Category: Semasa

  • Tengku Zafrul sah tanding ahli MKT UMNO

    Tengku Zafrul sah tanding ahli MKT UMNO

    TENGKU Zafrul Aziz sah menawarkan diri bertanding jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menjelang pemilihan parti akan datang.

    Menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata, keputusan bertanding jawatan berkenaan dalam usahanya membina ‘tapak’ politik bagi tempoh panjang.

    “Ya, saya dengan rendah diri menawarkan diri bertanding jawatan MKT UMNO untuk menyumbang khidmat kepada parti,” katanya menurut Astro Awani.

    Zafrul berkata, landskap politik yang semakin dinamik membuka ruang persaingan sihat dan membina.

    “Politik ini sifatnya dinamik, dan yang paling penting ialah sentuhan efektif membantu untuk memartabatkan masyarakat dan negara,” katanya.

    Beliau berkata, gabungan kepimpinan lebih dinamik dan pelbagai latar menjamin proses pengukuhan parti pasca PRU15.

    “UMNOsebuah parti berpengalaman dan barisan pemimpinnya matang menempuh jatuh bangun politik, justeru saya percaya pemimpin dan akar umbi parti mahu melihat gabungan kepimpinan yang lebih dinamik dan pelbagai latar untuk pastikan proses pengukuhan parti pasca PRU15 dapat berjalan dengan baik,” katanya.

  • Lantikan Nurul Izzah, Sanusi cadang lebih baik berkhidmat untuk NGO

    Lantikan Nurul Izzah, Sanusi cadang lebih baik berkhidmat untuk NGO

    Oleh BADLISHAH MAT

    BEKAS Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dicadang untuk berkhidmat dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekiranya benar beliau tidak akan mengambil sebarang gaji atau apa-apa elaun sebagai penasihat kanan kepada Perdana Menteri.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan juga bukanlah sebuah NGO yang menawarkan perkhidmatan tanpa bayaran kerana setiap pegawai yang dilantik mesti memiliki skim persaraan.

    “Saya dok (sedang) kaji ada ka pelantikan di Kementerian Kewangan yang akan melakukan kerja bagi pihak kerajan boleh tidak ambil gaji, tidak ada skim persaraan untuk dia kerana saya rasa tidak ada perjawatan macam itu.

    “Bila ada servis, ada bayaran. Kalau servis diberi, bayaran tak ada itu bukan pekerjaan. Kalau tak ambil gaji, kemudian perjawatan dia macam social service baik pi buat kerja NGO,” katanya ketika ditemui pada sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Kedah di Alor Setar, malam tadi.

    Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa 3 Januari lalu.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan tidak perlu menambah pelantikan pegawai atau penasihat yang bertujuan untuk menasihati polisi-polisi tertentu serta perolehan kerana tugas itu sudah dilakukan pegawai kanan kerajaan sedia ada.

    “Kita ada ketua setiausaha kementerian, audit yang akan mengendalikan urusan itu. Tak perlu tambah lagi walaupun tak bayar gaji, (tetapi) kalau nak kerja situ mesti ada skim saraan dan pelbagai manfaat seperti pegawai dapat.

    “Ambil sahaja kalau nak, (buat) apa (nak) malu-malu. Lantik anak dia, rasa malu (kemudian umum) tak ambil gaji. Tak kan lah semua macam itu, nak makan apa,” katanya.

    Beliau berkata, tidak pasti sama ada Perdana Menteri mahu menjadikan pelantikan itu sebagai penanda aras bahawa orang-orang politik dan anak-anak mereka boleh terlibat dalam kerajaan tanpa mengambil gaji kerana amalan itu dilihat amat luar biasa.

  • Orang Melayu sudah ‘move on’ daripada UMNO – KJ

    Orang Melayu sudah ‘move on’ daripada UMNO – KJ

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, orang Melayu kinj sudah punyai pilihan lain sebagai sandaran untuk pembelaan serta perjuangan bangsa dan agama.

    “Mereka tidak lagi menganggap bahawa isu tersebut tak akan dibela tanpa ada UMNO dan orang Melayu sudah mencari wadah lain yang boleh memperjuangnya,” ujar bekas Ahli Parlimen Rembau itu.

    Katanya lagi, disebabkan
    itu beliau tetap menegaskan bahawa untuk UMNO kekal relevan, parti itu harus membuka pertandingan di setiap peringkat terutamanya jawatan Presiden.

    “Kalau yang menang itu Zahid, Zahid lah, tapi kena ada mandat sebab tanpa mandat daripada ahli, bagaimana kita nak jelaskan kepada rakyat terutama orang Melayu bahawa kita mahu bawa perubahan?

