Category: Semasa

  • Pekerja ladang dibaham buaya ketika memancing

    Pekerja ladang dibaham buaya ketika memancing

    SEORANG pekerja ladang dibaham buaya ketika memancing di kawasan muara sungai di ladang Pegagau di Semporna, pukul 3.30 petang semalam.

    Mangsa yang merupakan lelaki berusia 36 tahun dibaham reptilia tersebut sebelum dibawa masuk ke dalam sungai.

    Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam yang menyatakan seorang pekerja ladang dibaham buaya.

    “Mangsa bersama tujuh rakannya memancing di pinggir kawasan sungai, bagaimanapun tali pancingnya tersangkut di dalam air.

    “Mangsa kemudian bertindak mengambil sebatang kayu panjang bagi melepaskan tali pancing berkenaan namun tiba-tiba seekor buaya muncul dan membaham kedua kakinya sebelum dibawa masuk ke dalam air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada jam 4 petang hari yang sama.

    “SAR giat dilakukan oleh pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan dibantu pekerja ladang serta penduduk kampung.

    “Mayat mangsa ditemui bersama buaya berkenaan, namun ia dibawa semula ke dalam sungai ketika pasukan SAR cuba menghampiri mayat tersebut,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Mohd. Farhan berkata, SAR disambung semula pada Isnin namun sehingga kini mayat mangsa belum ditemui.

  • Anwar gadai prinsip, khianati perjuangan sendiri-Muhyiddin

    Anwar gadai prinsip, khianati perjuangan sendiri-Muhyiddin

    Oleh TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN

    KERAJAAN PH-BN pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak bermula dengan langkah yang betul dari awal lagi.

    Janji tatakelola yang baik telah dikhianati apabila Anwar melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berhadapan dengan tuduhan jenayah di mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

    Ini dilakukan semata-mata kerana membalas ‘budi’ Zahid yang berjaya memaksa ahli-ahli Parlimen BN memberi sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri.

    Segala janji pilihan raya mengenai prinsip integriti ditolak ke tepi. Yang ada hanyalah sebuah transaksi politik yang berlandaskan amalan ‘you scratch my back, I scratch your back’.

    Bukan setakat itu sahaja, janji Perdana Menteri tidak memegang jawatan Menteri Kewangan juga dibuang ke laut apabila Anwar melantik dirinya sendiri sebagai Menteri Kewangan. Ini satu lagi kesilapan Anwar yang tanpa segan silu bercakap tak serupa bikin.

    Yang terbaharu apabila beliau melantik anaknya sendiri sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri melantik anak sebagai penasihat. Pelantikan ini menjadikan slogan Reformasi yang dilaungkan oleh Anwar sejak lebih 20 tahun lalu sebagai omongan kosong.

    Belum sampai 100 hari memerintah, Anwar telah mengkhianati semangat perjuangan Reformasi yang didokong oleh penyokong-penyokongnya sendiri.

    Sebagai pemimpin parti pembangkang, saya boleh saja mengambil kesempatan daripada kesilapan demi kesilapan yang dilakukan oleh Anwar dan kerajaannya. Tetapi sebagai rakyat biasa, saya tidak rela melihat maruah negara tercalar kerana keterlanjuran Perdana Menteri.

    Masih belum terlambat untuk Anwar memperbaiki keadaan. Letak jawatan sebagai Menteri Kewangan. Fokus kepada tugas sebagai Perdana Menteri lebih-lebih lagi ketika rakyat dan negara sedang menghadapi waktu yang sukar.

    Lagipun skandal 1MDB tercetus apabila Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Najib, adalah juga Menteri Kewangan. Anwar tidak patut mengulangi kesilapan yang sama.

    Arahkan Zahid Hamidi supaya mengambil cuti sehingga kesnya selesai. Malulah rakyat Malaysia jika beliau ke luar negara bertemu pemimpin dunia atas tugasan rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri sedangkan kesnya masih dibicarakan di mahkamah. Apa agaknya tajuk berita di negara yang dilawatinya.

