Category: Semasa

  • CAP gesa bekas polistirena tidak digunakan ketika sambutan Thaipusam

    CAP gesa bekas polistirena tidak digunakan ketika sambutan Thaipusam

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru pihak pengurusan semua kuil di negara ini yang menyambut perayaan Thaipusam supaya tidak menggunakan bekas makanan polistirena di persekitaran kuil mereka ketika menghidangkan makanan kepada para penganut.

    Pegawai Penyelidik CAP, N. V. Subbarow berkata, semasa Thaipusam, pelbagai pertubuhan amal menyediakan makanan percuma sebagai ‘Anna Thanam’ yang mana kebanyakan mereka menggunakan bekas diperbuat daripada polistirena ketika menghidangkan makanan percuma itu.

    Ujar beliau, pinggan dan cawan polistirena digunakan secara meluas untuk menghidangkan makanan dan minuman kepada para penganut dengan alasan lebih mudah untuk disediakan bagi menguruskan orang ramai.

    “Disebabkan inilah maka banyak sampah polistirena yang dihasilkan setiap tahun.

    “Penggunaan bekas polistirena pakai buang inilah yang menghasilkan sejumlah besar sampah.

    “Sedangkan, ramai yang tidak menyedari hakikat bahawa polistirena mengambil masa sekitar 500 tahun untuk mengurai dalam persekitaran,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Menurut beliau, pembungkusan polistirena biasanya mengandungi beberapa baki stirena kerana proses pembuatannya tidak 100 peratus cekap.

    Ramai yang tidak menyedari hakikat bahawa polistirena mengambil masa sekitar 500 tahun untuk mengurai dalam persekitaran

    Jelasnya, bahan kimia itu boleh berpindah ke dalam makanan apabila ia dalam keadaan baharu dan apabila lama pula ia akan rosak akibat terdedah kepada haba, matahari atau haus.

    “Akhirnya bahan kimia ini diserap pula oleh tubuh dan menimbulkan pelbagai masalah kesihatan.

    “Sampah polisterina ini apabila dibakar boleh mengeluarkan bahan kimia berbahaya yang sekali lagi menimbulkan ancaman kesihatan kepada pengguna,” ujarnya.

    Tambah Subbarow, memandangkan Thaipusam adalah perayaan keagamaan, adalah penting agar para penganut agama itu tidak terdedah kepada bahan kimia berbahaya daripada polistirena.

    “Dengan mengambil kira perkara ini, pihak pengurusan kuil perlu memastikan para penganut dihidangkan dengan makanan dan minuman dalam bekas terbiodegradasikan yang lebih selamat.

    “Para penganut juga boleh memainkan peranan dengan membawa bekas mereka sendiri untuk menerima makanan. Ini secara tidak langsung akan dapat mengurangkan jumlah sampah yang dihasilkan,” katanya.

    Dalam masa ujar beliau, CAP menggesa pihak pengurusan kuil supaya bertegas dengan para pemilik gerai dan mengenakan peraturan yang lebih ketat untuk mengelak pemilik kedai menggunakan pembungkus polistirena atau beg plastik.

    Tegasnya, mereka yang didapati melanggar peraturan itu tidak seharusnya diberi peluang untuk mendirikan gerai mereka sendiri pada Thaipusam yang akan datang.

    “Marilah kita berusaha bersama-sama ke arah Thaipusam yang bebas daripada polistirena dan menggunakan festival ini sebagai platform untuk menyelamatkan dan memupuk kesedaran akan pentingnya untuk menjaga alam sekitar.

    “Ini akan meninggalkan persekitaran yang lebih bersih dan selamat untuk anak-anak kita,” katanya.

  • Pegawai kesihatan dipenjara sehari, denda RM10,000 terima suapan RM5,200

    Pegawai kesihatan dipenjara sehari, denda RM10,000 terima suapan RM5,200

    SEORANG pegawai kesihatan persekitaran dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM5,200 dengan mengesyorkan syarikat milik adiknya berhubung kerja-kerja pembekalan peralatan pada 2016.

    Hakim Zulhazmi Abdullah menjatuhi hukuman itu terhadap Sumardi Yazid, 41, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

    Mengikut kertas pertuduhan, Sumardi yang ketika itu bertugas sebagai penolong pegawai kesihatan persekitaran didakwa menerima untuk dirinya suatu barang yang berharga dengan tanpa balasan iaitu wang tunai berjumlah RM5,200 dengan membuat syor memilih syarikat yang dimiliki adiknya bagi melaksanakan kerja membekal peralatan bekalan am.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 8 Mac 2016 di Pejabat Kesihatan Seberang Perai Tengah (SPT) Berapit, Bukit Mertajam.

