Category: Semasa

  • Bapa mengaku salah sebabkan kematian bayi tiga bulan

    Bapa mengaku salah sebabkan kematian bayi tiga bulan

    SEORANG bapa mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas pertuduhan menyebabkan kematian bayinya berusia tiga bulan, awal bulan ini.

    Amirul Hakim Muhamad Fadzil, 27, mengaku cuai sehingga menyebabkan kematian anak lelakinya itu akibat kecederaan di bahagian kepala, di sebuah rumah di Flat Sri Langkawi, Gombak di sini, pada 4.15 petang, 3 Jan lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin manakala Amirul Hakim yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan dia yang bekerja sebagai ejen insurans perlu menanggung keluarga.

    Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Feb ini untuk fakta kes dan hukuman.

  • Dua lelaki didakwa bunuh jurukimpal warga Bangladesh

    Dua lelaki didakwa bunuh jurukimpal warga Bangladesh

    DUA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang jurukimpal warga Bangladesh yang mayatnya ditemukan dalam keadaan tangan dan kaki diikat di tepi Jalan Bestari Jaya-Rawang, tahun lepas.

    Buruh kilang besi Md Mojibur Rahman, 30, yang juga warga Bangladesh dan penganggur warga tempatan K. Visvanathan, 57, masing-masing mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 5 April ini untuk mendapatkan laporan kimia serta bedah siasat.

    MD Mojibur Rahman,30, dan K.Visvanathan,57, didakwa membunuh seorang lelaki warga asing selepas dihadapakan ke Mahkamah Majistret Selayanng, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Mereka didakwa bersama-sama melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas kenalan mereka, Khalek Sheikh, 41, di tepi Jalan Bestari Jaya-Rawang, Batu Arang di sini antara 9 malam hingga 9.40 malam, 29 Dis 2022.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Sebelum ini, media melaporkan mayat seorang lelaki ditemukan di tepi Jalan Bestari Jaya-Rawang dalam keadaan tangan dan kaki diikat serta mempunyai kesan cedera di kepala.

    Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan cedera parah di kepala dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul.

  • Belasah bapa dengan kayu, lelaki dipenjara enam tahun

    Belasah bapa dengan kayu, lelaki dipenjara enam tahun

    SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan memukul bapanya berusia 71 tahun menggunakan sebatang kayu.

    Tertuduh, Yaumiheris Nordin, 42, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap bapa kandungnya, Nordin Dengker, 71, dengan memukul bahagian muka dan badan mangsa menggunakan sebatang kayu.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Paya Keladi, Kampung Bukit Darat dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 7 malam, 26 Januari lalu.

    Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

    Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius dan mangsa merupakan bapa kandungnya sendiri.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman terhadapnya dikurangkan.

    Hakim Mohd. Sabri kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan dari tarikh ditangkap pada 27 Januari lalu.

    Dalam prosiding berasingan, tertuduh juga mengaku bersalah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman atas pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut bapanya dengan mengacukan parang.

    Bagi kesalahan itu dia turut dijatuhi hukuman penjara empat bulan dari tarikh ditangkap lapor Astro Awani.

  • Bersatu tuntut Anwar jelaskan berapa ramai lantikan rahsia dibuat

    Bersatu tuntut Anwar jelaskan berapa ramai lantikan rahsia dibuat

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menuntut agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera menyatakan berapa ramai lantikan rahsia telah dibuat dan siapa lagi yang dilantik secara senyap-senyap.

    Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan turut meminta agar Anwar menjelaskan mengapa pelantikan anaknya, Nurul Izzah dirahsiakan.

    “Selain itu Anwar juga mesti jelaskan apa bidang kuasa yang diberikan kepada Nurul Izzah.

    “Kalau tidak kerana Nurul Izzah terlepas cakap, satu Malaysia termasuklah penyokong Pakatan Harapan (PH) tidak tahu mengenai pembohongan Anwar yang kononnya menentang kronisme, tetapi secara rahsia melantik anaknya sendiri sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurutnya, Malaysia sehingga kini melahirkan ramai pakar ekonomi dan kewangan tersohor tetapi tidak dipilih oleh Anwar.

    “Kita ada anak Melayu, anak Cina, anak India, anak Kadazan, anak Iban dan pelbagai lagi. Tapi rupa-rupanya yang dipilih ialah anak Anwar. Untung jadi anak Papa.

    “Apa juga alasan Anwar dah tak relevan. Hakikatnya Anwar mengamalkan nepotisme,” ujar beliau lapor Sinar Harian.

    Tambah Wan Saiful, rakyat bukan mempersoalkan pro bono atau berbayar, tetapi mempertikaikan mengapa melantik anak sendiri.

    “Rakyat pun tahu kuasa ‘Anak Perdana Menteri’ apabila dilantik sebagai penasihat rasmi, adalah kuasa yang besar.

    “Rakyat persoalkan kuasa dan kedudukan yang diberi. Sama ada bergaji atau tidak adalah tidak relevan,” jelasnya.

