Category: Semasa

  • Zahidi dedah hasrat sertai PKR, dakwa ramai ikut jejaknya

    Zahidi dedah hasrat sertai PKR, dakwa ramai ikut jejaknya

    BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin mendedahkan hasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam masa terdekat.

    Memetik laporan Sinar Harian, Zahidi yang juga bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, beliau akan menyerahkan borang keahlian PKR pada 4 Februari depan.

    Pada masa sama, bekas Ahli Parlimen Padang Besar itu mendakwa beberapa pemimpin UMNO lain juga berhasrat berbuat demikian.

    Kata beliau, ada juga dalam kalangan pemimpin UMNO telah menyuarakan hasrat untuk menyertai PKR dan Perikatan Nasional (PN) kerana tidak berpuas hati dengan cara Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    “Dengan saya bakal menyertai PKR secara rasmi pada 4 Feb ini bersama 100 ahli UMNO Bahagian Padang Besar, dijangka banyak cawangan partib itu di Padang Besar yang bakal terbubar kelak.

    “Ramai orang tanya saya macam mana hendak masuk PKR, termasuk sebilangan pemimpin UMNO Pusat. Ada juga antara mereka hendak masuk PN. Ini semua sebab mereka tidak bersetuju dengan cara presiden,” katanya.

    Mengulas lanjut, Zahidi mendedahkan wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin dan ahli akar umbi UMNO berhubung tindakan Ahmad Zahid dan MKT ‘membersihkan’ parti tanpa mengikut prosedur.

    Beliau turut membidas tindakan Ahmad Zahid yang memecat pemimpin UMNO tidak sehaluan dengannya, semata-mata untuk menjamin kedudukan sebagai Presiden.

    “Mujurlah hakim-hakim di negara ini tidak boleh dipecat Zahid, jika tidak dengan mereka semua pun kena pecat kerana tidak menyokong beliau,” katanya secara sinis.

    Zahidi dipecat daripada UMNO selepas bertanding sebagai calon Bebas bagi Parlimen Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi.

    Bagaimanapun, beliau gagal mempertahankan kerusi Parlimen Padang Besar dan kehilangan deposit selepas hanya memperoleh 1,939 undi.

    Kerusi Parlimen Padang Besar dimenangi Rushdan Rusmi daripada PN dengan majoriti 12,514 undi.

    Jumaat lalu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ahli MKT UMNO, Tan Sri Noh Omar menyertai senarai pemimpin UMNO terbaru yang dipecat daripada parti itu selepas bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa dan Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim.

    Keputusan pemecatan itu dibuat pada MKT UMNO yang dipengerusikan Ahmad Zahid.

    Ketua UMNO bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan pula digantung keahliannya selama enam tahun.

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataannya turut mengesahkan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang, Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif juga digantung enam tahun, sementara Ahli MKT, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya diberi surat tunjuk sebab.

  • Khairy masih mahu jadi PM walau kini tanpa parti

    Khairy masih mahu jadi PM walau kini tanpa parti

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin masih menaruh harapan untuk mencapai cita-cita menjadi Perdana Menteri pada masa hadapan.

    Bagaimanapun bekas Menteri Kesihatan itu yang kini tidak berparti selepas dipecat UMNO, Jumaat lalu mengakui tidak pasti bagaimana beliau boleh mencapai hasratnya itu.

    Walaupun begitu, bekas Ahli Parlimen Rembau itu sedar bahawa dalam politik tidak semua jalannya ‘mendatar’.

    “Ada pelbagai halangan yang perlu dilalui oleh seseorang sebelum mereka boleh muncul sebagai pemimpin, bukan saja dalam parti malah sebagai pemimpin negara.

    “Ya, saya masih mahu memimpin negara ini suatu hari nanti. Bagaimana saya boleh ke sana, saya tidak tahu,” katanya dalam program Breakfast Grille di radio BFM pagi ini.

    Beliau mahu memastikan keputusan dibuatnya dalam beberapa bulan akan datang adalah bagi meneruskan wawasannya mewujudkan negara yang ‘gembira dan selesa’.

    Khairy berkata, beliau pertama kali berkongsi aspirasinya untuk menjadi bakal Perdana Menteri dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Buloh itu kalah dalam PRU15 dalam pertandingan enam penjuru dengan kerusi itu dimenangi calon Pakatan Harapan (PH), Datuk R. Ramanan.

