Category: Semasa

  • ‘UMNO akan hilang lebih banyak sokongan pada PRN’ – Mohd. Amar

    ‘UMNO akan hilang lebih banyak sokongan pada PRN’ – Mohd. Amar

    KEPUTUSAN pemecatan dan penggantungan pemimpin UMNO akan menyebabkan parti itu kehilangan lebih banyak sokongan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

    “Tindakan yang dilakukan ini sebenarnya adalah masalah dalaman dalam UMNO, selain ia hak yang ada pada parti untuk mengambil tindakan,” ujar Timbalan Menteri Besar Kelantan itu.

    Bagaimanapun katanya, berdasarkan tulisan-tulisan dan maklum balas berhubung perkara itu disifatkan sebagai terlalu drastik.

    “Jika dilihat dari sudut politik, ia adalah satu usaha yang terdesak dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk memastikan kedudukannya tidak tergugat di dalam parti.

    “Kita rasa ia memberi kesan yang besar, terutama di Selangor memandangkan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar adalah individu yang berpengaruh dalam kalangan masyarakat, selain dalam parti UMNO sendiri walaupun ada kelemahan biasa sebagai manusia,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kelantan 2023 di sebuah hotel di Kota Bharu, hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam mesyuaratnya memutuskan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Noh dipecat daripada parti.

    Selain Khairy, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.

    Sementara itu, Mohd. Amar berkata, sejak dari dulu Pas bersifat terbuka dan sesiapa yang berminat boleh menyertai parti itu.

    “Kita tiada masalah, cuma kita tidaklah mendesak atau sampai ke peringkat memujuk. Kita buka pintu kepada sesiapa saja yang boleh bersama-sama dalam parti Pas,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Warga emas didakwa terima, pindah, lupus wang aktiviti haram lebih RM1.2 juta

    Warga emas didakwa terima, pindah, lupus wang aktiviti haram lebih RM1.2 juta

    SEORANG warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas sembilan pertuduhan menerima, memindah dan melupus wang aktviti haram berjumlah RM1.27 juta, dua tahun lalu.

    Tertuduh, Ahmad Yusri Mohd Yunus, 67, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hakim Kamarudin Kamsun, pagi tadi, lapor Utusan TV.

    Mengikut empat pertuduhan, tertuduh didakwa telah menerima wang yang merupakan hasil aktiviti haram secara berasingan berjumlah RM705,625 daripada akaun bank milik AYMY Multitouch Enterprise.

    Selain itu, tertuduh turut didakwa memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000 daripada akaun bank miliknya secara atas talian sebagai bayaran, kepada akaun bank milik tiga buah syarikat berlainan.

    Sementara dua lagi pertuduhan, dia didakwa melupuskan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM490,285 yang juga merupakan hasil aktiviti haram menerusi akaun bank miliknya.

    Ahmad Yusri Mohd Yunus,67, menghadapi sembilan pertuduhan menerima, memindahkan dan melupuskan wang hasil daripada aktiviti haram membabitkan jumlah lebih RM1.2 juta selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah bank tempatan di Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur antara 6 hingga 13 November 2020.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (akta 613), dan boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

    Dia berdepan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau nilai hasil daripada aktiviti haram, atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni menawarkan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berkenaan.

    Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali memohon supaya mahkamah mengurangkan kadar ikat jamin berikutan tertuduh sudah diisytiharkan muflis, tidak bekerja, menghidap kencing manis dan baru menjalani pembedahan lutut.

    Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 7 Mac depan bagi sebutan semula kes.

  • Penjana Kerjaya: Pemilik syarikat didakwa kemuka dokumen palsu

    Penjana Kerjaya: Pemilik syarikat didakwa kemuka dokumen palsu

    SEORANG pemilik syarikat elektrik dan elektronik didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas lima pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 dan 3.0 berjumlah RM87,500, dua tahun lepas.

    Raymond Sim, 35, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang didakwa dilakukannya di dua cawangan pejabat Perkeso iaitu di Petaling Jaya dan Klang antara 9 Mac 2021 dan 11 Nov 2021.

    Sim didakwa mengemukakan dokumen mengandungi maklumat palsu di dalam Borang Pengesahan Pekerja bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja Minbot Sdn Bhd, sedangkan nama pekerja dalam senarai itu tidak digaji syarikat itu, kepada tiga pegawai Perkeso.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Alif Shaharuzaman menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali.

    Mohd Alif turut memohon agar kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, memandangkan tertuduh telah didakwa atas kesalahan serupa di mahkamah itu pada 26 Jan lalu.

    Bagaimanapun, peguam Reuben Ong mewakili tertuduh memohon jaminan rendah RM7,000 dengan alasan anak guamnya perlu menanggung kos perubatan bayinya yang tidak sihat.