    Akhir sekali, nasihatlah Nurul Izzah supaya meletak jawatan sebagai Penasihat Perdana Menteri. Saya percaya beliau seorang pemimpin wanita muda yang berbakat dan berpotensi besar. Janganlah pelantikan kecil yang tidak kena pada tempatnya ini menjadi titik hitam dalam perjalanan politiknya menuju masa hadapan yang mungkin lebih cerah.

    Ini pandangan saya sebagai rakyat biasa.

  • ‘Tunggu dulu, saya masih dalam edah’ – Noh

    ‘Tunggu dulu, saya masih dalam edah’ – Noh

    BEKAS Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar masih belum membuat sebarang keputusan berhubung hala tujunya selepas dipecat daripada parti pada Jumaat.

    Menyifatkan masih dalam edah, Noh kini dalam tempoh bertenang dan pada masa yang sama, membuat keputusan untuk tidak membuat sebarang rayuan berhubung pemecatannya.

    “Tiada guna rayuan dibuat memandangkan keputusan telah dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tanpa saya berpeluang untuk membela diri.

    “Saya nak merayu pada siapa sebab MKT UMNO sudah buat keputusan. Saya boleh terima keputusan ini walaupun saya sedih. UMNO ini banyak jasa kepada saya kerana atas dasar-dasarnya, saya anak orang kampung boleh belajar ke London dan akhirnya menjadi peguam.

    “Apabila saya lihat keputusan-keputusan yang dibuat ini tidak mengikut peraturan dan perlembagaan, saya tak boleh terima.

    “Prinsip saya, apa pun kita kena berpegang kepada perlembagaan. Itu sebab kita berpegang kepada Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Undang-Undang,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Sinar Live bertajuk Dipecat UMNO: Lawan atau Move On? hari ini.

    Mengulas mengenai perancangannya selepas ini, Noh memaklumkan, dia akan berehat sebelum mengambil keputusan seterusnya.

    “Saya sudah diceraikan dan dalam tempoh edah, saya kena rehat dulu. Berapa lama, kita kena tengok. (Buat masa ini), belum ada apa-apa keputusan. (Mungkin) sama ada saya nak jadi penceramah bebas. Kalau sesiapa nak jemput saya, saya datanglah.

    “PKR ke, Amanah nak jemput pun, saya boleh datang kalau sudi jemput saya jadi penceramah bebas. Kita akan tengok perkembangan seterusnya.

    “Saya pun tak ada cita-cita dah, bagi saya yang penting adalah nak tengok parti mana yang betul-betul boleh menjadi tempat rakyat berteduh dan terus memperjuangkan hak-hak Melayu.

    “Saya lihat semua parti sama sahaja dasarnya cuma perjalanan dan pimpinan parti yang berbeza. Daripada segi demokrasi, perlembagaan juga saya kena lihat.

    “Setakat ini saya belum ada tawaran. Saya akan lihat apakah saya perlu ke hadapan atau hanya jadi penceramah. Selepas tamat tempoh edah, saya akan lihat kembali,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

  • Anggota polis dituduh lupus, bersubahat curi barang kes ketum

    Anggota polis dituduh lupus, bersubahat curi barang kes ketum

    SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Pasir Puteh, hari ini atas dua pertuduhan melupuskan keterangan dan bersubahat mencuri barang kes berkait kesalahan ketum, 10 Jan lepas.

    Tertuduh, Bob Fuzainey Hazoni, 41, didakwa bersama dua yang masih bebas, menyebabkan keterangan kes tersebut hilang dengan niat melindungi daripada hukuman undang-undang di stor barang kes Balai Polis Cherang Ruku, Pasir Puteh, antara pukul 3 pagi hingga 4 pagi.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

    Bob Fuzainey juga didakwa bersubahat bersama-sama dua lelaki yang masih bebas, mencuri di stor barang kes pada masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 457 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asma’a Che Omar menawarkan jaminan RM20,000, manakala tertuduh yang diwakili peguam Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya menjaga bapa yang menghidap komplikasi penyakit jantung dan menanggung empat anak berusia satu hingga 14 tahun.