    “Sedangkan orang Melayu sekarang ini pun kata “alah kalian pun tak berani nak adakan pemilihan untuk Presiden dan Timbalan Presiden, tak berani nak bawa perubahan, tak berani nak beri hak kepada ahli untuk memilih pemimpin, apa perubahan yang kalian katakan,” soalnya.

    Pada masa sama menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak merajuk dengan UMNO walaupun parti yang disayanginya itu telah menyingkirkannya.

    Jelas Khairy, rakan-rakannya masih berada dalam Majlis Tertinggi parti itu malah ramai dalam kalangan mereka mempertahankannya dan bersuara tidak setuju dengan pemecatan beliau.

    “Tapi itu prerogatif Presiden lah,” katanya dalam program Agenda AWANI semalam.

  • Struktur haram di siar kaki tular dirobohkan MBPG

    Struktur haram di siar kaki tular dirobohkan MBPG

    PENGHADANG laluan pejalan kaki yang dibina seorang pemilik premis di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang hingga tular dalam media sosial sejak semalam akhirnya dirobohkan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

    Menurut Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd Rahman, MBPG terpaksa mengambil tindakan tegas itu selepas pemilik premis berkenaan enggan mematuhi notis yang diberikan sejak dua minggu lalu.

    “MBPG sudah memberikan dua notis kepada pemilik premis berkenaan. Pertama kita berikan minggu lalu tetapi ingkar sebaliknya terus mengekalkan struktur binaan berkenaan.

    “Kemudian kita berikan notis sekali lagi untuk mengarahkan merobohkan binaan tersebut, namun mereka abaikan dan setelah cukup tempoh 14 hari, kita ambil tindakan tegas, kita robohkan pagi tadi,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara empat PBT Greater JB dan Persatuan Profesional Johor (Decco+) di Ibu Pejabat MBJB hari ini.

    Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman.

    Mengulas lanjut, Asman Shah berkata, pihak MBPG akan memanggil pemilik premis untuk diberi penerangan berkenaan struktur tambahan yang dibenarkan dan tidak dibenarkan.

    Katanya, pihaknya menyedari terdapat segelintir pemilik premis yang melanggar undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT) namun enggan terus mengenakan tindakan tegas seperti saman dan sebagainya.

    “Sebagai contoh lokasi berkenaan memang laluan umum, kita tidak pernah galakkan pemilik premis buat seperti itu kerana memang tidak munasabah.

    “Oleh itu, kita juga perlukan maklum balas positif daripada pihak umum, namun biarlah ia adil dan jujur kerana terdapat beberapa permasalahan yang diutarakan adalah di luar bidang kuasa MBPG,” katanya.

    Sebagai contoh kata Asman Shah, aduan kerosakan di Lebuhraya Pasir Gudang kerana berada di bawah seliaan kerajaan Persekutuan.

    “Namun permohonan telah dibuat agar satu kerjasama dapat dijalinkan antara pusat dan kerajaan negeri bagi membolehkan kita membantu kerja-kerja penyelenggaraannya,” tambahnya, lapor Sinar Harian.

  • Cuaca buruk, 66 penumpang pesawat Firefly berdepan detik cemas

    Cuaca buruk, 66 penumpang pesawat Firefly berdepan detik cemas

    SEBANYAK 66 penumpang dan empat kru pesawat penerbangan Firefly berdepan detik cemas selepas berdepan cuaca buruk sebelum ia dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di Johor, hari ini.

    Syarikat penerbangan Firefly berkata, pesawat Firefly FY3124 tersebut dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB), Subang, Selangor ke Lapangan Terbang Seletar (XSP), Singapura.

    Katanya, pesawat itu berlepas dari SZB pada pukul 7.20 pagi dan dijadual tiba di SXP pada 8.40 sebelum mengalami gangguan tersebut.

    “Walau bagaimanapun, pesawat tersebut telah dilencongkan ke LTAS dekat sini sementara menunggu cuaca reda sebelum membuat penerbangan semula ke Seletar.

    “Seramai 66 orang penumpang, termasuk seorang bayi berserta empat orang anak kapal berada dalam pesawat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Pihak Firefly dalam pada itu mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada semua penumpang atas kesabaran mereka sehingga selamat sampai.

    “Keselamatan penumpang dan anak kapal sentiasa menjadi keutamaan kami dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Terdahulu tular video dalam pesawat berkenaan yang berdepan cuaca buruk dan penerbangan terpaksa dilencongkan.

