau hari ini.

    Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pemecatan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan penggantungan enam tahun keahlian bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang kemudiannya dipecat atas kehendak beliau sendiri.

    Turut digantung keahlian bagi tempoh sama adalah Ketua UMNO Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ahli Parlimen Jempol dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

    Ahli Parlimen Bera itu menegaskan, sepatutnya jika yang menuduh tidak puas hati maka yang dituduh perlu dirujuk kepada pendengaran dalam jawatankuasa disiplin bagi mempertahankan diri.

    Tegas beliau, mereka boleh membawa saksi dan tuduhan pula perlu dibuktikan.

    Jelasnya, jika jawatankuasa disiplin mendapati yang dituduh bersalah atau sebaliknya, maka jawatankuasa disiplin perlu memberi cadangan kepada jawatankuasa pengurusan UMNO.

    Ismail Sabri menambah, selanjutnya, jawatankuasa pengurusan UMNO perlu berbincang dan membawa cadangan ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk membuat keputusan.

    “Proses ini tidak dilaksanakan. Saya dimaklumkan jawatankuasa disiplin tidak pernah menasihatkan Presiden untuk sebarang tindakan namun hanya memaklumkan tentang terdapat laporan dibuat terhadap yang dituduh.

    “Maka saya menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan tersebut kerana terdapat kecacatan nyata dalam proses membuat keputusan memecat dan menggantung mereka,” tegasnya.

    Katanya, sebagai sebuah parti yang bertamadun, UMNO mesti dilihat telus dalam membuat sebarang tindakan.

  • Isu UMNO buka peluang kepada PN depani PRN – Azmin

    Isu UMNO buka peluang kepada PN depani PRN – Azmin

    PERIKATAN Nasional (PN) tidak menolak kemungkinan isu yang sedang didepani UMNO ketika ini membuka lebih peluang buat gabungan itu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri nanti.

    Menurut Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, tindakan pimpinan di atas tidak menggambarkan aspirasi akar umbi UMNO di bawah yang tidak boleh bersuara, apabila bersuara mereka dipecat.

    “…Sebab itu saya menyeru kepada ahli-ahli UMNO, ada cara lain, gunakan kebijakasanaan mereka sebagai pengundi untuk menyokong PN dalam PRN akan datang.

    “Maknanya mereka ada peranan, kalau mereka buka mulut kena pancung, jadi tidak apa, duduk dalam UMNO tetapi bantu PN dalam PRN akan datang, insya-Allah kami akan terus melaksanakan dasar-dasar prihatin rakyat, memulihkan ekonomi sebab kita ada formula,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Pengucapan Awam Bersatu Negeri Sembilan di Seremban hari ini.

    Sementara itu, Azmin yang juga Pengarah Pilihan Raya PN berkata, pihaknya membuka platform parti itu kepada ahli-ahli UMNO yang dipecat dan digantung keahlian untuk bersama-sama memberikan sumbangan kepada pembangunan negara.

    Jelasnya, keterbukaan itu termasuk kepada bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dipecat serta Ahli parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang digantung selama enam tahun dari parti itu semalam.

    “Setakat ini, tidak ada perbincangan, tetapi saya percaya mereka ada peranan untuk bersama-sama dengan PN bagi melakukan sesuatu yang lebih baik.

    “Mereka mempunyai pendidikan yang cukup tinggi dan boleh menyumbang untuk menggubal dasar sama ada pendidikan, ekonomi, sosioekonomi bagi membantu negara dan rakyat.

    “Sudah tentu (mengalu-alukan), PN ini salah satu platform yang boleh kita bincang tetapi belum ada perbincangan dengan mereka, tetapi saya percaya sebagai sahabat, perkara ini boleh lihat peranan masing-masing untuk pastikan Malaysia terus makmur,” katanya.

    Malah Mohamed Azmin berpendapat bahawa suara Khairy, Hishammuddin, Shahril Hamdan adalah senada dengan dasar PN iaitu melawan kleptokrat, perasuah dan salah guna kuasa.