    Hakim Rozilah Salleh kemudian menetapkan jaminan RM10,000 bersama seorang penjamin dan membenarkan kesemua permohonan pihak pendakwaan.

    Mahkamah menetapkan 28 Feb untuk sebutan semula kes itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Pada 26 Jan lepas, Sim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif di bawah program sama berjumlah RM153,200.

  • Menteri pun boleh lah lantik keluarga jadi penasihat di kementerian, soal Radzi

    Menteri pun boleh lah lantik keluarga jadi penasihat di kementerian, soal Radzi

    BEKAS Menteri Pendidikan Datuk Dr .Radzi Jidin hari ini mempersoalkan sama ada pelantikan keluarga pemimpin negara akan menjadi kebiasaan baharu dalam tadbir urus kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

    Beliau mengaitkan pelantikan Nurul Izzah sebagai penasihat ekonomi dan kewangan oleh bapanya yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kira-kira sebulan lalu.

    Malah menurutnya, ada yang berpendapat tidak salah melantik Nurul Izzah ke jawatan itu kerana tidak diberi gaji.

    Dr. Radzi berkata sekiranya alasan itu digunakan maka Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan menteri-menteri lain juga boleh melantik ahli keluarga mereka menjadi penasihat tanpa gaji di kementerian masing-masing.

    “Ada yang menyatakan bahawa “Nurul Izzah bukan terima gaji pun sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan kepada ayahnya di Kementerian Kewangan. Jadi, apa salahnya?”.

    “Sekiranya itu hujah yang digunakan, adakah bermakna selepas ini Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri boleh melantik anak isteri mereka sebagai penasihat tanpa gaji di kementerian masing-masing atas pelbagai justifikasi?

    “Adakah ini akan menjadi kebiasaan baharu dalam tadbir urus kerajaan?,” kata ahli Parlimen Putrajaya itu dalam kenyataan hari ini lapor Agenda Daily.

    Tindakan Anwar mengangkat Nurul Izzah sebagai penasihat beliau secara diam-diam menerima kecaman, walaupun setelah lebih sebulan baharu Ahli Parlimen Tambun itu mengakui berbuat demikian.

    Itupun, setelah Nurul Izzah sendiri mengesahkannya dalam satu temu bual dengan media.

    Tindakan Anwar melantik ‘puteri reformasi’ itu juga dilihat membelakangkan ‘kepakaran’ Menteri Ekonomi yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

    Sejak laporan berhubung pelantikan tersebut, reaksi orang ramai sama ada dalam media sosial dan juga orang politik khususnya adalah sangat negatif, malah tidak kurang juga pelbagai sindiran sinis dibuat terhadap kerajaan campuran.

    Tidak kurang juga terdapat dikalangan orang ramai memainkan semula istilah ‘nepotisme’ yang popular sebelum ini di bibir Anwar dalam ceramahnya ketika mengkritik lawan politiknya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan UMNO (sebelum menjadi sekutu politik).

    Bagi anak muda, bait-bait ‘nepotisme’ mungkin sudah jarang kedengaran sekarang sejak Pakatan Harapan (PH) ‘berkahwin’ dengan UMNO, tetapi bagi orang politik yang ‘season’ atau lama, itu adalah kata-kata yang amat sinonim dengan Anwar.

  • Bukan persoal kelayakan Nurul Izzah tapi Anwar langgar janji

    Bukan persoal kelayakan Nurul Izzah tapi Anwar langgar janji

    RAKYAT tidak mempersoalkan kelayakan serta merit dimiliki Nurul Izzah Anwar yang dilantik sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga bapa kepada Nurul Izzah.

    Sebaliknya kata Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman, pelantikannya melanggar reformasi institusi dilaungkan bapanya itu.

    “Yang dipersoalkan adalah elemen ‘conflict of interest’, prinsip asas dalam etika urus tadbir yang telah dikompromi, di samping janji reformasi institusi yang dilanggari,” katanya yang juga Setiausaha politik kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Beliau berkata, di Indonesia, Presiden Jokowi melantik tujuh anak muda sebagai penasihat di Pejabat Presiden dan melantik Menteri Kewangan yang disegani dunia, namun di Malaysia sebaliknya.

    “Di negara madani, Perdana Menteri melantik dirinya sebagai menteri kewangan, dan melantik anaknya sebagai penasihat ekonomi dan kewangan kepada dirinya,” katanya dalam Facebook miliknyam hari ini.

    Menjawab kritikan pelbagai pihak, Anwar Ibrahim semalam menjelaskan pelantikan Nurul Izzah dibuat kerana beliau berkelayakan.

    Anwar berkata, ini kerana anaknya itu mempunyai ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dan ijazah kedua dalam dasar awam dan sosial dari Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat, sekali gus dilantik bagi membantunya di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan.