  • Edar dadah dalam kompleks penjara, warden ke tali gantung

    Edar dadah dalam kompleks penjara, warden ke tali gantung

    SEORANG warden penjara dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis dan methamphetamine dengan berat keseluruhan 410.07 gram (g) di kompleks penjara, empat tahun lepas.

    Hakim Nurulhuda Nur’aini Md Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Elmy Arif Hamid, 40, selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan berkenaan.

    Mohd Elmy Arif didakwa melakukan perbuatan itu di Kompleks Penjara Sungai Buloh, Sungai Buloh pada 11 pagi, 18 Jun 2019 mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

    Tertuduh turut didapati bersalah bagi empat pertuduhan memiliki pelbagai jenis dadah iaitu heroin (4.25g), monoacetylmorphines (1g), etilzolam (38.67g) dan clozapine (50.80g) di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

    Bagi empat kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan tiga sebatan bagi kesalahan memiliki heroin, masing-masing penjara satu tahun (monoacetylmorphines dan etilzolam) serta penjara enam bulan (clozapine).

    Nurulhuda Nur’aini turut memerintahkan hukuman pemenjaraan tersebut berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 18 Jun 2019.

    Seramai sembilan saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh, telah memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang berlangsung sejak 24 Ogos 2021.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim manakala Mohd Elmy Arif diwakili peguam Zameri Mat Nawang. – BERNAMA

  • Lemas setelah jatuh ke sungai ketika menjala

    Lemas setelah jatuh ke sungai ketika menjala

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki meninggal dunia setelah terjatuh ketika menjala ikan di sungai Kampung Batu 6, Jalan Sanglang, Kedah hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Penolonng Kanan Penguasa Bomba, Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pukul 4.59 petang.

    “Setibanya di lokasi, pihak bomba terus menjalankan pencarian di permukaan dengan dibantu penduduk kampung.

    “Mangsa kemudiannya ditemukan penduduk kampung kira-kira pukul 5.39 petang dan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

    Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

  • Wanita fail kebenaran rayu keputusan mahkamah kembalikan status agama

    Wanita fail kebenaran rayu keputusan mahkamah kembalikan status agama

    WANITA berusia 37 tahun yang terlibat dalam pertikaian undang-undang berhubung status agamanya membawa kesnya ke Mahkamah Persekutuan dalam usaha untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikannya statusnya sebagai seorang Islam.

    Peguamnya A. Surendra Ananth, ketika dihubungi mengesahkan anak guamnya telah memfailkan notis usul semalam, memohon kebenaran untuk meneruskan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan.

    Pada 13 Jan lepas, Mahkamah Rayuan, dalam keputusan majoriti 2-1 telah membenarkan rayuan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan kerajaan negeri Selangor untuk mengembalikan semula status wanita itu sebagai seorang Islam.

    Rayuan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membatalkan status beragama Islam wanita itu pada 21 Dis 2021.

    Dalam kes sivil, pihak litigan mesti mendapat kebenaran daripada mahkamah sebelum boleh memfailkan rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan.

    Dalam permohonannya, wanita itu mahu Mahkamah Persekutuan menentukan empat persoalan undang-undang, antaranya ialah keadaan di mana perintah Mahkamah Syariah tidak sah, bolehkah perintah itu dicabar secara kolateral di Mahkamah Tinggi Sivil dan sama ada Perkara 121 (1A) Persekutuan Perlembagaan adalah terpakai.

    Persoalan lain ialah sama ada Seksyen 74(3) Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Selangor 1989 menghapuskan bidang kuasa Mahkamah Tinggi untuk menentukan kesahihan pemelukan agama Islam seorang bawah umur.

    Dalam saman pemulanya, wanita itu yang semasa dilahirkan pada 1986, berbapa seorang penganut agama Hindu dan ibu penganut agama Buddha, memohon perisytiharan bahawa dia bukan seorang yang menganut agama Islam.

    Dia berkata ibunya memeluk Islam pada 1991 dan secara unilateral telah mengislamkannya, yang ketika itu berusia lima tahun, di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

    Wanita itu mendakwa penukaran agama itu berlaku semasa ibu bapanya dalam proses perceraian, yang kemudian dimuktamadkan pada 1992. Pada tahun berikutnya, ibunya berkahwin dengan seorang lelaki beragama Islam manakala bapanya meninggal dunia dalam kemalangan tiga tahun kemudian.