    Oleh itu, dia telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, peguam tertuduh, Ang Chun Pun memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana tertuduh sudah digantung tugas selain perlu menyara isteri, seorang anak berusia 14 tahun dan ibu mentua yang diserang strok.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee meminta mahkamah menjatuhi hukuman setimpal kerana kesalahan rasuah boleh mendatangkan kerosakan kepada masyarakat sekiranya tidak dibendung.

    Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 yang mana jika denda itu gagal dibayar boleh dipenjara selama lima bulan.

    Difahamkan tertuduh membayar denda itu hari ini.

  • ‘Orang lama’ Reformis pertikai keputusan Anwar lantik Nurul Izzah sebagai penasihat

    ‘Orang lama’ Reformis pertikai keputusan Anwar lantik Nurul Izzah sebagai penasihat

    SEORANG bekas ahli kumpulan pro-Anwar Ibrahim mengkritik langkah perdana menteri itu melantik anaknya, Nurul Izzah, sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan.

    “Persepsinya mudah sahaja, dalam kalangan 32 juta rakyat, tidak adakah orang lain yang boleh menjadi penasihat Perdana Menteri?

    “Kita ada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, tidak cukup lagi,” soal bekas setiausaha Otai Reformis Abdul Razak Ismail.

    Abdul Razak, yang kini Setiausaha Agung Parti Hijau Malaysia, mempersoalkan reaksi Pakatan Harapan (PH) jika Datuk Seri Najib Razak, melantik isterinya, Rosmah Mansor, sebagai penasihat ketika menjadi Perdana Menteri.

    Katanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini terpaksa berdepan persepsi membelenggu pelantikan anak perempuannya itu.

    Abdul Razak berkata, ketika menjadi ketua Pembangkang, Anwar juga berdepan persepsi nepotisme ketika isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah menjadi ahli Parlimen.

    “Kini, anda (Anwar) sudah dilantik menjadi perdana menteri dan persepsi itu masih sama,” katanya, lapor FMT.

    Beliau berkata, Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, sebaliknya patut menyertai NGO untuk menasihati kerajaan pimpinan bapanya.

    “Itu langkah lebih baik,” ujarnya.

    Pelantikan Nurul Izzah dikecam pembangkang, kumpulan masyarakat sivil, kumpulan pemikir, malah pihak dalam PH sendiri.

    Semalam, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim menyifatkan pelantikan itu sebagai “sah di sisi undang-undang, namun salah dari segi moral”.

    Pihak lain berkata, pelantikan terbabit berbaur nepotisme, selain mendakwa Nurul Izzah tidak layak memegang peranan itu walaupun mempunyai dua ijazah.

    Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendesak Anwar menarik balik pelantikan itu yang dikatakan bertentangan dengan prinsip tadbir urus yang baik.

    Malam tadi, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, belum terlambat bagi Anwar untuk memperbetul kesilapannya sejak menjadi perdana menteri, termasuk berhubung pelantikan Nurul Izzah.

  • Pemandu lori didakwa pukul anjing dengan kayu

    Pemandu lori didakwa pukul anjing dengan kayu

    SEORANG pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Selangor hari ini atas pertuduhan memukul seekor anjing dengan sebatang kayu sehingga cedera.

    Mohd Zainal Mat Daham, 41, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa melakukan perbuatan tersebut sehingga menyebabkan haiwan itu mengalami kecederaan di bahagian kaki kanan hadapan dan belakang.

    Lelaki itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di hadapan pos pengawal sebuah kawasan perumahan di Bandar Puncak Alam pada 8.30 malam, 29 Okt tahun lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor Mohd Sharif Sabran memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan yang rendah atas alasan dia penanggung utama keluarga.

    “Saya tidak mampu puan, saya mohon jaminan yang seringan-ringannya,” katanya.

    Hakim Zafirah Zainal Abdidin membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 28 Feb ini untuk sebutan semula kes.

    Mohd Zainal membayar jaminan tersebut.

  • Ustaz Abdullah Khairi dakwa digam daripada program ceramah

    Ustaz Abdullah Khairi dakwa digam daripada program ceramah

    PENCERAMAH bebas, Abdullah Khairi Harun mendakwa disekat untuk menyertai program Forum Perdana Ehwal Islam yang akan berlangsung di Masjid Kampung Baru pada 1 Februari ini.

    Perkara itu dikongsikan Abdullah Khairi dalam Instagram miliknya hari ini dengan memaparkan poster beliau dipangkah.