    Sementara itu, ditanya apa yang beliau lakukan selepas dipecat UMNO, Khairy berkata selepas 23 tahun berkhidmat untuk parti adalah sukar untuk beliau memulakan satu yang baharu.

    Beliau menjelaskan sukar melupakan khidmat dalam politik kerana bukan keputusannya meninggalkan parti sebaliknya beliau ‘dibuang’ parti.

    Khairy perlu membuat pelarasan baharu dan itu perlu dilakukan dengan berhati-hati.

    “Ya saya ada mendapat beberapa tawaran daripada pelbagai pihak daripada politik, akademik, perniagaan dan korporat.

    “Saya belum buat keputusan lagi. Semua orang tahu saya suka bola sepak dan bebas untuk menukar haluan jadi saya sedang lihat kelab yang sesuai dan menimbang pilihan dan peluang yang ada untuk maju ke hadapan.

    “Belum ada keputusan apa-apa lagi, ini bukan satu yang mudah untuk ditukar begitu saja,” katanya, lapor Berita Harian.

  • ‘Adakah tiada MKT UMNO boleh berfikir tindakan Ahmad Zahid salah?’

    ‘Adakah tiada MKT UMNO boleh berfikir tindakan Ahmad Zahid salah?’

    BEKAS Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail hairan kerana Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO seolah-olah tidak berfungsi dalam membuat keputusan penting dan tepat untuk parti.

    Beliau berkata, MKT tidak mampu menegur tindakan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam membuat keputusan yang disifatkan merugikan parti tersebut.

    Sepatutnya kata beliau, MKT UMNO perlu menasihatkan pimpinan utama parti dalam membuat keputusan tepat kerana mereka menggalas amanah lebih 140,000 perwakilan untuk membantu parti.

    “Dalam MKT ada lebih 50 orang ahli yang dipilih oleh perwakilan. Adakah tidak ada MKT yang boleh berfikir bahawa tindakan yang dibuat oleh presiden adalah tindakan yang salah.

    “Tidak apa kalau nak pecat tapi macam saya tidak pernah dapat surat tunjuk sebab, tidak dipanggil Lembaga Disiplin UMNO dan tidak dimaklumkan apa-apa kesalahan saya pun. Tiba-tiba dalam satu makluman majlis tertinggi saya telah digantung.

    “Macam Tan Sri Noh Omar kata, nak gantung buat apa dah umur 60 tahun, pecat terus senang,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di Bukit Pinang, Alor Setar, semalam.

    Beliau mengulas keputusan MKT UMNO memecat keahlian bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ahli MKT, Tan Sri Noh Omar.

    MKT UMNO turut memutuskan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian; Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd. Salim Mohd. Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang digantung enam tahun.

    Sebelum ini, Mohd. Yusof turut mengesahkan beliau digantung keahlian parti selama enam tahun pada September tahun lalu.

    Mengulas lanjut, Mohd. Yusof berkata, ‘pembersihan’ yang dilakukan oleh UMNO telah mengecilkan lagi kekuatan dan kepercayaan orang ramai kepada parti itu selepas membuang pemimpin yang dianggap berpontensi besar pada masa hadapan.

    Menurutnya, parti tersebut perlu menggunakan pendekatan lain untuk memperkuatkan kembali UMNO selepas kehilangan banyak undi pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) dan bukan dengan pemecatan dan penggantungan ahli.

    “Saya melihat sistem yang digunakan oleh Presiden ini adalah memecat keahlian seseorang pemimpin UMNO kerana bersuara. Sepatutnya dia ada pendekatan lain yang boleh dibuat selain daripada memecat. Banyak lagi Cara yang boleh dibuat,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Kata beliau yang digantung keahlian selama enam tahun pada tahun lalu, adalah tidak wajar Khairy dipecat dan Shahril digantung kerana mereka antara ikon orang muda yang berjaya menarik orang muda.

    Tambahnya, ramai perwakilan dan Ketua UMNO di semua peringkat menyuarakan kebimbangan dengan apa yang sedang berlaku di dalam parti keramat orang Melayu itu terutamanya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan di enam negeri selepas ini.