    Syahir berkata, dalam keadaan ekonomi negara berdepan masalah defisit fiskal semakin menjurang, Anwar tidak boleh membuka ruang kepada defisit kepercayaan yang semakin melebar dalam kalangan rakyat dan pelabur.

    Katanya, Anwar boleh menaruh kepercayaan terhadap rakannya daripada UMNO yang kini menjawat Timbalan Perdana Menteri 1 (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan Timbalan Menteri Kewangan 1 (Datuk Seri Ahmad Maslan).

    Jelasnyam, mereka dilihat memadai untuk membantu dan menasihati beliau dalam urusan kewangan dan ekonomi.

    “Demokrasi, reformasi dan integriti adalah tunjang bagi pembentukan sebuah negara madani, perlukan komitmen dan tindakan, bukan slogan,” katanya, lapor FMT.

  • Budak lelaki jatuh tingkat 11 meninggal dunia

    Budak lelaki jatuh tingkat 11 meninggal dunia

    KANAK-kanak lelaki berusia 12 tahun yang terjatuh dari tingkat 11, Rumah Pangsa Larkin di Jalan Garuda Johor Bahru lewat petang semalam meninggal dunia tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata kanak-kanak berkenaan menghembus nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.

    “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi lapor BH.

    Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak 12 tahun patah tangan kiri selepas terjatuh dari tingkat 11 kediaman berkenaan.

    Pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian pada 7.31 malam tadi.

    Kanak-kanak itu ditemukan tersangkut di bumbung kedai ditingkat bawah selepas terjatuh dari tingkat 11 bangunan terbabit.

    Anggota bomba membawa turun mangsa yang mengalami patah tangan kiri dengan pengusung dan diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dibawa ke HSA.

  • Perbicaraan 1MDB ditangguhkan susulan kematian Gopal Sri Ram

    Perbicaraan 1MDB ditangguhkan susulan kematian Gopal Sri Ram

    MAHKAMAH Tinggi membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak selepas Ketua Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram meninggal dunia semalam.

    Ini bagi membolehkan mereka memberi penghormatan terakhir dan menghadiri upacara pengebumian mendiang yang akan berlangsung pada Selasa.

    Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu, Hakim Collin Lawrence Sequerah ketika perbicaraan bermula pagi ini, dan meminta kes itu disambung semula pada Khamis memandangkan Rabu adalah cuti umum sempena Hari Wilayah Persekutuan.

    Sri Ram dilantik sebagai pendakwa ad hoc dan mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB Najib serta perbicaraan laporan audit 1MDB bekas Perdana Menteri itu dan Arul Kanda Kandasamy.

    Beliau juga memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan perlu membincangkan dan mengagihkan semula skop tugasnya berikutan kematian secara mengejut Sri Ram.

    Peguam, Tan Sri Muhammad Shafiee Abdullah juga menyampaikan ucapan takziah bagi pihak pasukan pembelaan Najib.

    Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan dijangka menyelesaikan pemeriksaan balas terhadap bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu, menjelang akhir minggu ini.

    Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung dakwaan penyalahgunaan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014 lapor Astro Awani.

  • Lantik Nurul Izzah salah dari segi moral – Hassan Karim

    Lantik Nurul Izzah salah dari segi moral – Hassan Karim

    AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegur pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan kewangan dan ekonomi Perdana Menteri.

    Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, ketika penyokong Pakatan Harapan (PH) itu bertanya padanya berkaitan perkara itu, dia menjawab:

    “Legally right but morally wrong. (Betul dari segi undang-undang tetapi salah daripada segi moral.)”

    Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini mempersoalkan tadbir urus Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan ‘segala macam jawatan lantikan bertaraf penasihat’ ketika pembentukan Kabinet lebih kecil.

    Jawatan itu juga didakwa bercanggah dengan kedudukan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

    Badan pemikir Pusat Pendidikan Pasaran (CME) pula berkata, Nurul Izzah tidak mempunyai latar belakang khusus dalam ekonomi atau kewangan.

    Menurut CME, walaupun kepakaran tidak diperlukan untuk peranan politik seperti menteri kabinet, ia perlu bagi jawatan penasihat dan kaunselor.

    Anwar kelmarin mempertahankan kelayakan anak sulungnya itu untuk menjadi penasihat tidak bergaji dalam soal ekonomi dan kewangan.

    Perdana Menteri berkata, selain memegang ijazah sarjana muda kejuruteraan, Nurul Izzah juga memiliki ijazah sarjana dalam bidang dasar awam dari Johns Hopkins School of Advanced International Studies.

    Anwar yang turut memegang portfolio kewangan berkata, beliau juga tiada kelayakan formal dalam bidang itu, begitu juga dengan ramai pemimpin yang pernah memegang jawatan menteri.

    Anwar merupakan pelajar jurusan Pengajian Melayu ketika menuntut di Universiti Malaya.