    “Saya doakan mereka sabar dan tabah dengan ujian ini,” katanya lapor Sinar Harian.

    Katanya, PN juga bersedia untuk menerima ahli-ahli UMNO yang dijangka ramai akan keluar dari parti berkenaan susulan perasaan kecewa dengan apa yang berlaku dalam parti tersebut.

    Ujar beliau, akan membincangkan hal itu namun tidak ada paksaan, apabila mereka menerima ideologi dan matlamat PN, pihaknya bersedia untuk terima mereka.

    “Saya juga atas sifat peribadi ada banyak pertemuan dalam berapa minggu ini, ini terutama selepas Perhimpunan Agung UMNO,” katanya.

  • ‘Nak rayu macam mana, prosedur asal pun tak ikut’ – Shahril

    ‘Nak rayu macam mana, prosedur asal pun tak ikut’ – Shahril

    BEKAS Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan meragui hasil keputusan bakal diperoleh sekiranya beliau membuat rayuan terhadap penggantungan enam tahun yang dikenakan terhadapnya semalam.

    “Ini kerana proses hukuman dikenakan terhadap saya tidak menggunakan prosedur sepatutnya memandangkan saya tidak menerima sebarang panggilan daripada Lembaga Disiplin UMNO atau surat sebelum keputusan berkenaan dilakukan.

    “Sebab itu, bila orang cakap buat rayuan, saya ingat rayu pun nak rayu macam mana. Sedangkan prosedur asal pun tak guna prosedur yang betul. Takkan (bila) rayuan pula tiba-tiba jadi ok,” soalnya menerusi hantaran video pendek di Facebook, hari ini.

    Selain Shahril, turut digantung untuk tempoh sama ialah Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd. Salim Sharif.

    Semalam UMNO turut memecat bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

    Shahril berkata, beliau masih tidak mengetahui dengan jelas berkenaan punca tindakan sedemikian diambil terhadapnya.

    “Saya ada baca sedikit mesej sengaja ditularkan mungkin kononnya (tindakan diambil) kerana saya letak jawatan selaku ketua penerangan, kemudian saya minta Presiden parti (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) ambil tanggungjawab setelah kekalahan Pilihan Raya Umum.

    “Saya juga buat video cadangan untuk perubahan dalam UMNO termasuk buat jabatan penyelidikan dan pembangunan (R&D). Saya tidak pasti kalau orang boleh terima sama ada ini adalah sebab yang munasabah.

    “Mungkin kalau mereka nampak orang tak boleh terima, dia boleh cipta pula alasan yang baru. Tapi tak apalah saya rasa kita semua boleh agak sebab ataupun motif utama yang mereka ada untuk buat perkara ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Shahril menegaskan hukuman penggantungan itu tidak akan langsung mampu mengubah pendirian yang sebelum ini telah beliau nyatakan dalam beberapa isu berkaitan parti berkenaan.

    “Sorrylah, saya tak boleh buat perkara itu…UMNO ini satu-satunya parti yang saya dah berjuang jadi ahli, cipta persahabatan, belajar daripada kawan-kawan dalam UMNO dan mendewasakan diri dalam parti ini, tapi tiba-tiba dibuat begini.

    “Bukan mudah untuk ditelan, tetapi inilah kehidupan, inilah politik. Saya masih ada rasa sayang teramat-amat terhadap ahli UMNO,” katanya yang juga merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO.

    Pada masa sama, Shahril berkata, masih terlalu awal untuk beliau membuat keputusan berkenaan langkah seterusnya, namun menegaskan hukuman itu tidak akan mematahkan semangatnya.

    “Saya ada kemahuan keinsafan untuk menyumbang apa cara sekalipun dalam pembangunan agama bangsa dan tanah air yang lebih murni selepas ini. Insya-Allah Shahril Hamdan kalau dah jadi fighter (pejuang) kita takkan gostan (berundur),” katanya.

  • KJ dakwa pemecatan tidak ikut proses biasa

    KJ dakwa pemecatan tidak ikut proses biasa

    TINDAKAN UMNO memecat dan menggantung beberapa ahlinya semalam terus dipersoalkan selepas Khairy Jamaluddin pula mendakwa proses pemecatannya tidak mengikut prosedur biasa.