  • Nurul Izzah tak layak beri nasihat ekonomi, kewangan, kata badan pemikir

    Nurul Izzah tak layak beri nasihat ekonomi, kewangan, kata badan pemikir

    SEBUAH badan pemikir senada dengan kritikan terhadap pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta mempersoalkan kelayakannya bagi jawatan itu.

    Dalam kenyataan, Pusat Pendidikan Pasaran (CME) menegaskan Nurul Izzah, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), mungkin berkelayakan dalam bidang kejuruteraan dan hubungan antarabangsa, tetapi itu tidak penting.

    “Beliau tidak mempunyai sebarang latar belakang khusus dalam bidang ekonomi atau kewangan. Walaupun ini tidak diperlukan untuk peranan politik utama seperti menteri atau timbalan menteri, ia harus diwajibkan bagi penasihat dan pegawai kanan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CME, Carmelo Ferlito.

    Semalam, Nurul Izzah menjelaskan beliau tidak akan diberi gaji sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan, tetapi Ferlito berkata itu bukan isunya.

    “’Harga’ sebenar politik yang dibayar oleh rakyat bukanlah gaji, tetapi akibat daripada dasar yang tidak baik.

    “Walaupun berpandukan niat yang baik, dasar yang tidak baik boleh merosakkan sesebuah negara. Kita telah melihatnya dengan harga siling atau larangan terhadap pekerja asing,” katanya lapor FMT.

    Ferlito memberi amaran Malaysia tidak mempunyai banyak masa lagi untuk menyelesaikan isu struktur dalam ekonomi memandangkan cabaran bakal dihadapi negara.

    Semalam, Anwar mempertahankan pelantikan Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan, sambil berkata itu dilakukan berdasarkan kelayakan dimilikinya.

    Anwar berkata, Nurul Izzah mempunyai ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dan ijazah kedua dalam dasar awam dan sosial dari Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat (AS).

    Penganalisis mengkritik langkah itu, dengan berkata pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu ‘berbau’ nepotisme dan akan menarik perhatian yang tidak sepatutnya kepada kerajaan perpaduan apabila ia masih berusaha mengukuhkan kedudukannya.

    Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berpendapat apa yang Anwar lakukan itu bertentangan dengan desakannya sebelum ini mengenai urus tadbir baik, yang menghalang amalan nepotisme.

  • Apa beza keluarga Anwar dengan Trump, soal Wan Fayhsal

    Apa beza keluarga Anwar dengan Trump, soal Wan Fayhsal

    KRITIKAN terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung lantikan anak perempuannya, Nurul Izzah masih tidak berhenti dan berterusan walaupun sudah memberi alasan tiada elaun yang dibayar bagi memegang jawatan tersebut.

    Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal mempersoalkan lantikan Nurul Izzah dan adakah itu makna reformasi yang selama ini dilaungkan oleh Anwar selama ini, malah janji sebelum ini berhubung pemisahan jawatan Perdana Menteri dengan Menteri Kewangan juga dilanggar.

    “Anak beranak jaga kantung perbendaharaan negara. Inikah reformasi yang dicanang selama ini? Bukankah Nurul Izzah bercakap di World Economic Forum 2017 janji Pakatan Harapan ialah pisahkan peranan dan jawatan Menteri Kewangan daripada Perdana Menteri?

    “Ini bukan sekadar langgar janji tapi terus khianat agenda reformasi yang kamu laungkan saban tahun,” katanya dalam satu hantaran Facebook, lapor Agenda Daily.

    Wan Fayhsal juga mempertikaikan adakah lantikan tersebut merupakan satu urus tadbir yang baik dan boleh menjamin ketelusan dalam pentadbiran kerajaan campuran.

    “Tell me is this a good governance? Apa jaminan skandal 1MDB takkan berulang dengan peranan yang tidak dipisahkan sebegini? Apa kata Abang Mat (Mohamad) Sabu kita?” katanya lagi.

    Beliau juga bertanya apakah perbezaan keluarga Anwar dengan keluarga bekas presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang melantik anak perempuannya yang juga ahli perniagaan, Ivanka Trump sebagai penasihatnya pada 2017 hingga mendapat kecaman orang ramai.

    “Apa beza keluarga Anwar dengan keluarga Trump?

    “Adakah ini makna dan prinsip pentadbiran Madani yang nak dibangunkan untuk bawa Malaysia menjadi maju? Pakat-pakat nilai,” ujarnya lagi.