    Menerusi poster tersebut, program itu turut menjemput penceramah lain seperti Haslin Baharin yang dikenali sebagai ustaz Bollywood dan Datuk Mohd. Izhar Arif Kashim dan dihoskan Zakaria Othman.

    Abdullah Khairi memaklumkan beliau ‘digam’ untuk dua program termasuk Forum Perdana berkenaan.

    Beliau juga sempat menyindir pihak terlibat yang disifatkan takut kepada bayang-bayang, bagaimanapun tidak menyatakan sebab dirinya disekat.

    “Dua program dah kena gam! Haaaa takut pada bayang bayang. Dua bulan aku di Mekah (Rezeki itu tetap ada, biarpun bukan di Malaysia, namun di negara luar iaitu Arab Saudi).

    “Masjid Kampung Baru Kuala Lumpur (KL) dan Masjid Al Najihin KL – bye bye (selamat tinggal)!,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Ipoh digelar bandar paling murah bagi pendidikan antarabangsa di Asia

    Ipoh digelar bandar paling murah bagi pendidikan antarabangsa di Asia

    IPOH digelar bandar paling murah di Asia dan dunia bagi persekolahan antarabangsa pada 2022, berdasarkan kajian Pangkalan Data Sekolah Antarabangsa (ISD), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

    Pada masa sama, seperti tahun sebelumnya, China terus mendominasi sebagai negara paling mahal di Asia untuk sekolah antarabangsa, menurut kajian tersebut.

    Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata, buat pertama kalinya, Ipoh tersenarai dalam pangkalan data tersebut bersama 19 bandar lain.

    “Bandar lain yang tersenarai ialah seperti Beijing (China, Shanghai (China), Shenzhen (China), Guangzhou (China), Taipei (Taiwan), Yangon (Myanmar), Bangkok (Thailand).

    “Begitu juga Kyoto (Jepun), Osaka (Jepun), Kobe (Jepun), Pattaya (Thailand), Chiang Mai (Thailand), Phuket (Thailand), Manila (Filipina), Johor Bahru (Malaysia), Bali (Indonesia), Pulau Pinang (Malaysia), Kuala Lumpur (Malaysia) dan Phnom Penh (Kemboja).

    “Ipoh ialah bandar baharu yang termasuk dalam penyelidikan terbaharu ISD dan telah diberi gelaran lokasi paling murah di Asia.

    “Sementara kos sekolah antarabangsa dari ibu negara Kemboja Phnom Penh pula menduduki tempat kedua terendah kali ini.

    “Harga di Ipoh berkisar antara AS$2,316 hingga AS$3,065 setahun, yang sangat berbeza dengan bandar paling mahal di Asia, Beijing.

    “Harga di metropolis China ini berjulat dari atas AS$10,000 hingga hampir AS$40,000 setahun,” katanya, lapor Astro AWANI.

    Rumaizi berkata demikian ketika berucap mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Januari 2023 di Dewan Mesyuarat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Ipoh, Perak, hari ini.

    Katanya, daripada 20 bandar yang termasuk dalam analisis ISD Asia, 16 mempunyai harga di bawah AS$15,000 setahun iaitu Taipei, Yangon, Bangkok, Kyoto-Osaka-Kobe, Pattaya, Chiang Mai, Phuket, Manila, Johor Bahru, Bali, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Phnom Penh dan Ipoh.

    Tambahnya, Malaysia dan Thailand adalah negara paling berpatutan di Asia apabila melibatkan kos pendidikan antarabangsa.

    “Tiga bandar Thailand (Pattaya, Chiang Mai dan Phuket) dan empat bandar Malaysia (Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Ipoh) termasuk dalam 10 lokasi paling murah di benua Asia.

    “Di peringkat global, New York City kekal sebagai metropolis paling mahal di seluruh dunia untuk persekolahan antarabangsa.

    “Malah, ia menjadi lebih mahal sejak 2021, dengan harga maksimum mendahului AS$60,000 setahun buat kali pertama,” kata Rumaizi.

    Ujarnya lagi, Switzerland kekal sebagai negara Eropah yang paling mahal untuk persekolahan antarabangsa.

    Copenhagen pula kekal sebagai bandar paling murah untuk persekolahan antarabangsa di Eropah, walaupun reputasinya sebagai destinasi kos tinggi.

  • PH sukar pertahan Selangor pada PRN-bekas ADUN

    PH sukar pertahan Selangor pada PRN-bekas ADUN

    PAKATAN Harapan (PH) berdepan tugas mencabar mengekalkan Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN), terutama apabila pengundi Melayu cenderung terhadap Perikatan Nasional (PN).