    Bekas Ketua Pemuda UMNO itu dalam kenyataan di Insta Story juga mengesahkan tiada sebarang surat tunjuk sebab diberikan dan pendengaran daripada Lembaga Disiplin UMNO.

    “Mengesahkan tiada proses sewajarnya. Tiada surat tunjuk sebab dan pendengaran Lembaga Disiplin.

    “Secara ringkasnya dan dibuang dalam tempoh satu hari daripada parti yang saya setia selama 23 tahun,” katanya dalam kenyataan tersebut hari ini, lapor Astro Awani.

    Khairy, yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau berkata demikian sebagai respons kepada laporan The Star bertajuk UMNO purge: What happened at the supreme council meeting before the axe fell.

    Menurut laporan tersebut yang memetik sumber, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didakwa meneruskan cadangan untuk memecat beberapa pemimpin walaupun tidak dipersetujui lima Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

    Sumber tersebut mendakwa, hanya tiga ahli MKT yang bersetuju dengan Ahmad Zahid.

    “Ahmad Zahid – dalam ucapan pembukaannya membuat pengumuman pemecatan Khairy dan senarai mereka yang digantung daripada parti.

    “Bekas Ketua Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar segera bangun dan meminta beliau dipecat daripada digantung selama enam tahun. Zahid kemudian membalas: ‘Jika anda mahu itu, okay’,” lapor portal bahasa Inggeris itu.

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kemudian didakwa berdiri dan berhujah bahawa pemecatan dan penggantungan mesti dibuat mengikut undang-undang dan proses yang sewajarnya.

    “Ahli Parlimen Bera itu berkata, mereka yang berada dalam senarai itu perlu diberi surat tunjuk sebab dahulu, hak membela diri di hadapan Lembaga Disiplin, kemudian rayuan kepada pengurusan sebelum Majlis Tertinggi UMNO membuat keputusan.

    “Ismail berkata menggantung dan memecat pemimpin dan ahli UMNO tanpa surat tunjuk sebab adalah tidak adil kerana mereka tidak akan dapat membela diri dan tidak tahu sebab mereka dipecat,” tambah sumber itu lagi.

    Beberapa pemimpin lain pula digantung selama enam tahun antaranya Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

    Terdahulu, Ahli MKT UMNO, Datuk Puad Zarkashi mendedahkan sebab UMNO memecat Khairy daripada parti itu kerana didakwa memburukkan parti dan Ahmad Zahid.

    Beliau mendakwa perbuatan yang dilakukan Khairy ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) disifatkan sebagai melampau dan amat keterlaluan.

    Sementara, penggantungan Hishammuddin pula antaranya kerana didakwa tidak serik membelakangkan parti dan menjadi penggerak utama kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menandatangani surat akuan berkanun (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

  • Digugurkan sebagai Pengerusi UMNO Johor, Hasni anggap dirinya dibuli

    Digugurkan sebagai Pengerusi UMNO Johor, Hasni anggap dirinya dibuli

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DATUK Hasni Mohammad mendakwa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tidak memberikannya peluang memberikan penjelasan atau mempertahankan diri sebelum memutuskan untuk menggugurkannya sebagai Pengerusi UMNO Johor pada malam tadi.

    Beliau hadir dalam mesyuarat MKT UMNO malam tadi tetapi tidak diberikan peluang untuk memberikan penjelaskan atau mempertahankan diri.

    “Saya ada juga mendengar desas-desus perkara itu sebelum MKT malam tadi tetapi saya tidak berada sepenuhnya dalam bilik mesyuarat yang sebenarnya telah pun membuat keputusan tersebut.

    “Saya sedaya upaya memberikan yang terbaik sejak menjadi Pengerusi UMNO Johor sejak 2018 dan mengetuai PRN Johor pada tahun lalu dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

    Beliau yang juga bekas Menteri Besar Johor menganggap dirinya seperti dibuli selepas melakukan yang terbaik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila menang majoriti besar.