    Majistret Mohamad Nazri Abdul Rahim kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 21 Mac depan.

    Tertuduh membayar jaminan tersebut. 

  • Lantik anak jadi penasihat PM: Anwar khianati rakyat Malaysia

    Lantik anak jadi penasihat PM: Anwar khianati rakyat Malaysia

    KETUA Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan tindakan Perdana Menteri melantik anak sendiri sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan adalah satu pengkhianatan kepada rakyat Malaysia.

    Dalam satu kenyataan hari ini Ahli Parlimen Larut itu berkata perlantikan itu bukan sahaja tidak wajar, malah salah serta merosakkan imej kerajaan.

    “Amalan nepotisme oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang melantik anaknya sendiri, Nurul Izzah, sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri adalah pengkhianatan kepada rakyat Malaysia.

    “Pelantikan ini bukan sahaja tidak wajar, salah, serta merosakkan imej kerajaan, malah bertentangan sama sekali dengan amalan tadbir urus baik, berintegriti dan bebas rasuah.

    “Pro bono bukan alasan untuk menghalalkan nepotisme dan tindakan Anwar mempertahankan pelantikan anaknya adalah sesuatu yang amat memalukan, lebih-lebih lagi Tan Sri Hassan Marican sudah pun bertindak sebagai penasihat kepada Perdana Menteri,” katanya.

    Tindakan Anwar mengangkat Nurul Izzah sebagai penasihat beliau secara diam-diam menerima kecaman, walaupun setelah lebih sebulan baharu Ahli Parlimen Tambun itu mengakui berbuat demikian.

    Itupun, setelah Nurul Izzah sendiri mengesahkannya dalam satu temu bual dengan media.

    Tindakan Anwar melantik ‘puteri reformasi’ itu juga dilihat membelakangkan ‘kepakaran’ Menteri Ekonomi yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

    Sejak laporan berhubung pelantikan tersebut, reaksi orang ramai sama ada dalam media sosial dan juga orang politik khususnya adalah sangat negatif, malah tidak kurang juga pelbagai sindiran sinis dibuat terhadap kerajaan campuran.

    Tidak kurang juga terdapat dalam kalangan orang ramai memainkan semula istilah ‘nepotisme’ yang popular sebelum ini di bibir Anwar dalam ceramahnya ketika mengkritik lawan politiknya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan UMNO (sebelum menjadi sekutu politik).

    Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional berkata, ternyata Malaysia Madani hanyalah retorik kosong kerana keutamaan Perdana Menteri nampaknya lebih terarah kepada ahli keluarga sendiri berbanding menyelesaikan isu kos sara hidup, menangani cabaran ekonomi serta meneroka pasaran baharu untuk Malaysia.

    “Perdana Menteri perlu menarik balik pelantikan ini. Nepotisme dalam PKR tidak boleh diheret sama ke dalam pentadbiran kerajaan. Walk the talk please,” katanya lapor Agenda Daily.

  • Wanita dituduh bunuh pemandu e-hailing

    Wanita dituduh bunuh pemandu e-hailing

    WANITA didakwa di Mahkamah Majistret Tawau hari ini atas pertuduhan membunuh pemandu e-hailing di ladang kelapa sawit di Batu 5 Jalan Apas, dekat Tawat, awal bulan ini.

    Tertuduh, Nurima Juli, 33, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Dzul Elmi Yunus.

    Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Harian Metro.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, Nurimah bersama beberapa individu yang masih bebas dituduh membunuh Nurman Bakaratu, 61, antara 7.30 malam hingga 10.30 malam pada 13 Januari lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 6 Mac depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu rekuisisi, laporan kimia dan laporan bedah siasat.