    Terdahulu, Anwar mempertahankan pelantikan itu dengan berkata Nurul Izzah tidak mendapat sebarang elaun dan anaknya itu juga mempunyai ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dan ijazah kedua dalam dasar awam dan sosial dari Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat.

  • Khairy ulang pendirian tidak akan rayu pemecatan UMNO

    Khairy ulang pendirian tidak akan rayu pemecatan UMNO

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengulangi pendiriannya untuk tidak akan merayu keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang memecatnya.

    Bekas Menteri Kesihatan itu berkata tiada gunanya berbuat demikian kerana pihak yang mahu beliau keluar tetap kekal dalam parti.

    “Saya tidak akan merayu, jika merayu bermakna merayu kepada entiti sama yang memecat saya serta merta. Saya sudah berbincang mengenai perkara ini dengan Noh (Tan Sri Noh Omar), bersama Shahril (Shahril Hamdan) apa gunanya merayu.

    “Saya hanya mahu pertandingan secara terbuka untuk (dua) jawatan tertinggi susulan prestasi buruk UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu,” katanya ketika ditemubual dalam program Breakfast Grille bersama BFM pagi ini.

    Jumaat lalu, Khairy dan Ahli MKT UMNO, Tan Sri Noh Omar menyertai senarai pemimpin UMNO terbaru yang dipecat daripada parti itu selepas bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa dan Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim.

    Keputusan pemecatan itu dibuat pada MKT UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    Ketua UMNO bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan pula digantung keahliannya selama enam tahun.

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataannya turut mengesahkan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang, Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif juga digantung enam tahun, sementara Ahli MKT, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya diberi surat tunjuk sebab.

    Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau bagaimanapun berkata, beliau tidak berdendam dengan Presiden UMNO itu dan masih menganggapnya sebagai rakan.

    “Saya akan tetap menjadi rakannya walaupun jika beliau tidak lagi menganggap saya rakannya,” katanya.

    Beliau juga menyambut baik kenyataan beberapa pemimpin parti yang bersuara mengenai keputusan pemecatannya itu.

    “Saya berterima kasih kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bercakap di dalam dan luar parti menyatakan tindakan yang di ambil tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

    “Saya menghargai setiap kenyataan yang dibuat sama ada di dalam MKT mahu pun di luar oleh barisan kepemimpinan parti,” katanya.

    Pada masa sama, beliau menyatakan keyakinan UMNO akan terus bergerak ke hadapan walaupun pemimpinnya dikenakan tindakan termasuk dipecat atau digantung parti.

    “Lihat saja apa yang berlaku kepada UMNO walaupun ada pemimpin yang dipecat seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Saya mungkin tidak sehebat mereka tetapi parti akan terus bergerak walau siapa pun yang dipecat,” katanya.

    Semalam, Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, berkata Khairy dipecat atas tindakannya mendakwa ‘UMNO sesat’ ketika kempen PRU15 di Sungai Buloh, yang memberi kesan langsung terhadap sokongan pengundi di seluruh negara kepada UMNO.

    “Dia tahu dia mungkin boleh menang di (Parlimen) Sungai Buloh dengan strategi ini tetapi ia sedikit sebanyak mengorbankan calon UMNO yang bertanding di tempat lain,” katanya.

  • Lelaki kurang siuman maut dipukul, 12 pelajar tahfiz ditahan

    Lelaki kurang siuman maut dipukul, 12 pelajar tahfiz ditahan

    SEORANG lelaki kurang siuman maut dipercayai dipukul oleh sekumpulan pelajar tahfiz di sebuah masjid di Pulau Melaka, Melaka, semalam.

    Ekoran kejadian tersebut, seramai 15 pelajar tahfiz ditahan bagi membantu siasatan.

    Bagaimanapun, tiga darinya telah dihantar pulang.

    Seorang tenaga pengajar yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku apabila lelaki berkenaan mengamuk dan membakar jubah milik pelajar serta mengganggu mereka.

    “Semasa kejadian saya tiada, namun dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

    “Pada masa sama, lelaki itu telah bertindak memukul seorang tukang masak wanita berusia 60-an yang kebetulan melalui kawasan kejadian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

    Menurut dia, pengawal keselamatan kemudian cuba menangkap lelaki tersebut yang ketika itu sedang mengamuk dan melawan.