  • Pengawal keselamatan direman, bantu siasatan lelaki kurang siuman dipukul hingga mati

    Pengawal keselamatan direman, bantu siasatan lelaki kurang siuman dipukul hingga mati

    SEORANG pengawal keselamatan direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian pemuda yang mengalami masalah mental dipercayai akibat dipukul di Masjid Tok Guru Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan , malam tadi.

    Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

    Menurut laporan BH Online, perintah tahanan reman suspek berusia 32 tahun bermula hari ini sehingga 5 Februari depan.

    Terdahulu, dalam kejadian jam 7 malam tadi, seorang lelaki yang mempunyai masalah mental meninggal dunia dipercayai dipukul di Masjid Tok Guru Pulau Melaka, Kota Bharu.

    Mangsa berusia 20-an dikatakan mengamuk di masjid berkenaan sebelum menendang seorang wanita berusia 50-an yang melalui pekarangan masjid itu.

    Susulan itu, mangsa dipukul sebelum meninggal dunia dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

  • Noh Omar dilarang anjur acara di Dewan Tan Sri Noh Omar atas arahan ‘pihak atasan’

    Noh Omar dilarang anjur acara di Dewan Tan Sri Noh Omar atas arahan ‘pihak atasan’

    JIKA sebelum ini diraikan sebagai pemimpin terhormat di kawasan Tanjung Karang, kini Tan Sri Noh Omar yang telah dipecat oleh UMNO mula terasa bahang kerana ‘tidak sehaluan’ dengan kepimpinan partinya.

    Terbaharu, bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang itu merancang mengadakan sesi pertemuan dengan para penyokongnya untuk memberi penjelasan berkenaan situasi yang berlaku dalam kancah politiknya tetapi dihalang berbuat demikian walaupun penganjur telah menempah dewan yang menggunakan namanya.

    Apabila penyokongnya dan media tiba di Dewan Tan Sri Noh Omar, dewan yang dinamakan atas dirinya yang terletak di Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang, hari ini, mereka disambut dengan notis penangguhan di pintu pagar.

    Notis itu menyatakan acara itu, yang dijadual berlangsung pada jam tiga petang hari ini, terpaksa ditangguhkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

    Menurut laporan Malaysiakini, mereka difahamkan yang penangguhan itu dilakukan pada saat-saat akhir selepas pengurusan institut membatalkan tempahan dewan semalam.

    Setiausaha UMNO Bahagian Tanjong Karang, Jasman Anuar yang bertanggungjawab menganjurkan pertemuan itu, mendakwa pihak institut diarahkan oleh pihak atasan untuk melarang Noh daripada menggunakan dewan itu.

    “Dewan tak boleh digunakan. (Ada) arahan untuk (untuk halang Noh),” katanya kepada portal berita itu dan menyatakan mereka terpaksa membatalkan tempahan makanan yang disediakan untuk kira-kira 300 hadirin.

    Bagaimanapun Jasman berkata dia tidak menyalahkan pihak institut kerana membatalkan tempahan dewan dan faham bahawa mereka tiada pilihan.

    “Daripada maklumat yang diterima, arahan daripada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). Mungkin lembaga juga terima arahan dari pihak lain.

    “Saya rasa ini macam salah guna kuasa,” katanya lagi.

    Kata Jasmani lagi, mereka menjangkakan kehadiran yang besar kerana ramai penyokong Noh sudah setuju untuk hadir, terutama setelah apa yang menimpa bekas ketua UMNO Tanjong Karang itu.

    Institut Pengurusan Peladang berada di bawah LPP, yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

    Azli Hudin Zakaria dari Institut Pengurusan Peladang mengesahkan mereka terpaksa membatalkan acara itu dan mengesahkan arahan diberikan oleh LPP malam tadi.

    “Ya betul. Arahan dari ibu pejabat LPP,” katanya.

    Ketua Pengarah LPP Azulita Salim ketika dihubungi juga enggan mengulas lanjut apabila ditanya jika lembaga itu menerima arahan daripada pihak atasan untuk melarang Noh menggunakan dewan itu.

    Beliau sebaliknya menjelaskan pekeliling kerajaan memang melarang acara politik diadakan di premis milik kerajaan.

    Di sebalik larangan itu, Noh tetap pulang bertemu penyokongnya di Tanjong Karang dengan menghadiri pelbagai majlis dna kenduri. Beliau memuat naik gambarnya bertemu orang ramai di laman Facebooknya malam ini.

    “Tetap balik ke Tanjong Karang walau apa pun yang berlaku. Ini kampung saya.

    “Menunaikan pelbagai jemputan kenduri dan pengebumian, berjumpa sahabat dan penduduk. Inilah yang saya sering lakukan selama ini. Terima kasih atas jemputan,” katanya.