    Terdahulu, tertuduh yang berpakaian t-shirt hitam dan seluar jeans biru tiba di mahkamah kira-kira 2.22 petang sambil diiring anggota polis sebelum dibawa ke bilik bicara.

    Media sebelum ini melaporkan tertuduh bersama lapan pegawai dan anggota polis termasuk seorang pegawai kanan direman bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh terbabit.

  • Anwar harus tanya apa nilai dibawa Zahid dalam kerajaan – KJ

    Anwar harus tanya apa nilai dibawa Zahid dalam kerajaan – KJ

    KHAIRY Jamaluddin Abu Bakar yang dipecat daripada UMNO pada Jumaat lalu enggan mengulas panjang mengenai peranan dan nilai tambah yang dibawa Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam kerajaan hari ini.

    Sebaliknya, bekas Ketua Pemuda UMNO itu yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai alasan tersendiri menerusi penubuhan Kerajaan Perpaduan, namun berharap ia tidak diberi penilaian yang salah.

    “Saya percaya Perdana Menteri memerlukan kerajaan yang stabil dan untuk mewujudkan kerajaan yang stabil, beliau perlu mempunyai rakan gabungan, gabungan pasca pilihan raya dalam kes ini, yang boleh menambah nilai kepada kerajaannya.

    “Persoalan yang perlu ditanya oleh Perdana Menteri sendiri, adakah UMNO dan Zahid menambah pada nilai kerajaannya?” soal Khairy ketika muncul sebagai tetamu dalam program The Breakfast Grill di BFM hari ini.

    Kata Khairy, berdasarkan pemerhatiannya, situasi semasa akan memberi kesan kepada parti itu dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    “Saya tidak mahu menyatakan ini dari sudut kepentingan peribadi, tetapi saya akan menjawab soalan ini dengan memberi tumpuan kepada keputusan yang telah dibuat dan bukannya mereka yang digantung atau dipecat.

    Dalam pada itu, Khairy, 47, menegaskan, beliau tidak mempunyai masalah peribadi dengan Ahmad Zahid, malah yakin pemecatannya bukan kerana ‘salah taktik’ dalam usaha memperbetulkan landasan perjuangan parti.

    “Adakah taktik yang salah digunakan? Saya tidak fikir begitu. Saya tidak ada apa-apa masalah dengan Zahid secara peribadi, saya tetap anggap dia kawan. Dia mungkin tidak menganggap saya sebagai kawan lagi, tetapi saya tidak menentangnya.

    “Secara peribadi, saya hanya mahukan pertandingan terbuka kerana hakikatnya beliau menjadi pengerusi ketika parti mengalami kekalahan paling buruk dalam pilihan raya. Dan apa yang saya mahu sangat mudah.

    “Jika Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) diminta berundur sebagai Presiden selepas kami kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen, jika Najib (Datuk Seri Najib Razak) diminta berundur selepas pilihan raya 2018, paling tidak anda boleh lakukan, jika anda tidak mahu berundur, sekurang-kurangnya membuka pemilihan parti secara terbuka dan membiarkan ahli membuat keputusan,” tegas Khairy lapor Astro Awani.

  • Nelayan antara tiga didenda RM7,300, jalan operasi judi piala dunia

    Nelayan antara tiga didenda RM7,300, jalan operasi judi piala dunia

    TIGA lelaki termasuk seorang nelayan didenda RM7,300 di Mahkamah Majistret Melaka, pada Isnin, kerana menjalankan pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2022.

    Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman memutuskan denda itu selepas Richard Danker, 54; Linus Hilary Pinto, 60; dan Lim Soon Boon, 34, mengaku bersalah sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953 dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

    Berdasarkan pertuduhan, Richard yang bekerja sebagai nelayan dan Linus seorang penganggur didapati bersalah membuat pertaruhan bola sepak Piala Dunia FIFA Qatar 2022 secara dalam talian dengan menggunakan telefon bimbit bernilai RM150,250.