    Ujarnya, pelajar tahfiz turut sama membantu menangkap lelaki tidak siuman itu.

    Dia memberitahu, selepas berjaya diberkas, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada warden untuk diserahkan kepada pihak polis.

    “Semasa mereka hendak serahkan kepada pihak berkenaan lelaki tersebut berada dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

  • Nurul Izzah tidak dibayar sebarang elaun, kata Anwar

    Nurul Izzah tidak dibayar sebarang elaun, kata Anwar

    DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan Nurul Izzah yang dilantik sebagai sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri, tidak akan menerima sebarang elaun.

    Perdana Menteri berkata, beliau sendiri mempelawa anaknya, yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu untuk membantunya sebagai penasihat di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.

    “Ya, saya yang meminta, mempelawa dia untuk bantu saya tetapi saya tidak membayar apa-apa elaun kepada dia,” katanya, hari ini, lapor Berita Harian.

    Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun di Meru Raya, di Ipoh, hari ini.

    Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dan Timbalan Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri.

    Pelantikan Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR berkuat kuasa 3 Januari lalu hangat diperkatakan di media sosial, ketika ini.

    Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, antara yang memuat naik komen dan ucapan tahniah yang dilihat sinis melalui ciapan di Twitter.

    Ditanya mengenai tahap kelulusan akademik Nurul Izzah, yang didakwa beberapa pihak sebagai tidak sesuai dengan jawatan penasihat itu, Anwar berkata, individu yang dilantik, walau sebagai menteri pun, tidak semestinya perlu mempunyai kelulusan akademik bersesuaian dengan portfolio yang dipegang.

    Perdana Menteri berkata, Nurul Izzah juga mempunyai dua ijazah iaitu yang berkaitan dengan kejuruteraan dan ijazah sarjana dalam bidang dasar awam, yang merangkumi politik, ekonomi dan sosial, dari School of Advanced International Studies (SAIS), Universiti Johns Hopkins, Washington, universiti terkemuka di Amerika Syarikat.

    “Saya pun tiada kelulusan berkaitan kewangan tetapi lapan tahun saya menjadi Menteri Kewangan sebelum ini.

    “Menteri-menteri Perikatan Nasional (PN) sebelum ini pun tiada kelulusan berkaitan (portfoilo) masing-masing. Kalau nak dibangkitkan, mestilah konsisten.

    “Apakah benar seorang Menteri Kesihatan mesti seorang doktor? Ataupun seorang Menteri Air mesti seorang jurutera? Tak pernah berlaku macam itu,” katanya.

    Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau belum pernah mendengar kenyataan daripada pihak Ahmad Faizal, menyokong usaha kerajaan membersihkan negara daripada gejala rasuah yang disifatkan menjahanamkan negara.

    “Dia berhak bertanya (mengenai pelantikan Nurul Izzah) tetapi saya hendak beritahu, yang penting sekali adalah hentikan curi tanah, pembalakan dan saham projek komisyen, yang menjahanamkan negara.

    “Saya belum dengar lagi kenyataan mereka menyokong usaha membersihkan negara daripada gejala ini. Ya, semua bicara soal rasuah tapi bila kita sebut kes sebegini, dia kata (mempersoal) mengapa hendak bongkar kisah lama,” katanya.

  • UMNO Sembrong tuntut penjelasan, sebab penggantungan Hishammuddin

    UMNO Sembrong tuntut penjelasan, sebab penggantungan Hishammuddin

    UMNO Bahagian Sembrong menuntut penjelasan daripada kepemimpinan parti mengenai sebab tindakan penggantungan keahlian yang dikenakan ke atas Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

    Lapor Berita Harian, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Abd Ghani Abd Rashid yang terkejut dan kecewa dengan penggantungan itu berkata, hukuman yang diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat lalu itu amat berat.

    “UMNO Sembrong berpandangan bahawa hukuman oleh MKT UMNO itu amat berat. Pertimbangan dibuat tanpa proses sewajarnya, tiada surat tunjuk sebab dan pendengaran Lembaga Disiplin.

    “Ia juga seolah-olah langsung tidak mengambil kira jasa, pengorbanan dan kesetiaan beliau (Hishammuddin) kepada parti UMNO selama ini. Atas dasar itu Sembrong menuntut penjelasan dan sebab di atas penggantungan itu,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat UMNO bahagian itu hari ini.

    Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong antara pemimpin yang digantung keahlian selama enam tahun oleh MKT UMNO yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Jumaat lalu.

    Tindakan sama juga dikenakan ke atas bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

    Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pula dipecat daripada parti itu.

    Mengulas lanjut, Abd Ghani berkata, selama hampir 20 tahun membina UMNO Sembrong, tidak pernah ada satu patah perkataan pun digambarkan Hishammuddin untuk mengkhianati parti atau menggerakkan langkah untuk membelakangkan parti.

    Atas sebab itulah, katanya, ahli kepemimpinan UMNO Sembrong terperanjat dan terkejut dengan hukuman diberikan MKT terhadap beliau.

    “Hukuman ini menggambarkan beliau (Hishammuddin) individu yang betul-betul hendak mengkhianati dan merosakkan parti, sedangkan kita lihat tidak ada pun langkah langkah sebegitu yang dibuat,” katanya.

    Beliau berkata, UMNO Sembrong berharap semakan dapat dilakukan terhadap hukuman itu.

    “Mulakan dengan tatacara yang betul, panggil (bela diri), ini proses kena ikut supaya apa yang diluahkan orang yang dituduh dapat didengari dan dikaji lain-lain pandangan supaya boleh ambil tindakan lebih tepat.

    “Semua orang tahu enam tahun hukuman (diputuskan) adalah betul-betul kepada orang yang menjadi pengkhianat parti (dan ia) bukan main-main punya hukuman,” katanya.

    Dalam pada itu, Abd Ghani berkata, kepemimpinan UMNO Sembrong sedia ada yang mempunyai 66 cawangan dan lebih 14,000 ahli, akan terus mematuhi nasihat Hishammuddin supaya seluruh ahli UMNO di bahagian itu kekal bersetia dengan parti dan terus berpegang kepada prinsip bahawa kepentingan parti mengatasi kepentingan individu.

    Selain itu, katanya, kepemimpinan UMNO Sembrong juga akan terus bersemuka dengan seluruh ahlinya untuk memberikan pemahaman berhubung isu penggantungan bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong.

    “Ini penting bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan ahli khususnya di akar umbi.

    “Segala gerak kerja parti juga akan diteruskan seperti biasa. Ini termasuklah melaksanakan sepenuhnya urusan pemilihan parti selaras arahan dikeluarkan kepemimpinan Pusat.

    “UMNO Sembrong percaya, setiap cabaran dan ujian terkandung hikmah. Seperti dinyatakan Hishammuddin semalam, keadaan ini bukanlah pengakhiran tetapi petanda kepada permulaan yang baharu,” katanya.

  • Nurul Izzah dilantik penasihat kanan ekonomi, kewangan PM

    Nurul Izzah dilantik penasihat kanan ekonomi, kewangan PM

    NAIB Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, dilantik sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    FMT melaporkan, pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bagi jawatan berkenaan berkuat kuasa 3 Januari lalu.

    Anak Perdana Menteri itu berharap, pengalamannya sebagai Ahli Parlimen yang mana beliau mengendalikan isu kemiskinan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta perkhidmatannya dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan membantunya untuk bertugas dengan baik.

    “Ini boleh dimanfaatkan dalam pembabitan saya bersama pakar dalam mengemudi tadbir urus ekonomi, kebertanggungjawaban dan dasar berasaskan bukti,” lapor FMT memetik laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan.

    Nurul Izzah berkata, salah satu matlamatnya adalah untuk menyalurkan dan memanfaatkan bakat terbaik dan cemerlang Malaysia, di dalam dan luar kerajaan, serta menambah nilai kepada usaha berterusan untuk memperbaiki keadaan ekonomi rakyat.

    “Peranan baharu saya akan membolehkan saya memikul tanggungjawab baharu yang sudah pasti mencabar, berikutan masalah ekonomi yang kita hadapi.

    “Bagaimanapun, saya yakin mampu menyumbang kepada evolusi Malaysia, yang bukan saja untuk pertumbuhan tetapi yang memartabatkan semua lapisan masyarakat dan menyediakan kesaksamaan dalam peluang,” katanya.

    Nurul Izzah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai selama dua penggal sejak 2008. Pada 2018 beliau menang di Parlimen Permatang Pauh, namun tewas di kerusi sama pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.