    Seorang bekas wakil rakyat daripada Pakatan Harapan (PH) yang enggan dinamakan berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) khususnya akan bergelut mempertahankan kerusi mereka dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang mempunyai 56 kerusi.

    “Jumlah pemilih Melayu mengundi PH berkurangan pada PRU November (lepas). Pengundi Melayu dilihat cenderung ke arah PN pada masa ini,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN menang 74 kerusi, 72 daripadanya membabitkan kawasan dengan ramai pengundi Melayu. Pas sahaja menguasai 49 kerusi.

    Lebih merumitkan keadaan bagi PH, kata pemimpin berkenaan, berlaku peralihan undi masyarakat berbangsa India kepada PN, yang terserlah pada pilihan raya Padang Serai, Kedah, pada 7 Disember tahun lepas.

    “Jika anda lihat pilihan raya Padang Serai, undi masyarakat India beralih daripada PH kepada PN.

    “Antara faktornya adalah masyarakat India tidak senang dengan PH, terutama selepas pengumuman pembentukan Jemaah Menteri dengan hanya seorang menteri berbangsa India,” ujarnya.

    Pada pilihan raya Padang Serai, calon PN, Azman Azman Nasrudin merampas kerusi itu daripada PH dengan majoriti 16,260 undi. PH menyandang kerusi itu, yang mempunyai 20% pengundi berbangsa India, selama tiga penggal.

    Pilihan raya di Padang Serai ditangguhkan susulan kematian bekas penyandangnya daripada PKR, M. Karupaiya pada 16 November, tiga hari sebelum pengundian berlangsung, mendiang sepatutnya bertanding untuk mempertahankan kerusi itu.

    Mengulas berhubung PRN Selangor, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu berkata, PH hanya boleh mengharapkan kerusi dikuasai DA, yang banyak antaranya mempunyai majoriti pengundi Cina, sebagai selamat.

    “Pengundi Cina menjauhi PN kerana pengaruh Pas, jadi mereka setia bersama PH. Bagaimanapun, tidak semestinya keadaan sama berlaku membabitkan pengundi Melayu dan India,” katanya sambil menambah, ini membahayakan PKR dan Amanah.

    Selain itu, faktor Datuk Seri Azmin Ali berupaya memberi cabaran kepada PH memandangkan bekas Menteri Besar Selangor itu masih mempunyai pengaruh yang kuat di negeri berkenaan.

    “Azmin mungkin kalah di Parlimen Gombak, tetapi PRN adalah berbeza. Pada November, rakyat mahu melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

    “Kini, beliau sudah menjadi Perdana Menteri, jadi pengundi Selangor mungkin mempunyai keutamaan lain,” katanya.

    Pemimpin PH itu berkata, Azmin Ali juga akan menggunakan rekod prestasinya ketika mentadbir Selangor semasa masih bersama PH.

    Bagaimanapun, pandangan pemimpin PH terbabit dicabar ADUN Taman Templer, Sany Hamzan, yang berkata bahawa bersama Barisan Nasional (BN), PH mampu mempertahankan Selangor.

    “Menteri Besar kita (Datuk Seri Amirudin Shari) sudah melakukan banyak untuk rakyat Selangor, jadi saya yakin pengundi akan menggunakan kebijaksanaan mereka ketika mengundi,” kata ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah itu.

    “Kami ambil maklum mengenai ‘gelombang hijau’ (peningkatan sokongan kepada Pas), namun kami juga sudah kenal pasti kesilapan pada PRU15 dan akan menangani perkara itu pada PRN,” katanya.

    Sany berkata, PH perlu turun ke lapangan dan menangkis tuduhan Pas bahawa orang Melayu dan Islam akan dipinggirkan jika Anwar berkuasa.

    Beliau berkata, tempoh Anwar memegang jawatan setakat ini menunjukkan dakwaan itu adalah palsu.

    Oleh itu, tambahnya, Pas mungkin tidak dapat menembusi dengan kuat pada PRN Selangor.

  • Noh mungkin sertai PN, tapi bukan Khairy

    Noh mungkin sertai PN, tapi bukan Khairy

    BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar lebih berkemungkinan menyertai Perikatan Nasional (PN) berbanding Pakatan Harapan (PH), sekali gus menguatkan gabungan pembangkang di Selangor menjelang PRN.

    Penganalisis politik, Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura bagaimanapun berkata, bekas rakan seperjuangan Noh, Khairy Jamaluddin, yang turut dipecat UMNO, mungkin tidak akan mengambil langkah sama.