    Kesalahan itu dilakukan di Medan Portugis, Kampung Portugis pada pukul 4 dan 4.10 pagi, 14 Disember tahun lalu.

    Seorang lagi tertuduh, Soon Boon yang bekerja di restoran mengaku bersalah melakukan kesalahan sama berjumlah RM75,000 di tepi Jalan Daranjo, Kampung Portugis, Melaka, pada pukul 6.40 petang, 10 Disember tahun lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal atas kesalahan dilakukan mereka.

    Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda ringan dikenakan terhadap mereka, lapor Sinar Harian.

    Mahkamah kemudian menetapkan Richard didenda RM2,500 selain Linus dan Soon Boon masing-masing RM2,400 atau sebulan penjara jika gagal bayar.

  • Rayuan lucut hak RM21.7 juta daripada 11 entiti termasuk UMNO Pekan ditarik balik

    Rayuan lucut hak RM21.7 juta daripada 11 entiti termasuk UMNO Pekan ditarik balik

    PIHAK pendakwaan hari ini menarik balik rayuannya untuk melucut hak wang berjumlah RM21.7 juta milik 11 entiti dan individu, termasuk  UMNO Pekan dan Badan Perhubungan UMNO Johor, yang didakwa ada kaitan dengan dana 1Malaysia Development Bhd (IMDB).

    Yang lain ialah daripada Jakel Trading Sdn Bhd, Jakel Trading, Barisan Nasional bahagian Johor Bahru, Mediaedge CIA Malaysia Sdn Bhd, Parti Rakyat Bersatu Sarawak, pengarah firma penyelidikan Sim Sai Hoon, AGA Touch Malaysia Sdn Bhd, Yayasan Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (Yayasan PBAKM) dan bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam.

    Timbalan Pendakwa Raya Kamal Bahrin Omar memaklumkan perkara itu kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini bahawa pihak pendakwaan telah menarik balik rayuannya terhadap 11 responden.

    Notis pemberhentian rayuan telah difailkan pada 27 Jan.

    Kamal Bahrin juga memberitahu mahkamah bahawa wang yang dirampas akan dikembalikan kepada responden.

    Datuk Seri Kamaludin Md Said yang bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian, kemudian membatalkan rayuan itu.

    Pihak pendakwaan tidak berjaya di Mahkamah Tinggi untuk melucut hak RM700,000 daripada UMNO Pekan, RM100,000 daripada Yayasan PBAKM, RM628,314 daripada Jakel Trading, RM10,747,042.77 daripada Jakel Trading Sdn Bhd, RM677,872.55, daripada Badan Perhubungan Umno Johor, RM957,395.65 daripada Barisan Nasional Johor Bahru.

    Mahkamah Tinggi yang berasingan juga telah menolak rayuan pihak pendakwaan untuk melucut hak RM100,000 daripada Kasitah, RM3 juta milik AGA Touch (M) Sdn Bhd, sebuah firma IT, RM41,261.64 daripada Sim, pengarah firma penyelidikan Centre for Strategic Engagement Sdn Bhd, RM188,138.26 daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak dan RM4,631,602 daripada Mediaedge CIA.

    Sementara itu, mahkamah menetapkan 28 Mac untuk mendengar rayuan yang dikemukakan oleh Badan Perhubungan MCA Pahang, Parti Bersatu Rakyat Sabah dan keluarga bekas Ahli Parlimen Paya Besar dan Ketua UMNO Bahagian Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail.

    Ini bagi membolehkan mereka memfailkan representasi masing-masing kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berikutan keputusan pihak pendakwaan untuk menarik balik rayuannya bagi 11 kes itu.