  • Bekas guru mengaku tak bersalah cederakan guru

    Bekas guru mengaku tak bersalah cederakan guru

    SEORANG bekas guru Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh Melaka hari ini atas tuduhan mencederakan guru wanita lain sehingga parah, September lepas.

    Nurul Hidayah Khairuddin, 24, dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Nurul Nadirah Ahmad Ropei, 24, di dalam sebuah kelas Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Taman Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 2.40 petang 28 Sept 2022.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha mencadangkan jaminan RM3,000 dikenakan terhadap tertuduh.

    Nurul Hidayah yang diwakili peguam Mohd Fahmy Mohd Sulaiman bagaimanapun memohon agar jaminan rendah diberikan atas alasan dia telah diberhentikan selepas kejadian itu.

    Majistret Mazan Sinin membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dan menetapkan 13 Mac ini untuk sebutan semula kes.

  • Keputusan bantahan awal petisyen pilihan raya Parlimen Masjid Tanah ditangguh 7 Februari

    Keputusan bantahan awal petisyen pilihan raya Parlimen Masjid Tanah ditangguh 7 Februari

    MAHKAMAH Tinggi Melaka hari ini menangguhkan keputusan bantahan awal petisyen pilihan raya yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan kemenangan Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

    Lapor Astro Awani, Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis menetapkan 7 Februari ini sementara mendapatkan hujahan tambahan daripada peguam, Mohd Faizi Che Abu yang mewakili Mas Ermieyati dan peguam Rosfinah Rahmat yang mewakili calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid.

    Hujahan tambahan adalah berkaitan interpretasi rasuah, urusan stem guaman dan pelantikan ejen pilihan raya oleh calon yang bertanding.

    Anselm Charles sebelum ini menetapkan hari ini untuk keputusan bantahan awal petisyen berkenaan.

    Ia selepas, Abdul Hakim pada 3 Januari lalu dilaporkan memfailkan petisyen itu atas dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada PRU15.

    Bantahan awal yang difailkan oleh Mas Ermieyati sebagai responden, antara lain mendakwa petisyen tersebut difailkan di luar waktu ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Selain itu, Abdul Hakim selaku pempetisyen didakwa melakukan kesilapan kerana tidak menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam petisyen tersebut.

    Pada PRU15 lalu, Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), menang dengan majoriti 4,411 undi dalam pertandingan empat penjuru menewaskan Abdul Hakim, Mutalib Uthman daripada parti Muda dan Handrawirawan Abu Nakar daripada Gerakan Tanah Air (GTA).

  • Kerjasama Maritim Malaysia, komuniti nelayan rampas 300 bubu kambang

    Kerjasama Maritim Malaysia, komuniti nelayan rampas 300 bubu kambang

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBANYAK 300 bubu kambang atau bubu naga dirampas dalam operasi khas dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Kedah bersama komuniti nelayan di beberapa lokasi sepanjang perairan Pantai Murni, Yan hingga ke Tanjung Dawai di Merbok, Kedah awal pagi semalam.

    Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Zool Hilmi Mohd. Nadzir berkata, operasi khas itu dilaksanakan berdasarkan aduan awam di lokasi berkenaan yang kerap diterima Maritim Malaysia.

    Katanya, sepuluh lokasi rampasan bubu naga itu adalah di sekitar 1.3 hingga 1.9 batu nautika merangkumi kawasan perairan Pantai Murni hingga ke perairan Tanjung Dawai.

    10 lokasi rampasan bubu naga itu adalah di sekitar 1.3 hingga 1.9 batu nautika merangkumi kawasan perairan Pantai Murni hingga ke perairan Tanjung Dawai.

    “Semasa rondaan dilakuan, anggota bot ronda Maritim Malaysia menemukan pelampung penanda dan pancang kayu mencurigakan dipasang pada setiap bubu naga berukuran 10 meter panjang.

    “Kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai RM36,000 dan dibawa ke Jeti Maritim Kuala Kedah untuk siasatan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, penggunaan bubu naga semakin berleluasa sejak kebelakangan ini dan kegiatan itu perlu dicegah bermula di peringkat penjualan oleh pihak berwajib.

    Kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai RM36,000 dan dibawa ke Jeti Maritim Kuala Kedah

    “Jika sekadar mengharapkan kepada usaha merampas bubu itu saja, tindakan itu tidak terlalu memberi kesan kerana bubu tersebut masih boleh dibeeli di pasaran dengan harga murah termasuk melalui dalam talian,” katanya.

    Beliau dalam pada itu turut mengingatkan komuniti nelayan agar mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan seperti diperuntukan.

    “Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang Persekutuan dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

    “Sebarang aduan mengenai aktiviti jenayah atau kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

  • Lelaki ditahan perdaya urusan perkhidmatan pembersihan rumah tidak wujud melalui Facebook

    Lelaki ditahan perdaya urusan perkhidmatan pembersihan rumah tidak wujud melalui Facebook

    SEORANG lelaki berusia 20-an ditahan polis Pulau Pinang di Taman Mewah, Kemunting, Perak semalam kerana disyaki memperdaya mangsa dalam urusan perkhidmatan pembersihan rumah yang tidak wujud melalui Facebook.

    Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kerugian yang dialami mangsa penipuan suspek lelaki berusia 20-an itu adalah sekitar RM113,238.

    Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Dalam pada itu, kenyataan tersebut menambah, polis menasihatkan agar orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan jual beli di laman sosial, pinjaman tidak wujud, tawaran pekerjaan luar negara atau Macau dan Love Scam serta parcel scam melalui media sosial.

    “Pihak polis juga menyarankan supaya orang ramai membuat semakan terlebih dahulu ke atas nombor akaun yang diberikan oleh suspek di Portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM melalui link https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau juga boleh memuat turun di aplikasi Google Play semak Mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, kenyataan itu memaklumkan, polis turut menahan seorang wanita berusia 23 tahun kerana disyaki menjadi ejen jualan yang menjalankan urusan jual beli barang kemas yang tidak wujud melalui atas talian.

    Ujarnya, suspek ditahan di Taiping, Perak melibatkan kes yang dilaporkan pada 6 Februari 2022.

    “Hasil semakan lanjut mendapati suspek ialah ejen jualan yang berurusan dengan mangsa dalam urusan penjualan barangan kemas yang tidak wujud melalui atas talian,” katanya.

    Tambah kenyataan itu, suspek juga telah membuat ugutan kepada mangsa untuk membatalkan pembelian dan semua wang pembayaran tidak akan dipulangkan jika mangsa tidak membuat pembayaran pada masa ditetapkan.

    “Jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah RM39,600 dan kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Kenapa lantik Nurul Izzah sedangkan anda bantah nepotisme, TI-M tanya Anwar

    Kenapa lantik Nurul Izzah sedangkan anda bantah nepotisme, TI-M tanya Anwar

    PRESIDEN Transparency International Malaysia (TI-M) mempersoalkan keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik anaknya, Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan perdana menteri sedangkan beliau menentang nepotisme.

    Muhammad Mohan berkata, Anwar sentiasa bercakap mengenai nepotisme dan kronisme, oleh itu pelantikan Nurul Izzah tidak baik untuknya.

    Walaupun beliau menganggap Nurul Izzah berintegriti, tetapi katanya, persepsi yang timbul daripada pelantikannya ialah nepotisme sudah “kembali”.

    “Saya dipanggil ke Parlimen dua tahun lalu untuk menjelaskan mengapa 71% rakyat Malaysia merasakan rasuah dalam kerajaan merupakan masalah. Daripada semua Ahli Parlimen yang bertanya soalan, beliau satu-satunya orang yang peka dan tanya soalan sangat baik.

    “Nurul Izzah adalah individu sangat berharga kepada negara, tetapi hanya pelantikan oleh bapanya yang menjadi isu,” katanya lapor FMT.

    Muhammad berkata, ia tidak akan menjadi isu jika naib presiden PKR itu dilantik ke kementerian lain.

    Beliau berharap Anwar akan bertindak balas terhadap kritikan dan gesaan untuk beliau membatalkan pelantikan Nurul Izzah secepat mungkin.

    Nurul Izzah merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai selama dua penggal (2008-2018) dan Ahli Parlimen Permatang Pauh selama satu penggal. Beliau gagal mempertahankan kerusi Permatang Pauh pada PRU15, selepas tewas kepada calon Perikatan Nasional.

  • Indeks persepsi rasuah Malaysia terus menurun

    Indeks persepsi rasuah Malaysia terus menurun

    TRANSPARENCY International-Malaysia (TI-M) berkata, Malaysia sekali lagi mencatatkan penurunan mata dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI 2022).

    Dalam laporan terbaharunya, TI-M mendedahkan Malaysia hanya mendapat mata CPI 47, tahun lalu.

    Ini bermakna, negara merekodkan penurunan enam mata dalam CPI tahunan Transparency International, sejak tiga tahun lalu.

    Pada 2019, Malaysia mencatat mata CPI 53, namun berkurang kepada 51, pada 2020 dan 48, pada 2021.

    Bagaimanapun, Malaysia meningkatkan ranking dalam kalangan 180 negara, menokok satu ranking kepada 61, pada 2022.

    Peningkatan itu dicatat berbanding ranking 62, pada 2021.

    Pada 2020, Malaysia berada pada ranking 57, menurun daripada ranking 51, pada 2019.

    Mengambil kira penurunan mata terbaharu, Malaysia berada di belakang Arab Saudi, Namibia dan Mauritius. Singapura satu-satunya negara di rantau Asia Tenggara berjaya berada di ranking 10 teratas di dunia, dengan 83 mata.

    Presiden Transparency International Malaysia Muhammmad Mohan berkata, penekanan perlu diberikan terhadap mata CPI diperoleh, berbanding ranking.

    “Ranking boleh naik turun, tapi mata indeks lebih penting untuk dilihat,” katanya dalam sidang media di ibu negara, lapor Free Malaysia Today.