    Kata Hasni, keputusan berkenaan dibuat selepas hanya kerana beliau menyokong cadangan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan dalam pemilihan nanti.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis jemputan kahwin di Citra Sri Pinang, Benut di Pontian, hari ini.

    MKT UMNO pada malam tadi membuat keputusan menamakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menggantikan Hasni sebagai Pengerusi UMNO Johor.

    MKT UMNO turut menggantung selama enam tahun keahlian bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Salim Sharif.

    Selain itu MKT UMNO memecat bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

    Mengulas lanjut, Hasni berkata, sepatutnya dalam suasana yang mencabar bagi UMNO selepas kalah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pelbagai pandangan perlu diambil kira untuk menguatkan parti.

    Sepatutnya kata beliau, UMNO meraikan perbezaan pandangan dan apabila tokoh serta pemimpin UMNO digantung keahlian dan dipecat, beliau tidak nampak keputusan tersebut merupakan usaha untuk menguatkan parti.

    “Kita tahu ada sahaja yang mengatakan patah tumbuh hilang berganti tetapi UMNO tidak punya masa. Sepatutnya kekuatan yang kita ada

    diperkuatkan lagi. Pemimpin tidak lahir hari ini dan terus diterima masyarakat kerana ia perlu masa panjang.

    “Jadi adakah UMNO ada masa yang panjang untuk berdepan cabaran yang ada bersaing dengan pengaruh parti lain dalam negara khususnya yang memperkatakan soal (perjuangan) agama, orang Melayu dan masa depan (mereka).

    “Jadi bagi saya keputusan dibuat pucuk pimpinan lebih banyak ruginya kepada UMNO, saya harap Hishammuddin, Noh Omar, Khairy Jamaluddin dan Sharil terus berkhidmat dalam kapasiti masing-masing. Saya yakin mereka tidak akan hilang menerusi platfrom lain,” katanya.

    Berkenaan pelantikan Mohamed Khaled, beliau tiada sebarang masalah untuk menyokong bekas Menteri Besar Johor tersebut terutama sekiranya keputusan itu dapat menguatkan lagi kedudukannya di peringkat UMNO Pusat.

    “Tetapi kalau kedudukan itu hanya semata-mata pendekatan untuk mempertahankan orang-orang tertentu, saya percaya beliau akan menghadapi kesukaran untuk berbuat demikian,” ujar beliau.

    Ditanya sama ada akan ada mesyuarat UMNO Johor berkenaan keputusan itu, Hasni berkata, Mohamed Khaled akan memutuskannya dan menjangkakan akan ada satu pertemuan khas nanti.

    “Jadi nanti kita boleh bincang hala tuju UMNO Johor. Kita tak nak kalah. Kita (BN) telah menang 40 kerusi (pada PRN Johor) dan 34 daripadanya adalah kerusi UMNO dan ini menjadi ‘main concern’ kita,” katanya yang masih lagi merupakan Ahli MKT UMNO.

  • ‘Kami tawarkan bahtera penyelamat’ – Pemuda Pas

    ‘Kami tawarkan bahtera penyelamat’ – Pemuda Pas

    PEMUDA Pas secara berkias menjemput beberapa pemimpin UMNO yang dipecat dan digantung keahlian selama enam tahun untuk menjadi ‘ahli keluarga’.

    Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari menerusi hantaran di Facebooknya berkata, pihaknya menawarkan bahtera penyelamat kepada mereka.

    “Walaupun bahtera itu besar, jika jelas ia akan tenggelam, selamatkanlah diri dan orang tersayang. Kami tawarkan bahtera penyelamat.

    “Datanglah menjadi keluarga,” katanya yang turut memuat naik sebuah gambar bahtera yang hampir tenggelam hari ini, lapor Sinar Harian.

    Dipercayai hantaran itu merujuk kepada keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang memutuskan memecat bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kerana pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain selama enam tahun iaitu Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan.

    Selain itu, turut mengalami nasib sama adalah ahli MKT, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya, Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd. Salim Mohd. Sharif.