    Kamaludin, yang mengetuai panel hakim itu, berkata perlu ada konsistensi memandangkan pihak pendakwaan telah menarik balik rayuannya bagi 11 kes tersebut.

    Beliau kemudian mencadangkan supaya peguam bagi ketiga-tiga kes itu mengemukakan representasi mereka kepada AGC.

    Hakim itu kemudian memerintahkan ketiga-tiga pihak ke peringkat pengurusan kes.

    Pengurusan kes kemudiannya diadakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Muhammad Noor Firdaus Rosli yang kemudiannya menetapkan 28 Mac untuk pendengaran ketiga-tiga rayuan itu. Beliau juga memberi tempoh sehingga 10 Feb kepada pihak-pihak untuk mengemukakan representasi mereka kepada AGC.

    Tiga Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucuthakkan wang berjumlah RM2.1 juta daripada Badan Perhubungan MCA Pahang, Parti Bersatu Rakyat Sabah dan keluarga Abdul Manan.

    Empat belas kes hari ini adalah antara 41 entiti yang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berusaha mendapatkan semula aset yang dikatakan telah dibayar menggunakan dana 1MDB.

  • Subkontraktor TM antara 14 dituduh curi, hapus kabel

    Subkontraktor TM antara 14 dituduh curi, hapus kabel

    SERAMAI 14 individu dihadapkan di Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang pagi ini atas pertuduhan mencuri dan menghapuskan kabel milik Telekom Malaysia (TM) dalam kejadian awal bulan ini.

    Bagaimanapun, kesemua tertuduh yang antaranya bekerja sebagai subkontraktor; pengawal keselamatan, penternak ikan, penjual vape, kerani dan sebagainya mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret R. Manomani.

    Bagi pertuduhan pertama, 11 tertuduh didakwa telah mencuri kabel milik Telekom Malaysia pada pukul 5 pagi 10 Januari lalu, di persimpangan lampu isyarat Tanjung Bungah.

    Mereka ialah Mohd. Danial Mohd. Nasib, 42; Mohd. Helmie Iswandi Ismail, 40; Muhamad Faiz Yahaya, 31; Mohd. Hishammudin Mohd. Razak, 45; Muhammad Farhan Ridzuan, 31; Muhammad Zulfaqar Ismail, 31; Syed Hasnisham Syed Hassan, 37; Abdul Wafi Fazil, 38; Muhamad Ridzuan Jamaludi, 36; Ahmad Finhas Fazil, 40, dan Muhammad Nasrul Mohamas Rashidey, 30.

    Mereka dituduh di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

    Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang kemudian boleh dihukum dengan pemenjaraan dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua pula, 11 tertuduh yang sama serta tiga lagi tertuduh iaitu, Sande Baijuri Abd. Rahman, 40; Ahmad Zulaswad Ismail, 36, dan Muhamad Fauzal Roselan, 27, didakwa dengan sengaja menolong menghapuskan harta curi iaitu kabel milik TM.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 5 dan 7 Januari lalu, kira-kira pukul 6.30 pagi di Kampung Matang Gedong, Sungai Petani, Kedah.

    Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Akta yang sama.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurnajihatul Idayu Mohd. Azuyar manakala tertuduh diwakili peguam, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq dan Naqieya Zulkernain.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya memohon supaya kesemua tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM7,000 bagi setiap pertuduhan.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 bagi pertuduhan pertama serta RM1,500 bagi pertuduhan kedua dengan seorang penjamin selain menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pada 15 Januari lalu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, seorang subkontraktor Telekom Malaysia (TM) antara yang ditahan polis kerana terbabit kegiatan curi kabel milik syarikat telekomunikasi itu di sekitar Pulau Pinang dan Kedah dengan kerugian keseluruhan RM910,448.

    Kegiatan kumpulan itu terbongkar susulan penahanan 11 lelaki tempatan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di persimpangan lampu isyarat Jalan Tanjung Bungah, pukul 2.40 pagi pada 10 Januari lalu.