    Wanita itu mendakwa walaupun memeluk Islam, ibu dan bapa tirinya membenarkan dia terus mengamalkan kepercayaan Hindu, agama yang dianuti sejak dilahirkan. Dia mendakwa tidak mengamalkan ajaran Islam.

    Pada 12 Dis 2013, wanita itu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa dia tidak lagi beragama Islam namun pada 20 Julai 2017, Mahkamah Tinggi Syariah menolak samannya. Mahkamah Rayuan Syariah juga menolak rayuannya pada 1 Ogos 2017.

    Selepas gagal di Mahkamah Syariah, wanita itu kemudiannya memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam. Dia kemudiannya berjaya mendapat pengisytiharan bahawa dia bukan beragama Islam.

    Surendra berkata Mahkamah Persekutuan menetapkan 2 Mac untuk pengurusan kes bagi permohonan kebenaran merayu.

  • Lantikan Nurul Izzah bukan nepotisme, kata Anwar

    Lantikan Nurul Izzah bukan nepotisme, kata Anwar

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pelantikan anaknya Nurul Izzah sebagai penasihat kanannya dengan mengatakan ia tidak melibatkan nepotisme.

    “Nepotisme adalah di mana (ahli keluarga) diberi kedudukan untuk menyalahgunakan kuasa, memperkayakan diri, mendapatkan kontrak dan mendapat bayaran yang besar.

    “Ini tidak berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Sukan Negara di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, hari ini.

    Anwar turut menyelar pengkritiknya dengan berkata, bekas perdana menteri dan menteri yang memberikan ahli keluarga mereka “ratusan juta hingga 1 bilion” kontrak sebagai tidak layak untuk bercakap mengenai ketelusan.

    Katanya, peranan Nurul Izzah adalah untuk membantu bagi memastikan projek dan tender kerajaan dilakukan dengan teratur.

    “Saya nak beri jaminan, pentadbiran kita Insya-Allah walaupun ada yang kurang puas hati tentang itu (pelantikan Nurul Izzah) kita akan tentang rasuah, tidak akan salah guna kuasa dan memperkayakan mana-mana pegawai atau pemimpin,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Terdahulu Transparency International Malaysia (TI-M) mempersoalkan keputusan Anwar melantik Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan walaupun pendiriannya menentang nepotisme.

    Presiden TI-M, Muhammad Mohan, berkata perdana menteri sentiasa bercakap menentang amalan nepotisme dan kroni, jadi keputusan itu tidak kelihatan baik untuk beliau.

    Walaupun beliau menganggap Nurul Izzah sebagai seorang yang berintegriti, Muhammad berkata persepsi yang timbul daripada pelantikan itu menunjukkan nepotisme sudah “kembali”.

    Tambah Muhammad ia mungkin tidak menjadi isu jika naib presiden PKR itu menjadi penasihat di kementerian lain.

    Beliau berharap Anwar akan bertindak terhadap kritikan itu dan menggesa beliau membatalkan pelantikan Nurul Izzah secepat mungkin.

    Nurul Izzah pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai selama dua penggal (2008-2018) dan Ahli Parlimen Permatang Pauh selama satu penggal.

    Beliau gagal mempertahankan kerusi Parlimen itu apabila tewas kepada calon Perikatan Nasional pada PRU15.

  • Perhilitan sahkan kelibat harimau di dua lokasi di Chemor

    Perhilitan sahkan kelibat harimau di dua lokasi di Chemor

    JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan menerima aduan berhubung kehadiran harimau di Tanah Hitam dan Kampung Ulu Kuang, Chemor baru-baru ini.

    Pengarahnya Yusoff Shariff berkata pihaknya menerima aduan kejadian di Tanah Hitam pada 17 Jan lepas manakala di Ulu Kuang pada 26 Jan.

    “Pihak kami telah menerima aduan daripada penduduk kampung mengenai kehadiran harimau dan kita telah adakan siasatan lanjut selain mendapati aduan mereka adalah berasas dan memang wujud kehadiran harimau di kawasan itu.

    “Selain itu, kita terima satu lagi aduan di Kampung Ulu Kuang yang menyatakan haiwan ternakan lembu diserang binatang terbabit dan Perhilitan hari ini telah memasang perangkap di kedua-dua kawasan terlibat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata pemantauan turut dilakukan di lokasi pemasangan perangkap dan kawasan sekitar.

    Katanya pihaknya turut memberikan khidmat nasihat kepada penduduk untuk mengambil langkah keselamatan yang bersesuaian selain meminta mereka segera menghubungi Perhilitan sekiranya ternampak kelibat atau jejak harimau.