    “Noh merupakan ‘warlord’ tradisional UMNO. Gaya dan kepercayaannya tidak bersesuaian dengan imej reformasi PH, jadi saya tidak melihat beliau akan menyertai mereka,” katanya memetik laporan FMT.

    Beliau berpendapat, Noh
    lebih sesuai bersama PN, selain sudah membina pangkalan di Selangor.

    Sebagai ‘warlord’ tempatan katanya, Noh bersama penyokongnya mudah bergerak ke platform baharu.

    Beliau berkata, Khairy yang juga bekas ketua Pemuda UMNO pula ‘bintang politik’ yang disukai pengundi bukan penyokong PN, justeru langkah menyertai gabungan diterajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dilihat bukan pilihan tepat.

    “Beliau berkembang dengan aura progresif dan reformis. Ini tidak sejajar dengan pandangan PN yang regresif dan konservatif.

    “Walaupun popular dalam kalangan masyarakat yang tidak sehaluan dengan PN, Khairy tidak digemari pemimpin parti lain kerana beliau mungkin mampu mengatasi mereka. Itulah dilema Khairy,” ujarnya.

    Oh berkata, Khairy mungkin akan menubuhkan parti politik baharu bersama pihak berpandangan sama dengannya yang turut terpinggir.

    Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia juga melihat Noh besar kemungkinan akan menyertai PN.

    “Beliau mungkin dinamakan sebagai calon menteri besar Selangor sekiranya PN berjaya merampas negeri itu daripada PH,” katanya.

    Bagi Khairy pula, laluannya sukar dijangka, kata Fauzi.

    Katanya, walaupun kecenderungan politik Khairy lebih menghampiri PH, menyertai gabungan itu akan membayangi hubungan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Meskipun Khairy dipecat katanya, itu bukan pengakhiran perjalanan politiknya dalam UMNO.

    “Saya yakin Khairy mempunyai sokongan dalam kalangan generasi muda UMNO. Beliau boleh menunggu sehingga penggal Zahid sebagai presiden tamat.

    “Kemudian (beliau mungkin) merancang kembali semula jika pengganti Zahid kelak sedar Khairy mampu menyumbang undi dan menjadi pemimpin masa hadapan UMNO,” katanya.

    Noh dan Khairy dipecat UMNO minggu lepas kerana melanggar disiplin parti pada PRU15.

  • Op Limau: 905 individu ditahan disyaki terlibat perjudian

    Op Limau: 905 individu ditahan disyaki terlibat perjudian

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan 905 individu di seluruh negara menerusi Op Limau kerana disyaki terlibat dalam perjudian dengan jumlah rampasan dianggar bernilai RM513,793.

    Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata kesemua tangkapan itu membabitkan 137 serbuan bagi tempoh 15 hingga 29 Jan lepas.

    Beliau berkata daripada 905 individu ditahan, 650 melibatkan judi dalam bangunan manakala 254 membabitkan kegiatan judi di luar bangunan.

    “Op Limau ini dijalankan selama 15 hari di seluruh negara bagi mengekang kegiatan perjudian dalam bangunan dan tempat terbuka sempena Tahun Baharu Cina,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata siasatan dibuat di bawah Seksyen 6(1) dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

    Noorsiah berkata PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menganjur dan menjalankan pertaruhan dalam usaha menangani kegiatan perjudian.

    Katanya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian boleh menyalurkan maklumat melalui hotline WhatsApp Op Limau di talian 016-577 3477.

  • Gaduh berebut pelanggan, sembilan ‘longkai’ dicekup polis

    Gaduh berebut pelanggan, sembilan ‘longkai’ dicekup polis

    POLIS menahan sembilan lelaki yang juga penarik kereta selepas disyaki terbabit insiden pergaduhan berkumpulan di Jalan Datuk Haji Mohd Zain, Batu Berendam, di Melaka, Ahad lalu.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, semua lelaki terbabit yang berusia antara 20 hingga 64 tahun ditahan selepas pihaknya menerima aduan, pada 7.30 malam.

    “Kjadian disyaki berpunca daripada pertelingkahan dua kumpulan penarik kereta yang berebut pelanggan untuk perkhidmatan menunda kenderaan.

    “Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah ke lokasi, dan menahan kesemua suspek.

    “Hasil siasatan mendapati kesemua yang ditahan mendakwa terbabit dalam kes gaduh itu,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

    “Selain itu, polis menasihatkan orang awam agar tidak lagi memanipulasi dan membuat spekulasi berhubung kejadian bagi mengelakkan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 dikenakan terhadap mereka,” katanya.

    Terdahulu, tular beberapa video dalam media sosial yang memaparkan insiden pergaduhan itu sebelum polis tiba di lokasi kejadian.